apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

05 July 2012

Cinta si Kasanova - edisi cerpen

14 comments :
1

Sepasang mata tajam merenung suami yang begitu asyik menghadap cermin rias. Suami yang sudah menikahinya hampir tiga bulan. Suami yang bernama Rayyan Amzar. Suami yang langsung tidak menyedari perlakuannya ini malah sememangnya tidak pernah menyedari kehadiran dirinya sepanjang perkahwinan mereka. 

Melihat Rayyan bersiap-siap, Fifi Adriana tahu bahawa, malam ini, lelaki itu ingin keluar lagi. Seperti selalu! Silap besarlah Datin Amira menganggap bahawa perkahwinan antara dirinya dengan Rayyan akan merantai kaki lelaki itu di rumah. Jauh, jauh terpesong andaian itu. Langkah kakinya tetap memilih untuk ke 'sana' juga. Berpeleseran, bermesraan dengan yang haram sedangkan dia yang halal ini, dipandang sepi. 

"Fifi, kalau Rayyan tak setuju, mak cik tak akan pinang kamu. Jangan risau. Dia memang nakkan kamu. Kamu pilihan dia!" 

Masih teringat kata-kata ibu mentuanya sewaktu melamar dirinya dahulu. Bodoh betul dia kerana percaya. Takkan Rayyan mahukan dirinya? Patut dia dah tahu. Tapi itulah! Dia tidak sanggup menghampakan kehendak wanita yang amat menyayangi dirinya. Wanita yang begitu banyak menabur jasa kepadanya. Yang mengangkat martabat dirinya bagaikan anak sendiri meskipun dia hanya anak orang gaji. Masakan dia hendak membuat Datin Amira bersedih pada hal nama yang dia pakai ini, Fifi Adriana, ialah nama yang diberi oleh wanita itu.

Sepanjang meniti usia remaja, dia jarang berada di rumah besar milik Datin Amira dan Datuk Faizul. Jadi, dia dengan Rayyan jarang bertembung. Dia memang tidak suka kepada lelaki itu sejak dia kecil lagi sebab itu dia sentiasa mengelaknya. Kalau ditakdirkan dia balik untuk menjenguk ibunya yang menetap di salah sebuah bilik di situ, Fifi akan pastikan dia dan lelaki itu tidak berjumpa. Alah, bukan susah! Dia sudah hafal benar rutin hidup Rayyan. Malam jadi burung hantu. Kalau di rumah, lelaki itu hanya akan terjaga ketika mentari sudah tegak di atas kepala. Jadi, waktu itu, dia akan bersembunyi agar kehadirannya tidak mengganggu lelaki itu.

"Fifi dah ada kekasih?" 

Kalau dia tahu ini nasib yang bakal diterima, baik dia angguk sahaja dulu. Kalau dia angguk dan mengaku, tentu hidupnya bebas sekarang. Tidak dibelenggu oleh tali perkahwinan yang entah apa-apa ini. Tapi, sebab dia bodoh, naif sangat, padanlah muka dia sekarang. Orang tu, peduli pun tidak pada dia. Argh, benci!

"Okey, aku nak pergi dah. Tak payah tunggu aku balik." 

Suara Rayyan mengejutkan Fifi. Fifi segera bangun. Ingin mengejar lelaki itu. Mujur sempat! "Awak, kejap!" panggilnya. 

Rayyan menoleh. Mata tajam memandang Fifi. "Nak apa?" tanya dia kasar. 

Fifi hulurkan tangannya. "Nak salam tangan awak. Nak mintak maaf dengan awak," jawabnya. 

Rayyan ketawa. "Helo, aku bukannya nak pergi mati, yang kau nak mintak maaf, mintak ampun segala," sindirnya. Namun tangan dihulurkan juga. Bukan senang nak sentuh Fifi Adriana, fikirnya. Takut sangat dengan dia, macam diri dia ni ada penyakit berjangkit dibuatnya. Sebab itu, dia malas nak mesra-mesra. Boring dengan batang kayu ni!

"Saya nak mintak maaf dengan awak. Kalau nanti ada yang awak naik angin dengan saya, saya dah terlepas dosa tu sebab saya dah mintak maaf. Jangan pulak nanti awak kutuk saya macam-macam. Tapi, kalau awak nak benci saya jugak, saya tak boleh nak kata apa." Fifi lancar berkata-kata. 

Rayyan tersenyum. "Ayat tu macam ayat nak lari dari rumah aje, Fifi." Sinisnya. 

Spontan Fifi menatap raut tampan itu. Hati jadi cemas. Tekak jadi kering. Macam tau-tau aje?

"Kalau kau tak puas hati dengan aku, kita bincang. Batalkan niat kau nak tinggalkan aku. Kau dah merelakan diri kau kahwin dengan aku, kan? Kau dah tahu siapa aku. Jadi, kenapa nak lari? Kau menyesal ke? Dah terlambat!" Rayyan atur satu-satu ayat agar Fifi jelas dengan maksud tersembunyi. Bahawa dia tidak suka pada perpisahan. Jangan berani-berani Fifi hendak tinggalkan dia. 

Kalau aku pergi, kau kisah ke? Peduli ke? Kenapa? Kau nak menangis? Tapi, kenapa pulak? Kau dah cakap yang kau kahwin dengan aku sebab mak kau suruh kita kahwin. Semua cerita mak kau pada aku dulu, kau cakap, semua tu bohong belaka. Kau sayang hidup kau. Kau sayang kebebasan kau. Kenapa kau nak halang aku pergi? Fifi bermonolog sendiri.

"Eh, Fifi? Kau dengar tak cakap aku ni? Kita mungkin suami isteri atas kertas saja tapi kita tetap suami isteri. Tempat kau, di sisi aku. Faham?" Suara sudah mula tinggi 'pitching'nya apabila dilihat Fifi Adriana bagaikan orang mamai waktu ini. Isterinya seperti sedang berfikir dengan amat mendalam. Risaulah pulak rasa hatinya.
     
Fifi terus tolak tubuh Rayyan keluar. "Kawan-kawan awak dah lama tunggu. Baik awak pergi sekarang," ujarnya. Bagus sangatlah tu! Bukan mengajak suami ke arah kebaikan, malah Rayyan ditolak untuk keluar, ke disco atau kelab untuk 'clubbing'. Hmm, memang isteri 'mithali' nih! Diri dimarahi. 

Lama baru Fifi mendengar enjin kereta dihidupkan dan kemudian meluncur laju meninggalkan pekarangan rumah berkembar milik lelaki itu. Bila rasa pasti yang Rayyan sudah tiada, dia terus mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket baju kurungnya. Segera nombor yang satu itu didail. 

"Mia, kau dengan Lili dekat mana? Cepatlah datang. Dia dah keluar dah!" 

"Okey, roger!! Kau tu pulak cepat-cepat sikit, ya! Kita orang sampai aje, terus blah, tau!" suara di hujung talian membalas. 

"Yalah! Aku nak naik ambil beg aku sekarang," balasnya lantas berlari menaiki anak tangga untuk masuk ke dalam bilik. Terus menungging ambil beg pakaian di bawah katil yang sudah siap dikemaskannya beberapa hari sudah. 

Tiba-tiba rasa sayu pula. Mahunya tidak? Walaupun seperti kata Rayyan, mereka berdua hanya pasangan suami isteri pada nama sahaja, tetapi dia sudah menjalankan tugas-tugasnya dengan baik. Dia memang tukang masak yang sedap sebab Rayyan suka makan nasi sampai dua tiga pinggan. Dia memang berjaya mengemas rumah dengan bersihnya sebab lelaki itu tidak pernah merungut soal-soal kebersihan. 

Habis tu, kenapa hendak pergi juga? 

Dia mahu mengajar erti rindu pada lelaki itu. Dia hendak mengajar erti setia. Pelarian ini bukan noktah perhubungan mereka. Malah ia adalah permulaan. Permulaan dalam usaha memiliki cinta Rayyan. Permulaan dalam usaha memiliki cinta si Kasanova!!

2

Hari pertama tanpa Fifi di sisi

Rayyan mencelikkan mata sebaik telinga menangkap bunyi deringan telefon bimbitnya. Sebelah tangan mencapai telefon itu, sementara sebelah tangan lagi memicit kepala yang berdenyut-denyut. Fikiran masih belum berfungsi dengan baik. Misalnya, dia masih belum dapat mencerna mengapa dia tidur di ruang tamu. Juga, tidak tahu mengapa pening benar kepala dia sekarang. Namun sebaik melihat nama yang tertera di skrin, terus celik bijik mata. 

"Fifi, di mana kau? Kau tahu tak yang aku ni risaukan kau sangat-sangat? Apa dah jadi?" 

Fifi menjauhkan telefon itu daripada telinga kanannya. Takut pekak bila suara nyaring itu memekik-mekik. Garang juga suaminya ini. Selama ini dia tidak pernah tahu yang Rayyan seorang yang kuat merampus. 

Apabila suara itu hilang, Fifi terus bersuara, "Awak dah jaga, ya? Alhamdulillah. Nanti, lepas ni, pergi mandi. Lepas tu, solat. Lepas tu bersiap ke pejabat. Baju, seluar, tali leher... semua-semua dah saya siap sediakan kat dalam almari. Di tepi almari tu, ada saya tulis nota. Bacalah. Lepas tu, turun. Masuk ke dapur. Air oren dah ada dalam peti ais, tinggal nak tuang dalam gelas aje. Roti Gardenia saya dah letak kat atas meja. Maaf, hari ini saya tak ada nak tolong sapukan jem. Jadi, awak buat sendiri, ya,"  

Lama dia menunggu respon daripada Rayyan akhirnya....

"Kau memang dah rancang semua ni? Kau memang nak tinggalkan aku, kan? Kau lupa apa aku cakap semalam?" Suara Rayyan nyaring semula. Geram dia dengan Fifi. Rasa macam nak cekik-cekik. 

Waktu dia pulang sekitar jam tiga pagi tadi, dia terus naik ke bilik. Selalunya, ada alunan muzik instrumental yang dapat didengar. Tiupan saksafon oleh Kenny G sering berkumandang perlahan. Tetapi, tadi, senyap sunyi. Dia ingatkan Fifi sengaja tidak mahu mendengar. Tetapi, sebaik lampu terpasang dia terkejut besar kerana Fifi tidak ada di atas katil. 

Puas mencari di setiap sudut rumah mereka, Rayyan memandu keluar. Dia terus menuju ke rumah keluarganya. Namun, dia tidak jadi singgah bila melihat rumah itu gelap. Hatinya kuat mengatakan Fifi tiada di situ. Dia balik semula ke rumah. Dan, sudahnya dia terlelap di sofa. 

"Awak, saya mintak maaf. Tapi, saya kena jauh dari awak buat sementara,"

Langkah kaki terhenti. Terpaku Rayyan berdiri di anak tangga ke lima. "Apa? Apa maksud kau, Fifi?"

"Awak, saya tahu, lari macam ni tak selesaikan masalah tapi, saya pergi jugak sebab saya kena fikirkan diri saya. Saya tahu, apa saya buat ni, salah. Cuma, buat sementara, saya harapkan awak faham saya," 

Dahi Rayyan berkerut. Sukar untuk dia faham hati perempuan. Sudahlah tidak romantik, langsung tidak tahu macam mana cara hendak memikat hati suami. Hampir bisu pulak tu! Dan kini, dia pergi dengan alasan hendak fikirkan diri dia. Apa yang perlu difikirkan? Kenapa baru sekarang hendak fikir itu ini? 

"Rayyan, bagi saya masa, ya! Sumpah, saya tak niat lain. Saya cuma nak baiki diri saya sahaja. Saya janji saya jaga maruah sebab maruah saya ialah maruah awak. Dah, saya nak chao dulu, jaga diri, ya!"

Belum sempat Rayyan hendak membalas, Fifi sudah memutuskan hubungan. Termangu dia seketika. Namun SMS yang masuk menyebabkan dia mengatur langkah lebih laju untuk mengemaskan diri. 

*Jangan menung kat atas tangga tu! Cepat-cepat bersiap. Nanti lambat pulak!*

'Hisy, minah ni! Macam mana dia tahu aku ada kat atas tangga?'

Rayyan pergi ke pejabat seperti biasa. Sampai sahaja terus sakit perut. Masakan tidak! Dia hanya minum air perahan oren sahaja, tidak sempat hendak sapu jem atas roti kot! Jadi, waktu ini, marahnya pada Fifi sudah tidak terkata. 

Pukul satu tengah hari, sebaik habis mesyuarat, Datuk Faizul bersuara, "Helo CEO, selalu kalut aje nak balik makan tengah hari di rumah. Hari ini kenapa nampak tak semangat pulak? Fifi mogok tak nak masak ke?"

Soalan si bapa yang mencengkam perasaan. Hendak sahaja dia beritahu..... 'Bukan mogok lagi dah, papa. Dah lari budak tu dah. Ke mana pun tak tahu la,' namun, kalau bocor rahsia tu, habislah dia! Mesti kena amuk punya! Jadi, lebih baik zip mulut rapat-rapat. Tetapi, betulkah begitu? Betulkah yang selama sudah berkahwin, dia seronok sangat hendak balik makan tengah hari di rumah?  

Pening lagi.....

SMS daripada Fifi diterima. Dahi berkerut sudah. 

*Saya dah siap masak untuk awak. Baliklah makan!*

Tiba-tiba Rayyan senyum. "Hmm, kau dah balik ke rumah, ya? Nanti kau! Lepas makan ni, aku nak lecture kau cukup-cukup!" 

Dahi si ayah pula yang berkerut sekarang. Hairan dengan sikap Rayyan. Soalannya tidak disahut dan sekarang menonong sahaja pemuda itu berjalan menghala ke lif. Namun kemudian, dia tersenyum nipis. Baru teringat bahawa anaknya itu masih di dalam mood berbulan madu. Baru tiga bulan kahwin, kan?

