Langkau ke kandungan utama

Sayang, jangan kau pergi!! - edisi cerpen penuh




HARI itu, hari pertama musim persekolahan tahun 2012. Hari pertama, aku menjalankan tugas sebagai seorang guru. Hari pertama, aku menjejak kembali sekolah yang kutinggalkan lapan tahun dahulu. Kalau dulu, aku tinggalkan SMK Hutan Melintang, sebagai seorang pelajar, kini aku kembali ke mari, sebagai seorang guru. Ironis, bukan? 

Aku rasa gementar. Aku risau. Juga panik. Mungkinkah semua guru baharu mengalami semua perasaan seperti yang kualami ini? 

Pelbagai gelodak rasa menghantuiku. Apakah yang bakal kuhadapi? Bagaimanakah penerimaan teman-teman sekerja yang ramai di sekolah gred A yang besar ini? Anak-anak muridku pula? Baikkah atau bermasalah? Pintarkah? Atau perlukan bimbingan? Patuhkah atau suka melawan? Macam-macam yang aku fikirkan sehingga aku rasa perutku kecut hendak menghadap mereka, buat pertama kali. 

Menjadi guru, bukan impianku. Tak pernah terlintas di fikiran, aku ingin menjawat jawatan ini. Tak pernah! Bagi aku, dulu.... lama dulu, kerja guru ini hanya untuk mereka yang suka berleter. Yang suka bercakap dan mengomel. Itu bukan aku. Aku ni pendiam. Aku tak suka bising-bising. Tapi, biasalah, kan? Yang kita hendak, jarang kita dapat. Yang kita tak pernah rancang untuk miliki, untuk tempuhi, itulah yang terjadi. 

Di dalam kereta, di tempat parkir yang lapang di hadapan pejabat sekolah, aku semakin resah. Jarum jam kurasakan sangat cepat bergerak. Tadi, ketika aku sampai, aku kira, akulah orang pertama yang tiba. Kini, semakin ramai yang sudah memasuki kawasan sekolah. Melihat budak-budak lelaki dan perempuan segak berpakaian seragam sekolah yang serba baharu, dengan kasut yang putih bersih, aku teringat pada diriku dahulu. 

Lapan tahun yang lalu, aku tidak seperti mereka. Pakaian sekolahku adalah pemberian ehsan jiran-jiran yang bersimpati padaku. Baju yang kupakai, sisa orang, jadi tentulah sudah sedikit kekuningan. Tentulah sudah koyak di sana sini stokin dan kasut juga. Tapi, aku tak peduli. Renungan teman-teman sekelas terutamanya, tak jadi kudis buatku. Lagipun, siapa yang berani hendak mengusik atau menyindirku. Namaku Amira. Amira binti Abdullah. Aku, pelajar perempuan yang paling banyak menimbulkan masalah! Aku, pelajar perempuan yang paling digeruni oleh pelajar-pelajar perempuan yang lain! 
................ 


“Hari pertama awak datang sekolah, awak dah buat hal, Amira?” 

Suara cikgu Kama yang nyaring menyepikan seluruh kawasan perhimpunan. Siapa tak kenal singa betina ni? Datang sekolah aje, kerjanya mesti hendak menelan orang. Tak dapat telan, tu yang menjerit, terpekik, terlolong, mencari kesalahan anak murid. Terutama aku! 

“Hey, kalau awak tak minat nak belajar, kan saya dah cakap dulu... Berhenti saja! Toksah datang sekolah lagi. Pergi buat apa yang awak suka kat luar sana! Baru awak tahu nasib awak nanti!” 

Aku tak faham betul dengan cikgu disiplin sekolah aku ni. Apakah salah, aku pakai tudung yang sedikit pendek ini? Kain yang sedikit singkat? Kat luar sana, yang bukak aurat, siapapun tak peduli hendak bagi tazkirah. Tapi, aku? Arghh... bosan! 

“Tengok ni! Kuku panjang bukan main! Ya Allah, kenapalah hantu ni pagi-pagi lagi dah buat aku mengamuk?” 

Aku pandang wajahnya. Aku dikatanya hantu? Kuku aku ni belum panjang manapun. Belum jadi seperti kuku hantu tu. Hisy, teruk betul dia ni! Aku mengomel dalam hati sahaja. Memang, begitulah sikapku. Tiap kali kena marah dengan cikgu Kama, aku hanya diam, tidak bersuara. Alah, buat apa nak melawan? Bukan boleh menang pun! 

Benci betul bila kena marah. Hilang mood hendak belajar. Hilang semua keinginan dan azam untuk berubah. Konon, azam tahun baru aku, aku nak jadi lebih baik daripada masa-masa lalu. Tapi, bila dah kena macam ni, baik tak payah! Aku ni dah ada ‘chop’ kat muka... 

