Follow Us @soratemplates

7.3.14

Masihkah Cinta? 27

"Babah!"

Kedua-dua lelaki menoleh ke arah suara halus itu. Kemudian, mereka saling berpandangan. Tidak lama selepas itu, tawa mereka meletus sebelum seorang daripadanya mengangkat tangan, tanda mengalah.

"Maaf, Man. Aku lupa." Safiy tersengih setelah menyedari kesilapannya. 


Luqman sengaja menunjukkan wajah tegang. "Itu nasib baik, Uwaisy. Kalau Tina panggil abang, kau toleh jugak... makan penumbuk kau hari ini," ujarnya selamba. 

Safiy tetap tersengih. Faham bahawa Luqman hanya bergurau dengannya. 

Uwaisy sudah berdiri di hadapan mereka. Umurnya kini tujuh tahun. Comelnya bukan main. Sudahpun bersekolah dalam tahun satu. 

"Babah, cikgu kasi borang suruh babah isi." Uwaisy hulurkan borang tersebut kepada Luqman. 

"Boleh tak Uwaisy bacakan? Babah dengan papa tak nampaklah apa cikgu Uwaisy tulis ni," ujar Luqman, mengembalikan borang itu ke tangan anaknya semula. 

Safiy perhatikan wajah Uwaisy yang kelihatan gembira. Biasalah anak-anak! Daripada pemerhatiannya, Luqman cuba mengumpulkan keyakinan diri kepada anak  kecil itu. Dia berbangga melihat cara Luqman mendidik Uwaisy. Tegas dalam masa yang sama amat menyayangi. Rasanya, Luqman lebih menyayangi Uwaisy berbanding dia. 

"Hai, jauh mengelamun?" 

Teguran Luqman menyebabkan Safiy sedikit terpanar. "Maaflah, Man. Aku tak dengar apa kau cakap tadi." 

"Uwaisy dah lancar membaca. Kau dengar tadi. Kan?" 

Safiy renung wajah Uwaisy. Terus dia menepuk bahu anaknya. "Well done, my son!"

"Thanks, papa. So, papa nak derma banyak mana? Kata cikgu, derma dari papa dengan babah dapat bantu PIBG sekolah. Nanti sekolah boleh buat banyak benda untuk kita orang." Uwaisy teruja apabila dipuji papanya. Dalam usia semuda itu, dia sudah diberitahu oleh ibunya bahawa dia ada dua orang ayah. Sukar hendak faham, maklumlah budak-budak tetapi dia berasa seronok pula. Dengan dua orang ayah, dia boleh minta apa sahaja. Hanya... umi yang selalu menahan. Tak beri dia minta lebih-lebih. Umi tu, Qistinalah!

"Kalau both of you nak menderma, tulis cek, tau! Esok, masa hantar Uwaisy, boleh Tina terus jumpa cikgu kelas dia untuk bagi cek tu." Qistina memberitahu sambil meletakkan talam berisi minuman petang di atas meja. 

"Okey, no problem," balas Safiy. Matanya melirik ke arah Qistina. Masih cantik, masih slim seperti dahulu. Tiap kali berjumpa, setiap kali itu juga dia kagum dengan wanita ini. Pandai benar menjaga penampilan diri. Sentiasa bergaya dengan wajah yang berseri. 

"Tina, abang rasa, Safiy ni dah patut kahwin la! Abang risau bila dia asyik tengok Tina tak berkelip bijik mata dia macam tu." Luqman berbisik setelah dia menarik Qistina mendekatinya. Yalah, hati mana tak tergugat. Tujuh tahun ke, setahun ke, bertahun-tahun ke usia perkahwinannya dengan Qistina, rasa risau itu tetap ada. Risau kalau-kalau masih ada rasa yang tertinggal dalam hati Safiy. 

Qistina mengangguk, menyetujui kata-kata Luqman. Dia pun ada sedikit gundah. Biarpun Safiy tak pernah mengulangi perbuatan lampau tapi, hati orang, kan? Qistina tahu bahawa dia dan Luqman tidak boleh berburuk sangka,  namun sekadar berjaga-jaga perlu juga ada dalam hati dan perasaan, fikirnya.  

Waktu itu, dua buah kereta memasuki pekarangan rumah. Biasalah. Kedai sudah ditutup jadi Norsya, Maheran juga Kak Raihah dan Abang Musa mesti ke mari. Nak buat laporan kepada bos yang selalu ponteng sejak berkahwin kali kedua ini. 

