Langkau ke kandungan utama

Ada Untuk Mu - edisi cerpen penuh


1

"Hoi"

"Adoiii... sakitlah mamat! Meh aku lepuk kepala kau pulak!"

Ira geleng kepala tengok gelagat dua orang kawan baiknya. Yang perempuan namanya Aminah Amin, mesra dipanggil Mina. Yang lelaki, mereka gelar Adha, singkatan untuk Aidil Adha. Kedua-duanya memang macam anjing dengan kucing, pantang jumpa mesti kelahi. Tapi, tak pernah pulak ada yang merajuk, atau masam muka. Dah lebih 12 tahun berkawan, tetap mesra.

"Kau tengok apa, Mina? Khayal semacam aje? Dah macam orang angau dah," Adha masih hendak mengusik.

Ira mengangguk. "Iyalah, Mina. Sejak dua tiga hari ni kau asyik macam ni. Asyik senyum-senyum, sorang-sorang, macam kerang busuk. Apasal?" tanya dia.

"Ya ke aku macam tu?"

Ira dan Adha balas-balas pandang. "Macam apa?" serentak mereka bertanya.

"Laa, kan tadi Adha cakap aku macam orang sasau? Iya ke?" Mina inginkan kepastian. Tak naklah jadi sasau bagai. Muda lagi, kan. Baru nak habis semester dua. Minggu depan baru nak exam. Kahwin pun belum lagi, fikirnya dan senyum pun terukir.

"Bukan sasau lagi dah. Dah di tahap kronik. Silap haribulan kena hantar ke Tanjung Rambutan," gerutu Adha. Rimasnya tengok Mina macam ni. Dah macam orang tak betul sejak kenal dengan Safwan Faizal.

Siapa Safwan Faizal? Siapa lagi kalau bukan presiden Persatuan Romeo-romeo universiti? Entah macam mana dia dengan Mina boleh terserempak, entah. Tahu-tahu, Mina dah jadi macam burung pungguk rindu pada bulan.

"Aku rasa dah jadi macam Cinderella, korang. Bayangkan, aku terjatuh kat dalam longkang tu. Dia tolong tarik aku bangun. Lepas tu, sebab aku dah tak tahu nak cakap apa bila tengok muka dia, malu lagi sebab nyaris tak baring dalam longkang tu, dia, dengan suara garau dia tu, tanya aku. Awak okey ke? Makk, luruh jantung aku ni,"

Adha juih bibir. "Yalah tu! Lepas tu, kawan-kawan dia gelakkan kau. Kau malu. Terus lari sampai tertanggal dua-dua kasut. Sampai kat bilik, melecet habis kaki. Kan?" sindirnya.

Mina gelak. "Tengok! Cinderella tinggal satu kasut aje. Aku tinggalkan dua-dua pada Prince Charming aku tu, untuk dia simpan buat kenangan," katanya riang.

"Ada hati nak jadi Cinderella? Kalau muka tu lawa, tak apalah jugak. Weh, kau ni, Mina. Kalau nak sangkut pun, agak-agaklah! Anak orang kaya tu! Mana padan dengan anak drebar teksi macam kau?"

Sindiran pedas Adha buat Mina terus sedar diri. Ketawa pun dah berhenti sendiri. Muka dah kelat dah.

"Tapi, Adha, Cinderella pun bukan puteri, tau! Dia pun orang biasa2 aje. Tapi sebab dah jodoh, dia dapat tackle si Charming tu. Jadi, tak mustahil kalau Mina pun berjaya pikat Safwan Faizal. Betul tak?"

Mina tengok muka Ira dengan penuh rasa sayang. Terus peluk. "Kaulah kawan aku dunia akhirat! Sentiasa sokong aku, terima kasih," ucapnya dengan girang. Kegirangan itu tak bertahan lama sebab di muka pintu kafetaria sekarang, 'Prince Charming' sedang berdiri.berdua dengan tangan memaut pinggang seorang gadis cun melecun. Ouch, rasa hati macam kena gigit. Sakit dan pedih.

Adha gelak. "Kesian kau, Mina. putera idaman dah ada puterinya. Melepas!" bisiknya.

Pasangan itu duduk di satu meja, di hadapan mereka. Nampak sangat mesra. Nampak sangat cocok. Sangat bahagia. Bila pandangan bertaut, Mina cepat-cepat toleh. Tak sanggup bertentang mata dengan putera idaman yang hensem. Nanti, jantung jadi tak normal. Nanti, hati berharap sedangkan dia tahu, antara mereka, macam langit dengan bumi.
................

"Sayang, kenapa asyik tengok sana? Girls dua orang tu tak secantik I, pun! Tak kan you suka kat dia orang?"

Suara Leela mengejutkan Safwan. Mata yang tadi melekat pada gadis yang berbaju kurung biru terus tengok sebelah. Dia senyum lantas menyindir. "You cantik ke? I rasa, kalau you tak pakai mekap,  tentu I tak selera tau,"

"What? Sampai hati you, Saf, cakap I macam tu? Kenapa? You dah minat pada budak tu ke? Yang pakai baju kurung biru tu? Tudung macam tudung mak cik nak pergi pasar malam tu? Pergilah tackle dia. Biar jatuh saham you. Perempuan macam tu pun you boleh terpikat," Mulut jahat Leela menjerkah. Hati yang sedia sakit sebab Safwan mungkir janji, semakin geram. Kata nak pergi makan. Ingat nak makan di  Oasis Food Court: Portuguese Grill Fish , kat  Mid Valley. Boleh juga ajak shopping lepas tu. Rupa-rupanya di kafe universiti saja. Mana tak sakit hati?

Safwan bukannya minat sangat dengan perempuan berbaju kurung biru tu. Cuma, dia tertarik sahaja. Dia pun tahu yang perempuan tu 'out of his class!' Jauh! Kalau dia dah gila pilih budak tu, tentu gagal juga bila kena tapisan mama nanti. Menantu mama, takkan budak macam tu, kan?

Teringat pada pertemuan pertama semasa di koperasi tempoh hari.

"Adik, tolong abang, boleh? Abang ada hal sikit, jadi adik tolong fotostat, ya. Muka surat yang nak difotostat tu, dah abang tanda. Nanti, dalam sepuluh minit, abang datang balik,"

Ketika dia baru hendak mengatur langkah menuju ke kereta, satu suara halus menjerit lantang. "Awak! Berhenti! Berhenti, saya cakap! Awak dengar tak?"

Safwan berpaling. Gadis yang dia minta tolong tadi sedang bercekak pinggang dengan muka langsung tak senyum. Merah padam pulak tu! Marahlah, katakan!

Melihat dia dah jadi pak pacak, gadis itu mendekat dan terus letakkan buku yang diamanahkannya untuk fotostat tadi. "Saya mintak maaf. Saya tak boleh tolong awak fotostat sebab saya dah nak balik. Suruh orang lain ajelah, ya!"

Masa itulah, gadis itu terus terjatuh dalam longkang kecil berhampiran. Itulah, dah buat dosa! Apa salahnya balik lewat sikit sebab tolong orang. Kan dapat pahala? Tapi, rasa kasihan menyebabkan dia hulur tangan dan angkat budak tu. Tak sangka pulak, geng semua nak gelak. Kesian tengok muka si dia dah merah padam. Lagi kesian bila tengok si dia lari dan tertinggal sepasang kasutnya. Nak panggil, tak tahu nama.

Hmm, kasut! Nak pulangkan ke, tidak? Budak tu dah ada depan mata ni!

"Aku rasa, kasut kau tu dia dah buang dalam tong sampah, Mina," Adha menuduh.

Mina renung anak mata Adha. "Kau rasa dia tergamak ke buang kasut aku tu?" soalnya perlahan. Sebaklah pulak.

Ira yang menyahut. "Tentulah! Kalau tidak, dia dah bagi kau dah. Bukan sekejap dia duduk di situ, kan? Takkan dia tak ingat pada kau kot?"

Ya, betul tu! Lelaki itu nak simpan kasut dia ke? Kasut buruk tu? Bukan kasut kaca si Cinderella.

Pipi dicubit-cubit. "Wake up, girl! Stop daydreaming. You are not his Cinderella and he is not your prince Charming. Say goodbye to your hopeless hopes!".
...................