"Pelajar bermasalah! Jangan dekat!” 

Susah nak tanggal label tu! Tak siapa percaya aku boleh jadi baik! 

Balik ke rumah, masalah lain pula timbul. Mesej dah sampai ke telinga ayahku. Dia dah berdiri tegak di ruang tamu, ketika aku masuk. Tanpa bertanya, terus pipi aku ditamparnya. 

“Kamu pergi sekolah nak jadi samseng, ya? Nak jadi hantu? Hari ni, hari pertama, kamu dah buat perangai? Bila kamu nak sedar, Amira? Bila nak insaf yang kamu tu dah 17 tahun? Dah nak ambil periksa SPM! Bila?” 

Ibu tiriku dan si ‘informer’, adik sebapaku, tersenyum sinis. 

Hatiku walang melihat mereka. Kerana merekalah, ayah sudah tak sayang padaku lagi. Kerana merekalah, aku ini bagai musuh ayah. Kerana merekalah, aku terpinggir dari hidup ayah. 

Malang hidup aku. Emak pergi tinggalkan aku sejak usiaku 7 tahun tanpa khabar berita. Beberapa hari selepas emak pergi, ayah membawa balik perempuan ini dan anaknya yang sebaya denganku, ke rumah kami. Rupa-rupanya, sudah lama mereka berkahwin. Patutlah ayah tidak peduli pada emak yang sudah pergi. 

“Kenapa perangai kamu tak macam Hawa? Hawa tak pernah sakitkan hati ayah, kamu tahu tak, Mira?” 

Pedih telingaku mendengar, perit lagi hatiku menahan. Bukan sekali kami dibanding-banding. Sudah acap kali! Tak jemukah melakukannya? 

“Mira tahu! Mira aje anak ayah yang jahat. Mira yang tak dengar cakap! Semua yang buruk tu, Mira la!” 

Kesabaran yang kian nipis menyebabkan aku membalas kutukan ayah. Dan, aku tahu, ia hanya menambah kebenciannya padaku. Sekali lagi, tapak tangannya mengena pipiku hanya kerana aku menjawab dia. 

“Anak tak guna! Sindir aku, ya? Kamu tahu, Mira. Bila aku tengok perangai kamu ni, aku nampak muka emak kamu. Sebab itu aku benci, tahu tak? Sebijik, kamu ikut sikap dia yang buruk, yang suka melawan tu! Kerjanya tak lain, nak sakitkan hati aku aje!” bebelnya kasar. 

Aku memang pantang bila sikap dan diriku disamakan dengan perempuan itu. Aku benci dia. Dia, ibu yang tidak bertanggungjawab. Dia tinggalkan aku. Dia yang menyebabkan aku hidup dalam neraka dunia ini! Aku benci dia! Benci! Benci sangat! 

“Ayah nak marah Mira, marahlah! Tapi, jangan kaitkan dia dengan Mira. Mira tak suka, ayah! Tak suka!!” aku meninggikan suara, melepaskan seluruh rasa tak puas hatiku padanya. 

“Tak suka ke, suka ke, itulah mak kamu, Mira. Emak yang lahirkan kamu tapi bencikan kamu sampai langsung dia tak ingat nak jenguk. Kan, Hawa?” 

“Yalah, mak. Mak cik Hani tu ibu ayam, kan, mak? Sebab ibu ayam aje yang sanggup,” 

Hawa tak boleh teruskan kata-kata. Kenapa? Sebab, aku dah tarik rambutnya. Aku dah tampar mulutnya dan kalau boleh, aku nak tolak tubuhnya, biar dia tersungkur. Malangnya, bukan dia yang tersungkur tapi aku! Aku yang sudah kena tolak dengan ayah. Aku yang sudah menerima penangan dari ayah. Kesian aku! 

Hatiku hanya dapat meratap pilu.
.........................


Malas betul nak masuk kelas. Nanti, mesti kena smash dengan cikgu Matematik aku, puan Suzi. Tapi, tak kan nak ponteng lagi? Tadi, baru kena rotan kat tapak tangan sebab aku sampai lewat ke sekolah. Karang, tak fasal-fasal aku kena lagi. Aku tak kisah kalau kena rotan, dah imun dah. Yang aku risaukan takut aku digantung sekolah. Pasti mengamuk sakan ayah nanti!

Mahu tak mahu, kakiku melangkah juga ke kelas 5 Seroja. Aku ketuk pintu dan tanpa melihat muka cikgu Suzi, aku terus melangkah ke arah tempat dudukku. 

