Langkau ke kandungan utama

Mahar - edisi cerpen


1


Datuk Akil memandang wajah isterinya, Datin Azwa tepat-tepat. Kepalanya terangguk-angguk, menjawab tanda tanya yang tertera jelas.


"Teruk ke?"


Sebaik rasa terkejut Datin Azwa hilang, soalan itu terpacul keluar. Muka suami ditatap tajam. Rasa tidak sabar menanti khabar.


"Teruk. Dia tengah koma,"


"Syy! Cakap tu, pelan-pelan sikit. Nanti kalau Qalisya dengar..."


Aku memang sudahpun mendengarnya. Dan, hatiku tidak ragu-ragu tentang siapa yang mereka bisik-bisikkan itu. Tentu dia! Kalau hendak berahsia denganku, aku amat yakin kisah dialah sahaja. Bukan orang lain!


Tuhan, dia koma? Lelaki itu koma? Tentu dia accident. Takkan tengah duduk boleh koma kot? Aku perlu tahu tentang dia. Perlu!


Aku terus berlari naik ke bilikku. Kukunci rapat pintu bilik lantas I-phone kucapai. Nombor Sunita, teman baikku, yang juga isteri kepada teman baiknya, aku hubungi. Rasa tidak sabar hendak mendengar suara Sunita. Rasa tidak sabar mendengar berita tentang dia.


"Sya, mujur kau call aku. Aku ada benda nak beritahu kau ni," suara Sunita penuh cemas menyebabkan aku sudah tidak mampu berdiri. Lemah lututku dan kini aku sudah terduduk di hujung katil.


"Shoot!" pintaku laju.


"Sya... Redza! Redza kau..."


Air mataku sudah gugur. Aku sudah teresak. Belum lagi aku tahu apa-apa, aku sudah menangis semahuku.


"Sya, Redza accident dekat Janda Baik. Keretanya terbalik, masuk gaung dan dia sekarang sedang koma di HKL,"


Aku sembamkan wajah pada bantal sebab aku tidak mahu sesiapa mendengar raunganku. Berita ini adalah kemuncak penderitaanku sejak dua tahun yang lalu. Sejak Redza membuat keputusan untuk meninggalkanku.


.................

"Perpisahan, jalan terbaik untuk kita, Sya. Sebab hubungan kita ni tak akan ke mana-mana. Keluarga kita bermusuh. Sampai bila-bila pun, kita tak ada masa depan bersama,"


Aku tatap wajah tampannya. Aku renungi dia dalam rasa tidak percaya. Bukan sehari dua menyulam cinta dengannya namun akhirnya, ini yang terjadi. Dia ingin berpisah denganku. Ingin melupakan kisah cinta kami!


"Jangan tengok abang macam tu," Redza meminta. Permintaan yang hanya menyebabkan air mataku menitis laju. "Jangan marah! Jangan benci abang!"


Aku pintas kata-katanya, garang. "Jangan marah? Jangan benci? Kenapa tak boleh marah? Kenapa Sya tak boleh bencikan abang? Abang nak putuskan hubungan dengan Sya, tahu tak? Abang nak lupakan Sya, nak tinggalkan Sya! Takkan Sya nak cakap, 'Okey, tak apa. Kita putus. Abang carilah pengganti Sya,' Abang nak Sya cakap macam tu? Sampai mati pun, Sya tak akan ungkapkannya!"


Aku lihat Redza menarik nafas panjang-panjang. Wajahnya yang sentiasa tenang kini tidak lagi begitu. Dia kelihatan amat runsing. Mata kami bertentangan apabila dia menangkap renunganku padanya.


"Qalisya binti Datuk Akil, terima kasih kerana sudi menjadi kekasih abang selama ni. Kalaulah abang tidak perlu memilih di antara keluarga dengan Sya, Sya pasti jelas yang Sya satu-satunya gadis pilihan abang. Tapi, kerana ibu meminta abang memilih antara ibu dengan Sya, maafkan abang. Abang tak ada pilihan kedua, ketiga atau pilihan yang lainnya. Hanya ibu abang, syurga abang!"


Aku terpaku. Akhirnya, Datin Suraya main kotor juga. Setelah puas mencari jalan agar Redza membenci diri ini dan tidak berjaya, dia akhirnya menggunakan taktik ini untuk Redza meninggalkan aku. Haruskah aku bertepuk tangan atas kelicikannya itu? Puaskah hatinya memisahkan kami?


Dua keluarga ternama, dua ketua keluarga yang sering bersaing dalam perniagaan, dua orang datin yang keras kepala dan sering berlumba-lumba menunjukkan kehebatan.... lantas, bila aku dan Redza bertemu, jatuh cinta, dan pernah merancang untuk berkahwin, halangan demi halangan, mereka lancarkan untuk kami berdua. Sekejap, keluarga aku mencari ruang mengenakan Redza, nanti, keluarga Redza pula yang mengenakan aku.


Selama ini, cinta kami utuh. Kami masih mampu bertahan. Namun, hari ini, Redza tewas dengan ugutan umi dia. Agaknya, kalau ibubapaku tahu, tentu mereka sedang bertepuk tangan sekarang. Tentu suka!


"Kalau Sya anggap abang ni tak guna, abang terima. Abang dah tak mampu bertahan lagi dengan kerenah emak bapak kita, Sya. Abang,"


Panas hatiku mendengar Redza berkata begitu. Lantas, aku capai beg tanganku dan aku terus bangkit. Aku ingin pergi jauh darinya. Bukankah itu yang dia mahu?


"Sya! Tunggu!"


Aku tetap meneruskan langkah. Laju, dia kutinggalkan. Nak berpisah sangat, kan? Okey, fine! Biarkan aku pergi!


Tubuhku dihalang daripada meneruskan pergerakan. Langkahku mati kerana dia sudah berdiri di hadapanku.


"Let me go!" ujarku tegas.


"Not like this!" balasnya.


"Oh, abang nak Sya senyum kat abang, ya? Okey!" Aku senyum padanya.


"Tolonglah, Sya!"


Kujegilkan mataku padanya. Kali ini, aku tidak akan termakan pujuk rayunya lagi. Aku sudah penat.


"Abang, Sya tak faham ni. Kata nak berpisah. Tapi, bila Sya tinggalkan abang, abang panggil Sya balik. Apa ni? Ke, abang yang nak pergi dulu? Okey! Jalanlah! Tinggalkan Sya! Tak payah nak cakap apa-apa dah! Just go!" jerkahku. Peduli apa pada mereka yang sudah merenung kami. Lepas ni, aku bukan nak singgah The Curve ini lagi. Sumpah! Tak kan aku hendak datang ke tempat penuh tragis bagiku ini. Kan?


Lama dia merenung wajahku. Lama pandangan mata kami bertaut. Akhirnya, dia melafazkan talak cinta kami.


"Abang pilih umi sebab abang sayang dia. Tapi, cinta abang hanya milik Sya. Insya-Allah, satu hari, kalau ada jodoh kita, Sya akan jadi isteri abang. Tapi, Sya tak terikat dengan abang. Kalau Sya rasa abang tak layak untuk Sya, carilah kekasih yang lain untuk ganti tempat abang,"


Sampai hati Redza cakap macam tu pada aku? Setelah hampir tiga tahun dia menjadi kekasihku? Ingatnya cintaku ini bagaikan embun pagi yang hilang setiap kali mentari menyinari bumi? Argh, aku benci dia! Benci!


Aku malas menunggu. Entah apa lagi kata-kata yang akan mendalamkan lagi luka hatiku ini yang bakal keluar daripada mulut Redza. Aku sudah tidak sanggup mendengarnya.


"Sya!"


Aku tidak berpaling.


"Abang nak menetap di Kuching,"


Langkahku mati. Dia memilih untuk tinggal di Kuching? Apakah Datuk Ramli sudah membuka cawangan syarikat mereka di sana? Perlahan-lahan, aku pusingkan tubuhku untuk menghadapnya semula.


"Maafkan abang. Abang tak boleh duduk sini sebab abang takut nanti kita bertembung. Abang tak kuat nak pandang mata Sya yang penuh benci pada abang nanti,"


Aku menarik nafasku dalam-dalam.


"Be happy! Jangan benci pada ibubapa kita. Jangan marah pada takdir kita. Live your life,"


Sebaik dia mengucapkan itu, dia pergi meninggalkan aku. Sekalipun dia tidak menoleh. Sekalipun dia tidak berhenti melangkah.


Aku?


Aku masih hidup, kan? Hidup bersama kenangan kami. Hidup bersama kenangannya.


Aku tidak tahu yang dia sudah balik ke Kuala Lumpur. Selama ini, aku ingatkan dia masih berada di Kuching. Apa dia buat di sini?


"Sya, kau ni... kau dengar aku?"


Suara Sunita mengejutkan aku.


"Hmm," balasku.


"Sya, Redza, Redza,"


Dah tergagap-gagap pulak!


"Sya, Redza was not alone. Ada seseorang dengan dia. Perempuan muda, umurnya dalam lingkungan 25 tahun. Dia selamat dan nama dia, Maya. Maya Zahnita. Dia yang memandu kereta Redza tu."


Maya Zahnita? Rasa macam pernah dengar aje nama tu. Siapa? Siapa? Ahhh...ingat dah! Maya Zahnita. Model terkenal tu!


Cis! Penat aku menangis. Ingatkan dia sorang-sorang. Rupa-rupanya....