Mata melingas mencari kelibat Fifi Adriana, tetapi hampa. Dia berlari naik ke atas, kot-kotlah Fifi main sorok-sorok dengan dia? Tak ada. Rayyan mengeluh. Melangkah longlai ke arah ruang makan. Matanya mengecil melihat hidangan di atas meja. Lauk-lauk yang elok terhidang di dalam mangkuk dan piring serta nasi, semuanya sudah siap untuk dia. Dia hanya perlu membuka plastik dan wallah... boleh terus suap. Entah mengapa, hati rasa kosong. Selalu, si isteri akan jiruskan air basuh tangannya tetapi hari ini?

Tidak lalu hendak makan. Nak habiskan sepinggan, sorang-sorang? Entah mengapa, dia terbayang Fifi pula. Senyumnya, keriuhannya bersembang entah apa-apa....

"Awak nak ratah ikan sweet sour ni? Makanlah!" Dia sambut huluran itu dan meratah sampai tinggal tulang ikan itu sahaja. Hari ini? Masakan Fifi tidak kurang sedap tetapi, ingatannya membuat perut jadi sebu. Namun dia paksakan diri menghabiskan tiap butir nasi di dalam pinggan sebab dia tahu, Fifi tidak suka kalau dia biarkan nasi bertaburan. 'Rezeki tu! Tahu tak, orang Somalia kurus kering tak makan, awak!'  

Fifi menggelengkan kepala melihat lauk yang tidak bertutup di atas meja. Rayyan, Rayyan! Memanglah! Hendak angkat pinggan sebiji ke singki pun susah. Cepat-cepat dikemaskan meja. Dia cuma ada masa selama dua jam sebelum lelaki itu balik ke rumah. Tadi, 'spy' nya beritahu bahawa muka Rayyan masam sahaja ketika masuk semula ke pejabat. Siapa 'spy' dia? Siapa lagi, Mia la! Mia, kawan baik sewaktu di sekolah, sampai sekarang! Tetapi, yang sedihnya, Rayyan tidak pernah mengambil tahu. Rayyan tidak pernah ingin tahu apa-apapun tentang dirinya!

Bagai lipas kudung, dia melakukan kerja rutinnya. Terpaksalah semua dibuat dalam keadaan tergesa-gesa kerana dia harus pergi sebelum Rayyan balik. Namun, hatinya puas dapat menyediakan makan malam dan dapat mengemas rumah untuk Rayyan. 

Telefon bimbitnya berbunyi. Hati terus berdegup semacam tetapi, bila melihat nama Mia, bukan Rayyan, rasa sebaklah pulak. Hmm, lelaki itu? Takkan dia nak telefon kau, Fifi. Kau tu siapa pada dia? Haih....

"Weh, laki kau mengamuk!" suara Mia seakan berbisik. 

Dahi Fifi berkerut. "Kenapa?" dia pun berbisik juga. Hehe...

"Ada sorang perempuan ni call dia. Kau kenal Nina, tak? Dialah.... Dialah mangsa amukan laki kau. Pelik kan?" 

Fifi angguk. Memang pelik. Kenapa nak marah-marah? Owhh, agaknya perempuan tu mintak duit nak beli baju kot? hati mengomel. 

Dia tahu semuanya. Bil-bil suaminya mencecah ribu-ribuan ringgit membeli segala macam benda untuk semua perempuan-perempuan bergelar kekasihnya. Yang dia tidak pernah jumpa ialah bil bilik hotel sahaja. Entah di mana disorokkan. Dia tidak tahu aktiviti nakal Rayyan tetapi kenakalan lelaki itu menghilangkan keinginan untuk disentuh. Manalah tahu kalau-kalau Rayyan ada HIV ke, Aids ke? Hisy, dia tidak mahu menjadi mangsa. 

Hmm, sampai begitu sekali dia berfikir. Jadi, sebelum lebih banyak dosa kering dilakukan, dia harus bersendirian. Rayyan tak apalah. Lelaki itu ada ramai bidadari di sekelilingnya. Dia pergi atau tidak, apalah sangat, kan? 

Hari ini dalam sejarah. Buat pertama kali, Rayyan tidak keluar malam. Jam sebelas, dia sudah baring di atas katil. Panggilan telefon dari Alan dan Hakim, dibiarkan sahaja. Dia betul-betul tak ada mood malam ini. Biarlah dia orang berdua itu enjoy sendiri. 

Dia mengiring ke kiri. Tangan meraba di sebelah. Bayangan Fifi tiba-tiba menjelma. Dengan baju tidur nipisnya yang menggiurkan, dengan rambut panjangnya yang kadang-kadang menutup wajah, anak rambut yang terjuntai, bibir yang penuh dan seksi... Arghhh, kenapa harus teringat semuanya? 

"Mummy tak nak perempuan lain jadi menantu mummy. Hanya Fifi!" 

Terngiang-ngiang suara ibunya tiga bulan dahulu. 

"Mummy, saya tak nak kahwin dengan dia. Dia anak mak Esah. Mak Esah tu orang gaji kita. Jadi dia tu orang gaji kita. Tak layak untuk saya!" 

Terus kena pelempang. Terus diam. Hanya deru nafas yang laju menunjukkan betapa dia menahan rasa marah. 

"Kamu tu yang tak layak untuk dia. Kamu ingat, kamu hebat sangat? Mentang-mentang kamu tu lulusan Harvard, bangga sangatlah dengan ijazah kelas pertama kamu tu? Habis, Fifi? Dia tu terima anugerah dekan setiap tahun. Dia pernah ditawarkan untuk ambil PhD di Oxford tapi dia tolak. Kenapa? Sebab, dia rasa, dia ada tanggung jawab pada mummy. Dia memang anak kak Esah tapi, dia jugak anak angkat mummy, tahu! Harta ni semua, kalau mummy nak bagi pada dia, kamu pun tak boleh nak kata apa. Tapi, mummy tak kejam dan tak akan buat macam tu. Cuma, mummy nak kamu kahwin dengan dia, hidup bahagia sampai mati. Kenapa mumuy pilih dia? Kamu tahu sebabnya." 

Ya, dia tahu. Di sudut agama, dia memang tewas dengan Fifi Adriana. Gadis itu kalau bab mengaji, memang hebat. Setiap kali dia balik ke rumah, dia akan dengar alunan suara merdu Fifi pada waktu dinihari. Kadang-kadang, dia akan duduk di kerusi dapur hanya untuk mendengarnya. Tetapi, yang dia tidak tahan ialah renungan tajam Fifi. Renungan itu seolah-olah menghukumnya. Dialah lelaki paling jahat di mata Fifi agaknya. Mungkin gadis itu takut dengan dia. Mungkin di fikirannya Rayyan Amzar pembawa virus HIV atau Aids. 

Baikkah itu kalau hati penuh syak wasangka? Penuh curiga? Kalau Fifi mahu bertanya, dia akan beritahu bahawa dia tidak pernah melakukan dua perkara biar macam mana sekalipun godaan yang diterima. Dia tidak minum. Dia tidak pernah berzina. Kenapa? Manalah dia tahu? Dia cuma culas hendak sembahyang sahaja... Dia cuma ada banyak mak we. Biasalah... cuit-cuit, cium-cium... tetapi iman masih kuat di dada! Rayyan mendabik dada. Dia lupa, bahawa apa pun alasan, yang haram itu tetaplah haram. dosa kecil, dikumpul-kumpul... membukit juga, kan? 

"Aku sunyi malam ini. Sunyi sangat! Kenapa, ya?" hati berbisik.

"Saya sunyi, Rayyan.. Selalu dapat jugak tengok muka awak. Tak kisahlah awak berkenan ke tidak pada saya ni, tapi dapat tengok tubuh sasa awak kat sebelah, best juga. Ini...."

"Tidurlah, Fifi! Esok kan nak bangun awal?" Lili menyuruh. Mia di sebelah sudah lama berdengkur. 

"Selamat malam, Lili. Terima kasih jadi drebar aku hari ini. Assalamualaikum," bisik Fifi sambil berpaling ke kanan. "Selamat malam, Rayyan," hati menyeru nama suami yang masih pejam celik di bilik tidur mereka. 
...................

3

Hari kedua

Rayyan sedang berdiri di balkoni. Dengan memakai seluar pendek Bermuda warna krim, 'crisp shirt' berlengan panjang yang disingsing lengannya hingga ke siku, dia tidak kelihatan seperti hendak ke pejabat pagi ini. Ya, memang dia tidak berniat hendak pergi kerja pun. Dia sudah menelefon Mia tadi memberitahu bahawa dia ambil cuti kecemasan! 

Dia hendak menunggu Fifi Adriana. Dia hendak buat kejutan. Teringin tengok muka perempuan itu apabila mereka bertembung nanti. Mesti Fifi akan terkejut sakan! 

Hah, dia ingat otaknya geliga? Aku lagi cekap, hati berbisik. 

Pagi ini, telefon bimbitnya berbunyi seperti semalam, ertinya si isteri menelefon untuk mengejutkan sang suami daripada tidur. Namun, dia sengaja tidak menjawab panggilan itu. Dibiarkan sahaja sehinggalah deringan itu berhenti sendiri. Namun hati mengira juga berapa kali panggilan dibuat. Adalah lima kali juga. Hmm, sabar betul Fifi dengan kedegilannya. Rayyan tersenyum lagi. 

Rayyan turun untuk minum pagi. Alah, bukan tidak boleh buat sarapan sendiri. Di Amerika dahulu, dia memang amat berdikari. Setakat hendak buat omelet, apalah sangat. Setakat hendak bancuh kopi pekat tanpa gula, hanya krim ditambah, eleh... kacang! Senang bah tu! 

Selepas sepuluh minit, dia membawa talam yang berisi sarapan pagi ke ruang tamu. Sambil santai tengok astro, sambil mengunyah. Tidak pernah dilakukannya selepas berkahwin. Hmm, seronok juga bila sesekali kembali ke zaman lampau, bebas.... Namun tetap sunyi. Aik?

"Hai, astro ni! Tak ada cerita dah ke? Asyik ulang tayang cerita-cerita yang sama aje. Melampau betul! Caj mahal-mahal tetapi bagi orang tengok benda yang sama. Grrr..." 

Kuat mengomel juga si Rayyan ni, kan? 

Terus buka netbook. Cari eurosport dahulu. Tengok muka Cristiano Ronaldo terpampang di headline. Kalih! Tak minat si poyo tu, hati berdetik.

Buka Business Times pula. Hmm, di sini, dia asyik sangat. Rayyan tenggelam dalam bacaannya. Tekun melihat pencapaian syarikat-syarikat, tekun melihat peranan dimainkan CEO-CEO syarikat-syarikat yang berjaya itu agar dapat dia contohi. Menjadi cita-citanya agar Syarikat Delima Holdings mampu dilonjakkan namanya. Mampu menjadi hab halal yang boleh ketengahkan jenama Halal Malaysia di mata dunia. Dia yakin, dia mampu melakukan. Hisy, kalau seorang graduan Harvard tidak mampu mencipta kejayaan dan menjadi terkenal, baik tidak payah masuk Harvard! Belajar sahaja di dalam negara, itu fikirnya. Sombong!

Dia ralit dengan apa yang dibuat sehinggalah ketika mendongak, baru terperasan yang jam di dinding sudah menunjukkan pukul dua belas tengah hari. "Hai, mana Fifi ni? Dia tahu yang aku balik makan tengah hari pukul satu. Kenapa dia tak sampai-sampai lagi untuk masak ni?" 

Fifi Adriana tersenyum kepada adik yang berada di kaunter. "Nanti masa adik nak hantar, akak nak kirim sesuatu, boleh?" tanya dia. 

"Boleh aje, kak! Kenapa? Nak hantar surat cinta sekali ke?" usik si penjaga kaunter. Hisy, macam tahu-tahu saja. Soalan yang menyebabkan Fifi tersengih lebar. 

Tepat jam satu. Rayyan terpisat-pisat mendengar bunyi alarm. 'Ada orang datang. Mesti Fifi!' fikirnya. 

Terus meloncat dari sofa. Namun sebaik pintu pagar dibuka bukan Fifi yang dilihat. Adik Piza yang berjalan dengan senyuman ke arahnya. 

"Special delivery from Pizza Hut, sir," kata pemuda itu sambil menghulurkan kotak yang mengandungi piza yang sedang berasap. 

"Tapi, saya tak..." Rayyan segera mengetap bibir. Sudah tahu bahawa ini mesti kerja si Fifi. 

"Dah bayar ke belum ni?" tanya dia kasar.

"Dah, bang!" 

"Tu, tunggu apa lagi? Blah la!" 

Bulat mata budak penghantar piza itu. Sedihnya hati. Beginilah nasib kalau tidak pandai belajar, kan? Kena jerkah aje! Di tempat kerja, jadi mangsa bos. Tidak mengapalah tetapi, si dia yang perasan bagus ni? Apa kes nak jerkah-jerkah orang? Rungutan itu hanya di dalam hati sahajalah, sambil-sambil berjalan balik ke motosikal.

Kalau ikutkan hati, rasa hendak sahaja Rayyan campak piza itu ke dalam tong sampah. Sakit hati pada Fifi punya fasal. Tetapi, sekali lagi, dia ingat pesan isterinya. Rezeki jangan ditolak, jangan dibuang, jangan dibazirkan. Tak baik! Mujur Fifi beli saiz sederhana. Kalau yang besar, manalah mampu nak habiskan sorang-sorang, bebelnya.

Waktu hendak membuang plastik, dia perasan ada satu plastik lain di dalamnya. Rayyan ambil dan mendapati ada kad pula. Segera dibukanya.

