apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

10.5.12

Tetamu hati 7

7

Semua yang pernah terjadi, berputar ligat dalam kepalaku kini. Kisah itu! Alahai, bukan pintaku ia terjadi seperti yang telah berlaku itu. Bukan!
...............

"Mak, Kay tak bersedia lagi la! Kay tak ready lagi!" 

Emak jegil kat aku. Bola matanya bulat. Garang betul dia, dah sebijik macam rupa emak singa yang nak membaham orang lagaknya. 

"Umur kamu tu muda lagi ke? Hah? Dah dekat 27 tahun pun masih tak sedar-sedar yang diri tu dah masuk kumpulan andalusia? Andartu?" 

Wah, sedihnya menerima penghinaan ini. Daripada mulut ibuku sendiri pulak tu. Ibu yang selama ini begitu tenang menasihat, memberi galakan dalam hidup, tiba-tiba sahaja jadi cengil dan mengamuk hanya kerana aku tak mahu mendengar cakapnya sekali ini. 

Baru sekali! 

Selama ni, aku tak pernah kata tidak pada emak. Hanya, sekali ini, aku tak mahu, aku menolak kemahuannya dan grrrr......... leterannya bukan setakat menyakitkan telingaku yang mendengar malah terkesan sehingga menusuk tulang hitam. Pedih wooo...

"Mak, dulu masa Kay dalam tahun satu kat U tu, mak bukan main pesan kat Kay. Apa mak cakap dulu? Biar Kay ulang.... 

'Kay, kamu jangan sibuk nak bercinta. Tugas kamu masuk universiti ialah belajar. Belajar aje, tahu! Mak tak nak dengar kamu cerita fasal benda lain yang tak berfaedah. Faham?' 

Mak lupa ke?" Aku pulangkan paku buah keras. 

Emak lepaskan keluhan. "Dan, kamu patuh cakap emak. Mak syukur sangat. Soalnya sekarang, fasa tu dah habis. Kamu dah kerja dah pun. Dah ada kereta, dah ada simpanan. Tapi kamu belum ada suami. Sebab itu, mak carikan sorang untuk kamu. Dah dapat pun! Tapi, yang kamu tiba-tiba tak mahu terima calon menantu pilihan emak, apasal?" soalnya.

Aku hempaskan diri ke birai katil. Geram mendengar soalan itu. "Mak, cukuplah selama ni mak atur hidup Kay, mak! Takkan sampai nak pilih suami untuk Kay, kot?" bentakku. 

"Maksud kamu, kamu nak pilih sendiri bakal suami kamu, Kay? Kenapa? Kamu dah ada calon-calonnya? Siapa pilihan kamu? Lawyer? Doktor? Ke, cikgu macam kamu? Hensem? Baik? Anak orang baik-baik? Atau, lelaki biasa yang pendidikannya tak seberapa? Yang gajinya sekarang lepaslah duit rokok dia aje?"

Bulat mataku tengok muka emak. Kali pertama aku tengok dia betul-betul agaknya. Kecantikan yang kian pudar dek peningkatan usia namun kepetahan bercakap, seingat aku, tetap macam dulu. Waktu aku kecil sehingga sekarang, emak memang hebat berdebat. Sebab itu babah tak banyak cakap agaknya. Babah yang sering beralah...

"Mak tahu kamu tak ada kawan lagi, Kay. Mak tahu, kamu pun tengah mencari-cari. Jadi, toksah buang masa. Toksah buat kerja sia-sia. Mak dah dapatkan lelaki yang terbaik untuk kamu. Dia anak kawan mak. Hujung minggu ni, mak cik Roza dengan pak cik Fatah kamu nak datang. Anak dia orang, si...."

Pantas aku mencelah, "Tak payah sebut nama dia. Kay tak nak dengar. Kay tak nak tunang ke, kahwin ke, dengan dia! Kalau Kay nak kahwin, Kay nak lelaki tu, pilihan Kay sendiri. Bukan pilihan mak. Bukan pilihan keluarga. Mak faham tak ni?" 