Ya, rupa-rupanya, dia sudah ada penggantiku!


Kesian aku!


2


"Perempuan ni memang... Eeii, geramnya aku!!! Redza tu belum ma..."


Tengkingan dan jerkahan Sunita terus pudar sebaik sepasang mataku mencerun memandangnya. Tahu rupanya dia bahawa aku sedang marah? Rasa ingin sahaja aku lepuk kepala dia, biar bergegar otak yang tidak tahu berfikir sebelum berkata-kata. Melampau sungguh! Ada ke patut dia cakap yang bukan-bukan tentang Redza?


"Kau cakap macam tu lagi sekali, aku cilikan mulut kau!" ugutku. Puas hati aku bila Sunita tutup mulut yang bibirnya merah merekah itu. Tahu takut!


"Habis? Kau tak marah ke dengar dia cakap macam tu?"


Aku teruskan kerjaku yang tergendala sebaik Sunita menerobos masuk ke dalam ruang kecil pejabatku ini tadi. Sunita memang begitu! Datang macam angin. Pergi pula macam ribut. Kedai kek aku ni sudah jadi tempat dia melepak. Hari ini, tentu sahaja banyak yang ingin dikabarkan kepadaku. Tentang Redza. Aku pasti dan yakin bahawa Rahim, suaminya sudah banyak berkisah tentang lelaki itu. Jadi, aku kena tadah telinga nampaknya.


"Apa nak marah pulak? Dia cakap, Redza lamar dia. Siap tunjuk cincin dalam rancangan gosip tu lagi. Biarlah!"


Pedih untuk ku ucapkan tetapi kenyataan itu telah aku dengar dan lihat. Maya Zahnita begitu bangga mengadakan sidang akhbar untuk menceritakan kejadian yang berlaku di antara dirinya dengan Redza. Apa aku nak cakap lagi? Tak kan nak tunjuk muka welfare pada Sunita? Mahu bengkak mata kami berdua menangis nanti!


"Kau ni mesti tengok tak habis rancangan tu, kan?"


"Erk.. ada lagi ke?" mana aku tahu. Sebaik nampak cincin yang begitu cantik tersarung di jari manis Maya, aku terus tutup televisyen. Waktu tu aku sangat-sangat sedih. Tak perasan pulak yang ada sambungannya.


"Dia cakap, dia terpaksa pulangkan cincin tu kepada keluarga Redza. Dia cakap, dia tak boleh terima lamaran bekas kekasih kau tu sebab dia ada komitmen yang besarrr dalam kerjaya dia, Sya!!"


Aku terlopong. Rasa terkejut yang amat sangat. Rasa tidak percaya pun ada. "Dia cakap macam tu? Tapi kenapa? Aku tak faham,"


Sunita menjegilkan sepasang matanya padaku. "Kau tu baik sangat, sebab itu kau tak faham, Sya. Gunalah otak kau yang bergeliga tu! Sya, siapa yang hendak kahwin dengan mamat yang tengah koma tu?"


Lagilah aku tak faham.


"Tunggulah Redza sembuh. Takkan itu pun tak boleh? He loves her, kan? Kalau tak, tak kan dia ajak kahwin?"


Sunita menghampiriku. "Nak tahu apa Rahim cakap pada aku?" tanya dia.


Aku menanti dalam debar.


Sunita semakin rapat. Bibirnya di telingaku. "Redza has no will to survive," bisiknya.


Aku pandang wajah Sunita bersama denyutan jantungku yang laju. Bersama hambatan rasa yang penuh kesakitan. Bersama kedukaan.


"Apa maksud Dr Rahim, suami kau tu, Ita? Aku tak faham. Tolong jelaskan," suaraku penuh sebak, mengiringi linangan air mata yang entah bila sudah menitis luruh di pipi.


"Cinta kau pada dia tak pernah mati, kan, Sya? Tengok kau sekarang, siapapun tahu itu,"


Peduli apa aku! Biarlah satu dunia tahu isi hatiku. Biar semua orang tahu yang aku masih cintakan Redzaku walaupun dia sudah melupakan aku. Tidak mengapa! tetapi, jangan ucap yang Redza sudah ingin meninggalkan dunia ini. Aku tidak sanggup mendengarnya. Dia masih muda lagi. Umurnya baharu 33 tahun. Dia tak boleh mati! Dia tak boleh tinggalkan aku! Tak boleh!


Tiba-tiba Rahim terjengul di muka pintu. Ah, suami isteri ini memang punya perangai yang sama. Suka menerjah! Dan, dari riak wajahnya, aku tahu Rahim sudah mendengar perbualan antara aku dan isterinya.


"Koma ni macam tidur jugak Sya. Bezanya, bila seseorang koma, tak ada apa yang boleh merangsang otaknya. Otak orang yang koma berada dalam situasi kesedaran minima. Panggillah! Sentuhlah! Pukullah! Dia tak sedar,"


Aku angguk. "Itu aku tahu. Tapi apa maksud kau yang Redza tak nak survive. Kalau dia tak sedar, macam mana kau sebagai doktor boleh cakap macam tu?" soalku.


Rahim pandang aku dengan Sunita bergilir-gilir.


"Lagi satu! Kenapa korang tak cakap dia dah balik ke KL? Bila dia balik? Berapa lama dah dia dengan si Maya tu?" Aku mengambil kesempatan ini untuk mengetahui tentang Redza.


Rahim kelihatan serba salah hendak menjawab.


"Dia betul-betul dah buang aku dari hidupnya, ya?" rajukku.


"Sya, pergilah jenguk dia di hospital tu. Dia tunggu kau datang, Sya!"


Aku terpegun mendengar kata-kata Rahim. Soalanku tidak dijawabnya dan kini dia mengutarakan sesuatu yang boleh menyebabkan kepala aku ni dipelangkung oleh ibu bapaku dan ibubapa Redza. Baru betul! Sama-sama nanti kami terbaring sebelah menyebelah di wad ICU itu.


"Sya, dia perlukan kau. Kalau kau tak mahu Redza kau mati, kau mesti pergi lawat dia. Cakap dengan dia. Bagi dia dengar suara kau. Dia... dia rindukan kau, Sya!"


..............

Sudah dua hari aku begini. Asyik sahaja aku teringat padanya. Kata-kata Rahim yang Redza rindukan aku benar-benar menghantui fikiran.


Boleh percaya ke?


Kalau Rahim cakap aku yang rindukan Redza, itu betul. Memang aku sangat sangat rindukan dia. Tetapi, Redza? Rindu apanya? Kalau rindukan aku, macam mana boleh melamar perempuan lain? Boleh bersama perempuan lain? Malam-malam, satu kereta, dari Genting pulak tu!


Aku tak punya pilihan. Keinginan untuk melihatnya terlalu tinggi. Aku sanggup hadapi apa sahaja asalkan aku dapat masuk ke dalam bilik rawatan si Redza. Aku ingin menatap wajah redupnya. Aku ingin bisikkan padanya bahawa biarpun hatinya berkali-kali berubah, tidak lagi menyayangi diri ini, aku tak kisah. Biar dia berpaling dariku, asalkan dia sembuh, cukuplah! Aku sudah cukup kuat menghadapi perpisahan kami. Jadi, bertemu dan berpisah lagi, tidak menjadi soal. Aku hanya mahu dia tahu bahawa, apa juga keadaan dirinya, lumpuh, koma, biarpun seumur hidup, aku sentiasa ada untuknya. Sentiasa...


..................

Aku melangkah dengan yakin sekali. Rancangan Rahim cukup bijak. Dia sudah pastikan bahawa tidak ada sesiapa berada berhampiran ruang rawatan Redza. Ah, Rahim! Dia memang kawan yang baik. Demi Redza, dia mahu aku ke mari.


Kuhampiri katil bercadar putih. Di atasnya, lelaki itu sedang tidur dengan amat lena. Mesin hayat di tepi menunjukkan geraf pergerakan nadi dan jantungnya. Perlahan dan lemah.


Kugagahi diri untuk mendekatinya. Seluruh anggota tubuh diam dan kaku. Oh, Redza.... tak sanggup melihatmu begini. Bangunlah! Bangun!


Ingin kukucup jemarinya. Ingin kuelus pipinya. Ingin kuusap kepala yang berbalut dengan kain berwarna putih itu. Redzaku sudah botak tetapi dia tetap kelihatan menawan di mata ini.


"Abang, ni Sya. Bangunlah, bang! Sampai bila nak tidur ni? Tak kesian pada Sya ke?" Aku tatap wajahnya. Ada sesuatu sedang terbuku di hatiku. Aku ingin luahkannya.


"Tapi, abang mana peduli perasaan Sya. Sebab itu, cincin yang sepatutnya jadi hak Sya, abang bagi pada Maya Zahnita, kan?"


Aku seka air mataku. Sebak benar hatiku bila mengingatnya. Cincin platinum bertatah berlian yang seharusnya tersarung di jari manisku dua tahun dahulu, diberikannya kepada model itu. Betapa mudah dia melupakan detik indah sewaktu kami membeli cincin itu dahulu. Tapi, aku bukan datang untuk marah-marah. Aku tak berhak melakukannya. Kan?


"Siapa izinkan kau masuk sini, Qalisya? Siapa izinkan kau jenguk Redza? Cakap!"