2

Mina rasa pipinya pijar aje sekarang ni. Kepala rasa berat sampai nak panggungkannya pun tak larat. Kalau boleh, nak tunduk, lepas tu kira berapa banyak habuk ada kat atas lantai ni. Biar begini sampailah tiba gilirannya untuk masuk ke dalam bilik yang pintunya kayu nyatoh, kat hujung sana tu.

Dah dekat sejam dia tiba di sini, duduk bersama-sama dengan gadis-gadis anggun yang bilangannya lebih dua puluh orang. Melihat mereka, dia rasa rendah diri sangat. Macam dah tahu yang dia bakal gagal dalam temuduga ini. Tapi, nak buat macam mana? Dia tak reti nak bergaya. Nak pakai pant suit, atau baju blaus dengan skirt labuh tu semua? Pakai blazer? Kalau dia tahupun, bukan dia mampu nak beli. Setakat gaji jadi promoter jualan di Mydin, berapa sangatlah gajinya. Nak makan pun jenuh pekin. Bagi mak lagi? Hisy, jangan ungkit, tak baik.

Sejak tamat belajar, sudah banyak tempat dia pergi temuduga. Dah dekat 15 kali. Semua gagal. Ini, kali ke 16. Kalau gagal lagi, tak tahulah nak cakap apa. Tak ada rezeki? Atau nasibnya yang malang? Ira okey aje...dah dekat dua bulan jadi pembantu peribadi di Ritch Niche Sdn Bhd. Adha? Dah jadi setiausaha kepada Pengurus Besar Tetro Mints. Dia? Keputusannya jauh lebih baik daripada mereka tapi kenapa masih menganggur juga?

"Sabarlah, Mina. Mungkin Tuhan nak bagi yang lebih baik pada anak mak ni," pujuk ibunya.

Mina hanya juihkan bibir sedikit. Karang, kalau lebih-lebih, mak nampak, mak cubit pulak mulut dia. Tapi, harap-harap, cakap emaknya tu betul! Sebab, dia memang hendak yang terbaik. Bukan untuk dia tetapi untuk ke dua-dua ibu dan bapa yang telah membesarkannya. Sedih rasa hati bila dah grad, dah dapat pegang segulung ijazah, tapi masih tak mampu hendak membantu mereka membaiki kehidupan. Rasa nak campak aje! Rasa menyesalpun ada. Kalau dulu dia dah kerja di Mydin tu, entah-entah dah naik pangkat apa? Gaji pun tentu dah tinggi!

"Mina? Ayah pesan apa? Jangan menyesali takdir, kan? Takkan sebab tak dapat kerja lagi dah merungut-rungut marah pada Tuhan. Kata Tuhan tak adil.  Kenapa orang yang keputusan tak berapa elok dah kerja tapi kamu yang hebat, tidak? Dan, ingat ni! Allah tak beri apa yang kita hendak, Dia berikan kita apa yang kita perlukan. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada dan jangan kufur nikmat. Faham?"

Takkan tak faham? Ayah jerkah sampai keluar anak tekak, hati mengomel.

Tunggu punya tunggu, semua orang dah tak ada. Tinggal dia sahaja. Perempuan tadi pun dah hampir lima minit sudahnya. Hisy, dia orang kat dalam tu dah lupakan dia ke? Risaunya! Takkan dah habis interview kot?

Baru nak bangun, cadangnya nak jumpa gadis yang dekat luar ruang menunggu ni tadi, pintu terbuka. Seorang lelaki berdiri, merenung lalu menggamitnya. Mina tengok ke belakang, kot-kotlah lelaki itu memanggil seseorang, tapi tak ada sesiapapun. Hanya dia. Jadi, tentulah dia yang dipanggil, kan?

Ibu jari dihalakan ke dada, mulut bertanya, "Saya ke?"

Lelaki itu ketawa. "Tak! Saya panggil hantu tadi," langsung dia ditinggalkan.

Dahi Mina berkerut namun dia mengatur langkah mendekati bilik temuduga itu. Pintu bilik diketuk. Bila ada suara menyuruhnya masuk, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, Mina sudah bersedia menghadapi saat itu.

"Chaiyok!!" bisik hati.

"Cik Aminah binti Amin, apa khabar?"

Aik, soalan temuduga mula macam ni ke?

"Baik," balasnya tersenyum namun senyum itu mati bila melihat lelaki di hadapannya. Dah lama tak jumpa tapi hati tak pernah lupa. Dalam sehari, mesti terbayang si dia ni. Tapi, bukanlah rupa yang ini. Langsung tidak! Yang dia dok teringat ialah Prince Charmingnya yang rugged, masa di universiti, lebih tiga tahun dahulu. Tak sangka pulak mereka boleh jumpa semula. Malah dah jadi pegawai besar sekarang. Entah-entah, dialah CEO syarikat? Alahai, seronoknya kalau dapat jadi pembantu peribadi dia ni... Errkkk??

"Berikan saya sebab dan alasan, mengapa saya perlu ambil awak bekerja dengan saya," Safwan Faizal meminta. Mukanya serius. Pandangan tajam ke wajah Mina. No hanky panky, okay!

Baru Mina nak buka mulut, lelaki itu bersuara lagi, "As I remembered, awak ni dulu bukan seorang yang ringan tulang. Nak tolong orang, jauh sekali. Pentingkan diri, dan sombong. Jadi, Cik Aminah, tolong bagi saya alasan yang benar-benar kuat. Kalau tak ada, saya rasa, awak boleh keluar. Sebab, bagi saya, awak tak layak nak jadi pembantu saya kat pejabat ni,"

Amboi, tegasnya! Kalau dia seorang yang lemah, Mina tentu dah angkat kaki. Tapi, dia bukan bodoh. Provokasi ini harus ditentang. Itu yang Safwan mahu dan itu yang lelaki itu akan dapat. Berjaya atau tidak temuduga ini, Mina tak kisah. Harga diri, itu yang perlu dipertahankan.

"Encik mahukan pembantu yang bagaimana? Baik? Cantik? Cekap? Saya ada semua tu. Saya boleh buat. Saya mampu buat kerja yang encik suruh," balasnya.

"Kalau saya minta tolong awak kerja sampai lewat malam..."

"Boleh! Sebab saya makan gaji dengan encik,"

Dahi Safwan Faizal berkerut. "Maksudnya if one of your collegues mintak tolong, you won't do it?"      

Habislah kau, Mina! Siapa suruh kau silap jawab. Dia memang cari peluang nak kenakan kau. Huh...

"Kalau mintak baik-baik, saya akan buat. Tapi, kalau mintak tolong sebab nak menang pertaruhan, saya pasti tolak,"

Kerut di dahi Safwan semakin banyak. Kata-kata itu sindiran untuknya. Dia tahu, tak payah nak fikir dua kali. Memang dia tahu, Mina tahu, mereka sedang merujuk kat mana.

"Hari tu, awak sembang-sembang kosong dengan kawan-kawan awak. Entah kenapa, awak pandang ke arah kedai fotostat. Lepas tu, kawan-kawan awak usik-usik awak. Mat Romeolah katakan, kan? So, dia orang cakap, kalau awak boleh mengorat saya, dia orang bayar RM50 seorang, tak gitu? Awak pun, sebab nak tunjuk hero, terus datang dekat saya, pura-pura suruh saya fotostat. Yang awak tak tahu ialah, kawan saya berdiri dekat kumpulan awak dan dia dengar semuanya. Dia mesej saya. Sebab itu saya tak mahu tolong awak,"

Aminah berdiri. Dia tahu yang dia gagal lagi sekali. Tak payah tunggu dah. Baik blah! Tapi, elok nak buka pintu aje, dia dengar lelaki itu ketawa. Terus dia pusing. "Apa yang lucu?" tanya dia.

Lelaki itu bersandar dengan dua tangannya diletakkan di belakang kepala. Santai bukan main. Kata temuduga tapi, hairan juga. Kenapa hanya ada dia dengan mamat ni sahaja? Yang lelaki sorang lagi tu, mana? Baru Mina menyedarinya. Tiba-tiba rasa berdebar pula. Terutama bila Safwan Faizal bangun dan kini sedang bergerak menghampiri dirinya. Hisy, kenapa tengok dia macam tu? Takutlah!