Kurang ajarkah aku? Melawankah? Tapi, aku hanya ingin mempunyai hak dalam memilih pasangan hidupku. Apakah bentakan ini satu dosa? Apakah kini aku menderhakai emak? Aku..... 

"Kamu ni degil rupanya, Kay? Amboi, selama ni mak tak tahupun yang anak mak ni degil orangnya. Cakap dengan mak, kamu nak atau tidak dengan calon pilihan mak tu? Dia..."

Lagi sekali aku pintas kata-kata emak. "Kay tak nak! Kay tak nak!"

Bukan main keras hati aku ni, kan? Langsung aku tak hirau perasaan mak. Bagi aku, aku hanya fikirkan hatiku sahaja. Hati emak? Alah, salah mak jugak! Dia tahu yang aku memang pantang dipaksa melakukan benda yang aku tak suka. Jadi, 

"Kamu cakap sendiri dengan mak cik Roza kamu tu bila dia datang rumah kita nanti. Kamu aje yang bagitahu dia sebab mak malu nak menolak permintaannya. Dia kawan mak! Kawan baik mak masa dulu-dulu. Mak tak nak kecilkan hati dia,"

Makkk aiii, arahan mandatori tu!! 

Aku risau juga tapi kata-kata semangat dari babah buat aku nekad bersemuka dengan mak cik Roza. 

"Kay jangan pedulikan mak tu. Marah dia kejap aje. Kalau Kay memang belum bersedia nak kahwin, eloklah Kay tolak pinangan mereka. Sebab, kalau Kay kahwin pun, Kay tak akan mampu jadi seorang isteri yang baik, kan?"

Dengan kata-kata babah itulah aku mendepani mak cik Roza dan suaminya. Mereka suami isteri tengok aku tajam sekali. Habislah! Mesti aku kena teruk dengan mereka hari ini. 

"Kay tak nak terima pinangan mak cik?" soal mak cik Roza. Lama aku diam tapi bila mata mak garang aje tengok aku, aku akhirnya mengangguk. 

"Kenapa? Kata emak Kay, Kay tak nak tengok gambar anak mak cik. Nama dia pun Kay tak nak tahu. Apa sebabnya? Bukankah perbuatan tu melampau namanya?" suara mak cik Roza sudah melengking kuat. Kecut perut aku dibuatnya. Tapi, aku faham. Tentulah dia kecil hati bila dengar cerita emak. 

Aku tarik nafas dalam-dalam. Aku lepaskan pula perlahan-lahan. Aku perlu tenangkan diri ini. 

"Kamu dah ada pilihan hati sendiri?" 

Isk, kalau adapun tak kan aku nak bagitahu dia? Itu urusan aku dan keluarga aku saja, betul tak?

"Mak cik rasa tersinggung sangat, Kay. Kalau anak mak cik tu penganggur, tak ada kerja, pun mak cik akan kecil hati dengan penolakan kamu ni. Tapi, anak mak cik tu,"

Tak payah promot lagilah mak cik, oi! Tak perlu! Pintu hati Kay ni dah tertutup rapat. Maaflah! hatiku berbisik. 

"Saya minta maaf, mak cik. Saya minta maaf sangat-sangat. Saya tak ada alasan nak bagi. Yang saya tahu, saya belum bersedia lagi."

Mak mendengus dan aku terhenti bercakap.

"Itu aje sebabnya? Sebab kamu belum bersedia? Bila nak bersedianya? Umur kamu dah 27 tahun, kan?"

Soalan sensitif itu keluar daripada mulut mak cik Roza pulak. Adoiii...

