apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

6.5.12

Tetamu hati 4


4

Mula-mula memang aku nak terus berkeras menolak. Tapi, Ziyad pandai. Satu hari, aku tengok, dia dah ada dalam rumahku. Sedang gebang baik punya dengan babah dengan emak. Emak? Wanita yang selama ini bukan main menasihati aku supaya berhati-hati dengan lelaki kacak, berjaya ditawan oleh Ziyad. Nak terjojol bijik mata tengok emak sediakan hidangan tengah hari, hari itu. 

"Mak restu," tiba-tiba emak bersuara. 

"Sebab?" Aku sengaja menguji. 

Emak tersengih. "Sebab, dia betul-betul sukakan kamu. Dia bersungguh, itu yang mak suka tentang dia," cepat aje mak mengulas tindakannya sebelum sempat dia, aku tembak. Hmm...   

"Tapi, mak jugak yang cakap. Orang lelaki ni masa dia nak mengayat, masa belum kahwin, memang serba serbi nya baik. Nanti, bila dah kahwin, baru tunjuk perangai sebenar. Entah-entah, Ziyad tu pun macam tu jugak, mak," Aku mengingatkan emak. 

Emak tarik tangan aku sehingga aku duduk di atas kerusi. Dia tatap wajah anaknya ini dalam-dalam. "Mak yakin dengan dia tapi kamu usah risau. Mak dah bagi ujian pada dia. Kalau dia kuat dan kalau betul dia nak pada kamu, dia kena lakukan," kata emak penuh yakin.

Aku mula cemas. Apakah ujian itu? Apakah yang emak harapkan darinya? Apakah yang mak nak buat? Hisy, semua soalan tu menambah kerisauanku. Jenuh aku minta emak jelaskan padaku namun mak hanya gelak. Sikitpun dia tak buka mulut. Hairan betul. 

"Nanti, kamu akan tahu jugak. Usah risau. Mak bukan nak dera anak menantu mak. Mak cuma nak uji dia. Betul ke dia cinta sangat pada kamu. Tuluskah cintanya itu? Sanggupkah buat apa saja demi cinta yang berkobar-kobar tu? Kalau mak rasa dia okey, lulus, kamu akan kahwin dengan dia. Kalau tidak, selamat tinggallah. Insyaallah, akan ada jodoh yang lain untuk kamu," 

Aku kagumi mak sebab sikap penuh yakin dirinya ini. Aku mengaku yang aku tidak mewarisinya. Aku ni penakut. Bukan sikit, banyak. Takut kecewa, takut mencuba hisy, takut segala-gala! Kalaulah aku ada sedikit keberanian, macam emak, kan bagus? 

Ziyad tak bercakap dengan aku sepanjang jalan sewaktu dia hantar aku balik ke rumah sewaku, petang itu. Dia asyik diam. Dahinya berkerut, tanda sedang berfikir kot. Elok sampai depan rumah, baru dia menoleh padaku. 

"Saya tak dibenarkan contact awak selama sebulan setengah. Tak boleh tahu apa-apa tentang awak dalam tempoh itu. Mak awak suruh saya balik ke masa belum kenal awak. Kalau ditakdirkan kita berjumpa pun, dia tak bagi saya cakap dengan awak,"

Aku hanya melopong tengok dia. Itukah syarat pertama yang emak berikan? Tapi, kenapa?

"Awak tahu tak, Kay?"

Aku tatap wajah tampannya. Suaranya sayu beralun. Haihh...

"Emak awak suruh saya buang semua gambar awak dari dompet, telefon, komputer. Satu pun tak ada dah. Kalau saya rindukan awak...."

Patutlah mak suruh dia bawak masuk netbooknya ke dalam rumah tadi. Wah, kejam betul puan Hashimah! Tak sangka aku emak akan buat begini pada Ziyad. Tapi, nak buat macam mana? Aku tak boleh memihak kepada Ziyad sekarang sebab dia orang asing. Apa-apa hal, aku mesti sokong tindakan emak, kan?

"Apa lagi yang emak saya suruh awak buat?" Kali ini aku benar-benar ingin tahu. Kejam jugak mak ni. Tak bagi kami jumpa? Ziyad tanya, kalau dia rindukan aku, macam mana? Aku? Kalau aku rindukan dia? Takkan aku nak cari dia? Malulah aku!

Ziyad mengeluh. Kali pertama aku tengok dia keresahan. Kali pertama, dia hilang keyakinan. Wajahnya murung dan seperti sangat penuh dengan masalah. Kesian betul!

"Ada beberapa perkara tentang awak yang emak awak bagitahu saya. Perkara yang dia suruh saya fikir semasak-masaknya. Tapi, saya rasa, tak payahlah kita bincangkan tentang itu,"

Hisy, pelik betul nada suaranya. Matanya pulak berkaca ketika memandangku. Apa kena dengan Ziyad ni? Yang lagi pelik, apa yang tak kena dengan diriku ini? Apa yang emak aku dah rasuk dia? Argh, pening! Pening dengan gelagat lelaki ini. Pening bila fikirkan emak. 

"Kay, beri saya masa, ya."

Pulak dah! 

"Masa untuk apa, awak?" Aku dah semakin cemas. 

"Masa untuk saya menunaikan janji saya pada emak awak. Masa untuk saya buktikan yang saya bersungguh hendakkan awak dan saya tak main-main. Saya ikhlas. Cuma,"

Aduhai! Ayat tergantung lagi! Kenapa? Susah sangatkah hendak bercakap? Payah sangatkah dugaan yang emak berikan padanya.

"Kay, awak faham tak maksud 'cinta'?

Bulat mataku merenungi dirinya. 

"Cinta antara lelaki dan perempuan, cinta yang melahirkan perasaan ingin berpasangan. Cinta yang hadir dan mendorong rasa ingin memiliki. Saya ada semua rasa dan keinginan itu tapi, saya kena buat semua yang emak awak suruh untuk saya buktikannya. Cuma satu pesan saya pada awak. Jangan sekali-kali hilang keyakinan pada cinta saya. Okey?"

Aku tersenyum mendengar permintaannya. "Saya bukan sesiapa untuk awak cintai, Ziyad. Jadi, kalau awak rasa terbeban dengan apa jugak permintaan emak saya tu, usahlah ikut. Saya tak nak awak rasa tercabar, rasa terpaksa, rasa perlu.... apa gunanya?"

Giliran Ziyad pulak menunjukkan senyuman manisnya. Haih... tak tidurlah aku malam ni mengenang senyumnya itu, hehehe... 

Kami berpisah. Sayu pandangan matanya merenung aku sehingga aku masuk ke dalam rumah. Dan, aku kehilangannya. Dia pergi, sembunyikan diri, patuh pada janjinya yang diberi kepada ibuku. Aku? 

Penasaranlah aku seorang diri......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.