apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

30.7.12

Inikah Cinta? 1

1

"Ouch!" 


Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.


"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.    


"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?" 


Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?


"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin dengan gadis lain yang lebih cantik macam yang selalu disebut-sebut dalam majalah. Maklumlah, dah pernah sandang gelaran The Most Eligible Bachelor of Malaysia, kan?"


Nada sedih itu kedengaran lagi. Sayu dan penuh kedukaan. 


Mak Nah tidak menyahut. Dibiarkan sahaja Janet melayan perasaan sendiri. Dia tahu, biarpun sudah lama peristiwa sedih itu berlaku, tidak sekali, pernah Janet melupakan lelaki yang bernama Syamrin Khusairi itu. Tidak pernah! Apatah lagi dengan kehadiran si comel Erin.


"Kenapalah hari ini saya teringat pada dia pulak, mak Nah! Hisy!" Janet menyeka air mata sambil tergelak kecil. "Perempuan bodoh! Saya patut bencikan dia, kan? Ni, nangis pulak,"


Mak Nah pantas mendakap tubuh Janet erat. Membiarkan gadis itu menangis di dalam dakapannya. A shoulder to cry on... itu yang selalu Janet katakan kepadanya. 


Selepas hampir lima minit, tangisan Janet pun reda. 


"Basah bahu mak Nah," ujarnya sambil mengusapi bahu wanita tua itu, satu-satunya insan yang ada untuknya sewaktu dia kesakitan, waktu dirinya keseorangan. Saat papa dan mama membuangnya, saat Syamrin Khusairi membencinya, dia masih ada wanita ini. Biarpun mereka berlainan agama, mak Nah masih sudi menerima dia seadanya. Budi dan jasa yang tidak terbalas sampai mati nanti. 


"Tak salah melayan rindu, Janet," bisik mak Nah.


Janet gelengkan kepala. "Salah! Kalau rindupun, agak-agaklah, mak Nah. Takkan nak rindu pada yang tak sudi," balasnya.


Mak Nah ketawa. Memang kalah kalau hendak berbalah dengan gadis cantik ini. Biarpun dia bukan Melayu namun Janet fasih benar apabila bercakap. Bahasa Melayunya lancar meniti bibir. Malah, dengan Erin, anaknya pun, Janet lebih suka bercakap dalam bahasa ini, bukan bahasa Mandarin, bahasa ibundanya sendiri. 


"Entah-entah, dia pun rindu pada Janet. Mana kita tahu, kan?" balas mak Nah dengan berhati-hati. Takut mengecilkan hati.


Janet tersenyum. "Dia? Dia benci saya, mak Nah. Dia percaya dengan apa yang dia nampak. Dia percaya dengan apa yang dia dengar dari mulut orang lain. Siapalah saya ni, mak Nah. Kata Syam, saya ni kaca. Gilap macam manapun, tak akan berkilat sebab kaca tetap kaca, tak ada nilai..." luahnya. 


Bukannya mak Nah tidak tahu kisah lampau itu cuma hari ini, entah kenapa memori silam itu kembali menghiasi ingatannya. Peristiwa yang sengaja ditutup rapat, entah mengapa menjenguk-jenguk kotak fikiran.    


"Hubungan kami memang tengah hambar masa tu. Dia marah sebab saya mengandung. Yalah, tujuan dia jadikan saya perempuan simpanan pun, bukan untuk mengandung tapi untuk ditayang-tayang ketika kami ke majlis-majlis sosial. Maklumlah, orang selalu akan puji dia macam-macam... sukalah! Dia suruh saya gugurkan, saya degil, tak mahu. Nak kahwin dengan saya? Lagilah mustahil!"


"Mustahil?" celah mak Nah. "Kenapa pulak? Kan Janet boleh peluk Islam?" 


Janet ketawa. "Bukan sebab itulah, mak Nah. Dia memang tak ada niat nak kahwin dengan saya. Saya ni mainan dia aje..." balasnya. 


Mak Nah mengucap panjang. Jauh benar terpesong pegangan agama seorang Syamrin Khusairi. Jauh... Hidup bergelumang dosa. Jauh... hidup tidak mengenal erti halal dan haram. Jauh.... dari Allah. 


"Saya rela korbankan semua demi dia sebab saya sayang dia. Saya cintakan dia. Tapi, dia? Sikitpun tak ada apa-apa untuk saya walau sebesar kuman pun. Sebab itu, bila mak dia datang ke rumah kami, tunjuk gambar saya sedang tidur entah dengan siapapun, saya tak kenal, terus dia percaya. Terus dia halau saya. Terus cakap, 'Don't let me see your face again, I hate you!' "


Mak Nah peluk tubuh yang sedang bergoncang itu kembali. "Patutlah Janet nak bunuh diri..." Ingatan melayang kepada kejadian di Hotel Dynasty. Waktu itu, dia bekerja mencuci bilik hotel. Mak Nah masuk ke dalam bilik penginapan Janet kerana menyangka tidak ada orang di dalamnya. Rupa-rupanya, Janet sedang duduk dalam keadaan menggeletar di atas katil dengan tapak tangannya dipenuhi dengan ubat tidur.   


