apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

7.5.12

Tetamu hati 5


5

"Kau dah putus dengan Ziyad, ke?"

Soalan Azura berjaya membuat aku fana. Putus? Putus apanya kalau nak bercinta pun belum sempat, hatiku mengomel. 

"Lama aku tak nampak dia ke mari. Korang gaduh?" Azura masih ingin tahu. Wajahku ditatap bagai betul-betul kehairanan. Macamlah selama ni Ziyad tu bertunggu tangga di rumah sewa kami ni. Bertuah punya kawan. Saja aje nak bagi hatiku yang pedih ini semakin perit.

"Err, dia dah ada makwe baharu, Kay," 

Kali ini, kalimah ini, berjaya menarik perhatianku. Aku renung wajahnya. Tentu dia perasan wajahku yang sudah kelat. Tentu Azura nampak riak hatiku yang gelisah. 

"Dia bawak budak perempuan tu semalam. Masa majlis birthday party anak kak Suliza, si Atirah. Ash suruh dia bawak kau tapi dia sampai dengan perempuan tu. Tak silap aku, nama perempuan tu, Lili. Cantik, putih melepak dan sedang berkursus di Port Dickson. Sama dengan Ziyad dengan Ash."

"Ziyad berkursus? Ash pun?" tanyaku pada Azura. Manalah aku tahu prosedur kerja dalam angkatan tentera, kan? Kalau tanya fasal cikgu, hmm, pandailah aku bercerita. Cuti ke, gaji ke, anak murid... semua aku tahu. 

Tapi, Ziyad? Kerjayanya? Skop kerjanya? Pangkatnya? Aku tak pernah bertanya. Aku tak pernah ambil tahu. 

Oh, rupa-rupanya, dia sedang berkursus sekarang? Kursus untuk apa? Naik pangkat lagi ke? Atau naik gaji? Aiyaaa...malas nak fikir!

Tapi, kenapa dia tak bagitahu aku yang dia..., Ops! Kan kami tak boleh berhubungan? Terlupa pulak aku. Tapi, baru dua minggu aje hubungan kami putus. Kenapa cepat benar dia berubah hati? 

Dia tak boleh tahan kot? Mungkin dalam hidupnya, dia kena ada girlfriend. Wajib! Jadi, bila hubungan kami terhalang, dia ambil peluang ini untuk cari yang lain. Tak mustahil tu!

"Diam aje? Banyaknya yang ada dalam kepala otak kau tu, ya? Kau fikir apa, Kay?" tanya Azura. 

Aku renung dia. Aku pun bertanya, "Bila dia balik sini lagi? Ash tahu tak?" 

"Hujung minggu ni, dia orang balik. Selalunya Ash tumpang kereta Ziyad. Kata Ash, dalam pukul lima petang, hari Sabtu nanti, dia orang sampai kat rumah bakal mak bapak mentua aku. Kenapa?" 

Kenapa? Sebab aku nak jumpa Ziyad la! Aku nak bersemuka dengan dia. Aku nak tanya dia tentang isi hati dia. Siapa aku pada dia. 
..................

Petang Sabtu tu, aku pandu keretaku ke alamat yang Azura berikan kepadaku. Aku tak benarkan Azura ikut sekali. Aku tak mahu dia jadi saksi, kalau nanti aku termenangis kerana Ziyad Irsyadi. Firasat aku mengatakan yang aku bakal bersedih. Ada ke? Tak optimis langsung, kan? 

Dah pukul lima. Aku yakin sekejap lagi... Hmm, itupun dia. Kereta Vios sedang menuju ke mari. Aku sengaja memarkir keretaku ke hadapan sedikit. Rasanya, dia tak akan perasan. 

Kurenung melalui cermin pandang belakang. Dia sudahpun memberhentikan keretanya. Dia keluar dan pintu belakang terbuka. Ashman keluar. Aik? Kalau Ash yang duduk di belakang, siapa duduk di sebelah Ziyad sejak mereka bertolak dari PD tadi? 

Soalanku berjawab juga. Seorang gadis jelita membuka pintu dan kini berdiri tegak di situ. Ketiga-tiga mereka berbual seketika. Wah, bukan main mesra lagi? Jeling-jeling manja gitu. Siapa yang jeling? Perempuan tu la, siapa lagi. Dia jeling Ziyadku... Huhu!!!

Rasa cemburuku yang meluap-luap mendorong aku keluar dari keretaku dan melangkah laju ke arah mereka yang sedang berpamitan. Aku perasan Ash nampak aku dan memuncungkan bibirnya pada Ziyad, memberitahu kehadiranku di antara mereka. 

Kini, Ziyad sedang memandangku tajam. Riak terkejut memenuhi raut tampan itu. 

"Kay?" 

Aku dah mula rasa nak menangis. Suara lembutnya memanggilku, buat hati jadi sayu. Aku cuba menarik nafasku panjang-panjang. Tenang! Tenang! Kupesan pada hati.