"Assalamualaikum, awak."

Waalaikum salam, Rayyan jawab dalam hati. 

"Sunyi tak ada awak. Selalu nampak awak kat sebelah tapi malam tadi..."

Rayyan menjuihkan bibir, "Itulah! Siapa suruh merajuk dengan aku?"  

"Awak tentu lena tak ada saya, kan?"

"Erkk, mana ada? Aku pun tak boleh lelap la!" pengakuan berani mati tu. Tapi apa kisah. Bukan Fifi dengar pun?  

"Ops, saya nak beritahu yang hari ini, saya tak dapat datang."

"Pulak! Patut jenuh aku tunggu?" omelnya lagi. Mata terus menyorot tulisan Fifi lagi. 

Saya pergi temuduga. Maaf, tak cakap pada awak, Rayyan. Tapi, saya rasa, dari duduk di rumah, lebih baik saya kerja, awak. Kalau kat rumah nanti saya selekeh aje. Boring awak tengok. Bila kerja, dapatlah siap diri, sekurang-kurangnya tak lah pucat sangat muka ni sampai tak selera orang tu pada saya, kan?"

Mata Rayyan mengecil. "Orang mana? Dia ada secret admirer ke? Atau... dia maksudkan aku ke?" Dalam cerdik ada bodoh juga tu, hehe...

Baca lagi!

"Rayyan, malam ni, saya nak ajak awak makan malam dengan saya. Nak? Kalau nak, datang ke Ristorante L’Opera (Piccolo Mondo), Bukit Bintang, ya! Saya tahu, awak suka makanan Itali. Dan, tempat tu memang one of the best places. Saya tunggu awak pukul lapan, okey!"

Kenapa jantung bergetar selepas membaca? Oh, sebab dia nak ber 'dating' dengan Fifi Adriana. Dating? Tak kuasa! Biarkan dia! Biar dia tunggu aku. Padan muka dia aku tak datang.... 
....................

4

Pertemuan

Terbeliak biji mata Mia dan Lili memandang Fifi. Macam nak terkeluar dari soket pun ada. Mulut dah terlopong. Berpaling dan apabila Fifi melihat mereka, dia tergelak kecil. 

"Weh, korang ni kenapa?" tanya dia berpura-pura tidak memahami. Tetapi, kalau kawan-kawan dia terpesona habis, tentu si dia yang bernama Rayyan pun sama juga nanti. Entah-entah terus pengsan? Lantas ketawa kecil bertukar menjadi gelak yang lepas. Amboi...suka ya?

"Cantiknya baju kau, Fifi. Beli di mana ni?" tanya Lili sambil menyentuh fabrik berwarna hitam itu dengan tangan. Lembutnya....

"Aku order online di Zalora. Di situ semua ada, Lili. Baju aku ni, Musso. Bayar RM79, dalam masa tiga hari, sampai kat depan pintu rumah. Sebenarnya, malam ni, semuanya aku shopping di situ aje. Nak tengok kasut aku?" Fifi mengeluarkan sepasang kasut dari kotak. "Nah!"

"Cantiknya! Stiletto la! Gila kau, Fifi. Tinggi ni!" Mia terjerit kecil. 

"Dekat seminggu aku praktis, tahu tak? Masa masak di rumah pun aku pakai hari tu. Memang gila. Empat inci tu!" Fifi memberitahu. 

"Alah, kau beli yang tinggi-tinggi buat apa? Nanti, tinggi kau daripada Rayyan pulak," ujar Lili.

Fifi menggeleng. "Aku dah congak, beb. Campur tinggi kasut tu, aku baru 5' 9". Kalah dengan dia. Dia 5' 11".

Kawan-kawannya ketawa. "Kau ni, Fifi. Semua tentang Rayyan kau hafal. Tapi, sudahnya, kau lari dari dia. Pelik kau ni!" 

Fifi Adriana ketawa. "Lili, aku tak cukup kenal dia lagi. Kalau tidak, tentu aku dah dapat hati dia, kan? Ingat senang ke nak pikat anak majikan mak aku tu? Dari aku kecik, sebelah mata pun dia tak pernah tengok aku, tahu tak? Entah-entah nanti, dia tak datang ke restoran tu. Yalah, siapa aku ni, kan?" 

Mia membaling teddy bear pinky ke arah Fifi. "Konon! Tapi, kau berusaha nak pikat dia jugak,"

"Habis, dah dia yang jadi suami aku, kan? Mestilah nak cuba curi hati dia walaupun dia dah ada banyak perempuan lain di sekelilingnya," balas Fifi.

"Selepas tiga bulan? Kenapa tak masa awal-awal kahwin dulu?" tekan Mia lagi. 

Fifi membiarkan Lili yang diam sedari tadi mengurus solekan di mukanya. 

"Masa baru kahwin tu aku malu dengan dia. Dia dah la tak banyak cakap dengan aku. Dah tu, siang malam tak lekat kat rumah. Aku biarkan aje. Tapi, lama-lama, aku fikir. Aku ni siapa pada dia? Orang gaji ke? His maid? Or his wife? Kalau aku ni isteri dia, hak aku mana? Hak dia apa? Aku baca buku. Aku cari bahan di internet. Aku tanya ustazah. Dan, tahu apa kesimpulan untuk isteri macam aku?" 

Mia geleng kepala.

"Failed! Aku bukan isteri yang baik. Suami sorang pun aku tak dapat jaga. Tak dapat aku nak tawan hatinya. Aku biarkan dia hidup gelumang dosa. Dia hanyut, aku lemas," Fifi mengeluh.

"Siapa suruh kau kahwin dengan playboy tu? Kan aku dah cakap, dia tukar perempuan macam tukar baju. Ingat Nina? Budak tu yang terbaru, kau tau. Tapi, dah kena campak. Aku tahu la. Dia pesan pada aku kalau Nina datang cari dia kat ofis, dia suruh aku panggil guard, suruh halau!" Mia bercerita dengan penuh kesungguhan. 

"Weh, Mia. Kau ni kalau bab mengumpat, bukan main lagi, ek? Lupa ke, yang  kau kutuk tu, bos kau. Kau cari makan di syarikat dia, tahu. Gaji kau, dia yang bayar," kutuk Lili. Wajah Fifi jadi kelat. Hmm, betul tu. Mereka sedang mengumpat. Dia lagi teruk dari Mia kerana yang diumpat itu ialah suami sendiri. Ampunn....

"Kau buat semua ni untuk apa, Fifi? Kau dah jatuh cinta pada dia?" Mia tidak peduli kata-kata Lili. Sekarang, dia ingin tahu hati dan perasaan kawan baiknya itu. 

"Jatuh cinta?"

"Habis, dah tiga bulan tidur sama dengan Rayyan tu?"

"Mia!!!" Fifi dah blushing. Lili dengan Mia. Apa lagi? Mengekeh tengok kawan baik sudah gelabah dan malu-malu.

"Tengok muka dia, memang cair la, kan? Betul tak, Fifi," Lili mengusik. 

"Iskkk.... korang ni! Eei, dah pukul berapa ni? Jom cepat! Kalau tidak, habislah aku nanti," kelam kabut memakai inner neck Ninja sebelum mengenakan shawl chiffon silk polka dot. Comel....

"Hmm, kalau hati Rayyan tu tak cair lagi, entah la," bisik Mia pada Lili. 

Lili mengangguk. "Cucukkan aje mata dia, biar jadi Kasim Selamat," bisiknya. 

Mia tersengih. Terus capai beg. Capai telefon juga. Satu nombor didail. "Hai, B. You kat mana?" tanya dia. B singkatan untuk Bahrain. Bukan negara Arab tu. Bahrain, tunang Mia. 

"Kami dah ada betul-betul kat depan rumah you ni, honey," balas si tunang. 

Mia terus menggelabah. "Fifi, dia orang dah sampai," 

Fifi angguk. Dalam hati berdoa, "Ya Allah, permudahkan urusanku ini. Ampunkan aku," 

Jam sudah menunjukkan pukul lapan setengah malam. Setengah jam lewat daripada masa yang ditulis oleh Fifi. Rayyan sengaja datang lambat. Alah, lebih baik lambat daripada tak datang langsung, kan? Siapa suruh dia pilih area Bukit Bintang? Tempat paling sibuk di dunia ni! gerutunya. 

8.40 malam. Lebih baik dia masuk. Kang kalau Fifi merajuk, melepas pulak! Melepas apa, Rayyan? Rayyan sengih sendiri. Melepas nak makan Pasta A La Lobster Royale. Mmm, dah kecur liur dah ni. 

Ketika di pintu masuk restoran yang terletak di ground floor, Wisma Peladang itu, seseorang terlanggar bahu Rayyan. 

"Ops. Sorry, bro." kata lelaki itu sambil tersenyum sebelum meninggalkan Rayyan membetulkan bajunya sedikit. 

Rayyan angguk. Matanya melatari ruang. Dan, akhirnya, dia nampak si dia. Melekat pandangan. Betulkah itu Fifi Adriana? Isteri dia? Makkk.... 

Lelaki seperti Rayyan yang sentiasa menilai kecantikan luaran, tentu sahaja nak pengsan tengok transformasi yang Fifi lakukan pada dirinya. Padahal, masa akad nikah dahulu, Fifi begini juga. Cuma, waktu itu, hati tidak suka jadi semua hambarlah jawabnya. Sekarang, baru sedar bahawa yang mengelilinginya saban malam itu cantik, indah, menarik namun Allah sudah tanamkan keimanan sikit dalam hati tu. Jadi, Fifilah yang terrrr..... semua sekali!

Eh... siapa pula lelaki itu? Yang tiba-tiba berhenti dan berbual dengan isterinya? Bukankah lelaki itu yang melanggar dirinya tadi? Fifi! Kenapa awak gelak dengan dia? Awak patut senyum pada saya sorang saja! Dengan lelaki lain, tak boleh!!!

Pantas kaki diatur mendekat. 

"Hmm, dah dekat. Satu, dua, tiga...," Fifi menyebut kepada lelaki segak yang memakai T-shirt polo, yang sedang berdiri di sisinya.

"Nanti I call you, Fi. Jangan off telefon you pulak. Kita sembang sepanjang malam ni, okey!" suara kuat lelaki itu melantun ke telinga Rayyan. Fuhh... terus sentap. Muka kelat dah. Rasa nak tumbuk pun ada pada lelaki yang selamba pergi dari situ. 'Hello, you are tresspassing, man!' bisik hati.

"Duduklah, awak. L'Opera ni tak runtuh lagi, tau," Fifi mengusik sambil tersenyum meleret. Rasa macam faham bila tengok wajah Rayyan yang mencuka. Hmm, lelaki! Hak dia, hak dia! Tapi, dia? Hak awam. Siapa-siapa boleh sentuh, boleh gigit leher, kasi love bite. Boleh kucup bibir nipis tu... nyampes!

"Siapa tu?" Rayyan tidak boleh hendak sembunyikan rasa yang sedang menyerang. Dia pun tidak memahami mengapa itu jadi soalan yang pertama. Sepatutnya, dia tanyalah khabar isterinya. Atau senyum sebab isteri sudi ajak dating. Tapi, lain pula yang dihadapi kini. 

Fifi tidak mempedulikan soalan itu. Dia terus sahaja merapatkan diri ke meja. 

"Order la cepat. Saya dah lapar. Tak sabar nak makan dengan awak. Pertama kali makan berdua, di restoran Itali kegemaran awak ni. Saya nak kongsi makanan kegemaran Rayyan, suami saya. Boleh?"

Rayyan terkedu mendengar bisikan lembut Fifi. Tiba-tiba, dia rasa bersalah. Tiba-tiba, dia rasa berdosa. Selfish benar dia selama tiga bulan mereka kahwin. Baru tersedar!

Apabila pelayan sampai, Rayyan terus memesan...

"Plato de principio.. ensalada de avomela de manzana, las pastas un royale de langosta de la, y, para postres, yo deseo tiramisu," 

"Sí, señor. Drinks, sir?"

"Kau nak minum air apa?" tanya Rayyan. 

"Tembikai?"

"Para mí, el jugo de naranja. Para la señora, riegue jugo de melón, por favor," 

Pelayan itu berlalu namun Fifi memandang Rayyan tidak berkelip. 

"Kenapa?" Rayyan sudah serba salah. Renungan penuh kagum itu sungguh mendebarkan hati. Bibir yang sedikit terbuka itu fuhh... menggoncang naluri kelakiannya. Kenapalah dengan perempuan ni?

"You can speak Italian too?" tanya Fifi.

Rayyan tergelak. Aiseyy, ingatkan kagum tengok dia yang hensem, rupanya terpesona dengar dia bercakap dalam bahasa Itali. "Sikit-sikit aje," dia merendah diri. "Makanan barat ni kan ada turutannya? Tu tadi, aku pesan starter, salad avomela epal. Lepas tu nanti, kita makan pasta dia. Ni yang paling best. Aku nak kau rasa pasta a la lobster royale. Isi udang galah campur fresh oregano, black pepper, dengan pasta. Mesti jilat jari nanti," 

"Alah, memang lepas makan, kita digalakkan jilat jari kita untuk elak dari sakit perut apa?" Fifi tidak mahu kalah. Ketawa Rayyan menyebabkan hati berdetak lebih kuat dari biasa. Yang pasti, hari ini akan tercatat dalam diari hati sebagai hari paling bahagia dalam hidupnya sejak bergelar isteri. Kalau boleh selalu begini....

Sedang enak menjamu selera, tiba-tiba datang seorang lelaki ke meja. "Fifi, my dear Fifi..." 

Wah, kalau Fifi tidak cepat-cepat menghalang, mahu dipeluk oleh lelaki itu tadi. 

"Bahrain...? B? Lamanya tak jumpa?" Fifi baru mendapat suara selepas kejutan yang diterima. 