Hmm, Norsya! Mulalah Qistina dengan Luqman berbalas pandang. Sama-sama memikirkan benda yang dibisikkan tadi. Norsya kan single? Belum bertemu jodoh. Siti Haida sudah berhenti kerja selepas berkahwin. Sudah dapat dua orang anak pun!

Seorang kanak-kanak perempuan yang sangat comel berlari ke arah mereka. Luqman mendepangkan tangan lalu mendukung si kecil. "Acik Sya ada pukul Ima tak?" soalnya sengaja mahu mengusik Norsya. 

Ima, singkatan untuk Nurhasyimah binti Mifzal Luqman, adik Uwaisy. Umurnya sudah menjangkau empat tahun. Menjadi kesayangan semua orang. 

"Ada! Acik cubit kat sini." Ima terus tunjuk paha gebunya menyebabkan semua orang ketawa geli hati. 

"Ima buat apa sampai kena cubit tu?" tanya Qistina sambil menyuruh bibik, pembantu rumahnya meletakkan hidangan di meja berdekatan. 

"Ima pukul anak kucing tadi." 

"Oh, patutlah pun kena pukul. Kenapa kejam sangat pukul kucing bagai?" Qistina membulatkan bola matanya kepada Ima. Ima semakin eratkan pelukan di leher papanya. Takut dia apabila umi sudah bersuara tegas macam tu. 

"Tina," tegur Maheran.

"Kau ni! Aku dah marah dia tadi, cukuplah! Garang sangat! Macam mak singa." Norsya pula tunjuk rasa sayang yang melebih-lebih kepada Ima. 

"Safiy? Kenapa gelak? Sokong Sya, ya? Kau orang berdua ni... Tina kahwinkan, baru tahu!" Qistina pura-pura geramkan Safiy yang sedang gelak. Kata-kata yang terus menyebabkan Safiy pandang muka Norsya. Norsya apa lagi? Terus merahlah muka dia! Hmm...

Perhatian berubah kini. Tidak lagi kepada Ima tetapi berpaling kepada duda dan anak dara pula. Mulalah usik mengusik. Mulalah giat menggiat.

"Safiy, sampai bila nak hidup sorang-sorang. Ni, Norsya ni semua pandai buat. Masak, kemas rumah... Bagus budak ni!" Maheran mengumpan. 

Safiy ketawa memanjang. Tidak menyahut sepatah pun. Dia tahu, kalau cakap tak mahu, siapa peduli. Makin memaksa nanti...  

Norsya pun sama. Malas hendak bersuara. Tapi, dalam hati, kalau Safiy sudi, seribu kali dia sudi. Sebab dia tahu, Safiy versi dewasa ini jauh lebih baik daripada Safiy yang dahulu. Tapi, apa-apa pun, Safiylah yang kena berusaha. Norsya kan perempuan? 
..................

"Sayang, jangan lupa doakan supaya hati Safiy terbuka untuk terima Sya, ya!" 


Luqman berpaling menghadap wajah isteri yang kelihatan begitu bersungguh-sungguh mahukan dia berdoa untuk bekas suaminya. Dia tersenyum, mengangkat tangan, menadah ke langit agar Allah mendengar permintaan isterinya yang dititipkan dalam doa kudus mereka. Selepas berdoa, ketika Qistina tunduk mencium tangannya, dia berbisik lembut, "Jangan risau sangat. Percayalah yang Allah itu adil. Insya-Allah, akan terbuka hati Safiy untuk kahwin lagi. Kalau tak dengan Norsya pun, dengan perempuan lain."


Tina mengangguk. "Tina nak tengok dia bahagia semula, bang. Dah lama sangat dia membujang. Lagipun, Tina tak selesa..." 


Luqman cubit pipi lembut isterinya sambil ketawa-ketawa. Dia kemudian menarik Qistina berdiri rapat di sebelahnya lantas mencium pipi isterinya itu lama dan penuh asyik. 

"Kenapa tak selesa? Dah bertahun-tahun dah, Tina. Kalau dia nak rebut Tina daripada abang, dari dulu dia dah buat," pujuknya.


"Bukan dia, bang. Tina. Tina yang tak selesa bila dia ada di antara kita." 


Luqman jongketkan kening. "Kenapa?" soalnya bersama senyuman.