Mina terus pulas tombol. Laju ditarik pintu itu sebab dia nak cepat beredar. Tak berani lama-lama di sini dengan getar hati yang dah mengalahkan penat masuk lumba lari pecut seratus meter. Tapi, masa tu, Safwan dah dekat. Maka, tarikan yang kuat menyebabkan pintu kena dirinya. Apa lagi? Terus jatuh!

Mina tekup mulut. Kalau tidak, pasti jeritannya akan didengari sampai ke mana-mana. Tapi, Safwan langsung kaku, tak bergerak-gerak. Risau pula rasa hati. Terus dekat. Terus duduk, tunduk, letak telinga dekat dada Safwan.

"Ada degup, hidup lagi ni! Tapi, kenapa diam? Dia pengsan ke? Eeiii, apa nak buat ni, ya?" Mina mengomel sendiri.

"Tak ingat cerita Snow White ke? Apa Prince Charming buat pada dia untuk kejutkan dia dari tidur?"

"Awak???" Bergegas Mina bangun dengan wajah merona merah. Safwan yang sudah terbahak-bahak ketawa dipandang dengan renungan mencerun.

"Kalau pun malu nak kiss, boleh bagi CPR tadi. Ini tidak. Tengok aje muka saya. Nasib baik tak ada apa-apa, kan? Kalau tidak,"

Mina dah cekak pinggang. "Awak ni memang begini ke dengan semua perempuan? Gatal betul! Baru jumpa pun dah tunjuk sangat miang, ya? Tak naklah saya kerja dengan awak ni. Buat sakit hati saja!"

Kali ini, Mina tak tunggu dah. laju aje dia keluar dan melangkah pergi meninggalkan Safwan. Hatinya sakit. Hatinya geram. Benci dengan perangai mengada-ada lelaki itu. Kalau begini, baik terus kerja di Mydin. Gaji sikitpun, tak apa! Biarlah!

"Mina..."

Malas nak pusing. Lantak dialah!

"Mina, kalau awak tak berhenti, awak tak kan dapat kerja ni!" Safwan mengugut.

"Biar! Tak kisah!" jeritnya tanpa berpaling.

"Okey! So, lepas ni duduk di rumah, ya! Tunggu rombongan meminang saya datang,"

Hah???

Mina berpaling dengan mulut ternganga. Tak percaya!

Safwan sengih. Dikenyitkan mata pada si dia yang terpaku tegak menghadapnya. "Kenapa? Tak percaya?" tanya dia.
..................

3

Mina pandang wajah Ira dan Adha silih berganti. Yang seorang, dari tadi dok sengih. Yang seorang lagi, asyik jeling-jeling. Pakai bahasa isyarat segala. Ni mesti ada apa-apa ni, hati berkata.

"Macam mana temuduga kau semalam? Dapat?" Ira bertanya pada Mina tetapi Adha nampaknya menanti jawapan Mina dengan bersungguh-sungguh. Macam tak sabar hendak tahu.

"Tak dapat pun, tak apa. Aku tak kisah. Sebab, aku rasa, kalau aku kerja dengan mamat tu, mesti kepala otak aku jadi biul, tau!" Mina meluah rasa.

Adha dan Ira ketawa besar. Tak sangka Mina jawab begitu.

"Kenapa pulak? Kau suka dia, kan?" Lepas bertanya, Ira terus tutup mulut. Tapi, Mina dah bulat mata tengok muka dia. Mina sudah mengesyaki sesuatu.

"Kau tahu aku pergi temuduga di pejabat dia, Ira? Kenapa kau tak cakap pada aku?" tanya Mina. Soalan yang buat Ira jadi serba salah.

"Bukan Ira aje yang tahu. Aku pun!" sokong Adha pula.

Mina semakin tidak mengerti. Selama ini Ira dan Adha tidak pernah berahsia dengannya. Semua perkara mereka kongsikan dengan dia. Tapi kenapa pula ada yang disembunyikan kini? Pelik betul!

"Safwan cari kau dah lama, Mina," Adha memberitahu.

"Cari aku? Kenapa?"

"Nak pulangkan kasut kau lah!" Ira menokok.

"Kasut? Hisy, dah lama dah cerita tu. Entah-entah kasut aku tu dah reput pun. Tapi, mana dia jumpa kasut aku tu?"

"Saya simpan kat dalam bonet kereta sejak hari awak jatuh tu. Dah lama nak pulangkan tapi tak tahu nak cari awak di mana,"

Mina dah kecut perut. Kenal benar dia dengan suara itu. Baru jumpa minggu lepas, kan? Takkan tak ingat pulak.

"Dah lama tunggu?" tanya suara itu lagi. Kali ini, dekat benar bunyinya di telinga Mina. Ooo, patutlah! Dia ambil tempat duduk sebelah yang kosong.

"Hai, Mina. Ingat saya lagi?"

Mina menoleh. "Kalau saya cakap, saya dah lupa?"

Safwan ketawa. "Saya tak percaya," jawabnya pantas.

Bulat mata Mina. "Mamat perasan awak ni!" marahnya sambil menjeling.

"Kau suka sangat jeling-jeling dia, Mina. Sebab tu encik Safwan kita ni tak boleh lupakan kau," sela ira sambil senyum sinis.

"Tahu pun!" sahut Safwan selamba. Seronok juga bila dapat mengusik orang. Sejak menjawat jawatan CEO syarikat, dia asyik serius memanjang. Tapi, Mina dan perawakannya yang bersahaja, berjaya buat dia ketawa. Malah, dia dah dapat balik perangai lama. Perangai suka mengusik dan menyakat tu!

"Perangai macam budak-budak. Tak sedar yang diri tu dah tua. Dah nak masuk 30, kan?" Mina mengalih tumpuan Safwan dari dirinya. Asyik tengok muka dia dari tadi. Apa hal la pulak?

"Lemah betul matematik budak ni! Weh, umur saya baru 28+++ tau," Safwan membetulkan.

"Dah tua la tu," MIna tak mahu kalah.

"Cop! Saf, sebelum korang bercerita lebih lanjut, kami, aku dengan Ira, nak beredar dulu. So, jumpa lagi lain kali, ya! Jom, Ira!" Laju-laju Adha memberitahu. Tak tunggu jawapan daripada Safwan pun. Terus sahaja pergi tinggalkan merpati sejoli.

Mina tak sangka kawan-kawan baiknya sanggup tinggalkan dia terkontang kanting sendiri di sini. Dengan si Safwan? Hai, seronok memang seronok tapi bila kenangkan tingkah laku tak berapa nak betul lelaki ni minggu lepas, hati jadi cuak.

Safwan ketawa. "Dah takut, ya?" usiknya. Belum sempat Mina menjawab, wajahnya kembali serius. Dia memberitahu, "Mungkin betul cakap awak. Mungkin saya ni dah tua kot! Sebab itu mama saya asyik suruh saya kahwin agaknya. Tu yang dia sentiasa ada calon untuk saya. Tiap-tiap malam Ahad, mesti kena pergi 'blind date'. Bosan betul!"

Mina tidak faham dengan sikap Safwan. Nak kata mereka mesra, tidak. Nak kata hubungan mereka rapat, juga tidak. Tapi, boleh pulak dia dok cerita tentang perbuatan emaknya. Kenapa?

"Mina, saya nak mintak tolong, boleh?"

Hmm, kan dah? Cerita ada makna.... Ira dengan Adha pulak, tentu dah tahu. Agaknya mereka bertiga ni dah pakat kot? sebab itu berani-berani aje dirinya ditinggalkan berdua dengan Safwan.

"Nak mintak tolong yang lain semua boleh. Cuma, kalau awak nak masuk meminang, tu tak, kot. Sebab saya punya matlamat hidup belum tercapai lagi. Jadi, tolong jadi tunang awak, no!" Beria-ia Mina memberitahu. Tujuannnya satu sahaja. Agar Safwan tahu yang dia belum mahu mengikat diri pada lelaki itu. Hisy, perasan betul, kan?

Safwan pandang wajah Mina dalam-dalam. "Kalau nak mintak tolong awak berlakon jadi girlfriend saya, boleh?"

"Berlakon jadi girlfriend awak? Tapi, kenapa saya?"