"Awak ingat lagi nama saya? Tak sangka pulak. Ingatkan, dah ada makwe baru, awak dah lupakan saya, Ziyad?" aku menyindir. 

Ziyad tidak menyahut sebaliknya dia tatap wajahku dalam-dalam. Kalau aku tak kenal sikap buaya daratnya, mungkin boleh aku kata yang dia seolah-olah sedang melepaskan rindu. Aku dapat rasa yang dia ingin aku turut merasakan rindu itu. Tapi, senyumnya? Kenapa dia senyum? Apa yang buat dia suka sangat tu?

"Bukan setakat nama yang saya ingat. Semua tentang awak saya ingat, Kay!" Ziyad panggil perempuan tu. Bila Lili sudah berdiri di sebelahnya dengan muka yang masam, Ziyad sambung bicaranya yang terputus tadi. 

"Lili, saya kenalkan. Ini Cikgu Khairiyah binti Muhamad Aizat. Umur 28 tahun. Lahir pada tarikh 9 Mei, 1984. Mengajar di SMK,"

Kupintas cepat-cepat, "Tak payah kenalkan saya pada dia. Nanti dia cemburu dan merajuk, susah awak nak pujuk. Saya tunggu awak kat sini sebab saya nak ucap tahniah aje. Sebab saya nak pastikan cerita Zura tu bukan direka-reka,"

Aku sebak. Hisy! Kenapa aku tak kuat menghadapi kecurangannya padaku? Bukankah mengetahui hakikat ini sekarang lebih baik daripada ia terbongkar selepas kami berkahwin? Lagipun, apa yang boleh dilakukan lelaki sepertinya selain melukakan? Aku silap perhitungan! Aku bodoh memilih dia! Dia bukan ustaz, kan? Dia bukan malaikat! Dia hanya lelaki mata keranjang! Padanlah muka aku dikecewakannya!

Inilah ujian yang mak nak berikan sebenarnya. Hari ini, baru aku sedar. Hari ini, baru aku faham kenapa emak pesan lagi dan lagi supaya aku tidak mudah leka dengan wajah tampan dan luaran seorang lelaki. Hari ini, aku faham yang bukan mudah memahami kemahuan seorang lelaki. Ya, hari ini, baru aku tahu bahawa lelaki seperti Ziyad, mudah benar mengalih cintanya. 

"Kay, nak ke mana tu?" 

Suaranya cemas bila aku sudah memusingkan tubuh untuk berpatah balik ke arah kereta Myvi milikku.     

Aku tak menoleh. Aku terus melangkah. Biar longlai, biar lembik, biar jatuh nanti..... aku tak akan berhenti. Tidak, langkah ini tidak akan kuhentikan. 

"Ziyad, awak pulak nak pergi mana?" 

Amboi, lunaknya suara si Lili tu? Aku terdengar bunyi sesuatu dibaling di udara. 

"Bawak kereta saya balik. Saya nak naik kereta bakal isteri saya ni!" 

"Hah?" Langkahku mati dan tiba-tiba terasa diriku terhempas ke bonet kereta. Bukan sorang tapi berdua! Ziyad! Hisy!! Belum sempat aku tolak dia, dia dah menjauh. Mujur! 

"Sorry sangat, Kay! Saya tak sengaja tadi. I mean, perbuatan saya yang terpeluk awak tu la! Tentang nak naik kereta awak, memang saya serius!" Dia rampas kunci kereta dari tanganku, dia tolak aku masuk dalam kereta dan aku yang keliru tak mampu nak buat apa-apa selain merenung dirinya. 

"Tengoklah muka saya ni puas-puas. Saya tahu awak rindu saya. Saya pun rindu awak juga. Sangat-sangat rindu!" 

Apakah erti semua ini? Entahlah. Aku tak tahu. Aku kelu? Kalah? Tewas? Keliru......



   

10 ulasan:

  1. uikk..siapa lili?terbukti ziyad mmg syg kay hehe..
    so sweet..
    kadang2 kita kena tanya dulu baru boleh menilai situasi sebenar..
    apa yv kita nmpk tak semestinya sama dgn yg kita dgr hehe..

    BalasPadam
  2. KSofi, rajin2 le letak n3 bru...

    BalasPadam
  3. loikeeee!!!!! haha.. kay,kay! apa nak jadi ngan hang ni? ziyad pun satu, dah tahu kay setia menanti, tapi dia mai ngan pompuan lain. grrrr

    BalasPadam
  4. kak nak lagi... berdebar ni... sapa lili tu.. sedara dia ke? atau kawan kay tu saja nk duga je

    BalasPadam
    Balasan
    1. akan tahu dalam episod seterusnya

      Padam
  5. sweetnyer la si Ziyad ni =)
    kay pulak comel jer =)
    congrats kak sofi, coz nukilkan story yg best =)

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.