Langkau ke kandungan utama

Sayang, jangan kau pergi!!


Sempena hari guru esok, aku titipkan sebuah lagi cereka untuk kita hayati bersama. Baca, hehe...
..........................


HARI itu, hari pertama musim persekolahan tahun 2012. Hari pertama, aku menjalankan tugas sebagai seorang guru. Hari pertama, aku menjejak kembali sekolah yang kutinggalkan lapan tahun dahulu. Kalau dulu, aku tinggalkan SMK Hutan Melintang, sebagai seorang pelajar, kini aku kembali ke mari, sebagai seorang guru. Ironis, bukan? 

Aku rasa gementar. Aku risau. Juga panik. Mungkinkah semua guru baharu mengalami semua perasaan seperti yang kualami ini? 

Pelbagai gelodak rasa menghantuiku. Apakah yang bakal kuhadapi? Bagaimanakah penerimaan teman-teman sekerja yang ramai di sekolah gred A yang besar ini? Anak-anak muridku pula? Baikkah atau bermasalah? Pintarkah? Atau perlukan bimbingan? Patuhkah atau suka melawan? Macam-macam yang aku fikirkan sehingga aku rasa perutku kecut hendak menghadap mereka, buat pertama kali. 

Menjadi guru, bukan impianku. Tak pernah terlintas di fikiran, aku ingin menjawat jawatan ini. Tak pernah! Bagi aku, dulu.... lama dulu, kerja guru ini hanya untuk mereka yang suka berleter. Yang suka bercakap dan mengomel. Itu bukan aku. Aku ni pendiam. Aku tak suka bising-bising. Tapi, biasalah, kan? Yang kita hendak, jarang kita dapat. Yang kita tak pernah rancang untuk miliki, untuk tempuhi, itulah yang terjadi. 

Di dalam kereta, di tempat parkir yang lapang di hadapan pejabat sekolah, aku semakin resah. Jarum jam kurasakan sangat cepat bergerak. Tadi, ketika aku sampai, aku kira, akulah orang pertama yang tiba. Kini, semakin ramai yang sudah memasuki kawasan sekolah. Melihat budak-budak lelaki dan perempuan segak berpakaian seragam sekolah yang serba baharu, dengan kasut yang putih bersih, aku teringat pada diriku dahulu. 

Lapan tahun yang lalu, aku tidak seperti mereka. Pakaian sekolahku adalah pemberian ehsan jiran-jiran yang bersimpati padaku. Baju yang kupakai, sisa orang, jadi tentulah sudah sedikit kekuningan. Tentulah sudah koyak di sana sini stokin dan kasut juga. Tapi, aku tak peduli. Renungan teman-teman sekelas terutamanya, tak jadi kudis buatku. Lagipun, siapa yang berani hendak mengusik atau menyindirku. Namaku Amira. Amira binti Abdullah. Aku, pelajar perempuan yang paling banyak menimbulkan masalah! Aku, pelajar perempuan yang paling digeruni oleh pelajar-pelajar perempuan yang lain! 
................. 


“Hari pertama awak datang sekolah, awak dah buat hal, Amira?” 

Suara cikgu Kama yang nyaring menyepikan seluruh kawasan perhimpunan. Siapa tak kenal singa betina ni? Datang sekolah aje, kerjanya mesti hendak menelan orang. Tak dapat telan, tu yang menjerit, terpekik, terlolong, mencari kesalahan anak murid. Terutama aku! 

“Hey, kalau awak tak minat nak belajar, kan saya dah cakap dulu... Berhenti saja! Toksah datang sekolah lagi. Pergi buat apa yang awak suka kat luar sana! Baru awak tahu nasib awak nanti!” 

Aku tak faham betul dengan cikgu disiplin sekolah aku ni. Apakah salah, aku pakai tudung yang sedikit pendek ini? Kain yang sedikit singkat? Kat luar sana, yang bukak aurat, siapapun tak peduli hendak bagi tazkirah. Tapi, aku? Arghh... bosan! 

“Tengok ni! Kuku panjang bukan main! Ya Allah, kenapalah hantu ni pagi-pagi lagi dah buat aku mengamuk?” 

Aku pandang wajahnya. Aku dikatanya hantu? Kuku aku ni belum panjang manapun. Belum jadi seperti kuku hantu tu. Hisy, teruk betul dia ni! Aku mengomel dalam hati sahaja. Memang, begitulah sikapku. Tiap kali kena marah dengan cikgu Kama, aku hanya diam, tidak bersuara. Alah, buat apa nak melawan? Bukan boleh menang pun! 

Benci betul bila kena marah. Hilang mood hendak belajar. Hilang semua keinginan dan azam untuk berubah. Konon, azam tahun baru aku, aku nak jadi lebih baik daripada masa-masa lalu. Tapi, bila dah kena macam ni, baik tak payah! Aku ni dah ada ‘chop’ kat muka... 

“Pelajar bermasalah! Jangan dekat!” 

Susah nak tanggal label tu! Tak siapa percaya aku boleh jadi baik! 

Balik ke rumah, masalah lain pula timbul. Mesej dah sampai ke telinga ayahku. Dia dah berdiri tegak di ruang tamu, ketika aku masuk. Tanpa bertanya, terus pipi aku ditamparnya. 