"Eh, betul ke I dengar, you ni dah kahwin, Fifi? Alah... kenapa you kahwin cepat sangat?" 

Rayyan sakit hati dah. Ditolak pinggan pastanya menjauh. 

"Hello, bila bercakap tu, boleh tak tengok arah sini sama? Kalau awak tengok saya, awak tentu dah kenal suami Fifi ni. Dan," Rayyan berdiri. Mukanya dekat benar dengan Bahrain. "She is taken. Now, will you please leave us alone?"

Bahrain ketawa. "Of course!" Dia kemudian mengenyitkan mata pada Fifi. "Laki kau ni cemburu nak mampus, Fi. Baik aku pergi sebelum kena lepuk. Enjoy yourselves, okay!"

Fifi tersenyum manis. Manis sangat. Dan itu semakin membakar perasaan Rayyan. Napkin dibaling ke meja. 

"Suka? Apa yang seronok sangat tu? Suka sebab dapat buktikan yang kau pun sebenarnya ada ramai boyfriend? Kenapa tak kahwin dengan dia orang? Kenapa kahwin dengan aku?"
....................

5

"Syy!" Fifi meletakkan jari telunjuk di bibir yang merah. Tangan kiri menarik tangan Rayyan agar duduk semula. Nasib baik tak ramai orang. Kalau tidak malu juga dengan sikap tak senonoh Rayyan. Ada pulak hendak marah-marah masa makan? Memang otak tak cukup center, nih... hati Fifi mengomel. 

Rayyan pandang wajah isteri lama-lama. Hmm, cantik betul! Patutlah ramai yang kenal. Ini baru di restoran makanan Itali. Kalau di Seri Melayu? Kalau di KFC? Mc Donald ke? Sah, mesti aku bertumbuk punya sebab nak pertahankan hak aku sebagai suami dia. Huh...

"Kita kahwin sebab kita berjodoh. Dah tertulis kat atas sana yang jodoh Fifi Adriana dengan Rayyan Amzar. Demi Allah, saya pernah menolak jodoh ini sebagaimana awak pernah menolaknya dengan mummy," Muka Rayyan merona merah. Terperangkap....

Fifi senyum. "Saya tahu awak tak pernah suka saya. Saya tahu mummy paksa awak kahwin dengan saya. Semua saya tahu, tapi, kita kahwin juga,"

"Kau nak cakap apa sebenarnya?" Rayyan mencelah. 

Fifi menarik nafas dalam-dalam. "Rayyan, saya nak kita beri peluang kepada perkahwinan kita ni. Dah tiga bulan kita kahwin, tapi apa erti perkahwinan ni pada kita, saya pun tak tahu. Awak masih dengan cara awak. Berfoya-foya.." 

Rayyan bersandar di kerusi. Tawaran menarik ni... Beri peluang kepada perkahwinan mereka? Hmm... Tetapi, ayat akhir tu tak berapa sedap didengar. Dia suka berfoya-foya. Alamak! Sakit dada...

"Awak cemburu tengok kawan-kawan saya tadi, kan? Dia orang tu tegur aje. Pun awak marah. Habis, saya? Tak cemburukah saya bila tengok kesan gincu kat baju awak? Tak cemburukah saya bila tengok awak peluk-peluk dengan perempuan-perempuan lain? Bercium depan mata saya, Rayyan?" tanya Fifi sesungguh hati. Soalan yang menusuk jantung Rayyan. 

Rayyan tahu maksud soalan-soalan itu. Mereka pernah bertembung. Malah dia pernah sengaja membawa Fifi keluar ke kelab dan kemudian menggomoli perempuan-perempuan lain di hadapan isterinya itu. Dia mahu melihat Fifi melenting namun Fifi tidak marah. Fifi hanya diam. Reaksi paling nyata pun, Fifi semakin menjarakkan diri daripadanya. Itu yang membuat hatinya terlalu sakit. Benci dengan sikap gadis itu yang berpura-pura, seolah-olah tidak punya apa-apa perasaan. 

"Kau tak suka apa yang aku buat? Kenapa kau tak halang? Kenapa kau tak marah?" soalnya. 

Fifi senyum. "Awak macam budak kecil, Rayyan. Kalau saya marah, pasti awak akan buat lagi dan lagi. Budak kecil kan macam tu? Makin ditegah, makin naluri ingin tahu menyuruh dia buat benda yang dilarang. Kata 'jangan', makin dibuat. Awak pun macam itu jugak!" tukasnya.

Rayyan mengetap bibir. Dia merapatkan muka ke muka Fifi. Mereka saling bertatapan kini. Degup jantung amat laju. Hati bergetar hebat. Penangan apakah ini? 

"Jadi, ini apa? Kau nak apa sebenarnya?" soal Rayyan sebaik dia duduk semula. Sebaik gegaran jiwa hilang dan kembali tenang.

"Macam saya cakap tadi, saya nak kekal jadi isteri awak. Saya nak bercinta dengan awak," Malunya sebaik dia meluahkan. Tak pernah dibuat orang, isteri meminta izin untuk mencintai suami mahupun untuk kekal sebagai isteri tetapi dia mesti melakukannya. Fifi sudah bosan dengan rumah tangga yang kosong dan tidak bermakna ini.

"Syaratnya?"

Fifi pula jadi malu sekarang. Rayyan tahu bahawa dia akan meletakkan syarat. Ah, lelaki ini memang bijak! Tahu sahaja yang Fifi hendak sesuatu sebagai balasan. 

"Mesti ada syarat, kan? Kalau tidak, tak kan kau sanggup hendak terus jadi bini aku?" tanya Rayyan. 

Fifi angguk. Perlahan-lahan dia angkat muka. Pandangan mata Rayyan yang redup dibalasnya. "Susah sangat ke nak teka?" tanya dia. 

"Aku nak dengar dari mulut kau sahaja," keras Rayyan bersuara. 

Fifi lepaskan nafas yang terkumpul. 
"Syaratnya mudah saja, Rayyan. Saya nak awak lupakan kehidupan buas awak tu. Tukar diri awak dan lepaskan semua perempuan-perempuan lain tu," ujarnya lembut. 

"Dan, apa aku dapat?" tanya Rayyan dengan sepasang mata nakal itu merenung Fifi, menjelajahi setiap inci yang dapat direnungi. Melampau betul!

"A wife. A real wife in every sense of the word," jawab Fifi penuh ikhlas. 

Rayyan tersenyum. Kacaknya dia...

"Tapi, sekali awak punahkan kepercayaan saya, awak akan kehilangan saya selamanya. Saya akan pergi jauh dari hidup awak dan saya tak akan berpaling untuk melihat awak lagi," 
..............

6

Di dalam pejabat Rayyan, dia sedang duduk menghadap dua orang teman yang sudah agak lama tidak bertemu, Alan dengan Adam. Sejak dia membuat keputusan untuk menerima pelawaan Fifi memaknakan rumah tangga mereka, dia memutuskan hubungan dengan teman-temannya ini. Dia menolak pelawaan mereka untuk berpeleseran. Yalah, janji dengan Fifi mesti dipegang dan dipatuhi. Kalau tidak, lari pulak budak itu nanti. Bukannya dia lupa pada ugutan yang diberi!

"Tak lama lagi, jadi ustaz la, kawan kita ni," bisik Adam kepada Alan. Sindiran yang menyebabkan cuping telinga Rayyan semakin capang. 

"Untungnya dapat isteri baik, kan, Adam. Sanggup terima lelaki macam kawan kita ni," Alan pula menyindir. 

"Korang ni dok perli-perli aku, apa hal? Sepatutnya orang nak jadi baik, korang kena sokonglah. Tak pun, meh, ikut aku. Tinggalkan maksiat tu semua," Rayyan membalas. 

Ketawa Alan dan Adam semakin kuat. Geli hati sangat bagai digaru-garu. Mereka datang hendak mengajak Rayyan masuk geng semula, tiba-tiba Rayyan berdakwah pula. Amboi...

"Hei, Rayyan, aku nak tanya kau sikit. Kau tak rindu ke pada Sarah, Nina, Elly... Dia orang sentiasa tanyakan kau, tahu. Rindu sangat pada kau. Tambah si Nina tu. Asyik cakap dia teringin nak peluk tubuh sasa kau lagi. Malah, kalau kau nak lebih-lebih pun, dia tak kisah. Kan best tu?" Alan menyucuk jarum. 

Syaitan mula menghasut. Sudah dekat dua bulan mereka hilang Rayyan. Susah woo, bila sudah tidak ada sponsor. Kalau tidak, semua ditanggung beres oleh Rayyan. Beribu-ribu duit lelaki itu keluar untuk bayar semua jenis bil. Sekarang, kena bayar sendiri. Mana tahan? Sebab itu, sehabis daya, kena pujuk juga si Rayyan ni. Kalau terpaksa tabur fitnah tentang isterinya yang tidak pernah mereka temui pun, sanggup! Asalkan mereka senang... 

Rayyan sengih. Dalam hati dia teringin hendak beritahu bahawa dia sudah dapat yang terbaik. Siapa lagi kalau bukan Fifi. Fifi melayannya bagaikan tiada cacat cela. Tidak pernah menolak apa juga keinginannya. Namun, risau mengecilkan hati kawan-kawannya ini. Jadi, dia diam sahaja. 

"Aku baru tahu, Rayyan. Rupa-rupanya, isteri kau tu anak orang gaji mummy kau, ya?" 

Wajah Rayyan berubah mendengar pertanyaan si Alan. "Kenapa dengan kau, Alan. Kenapa kalau Fifi tu anak orang gaji keluarga aku?"

Soalan yang salah sebenarnya. Sebab, soalan itu membuka perangkap yang sedang dipasang. 

"Patutlah dia cuba kawal pergerakan kau. Apa kau nak buat pun semua di bawah perhatian dia. Kesian kau, Rayyan. Gerak geri kau diperhati isteri. Patutlah tak bebas kau sekarang," 

Kan dah? Rayyan mana boleh dengar cakap-cakap sebegitu. Dia kan ego? Melentinglah! 

"Tak ada bilanya dia control aku, Alan, Adam. Aku saja yang nak berubah, tahu?" balasnya.

"Biar betul kau ni, Rayyan. Kau cakap aku, apa yang best sangat duduk terperuk kat rumah tu. Eleh... sebab dia layan kau, kan?" Bahu Rayyan ditepuk, "Hei, kawan! Itu kewajipan isteri. Isteri melayan suami, memang hak kita apa! Tapi, langkah kita, soal kita keluar malam, berkawan, enjoy, dia tak boleh campur! Kalau kau dengar cakap dia, ikut kehendak dia, itulah yang jadi macam sekarang. Asyik duduk di rumah hadap muka dia. Kau tak boring ke Rayyan? Kau ingat, berapa lama lagi kau boleh tahan buat macam tu?" Adam bertanya dengan wajah yang bersungguh-sungguh menunjukkan rasa simpati terhadap Rayyan. 

"Dia guna kau, Rayyan. Dia nak kau jadi hak dia aje. Dia tak suka kau berkawan. Tengoklah sekarang. Kau langsung tak peduli pada kami. Kau benci kami," Alan tunjuk muka sedih. 

Rayyan segera bangun lalu memeluk Alan. Alan, kawan baik sejak zaman sekolah lagi. Sedih rasa hati bila dituduh dia sudah melupakan. "Aku tak pernah lupa pada korang. Kita kawan. Sampai bila-bila pun, kita kawan. Not even my wife boleh rosakkan hubungan kita, tahu!" ujarnya penuh yakin. 

"Kalau macam tu, malam ni, kau datang tempat biasa, okey! Aku nak buat special party untuk kau. Boleh kau datang? Ke, kau takut bini? Nanti, dah sampai rumah, tunduk macam tikus mondok nampak kucing. Kecutt...," sindir Adam sambil tergelak-gelak. 

"Hoi, ini Rayyan la! Aku tak takut bini, okey! Tak ada sebab aku nak ikut cakap dia," balasnya penuh yakin. 

Fifi duduk menghadap hidangan makan malam dengan wajah sedih. Setitis air mata sudah jatuh di pipi. Sudah hampir sejam dia hanya mampu merenung. Seleranya jadi mati. Keistimewaan yang ingin dicipta dan khabar gembira yang ingin disampaikan, terpendam dalam hati kini. Sudah tidak memberi erti. 

"Aku cakap kau. Dia tak kan balik awal punya. Kawan-kawan dia datang dan dia orang dah keluar sama-sama dah. Aku kenal Alan dengan Adam tu. Habislah kau! Laki kau tu mesti buat perangai semula," 

Panggilan daripada Mia yang diterima petang tadi mengocak jiwa. Menimbulkan keresahan. Hati mula memikir dan bertanya apakah bahagia yang dikecapi sudah menemui titik noktah? Apakah perjanjian mereka bakal dileraikan oleh Rayyan?

Masa terus berjalan. Sejam berlalu. Dua jam... sehingga Fifi terlelap di atas sofa. Sewaktu dia terjaga ketika jarum jam menunjukkan pukul tiga pagi, Rayyan masih juga belum balik lagi. 

Ketika kaki ingin melangkah ke tingkat atas, deru enjin kereta kedengaran. Bukan satu, tetapi dua. Cepat-cepat Fifi masuk ke bilik tetamu, menyarungkan tudung di kepala dan memakai kardigan. Ketika dia keluar dari bilik, dia melihat Rayyan diusung oleh dua orang lelaki. Mereka tersengih melihat dirinya. 

"Fifi, ya? Sorry, ek! Your hubby mabuklah! First time dia minum, terus kong! Tu kita orang hantar ni. Nak masuk bilik ke?" Adam bertanya. Hatinya berdetak pandang Fifi. Patutlah Rayyan asyik sebut nama ini tadi. Macam bidadari, bisik hati nakalnya. 