“Hello, miss. Berhenti! Awak kena jawab soalan yang baru saya tulis ni. Kalau jawapan awak betul, baru awak boleh duduk,” 

Aku pandang ke arah suara lembut itu. Dia sedang tersenyum padaku. Lembut renungan matanya buat aku tidak mampu kalihkan pandangan. 

“Hairan tengok saya? Oh, nama saya puan Mahani. Saya baru bertukar ke sekolah ni. Kita belum pernah jumpa, kan?” soalnya lembut. 

Mana nak jumpa. Semalam seharian aku dikurung cikgu Kama dalam bilik disiplin. Tapi, aduh, aku lupa! Aku sekarang dalam tingkatan lima. Tentu cikgu-cikgu yang mengajar akan bertukar, kan? Bagus jugak ni! Cikgu matematik ni orang baharu. Tak lah muda orangnya tapi perawakannya lembut dan orangnya sangat cantik. 

Dia menghampiriku. 

“Nama awak Amira binti Abdullah. Lahir pada 16.5.1987. Anak tunggal?” 

Cepat-cepat aku geleng. “Tak. Saya ada adik. Bapak kami sama, mak aje lain-lain. Tu dia, Hawa binti Abdullah,” aku memberitahu. 

Cikgu Mahani melihat ke arah Hawa dengan dahi yang berkerut. “Tadi, masa kita berkenalan, awak tak sentuh pun fasal kakak awak ni?” tanya dia lembut.

Hawa juihkan mulutnya. “Dia bukan kakak saya la, cikgu. Tak nak saya mengaku dia yang banyak masalah tu, kakak saya! Buat malu aje!” 

Sudah kuduga! Hawa akan jawab begitu. Kerana, sememangnya, Hawa tak akan pernah anggap aku ni kakak dia. Aku kan jahat?

Cikgu Mahani merenungku kembali. Dia sentuh bahuku lembut pula. Aku tersentak dengan perbuatannya. Rasa tersentuh hatiku apabila dia kemudian mengusap bahuku. Tak pernah aku diperlakukan seperti itu selama ini. 

“Awak semua macam Hawa juga? Malu nak kawan dengan Amira?” 

Semua kawan sekelasku tunduk, tak berani angkat kepala. 

“Saya kesian pada awak semua. Tak ada sorang pun yang akan dapat pahala nampaknya,” 

Bukan dahiku sahaja yang sudah berkerut tetapi juga dahi kawan-kawan sekelasku. Kami tak faham apa yang tersembunyi di sebalik kata-kata cikgu Mahani itu.

Cikgu Mahani ketawa. “Apakah tugas yang Allah dah amanahkan kepada semua manusia?” soalnya.

Ada yang menjawab, “Jadi khalifah kat muka bumi, cikgu,”

“Hmm, pandai pun! Sebagai khalifah, kita dituntut buat yang Dia suruh dan tinggalkan yang Dia larang. Sambil berpesan-pesan pada diri, kita diminta berpesan-pesan kepada sesama insan juga. Jadi, kalau kita nampak kawan kita buat sesuatu yang tidak baik, kita perlu nasihatkan dia. Bukan biarkan dia hanyut begitu sahaja, faham?”

Aku tatap wajah guru perempuan itu dalam-dalam. Cuba menganalisis sikapnya padaku. Apakah tidak ada sedikitpun rasa meluat sepertimana cikgu-cikgu lain, ketika merenungku? 

Aku tersentak. Pijar pipiku kerana malu. Pasti cikgu Mahani menyedari perbuatan aku yang asyik melihat dirinya itu.

“Pergi jawab soalan yang saya dah tulis kat depan tu,”

Eleh, kalau setakat soalan tentang set, subset, persilangan dan melorek kawasan, tak ada masalah bagi aku. Kacang aje tu! Aku pergi ke hadapan kelas, aku jawab soalan yang diberi dengan penuh konfiden. Dan, aku puas melihat wajah cikgu Mahani yang seakan-akan bangga denganku. 

“Wah! Hebat!”

Cikgu Mahani tepuk tangan diikuti oleh teman-teman sekelasku, kecuali Hawa. Ah, biarlah dia! Tak kisah! Yang penting, aku dah mula seronok hendak belajar semula. Terima kasih, cikgu Mahani, aku berbisik di dalam hati. 

Sebelum kelas berakhir, cikgu Mahani menghampiri aku yang sedang duduk dan memberikanku secebis kertas. Dia berlalu dan keluar. Aku lantas membaca apa yang ditulisnya.

“Rom tidak dibina dalam satu hari. Kekuatan mental menyebabkan ia berjaya disudahkan. Jadi, pastikan mental awak kuat untuk berperang dengan kehendak hati. 