“Kamu pergi sekolah nak jadi samseng, ya? Nak jadi hantu? Hari ni, hari pertama, kamu dah buat perangai? Bila kamu nak sedar, Amira? Bila nak insaf yang kamu tu dah 17 tahun? Dah nak ambil periksa SPM! Bila?” 

Ibu tiriku dan si ‘informer’, adik sebapaku, tersenyum sinis. 

Hatiku walang melihat mereka. Kerana merekalah, ayah sudah tak sayang padaku lagi. Kerana merekalah, aku ini bagai musuh ayah. Kerana merekalah, aku terpinggir dari hidup ayah. 

Malang hidup aku. Emak pergi tinggalkan aku sejak usiaku 7 tahun tanpa khabar berita. Beberapa hari selepas emak pergi, ayah membawa balik perempuan ini dan anaknya yang sebaya denganku, ke rumah kami. Rupa-rupanya, sudah lama mereka berkahwin. Patutlah ayah tidak peduli pada emak yang sudah pergi. 

“Kenapa perangai kamu tak macam Hawa? Hawa tak pernah sakitkan hati ayah, kamu tahu tak, Mira?” 

Pedih telingaku mendengar, perit lagi hatiku menahan. Bukan sekali kami dibanding-banding. Sudah acap kali! Tak jemukah melakukannya? 

“Mira tahu! Mira aje anak ayah yang jahat. Mira yang tak dengar cakap! Semua yang buruk tu, Mira la!” 

Kesabaran yang kian nipis menyebabkan aku membalas kutukan ayah. Dan, aku tahu, ia hanya menambah kebenciannya padaku. Sekali lagi, tapak tangannya mengena pipiku hanya kerana aku menjawab dia. 

“Anak tak guna! Sindir aku, ya? Kamu tahu, Mira. Bila aku tengok perangai kamu ni, aku nampak muka emak kamu. Sebab itu aku benci, tahu tak? Sebijik, kamu ikut sikap dia yang buruk, yang suka melawan tu! Kerjanya tak lain, nak sakitkan hati aku aje!” bebelnya kasar. 

Aku memang pantang bila sikap dan diriku disamakan dengan perempuan itu. Aku benci dia. Dia, ibu yang tidak bertanggungjawab. Dia tinggalkan aku. Dia yang menyebabkan aku hidup dalam neraka dunia ini! Aku benci dia! Benci! Benci sangat! 

“Ayah nak marah Mira, marahlah! Tapi, jangan kaitkan dia dengan Mira. Mira tak suka, ayah! Tak suka!!” aku meninggikan suara, melepaskan seluruh rasa tak puas hatiku padanya. 

“Tak suka ke, suka ke, itulah mak kamu, Mira. Emak yang lahirkan kamu tapi bencikan kamu sampai langsung dia tak ingat nak jenguk. Kan, Hawa?” 

“Yalah, mak. Mak cik Hani tu ibu ayam, kan, mak? Sebab ibu ayam aje yang sanggup,” 

Hawa tak boleh teruskan kata-kata. Kenapa? Sebab, aku dah tarik rambutnya. Aku dah tampar mulutnya dan kalau boleh, aku nak tolak tubuhnya, biar dia tersungkur. Malangnya, bukan dia yang tersungkur tapi aku! Aku yang sudah kena tolak dengan ayah. Aku yang sudah menerima penangan dari ayah. Kesian aku! 

Hatiku hanya dapat meratap pilu.... 

bersambung.....

Ulasan

  1. Balasan
    1. siannya mira.....bapa dia mmg x adil le....geram lak ngan mal tiri n hawa tu....

      Padam
    2. anak sekolah, kalau mereka bermasalah, biasanya dari rumahlah asal masalah itu

      Padam
  2. patutlah sekarang ini ramai anak yang tak mahu
    jaga bapa/ibu bila sudah ada kerjaya dan ibu/
    bapa sudah tua...
    kerana bapa/ibu yang mengajar anak
    jadi begitu... tidak memberi kasih sayang..
    .... siapa harus dipersalahkan; jika
    anak spt Mira yang tidak diberi kesempatan
    untuk membela diri?

    BalasPadam
    Balasan
    1. contoh yg kita beri pada anak2, tentulah mereka ikut, kan? bukankah anak2 ialah kain putih yg dicorak oleh ibu dan ayah setelah lahir?

      Padam
  3. wuuuu...sob3...
    sian mira...macam citer cinderella lak..
    sambung cpt2 kak sofi...
    cikgu sofi, SELAMAT HARI GURU...
    semoga cikgu tabah dalam melayani kerenah anak bangsa kita..amin~
    (*____________________*) senyuman seikhlas hati khas wat kak sofi..

    BalasPadam
    Balasan
    1. muahhhss, utk senyuma manis tu hehe...

      selamat hari guru dan hari2 x guru kepada semua, ya..

      Padam
  4. Selamat Hari Guru Cikgu Sofi...

    BalasPadam
  5. kesiannya. tapi nampak sgt amira tu memberontak sebab masalah dari rumah.

    BalasPadam
    Balasan
    1. memang selalunya begitulah... murid problem ni kebanyakannya dari keluarga yg banyak problem

      Padam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…