3


Suara siapakah lagi kalau bukan suara garang Datin Suraya. Alahai, kantoi sudah! Rahim punya strategi tidak menjadi. Aku yakin, datin memang sudah menjangka bahawa aku pasti datang. Dia tentu sudah dapat membaca gerak hatiku ini. Kerana dia tahu betapa dalam cintaku kepada anaknya Redza.


Aku berdiri dan berpaling melihat wanita yang berusia lebih separuh abad itu. Wanita yang berperawakan lemah lembut dan penyayang namun hatinya keras seperti batu. Kalau hitam katanya, maka hitamlah, Redza, sebagai anak yang taat tidak akan boleh memutihkannya!


"Datang sini buat apa? Nak gloat? Hah?" suara garangnya keluar lagi. Kali ini bersama jelingan membunuh.


Aku? Gloat? Hah? Memang datin ni bodoh tahap gaban! Yang terlantar itu, anak dia tu, bekas kekasihku. Orang yang aku sayangggg sangat! Takkan aku gembira, bahagia, bangga, atas deritanya? Fikirlah sikit!!


Rahim, yang sedari tadi berdiri tegak di belakang Datin Suraya, mengerdipkan mata. Nak suruh aku berdiam dirilah tu.


Aku angguk. Aku faham.


Kalau Redza tidak sekalipun pernah meninggikan suara kepada ibunya ini, takkan aku pula hendak melakukannya? Betul? Jadi, sepertimana aku sudah menjadi bisu kepada dua ibubapaku, aku juga sudah bisu dan tuli kepada wanita ini. Biarlah! Berikan kemenangan kepada mereka.


"Keluar! Jangan datang lagi!"


Akhirnya, dia menghalau aku dengan suara yang sedikit kendur. Alhamdulillah. Aku toleh semula ke arah Redza. Tangannya ku pegang buat pertama kali. Mungkin untuk terakhir kali juga sebab aku tidak akan boleh datang lagi ke sini.


"Abang, Sya nak balik dah ni. Cepat-cepat bangun, tau! Ibu dan ayah abang perlukan abang," aku tunduk untuk berbisik padanya. Agar, dia sahaja yang mendengar. "Sya sayang abang. Sentiasa tunggu abang,"


Sewaktu aku ingin menarik tanganku, aku terasa tindak balas pertama Redza. Terasa seperti jemarinya bergerak perlahan dalam genggamanku.


"Ra...Ra him...., Redza, jari Redza,"


Rahim sudah berdiri di sisiku. Dia menjadi saksi yang melihat bahawa kini jari jemari Redza bukan lagi setakat bergerak namun sedang menggenggam erat jari jemariku.


Besarnya kuasa Allah. Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani. Dia yang menjadikan langit dan bumi. Dia yang memberi penyakit dan menghantar penawarnya. Alhamdulillah.


"Rahim, Redza dah boleh bergerak, Im? Tengok! Tengok tu! Peluh dia mercik di dahi. Im, mata dia dah buka dah. Oh, anak ibu dah sedar! Anak ibu dah jaga, nak!"


Aku menyaksi kasih sayang seorang ibu di hadapan mataku. Betapa kental. Betapa besar! Seluas lautan yang tidak bertepi. Air matanya mengalir deras. Bibirnya tidak berhenti-henti mengucap syukur.


Sepasang mata Redza memerhati sekeliling sebelum tepat memandangku. Adooii, Renungannya sayu dan redup, seperti dahulu. Dan, ada rindu untukku. Aku amat pasti tetapi cepat-cepat aku sedar diri. Antara kami berdua, kisah cinta itu sudah lama berakhir. Jangan berharap lagi.


"Im, misi aku dah selesai. Terima kasih, Im, sebab kau percaya aku. Kirim salam pada dia bila dia dah sedar sepenuhnya nanti,"


Perlahan-lahan kutarik jemariku dari genggamannya. Aku harus pergi. Kehadiranku di sini tidak diperlukan lagi.


"Qalisya,"


Ya Allah, kuatkan hatiku! Jangan biarkan aku lemah mendengar suaranya itu. Jangan!


"Sya!" Suaranya sedikit kuat kerana aku teruskan langkah meninggalkannya. Dan aku dengar dia menjerit, memanggil namaku lagi, kerana aku tidak berhenti, tidak menoleh juga! Kerana aku tidak peduli.


Maafkan aku, Redza. Aku sekadar menunaikan sebuah janji. Pada diriku. Pada hatiku yang sudah engkau hancurkan.


Selamat tinggal!


Saat aku ingin keluar, sebuah ambulans meluncur laju dan berhenti di hadapanku. Sebuah lagi kes kecemasan berlaku. Satu lagi nyawa sedang bertarung antara hidup dan mati. Ketika aku meminggir, kuperhatikan insan yang sedang diusung di atas 'stretcher' itu. Rasa macam kenal....


"Ayah?"


"Ayah?"


Aku memanggil dan terus memanggilnya. Malangnya, ayahku tidak lagi mendengar panggilanku. Kenapa? Kenapa dengan dia? Apa yang sudah terjadi?


"Sya! Sya anak emak! Ayah Sya.... ayah Sya jatuh kat ofis. Dia terkejut! Dia..."


........................


Sudah berhari-hari kutangisi pemergian ayahku. Tanpa sebarang pesan, aku dan emak ditinggalkannya. Tanpa sepatah kata, dia menjadikan ibuku seorang balu dan aku ialah anak yatim, yang kehilangan. Hari ini, sekali lagi air mataku tumpah kerana dia.


"Maafkan kami, datin, cik Qalisya. Rumah ni perlu dikosongkan. Kami nak lelong,"


Dalam sekelip mata, aku kehilangan semua. Nikmat dunia yang kukecapi selama ini hilang begitu sahaja. Ayah pergi dalam keadaan terkejut kerana dia diisytihar muflis. Syarikat besar yang selama ini teguh berdiri, sudah dirampas oleh orang kepercayaannya, Mukhlis!


Kadang-kadang, hati ini ingin bersorak riang. Padan muka? Kan bagus kalau aku mampu berkata begitu? Anak sendiri yang ada ijazah dalam bidang pentadibiran perniagaan tidak langsung diberi peluang untuk bekerja dengannya. Kata Datuk Alwi, aku ni perempuan. Apa yang aku tahu?


Kerana kecewa, aku buka kedai kek. Aku berniaga sendiri. Satu sen aku tidak mengharap duit ayah. Dan, alhamdulillah, aku boleh berdiri di atas kakiku sendiri. Hanya, aku menumpang teduh di sini. Emak tidak mengizikan aku keluar dari rumah ini.


Suara emak meraung, menyedarkan aku dari lamunan. Kuusap bahunya perlahan. Aku faham, emak terkejut dengan apa yang terjadi. Aku yakin, hatinya tentu sedang menderita kini. Sangat menderita!


"Sya, apa kita nak buat, nak?" suara ibuku melantun sayu.


"Kita balik ke rumah kedai, Sya, ya, mak? Mulai hari ini, kita tinggal di situ,"


Emak pandang wajahku tajam. Aku tahu, dia ingat aku bergurau. Aku perlu yakinkannya.


"Kat atas kedai kek tu, Sya dah renovate. Tak besar macam rumah ni, tapi selesa la, untuk kita berdua," pujukku.


"Kenapa ayah sampai hati buat kita macam ni, Sya? Kenapa dia mati tinggalkan kita dengan hutang yang banyak? Kenapa...."


"Sebab Allah nak ajar kamu supaya muhasabah diri tu, Azwa. Supaya kamu tahu yang harta milik kamu ni, Allah yang punya. Dia pinjamkan sekejap. Kerana kamu lalai dan lupa padaNya, lupa nak bayar zakat, lupa nak bersedekah, lupa nak berkongsi, maka Dia ambil balik. Jangan kamu nak marah-marah pada arwah. Tak baik! Teruskan hidup! Perancangan Sya tu, ikut ajelah! Kalau tak pun, jom balik kampung duduk dengan aku,"


Nenekku yang tenang. Emak ayahku yang jarang-jarang ke mari, kini berkata sesuatu yang penuh nasihat. Ya, usah ditangisi takdir. Semua milik kita, Dia yang punya. Hari ini Dia berikannya, dan bila-bila masa, Dia boleh menarik balik pemberianNya itu.


Kami diberikan masa dua hari untuk berpindah. Aku tidak memerlukan masa selama itu namun emak? Banyak kenangan antara dirinya dengan ayah di sini. Dia ingin mengabadikan memori terakhir mereka. Siapa aku untuk menghalang.


Kehadiran tetamu tidak diundang itu mengejutkanku. Apa yang mereka buat di sini? Untuk pertama kali menjejakkan kaki ke rumahku ini?


"Jemput masuk, datuk, datin," suara datukku, Haji Ahmad, mempelawa Datuk Ramli dan Datin Suraya masuk, menyedarkan aku dari rasa terkejut ini.


Aku pergi ke dapur untuk membancuh air. Butir bicara mereka, tidak dapat kudengari. Tetapi, aku yakin, tentu ada sesuatu yang penting, yang sedang mereka bincangkan.


"Qalisya, kami datang ni atas permintaan Redza,"


Aku tatap wajah datin tanpa riak.


"Redza suruh kami meminang kamu untuk dia. Kalau kamu terima, datuk akan beli balik syarikat ayah kamu ni daripada Mukhlis, biar berapapun harga yang dia letak. Datuk akan lantik kamu sebagai seorang daripada ahli lembaga pengarah syarikat. Tapi, kamu terpaksalah hidup dengan Redza yang lumpuh, mungkin untuk seumur hidup,"


Aku terhenyak di kerusi. Bukan, bukan kerana aku tidak sanggup menerima Redza yang lumpuh tetapi kerana aku kesal dengan sikap ayahnya. Sanggup memperjudikan perasaan orang kerana harta dunia ini.