Safwan gelak besar. Dah jangka, soalan itu yang keluar daripada mulut Mina. Tentulah hairan. Baru jumpa balik selepas tiga tahun, terus dia ajak berlakon sama-sama. Kalau dia pun, mesti hairan juga. Tapi, ni cara nak rapatkan hubungan, kan? Tak kan nak terus terang ceritakan isi hati. Mina ni pasti cabut lari punya! Tengok tadi. Dah siap bagi warning tak mahu bertunang. Haih, nasib kau, Safwan! Siapa suruh kau jatuh cinta dengan minah ni?

Bila dia terpikat dengan Mina? Macam mana boleh terjatuh cinta? Kenapa Mina, kenapa bukan gadis lain?

Mana dia tahu? Dia pun tak faham. Tahu-tahu, tiap-tiap malam selepas jumpa kat kafe, pertemuan kedua tu, dia asyik mimpikan Mina. Jenuh dah nak lupakan, tapi tak boleh. Jadi, senyap-senyap, dia hubungi Adha. Adha macam spy dialah! Apa aktiviti Mina, semua dia tahu.

"Saya nak mama tengok gadis macam mana jadi pilihan hati saya. Biar dia tahu, bukan yang dia dok pilih tu yang saya suka. Bila dia tengok awak nanti, dia akan sedar ciri-ciri gadis yang saya suka,"

"Ohh, saya faham dah. Lepas dia tengok saya, awak harapkan dia cari gadis yang perangai macam sayalah? Okey, senang aje tu! Cuma, awak nak saya berlakon pegang watak macam mana? Jangan suruh saya buka tudung, dah la, ya!"

Safwan ketawa. "Tu, bila kita dalam bilik, berdua..."

Mina mula nak naik angin. Lelaki ni dah mula tunjuk perangai yang dia tak suka ni. Menyampah betul. Tak gentleman macam Prince Charming langsung! Sungguh kurang sopan!

"Dapat upah tak?" Mina ubah perhatian lelaki itu yang asyik merenungnya.

"RM500. Cukup?"

Untuk lakonan yang sekali itu sahaja, Safwan nak bayar dia sebanyak itu? Betul ke? Wah, kalau macam ni, boleh aje! fikir Mina sambil tersenyum-senyum.

Safwan pun senyum juga. Dia tahu yang Mina tidak memahami tujuannya. Betullah cakap Adha. Mina ni sangat lurus. Orang nak mengorat dia pun, dia tak faham. Hehe....
 
"Mina, awak tak perlu jadi orang lain. Jadi diri awak sendiri bila dengan keluarga saya. Jangan ubah apa-apa pun termasuk penampilan, cara bercakap semua tu. Saya nak diri awak sebenar."

Kenapa meremang bulu tengkuk mendengar suara Safwan yang romantis ni? Pelik permintaannya. Mina mesti jadi dirinya sendiri?

"Malam esok, saya nak awak jumpa emak bapak, adik beradik saya. Wan dengan nenek saya pun ada juga. Kenal-kenal dengan mereka, okey!"

Mina mengangguk biar pun hati dah mula cemas.

"Jom!"

"Ke mana?"

"Saya nak beli barang sikit. Jom!"

Bahagianya Mina. Seronok menemani Safwan. Tak sangka, putera idamannya kini berjalan di sisi. Bertuahnya rasa. Oh... janganlah masa berlalu dengan pantas. Biar begini saja... ya, biar begini sahaja....
.......................

4

Mina terpegun melihat keindahan di hadapannya. Kalau selama ini dia hanya melihat rumah agam tersergam indah di kaca televisyen, hari ini, ada sebuah sedang berdiri teguh di hadapannya. Rasa macam tak percaya sehingga beberapa kali sepasang mata digesel-geselkan.

"Awak tak mimpi, Mina. Ini memang rumah saya. Tempat saya tinggal,"

Mina berpaling ke arah Safwan. Senyum. "Saya tahu yang awak ni anak orang kaya tapi tak sangka pulak yang famili awak, super duper kayanya. Ada saham di Papan Utama ke ni?" soalnya dengan wajah comel.

"Saham tu semua, hak ayah. Bukan saya punya," balas Safwan lembut.

"Tak kiralah hak siapa. Tapi, sekarang ni, awak dah buat saya kecut perut. Tentu nanti emak bapak awak dan semua kerabat, adik kakak tu akan tengok saya semacam. Mesti dah kena senarai hitam," Mina melahirkan kebimbangan.

Safwan gelak. "Pandai aje awak ni. Belum kena interview dengan mama, dah tahu apa reaksi dia, ya?" soalnya.

Mina angguk. Memang dah tahu dah. Sat lagi, asal usul keturunan semua akan dikorek. Bila tahu aje ayahnya kerja pemandu teksi dan emaknya hanya seorang suri rumah dan dia ialah jurujual di Hypermarket Mydin, hancur! Tentu akan kena ugut untuk putuskan hubungan dengan Safwan. Pasti!

"Jangan risaulah! Mama saya baik! Yang lain-lainpun okey aje! Biasalah... memang dia orang akan tanya macam-macam. Jawab mana yang boleh. Yang tak tahu nak jawab, awak diam dan tengok muka saya. Tahulah saya macam mana nak cover line, faham?"

Mina angguk. "Saya rasa, diri saya ni betul-betul dah jadi Cinderella, awak. Bezanya, saya pakai baju kurung aje," katanya sambil ketawa mengekeh.

Safwan jegilkan mata. "Itulah! Semalam, masa saya nak belikan dress labuh tu, kenapa tak mahu? Kalau tidak, memanglah awak dah jadi Cinderella malam ni, tau," sindirnya.

Mina berhenti melangkah. Wajah Safwan direnung tajam. "Kata, suruh saya jadi diri sendiri. Kalau saya pakai baju tu, macam mana? Tak pernah seumur hidup saya pakai macam tu, nanti jadi alien pulak. Suka?" tanya dia.

"Suka! Alien yang comel, kan? Mestilah suka!" Safwan balas bersama sengihan.  Buat Mina keresahan....


"Failed!" suara seorang wanita melantun tegas.

"Tapi, kenapa? Mama juga cakap tadi, dia sempurna. Tak ada cacat cela. Kenapa sekarang cakap lain pulak?" dia mendengar lelaki itu bertanya.

"Mama tarik balik! Sekarang, mama tegaskan yang mama tak setuju dengan pilihan kamu tu," si ibu masih dengan keputusannya.

"Apa alasan mama?"

"Safwan, dia memang cantik. Dia memang sopan. Dia memang seorang Muslimah nampaknya. Tapi, family tree dia tu..."

"Miskin? Apa ni? Kan mama cakap yang harta tak termasuk dalam alasan. Kan mama cakap, harta kita pun dah cukup untuk tampung kami bila kami kahwin nanti? Jadi, apa masalahnya lagi?"

"Dia anak tunggal! Emaknya anak tunggal. Bapaknya anak tunggal! Nampak tak? Tu tandanya dia tak subur!"

Mina pejam mata setelah mendengar perbalahan itu. Rasa macam tak percaya. Rasa macam pelik. Safwan dan ibunya bertengkar kerana dia? Bukankah mereka berdua hanya berlakon? Ni apasal keturunan dia habis disebut? Tak patut betul!

"Are you out of your mind, mama? Itupun penting ke?" suara Safwan melantun kuat.

"Tengku Safwan Tengku Faizal! Melahirkan zuriat yang ramai paling penting bagi mama. Mama nak perempuan yang subur jadi menantu mama, faham?"

Mina geleng kepala. Kesian 'Prince Charming'nya. Dah terdiam dah! Sekali kena smash dengan Tengku Anis, terus tak terkata.

"Berapa lama awak ada di luar ni, Mina? Apa yang awak dah dengar?"

Mina tidak menjawab soalan Safwan. Sebaliknya, dia menonong masuk ke dalam ruang bacaan yang luas itu. Dia ingin membetulkan persepsi Tengku Anis terlebih dahulu.

"Tengku, maaf, bagi saya cakap sikit, boleh?"

Mina tengok semua orang saling berbalas renungan. Tok nenek, wan.. konon. padahal... nak tergeliat lidah menyebut nenda, ayahanda, adinda, kanda, bagai... Hanya dengan bondanya, Safwan, ops, Tengku Safwan panggil mama. Pelik, kan?