Fifi Adriana berlagak selamba. Dengan lembut dia menolak. "Tak apa. Biar dia baring di sofa dulu," 

"Nak kami tolong apa-apa ke?"

Fifi masih mampu tersenyum. "No, thank you. I can handle everything. Bukan nak halau tapi, dah lebih pukul tiga pagi ni. Boleh keluar tak?" Halau jugalah, kan? Cara halus, hehe...

Kedua-duanya seolah-olah tidak mahu pergi. Agaknya, kalau Fifi suruh tidur kat atas lantai dapur pun, mereka sanggup. Maklum, hati dah hitam. Tengok bini orang pun, kalau boleh rembat... mesti mahu!

Lamanya menunggu kedua-dua manusia itu pergi. Hendak menyarung loafers pun ambil masa berjam-jam. Haisy!

Kini, Fifi sedang berdiri di hujung kaki suaminya. Perlahan-lahan stokin ditanggalkan. Entah mengapa, sayu sahaja perasaannya. 

"Dulu, awak berpeluk, bersentuh dengan perempuan. Tapi, malam ni, awak minum, Rayyan. Tahu tak? Arak tu haram. Pernah dengar satu kisah, Rayyan? Bagaimana syaitan menggoda seorang alim? Biar saya cerita. Doa saya, moga minda separuh sedar awak menangkap cerita saya ini....

Satu masa dulu, Rayyan, datang syaitan merupai manusia lalu berjumpa seorang alim ni. Dia hendak menyesatkannya. Dia bawa duit.Tapi duit tak boleh beli keimanan. Dia datang lagi, kali ini, dia bawa seorang perempuan yang sangat cantik. Tapi sekali lagi, iman orang alim itu tidak tergugat. Tahu apa jadi? Dia bawa air minuman yang bercampur arak pulak. Katanya sikit sahaja, takkan sampai memabukkan? Orang alim itu terpedaya, Rayyan. Dia pun minum. Tahu apa jadi esok hari? Orang alim itu menangis, Rayyan. Menangis kerana dia bukan sahaja sudah minum arak yang sememangnya haram malah, kerana arak itu, dia jadi mabuk lalu membuat zina. Awak nampak tak, Rayyan? Apa yang sudah terjadi? Dia dah buat dosa besar, Rayyan....

Air mata menitis lagi. Sedih sungguh dirasakan. 

Kenapa semuanya berubah saat ini, Rayyan? Waktu saya dah tak boleh tinggalkan awak? Waktu kita, Tuhan pilih untuk jadi papa dengan mama? Kenapa Rayyan?

Rayyan terjaga dari mimpi ngerinya. Tercungap-cungap akibat kepenatan mengejar bayangan Fifi yang menjauh dari dirinya. Fifi yang memakai telekung, hanya merenung sayu ke arah dirinya dan tidak mempedulikan laungannya. Jenuh dia menjerit namun Fifi tetap melangkah pergi meninggalkan. 

"Fifi... Fifi!!" 

Rayyan bangkit dan berlari ke arah dapur. Dia kelegaan demi melihat isteri yang sedang berdiri di tepi singki. Langkah laju diatur mendekat. Terus tubuh itu didakap erat. 

"Abang ingat Fifi dah lari tinggalkan abang," bisiknya sambil menggigit cuping telinga isteri. Harum rambut Fifi menggoda naluri. 

Fifi berpaling. Menarik kepala Rayyan agar tunduk, untuk dia mengucup dahi. Dia kemudian menyuruh Rayyan duduk di kerusi. Kemudian, secangkir kopi pekat yang panas diletakkan di hadapan lelaki itu. "Minum!" dia menyuruh.

Dahi Rayyan berkerut. "Tapi, abang belum gosok gigi lagi," 

Fifi tersenyum. "Tak apa! Minum dulu!" suruhnya.

Rayyan minum dengan rakus. Entah mengapa, dia kemudian berasa perutnya menggelodak. Terus bangun dan berlari menuju ke bilik air lantas memuntahkan seluruh isi perut. Lima minit selepas itu, Rayyan melihat wajahnya di cermin. "She knows! Dia tahu aku minum semalam," bisiknya. 

Mandi cepat-cepat, keluar, pakai seringkas mungkin kemudian dail nombor Adam. Lambatnya nak jawab!

"Rayyan, nak apa?" 

"Dia marah korang ke?" 

Adam terus jaga. "Siapa? Wife kau? Tak adalah. Dia okey aje. Kenapa? Kau kena marah?" dia meneka. 

"Tak! Okey la, aku chao dulu!" 

Rayyan ponteng kerja lagi. Sepanjang hari, dia menunggu Fifi memarahinya. Namun, mulut Fifi terkunci rapat. Kebisuan Fifi membuat Rayyan tidak senang duduk. Sehingga waktu minum petang, dia sudah tidak boleh menahan perasaan. Terus Fifi ditanya,"Kenapa Fifi diam aje? Kenapa tak marah abang pun?"

Fifi pandang wajah suaminya tidak berkelip. "Demi Allah, kalau tidaklah kerana saya mengandung anak awak, saya pasti dah tunaikan janji untuk pergi tinggalkan awak, Rayyan. Tapi," 

Rayyan hanya mendengar perkataan mengandung. Dia terlalu gembira. Dia terus sahaja memeluk isterinya. Mencium pipi mulus itu bertalu-talu. "Fifi mengandung, sayang? Thank you! Thank you," 

Fif menahan sebak. "Ya, saya mengandung, Rayyan. Dah dua bulan. Saya nak sampaikan berita gembira ni pada awak tapi... awak sibuk," balasnya perlahan. 

Rayyan terus terduduk. Matanya mengecil. Ada sesuatu sedang berlaku. Fifi tidak bereaksi seperti biasa. "Kenapa panggil nama ni? Rayyan, Rayyan... Apa hal?"

Sikap selamba suami, mengguris hati. Sedikitpun tidak mahu meminta maaf berkaitan hal semalam. Bagaikan apa yang terjadi itu, biasa-biasa sahaja. Tidak perlu diperbesarkan. 

"Saya dah pindahkan baju saya semua ke bilik tetamu, Rayyan," Fifi memberitahu ketika dia memandang tepat wajah suaminya. 

Bulat mata Rayyan. "Kenapa?" 

Fifi senyum. "Awak ada jawapannya." 

Fifi terus bangun meninggalkan Rayyan sendirian.
...............

7

Rayyan memarkir kereta dalam keadaan tergesa-gesa. Dia melangkah masuk dengan muka yang masam. Tidak ada keceriaan langsung di raut wajahnya itu. Sesuatu sedang bersarang dan mengganggu fikirannya. 

Kunci kereta dicampak ke atas meja. Tali leher ditanggalkan rakus. Butang baju melayang setelah dirasakan lambat benar hendak membukanya satu persatu. Dia kemudian baring di atas sofa sambil memejamkan mata. 

Tidak senang hatinya selagi dia tidak meluahkan kemarahan. Lantas, terus dia bangun dan menuju ke dapur. Kosong. Fifi tidak ada. 

Berlari dia menaiki anak tangga. Pintu bilik tetamu yang kini dihuni oleh isterinya itu ditolak dengan kasar. Mata melingas mencari kelibat Fifi namun masih juga tiada. Apa lagi! Semakin berasaplah kepala. 

Dia kemudian terdengar bunyi enjin kereta. Terus menjenguk ke balkoni. Tu dia, terjegil biji mata melihat Fifi turun daripada sebuah kereta Volkswagen. Kemudian, seorang lelaki keluar dari tempat pemandu. Entah apa yang lelaki itu cakap, dia tak dengar namun senyum yang menghias bibir Fifi menyakitkan hatinya. Laju sahaja dia berlari menuruni anak tangga. 

Fifi sudah masuk ke dalam rumah. Dia sedang berdiri hendak menutup pintu ketika tubuhnya dipusingkan dengan kasar oleh Rayyan. "Siapa jantan tu? Kenapa dia hantar kau balik?" tanya dia dengan suara yang keras. 

Fifi melepaskan keluhan. Bahunya sakit dicengkam tangan Rayyan. Tidakkah Rayyan nampak dirinya yang kepenatan?

"Nama dia Izhar. Dulu, dia senior saya di universiti. Kami dah lama kenal. Sekarang, saya kerja dengan dia. Dia bos saya. Hari ini, kami keluar bertiga, saya, Izhar dengan Lili, jumpa pelanggan. Oleh sebab rumah awak ni lebih dekat dengan rumah Izhar, jadi Lili turun dulu, lepas tu saya. Does that answer your questions?" tanya Fifi sambil cuba menjarakkan dirinya daripada suami. Dia berjaya. Terus langkah diatur menuju ke dapur. Dia ingin minum. 

Rayyan tercengang dengan sikap Fifi. Hati bebal bila isteri menuang air ke dalam gelas hanya untuk dirinya tanpa langsung mempelawa dia. Kenapa dia rasa Fifi amat kejam kerana mengabaikan dirinya sekarang?

"Aku nak air!" pintanya, menarik kerusi dengan kasar. 

Fifi menoleh. Dia pergi ke peti ais semula dan mengeluarkan jag berisi air oren. "Saya nak naik mandi," ujarnya setelah meletakkan jag itu di hadapan Rayyan. 

"Gelasnya mana?" jerkah Rayyan. 

Langkah Fifi terhenti. "Siapa yang mengandung? Saya atau awak? Berat sangat ke nak bangun ambil gelas kat atas rak pinggan tu?" soalnya. Tanpa menunggu jawapan daripada Rayyan, dia terus melangkah, meninggalkan suami termangu. 

Pukul lapan, Rayyan sudah terconggok di meja makan. Kosong. Kelibat isterinya tidak ada di dapur. Ertinya, untuk satu malam lagi, isterinya tidak masak. Kalau dihitung, sudah hampir seminggu dirinya dibiarkan begini. Sarapan? Tak ada. Fifi pergi kerja lebih awal daripada dirinya. Makan tengah hari? Mestilah tidak sebab Fifi kerja. Bila pula dia hendak balik masak. Makan malam? Hah, ini yang buat Rayyan bungkam. Apa masalah perempuan tu? Sampai langsung tidak menjenguk dapur. Rayyan bukan seorang yang susah. Lauk apa sahaja dia makan, yang penting sedap. 

Berlari dia naik ke atas. Pintu bilik ditolak dengan kasar. Ingin menghambur kemarahan namun terbantut demi melihat Fifi yang sedang bertelekung, lena di atas katil. 

"Haisy, tidur pulak!" dengusnya langsung menarik pintu rapat. Pada ketika yang sama, dia menerima panggilan daripada 'geng'. Apa lagi? Perut pun sudah berkeroncong. Baik keluar. Dalam rumah ni... panasss...

Keadaan berterusan sehinggalah kandungan Fifi masuk bulan ke tujuh. Rayyan baharu bertemu dengan syurga dunia yang tidak pernah dinikmati sebelum ini. Fifi sudah malas hendak menjadi isteri mithali. Masing-masing hidup bersama namun jiwa kosong tanpa arah. 

Rayyan tidak lagi menemui bahagia bila bersama Fifi. Fifi bukan lagi isterinya yang romantis, yang pandai memikat hati. Fifi jijik dengannya. Setiap malam, bila dia pulang dan ingin masuk ke dalam bilik Fifi, pintu bilik perempuan itu berkunci. Argh, perempuan itu fikir dia terlalu suci? Apakah dia menyangka seorang Rayyan tidak layak untuk dirinya?

Fifi pula sudah tidak tahu cara-cara memikat hati suami sejak dia kecewa bila kali pertama Rayyan minum arak dahulu. Dia kehilangan punca. Setiap kali dia ingin menjadi tabah, ada suara menghalang dia daripada mengalah. Ya, benar! Kini, dia sangat bencikan Rayyan. Benar, dia jijik dan tidak mahu disentuh oleh lelaki penuh noda itu. Bagaimana harus dia memujuk hati agar sedar bahawa syurganya masih di bawah naungan suami meskipun sang suami sezalim Firaun, setamak Namrud, sejahat-jahat manusia? Mengapa hatinya tidak sesuci Asiah? 

"Fifi, kau tak boleh begini. Kau kena sedar yang Rayyan masih suami kau. Apa juga hak dia, kau kena tunaikan. Berdosa kau mengasingkan diri begini," Lili menasihati. Kekasihnya, Izhar hanya memandang tanpa kata. Ingin membantu, tidak tahu bagaimana.

"Dulu, aku berusaha sebab bagi aku dia masih suci. Tapi," 

"Kau tak boleh menghukum! Yang menghukum ni, hanya Dia yang Esa. Kau, aku, Mia, Lili, Izhar hanya hambaNya. Hamba yang tidak lepas daripada melakukan kesalahan, Fifi. Kau kena belajar memaafkan Rayyan," Bahrain mencelah. Risau dengan sikap Fifi yang seakan-akan sudah berputus harap. 

"Korang tak rasa apa yang aku rasa, B. Tahu tak, aku terlampau seronok nak beritahu dia yang aku mengandung. Siap candle lit dinner lagi. Tapi, dia balik dalam keadaan mabuk. For the first time in his life, dia mabuk! Apa aku rasa? Korang faham tak? Aku rasa yang aku gagal sebagai isteri dia. Aku ingat aku berjaya ubah seorang Rayyan jadi manusia yang lebih baik tapi dia...." 

Air jernih yang ditahan menitis jatuh menuruni pipi, selebat rintik-rintik hujan yang turun menyimbah bumi.

Dahi Fifi berkerut memasuki pekarangan rumah. Rumah milik Rayyan itu terang benderang dengan suasana riuh rendah di dalamnya. Hati mula berasa tidak enak kerana dia tahu, sesuatu yang tidak elok sedang berlaku. 