"Tina takut abang cemburu. Tina takut satu masa, satu ketika, katalah kami duduk berdua, abang balik dan abang mula tuduh-tuduh Tina. Tina takut... takut kehilangan kepercayaan abang pada Tina," ujar Qistina lembut. 


Lama Luqman memerhati raut isteri yang bersungguh-sungguh meluahkan isi hati. Dia kemudian menarik tangan Qistina untuk mereka sama-sama berdiri di balkoni. Sama-sama merenung bulan yang sedang mengambang di dada langit malam yang cerah. Qistina disuruh berdiri di hadapannya dan kemudian tubuh itu didakap erat-erat daripada belakang. Dagunya diletakkan di atas bahu si isteri. 


"Dah lama kita kahwin. Dah lama kita hidup sama. Hati abang ni tak pernah ragu pada Tina. Sebab, kita sama-sama cintakan Allah di tempat nombor satu, kan? Tina yang ajar abang supaya sentiasa redha, terima takdir dengan hati yang terbuka. Jadi, kenapa nak takut pada bisikan-bisikan syaitan tu? Sekarang, Allah pinjamkan Tina pada abang. Tapi kalaulah takdirya Allah tarik balik rezeki ni, Dia nak Tina gembirakan Safiy, siapa abang nak halang?"


Qistina cepat-cepat berpaling, berjengket lantas mengucup bibir Luqman sehingga suaminya itu membalas dalam kemesraan. Cepat-cepat dia melarikan wajah. Malu apabila senyum Luqman indah terlakar.


"Dah goda abang, lepas tu tahu malu." Luqman mengusik dalam tawa yang galak. Ketawa yang akhirnya bersambut dengan tawa Qistina juga. Sekali lagi mereka berdakapan. Lebih erat, lebih rapat dari tadi. 

"Abang yakin pada Tina. Berdoalah semoga kita tak diuji lagi. Semoga kasih sayang ini kekal sampai mati. Hmm?"


Qistina mengangguk. Dia bahagia mendengar kata-kata Luqman itu. Ya, lepas ni, Safiy kahwin atau tidak, bukan lagi perkara penting untuk difikirkannya. Yang dia mahu agar antara dirinya dan Luqman kekal bahagia bersama-sama dua cahaya mata mereka, Uwaisy dan Ima. 


"Tina sayang, cinta, kasih... pada abang. Terima kasih sebab beri Tina bahagia, bang," bisiknya.


Luqman mengangguk. "Terima kasih sebab bawa abang pulang dari kesesatan. Terima kasih sebab sudi jadi isteri abang. Abang sayang, cinta, kasih.... pada Tina. Tina nyawa abang."


Ungkapan cinta suami sentiasa dinanti isteri. Dengarkanlah agar hati rasa bahagia. Bisikkanlah agar isteri tersenyum mendengarnya. 


Love is a never ending story. Anywhere, anyone, will fall in love and will fall out of it. But, they never quit loving. 


Tetap juga ada cinta di dalam hati. Jadi usahlah bertanya.... Masihkah cinta? 


.............. 

17 ulasan:

  1. keke,.kawenkan je bdk berdua tu hehe
    kn dh kne kiss ngan Tina,.ckp la camtu lg hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe, romantik gitu bila ada usik mengusik dalam rumahtangga

      Padam
  2. Akhirnya mereka bahagia...Safiy pun dah blh terima kenyataan..sukaaaaaa!!

    BalasPadam
    Balasan
    1. mestilah terima... salah sendiri kan?

      Padam
  3. tak sangka ada lagi sambungan citer ni.
    tq cikgu sofi. I like...

    BalasPadam
  4. Wah, ingatkan bab hari tu yg last. Ada lagi rupanya. Hehe.

    Moga takde lagi anasir yg gangu hubungan depa berdua ni. Safiy pun nampaknya dah boleh terima kenyataan.

    BalasPadam
  5. sweet jk dorg ni...arp bhagiala kn...

    BalasPadam
    Balasan
    1. begitullah harapan kak sofi juga

      Padam
  6. sweet la crt ni..
    brlah pas ni safiy kawen....
    hehhheheh...
    stiap org brhak bhgia...

    BalasPadam
    Balasan
    1. btol tu.. supaya masing2 lupakan kisah lama...

      Padam
  7. best sesangat kak sofi!!!...

    BalasPadam
  8. Best,best 4 bintang. Marathon saya bca.

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.