Kejayaan tak datang bergolek tapi dengan usaha. Usaha tak mampu bertahan kalau tidak ada istiqamah. 

Sikap jadi penentu. Rajinkan diri. Tekun membaca. Tanya cikgu bila tak faham. 

Reputasi? 

Buruk? 

Semua orang berhak mendapat peluang kedua. Kalau awak mahu, cikgu yakin, awak mampu terbalikkan persepsi semua orang di sekolah ini, terhadap diri awak. 

Amacam? Mahu sahut cabaran saya?”

Aik? Cikgu Mahani ni, cikgu Matematik ke cikgu kaunseling? 

Aku garu kepalaku...
...............


Kata-kata yang tercatat dalam kertas itu menjadi perangsang buatku. Aku cuba berubah. Cuba menjadi manusia yang lebih baik. Tetapi, payah! 

Keadaan di rumah yang sentiasa tegang mengganggu emosiku. Sindiran emak tiriku, kemarahan ayah yang tidak pernah surut, menjadikan aku seorang yang hidup bagaikan lalang. Sekali ditiup kata-kata semangat, berkobar-kobar kemahuan untuk berjaya. Untuk maju ke hadapan. Tapi, sekali kena kutuk, aku tak fikir dua kali. Terus tanganku laju mengena pipi si pengutuk. Terus mulutku laju mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan telinga. Aku tak sekuat mana! 

Hawa jadi musuh nombor satu. Dia mungkin adikku tapi sikapnya langsung tidak berubah. Tidak hormatkan aku, satu hal. Tapi, dia suka sangat menjaja yang tidak-tidak. Baru-baru ini, dia sebarkan fitnah yang aku minat pada head boy sekolah kami, si Farouq Ikhwan tu. Hanginlah aku! Ingat aku berkenan sangat ke pada budak lelaki yang perasan bagus tu? Tak kuasa! 

“Woi, budak! Dah cermin muka kau tu? Layak ke kau dengan dak Farouq ni?” suara si Iqbal, kawan baik Farouq, buat aku jadi sebal. Tapi aku diam, tak peduli, biarpun hatiku sakit mendengar suara Farouq yang gelak mengekeh. Sukalah sangat! 

“Dah la tak pandai. Miskin. Perangai pulak kalahkan minah rempit. Ada hati hendak tackle pelajar cemerlang sekolah. Pergi menyoroklah, Amira. Kau tak tersenarai dalam pemilihan calon, okey!” ucap Iqbal lagi. 

Hahaha.... 

Amboi, Farouq? Bukan main suka dia! 

“Siapa cakap aku suka kau, Farouq?” 

Erk? Terkejut? 

“Eh, kau hebat sangat, kan? Aku tak minat mamat hebat-hebat macam kau ni. Boring woo, dapat pakwe yang asyik fikir bab belajar aje... Tak best! So, jangan perasan eh! Nanti, kalau aku pulak jaja yang kau suka kat aku, malu kau nanti!” 

Air wajah Farouq berubah. Dah marahlah tu! Tapi, aku tak endahkan. Tak kuasa nak fikir tentang dia. 

Farouq dendam padaku. Kata-kataku, buat dia sakit hati. Rupa-rupanya, lelaki macam dia, yang disanjung ramai, tak boleh menghadapi penolakan. Bagi dia, aku sepatutnya merayu, mohon supaya aku diterima jadi makwe. Tapi, aku sebaliknya dah herdik dia. Aku dah malukan dia. Maka, setiap hari, dia mula jalankan kuasa sebagai pengawas untuk kenakan aku. Tiap hari, dia buat laporan palsu tentangku. Aku makan dalam kelas la. Aku tak berbaris masa di kantin la. Aku curi buku kawan la... Eeii, geram betul aku dengan dia! Benci! 

“Yo, tak ada muka lain kena tahan bila habis sekolah. Mesti muka kau aje yang ada, kan?” usiknya, pada satu hari. Aku, masa tu, sedang menulis satu frasa ayat, ‘Saya janji, saya tak akan malas lagi,’ yang disuruh cikgu BM ku. Ada lagi 900 baris yang perlu kusiapkan. Tapi, hantu ni dah datang kacau. 

Rasa tegang mukaku menahan marah. Tapi aku masih cuba bersabar. 

“Tu la. Lain kali, buat kerja rumah yang cikgu Helmi suruh buat. Jangan malas-malas, cik Amira,” 

Mana tahan! Farouq memang mencari nahas! 