"Maafkan saya, mak cik. Saya tahu saya salah tapi, mungkin Allah nak jodohkan anak mak cik dengan perempuan yang jauh lebih baik daripada saya, kot,"

Mak cik Roza ketawa besar sambil menggenggam tangan emak.  "Anak kau, Shimah, memang pandai bercakap. Memang ikut perangai mak dia! Hebat betul  cara dia menolak," Dia tatap wajahku pula, "Khairiyah, tak usahlah kamu cakap macam tu. Memang, memang itu yang mak cik nak buat. Memang mak cik nak carikan isteri yang jauh lebih sempurna dari kamu untuk anak mak cik tu. Biar meleleh air liur kamu kerana menyesal menolak dia," 

"Mak cik, pak cik, saya percaya pada takdir. Saya harap, mak cik juga percaya yang takdir saya dengan anak mak cik tu dah tersurat, yang kami berdua tak berjodoh. Tapi, saya harap, mak cik tak marah pada emak. Mak cik bencilah saya, tak apa. Tapi janganlah putuskan hubungan mak cik dengan emak dan babah. Saya rasa bersalah kalau hubungan baik ni putus sebab saya," aku balas dalam suara yang terkawal. Tak mahu mereka kecil hati biarpun aku tahu yang aku dah kecilkan hati mereka. Haihh....

Emak jeling tajam aku lagi. "Tak payah kamu nak nasihatkan kami. Dah, pergilah masuk ke bilik kamu. Sakit mata mak ni tengok muka kamu, tahu!"

Aku rasa nak menangis tapi aku ikut arahan emak. Aku salam tangan mak cik Roza. Aku kucup tangannya itu. Aku kesal kerana menolak lamarannya tapi, aku ada prinsip hidupku sendiri. Aku ingin kahwin tapi akan hanya kahwin dengan lelaki yang aku cintai. Tak mahu yang dipilihkan untukku!

Sejak itu, emak sering perli. 

"Yalah, orang hendakkan suami yang kacak, yang macho... bukan nak yang mak pilihkan! Baik-baik, Kay! Hensem aje, tapi poket kosong, buat apa?"

Di masa yang lain, mak akan cakap lagi...

"Ingat, kalau kamu memilih, orang yang tengok kamu pun tentu memilih juga. Tak kan dia hendak perempuan cerewet macam kamu ni jadi bini!"

Sering....

"Nampaknya, dah habislah lelaki dalam Malaysia ni. Umur dah nak masuk angka tiga puluh, tapi, tak jumpa satu pun lagi untuk dibuat suami. Hisy, malangnya jadi emak si Kay! Entah bila nak dapat menantu hebat, kaya, lawa, tegap.... pilihlah sangat!" 

Tapi, takdir mainkan aku balik. Aku digoda oleh lelaki yang aku dah tolak pinangannya. Lelaki yang sejak lama kenali aku tapi mendiamkan diri, mengunci mulutnya rapat, tidak pernah kenalkan dirinya sebagai anak mak cik Roza. Aku? Mana nak sangka anak Abd Fatah ni ialah anak pak cik Fatah yang aku dah tolak mentah-mentah? Malu! Malu! Malu! Itulah yang aku rasa sekarang. 

Jadi, kerana rasa malu itu, aku perlu tinggalkan ruang tamu rumah ibuku ini. Aku perlu pergi. Aku dah tak sanggup nak tengok muka dia orang semua. Tengok Lili, aku dah tahu dah. Mestilah dia yang mak cik Roza maksudkan. Mestilah dia perempuan yang jauh lebih sempurna daripada diriku ini, yang layak, yang cocok, untuk anaknya. 

"Maaf, ya. Kay... Kay nak balik!" 

Aku tak tunggu lagi. Tak sanggup melihat senyum sinis mereka kala air mata ini menitis. Jadi, aku nekad pergi, tak payah salam menyalami dah. Tak sanggup! 

Kuatur langkah yang laju menuju keretaku. Aku nak buka, arghh, berkunci pula. Terus meraba-raba dalam beg galasku. Iskk, mana kunci ni menyorok pulak? 

"Suka terburu-buru, itulah sikap awak yang tak pernah berubah. Dulu, terburu-buru menolak lamaran saya tanpa beri peluang pada hati awak untuk kenal saya. Tanpa beri peluang pada mata awak, untuk tengok saya. Sudahnya, malu sendiri, kan?"

Makkk, Kay nak jadi penyu. tak pun, nak jadi kura-kura. Boleh Kay sembunyikan kepala Kay ni! Tolong Kay, mak. Tolong! 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.