Ketika di muka pintu, Rayyan melihatnya terlebih dahulu. Terus mampir lalu memeluk bahu Fifi. Gelas berisi air syaitan, di tangan yang satu lagi. "Well, well, well, my beloved wife is here, everybody. Mari sini semua. Shake hands dengan Fifi," 
     
Fifi menolak wajah Rayyan kerana dia tidak tahan bau masam itu. Hampir hendak termuntah. Meloya tekaknya. Dia ingin lari namun Adam menghalang laluannya. "Nak ke mana, Fifi? Alah, sportinglah sikit! Kita enjoy sama-sama malam ni. Come!" 

Tangannya ditarik dan Fifi jatuh ke dalam pelukan lelaki itu. 

Rayyan menghempas gelas ke atas meja. "Adam, let go! Let go of my wife! Now!" jeritnya. 

Fifi memandang wajah suami dengan renungan yang sayu. Hati mengucap syukur kerana Rayyan belum lagi mabuk. Tetapi, apa akan terjadi kalau dia hilang akal kerana banyak minum. Apakah Rayyan akan biarkan dirinya dipeluk, dibelai lelaki lain?
   
Tapi, Adam? Ada dia kisah? Marah Rayyan sedikitpun dia tidak endah. Orang sudah mabuk, katakan. Apatah lagi, sejak terpandang Fifi malam itu, dia memang teringinkan tubuh ini. Bergetah sangat di matanya. Alah, Rayyan.. dia kan lebih mengutamakan kawan-kawan? 

Rontaan demi rontaan tidak dipeduli. Adam ingin menyambar bibir cantik dan mungil milik terpelihara Fifi. Lagi pula, dia mendapat perangsang daripada teman-teman. Alan, Nina, Sally, semua sedang bersorak riang. Hanya Rayyan yang sedang berombak dada menahan marah yang menggila.

"Aku cakap, kau lepaskan bini aku, lepaslah! Adam!" laju Rayyan menghampiri lalu melepaskan penumbuk ke muka teman baiknya. 

Adam terjatuh. Nina cuba menarik Rayyan yang sudah tidak mampu mengawal perasaan. "Ray, janganlah! Stop! Biarkan dia! You have me, remember!" 

Tapi, Rayyan tidak peduli. Entah mengapa, dia rasa dia harus mempertahankan haknya. Fifi miliknya sahaja. Bukan untuk berkongsi. 

"Hey, Ray. Look at me! Me, Alan! Please, my friend. Stop! Kesian Adam!" Alan pula memujuk. 

"Kawan atau tidak, he is tresspassing! Fifi is my wife!" jerkah Rayyan. 

Fifi menangis dan menangis lagi. Hatinya sayu. "Terima kasih kerana awak masih anggap saya isteri awak, Rayyan. Terima kasih," ujarnya lemah sambil menaiki anak tangga. Perut tiba-tiba rasa memulas.  

Nina yang sakit hati kerana Rayyan tidak mengendahkannya hanya kerana perempuan yang terboyot-boyot itu, terus menyerang Fifi. Dia mendahului Fifi, berdiri satu anak tangga di atas. "Sebab kau, Ray tak pernah nak sentuh aku. Kau ni elok mati aje, tahu!" Serentak dengan itu, dia menolak Fifi. Puas hatinya mendengar Rayyan menjerit....

"Fifi..."
..................

8

"Fifi...." 

Rayyan berlari dan... 

Mujur dia sempat menahan tubuh isteri daripada jatuh di atas tangga dan berguling, mahupun jatuh di atas lantai marble yang berkilauan. Badannya menjadi lapik seolah-olah dia rela dirinya kesakitan daripada isteri dan anak yang sedang di dalam kandungan, menjadi mangsa perbuatan perempuan tak guna yang sedang berdiri tegak, terpegun dengan apa yang terjadi. 

Yang diharap tidak berlaku. Sebaliknya, kini, Nina menjadi mangsa renungan tajam Rayyan. Suara lelaki itu bergema lantang. 

"Berambus dari rumah aku, Nina. Berambus korang! Berambus! Aku tak nak tengok muka korang lagi. Get lost!!" 

Alan memberi isyarat mata agar mereka keluar sebelum angin Rayyan menyerang lebih dahsyat. Bukan tidak tahu perangai Rayyan kalau sedang marah. Semua hendak ditelan. Nanti-nantilah dia akan memujuk lelaki itu lagi, fikirnya. 

"Rayyan... sakit!" perlahan suara Fifi meniti bibir. 

Rayyan ingin bertanya di mana namun waktu itu dia telahpun melihat tompokan darah. Dan, hati bergetar. Wajah menjadi pucat. "Fifi... ada darah ni. Oh no... Jangan, Fifi. Jangan jadi apa-apa! Jangan!!" rayunya penuh sendu. 

"Rayyan... hos... hospital.. Sakit!!" 

Mujur pada ketika itu, telefon bimbit Fifi berbunyi. Rayyan terus menyambarnya. 

"Hello, siapa tu. Whoever you are, tolong telefon ambulans. Tolong datang rumah kami. Aku...Fifi... tolong Fifi, pleaseee,"

Mia menelefon kerana dia bimbangkan Fifi. Tadi, Fifi pulang menaiki teksi. Jenuh dia dan Bahrain hendak menghantar, Fifi berdegil. Katanya, dia hendak tenangkan fikiran. Kini, apa pula bala yang menimpa? Suara bosnya kedengaran gusar.

"B, kita pergi rumah bos. Ada benda buruk terjadi kot! Lain macam aje suara dia tadi," pinta Mia. 
......................

Rayyan tahan dada. Sakit macam manapun pukulan Datin Amira, dia menahan kerana dia sudah menyedari bahawa semua yang terjadi adalah kesilapan sendiri. Memang, memang dia berhak kena pukul. Malah, kalau ada yang hendak membunuh dirinya ketika ini, dia pasrah. Bunuhlah! Dia memang tidak layak hidup. Lelaki yang hanya menyusahkan isteri dan anak yang bakal lahir, apa gelarannya? Hah... lelaki tak guna! Dialah tu!

"Mummy tak nak kamu ada kat sini lagi. Tak nak tengok muka kamu dah. Pergi, Rayyan! Pergi! Pergi cari kawan-kawan kamu yang kamu sayang tu. Pergi!" 

Yang ini, dia tidak boleh terima. Pukullah dia lagi, tak apa! Suruh dia hentak-hentak kepala kat lantai simen hospital sampai berdarah pun, dia sanggup. Atau suruh dia jerit minta ampun pada Fifi, okey, dia akan buat. Tetapi, jangan suruh dia pergi tinggalkan Fifi. Itu dia tidak mampu lakukan. Walaupun insan yang menyuruhnya itu ialah mummy tersayang. 

Sudah macam drama Hindi bila Rayyan melutut, memeluk kaki ibunya. Namun, kali ini, air mata yang menitis di pipi, bukan air mata palsu. Dia sudah benar-benar menyesal. Ketakutan akan kehilangan kedua-dua insan terpenting dalam hidup, buat pertama kali dirasai. 

"Tunggu apa lagi? Pergi!" 

Datin Amira sudah tidak dapat mengawal perasaan. Bila anak sendiri membuat onar, mahu hati tidak berasa sakit? Pedih telinga mendengar cerita Mia. Sakit dan sesak dada. Kemarahan turut terarah kepada Datuk Faizul. Macam mana suaminya boleh tidak mengetahui apakah yang sedang berlaku? Itulah... apabila mata hati digelapkan dengan kemahuan memiliki harta dunia, tumpuan hanya untuk itu. Perkara lain? Semua terabai!

"Mummy, saya mintak satu aje peluang. Tolong, mummy!" 

"No!"

"Mummy, tolonglah... Fifi is my wife!"

Pang... Hah, kan dah kena? Penangan Datin Amira, memang tidak ada tolak ansur. Datuk Faizul pun tidak berani hendak berkata apa-apa. Hanya kesalan!

"Your wife? Baru sekarang nak mengaku Fifi tu bini kamu, Rayyan? Selama ini? Mummy serahkan yang halal tapi kamu cari juga yang haram. Pergi! Pergi pada yang kamu suka tu! Anggap kamu tak ada bini! Tak ada anak! Tak ada mummy jugak!"

"Mummy! Jangan! Jangan cakap macam tu! Sumpah! Saya taubat, mummy. Sumpah! Saya janji, saya tak ulang lagi, mummy. Saya janji!" 

Rayyan tidak dapat lagi mengawal rasa. Dia menangis semahunya. Sesungguhnya, sesungguhnya.. demi Tuhan, dia benar-benar menyesal. Terbayang keadaan Fifi yang kesakitan, dengan kondisi anak mereka yang masih tidak diketahui apa khabarnya, buat dia insaf. Dia menyesal! Sangat-sangat menyesal. 

"Menyesal? Taubat? Taubat sambal belacan? Macam tu? Tidak, Rayyan! Kamu ni kena diajar cukup-cukup. Mummy kesal sebab terlampau manjakan kamu. Sudahnya, kamu dah kahwin pun, tapi masih pentingkan diri sendiri. Bini yang mama cari untuk kamu tu, yang terbaik, tahu tak? Tapi, langsung kamu tak hargainya," 

Rayyan angguk. "Ya, saya tahu, mummy. Tahu! Saya silap, mummy!"

"Eeei, geramnya aku dengan budak ni! Dah tahu, kenapa buat jahat lagi? Kenapa, Rayyan? Kamu tak takut pada Tuhan ke?" 

Suara kesalan seorang ibu menyebabkan ramai menitiskan air mata di luar kamar bedah, Hospital Ampang Puteri itu. Mia dan Lili menangisi nasib teman baik yang malang. Bahrain dan Izhar berasa kasihan kepada Rayyan yang sedang bergelut dengan kedukaan dan penyesalan. Dan, di dalam sana, entah apa nasib Fifi Adriana serta anaknya. Apakah akan selamat? Ataukah maut menanti?
   
"Amira," Lembut suara mak Esah memanggil besannya.   

Datin Amira berpaling, memandang sayu wajah mak Esah yang tenang. Wanita ini yang cukup dihormati. Datin Amira mengkaguminya kerana biarpun seorang yang susah, namun tidak pernah meminta-minta. Lihatlah, meskipun menyedari apa yang sudah Rayyan lakukan kerana tadi Mia dengan Lili sudah menceritakan semua, namun, tidak langsung dia marahkan Rayyan. Tidak langsung mahu menjerkah. Hanya kalimah Allah meniti bibirnya. Berdoa, berzikir, meminta kepada Allah yang esa, agar Fifi dan anaknya selamat. Ya, pasti itulah yang dipinta. 

"Cukuplah tu. Kalau hendak menghukum, berikan hak tu pada Fifi, Mira. Biar Fifi saja yang lakukannya. Buat masa ni, biarkan Rayyan. Kesian dia!" 

Mak Esah melangkah ke arah menantunya. Bahu menantu diusap perlahan. "Rayyan, kalau kamu benar-benar sudah insaf, baliklah ke pangkal jalan. Carilah Tuhan kamu semula. Carilah kasih sayangNya. Moga-moga dengan kasih sayang Allah, Fifi dapat menerima diri kamu, kalau kamu masih hendak menjadi suami dia," pujuknya. 

Dalam derai air mata penyesalan, Rayyan angguk. "Izinkan saya tunggu Fifi di sini, mak. Bila saya tahu keadaan dia dan keadaan anak kami, saya akan pergi. Saya akan jauhkan diri saya yang kotor ni daripada mereka. Saya tahu, saya tak layak, mak..."
.............

9

"Dah sarapan? Sarapan pagi paling penting untuk kita, Fifi. Mulakan hari dengan bertenaga supaya dapat beramal, bekerja dan membantu kepada yang memerlukan. Oh ya, apa khabar Auni kita? Dah pandai senyum? Alhamdulillah.... Agaknya, dia terpandang wajah papa dia sedang solat kot?"

Fifi memandang sayu pesanan yang baru masuk ke dalam inbox telefon bimbitnya. Pesanan daripada Rayyan, entah untuk kali yang ke berapa,  sudah lelah dia hendak mengira. Tidak jemu-jemu lelaki itu menitipkan pesan biarpun tidak satu pernah Fifi balas. 

Jari halus si comel dibawa ke bibir, dikucup dengan penuh kasih sayang. Hati tiba-tiba dihantui rasa bersalah. Masakan tidak, anak dengan ayah tidak pernah berjumpa. Kata ibunya, sebaik doktor memberitahu bahawa dia selamat melahirkan anak mereka, Rayyan terus melangkah pergi, menunaikan janji untuk menebus dosanya sendiri. Sejak itu, hanya titipan nasihat, ungkapan rindu, belaian kasih sayang di angin lalu untuk dirinya dan Auni. 

"Tengah hari ni, abang masak nasi ayam. Abang cuba ikut resepi yang Fifi tulis dalam buku resepi yang abang jumpa, tapi tak jadilah, hehehe...."

Air mata menitis jua. Di hari ke 100 perpisahan mereka, Fifi mengulang baca semua mesej-mesej itu. Dan, setiap satu hanya menyebabkan dia menangis, menangis dan menangis lagi. Hati membentak...

"Kenapa, Rayyan? Kenapa awak buat semua ni? Awak berhenti kerja dengan ayah, awak jual rumah tu, awak duduk sendiri entah di mana, kereta pun awak jual jugak... kenapa? Apa yang awak nak buktikan pada saya?" tangisnya. 

Setiap pagi, kuntuman mekar mawar merah diterima. Kalau dia yang menyambutnya, akan dihidu haruman mewangi namun jika Datin Amira yang bersemuka dengan Aizad, si pemuda dari kedai bunga tersebut, pasti, pasti bunga itu akan dicampak datin masuk ke dalam tong sampah. Ironinya, marah ibu mentua lebih banyak kepada Rayyan berbanding dia yang menjadi mangsa. Aduhaii...