Aku bangun dan menghampirinya. Dia sedang membelakangiku lalu aku tolak dirinya sehingga jatuh tertiarap. Kemudian aku pijak-pijak kakinya. “Kau ingat, aku tak tahu yang kau ambil buku aku dari atas meja cikgu Helmi? Kau ingat, aku tak tahu yang kau buang buku aku dalam tong sampah? Aku nampak apa kau buat la, Farouq! Aku...” 

Waktu itu, cikgu Helmi memasuki bilik. Habislah aku! Selepas dia menarik Farouq bangun, suaranya bergegar sehingga ramai yang berhenti di hadapan pintu bilik dan memandang ke arah kami. 

“Saya suruh awak buat apa, Amira? Pukul Farouq ke?” Mencerun wajahnya ketika ini. “Awak memang teruk! Dahlah malas, ada hati nak jadi samseng Kampung Dusun, ya! Awak tak malu ke? Awak tu, perempuan, Amira! Sepatutnya, awak jaga diri awak tu. Tapi awak? Tak sopan langsung! Boleh awak pijak kaki si Farouq ni? Apa yang dia dah buat pada awak? Ke, awak dengki pada dia? Atau, awak geram sebab dia tak layan bohsia macam awak ni?” 

Sampai hati seorang cikgu cakap macam tu, kan? Aku tahulah yang Farouq tu murid kesayangan semua cikgu. Aku sedar juga yang aku ni murid yang dibenci semua cikgu tapi, janganlah jatuhkan maruah aku sampai begini. Malulah aku! 

Aku terus berlari keluar. Lantaklah! Biarlah esok aku didendanya lagi sebab kerja yang disuruh buat itu tidak kusiapkan. Tak apa! Yang penting, aku perlu pergi. 

"Amira!” 

Hisy, apa lagi si beruk Farouq ni nak dengan aku? 

“Kenapa kau tak terus terang dengan cikgu fasal...” 

Aku lap air mataku yang mengalir. “Cikgu nak percaya cakap aku ke?” 

Farouq mendengus. 

“Kau budak hebat, Farouq. Aku dah tewas banyak kali dengan kau. Aku dah malu banyak kali hanya sebab perbuatan kau. Kau tak puas hati lagi ke? Nih, aku nak cabar kau. Kalau kau betul-betul benci aku, kau buat satu perkara yang boleh campak aku keluar dari sekolah ni. Ada bran?” 

Aku tinggalkan dia. Biar dia fikir sendiri. Aku pun dah tak sanggup belajar di sini. Kalau ikutkan hati, rasa macam nak berhenti saja. Tapi, kalau Farouq tu boleh buat aku kena buang sekolah... bagus, kan?
..........................

5

“Putus asa bukan sifat yang terpuji,”

Aku tatap wajah cikgu Mahani. Kujuihkan bibirku tanda aku tidak suka mendengar sindirannya itu. “Saya memang tak ada semua sifat-sifat terpuji, cikgu. Semua orang tahu,” balasku kasar.

Cikgu Mahani tergelak kecil. Apakah yang menggeletek hatinya? Lucukah jawapanku itu? aku berkata yang benar, mengapa dia hendak gelak pula?

Agaknya cikgu Mahani perasan yang aku sedang kehairanan, lalu cepat-cepat dia tanya soalan ini. “Tak ada? Oh, jadi awak ni... bodoh?”

“Cikgu! Sampai hati cikgu cakap saya bodoh,” rajukku. Siapa yang tak kecil hati bila orang yang selama ini hadir untuk memberi kata-kata perangsang, tiba-tiba sahaja mengutuk. Tahu tak, sejak aku kenal dia hampir sebulan lepas, dialah satu-satunya insan yang tidak pernah memandang serong, mahupun jijik, kepada diriku ini. Tapi, hari ini? Dia sudah terpengaruh. Dia juga sudah termakan kata-kata beracun mereka yang berada di sekeliling kami.

Ketawa cikgu Mahani semakin lepas bila melihat wajah kelatku. Sedikitpun, dia tidak peduli akan perasaanku ketika ini. Aku? Tentulah rasa kecewa sangat. Sebab itu, aku harus keluar dari sini. Tapi, baru aku hendak melangkah, cikgu Mahani pantas menarik tanganku, lantas memeluk diriku erat-erat. Tergamam aku dibuatnya namun entah mengapa, aku rasa bahagia. Ya, aku bahagia sangat! Kerana, inilah kali pertama aku didakap oleh seorang wanita. Terasa.... terasa bagaikan aku sedang dipeluk oleh emak. Ohh...

Tidak aku nafikan, aku semakin rapat dengan cikgu Mahani. Setiap kali ada masalah, aku akan datang ke mari, ke rumah sewa cikgu yang berstatus janda ini. Aku tenang bila bersamanya. Aku senang kerana dia menerima diriku seadanya. Dia yang tidak pernah memandang serong padaku. Tidak pernah marah atau mengherdikku.