Janet mengangguk. "Saya bodoh betul, kan? Hanya kerana seorang lelaki... Mujur mak Nah tahan saya, tegah saya daripada menelan semua pil tidur tu. Terima kasih, mak Nah,"


"Terima kasih pada Janet juga," balas mak Nah.


"Saya? Kenapa?"


"Sebab Janet. mak Nah dapat tinggal dalam kondominium mewah ni. Tentulah mak Nah bersyukur sangat, nak," mesra mak Nah menjawab soalannya. 


Janet ketawa besar. "Mak Nah ni, ada-ada aje la!" 


"Ya Allah, Janet! Dah pukul dua belas. Cucu mak Nah nak sampai dah. Lauk kesukaan dia mak Nah belum masak lagi ni," Mak Nah bergegas ke singki.


Janet tersenyum. "Erin demand lagi, ya? Lauk kesukaan dia kan banyak? Hari ini dia nak makan apa pulak?" tanya dia. 


"Alah, ikan siakap kukus yang bubuh segala macam buah asam tu," 


"Oh, itu! Bukan setakat Erin yang suka, mak Erin pun nak rasa juga," ucap Janet sambil membayangkan ikan kukus yang mak Nah taruh lemon, asam boi, hirisan nipis halia muda, jus plum... sedap!!


Melihat muka jam, dahi Janet berkerut sedikit. Sudah agak lewat daripada biasa. Selalu, pukul 12, Erin sudah sampai ke rumah. Hari ini... dah 12.30 tengah hari. Ke mana pula perginya? 


"Nak telefon Zaleha kejaplah, mak Nah. Kenapa diorang tak sampai-sampai lagi ni?" 


Zaleha ialah pengasuh Erin. Ke mana Erin pergi, Zaleha pasti ikut. Gadis itu ialah adik angkatnya juga. Zaleha, anak gadis yang berusia 17 tahun, enam tahun dahulu, ditemui di sebuah rumah anak yatim. Kerana mereka ada 'chemistry' , Janet membuat keputusan untuk membawa Zaleha tinggal bersama-sama dengannya. 


Elok sahaja hendak mencapai telefon bimbit, loceng pintu kedengaran. Bergegas Janet ke pintu utama. Sengaja hendak menyergah Zaleha. Seronok kan kalau sekali sekala dapat main-mainkan adik angkatnya itu?


"Leha!!" 


Dia dengar suara Zaleha menjerit tetapi bukan di hadapannya. Gadis itu sedang bersembunyi di sebalik sekujur tubuh tegap yang kini mendepaninya.  


"Mummy," 


Baru perasankan Erin yang sedang diturunkan oleh tuan punya badan itu. Janet tetap tidak peduli. Sejak berpisah dengan Syamrin Khusairi, minatnya terhadap kaum lelaki musnah dan hilang sama sekali. Jadi, tumpuannya hanya untuk anaknya yang sudahpun memaut lengan Janet. 


"Mummy, tadi kan, masa kita orang jalan nak balik, ada orang naik motor tu, dia tarik beg kak Leha. Kak Leha jerit kuat-kuat..."


Zaleha menyambung. "Nasib baik abang ni ada, kak Jen. Abang ni telefon polis. Dia bawak Leha pergi balai buat laporan. Lepas tu, dia sudi hantar Leha dengan Erin balik. Terima kasih, bang,"


"Sama-sama,"


Janet mendongak demi mendengar suara itu. Saat mata bertentang, hati yang lama mati dirasakan hidup semula. Degupan jantung yang selama ini biasa-biasa sahaja kini amat laju jadinya. 


"So, this is where you have been hiding from me," 


Sinis sahaja kedengaran bunyi suara garau itu. 


"Leha, bawak Erin masuk," perintah Janet dalam suara bergetar.


"Tapi..." 


"Masuk! Nanti akak nak cakap sikit dengan kamu! Pandai-pandai aje mintak tolong dengan strangers! Masuk, sekarang!" 


Bulat mata Erin memandang wajah mummynya. Tidak pernah dia melihat mummynya garang begini. "Mummy!" panggilnya. 


Janet bertinggung. Pipi si comel dielus manja. "Erin masuk dulu. Nenek masak best hari ini. Pergi tengok!" suruhnya. 


Anak kecil itu melonjak riang. "Yeay!!" jeritnya, melontar flying kiss ke arah Syamrin Khusairi yang sudahpun tersenyum melihat gelagatnya. 


"Terima kasih untuk apa yang awak dah buat tadi. Bye," Janet berpaling. Dia hendak menutup pintu. Hendak menganggap bahawa semua ini hanya mimpi... Mengharap, pertemuan dengan Syamrin Khusairi ini tidak benar-benar terjadi. 


"Love me or hate me, both are in my favor… If you love me, I'll always be in your heart… If you hate me, I'll always be in your mind. Yang mana satu untuk aku, Jen?" 