Oh Tuhan, apa yang harus aku lakukan? Tentu Redza menyangka aku menerima dirinya kerana harta. Kerana ingin menjadi ahli lembaga pengarah syarikat. Kerana masih ingin kekal bergelar anak orang kaya.


Aku? Sanggupkah hidup bersama orang yang tidak punya apa-apa perasaan kepadaku lagi? Mengapa Redza memilih aku untuk dikahwini? Apa yang dia hendak buktikan?


"Qalisya, janganlah pulak kamu perasan yang Redza masih sayangkan kamu. Dia nak kahwin dengan kamu sebab dia geram pada Maya. Dia nak buktikan pada budak tak sedar diri tu yang cacat-cacat dia pun, ada orang yang sudi terima biarpun perempuan tu cuma nak harta dia saja. Faham kamu?"


Kata-kata datin buat aku tergelak. Gelak macam orang kena histeria. Patut aku dah tahu tu! Patut aku dah boleh baca gerak hati Redza. Ya, aku patut dah boleh agak!


Haruskah aku menerima? Ataukah kuundur diri sahaja?? Apakah pilihan terbaik untukku?


4


"Cinta tak perlukan cagaran. Abang tak perlu guna cara macam ni untuk jadikan Sya isteri abang," jeritku kepada Redza sebaik sahaja aku menjejakkan kakiku ke dalam biliknya.


Redza sedang duduk di atas kerusi roda, menghadap ke luar, ke arah langit agaknya, kerana dari tempat dia berada, hanya itu yang kelihatan saat ini. Lainlah kalau aku rajin hendak tolong menolak kerusi roda itu ke luar balkoni. Pasti, pandangannya akan menjadi lebih luas daripada sekarang.


Redza memusingkan kerusi itu untuk melihat wajahku. "Abang tahu, tapi kalau tak buat begitu, kita tak dapat kahwin. Peluang dah ada depan mata. Abang hanya ambil kesempatan. Itu saja!"


Aku pandang wajahnya dalam rasa tidak percaya. Semakin aku hairan apabila mendengar Redza ketawa.


"Terkejut betul Sya, ya? Kenapa? Sya tak percaya? Tak yakin pada abang?" tanya dia bersungguh-sungguh, bagaikan dia tidak pernah curang padaku. Bagaikan dia tidak pernah mungkiri ikrar cinta kami. Tidak langsung ada riak bersalah pada air wajahnya.


"Kalau abang tak kemalangan, kalau abang tak lumpuh, kalau ayah Sya tak mati, apa jadi? Tentu sekarang, nama tunang abang ialah Maya Zahnita," aku mengingatkannya.


Redza tersenyum. "Jadi, bersyukurlah semua itu berlaku," balasnya.


Aku terpanar. Redzakah yang berkata begini? Sah! Sah, ada urat kepalanya yang sudah tercedera semasa kemalangan itu. Kalau tidak masakan dia suruh aku bersyukur. Ayah aku yang mati tu! Dia ni lupa atau buat-buat tak ingat, hah?


Melihat mukaku yang pasti sudah dilihat kelat olehnya, Redza memanggil lembut, "Sayang,"


"I'm not your wife, okay! Jangan nak sayang sayang!" marahku padanya.


"Not yet! Tapi, dua minggu lagi, Qalisya binti Datuk Akil akan sah jadi isteri Mohamad Redza bin Datuk Ramli. Impian dan harapan selama ini, akan tercapai. Biarpun Mohamad Redza belum mampu menjadi seorang suami yang sempurna untuk Qalisya, tapi Mohamad Redza yakin yang Qalisyanya akan bersama-sama, dalam susah dan senang, dalam gembira dan duka, dalam menempuh halangan dari keluarga, untuk membina istana impian mereka. Tak gitu, cik Qalisya?"


Aku tatap wajahnya. Ada kesungguhan dalam sinar mata. Ada senyuman terukir pada bibr, lambang bahagia. Tetapi kenapa aku masih was-was padanya? Kenapa sukar untuk aku percaya?


"Suatu perhubungan, asasnya ialah rasa percaya. Kalau Sya nak jadi isteri abang, pastikan abang tak nampak lagi renungan yang macam tu,"


Tiba-tiba sahaja suara Redza melantun kuat. Dia marah, ya, dia sedang marah akan aku. Katanya aku tak percaya dia. Argh, Redza! Dia memang bijak membaca apa sahaja yang terlintas dalam hatiku ini. Dia tahu bahawa antara kami, ada yang masih perlu aku ketahui tetapi dia mahu aku bongkarkan rahsia hati. Dia tidak akan memberitahu selagi aku tidak bertanya. Itu prinsipnya!


Okey, kalau aku hendak berkahwin dengan dia, di antara kami tidak boleh ada yang disorokkan. Tidak, dia. Tidak aku juga! Kami mesti berterus terang. Dua tahun aku dengan Redza berpisah, jadi, setia mungkin hilang. Cinta mungkin lupus. Tidak mustahil semua itu berlaku.


Aku duduk di sofa. Dia menolak kerusi rodanya sehingga berada betul-betul di hadapanku.


"Bila abang balik KL?" tanyaku.


"Dah tiga bulan,"


"Kenapa tak cari Sya?"


Redza jongket bahu. "Sebab kita dah berpisah,"


Adoii, pedihnya ayat!


"Lagi?" Redza tidak betah melihat aku berdiam diri.


"Abang buat apa di Genting dengan perempuan tu? Betul ke abang lamar dia? Kalau betul, kenapa lamar dengan cincin Sya? I was really mad when she showed that ring on TV,"


Tak sangka Redza boleh ketawa mendengar kataku itu. Lucu ke? Eeiii, geramnya aku! Dia tahu tak yang aku sudah menangis sampai sembab biji mata? Tidakkah kasihan?


"Abang mengaku, dia girlfriend abang, Sya."


Aku menahan sabar. Meskipun hati terluka, aku paksa diri untuk tidak melenting. Belum masanya lagi. Aku perlu mendengar penjelasannya.


"Abang tahu, Sya harap abang setia pada Sya macam mana Sya setia pada abang. Tapi, abang lelaki, Sya. Abang manusia, bukan malaikat,"


Aku tetap diam biarpun aku tahu bahawa Redza ingin memberi ruang untuk aku menyemburnya. Bila reaksiku negatif sahaja, dia menyambung, "Balik semula ke KL, ibu kenalkan Maya pada abang. Kata ibu, biar kami kenal-kenal dahulu. Abang beri ruang untuk hati abang menerima dia. Memang ada rasa bersalah pada Sya tapi,"


"Abang tak mahu lawan kehendak datin, kan?"


Redza menarik nafas dalam-dalam.


"Malam tu, abang pergi jemput dia di Genting selepas dia habis photoshoot. Abang yang drive. Entah macam mana, dia buka laci dashboard. Dia jumpa cincin Sya. Jenuh abang suruh dia letak balik tapi dia degil. Abang hilang sabar, abang berhenti tepi lebuhraya tu, abang tarik dia turun. Then, abang terus drive. Agaknya, sebab laju sangat di selekoh tu, terus abang hilang kawalan, terus masuk gaung, mujur tak mati. Mujur masih boleh tengok muka Sya lagi," desahnya.


"Kenapa marahkan dia? Itu cincin tunang abang. Dia berhak memakainya," sindirku.


Redza kembali serius. "Soalan bodoh apa ni? Cincin tu abang beli untuk Sya. Tentu Sya aje yang berhak memakainya. Sebab tu abang marah dia," Matanya melekat pada mukaku kini. Lama dia memandang. Akhirnya...


"Masa tu, masa dia cuba masukkan cincin tu kat jari dia, baru abang sedar yang bukan dia di hati. Hanya Qalisya! Maya boleh ambil cincin tu, boleh pakai, boleh tipu semua orang, cakap apa dia nak cakap. Tapi, yang abang pilih, bukan dia. Hanya Qalisya,"


Aku mencebik. "Lidah memang tak bertulang, kan? Sekarang ni, Sya rasa lidah abang tu dah jadi macam lidah biawak pulak. Atau abang cuma nak tagih simpati Sya aje? Dah lumpuh, tak boleh berjalan, baru nak ingat Sya? Kalau masa seronok, Sya jauh dari hati abang, kan?" sinis aku menyindirnya. Terasa hati kot? Biarlah! Aku sahajakah yang harus menahan rasa? Aku sahajakah yang harus bersedih, meratap, berhiba dengan semua penderitaan yang dia berikan selama ini?


"Adoiii!"


Sakitnya pipiku ini. Berair mataku! Sampai hati Redza mencubitku di situ!


"Adoii!"


Aku rasa nak menangis dah ni!


"Menangislah! Abang tak kisah! Kalau nak benci abang pun, bencilah! Janji, Sya jadi isteri abang,"


"Sya..."


Redza letak jari telunjuknya di bibirku. "Percayalah, abang sedih bila ayah Sya meninggal. Abang sedih sebab abang dah jadi macam ni dan tak mampu beri kekuatan pada Sya. Sebab itu, abang nak Sya terima tawaran ayah dengan ibu abang. Bila kita dah bersatu, dia orang akan tahu yang kita dah menang. Lepas ni, bila Sya sah jadi isteri abang, sama-sama, kita hadapi kerenah mereka. Sya tak sendiri lagi. Abang pun! Sya nampak tak? Sikap tamak ayah, dan ego ibu, akhirnya menyatukan kita. Ini yang kita hendak selama ni. Jangan lepaskan, Sya! Jangan!"