“Lain kali jangan cakap begitu lagi, Mira. Merendah diri tu memang sikap terpuji tapi jangan sesekali pandang rendah pada diri sendiri,”

Aku sudah keliru. Apakah perbezaannya? Merendah diri dengan memandang rendah pada diri sendiri?

“Merendah diri itu, pilihan. Memandang rendah pada diri sendiri itu, penghinaan,” cikgu Mahani semakin memeningkan kepalaku.

Wanita itu tersenyum memandangku, tahu apa yang kurasa barangkali. “Di bumi Allah yang terbentang luas ini, kita memang disuruh supaya sentiasa merendah diri. Jangan berlagak sombong kerana kita ini hanya seorang hamba. Hamba Allah! Biarpun begitu, biarpun kita ini hamba-Nya, kita harus sedar bahawa kita ini, makhluk yang sudah dicipta dengan sempurna. Kita, makhluk Allah yang terbaik. Jadi, kalau kita pandang rendah diri kita yang sudah tercipta dengan sempurna, bukankah itu maknanya kita menghina diri kita sendiri?”

Aduhai, cikgu Mahani? Tahu aje dia bagaimana hendak menenangkan hatiku yang penuh kesakitan. Pandainya dia memujuk. Rasa hilang semua kemarahanku pada mereka yang asyik menyakiti hatiku selama ini.

Betul kata cikgu Mahani. Aku tidak harus ada rasa rendah diri. Sebab itu, aku tidak harus peduli pada umpat keji orang. Farouq atau sesiapa sahaja boleh mengutukku. Boleh menghina. Boleh mencerca. Biarkanlah!

“Mira,”

Aku tatap wajahnya yang lembut dan tenang. “Ya, cikgu,”

“Awak ni budak baik. Saya tahu awak baik orangnya. Tapi, kenapa awak macam bermusuh dengan semua orang?”

Bulat mataku kini. Aku bermusuh dengan semua orang? Salah tu! Orang yang tak sukakan aku. Orang yang jijik padaku. Yang benci! Bukan Aku!

“Saya dengar, awak ada masalah di rumah. Keluarga awak....”

“Keluarga? Saya mana ada keluarga, cikgu,” aku menyanggah.

“Awak ni! Tu, ayah awak? Adik awak? Emak,”

“Boleh tanya soalan lain tak, cikgu?” Aku enggan menjawab soalannya.

“Kenapa?”

“Saya tak suka perkataan tu!”

Mata cikgu Mahani buntang merenungku. “Kamu tak suka....emak kamu?” soalnya perlahan. Wajahku dilatari lama. Bagai ada yang terbuku di dadanya.

“Ya, saya tak suka.... dia,” Lama aku berjeda sebelum berbisik lemah, “Saya tahu, saya tak boleh benci dia, kan cikgu? Tapi, dia tinggalkan saya sorang-sorang, cikgu. Dengan ayah, dengan emak tiri, dengan adik, yang bencikan saya,”

Cikgu Mahani cepat-cepat meletakkan jarinya ke bibirku. “Jangan cakap macam tu,” pintanya.

Aku melepaskan keluhan. “Betul, cikgu! Ayah, mak cik, Hawa...... dia orang tak sayang saya. Dia orang cakap sendiri yang dia orang bencikan saya,” Kurenungi muka yang sudah kelihatan sedih dan sebak itu. “Cikgu tahu tak, baju sekolah saya ni, jiran-jiran yang sedekah. Kalau tidak, entah-entah, saya tak ada baju sekolah pun. Tapi, Hawa? Tiap-tiap tahun, dia pakai baju baru. Kenapa ayah boleh beli baju untuk dia tapi tak boleh beli untuk saya? Itu bukti yang dia benar-benar bencikan saya. Kan, cikgu?”

Cikgu Mahani ambil jari jemariku dan mengusapinya. Lama dia tunduk merrenung lantai.

“Emak awak tak pernah balik cari awak?”

Aku geleng. “Emak pun bencikan saya jugak. Kalau tidak, tak kan dia pergi macam tu aje!” Aku tidak menyembunyikan kemarahan.

Aku tenggelam dalam kesedihanku. Tak perasan apa-apa ketika itu. Sehinggalah cikgu Mahani berkata, “Jangan tuduh emak awak macam tu. Tak baik. Mungkin dia ada alasan kenapa dia tak cari awak lagi,”

“Alasan? Alasan apa, Hani? Alasan apa?”