Terkaku Janet jadinya. Soalan itu menjerat dirinya sendiri. Ayat-ayat cinta hasil tulisan Shakespeare itu adalah ungkapan kegemarannya setiap kali bergurau dengan Syamrin Khusairi dahulu. Kini, Syamrin Khusairi bertanya kepadanya tentang itu? 


Janet berpaling. Kali ini, dia memberanikan diri untuk menatap seraut wajah itu. Masih tampan, masih bergaya, masih mampu mengganggu gugat perasaannya ini. Namun, dia tidak mahu lagi pada kenangan lampau yang menyakitkan itu. Dia tidak mahu mengulanginya. 


"Enam tahun dulu, siapa yang campak siapa keluar dari rumah mewahnya? Enam tahun dulu, siapa yang cakap tak mahu tengok muka saya lagi? Siapa?"


Wajah Syamrin Khusairi berubah mendengar soalan-soalan itu. Hatinya pedih mendengar kepahitan yang terlontar dalam nada suara penuh amarah Janet kepadanya. Kalau dia di tempat Janet pun, dia amat yakin, dia juga akan membenci seorang Syamrin Khusairi yang bertindak mengikut hawa nafsu dan gelodak cemburu yang menggila, enam tahun dahulu. 


"So, you hate me? Patutlah aku tak pernah dapat lupakan kau sebab kau sentiasa ada dalam fikiran. You are always on my mind. Patutlah! Kau dah sumpah aku dengan ungkapan Shakespeare tu, Jen," ucap Syamrin Khusairi lembut dan perlahan. 


Lama Janet merenung wajah lelaki itu. Cuba memahami lafaz kalimah tadi. Untuk apa? Kenapa? Apa maksudnya? Namun tidak dia temui. 


"Saya nak tutup pintu. Serapat mana pintu ini tertutup, serapat itulah pintu hati saya terkunci mati. Jangan nak bagi ayat-ayat cinta awak tu hanya dalam tempoh seminit dua selepas kita jumpa semula. Sebab, kesakitan yang awak bagi pada saya enam tahun dulu belum terampun!" 


Syamrin Khusairi menatap daun pintu yang kini tertutup rapat. Sepasang matanya berkaca. Sebuah penyesalan sedang bersarang di dalam dada. 


"Maafkan aku, Janet. Maafkan aku!" bisiknya perlahan sebelum melangkah pergi. 


..........................
mudahnya lelaki? perlukah janet memberi pengertian? harap anda suka cerpen ini..

24 ulasan:

  1. Episod pertama je dh sedih.. :(
    Hrp2 janet dpt hhidayah nnti...
    Xpyh la org cm syamrin tu.. Akai kat lutut ;p

    BalasPadam
    Balasan
    1. jgn marah pd syamrin hehe.. tu la hero kak sofi, k..

      Padam
    2. Xmarah aihhh... Geram skiitttttt ja ;)

      Padam
  2. Mungkin cerita ini mengisahkan kesilapan masa lampau, kemaafan, taubat... Saya suka, cerita2 mcm ni.,, dapat menginsafi diri...
    Apapun setiap manusia berhak diberi peluag kedua..

    BalasPadam
    Balasan
    1. insyaallah, begitulah cadangnya

      Padam
    2. bagusla citer ni kak sofi..
      suka watak janet...angkat martabat cleaner jadi pembantu rumah@peneman
      ambil si zaleha jadi pengasuh anaknya...great..
      semoga janet dapat hidayah..
      two thumbs up 4 u lah cikgu...:)

      Padam
  3. oh..like2 la kak sofi...
    kesiannya janet..
    hrp2 mereka berdua dpt bersatu..
    smbung kak sofi..nice...

    BalasPadam
  4. kak, permulaan yg terus buat saya jatuh cinta. menanti-nanti sambungannya....

    BalasPadam
    Balasan
    1. thanx, sambungan biasanya pagi2 lps subuh akan msk, k..tunggu

      Padam
  5. sedap name pakwe tu..hehe..best la cikgu sofie..sambung lg, tp jangan pjg2 sgt..x sabo ni..

    BalasPadam
    Balasan
    1. thanx cikgu lizz akan dsambung nnt

      Padam
  6. Mak ai, awal2 lagi dh sedih ni. Huhu. Mesti panjang gak sejarah diorang ni.

    BalasPadam
    Balasan
    1. biasalah kisah cinta yg ada suka duka

      Padam
  7. I LIKE!!!

    1st episode dh besh..
    sambung pls kak sofi..

    BalasPadam
  8. mmg ptut janet bt mcm 2...
    bg pngjrn kat llki 2...
    suka2x...

    BalasPadam
  9. xperlu jen terima balik syam.. Lelaki yg paling teruk sngp suruh gugur kan kandungan..

    BalasPadam
    Balasan
    1. masa tu iblis menguasai dirinya..

      Padam
  10. sian janet..hope syamrin berubah la after 6yrs..

    BalasPadam
  11. SEDIH NIE KAK SOFI..HEHEEHE SYAMRIN....

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.