................

Aku turun anak tangga perlahan-lahan. Redza, kutinggalkan. Kulihat, Datin Suraya masih duduk di atas kerusinya tadi. Sebaik melihat kelibatku, bibir dijuihkan.


"Perempuan tamak, dah buat keputusan? Okey, kau tetap hendak kahwin dengan anak aku, kan? Sanggup tu, kahwin dengan orang kurang upaya semata-mata hendak kekal berlagak macam diri tu kayaaaa sangat! Tapi, dengar sini, Qalisya! Aku tak akan putus asa untuk mengubat dia. Dan, sebaik Redza pulih, aku akan pastikan talak kau jatuh!"


Kini aku mendepaninya. Memandang wajahnya yang penuh benci terhadapku.


"Jodoh saya dengan anak datin tu, bukan datuk atau datin yang menentukan, tapi... Allah! Sekejap atau lama, saya serahkan pada Dia. Apapun, terima kasih kerana akhirnya datin bersetuju menyatukan kami. Terima kasih kerana faham yang saya, Qalisya, bukan macam Maya. Saya cintakan Redza bukan masa dia kacak aje. Bukan masa dia tengah bergaya aje. Tapi, setiap masa, biarpun dia sudah tak berdaya. Cuma satu saya nak ingatkan, datin. Selama ni, saya diam aje dengan semua yang datin buat untuk pisahkan saya dengan Redza. Kenapa? Sebab kami tak ada apa-apa ikatan lagi. Tapi, bila kami dah kahwin nanti, saya akan pertahankan rumah tangga kami. Saya harap dan berdoa supaya Redza pun begitu."


Puas hatiku melihat senyumnya sirna. Ya, puas hatiku! tetapi...waduh! Bukan mudah hidupku nanti menjadi menantu yang dibenci.


Tuhan, semoga Engkau rahmati aku dan Redza. Semoga bahagia milik kami! Aminnn....


5


Hari ini, aku berasa sangat letih. Sudah sehari suntuk aku berkejar ke sana ke mari menghantar kek-kek yang dipesan oleh beberapa orang pelangganku. Mulalah rasa hendak marah dan menyumpah si Daud, pekerjaku yang juga budak 'despatch' untuk syarikat kecilku. Dia selalu benar cuti sejak beberapa hari ini. Tengoklah... kalau aku dah tak boleh menahan sabar, akan kusuruh dia mencari kerja lainlah, jawabnya! Habis, kalau dah tauke kedai pun kena buat benda-benda macam ni, aku gajikan dia untuk apa, kan?


Jalan pulak jammed. Hai, nampak gaya, tak tidur malam ni. Esok, ada dua tempahan yang perlu aku siapkan. Mak aii, penat macam ni! Baik aku singgah minum dahulu.


Kereta ku pandu memasuki tempat parkir Hotel Concorde. Aku bukannya memilih benar. Kebetulan, aku tadi berada di hadapan hotel ini, jadi, aku masuklah ke mari. Kalau aku sedang di hadapan kedai mamak, tetap aku masuk kedai mamak itu. Asalkan, aku dapat hilangkan dahaga, sudah...


Sedang aku menikmati air avocado yang kelat dan maung namun menjadi kesukaanku, mataku memerhati ke sekeliling. Biasalah, hiasan di hotel-hotel sentiasa ringkas tetapi menarik. Aku suka!


Bagaimanapun senyum di bibir ini hilang ketika aku melihat Datuk Ramli. Jantungku laju berdegup melihat gerangan yang sedang dia tepuk-tepuk bahunya itu. Mukhlis! Kenapa mereka berdua seronok sangat? Apakah MOU sudah ditandatangani? Apakah Datuk Ramli, ayah si Redza ni, sudah berjaya membeli syarikat ayahku yang ditipu oleh Mukhlis durjana itu?


Mereka menghampiriku. Aku tunduk agar kedua-duanya tidak perasan akan kehadiranku. Alhamdulillah, mereka mengambil tempat duduk di belakang aku. Bolehlah aku dengar perbualan mereka.


"Thank you, Mukhlis. Tanpa bantuan awak, saya tak boleh dapat syarikat si Alwi tu,"


Rasa hendak gugur jantungku mendengar. Apa maksudnya?


"Datuk bayar saya lebih daripada gaji bulanan saya. Datuk Alwi tu pulak kedekut sangat! Siapa tahan? Nasib dialah! Siapa suruh percaya sangat pada saya, kan?"


Mereka ketawa. Ketawakan ayahku yang bodoh, bukankah begitu? Tidak! Ayahku tidak bodoh. Silap dia hanya kerana terlalu mempercayai ular nan seekor ini.


"Dari dulu, dia ingat dia hebat tapi tengoklah! Aku beli saham bahagian dia pun, dia tak tahu! Tulah fasal! Percayakan orang luar! Anak sendiri, bukak kedai kek! Hahaha..."


Aku bangun. Aku sudah tidak tahan mendengar cemuhan mereka terhadap ayahku. Pandai? Bijak? Tidak, Datuk Ramli! Tidak! Kau menang sebab kau main kotor! Di sini, ayahku lebih baik daripada mereka berdua ni. Setahu aku, ayah tidak suka rasuah. Ayah tidak suka menganiaya orang. Ayahku berjaya kerana dia kuat berpegang pada prinsipnya!


Tiba-tiba hatiku dilanda kesayuan. Tiba-tiba timbul persoalan. Apakah Redza tahu akan perbuatan ayahnya? Apakah Redza menyedari perbuatan ayahnya selama ini?


Pantas aku menelefon Rahim.


"Rahim, kau kat mana?" tanyaku. Lupa pula hendak memberi salam.


"Aku di rumah Redza ni. Tengah pujuk Redza buat terapi. Kau nak cakap dengan dia ke?"


Aku matikan talian. Mujur kesesakan sudah berkurang. Kereta aku pecut menuju ke rumah Redza. Ada perhitungan yang perlu kubuat!


"Amboi, amboi! Dah tak sabar-sabar tunggu dua minggu lagi ke? Hari-hari datang sini macam tak ada muka lain dah!"


Ramah, kan... itulah Datin Suraya. Cara dia menyambut tetamu.


Pintu bilik Redza yang tertutup rapat kubuka dengan kasar. Dia sedang gelak sakan dengan Rahim ketika aku memasuki biliknya.


"Hai, sayang! Rindu abang ke ni? Hmm?" suaranya lembut menyapa telingaku.


"Beritahu satu perkara dengan Sya. Beritahu yang sebenar. No more lies!" Aku meminta dengan tegas.


Mata Redza mengecil. Dia memang pantang kalau aku tuduh dia menipu.


"Tadi, masa di Concorde, Shah Alam, Sya nampak ayah abang. Dengan Mukhlis," aku melatari wajah Redza. Seperti yang kujangka, dia kelihatan cemas.


"Dia orang bercakap tentang ayah Sya. Dia orang cakap ayah Sya bodoh sebab percayakan Mukhlis. Mukhlis cakap dia seronok kerja dengan ayah abang, Datuk Ramli. So, selama ni, Mukhlis tipu ayah Sya, dia buat semua yang dia buat atas perintah ayah abang. Tell me honestly.... abang tahu atau tidak? Jujurlah dengan Sya, apakah abang terlibat sama dalam merampas syarikat ayah Sya! Cakap! Cakap yang benar!!!"


"Sya, kau tak boleh,"


"Diam, Rahim! Aku tak cakap dengan kau. Aku hanya nak dengar suara Redza. Itu saja!" Aku marah Rahim. Kini pandanganku tertuntas semula pada Redza. "Ya atau tidak, bang? Cakap dengan Sya!!" jeritku.


"Masa abang tahu, semuanya dah terlambat, Sya!"


Aku menangis. Menangis kerana hatiku hancur mendengar pengakuannya. Dia tahu semua perbuatan ayahnya. Tapi, dia biarkan?


"Sya..." Redza menggerakkan kerusi rodanya untuk mendekatiku. Tapi, aku sudah tidak mahu didekatinya lagi. Aku tiba-tiba merasa jijik dengan keluarga ini. Dari ayah, ibu hinggalah kepada Redza sekali! Kebencian ini tidak mampu aku tahan!


"Ayah Sya mati sebab terkejut. Dia dapat stroke. Kenapa? Sebab dia ditipu Mukhlis! Maksudnya apa tu? Maksudnya, Mukhlis dah bunuh ayah Sya. Jadi, kalau Mukhlis, orang suruhan keluarga abang tu pembunuh, abang dengan keluarga abang ni apa? Apa, bang? Bukan pembunuh jugak ke? Hah? You anda your family killed my father. Dan, Sya tak akan sekali-kali maafkan kesalahan abang tu! Tak akan!"


Aku cepat-cepat berundur. Aku hendak turun. Aku hendak pergi dari situ.


"Sya, dengar dulu cakap Redza! Kau dah salah faham ni!"


Rahim... biasalah! Dia, sampai bila-bilapun akan tetap mempertahankan Redza. Bagi dirinya, Redza manusia paling baik pernah dia jumpa!