Aku terkesima. Di depan pintu, ayahku berdiri tegap tetapi wajahnya terlalu garang. Tidak terukir secebis senyuman langsung. Dia kini sedang merenung wajah cikgu Mahani.

“Buat apa kau balik ke sini? Hah? Dah besar panjang budak Amira ni, baru kau nak balik jenguk dia? Dah penat aku bagi dia makan, tiba-tiba, sekarang, kau sibuk nak jaga dia? Nak rebut kasih sayang dia dari aku? Kau memang perempuan tak tahu malu!”

Kucuba cerakin setiap yang meniti keluar dari bibir ayahku. Dalam rasa percaya dan tidak, aku pasti, telingaku tidak salah dengar.

“Awak bagi dia makan? Awak bela dia cukup baik? Awak bagi dia kasih sayang? Hei Abdullah, awak nak tipu siapa? Siapa yang awak nak kelentong ni? Satu Hutan Melintang ni tahu macam mana awak asuh dia! Satu pekan dah tengok awak anak tirikan dia! Tengok ni! Baju sekolah yang dia pakai, semua, orang yang sedekah! Itu awak kata awak sayang, awak tatang anak kita?”

Aku undur ke belakang. Aku tak mahu dengar lagi. Aku dah faham dah! Aku dah tahu tapi, apa yang aku tahu, apa yang aku faham, langsung tidak memberi kebahagiaan. Langsung tidak menyenangkan hati dan fikiran. Langsung tidak kusukai!

Aku keluar dengan perasaan bingung. Aku berjalan dengan fikiran yang kosong. Mereka yang masih berkelahi, tidak kuhiraukan lagi. Tak penting untuk aku tahu apa yang mereka rebut dan bising-bisingkan. Kerana, bagi aku, mereka sama sahaja. Mereka, manusia yang kejam. Persepsi ini tidak akan berubah! Tidak mungkin berubah.

Dalam sedih, dalam marah... aku tidak sedar bahawa aku sedang membahayakan diriku. Aku berjalan tanpa arah. Aku berjalan tanpa mempedulikan apa-apa. Aku.....

"Amira! Ke tepi, Mira! Ke tepi!”

Itulah yang aku dengar sebelum semuanya hilang. Lenyap! Melayang!!!
.........................

6

Lepas satu masalah, ditambah lagi dengan satu masalah lain. Memang beginikah hidupku? Tak habis-habis ditimpa masalah?

Ingatanku kembali kepada kejadian itu. Kejadian yang hampir-hampir merenggut nyawaku jika tidak kerana dia. Alahai, kenapa harus dia yang sudah menyelamatkan aku? Malah, kenapa harus aku diselamatkan? Bukankah lebih baik aku yang hidup asyik menyusahkan orang ni, mati sahaja?

“Syukur kau tak apa-apa. Aku susah hati kalau,”

Aku segera pintas cakapnya, “Kenapa kau selamatkan aku?”

Dahi Farouq berkerut. “Aku tahu yang kau ni bodoh, Mira, tapi tanya soalan bodoh macam tu... hisy! Kau ingat aku syok kat kau ke? Tak ada fasal la! Kebetulan aje aku lalu di situ dan ternampak kau yang macam orang tak betul hari tu,” balasnya kasar.

Tindakan pantas Farouq menyebabkan aku selamat dan dapat mengelak lori yang datang dari arah hadapan. Kiranya, dia dah jadi hero penyelamat aku la. Tapi, aku tak suka. Patut biarkan aje aku....

"Kau tahu, tak? Selama ni, aku tengok kau kebal aje. Tak lut dengan amukan, kemarahan, cakap-cakap kasar cikgu Kama mahupun orang lain. Tapi sekarang, kau jadi sangat lemah. Air mata kau pun dah murah sangat,

Farouq ketawa pula. “Tapi, kalau dengan aku, memang dah jadi samseng Kg Dusun,” ujarnya, mengulangi kutukan cikgu Helmi padaku. Aku jeling dia. Itu sahaja yang mampu aku buat. Selebihnya, biarkan!

Tiba-tiba dia bangun dengan tergesa-gesa. Aku menoleh ke arahnya. Tapi, pandangan mata tertuntas pada....

“Cikgu,”

Aku tatap segarit senyum yang terukir di bibir cikgu Mahani.

“Terima kasih, Farouq,”

Kulepaskan keluhan. Pertemuan ini sudah diatur oleh Farouq. Apa nak kukata? Aku pun dah letih melarikan diri daripada mereka. Ayah sudah berkali-kali suruh aku balik ke rumah. Nampak macam dah insaf dan menyesali perbuatannya dahulu. Tapi, sanggupkah aku masuk semula ke rumah itu sedangkan ibu tiriku dan anaknya, Hawa masih bersikap seperti dahulu?