"Cakaplah!" suara Tengku Anis mengendur. Mina akui, keluarga ini tidak sombong. Mereka melayannya dengan baik sekali. Dia sahaja yang berasa asing. Dia sahaja yang berasa tidak selesa. Mungkin kerana Mina sedar siapa dirinya. Lagipun, ini bukan peristiwa benar, kan? Hanya lakonan semata!

"Tengku Anis, sebenarnya, saya bukan makwe anak Tengku. Dia minta tolong saya pura-pura jadi girl friend dia supaya Tengku tak paksa dia pergi 'blind date'. Kan Tengku Safwan, kan?"

Safwan tepuk dahi. "Makkkk aiii, si bendul ni!!!" hati menggumam.

Nendanya, Tengku Azni, ketawa. "Safwan cakap macam tu pada awak, Mina?" tanya dia.

Cepat-cepat Mina mengangguk. "Betul, nenda Tengku Azni. Dia cakap, saya cuma perlu jadi diri saya aje malam ni," dia memberitahu.

Semua orang ketawa. Tengku Sharizal, lelaki yang menggamitnya masuk ke dalam bilik temuduga tempoh hari, bangun, lantas menepuk belakang bahu abangnya. "Mana kanda jumpa minah ni? Dia alien ke? Sampai tak faham maksud hati kanda tu?" gelaknya.

Hairannya Mina tengok wajah Safwan yang serius. Dahinya sudah berkerut. Apa yang lelaki itu tak puas hati lagi? tanya dia.

Safwan melutut di hadapan Tengku Anis. "Bonda... I mean, mama... I want this girl! Lupakanlah teori mama tu. Anak dan zuriat, pemberian Tuhan pada kita. Tak semestinya anak tunggal macam dia, tak mampu berikan saya anak yang banyak, mama. Please, ma. Mama suka dia jugak, kan?" rayunya.

Mina kaget bila Tengku Anis memandangnya. Rasa macam nak lari masa tu jugak. Tapi, kata ayah, kalau tak buat salah, tak ada sebab nak rasa takut. Lari, hanya satu kelemahan. Takut juga satu kelemahan. Dia bukan lemah, kan?

"Mina, sini!"

Perlahan-lahan Mina mendekati. Bila sudah berdiri betul-betul di hadapan Tengku Anis, dia tunduk pandang lantai. Tak berani angkat muka.

"Aminah binti Amin, kamu sudi kahwin dengan Tengku Safwan? Dia suka kamu. Kamu suka dia? Sudi jadi isteri dia?"

Tak sempat jawab. Mina dah terkulai jatuh. Terkejut lalu pitam! Mujur Safwan berdiri betul-betul di belakangnya tadi. Sempat juga menyambut sekujur tubuh itu.

"Mina, Mina! Dah pengsan! Macam-macamlah perempuan ni!" Dan, dia ketawa besar. Geli hati melihat si dia yang tidak sedarkan diri.
................

5

Hari Ahad ialah hari untuk relaks. Cuti-cuti Malaysia... Mina gunakannya untuk belajar memasak dengan bonda tersayang. Kiranya  memang sudah pandai memasaklah dia sekarang ni.

"Anak mak ni dah boleh kahwin, tau!"

Emaknya selalu mengusik begitu.

Mina ketawa besar. "Tapi dengan Safwan aje. Tak nak orang lain. Boleh?" ujarnya.

Puan Fatimah mengerutkan dahi. "Pulak? Dah ditolak mentah-mentah, lepas tu ada hati nak pada mamat balik? Mina ingat, selama setahun ni, dia nak tunggu Mina ke, nak?"

Susah hati dengan sikap Mina. Patutlah ada sahaja alasan diberi apabila dipinang orang. Patutlah sudah dua lamaran ditolak. Rupa-rupanya, masih mengharap pada kerabat diraja itu. Hai la, Mina!

"Cinta bukan boleh dipindah milik, mak. Mina kan anak mak? Setia pada yang satu?" balas Mina sambil tersenyum manis.

"Dah tahu macam tu, kenapa Mina kecilkan hati dia? Kenapa emak dia nak bagi cincin, Mina tolak?" Fatimah masih kehairanan. Susah nak telah perangai satu-satu anaknya ini. Nak kata lurus sangat, tidak juga. Nak kata bendul, tegas pula. Sudahnya, geleng kepala sebab tidak memahami kehendak hati anak sendiri.

Mina terus kucup dahi ibunya. Sayang benar dia kepada wanita yang telah melahirkannya ini. Satu-satu yang sentiasa ada memberi semangat ketika diri sedang lemah dan ketakutan. Memujuk apabila diri sedang bersedih dan kehampaan. Menenangkan hati Mina saat dia sedang resah dan kegelisahan. Emak yang sentiasa ada bila dia memerlukan...

"Setahun lebih yang lepas, impian Mina belum dapat lagi, mak!"

"Sekarang?" tanya puan Fatimah.

"Sekarang," Mina senyum sambil memandang ke luar. Bila dia yakin ayahnya tidak ada di beranda, dia mendekati ibunya. Dibisikkan ke telinga, "Mina nak tengok ayah berehat. Mina nak ayah banyak masa untuk mak. Balik ke sini dan buka kedai, sentiasa bersama dengan emak, itu impian Mina yang dah berjaya Mina capai. Doa Mina supaya ayah dengan mak mesra macam dulu-dulu, waktu Mina kecil, dah tercapai. Allah dah bagi dah. Satu lagi! Ayah dah berhenti merokok. Hmm, itu pun doa Mina yang dah Allah makbulkan, mak,"

Sepasang mata si ibu berkaca-kaca. "Selama ini, itu impian Mina, ya?" tanya dia sambil mengusap-usap bahu Mina.

Mina mengangguk. Terbatuk-batuk pula dia. Dan, seperti selalu, batuknya payah hendak berhenti. Kali ini pun sama. Sehingga pada satu ketika, sesuatu tersembur keluar dalam tapak tangan yang menekup mulutnya.

Puan Fatimah jadi panik. Mina pun sama.

"Mak, darah...."

Wajah Mina pucat ketika itu. Terkejut, kot? Cepat-cepat Mina berlari ke singki, basuh tangan, kumur mulut, basuh muka dan berdiri tegak. Soalan yang timbul di benak? "Aku sakit apa, ya?"

"Mina?" suara ayah yang kerisauan, jelas kedengaran. Entah bila emaknya berlari keluar dan mendapatkan ayahnya, Mina tidak tahu. Tetapi, waktu ini, hati jadi pilu. Pilu menatap wajah sayu kedua-dua orang tua. Mereka nampak sedih sangat!

"Mina okey, ayah, mak! Mina tak apa-apa," dia memberitahu. Senyum terukir pada bibir, mengharap agar mereka percaya.

"Pergi ambilkan tudung Mina, Timah. Kita ke hospital, sekarang,"

Bila encik Amin bersuara tegas seperti itu, siapakah yang berani hendak membantah? Mina? Tentulah tidak! Jadi, akur sahajalah, kan?

Hati memang susah sekarang. Hasrat ingin ke Kuala Lumpur yang belum diutarakan kepada ibunya, sudah terbantut. Niat untuk mencari Prince Charmingnya, dengan sendiri, terbatal sudah.

"Batuk, berdarah! Aku sakit kanser, ke? hati tidak berhenti-henti bertanya.
............................

Safwan terkejut jaga dari tidur yang lena. Mata melingas mengintai sekeliling. Bagai mencari sesuatu. Ataukah seseorang?

Hati berdebar-debar. Jiwa pula keresahan. Sepasang mata kebasahan. Otak masih fokus kepada mimpi yang sedih itu. Saat sekujur tubuh kaku di pembaringan dan dia menangis di sisi.

"Kenapa aku mimpikan dia? Kenapa mimpi macam tu? Apa yang dah terjadi pada dia?"

^My Prince Charming, masih marahkan saya lagi? Hmm, mestilah, kan? Macam tak faham! Dah beratus-ratus SMS saya hantar pada awak, tapi, satupun awak tak balas. Patutnya saya tak kacau awak dah, kan? Tapi, nak buat macam mana? Saya rindu...^

I-phone 4 itu diletakkan semula di atas katil selepas pesanan ringkas terakhir yang diterima daripada Mina itu dibaca, entah untuk kali yang ke berapa. Ya, memang benar! Sudah sebanyak 383 SMS dia terima daripada gadis itu. Ada yang disimpan, ada yang sudah ter'delete'. Dan, sememangnya, tidak satu pun, pernah dibalas. Tapi, Mina tidak pernah peduli. Setiap hari, gadis itu akan hantar satu kepadanya. Jadi, 383 SMS bersamaan dengan 383 hari. Bermaksud, sudah selama 383 hari, mereka berpisah.