Aku gelengkan kepalaku. Hatiku sudah tidak mahu percaya. Kalau dia boleh mengkhianati cintaku, kalau dia boleh menduakan cintaku, tidak mustahil kalau dia mahu bersekongkol dengan ayahnya. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi? Masakan kalau bapaknya hantu, anaknya malaikat pula? Ada ke?


"Sya, beri peluang untuk abang jelaskan pada Sya.."


Aku berpaling. "Mahal benar mahar yang abang nak bagi Sya! Mas kahwin Sya, nyawa ayah Sya, bang! Mahalll sangat! Sya tak boleh terima! Maafkan, Sya!"


"Sya!! Tunggu!! Sya!!! Sya!!!"


Aku berlari meninggalkan dia. Berlari menuruni anak tangga. Aku tak endahkan laungannya. Aku matikan cintaku. Aku bunuh sayangku padanya. Dia tidak layak memiliki cinta, hati dan diriku ini!


"Syaaaa!!!"


Panggilan bersama bunyi benda jatuh menyebabkan aku memandang ke belakang. Yang aku nampak ketika itu, Redza dan kerusi rodanya seakan-akan melayang dari atas hinggap ke hujung bawah anak tangga.


Jeritan Rahim seiring dengan suara halus Datin Suraya, menyeru nama Redza.


Aku hanya mampu memandang sayu. Untuk kembali kepadanya, melihat keadaan dirinya, aku tidak sanggup. Aku nampak Redza panggungkan kepalanya, menghulurkan tangannya padaku. Matanya sayu memandang aku. Bibirnya menyebut namaku. Dia memanggilku agar aku hampir kepadanya.


Maafkan aku! Aku bukan lagi kekasihmu!


Aku meninggalkan dia dalam keadaan berlumuran darah. Dari kepalanya, dahinya.. entah... tapi aku nampak banyak darah keluar tadi. Biarlah! Semoga Allah menyelamatkannya.


"Sya, apa kau buat ni? Redza panggil kau tu!" Rahim cuba menarik tanganku. Dia ingin mengajakku melihat keadaan Redza.


Aku tepis tangannya. "Telefon ambulans, Im. Bawak dia ke hospital. Rawatlah dia! Dan, ingat! Tak payah cari aku lagi. Aku tak mahu dengar tentang dia lagi! Bagi aku, Redza dah mati!"


................

*Alhamdulillah, hari ini, Im kata, Redza dah berjalan lebih laju daripada semalam. Gigih betul dia, Sya. Dia benar-benar berusaha untuk pulih. Semoga Allah bersama-sama dengan dia!*


Aku padamkan SMS daripada Sunita. Sudah berbulan-bulan aku menerima khabar darinya namun semua SMS itu adalah tentang dia. Tentang Redza! Marahlah! Herdiklah! Atau merajuk! Sunita tak peduli langsung. Bagi dirinya, dia perlu 'update' hal Redza padaku.


"Qalisya,"


Aku berpaling tersenyum kepada ibuku. Wanita ini bukan lagi Datin Azwa yang angkuh, satu waktu dahulu. Jauh benar perubahannya sejak kematian ayahku.


"Mak dah makan? Asyik sibuk bakar kek sampai lupa nak lunch, kan? Macam Sya tak tahu," usikku sambil mendakap tubuhnya. Dia ibuku, kesayanganku yang sentiasa memujuk hati tatkala kesedihan lampau mengusik. Dia tidak pernah lupa menitip pesan agar aku buang jauh semua kemarahan. Tapi, salah dia jugak! Siapa suruh dia lahirkan aku yang memang degil ni?


"Apa khabar, Redza?"


Arghh, soalan yang aku tidak suka. Tidak untuk kudengari, tidak juga untuk aku jawab. Tapi, emak? Mesti hari-hari nak tanya soalan itu! Grrr....


"Mak yakin, dia berusaha keras untuk pulih sebab dia nak jumpa Sya. Dia nak jelaskan perkara sebenar," kata emak sebaik aku sampaikan apa yang Sunita tuliskan untukku tadi.


Aku selongkar laci. Aku selongkar beg duit. Semua yang ada atas meja, aku kaih-kaih. Untuk apa? Sebab aku hendak cari kapas buat menutup lubang telingaku. Senang! Tak payahlah aku dengar emak membebel tentang dia.


"Sya, semalam, masa mak pergi Tesco, mak bertembung dengan Datin Suraya. We talked,"


Bulat mataku memandang wajah emak yang sudahpun tersenyum melihat aku yang terkejut.


"Rasa macam tak percaya, kan? Tapi, mak tak bohong, Sya. Lama kami berbual sambil makan piza, tau!"


Aku juihkan bibir. "Eloklah tu! Dua musuh tradisi, yang berkelahi sebab cincin, sebab gelang, sebab suami siapa lebih hebat, dah tak ada benda nak gaduh. Maklumlah, yang sorang dah berubah seratus peratus," omelku.


Emakku ketawa.


Kalau dulu? Mahu tercabut gigi aku ni kena lempang!


"Bukan mak sorang saja yang dah berubah. Datin Suraya jugak!"


Aku terkejut? "Betul, mak?" tanyaku dengan mata yang bulat.


"Dia insaf sejak tengok Redza bertarung nyawa beberapa hari selepas jatuh tangga tu,"


Keterujaanku hilang. Malas mendengar lagi. Aku kemaskan meja. Cadangnya, aku ingin naik ke atas. Hendak masuk bilik dan... tidurlah kot! Rehatkan minda selama setengah jam setiap tengah hari, kan digalakkan oleh pakar-pakar kesihatan?


Biasalah manusia, kan? Hanya akan sedar sama ada sesudah dia kehilangan ataupun setelah dia ditimpa musibah. Selagi tidak begitu, selagi itulah dia lalai. Alhamdulillah, syukur, kalau datin itu tidak lagi menyombong diri.


"Dia kata, kalau lepas ni Redza berkeras nakkan Sya, dia.."


"Tak semestinya kalau dia dah berubah, Sya akan maafkan dan lupakan perbuatan suami dia. Atau, Redza. Ayah Sya bukan boleh hidup semula dengan perubahan sikap dia orang, mak!"


"Betul tu! Tapi, ajal maut ayah Sya, sama macam jodoh kita berdua jugak! Dah takdir, waktu itu, saat itu, ayah Sya mati. Kalau perbuatan ayah abang tak jadi penyebab kematiannya, ayah Sya tetap akan mati juga pada saat dan detik yang sama. Sebab kematian tak dicepatkan, tak juga dilambatkan walau sesaatpun! Dan, tentang kita. Sya tolak macam manapun, abang sentiasa berdoa pada Tuhan supaya kita dapat kahwin. Sya larilah! Sya tolak abang pergi jauh dari Sya, kalau jodoh Sya tu dah tertulis nama abang kat sebelah, Sya tetap akan jadi hak abang jugak!"


Aku memandang dia tidak berkelip. Rasa macam mimpi tetapi dia nyata ada di hadapanku. Sihat, segar bugar dan mata itu tajam merenung, tidak berkalih sedikitpun!


"Menuduh tanpa usul periksa! Itukah Qalisya abang? Hmm? Sampai tak ada ruang kemaafan dalam hati tu untuk dosa yang abang tak buat langsung? Siapa yang lebih kejam, abang atau Sya yang jatuhkan hukuman pada orang yang tak bersalah? Cakap! Abang cintakan Sya! Seorang lelaki yang benar-benar mencintai tak akan mahu walau sebesar kuman pun, bahaya pada kekasihnya. Tak akan sanggup melukakan!"


Anginku naik.


"Betul tu! Tapi itu kalau benar-benar sayang. Redza? Mohamad Redza? Hanya pura-pura!" Mataku berkaca. Cepat-cepat aku membelakanginya. Memandang emak yang sedang menggelengkan kepala padaku. Pasti emak tidak suka melihat kedegilanku.


"Jaga-jaga, Qalisya! Kadang-kadang kita tak tahu membezakan antara cinta dengan benci. Marah dengan sayang,"


Dia terlalu rapat denganku kini. Seram sejuk aku dibuatnya. Janganlah nak peluk aku depan emak! Mahu aku bersilat nanti!


"Mahar, mas kahwin Sya.... Satu hari, Sya akan dapatnya. Buat masa ini, cukuplah Sya tahu yang bukan nyawa Datuk Alwi menjadi cagarannya. Tak pernah! Ingat ini! Apa yang Datuk Ramli buat, dia buat! Tak ada kena mengena dengan abang! Abang harap, abang tak perlu ulangkan ini lagi!"


Dia pergi, meninggalkan aku terpinga-pinga. Antara percaya dengan tidak, berbolak balik hatiku.


Kini, ketenanganku diganggu lagi...


Benci! Benci!


6


"Ada orang tu nak jadi Puteri Gunung Ledang, kot! Mas kahwin dia hati nyamuklah, air mata anak daralah, jambatan emas...."


Aku ketawa mendengar sindiran Sunita itu. Geli benar hatiku. Aku nak hati nyamuk? Nak air mata anak dara? Hmm...


"Logiknya, apa yang puteri tu mintak memberitahu Sultan yang dia tak nak kahwin. Satu penolakan! Tapi, ada Sultan Mahmud tu faham? Tak... Sama macam abang Redza kau tu jugak. Tak reti-reti bahasa!" sinis aku mengenakan Sunita semula. Bukan aku tak tahu yang dia hendak mengenakan aku. Sengaja hendak menyakitkan hatiku ini!