Panggilan telefon daripada Mia mengejutkan lamunannya. "Kau sihat?" 

Fifi tersenyum. Kalau mukaddimahnya begitu maka Fifi tahu bahawa ada sesuatu sedang berbuku di dalam hati teman baiknya itu. 

"Alhamdulillah, aku sihat. Tak nak tanya khabar Auni?" Fifi mengusik. 

"Si tembam tu? Kiss pipi dia untuk aku," 

Fifi membawa telefon rapat ke pipi Auni, tangkap gambar dia cium pipi mulus gebu anaknya lalu terus menghantar MMS. "Dah tengok? Suka?" 

"Hmm," 

Dahi Fifi berkerut. Sebak suara Mia. Isk, isk... dia pulak yang terlebih emo. 

"Fi, kau... kau tak rindukan Rayyan?"

Ah, sudah! Fasal Rayyan rupa-rupanya. 

"Kau rasa, dia rindu aku tak?" Soalan Mia, dijawab dengan soalan. 

"Aku tahu dia rindu sangat pada kau," Mia memberitahu dengan riak sedikit teruja. 

Fifi tersenyum. "Kalau macam tu, aku pun rindukan dia jugak," balasnya penuh semangat. 

"Semalam, kita orang jumpa," 

Dada bergetar, pipi merona merah, kerisauan menjengah. Rayyan? Mia? Uwaaaa.... jangan!

"Fifi, kau dengar tak?" Mia hairan kerana Fifi terus diam tanpa berkata sepatahpun. 

"Kau dating dengan suami aku, Mia?" Cemburu tidak mampu disembunyikan. Lantaklah! Rayyan suami dia, kan? Mestilah cemburu. 

Mia mulanya tidak memahami namun seketika kemudian meledak tawanya. Geli hati kerana sudah berjaya menebak isi hati Fifi untuk Rayyan. Hmm, tahu takut hilang suami tu...

"Dia dengan B, bukan dengan aku la..." 

Pulak? Lagilah Fifi risau. Si Rayyan ni makin teruk ke makin baik? Hati menyoal. 

"Dia orang berdua tu baru balik dari buat umrah sama-sama dengan beberapa orang kampung B. Laki kau sponsor dia orang pergi, Fifi. Dekat tiga minggu dia orang ke Mekah dan Madinah tu. Kata Rayyan, dia teringin nak bawak kau pergi ke sana dalam bulan puasa nanti. Itupun kalau kau sudi," 

Hati memanjat rasa syukur ke hadrat Ilahi. Tidak perlu lagi Mia lanjutkan, dia sudah tahu bahawa Rayyan sudah bersalin kulit. Alhamdulillah. Dia Maha Berkuasa, bisa melembutkan hati yang keras dan memberi hidayah kepada yang Dia inginkan. Bertuahnya Rayyan kerana Allah memilih untuk putihkan hati yang sudah berkarat. Sebaik sudah memutuskan talian, di sisi anak comel mereka yang sudah lena, Fifi mengerjakan sujud syukur, memberitahu Allah bahawa dialah insan paling bahagia, sekarang ini.
.................

"Saya dah sediakan makan tengah hari untuk awak. Balik, ya! Mesti sampai tepat pukul satu, tak boleh lewat. Nanti lauk sejuk, tak sedap!"

Dia melangkah laju menuju ke arah lif. Dia hendak naik ke tingkat lima belas. Sekilas jam tangan diintai, ada lagi lima minit. Syukur, dia tidak lewat. 

Hadiah di tangan, digenggam kemas. Hadiah untuk si dia. Sebagai tanda terima kasih kerana sudi menjemput dirinya untuk makan tengah hari. Apakah ini tanda mereka akan bermula semula?

Terasa gemuruh dada bila loceng rumah ditekan. Gementar sungguh perasaan. Waktu mereka 'dating' kali pertama dulu pun, tidak begini degup jantungnya. Aiseyyy.....

Pintu terbuka. Masing-masing saling memandang dan terpegun. Sudah lama tidak berjumpa, kan? Tentulah gugup. 

Rayyan yang terlebih dahulu mendapat suara, "Assalamualaikum, terima kasih kerana Fifi sudi datang. Jemput masuk!" ujarnya sambil tersenyum, menyembunyikan gelodak rasa yang bertingkah. Antara suka dan takut. Antara bahagia dan resah. Antara bimbang dan pengharapan. 

Fifi tidak tahu bagaimana hendak memulakan. Entah kenapa, dia rasa malu pula dengan penampilan ringkas dirinya hari ini. Bersolek tetaplah bersolek, kan? Maklum hendak bertemu suami. Tapi, Rayyan pula yang kelihatan lebih berseri. 

Rayyan hulurkan tangannya. "Jom, hari ini abang masak lauk special untuk Fifi,"   

Fifi jongket kening. Lauk special? Tahu ke Rayyan lauk kegemarannya? 

"Ta daa..." 

Fifi menekup mulut. Tidak sangka Rayyan masakkan dia gulai lemak nenas dengan ketam. Ada ulam-ulaman dan... sambal kelapa? "Awak buat semua ni?" tanya dia. 

Rayyan angguk. "Dengan bimbingan emak mentua abang yang baik hati, puan Esah," ujarnya sambil tersengih lawa. 

"Come!" Kerusi Fifi ditarik sedikit ke belakang, kemudian ditolak ke hadapan sepertimana yang anda lihat dilakukan pelayan restoran ternama kepada pengunjungnya. Pinggan berisi nasi diletakkan di hadapan Fifi. Ketika Fifi hendak mencedok kuah, Rayyan terlebih dahulu melakukan. Malah, Rayyan mencungkil isi ketam untuk diberi dan dimakan oleh isterinya itu.

"Awak, saya boleh buat ni. Tak selesalah macam ni. Jomlah makan sekali. Sama-sama," Fifi cuba menghalang tetapi Rayyan hanya gelengkan kepala. 

"Satu masa dulu, Fifi pernah buat begini pada abang. Waktu tu, abang langsung tak hargai Fifi. Tapi, bila dah hidup sendirian ni, abang asyik teringat. Abang nak Fifi pula rasa bahagia bila abang buat yang sama untuk Fifi. Sebab, bila Fifi bahagia, itulah bahagia abang sebenarnya," bisik Rayyan lembut sambil menundukkan wajah. Rasa segan pula bila Fifi nampak sepasang mata yang sudah berkaca. Uisy, dah janji tak mahu sedih-sedih, tapi, tetap juga sedih. Hmm....

"Awak..."

Adoii... rasa seram sejuk apabila Fifi memanggilnya lembut sebegitu. Awak pun awaklah... sebutan itu tetap merdu di telinga. 

Rayyan merenung wajah ayu di sebelah. 

"Buka mulut tu. Aaaa... Cepat la!!!" 

Sebaik Rayyan membuka mulutnya, Fifi terus menyuap sambil mengukir senyuman manis di wajah. "Ini yang ingin sangat Fifi lakukan pada abang dulu. Nak makan bersuap-suap dengan abang. Allah dah makbulkan doa Fifi," bisiknya.

Rayyan menangis. Menangis kerana dia amat kesal. Dia tidak pernah menghargai. Dia tidak pernah menjalankan tanggung jawab sebagai suami dengan betul. Dia hanya pentingkan diri. 

Kini, dia melutut di hadapan Fifi. 

Fifi cepat-cepat mengelak. Dia turut sama berlutut. Menghadap suami sambil menyeka manik-manik halus yang menitis di pipi yang cengkung. 

"Cukuplah! Jangan hukum diri abang lagi. Fifi masih bernyawa ni. Anak kita..., anak kita perlukan ayahnya," 

Rayyan menggenggam tangan Fifi, melarikan jemari-jemari halus itu di pipinya.  "Berikan abang syaratnya. Kali ini, abang janji, abang akan tunaikannya." 

Fifi tersenyum nakal. "Ermm, okey. Fifi nak bunga hari-hari tapi tak nak banyak2 macam sekarang. Fifi nak sekuntum aje sehari, Boleh?"

Rayyan angguk. Wajahnya serius bukan main. "Lagi?"

"Abang dah tak nak kerja nine to five, kan. So abang nak tumpu pada rumah tangga kita, so...  ermm,"

"Cakaplah, insyaAllah, abang akan buat,"

Fifi sengih. "Abang masak lunch, Fifi buat dinner. Okey tak?" 

Mengada-adalah pulak huhu... Tapi, Rayyan? Tetap angguk. Rela kot!

Fifi memegang wajah suami dengan dua-dua tangannya. Anak matanya tepat ke anak mata Rayyan. Menggoda perasaan. Namun, bukan itu tujuannya. 

"Kenapa asyik angguk ni? Tak best tau. Mana perginya Rayyan yang menggoda Fifi selalu tu, hmm?" tanya dia. 

"Jangan ingatkan abang pada Rayyan yang itu. Abang malu, Fi. Banyak benar kelemahan... khilaf, kesalahan yang dah dibuat. Rasa macam...." 

Fifi meletakkan jemari halusnya di bibir Rayyan. "Jangan ulang. Lupakan saja!" 

"Tapi,"

Fifi bangun dan membasuh tangan. Rayyan ditarik lantas tangan suami juga dibasuhnya. Selepas itu, dia menarik tangan suami supaya duduk bersama-sama.

"Meh, Fifi nak cerita satu kisah pada abang. Dengar tau, jangan lena pulak," 

Rayyan tergelak sambil memicit hidung comel Fifi. 

"Ada satu kisah di zaman Bani Israil. Dia ni dah buat maksiat kepada Allah selama 40 tahun. Dia tak pernah meninggalkan maksiatnya dan tak pernah sekalipun dia bertaubat.

Diizinkan Allah, datang satu tahun tu, kemarau panjang, hujan tak turun, ternakan semua habis kurus kering, tanaman mati dan sungai kering kontang.

Orang-orang Bani Israil tu pun cakaplah dengan Nabi Musa a.s. 
"Ya Musa, berdoalah kepada Allah supaya menurunkan hujan."
Nabi Musa a.s. pun kumpulkan semua Bani Israil dan mengajak berdoa bersama: 
"Ya Allah turunkanlah hujan...Ya Allah turunkanlah hujan..."
Tahu apa jadi?" 

Rayyan geleng.

"Hujan tetap tidak turun. Jadi Nabi Musa a.s. kan boleh bercakap dengan Allah. Baginda pun bertanya: 
"Ya Tuhanku, mengapakah hujan masih belum turun?"
Maka Allah SWT mewahyukan kepada Nabi Musa: 
"Aku tidak akan turunkan hujan kerana ada seorang lelaki di antara kamu yang telah bermaksiat kepada-Ku selama 40 tahun. Kerana maksiatnya itu, Aku menahan hujan dari turun."
Nabi Musa a.s risaulah, kan. Katanya:
"Jika demikian, apa harus aku lakukan?"
Maka Allah berfirman: 
"Keluarkannya dari tempat ini."
Rayyan tekun mendengar. Dia ingin tahu apakah yang terjadi. Begitu bersungguh wajahnya. 

Fifi meneruskan, "Nabi Musa pun terus cakap macam ni kepada kaumnya:
Wahai Bani Israil, di antara kita ini ada seorang yang telah bermaksiat kepada Allah selama 40 tahun. Dan kerana maksiatnya itulah Allah telah menahan hujan dari turun. Dan Dia tidak akan menurunkan hujan sehinggalah si pemaksiat itu keluar meninggalkan kita. Maka, keluarlah dari sini siapa pun kamu wahai pemaksiat!
Rayyan jadi sebak. Seakan-akan dialah si pemaksiat itu. Kasihan, kerana terpaksa membawa diri meninggalkan kaumnya. 

"Abang, abang tahu tak apa yang terjadi? Orang tu tahulah kan yang Allah maksudkan diri dia. Dia tengok sekeliling. Tak ada yang keluar. Sah, memang dialah, kan? Tahu apa dia buat?" Fifi bertanya sambil mengusap tangan suami, penuh kasih sayang. 

"Dia mula bermunajat kepada Allah SWT: 
Ya Tuhanku, aku telah bermaksiat kepada-Mu selama 40 tahun... Kau menutup maksiatku itu dari pengetahuan ramai... Dan jika aku keluar pada hari ini, maka akan terbongkarlah aibku... Aku berjanji kepada-Mu aku tidak akan kembali lagi melakukan maksiat ini... Ampunilah aku ya Allah... Tutupilah aibku ya Allah...
Rayyan pandang wajah Fifi tidak berkelip. 

"Ya, bang! Dia munajat, dia merayu dalam hati agar Allah menutup aibnya lagi. Sebab dia ikhlas, dia jujur dan dia taubat, sesungguh taubat... maka dengan kehendak-Nya, hujan pun mula turun. 

Jadi Nabi Musa pun hairan. Nabi Musa bertanya kepada Allah,"
Ya Rabb, Kau telah turunkan hujan, tetapi tiada seorang pun yang keluar meninggalkan kami.
Kata Allah: 
"Wahai Musa, Aku turunkan hujan kerana kegembiraan Ku dengan taubat hamba-Ku yang telah bermaksiat selama 40 tahun itu."
Nabi Musa balas: 
"Tunjukkanlah aku siapa orang itu, supaya dapat aku sampaikan berita gembira ini."
Tapi, Allah SWT berfirman: 
Wahai Musa, dia telah bermaksiat kepada-Ku selama 40 tahun dan Aku menutup maksiatnya itu. Maka adakah pada hari dia kembali kepada-Ku, Aku akan mendedahkan siapa dia?
"Sayang, kalau Allah SWT boleh tutup aib seorang hambaNya yang dah buat  maksiat selama 40 tahun, Dia ampunkan dosa-dosa hambaNya itu bila lelaki itu bertaubat, kenapa Fifi tak boleh tutup aib suami Fifi sendiri? Kenapa abang tak lupakan saja semuanya? Mendedahkan aib tu satu dosa besar yang sangat dibenci Allah SWT, bang. Cukuplah! Yang penting, abang tak akan ulang lagi semuanya. Kan?" Fifi memujuk, membiarkan Rayyan bersama tangisannya. Membiarkan si Kasanova menangisi perbuatan silam untuk kali terakhir. Kerana, harapannya, biarlah selepas ini, perubahan suaminya menjadi total. Untuk diri dan agamanya. Bukan lagi untuk Fifi atau dipaksa.