Dia hitung! Tentulah dia hitung! Kenapa? Kerana SMS Mina kepadanya ialah bukti bahawa dirinya sentiasa ada dalam hati gadis itu. Ia menjadi bukti bahawa Mina tidak pernah melupakannya. Habis, kenapa tak balas?

Saja! Sengaja! Bukan untuk mendera Mina tetapi sebab Safwan masih malu dengan apa yang pernah terjadi dahulu. Malu pada kata-kata Mina. Mina tidak memarahinya namunyang lembut itu lebih mencengkam! Malu sebab sudah terlepas cakap dan marahkan Mina. Masih ingat lagi...

"Sampai hati awak malukan saya depan mama, depan semua orang!" marahnya. Waktu itu, dia hendak menghantar Mina pulang ke rumah.

"Saya minta maaf, Safwan,"

"Saya tak nak maafkan awak. Biar awak terus rasa bersalah," balasnya kasar.

Boleh pula Mina ketawa dan sebut dengan manja,"Sampai hati awak..."

"Mestilah! Dahlah awak tolak pinangan saya. Lepas tu siap kutuk dan cerita benda tu pada dia orang semua. Awak girlfriend saya, Mina. Patut awak jaga air muka saya. Bukan memalukan saya macam ni!" suara menjadi semakin nyaring.

"Yang tak elok, kena sama-sama tegur. Yang baik, kena puji tapi jangan sampai melambung-lambung, takut hidung jadi tinggi pulak. Kita kan kawan? Kawan yang baik bukan saja kawan untuk ketawa dan menagis tapi juga yang tidak berdiam diri sewaktu kawannya membuat kesalahan. Dan, dia juga tidak melenting marah apabila ditegur. Kalau tak, sampai bila-bila, awak tak akan insaf, Safwan," Mina tak peduli pada kemarahannya. Dia terus berikan ceramah murah yang langsung tidak perlu dibayar oleh Safwan. Mungkin, baginya, itu adalah satu tanggungjawab. Safwan dengar atau tidak, terserah...

Safwan ingat lagi. Masa itu, dia berpaling tengok muka Mina sehingga nyaris tidak melanggar kereta di hadapan. Safwan tahu, apa yang Mina cakapkan itu, semuanya betul.. Cuma dia tak dapat menerima. Egonya terlalu tinggi masa itu. Sebab itulah dia menengking Mina. "My life is my business! Jangan nak menyibuk, Mina. Saya tak suka awak masuk campur hal saya. Hidup saya pun! Awak tak layak!!!"

Wajah Mina yang tersenyum itu menjadi pengubat rindunya kerana selepas itu mereka tidak lagi bertemu. Pelik gadis itu. Sudah dimarahi pun, masih mampu menghiasi bibir dengan senyuman indahnya. Tapi, Safwan bersyukur sangat! Sekurang-kurangnya, senyum itu terlakar indah di ruang mata setiap kali dia hendak lena.

Wajah diraup. Mulut menyeru...."Mina!"

Sendu dan penuh kerinduan.

"Mina, kenapa? Kenapa tak SMS saya lagi? Dah tiga hari, tahu tak? Kenapa? Awak dah jemu ke? Atau, awak dah jumpa orang lain?" hati bertanya.

Risaunya! Hanya Allah Maha mengetahui. Seandainya Mina sudah jemu, masih boleh diterima akal. Tetapi, kalau Mina dah ada pak we? Ah, sudah! Mati beragan dia nanti!

Cepat-cepat Safwan capai I-phone. Terus dia mendail nombor telefon Celcom si Mina. Teruja rasa hendak mendengar suara lembut itu. Sangat-sangat teruja!

"Helo, nak cakap dengan siapa?"

Suatu suara yang lembut juga, tetapi bukan suara Mina, gadisnya, yang menjawab panggilan itu.

"Maaf! Tapi, boleh saya bercakap dengan Mina? Ini telefon dia, kan?" Safwan bertanya dengan rasa gugup. Dengan gemuruh di dada.

"Ini siapa?" suara itu bertanya lagi.

Dahi Safwan berkerut sudah. Suara di sebelah sana kedengaran sebak. Oh Tuhan, mengapakah? Dan, mimpi yang bertamu tadi kembali menghantui.

Safwan menghela nafas sebelum menjawab, "Nama saya, Safwan,"

Tangisan menyambut salam perkenalannya. Tangisan yang menyebabkan jantung bagaikan ingin berhenti berdenyut. Mengapakah? Apakah yang sudah terjadi kepada Mina? Kenapa wanita itu menangis?

"Safwan?"

"Ya, saya Safwan,"

"Mina....."
.........................

7

“Tak nak! Tak nak kahwin! Tak nak kahwin! Tak nak!!!” jerit Mina sambil hentak-hentak kaki. Mukanya masam mencuka. Ada air mata hendak menitis di pipi. Yang sakit hati, emak dengan ayahnya sedikitpun tidak menyokong dia. Malah, lebih suka diamkan diri.

“Saya dah cakap, tak siapa sokong awak kali ini, Mina. Sebab awak tak ada alasan hendak menolak saya lagi, tahu tak?” Safwan relaks duduk di atas kerusi. Begitu juga dengan yang lain-lain. Ayahanda, bonda.. hisy, tak payah ikut formal sangat. Ayah, mama, nenek, dan adik-adik lelaki itu turut ada di sekeliling mereka. Santai sahaja tanpa sedikit pun rasa kekok berada di pondok kecilnya ini. Tanpa sedikitpun peduli biarpun terpaksa duduk bersila di atas lantai.

“Awak, cita-cita saya belum tercapai lagi!” Mina memberitahu. Yakin bahawa kali ini   alasannya cukup kuat untuk menghalang pernikahan yang sudah diatur ini. Sungguh Mina rasa tidak selesa dan tidak gembira. Dekat setengah bulan dia sakit, terlantar di hospital, tahu-tahu, bila keluar sahaja, ini berita pertama yang dia dengar. Sakit hati betullah!

“Jangan nak bohong, girl! Jangan nak cari alasan lagi. Semua hajat, semua keinginan yang awak beritahu awak ada menyimpannya dulu, masa mama lamar awak, sudah tercapai. Awak nak saya sebut satu persatu?”

Kata-kata Safwan menyebabkan Mina menatap wajah ibunya. Fatimah hanya mampu menyeringai. Itu bererti, dia sudah membongkarkan semua yang patutnya menjadi rahsia mereka berdua. Takkan Mina hendak marah pada emaknya? Geram adalah tapi hendak naik angin? Mustahil!

“Saya tahu, dengan keadaan kesihatan awak sekarang, awak tak mahu suasana riuh rendah dan ‘grand’ sangat masa kita kahwin nanti. Sebab itu, saya dah atur semua dengan keluarga kita. Kita hanya akan jemput keluarga terdekat kita sahaja,”

“Tak nak!”

Safwan hilang sabar dengan sikap Mina. Dia bangun dan bergerak laju ke arah gadis itu. Mina yang masih lemah, tidak mampu hendak ke mana-mana. Teguh berdiri menanti lelaki itu menghampirinya.

“Kalau nak kena cium depan semua orang, cakap macam gitu sekali lagi!” gertak Safwan. Hatinya macam nak pecah tengok rupa Mina yang kelihatan ‘kecut’ itu. Makin hendak ketawa apabila gadis itu menekup mulutnya.

Safwan patah balik untuk duduk. Mina menjelirkan lidahnya. Geram!

Amin pandang wajah Safwan. Dia tidak meragui kasih sayang lelaki itu terhadap anaknya. Sejak Safwan datang menjenguk Mina sebaik mendengar tentang keadaan anaknya itu, kasih sayang yang ditunjukkan melimpah ruah dan dia amat berterima kasih, bersyukur kepada Tuhan yang telah menemukan anaknya dengan lelaki ini. Cuma, dia faham kenapa Mina berusaha sedaya upaya untuk menolak.