"Acik, acik kena ajar anak acik ni supaya jadi seorang yang pemaaf! Jangan ingat cakap dia, perbuatan dia aje yang betul!" Sunita berkalih, menyerang ibuku pula. Hisy!


"Dah penat dah acik cakap, Ita. Tak mahunya dia faham. Tak mahu dengar. Dendam sangat dia dengan si Redza tu," balas ibuku.


"Yang salah, bapaknya. Tapi, anak yang jadi mangsa," Rahim mencelah.


Aku tersenyum sinis. "Bapak borek, anak rintik," tegasku.


"Macam mana kalau abang tinggalkan keluarga abang? Abang putuskan hubungan dengan mereka? Macam Macaulay Culkin, pelakon Home Alone tu? Itu ke yang Sya mahu?"


Dia duduk di sebelahku. Hari ini, wajahnya serius sahaja. Selalu, kalau dia datang, senyumnya meleret. Agaknya, ada masalah la tu!


Hai, Qalisya? Kata tak suka tapi, dia senyum, tak senyum, semua kau ambil tahu. Apa kes?


"Aku hairanlah dengan korang ni. Yang sorang, doktor. Yang sorang akauntan, yang sorang lagi pulak pemilik syarikat multi million. Tapi, pagi-pagi hari mesti nak datang ke sini. Buang masa, buang tenaga," gumamku. Soalan bodohnya tadi, kubiarkan sahaja. Malas melayan Redza.


Mereka ketawa. Serentak pula tu! Amboi, apa yang lucu?


"Kan aku dah cakap, Redza? Si Sya ni jiwa dia kacau. Otak dia tak fungsi betul-betul tu! Sampai lupa yang hari ni, hari cuti umum!"


Redza pandang aku, aku pandang dia. Aduhai, kenapa selalu macam ni? Bila aku tengok dia mesti dia tengok aku balik. Keraskan hati, Qalisya! Jangan terpedaya lagi! Jangan lupakan siapa diri dia tu!


Dadaku berdebar tetapi aku tetap berpaling darinya. Biar dia tahu yang aku rimas dengan situasi ini. Rimas aku dengan sikapnya yang tidak kenal erti putus asa.


"Nah! Ini bukti yang abang dah keluar daripada syarikat tu. Abang sekarang dah jadi penganggur terhormat. Cadangnya, abang nak mintak kerja kat kedai kek ni," Dia menoleh merenung ke arah ibuku yang tersenyum sedari tadi. "Ada kan, cik, kerja kosong? Jadi guard ke? Bodyguard ke?"


Mereka ketawa lagi. Arghh... tension aku!


Sebuah teksi tiba-tiba berhenti di hadapan kedaiku. Seorang wanita melangkah keluar. Dia memakai jubah warna hitam. dia berdiri tegak di sisi teksi itu menanti pemandunya mengeluarkan beg daripada bonet. Terkejut aku bila melihatnya seketika kemudian. Redza pun kelihatan terperanjat yang amat sangat.


"Ibu?" panggilnya lalu melangkah mendapatkan wanita itu, mengambil beg daripada tangan wanita itu dan kini, mereka berdua sedang memasuki kedai kek aku ini.


Wanita itu mendekatiku. Tak semena-mena, dia memeluk tubuhku. "Maafkan ibu. Maafkan ibu, Sya. Ibu dah sakitkan hati Sya selama ni. Ibu kejam pada Sya. Tapi, Tuhan dah balas perbuatan ibu, Sya. Dua kali, nyaris Redza tak mati. Ibu insaf bila tengok dia jatuh tangga tu. Insaf sangat bila tengok dia menangis masa Sya tinggalkan dia. Ibu menyesal, Sya. Menyesal sangat!"


Entah bila ibuku menghampiri. Dia sedang mengusapi belakang tubuh Datin Suraya. Bagaikan mereka dahulu tidak pernah bermusuhan, tingkahnya kini amat mesra terhadap wanita itu. Aku pula yang keliru. Apa yang mereka mahu sebenarnya?


"Ibu dengan Redza dah tinggalkan rumah besar tu. Malah, Redza pun dah tak kerja lagi dengan ayahnya. Kami sudah putuskan hubungan dengan dia. Lelaki tu dah ceraikan ibu kerana tidak mahu mendengar cakapnya," Datin Suraya memberitahu sambil menangis teresak-esak.


Aku terhenyak di kerusi semula. Kenapa? Kenapa mereka melakukan begini? Aku.... aku tidak perlukan pengorbanan sebegini. Tidak!


"Tu, tak lain rasa bersalah, kan? Sya! Qalisya!"


Aku mendongak menatap mukanya.


"Apa yang terjadi dalam keluarga abang, tak ada kena mengena dengan Sya!" Redza menegaskan.


"Tipu! Kalau sampai datin diceraikan? Kalau abang dah tinggalkan syarikat? Macam mana abang boleh cakap yang semua ni tak ada kaitan dengan Sya?" marahku.


Redza menarik nafas yang panjang sebelum membalas. "Kami tinggalkan ayah sebab kami tak mahu hidup dengan dia lagi. Kami tak suka cara dia mencari nafkah untuk keluarga. Selama ni, abang tutup mata pada semua perbuatan ayah. Tapi, bila Sya tuduh kami pembunuh, abang tahu, abang tak boleh lagi tahan dengan sikap ayah. Ibu pun sama. Sya, kami, abang dengan ibu, sedang mencari jalanNya! Kami tak mahu subahat lagi dengan ayah. Kata-kata Sya, marah Sya pada kami hanya membuka mata kami. Itu saja! Sya tidak bertanggungjawab dengan apa yang berlaku ni. Faham tak?"


"Tapi,"


"Sya, ibu tak mahu Sya salah faham dengan Redza lagi. Dengan ibu pun! Ibu mengaku, ibu jahat tapi ibu nak berubah, Sya. Ibu nak jadi ibu yang baik untuk anak ibu yang baik ni, si Redza ni!"


Sukalah tu! Senyum-senyum sampai ke telinga sebab ibunya memuji sesungguh hati. Macam nak promot dia pada aku pun ada. Haisyy!


"Cuma, abang nak mintak maaf. Abang tak dapat kembalikan harta Sya semula. Maklumlah, dah kena halau, kan? Sesenpun Datuk Ramli tak izinkan abang ambil. Antara kita berdua sekarang, Sya, Sya lagi kaya tau!"


Akhirnya, aku tergelak juga. Redza memang... Ada-ada sahaja cara hendak mengenakan aku.


Tiba-tiba Rahim menepuk bahu Redza. "Cepat lamar Sya, kawan! Sebelum dia ubah fikiran," katanya.


"Tak apa, Im. Acik rasa, Sya dah faham sekarang. Dendam tak bawak dia ke mana-mana. Dia dah tahu," ibuku mencelah pula.


Kalau sudah begini yang terjadi, mana mungkin aku menolak cinta Redza. Masakan aku hendak bermusuh dengan Datin Suraya lagi. Yang jahat, tu, si Datuk Ramli tu! Biarpun pertalian darah tidak putus namun aku bersyukur, bersyukur bahawa darah kotor Datuk Ramli tidak mengalir dalam tubuh Redza. Ya, dendamku sudah berbayar sebenarnya. Aku kehilangan ayah namun aku mendapat ibu yang sudah berubah sikap dan pendiriannya 100%.


Tetapi, Datuk Ramli? Dia sudah kehilangan dua insan yang penting di dalam hidupnya. Mungkin dia belum sedar. Mungkin dia alpa sekarang tetapi, satu waktu, aku yakin dia akan menyesali semua yang terjadi ini. Ya, dia pasti akan menyesalinya!


"Sya,"


Aku terpinga-pinga apabila Datin Suraya memanggil namaku. Redup sinar mata Redza terhadapku membuat aku berasa malu pula. Redza.... boleh tak kalau awak sembunyikan sikit perasaan awak tu? Malulah, awak! Nampak macam nak terkam saya aje... hmm.


Aku memberikan tumpuan kepada datin.


"Sya sudi kahwin dengan Redza?"


Erkk....


"Sya, datin tanya tu. Jawablah!" ibuku menggesa.


"Nak jawab apa, mak?"


......................

"Aku terima nikahnya, Qalisya binti Datuk Akil dengan mas kahwin senaskhah al Quran, tunai..."


Maharku.... senaskhah al Quran.


Kata Redza, hanya senaskhah al Quran mampu diberikannya kepadaku.


Kataku, Al Quran ada 30 juzuk, Ada 114 surah. Ada lebih kurang 6666 ayat. Apakah nilainya?


Kata Redza, kalam Allah... setiap satu huruf tidak ternilaikan. Kata Redza juga, maharku itu aku harus izinkan dia menumpang baca.


"Kenapa?" tanyaku.


"Sebab... sebab, mulai hari ini kita berkongsi segala-gala. Kan?"


"Hmm,"


Indah sungguh perasaan bila Redza membelaiku. Kalau inilah ganjarannya, aku tidak kisah berkongsi apa-apa pun dengannya. Tentu tidak!


"Sya, bila Sya cakap betapa mahal harga mahar abang bagi kat Sya dulu... ingat lagi? Sya cakap nyawa ayah Sya jadi mas kahwin Sya? Abang sedih sangat masa tu. Sedih tengok Sya yang terluka," bisik Redza kepadaku.


Aku hanya mampu meminta dia melupakan kata-kataku yang tidak berfikir itu.