"Fifi banyak dosa pada abang sebenarnya. Fifi bukan isteri yang baik juga. Selalu marah dan mengumpat suami sendiri. Kalaulah abang tak ampunkan, kesian..."

"Jangan cakap macam tu. Lupakan! Kita mula semula. Kali ini, abang akan naungi Fifi dengan cinta abang. Sudi terima cinta si kasanova ni?" 

...................

10

"......Sudi terima cinta si kasanova ni?"

Fifi tersenyum mendengar soalan itu. Cinta si kasanova? Hmm...

"Kenapa Fifi senyum?" Rayyan yang keliru bertanya. Sungguh, senyuman itu menyebabkan hati tidak tenteram. Rasa macam Fifi sedang mengutuk dirinya di dalam hati.

"Berapa banyak girlfriend abang sekarang?" Fifi tidak menjawab soalan Rayyan sebaliknya dia bertanya sesuatu yang menyebabkan Rayyan terasa nafasnya semput. Kenapa itu yang Fifi tanyakan kepadanya? Masih tidak yakinkah Fifi dengan dirinya?

"Fifi masih tak percaya pada abang. Fifi masih curiga lagi nampaknya," Rayyan bangun. Ingin mententeramkan hati yang sedikit kecewa. 

Fifi pantas sahaja memeluk tubuh suaminya daripada belakang. "Fifi percaya dan tak lagi curiga atau cemburu, bang. Cuma,"

"Apa? Cakaplah, Fi. Abang sedih kalau dalam hati isteri abang masih ada secubit rasa tak percaya. Abang tak sanggup,"

Fifi menekup mulut suaminya. Senyum tetap menari di bibir. Seronoknya apabila dapat melihat suami yang hilang keyakinan diri hanya kerana bimbang dia menolak kasih yang entah banyak mana sudah dihulurkan. Kali pertama melihat Rayyan gugah dalam menagih cinta seorang Fifi Adriana. "Tahu tak yang abang tak layak lagi bergelar kasanova?" tanya dia. 

Dahi Rayyan berkerut sudah. "Tak faham," katanya. 

Fifi memicit hidung suaminya. "Kenapa masih menggelar diri tu kasanova apabila perangai playboy tu semua dah dibuang jauh? Abang bukan buaya darat dah, kan? Nina, Sally entah siapa-siapa tu dah tak huni hati abang lagi, betul? Atau..."

Rayyan cepat-cepat mencelah, "Tak ada! Dia orang tu dah mati semuanya. Sumpah!"

Fifi ketawa mendengarnya. Ketawa bahagia bersama rasa syukur yang tidak pernah putus kepada Ilahi yang membuka hati nurani Rayyan untuk berubah. 

"Abang nak buat confession, tapi, kita kena duduk kat sofa. Berpeluk macam ni, otak abang kacaulah, sayang," bisik Rayyan di telinga. Mata dikenyitkan sebelum menarik tangan isterinya untuk duduk. Duduk pun jauh-jauh sahaja kerana Rayyan tidak mahu hilang fokus. Perkara yang hendak dibincangkan ini amat penting. Penting untuk masa hadapan mereka. Penting untuk dia meyakinkan Fifi supaya perkahwinan mereka akan menjanjikan hanya bahagia nanti.  

"Abang terlalu sombong, kan?"

"Dulu," balas Fifi. 

Rayyan angguk. "Dulu. Hati abang penuh kemarahan bila mummy suruh abang kahwin dengan Fifi. Fifi yang sombong dengan abang,"

Fifi mengecilkan sepasang mata. "Fifi sombong dengan abang? Bila masa?" soalnya penuh keliru.

"Fifi tak sedar kot. Mata Fifi tu bila tengok abang dulu, penuh kebencian, tahu tak? Fifi macam jijik tengok abang. Tiap kali nampak abang, Fifi mesti mengelak. Abang sakit hati, tahu tak?"

Bulat sepasang mata bundar si isteri. Tidak menyangka bahawa itu yang Rayyan rasa. Tak mengerti mengapa Rayyan mesti ambil pot tentang apa yang dia lakukan. Dia bukan sesiapa???

"Kita membesar dalam rumah yang sama tapi abang tak pernah dapat peluang mengenali Fifi. Fifi asyik sembunyikan diri daripada abang. Geram tau," Rayyan meluahkan apa yang dia rasa. Yang terpendam sekian lama. 

Fifi kehairanan. "Fifi tak sangka pulak semua tu buat abang kecil hati. Siapalah Fifi ni, bang. Anak orang gaji abang aje, kan?" 

"Mungkin itulah cinta yang tak terungkap, Fi. Cinta yang diterjemah dalam keegoan. Abang rasa terhina dengan lirikan mata Fifi yang penuh benci jadi abang balasnya dengan memiliki semua perempuan yang mahukan abang. Tapi, abang tak pernah tidur dengan mereka, Fi. Tidak sebelum kita kahwin, tidak juga selepasnya," Rayyan memberitahu. Nafas dihembus perlahan. Malu hendak mengungkap semua keburukan tapi ini yang terakhir kali. Selepas ini tidak lagi!

"Mungkin Fifi tak percaya cakap abang tapi ini kebenarannya. Abang tak tahu kenapa abang mabuk pertama kali dulu tu. Tapi, percayalah, Fi. Entah kenapa, setiap kali abang mabuk, abang teringat satu cerita tentang seorang alim yang akhirnya minum dan berzina. Macam ada suara berbisik agar abang tak jadi seperti dia. Itu yang berlaku, Fifi. Sampai abang rasa macam nak pecah kepala ni bila dengar bisikan tu. Kadang-kadang, abang rasa bulu roma abang tegak dan abang jadi takut. Tapi, dalam masa sama, abang terus jugak minum. Pelik betul!" 

Fifi menggelengkan kepala. "Tak ada yang pelik dan mustahil apabila Dia menghendakinya. Ada seorang mualaf ni, bang. Waktu dia kecil, tiap kali dia makan khinzir, dia muntah. Semakin dia besar, semakin dia tak suka sehingga satu masa, bau benda tu pun dia tak lalu nak hidu. Rupa-rupanya, Allah hendak dia menjadi seorang muslim. Ketika umurnya 19 tahun, dia masuk Islam. Nur Islam dah ada dalam dirinya sejak dia kecil lagi. Kan, bang?"

Rayyan angguk. "Bertuahnya dia. Berbanding abang. Abang lahir sebagai seorang Islam tapi perbuatan langsung tak cerminkan diri seorang Muslim. Malunya!"

Fifi mendekat, mencapai jemari suami dan mengucupi setiap satu dengan sepasang mata yang berkaca. "Dahlah! Allah itu pengasih dan penyayang. Penerima taubat hamba yang sudah insaf dan bertaubat nasuha. Fifi dan anak-anak kita perlukan Rayyan yang baru ini. Kami yakin dengan dia, dengan perubahannya. Insya-Allah, Rayyan ini mampu menjadi imam kami. Menjadi pembimbing kami," 

Rayyan mengucup dahi isteri penuh kasih sayang. Kucupan itu turun ke mata Fifi yang terpejam. Dalam hati berbisik, "Izinkan abang mencintai Fifi. Izinkan abang memiliki hati Fifi. Kerana abang cintakan Fifi. Abang janji, abang akan berusaha menunaikan permintaan Fifi. Insya-Allah, abang akan menjadi imam dan pembimbing Fifi dan anak-anak kita nanti."
.............

"You have changed," 

Rayyan tersenyum mendengar kata-kata Alan. Ketika ini, dia, Alan dan Adam sedang santai berehat di lounge selepas penat bermain golf. Dia yang mengatur pertemuan ini. Dia ingin menyelesaikan semua perkara di antara mereka. 

"Biasalah, Alan. Orang takut bini!" Adam menuduh. Mencabar sebenarnya. Tahu bahawa Rayyan akan naik angin apabila dia berkata begitu. 

Tetapi, itu dulu. Dulu, Rayyan akui dirinya pantang dicabar. Bagaimanapun, semua itu sudah berubah. 

"Aku tak takut dia tapi aku takut kehilangannya, Adam. Aku pernah kehilangan dia sekali dan pengalaman tu amat perit. Aku tak sanggup lagi nak rasainya," dia mengaku.

"Alah, dia tu tak akan tinggalkan kau punya. Kau tu aje yang bodoh, Rayyan. Haira betul! Perempuan macam dia tu pun, kau sanggup tunggu," sekali lagi Adam memprovok dan sekali lagi, Rayyan tidak peduli. Dahi Adam berkerut. Tidak mengerti. 

"Sunyi kita orang kau tak ada, Rayyan," Alan guna reverse psychology pula. Tahu yang Rayyan tak akan mampu ditewaskan dengan cara kasar Adam.        

Rayyan hanya ketawa. Dalam hati sedih sekali. Sedih kerana mengetahui bahawa begitu sekali jahatnya dia sehingga kawan-kawannya ini menggunakan pelbagai cara untuk memujuk agar dia kembali kepada kesesatan. 

"Aku ni tak istimewa mana, Alan. Jadi, izinkan aku tarik diri. Aku bukan kata korang jahat cuma aku yang hendak berubah. Kita tak sehaluan dah. Tapi, kalau korang nak ajak aku main golf, okey aje. Aku akan temankan. Cuma... my nightlife is with my family now. So sorry," 

Rayyan bangun menghulurkan tangan kepada dua teman yang disayangi. Sebaik tangannya disambut Alan, tubuh Alan dipeluk rapat. Begitu juga dengan Adam. Dia kemudian pergi. Meninggalkan teman-temannya dengan hati yang tersangat lapang. Senyum menghiasi bibir. Dia bahagia. 
.................

"Abang, boleh tak abang tengok arah lain? Fifi tak selesalah abang asyik tengok Auni menyusu," pinta Fifi sambil menarik baju ke bawah, mengelak perhatian melampau Rayyan kepadanya. 

"Fi, lemaslah Auni, Fifi buat dia macam tu," Rayyan ketawa sambil cuba mengusik lagi. Kemarahan Fifi sedikit pun tidak diendahkan. 

Datin Amira menepuk belakang bahu Rayyan. Terlompat dia kesakitan. 
"Mummy!" jeritnya. 

"Padan muka kamu. Gatal sangat!" datin pura-pura marah. Mak Esah yang membawa minuman petang, turut tersenyum. 

Rayyan kembali duduk di sisi isterinya. Memeluk bahu lantas mencium pipinya. Sebaik Auni selesai menyusu, dia mengangkat tubuh anaknya, meletakkan si comel di atas bahu lantas menepuk belakang Auni perlahan-lahan sehinggalah si comel sendawa. 

"Anak papa dah kenyang, ya? Dah ngantuk? Alah, mainlah dengan papa dulu. Ya! Ya!" 

Terharu melihat si ayah yang kini sedang mencium si anak dengan penuh kasih. Sesungguhnya, Rayyan terlalu menyayangi. Kasih sayangnya tidak perlu dipertikai lagi. 

"Fifi, Fifi..."

Fifi mengerutkan dahi. Kenapa pula suaminya terjerit-jerit ni?

"Fi, Auni senyum dengan abang la. Fi, tengok ni!"

Semua menyaksikannya. Melihat anak comel itu tersenyum kepada ayahnya. 

Rayyan? Air mata sudah bergenang. Seronok tak boleh hendak diluahkan. Tanpa kata, tubuh isteri ditarik ke dalam dakapannya. Dipeluk erat. Mengungkap bahagia. Mengungkap terima kasih melalui isyarat tubuhnya. 
................

semoga lakaran ini memberi keindahan kepada hari anda. semoga puas kerana berakhir dengan hepi ending. dan semoga bersabar menanti sebuah cereka baharu. kisah cinta penuh penentangan sehingga lelaki menjauh membawa rajuk, sehingga si perempuan membenci kerana ditinggalkan. Pertemuan kedua yang penuh prasangka namun cinta tak pernah padam di antara Qalisya dengan Redza. 

tunggu, ya! 

14 comments :

  1. Memang best dan menginsafkan,bab selalu mengumpat suami sendiri tu la,hehehe...nak kena minta ampun gak ni.


    Mawardah

    ReplyDelete
    Replies
    1. kita manusia biasa yg sering alpa mawardah

      Delete
  2. Assalamualaikum...dah bnyk kali bc cerpen nie dan masih lg terasa sebak bila mbacanya...idea menarik...olahan yg padat dan sarat dengan pgajaran....... # manusia tidak pernah ada kesempurnaan..

    ReplyDelete
    Replies
    1. sememangnya manusia itu tidak sempurna dan perlu untuk saling menasihat...

      Delete
  3. sofi…cerita yg mempunyai byk pengajaran..thumbs up for you

    ReplyDelete
  4. Best kak.....byk pengajaran dan simbolik ttg sebuah persahabatan yg membawa seseorg itu menjd baik atau sebaliknya.

    ReplyDelete
  5. terbaik cerpen ni..padat n penuh berilmiah..

    ReplyDelete
  6. best n bnyak pengajaran dlm cerpen nie......

    ReplyDelete

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.