Anaknya menghidap penyakit yang serius. Amat serius iaitu penyakit barah paru-paru. Sebab itu Mina seboleh-bolehnya ingin menolak. Mungkin, dalam fikiran Mina sekarang, Safwan hanya bersimpati kepadanya?

“Saya ni pesakit kanser, Safwan,” lemah Mina memberitahu.

“Habis, pesakit kanser tak boleh kahwin?” balas lelaki itu.

“Saya nak jaga diri saya pun tak boleh. Kalau kita kahwin,”

“Bila kita kahwin, saya jaga awak, Mina.”

“Nanti awak jemu jaga orang sakit!” sela Mina.

“Kuota saya ada tiga lagi. Kalau awak menjemukan saya, saya kahwin lain,”

“Safwan!!!” Tengku Anis dan Tengku Azni menjerit. Geram dengan jawapan Safwan kepada soalan Mina yang kelihatan serius. Wajah itu tidak ceria.

“Alah, saya melawak aje. InsyaAllah, saya tak akan lakukannya. Hai la... nak dapat yang seorang inipun, dekat lima tahun saya tunggu, mama. Jenuh nak buat dia faham yang saya suka dia saja. InsyaAllah, saya janji, saya tak akan pudarkan rasa cinta saya ni,”

“Nanti saya akan keluar masuk hospital, Safwan. Nak buat segala macam rawatan untuk kanser. Kena kemo lagi. Nanti jadi botak. Masa tu, masih ke awak sanggup dengan saya?” Sungguh-sungguh Mina bertanya soalan yang melingkari otaknya sejak dia tahu tentang penyakitnya. Safwan, baginya, mungkin ikhlas sekarang. Tapi, nanti, bila rambut dah tidak tumbuh lagi di atas kepalanya? Bila dia sudah terketar-ketar, masihkah ada cinta?

“Tak ada benda yang kekal dalam dunia ni, Mina. Jadi, apa yang hendak ditakutkan? Takut saya hilang kasih sayang? Tak semestinya sebab awak sakit aje. Kalau dah tak suka, awak segar bugar, pun, saya boleh tinggalkan. Saya tak nak janji untuk jadi suami terbaik tapi, apa kata kita beri peluang pada hubungan kita ni?”

Mina diam. Masih berfikir lagi.

Safwan geleng kepala. Susahnya nak pujuk Mina, fikirnya. “Mina, berdosa tau berbohong,”

Mata Mina jadi sepet. Bila pula dia menipu Safwan?

“Lupalah tu? Kata, rindu pada saya? Kata, nak bagi hati pada saya. Kata, sukaaaaa sangat pada saya....”

Muka Mina dah merah. Malu! Safwan ulang balik ayat yang ditulisnya dalam SMS. Arghh! Tapi, dia jawab juga! “Itu semua dah terbatal sebab awak tak balas SMS saya. Dah tak ada makna dah,”

“Mina, kau ni teruk betul la! Saja nak dera Safwan, ya? Orang dah ajak kahwin tu, maknanya dia ada hati pada kau! Apa kisah dia balas SMS ke atau dia tak telefon ke? Yang penting, dia nak kau! Dia serius nak kahwin dengan kau. Bukan macam mamat kat sebelah aku ni. Cakap cinta dah banyak kali tapi, nak masuk meminang pun tidak. Bila tanya bila nak kahwin dengan aku. Tungu dulu! Tunggu dulu! Kau nak macam tu?” Ira membela Safwan sambil mengkritik buah hatinya, Adha. Bukan apa! Sengaja hendak Mina nampak dan membuat pertimbangan. Orang dah bersungguh, ikut sahajalah!

Mina tahu, tidak berguna dia mengeluh. Tidak berguna jika dia menangis pun. Yang terjadi tetap terjadi. Jarum jam bukan boleh berputar balik. Jadi, apa kata kalau masa yang ada di isi dengan kebahagiaan? Dan kebahagiaannya.... tentulah bila bersama Safwan.

Dia ingin bersama lelaki itu membina malhligai cinta mereka. Sekejap atau lama, dia redha. Asalkan dapat meniti hari-hari mendatang dalam kehangatan cinta Safwan yang tidak perlu dipertikai. Sakit? Setiap penyakit ada ubat, kecuali mati. Jadi, dia yakin, Safwan akan berusaha membantu dirinya mendapat rawatan terbaik untuk penyakitnya ini. Tidak ada keraguan tentang itu.

“Mina, sayang. Semua orang dok tunggu jawapan Mina ni?” ibunya berbisik perlahan.

Mina bangun, sedikit terhoyong hayang. Cepat-cepat ibunya memeluk bahu. Begitu juga dengan Tengku Anis.

“Saya teringin nak buat macam tu, Mina. Bila kita kahwin, saya tak akan lepaskan awak atau biarkan awak jatuh tanpa saya pegang. Mina, biar sedikit manapun masa itu, berikanlah pada saya. Boleh, ya?”

Sebak rasa hati mendengar kata-kata lelaki idamannya itu. Tapi, dia terlalu letih sekarang. Dia hendak berehat. Dia hendak tidur.

“Mak, Mina nak tidur, mak. Mintak maaf, semua, ya...Assalamualaikum,”

Mina dipimpin ke bilik oleh dua orang wanita. Yang seorang, ibu kandung, wanita yang amat menyayanginya. Yang seorang lagi, Tengku Anis, wanita yang amat mengkagumi peribadi Mina. Dia dibaringkan, ditemani seketika.

Tengku Anis yang  sebak melihat wajah pucat itu, segera bangun. Ingin segera beredar sebelum Mina melihat dia menangis. Mina tak suka jika orang menangis kerananya. Dia pegang kata-kata Fatimah yang pernah meminta agar tidak sesiapa menunjukkan kesedihan di hadapannya. Namun, ketika ingin melangkah Mina memegang tangannya. Tengku Anis berpaling. Wajahnya penuh tanda tanya.

“Mina nak jadi isteri Safwan,” kata Mina sambil tersenyum.

“Betul ni?” Tengku Anis bagaikan tidak percaya mendengarnya.

Mina mengangguk. Wajah ke dua-dua wanita direnung silih berganti. “Mama dengan emak siapkanlah apa yang patut, ya. Buatlah macam mana pun asalkan kami kahwin,” ujarnya malu-malu.

Tengku Anis cium pipi Mina bertalu-talu. “Mama nak keluar, nak sampaikan berita baik ini. Mina rehat, okey,”

Mina tersenyum. Mata terpejam semula. Sentuhan lembut ibunya di pipi terasa hangat dan penuh kasih sayang. Mengantuknya.... hati berbisik. Mengantuk.... Seperti biasa, bacaan-bacaan sebelum tidur yang diajar oleh ayahnya untuk dibaca, meniti bibir.

Fatimah sebak melihat seraut wajah itu. Hatinya sayu..... Namun dalam pasrah, dia berharap agar masih ada hari esok untuk Mina. Agar masih ada peluang untuk Mina mengecap kebahagiaan bersama Safwannya. Semoga masih ada.....
....................  

Akhir

Di luar kamar pembedahan Hospital KPJ, Safwan tekun membaca surah Yasin, mengulanginya entah untuk kali yang ke berapa. Dalam hati penuh dengan soalan tentang dia. Akan selamatkah? Akankah bertemu lagi? Dapatkah dia menatap senyuman yang sentiasa segar menghiasi bibir mungil itu?

Risau usah nak cakap tapi dia terpaksa berpura-pura tabah di hadapan semua orang. Nendanya yang resah di hujung sana, mamanya dan emak Mina, Fatimah, juga ayahanda serta ayah Mina, Amin. Semua ada di sini malah, kalau dia membenarkan, adik-adiknya juga pasti ada dengan mereka sekarang. Tapi, dia melarang mereka datang. Mina pun tentu tak suka suasana yang 'havoc' bila dia keluar nanti!

"Safwan, kamu dah bawa semuanya?"

Semua tu apa?

Pintu dewan bedah terbuka. Safwan tak sempat hendak menjawab soalan nendanya itu. Kakinya laju mendapatkan Dr Nora Asyikin yang baru sahaja membuka topeng muka. Melihat senyuman di wajah doktor pakar itu, hatinya berbunga. Tahu bahawa tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan lagi. Tentu Mina tidak apa-apa. Tapi...