Kata Redza,


Tuhan mengizinkan kita disakiti, agar esok kita tahu cara untuk mengubati orang yang terluka....Tuhan membuat kita menangis, agar esok kita mampu menghibur orang yang bersedih....

Tuhan menjadikan kita manusia dengan kelemahan dan kelebihan, agar kita sedar dan tahu bahawa dengan hanya BERDOA DAN BERUSAHA...

Tuhan akan menjadikan segalanya indah pada waktunya.

"Sya, hidup kita lepas ni tak boleh bengkok-bengkok lagi. Harus lurus dan kerananya, mahar itu menjadi panduan. Bukankah hidup insan yang mengaku dirinya Islam berpandukan Quran dan hadith Nabi SAW?"

Aku senyum, Redza juga senyum. Kami bahagia. Kini kami menemui jalan pulang. Biar dalam kemiskinan, biar tanpa harta menggunung tinggi, Allah sudah melengkapi segala. Alhamdulillah....


"Nak tahu satu perkara, Sya?"


Aku jongket kening.


"Ayah abang..."


Dahiku berkerut. "Kenapa?"


"Dia kahwin dengan Maya Zahnita,"


Pastilah ternganga mulutku mendengar. Surprise!!!


Redza mendekatiku, berbisik di telinga. "Tutup mulut tu, nanti abang...."


Akhir


Aku mengelus lembut tengkuknya. Tersenyum melihat dia yang enak memejamkan mata. Suka benar dia dengan rentak lembut tarian jari jemariku untuk menghilangkan lelahnya setelah sehari suntuk berkejar ke sana ke mari.


Aku tunduk mengucup dahinya, membiarkan rambutku yang panjang jatuh menutupi seluruh wajahnya.


"Hmm, wangi," bisiknya.


Cepat-cepat aku tegakkan tubuhku namun tak akan boleh aku larikan diri darinya yang gagah, pantas sahaja dia menarik aku agar jatuh atas ribaannya. Kami kemudian ketawa bersama-sama.


"Dah dekat tiga tahun kita kahwin, bang. Tak jemu ke dengan Sya ni?" sengaja aku memancing egonya sedangkan aku tahu benar akan jawapan yang bakal diberikannya padaku.


"Alhamdulillah, setakat ini, belum jemu lagi. Esok-esok tak tahulah pulak,"


Hmm, kan dah cakap? Itulah jawapan klise seorang Redza. Tak pernah berubah sejak 'day one' kami menikah lagi. Jawapan yang amat suka aku mendengarnya.


Hidup kami amat sederhana. Tidak ada kereta mewah menjalari anjung rumah juga di jalanraya, Rumah yang kami tinggal sekarang hanyalah sebuah rumah teres setingkat, tempat berteduh. Di dalam rumah ini dahulu aku membawa masuk ibuku dan besannya, ibu Redza, untuk tinggal bersama-sama. Namun, tahun lepas, ibuku meninggal dunia, pergi menyahut panggilan Ilahi.


Pun begitu, hidup kami tidak sunyi. Redza dan aku dikurniakan dua orang cahaya mata. Ahmad Daniel dan Ahmad Aiman yang lahir selang setahun. Ni, dalam perut aku ni, ada lagi benih cinta kami. Siti Umaira bakal lahir tiga bulan lagi.


Rasanya, hidup kami sudah lengkap kini. Tidaklah bahagia sepanjang masa. Ada masanya, aku kelahi juga dengan Redza, merajuk juga apabila dia melebihkan anak-anak mahupun ibunya tetapi Redza pandai memujukku. Pandai membeli hatiku.


"Sayang,"


Aku senyum dah... Aku tahu, kalau panggilannya bermula dengan sayang, itu bermakna dia ada perkara hendak minta tolong tu!


Aku tatap wajahnya. Serius benar pula dia hari ini. Runsing sangat nampaknya. Berat isu yang berlegar di dalam kepalanya kerana jari jemariku digenggam kemas.


"Kenapa ni? My Redza tak pernah macam ni. Apa yang ganggu fikiran abang?"


Redza tunduk. Lama dia tunduk, lepas tu bila dia panggung kepalanya, sepasang mata itu berkaca.


Risau hatiku. Kukucup sepasang matanya itu dan dengan lembut aku meminta dia memberitahu perkara yang membebani fikirannya.


"Ayah,"


Datuk Ramli la tu!


"Dia kena tangkap dengan polis,"


Kutekup mulutku. Terkejut benar mendengarnya.


"Dia bunuh Mukhlis,"


"Apa?" jeritku. Terkejut kali kedua.... Rasa hendak gugur jantungku ini. Membunuh? Makkk....


"Mukhlis was in bed with Maya. Ayah caught them red handed,"


"Astaghfirullahil'azim! Dari mana abang dapat berita ni?" tanyaku.


"Peguam ayah, encik Zamri datang ke kilang kek tadi. Dia cakap, sebelum satu Malaysia heboh, dia kena beritahu abang. Tak nak abang terkejut nanti,"


Terangguk-angguk kepalaku. "Maya? Apa jadi pada dia?"


"Dalam ICU!"


Bulat mataku. "Ayah tembak dia jugak?" tanyaku.


Redza gelengkan kepala. "Tak! Kata encik Zamri, waktu dia cuba rampas pistol dari tangan ayah, dia tertekan picu dan tertembak diri dia sendiri,"


Redza berdiri dan melangkah ke tepi tingkap. Dia merenung jauh dalam kelam malam. Satu keluhan keluar dari bibirnya.


Kasihan dia! Tentu hancur hatinya saat ini. Sedih tentu tidak terucap. Dan ibu? Apakah yang akan berlaku kalau ibu tahu?


Aku peluk tubuh suamiku daripada belakang, mengharap agar dia tenang menghadapi apa jua yang menanti di hadapannya.


"Ayah nak jumpa abang," ucap Redza sebaik dia memusingkan tubuhnya dan kini kami saling menghadap satu sama lain.


"Pagi-pagi esok kita pergi sama-sama,"


Redza pandang wajahku tidak berkelip. "Sya nak pergi sama? Tapi,"


Aku tersenyum, faham aku akan keresahannya. Dia takut aku maki Datuk Ramli kot? Atau, takut aku pulangkan paku buah keras?


"Abang dengan ibu masuklah jumpa dia. Sya tunggu kat luar sahaja," kutenteramkan hatinya.


Redza diam sahaja.


"Ibu dah tahu?" tanyaku.


"Kalau ibu tengok berita, tahulah kot!" balas Redza.


"Jom! Tak baik kalau ibu tahu dari berita. Abang kena sampaikan sendiri pada dia. Come!"


Datin Suraya tenang sahaja mendengar cerita anak lelakinya. Kala Redza mengajaknya pergi bersama-sama, dia menolak. "Ibu bukan isteri dia lagi. Ibu ni janda dia, Redza. Tapi, Redza kena pergi jenguk dia, tenangkan dia dan beri kata-kata semangat pada dia,"


Malangnya, Redza tidak sempat hendak berbakti kepada ayahnya. Di dalam tahanan, Datuk Ramli diserang sakit jantung. Dia meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. Maya Zahnita juga tidak dapat bertahan. Dia meninggal dunia juga akhirnya.


Sesungguhnya, dari Dia kita datang, kepadaNya kita kembali.


Harta yang banyak tidak menjamin kebahagiaan. Dan kini, Redza mewarisi semula semuanya.


"Kita sedekahkan semuanya, bu," kata Redza. Dia enggan menerima. Enggan menjawat jawatan CEO yang pernah disandang. Malah kedudukan ayahnya pun dia tidak mahu.


"Terserah kamu, Redza. Tapi, jangan lupa, sebahagian daripadanya, milik Qalisya. Kena tanya pendapat dia juga," kata ibu.


Aku hanya diam. Apabila difikirkan, sebenarnya bukan harta itu yang membutakan mata hati. Ramai sahaja orang-orang kaya yang baik-baik di luar sana. Yang menggunakan harta itu ke jalan Tuhan. Mungkin, kalau Redza yang mengendalikannya, dia juga akan melakukan kebaikan dengan harta benda itu semua. Namun, rasanya, terlalu banyak kisah sedih yang akan tersingkap sekiranya kami kembali kaya. Dan, aku tak mahu mengingat semua itu.


"Saya rasa, saya dah ada jawapannya, ibu,"


Kata-kata Redza mengejutkan aku.


"Kami berdua tak mahu balik ke kisah lampau tu, ibu. Jadi, biarlah. Let go! Kita semua teruskan hidup kita yang begini. Jual kek pun okey apa. Kan, sayang?"


Ibu ketawa mendengar kata-kata anak lelakinya. Aku? Tentulah lega. Menyesal? Tidak! Tentu tidak! Cukuplah apa yang ada ini. Hidup serba sedehana.


Kata orang, mahar yang Redza beri padaku terlalu bernilai. Benar, ia sangat-sangat bernilai. Quran, panduan hidup kami. Untuk kami menjadi ibu dan ayah, suami dan isteri, anak, yang patuh kepada syariah. Kami masih tercari-cari sinar cahayanya. Namun, selagi bernyawa, semoga Allah sentiasa bersama-sama dengan kami. Andai ada khilaf, kamilah insan yang masih lemah yang masih memerlukan bimbingan dan pertolonganNya. Doakan kami sentiasa, ya!


.......................

yang baik itu datangnya dari Allah.....

Ulasan

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…