"Tahniah, Tengku! Dah jadi ayah sekarang, ya? Anak perempuan! Sangat comel, beratnya 3 kilo. Kejap lagi nurse tolak dia orang keluar,"

Safwan terlebih gembira sampai terus terduduk dan menangis. Tangis gembira kerana isterinya, Mina sudah selamat melahirkan. Bukan itu sahaja, dia menangis kerana mengenangkan susah payah isterinya itu bertarung dengan penyakit kanser paru-paru yang ditanggung juga. Arghh, Mina yang degil. Cakaplah apa pun, bila dia sudah bulat inginkan sesuatu, siapakah yang boleh menghalang?

Di dalam wad, lama Mina terbaring lesu. Wajah polosnya tetap tenang biarpun tadi, dia bertarung dengan maut ketika ingin melahirkan. Masing-masing menunggu dia mencelikkan sepasang mata. Ingin menunjukkan kepada Mina puterinya yang jelita.

Safwan menghampiri katil sebaik nampak gerakan Mina. Dia tersenyum menyerahkan anak mereka untuk dipangku oleh isterinya.

"Hello, my beauty, welcome back!" ucapnya sambil mengucup dahi Mina. Sengaja melekapkan bibir lama-lama di situ. Rindu sangat pada Mina. Itu yang dia rasa.

Mereka berkahwin dah nak masuk lima tahun. Waktu awal perkahwinan dahulu, keadaan Mina tidak begitu sihat. Tapi, mereka sama-sama berusaha untuk memulihkannya. Asal ada sahaja yang memberitahu tentang kaedah rawatan terkini untuk penghidap kanser, Safwan akan mengheret Mina pergi. Mina pula, demi hendak pulih, sanggup akur dengan segala arahan. Makan ubat, pahit macam manapun, makan! Kena pantang, pantang. Apa yang Safwan tegah, dia tak buat. Tapi, bila doktor sahkan penyakitnya dah boleh dikawal, terus sahaja Mina cakap dia nak mengandung. Terkejut sakan Safwan masa tu.

"No, baby! Sayang abang bukannya sihat lagi. Nanti kalau Mina mengandung..."

"Abang, kalau tunggu Mina pulih, bila? Cancer is cancer, bang. Dia ada kat dalam tubuh Mina ni. Sementara akar dia tengah baik ni, kan, Mina doa sangat pada Tuhan, biarlah Mina mengandung, bang. Dapat bagi sorang anak pada abang, lepas tu, Mina pergi...."

"Cakap tu elok-elok sikit! Berapa kali abang nak cakap yang abang tak suka Mina sebut fasal Mina pergi dulu menghadap Tuhan. Semua tu,"

Mina ketawa, peluk dia lepas tu, menyebabkan Safwan terus kaku. Hilang kemarahan.

"At least, abang ada pengganti Mina. Maksud Mina, bila abang tengok muka anak kita, abang akan ingat pada Mina. Itupun sebelum abang kahwin lainlah, kan?"

Safwan tetap masamkan muka. Malas melayan gurau yang tidak langsung membuat dia ketawa.

"Abang, boleh la! Ya! Pleaseee!"

Aduhai... bila Mina memujuk rayu begini, memang cairlah. Saja aje Mina ni! Menggunakan taktik yang dia tahu, berjaya mencairkan hati Safwan.

"Tak apa ke, sayang? Nanti Mina susah masa mengandung?" tanya Safwan.

Kalau ikut hati, tentulah dia hendak anak. Anak dengan isteri comel yang amat dicintainya ini. Best sangat! Cuma, dia risau kesihatan Mina nanti merosot. Elok nak pulih, jadi lain pula. Buat apa, kan?

Mina tak pandang ke belakang. Dia nekad dan sudahnya, dengan susah payah, hari ini, lahirlah Tengku Puteri Batrisya Tengku Safwan.

"Abang, abang tahu tak?"

Safwan geleng.

"Mina sayang abang. Lima tahun kita kahwin, cinta Mina masih 100 peratus pada abang, tau. Terima kasih untuk semuanya. Dan Mina harap sangat yang abang ampunkan dosa Mina..."

Cepat-cepat Safwan letak jari telunjuknya di bibir isteri. "Mina tahu kan yang abang tak suka dengar empat perkataan tu? Terima kasih. Minta ampun! Buat apa nak ucapkannya? You are not going anywhere..."

Mata Mina berkaca. "Tapi,"

Tangan Mina, Safwan genggam. "Biarpun Mina pergi nanti, Mina mesti tahu yang kasih Mina sentiasa abang terima. Abang simpan dan pendamkan dalam hati abang ni, sampai abang pulak mati. Kalau Mina takut Mina berdosa dengan abang, percayalah, dari saat abang jabat tangan ayah masa lafaz ijab kabul kita dulu, abang dah janji yang abang tetap akan ampunkan semua dosa Mina, kecil atau besar. Jangan risau, okey," kata-kata pujukan untuk menenangkan hati isterinya.

Mina senyum lebar. Lelaki, bila sudah cinta, memang tak perlu diragui. Itulah Safwan. Semangat cintanya menyebabkan Mina bersungguh melawan penyakit yang ditakuti semua orang ini. Kasih sayang Safwan yang menyebabkan dia ingin hidup lama-lama agar dapat dia berbakti kepada suaminya ini. Tiap-tiap kali lepas solat dia akan minta pada Tuhan agar diberikan tempoh untuknya hidup lebih lama di samping Safwan. Sekarang, tentulah alasan itu menjadi lebih kuat. Mereka ada anak. Mereka ada Batrisya. Batrisya perlukan dirinya. Batrisya perlukan Safwan. Kasihan Batrisya kalau salah seorang tidak ada untuk melewati usia dengannya.

Tamakkah mereka? Tak, kot? Semoga Allah sentiasa mengampuni mereka yang masih tidak mahu berpisah dan ingin terus bersama-sama menjalani hidup.

....................

Hayatilah pesanan seorang teman ini di dalam blognya:

Hari ini sebelum kita mengatakan kata-kata yang tidak baik,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak dapat berkata-kata sama sekali.

Sebelum kita mengeluh tentang rasa dari makanan,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak punya apapun untuk dimakan.

Sebelum anda mengeluh tidak punya apa-apa,
Fikirkan tentang seseorang yang meminta-minta dijalanan.

Sebelum kita mengeluh bahawa kita buruk,
Fikirkan tentang seseorang yang berada pada keadaan yang terburuk di dalam hidupnya.

Sebelum mengeluh tentang suami atau isteri anda,
Fikirkan tentang seseorang yang memohon kepada Tuhan untuk diberikan teman hidup.

Hari ini sebelum kita mengeluh tentang hidup,
Fikirkan tentang seseorang yang meninggal terlalu cepat.

Sebelum kita mengeluh tentang anak-anak kita,
Fikirkan tentang seseorang yang sangat ingin mempunyai anak tetapi dirinya mandul.

Sebelum kita mengeluh tentang rumah yang kotor kerana pembantu tidak mengerjakan tugasnya,
Fikirkan tentang orang-orang yang tinggal dijalanan.

Dan di saat kita letih dan mengeluh tentang pekerjaan,
Fikirkan tentang pengangguran, orang-orang cacat yang berharap mereka mempunyai pekerjaan seperti kita.

Sebelum kita menunjukkan jari dan menyalahkan orang lain,
Ingatlah bahawa tidak ada seorangpun yang tidak berdosa.

Dan ketika kita sedang bersedih dan hidup dalam kesusahan,
Tersenyum dan berterima kasihlah kepada Tuhan bahawa kita masih hidup!

.......................

Mati itu pasti sebab itu jalanilah hari-hari dengan rasa cinta penuh dalam dada agar bila berpisah, dia ingati anda bersama-sama kenangan terindah....

tamat....

Ulasan

  1. Amat menarik.Mohon kak Sofi tak tutup blog spt d war2kan sblm ini.Senang2 blh intai blog ini.Semua karrya yg tlh dibaca tidak mengecewakan.tqvm.

    BalasPadam
    Balasan
    1. thanx.... kak sofi hanya menulis apa yg dirasa

      Padam
  2. sukanya crta ni...
    hepy ending...
    thniah kak sofi..
    x mnghampkan...

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…