Cikgu Mahani duduk di sebelahku. Aku tahu dia sedang merenungiku tapi aku buat tak nampak.

“Bukan mudah nak terima orang yang kita benci, kan?”

Aku mendengus.

“Mak tak harap Mira maafkan mak. Mak mengaku, mak salah. Mak tak fikir panjang masa mak tinggalkan ayah kamu. Mak tak rebut hak penjagaan kamu pun. Mak pentingkan diri. Mak hanya fikirkan luka yang ayah kamu bagi pada mak sampai mak lupa, mak ada kamu. Tapi, Mira, mak dah balik. Tujuan mak, satu aje. Mak nak tebus dosa mak pada Mira. Mak nak ambil Mira dan bagi hak Mira sebagai anak mak,”

Aku tengok dia betul-betul kali ini. Wajah sedihnya meruntun hatiku. Kesian aku tengok dia. Tentu dosa lama sedang menghantui, kan?

“Cikgu lebih berjaya sebagai guru berbanding sebagai ibu, tahu!” sergahku.

Aku ingat dia nak marah tapi sebaliknya cikgu Mahani ketawa pula. Aku ni agaknya, ada bakat jadi pelawak kot!

“Memang pun! Cikgu tahu tu,”

Aku jongket kening. Tak puas hati. Tadi dia ber ‘emak’ denganku. Sekarang, cikgu pulak.

“Kalau Mira senang dengan panggilan cikgu, panggil aje mak ni, cikgu. Mak relakan,”

Aku diam. Tapi, aku suka begitu. Biar aku panggil dia cikgu kerana panggilan itu tidak menyakitkan hatiku. Kalau dia kupanggil emak, pasti aku akan rasa janggal dengan dia. Dan, takut nanti, aku jadi semakin benci padanya.

“Mira akan tinggal dengan cikgu. Ayah Mira dah benarkannya,”

Ayah.... tentulah dia rasa lega sekarang. Aku tidak lagi ada dalam hidupnya. Tak lagi akan kacau hidup Hawa. Sukalah dia! Jadi, bila ayah ajak aku balik rumah dia, itu cuma ajak-ajak ayam sahajalah... Adoiii, kesian aku!

“Cikgu tahu, cikgu tak ada hak menasihat Mira tapi, cikgu tetap nak nasihatkan jugak!”

Bibir kumuncungkan. Cikgu Mahani hanya mampu melepas keluhan.

“Mira, Mira jangan benci ayah, ya. Dia ayah Mira. Sebab dia, Mira lahir ke dunia. Mak yang salah tinggalkan dia sebab mak sakit hati bila tahu yang dia dah lama kahwin dengan perempuan tu. Mak yang salah, yang tak fikir panjang. Ayah Mira tu dulu baik orangnya. Dia jadi macam tu sebab,”

“Saya tak pernah benci dia. Dia yang benci saya,” Aku tatap wajah cikgu Mahani. Ada yang perlu aku luahkan. “Cikgu, kalau ikut hati, saya tak nak duduk dengan cikgu. Dan, saya nak pergi jauh dari ayah. Tapi, saya nak ambil periksa hujung tahun ni. Saya tak nak orang pandang rendah pada saya lagi. Saya tak nak dihina. Dan, saya nak buktikan yang saya boleh berjaya macam orang lain. Saya perlukan bimbingan cikgu. Jadi, saya mengalah sekarang. Cuma satu saya nak pesan. Jangan paksa saya panggil cikgu, emak. Saya tak mahu lakukannya,”

Aku tak peduli pada air wajahnya yang sudah berubah. Aku tak peduli kalau dia berkecil hati. Hatiku sendiri sudah lama hancur. Kenapa tidak dia rasa sedikit kesakitan itu sekarang?

Aku tak menunggu jawapannya sebab aku dah tahu apa yang bakal dilakukan oleh cikgu Mahani. Dia tak akan menolak permintaanku. Demi membawa aku masuk semula ke dalam hidupnya, dia pasti akan menurut semua kehendakku.
...............

“Cikgu Amira! Awalnya cikgu datang hari ni?”

Lamunanku tercampak jauh. Mujur, wajah dapat kuceriakan secepatnya. “Selamat pagi, cikgu Noraini. Cikgu pun awal jugak, kan?” balasku.

Cikgu Noraini, guru kanan Votek tersenyum manis.

Dari ekor mata, kuperhatikan sebuah kereta Toyota Camry memasuki pekarangan sekolah. Jantungku berdebar. Tak sabar menunggu gerangan turun dan mendekati aku.

Dia semakin rapat. Langkahnya tegas menghala ke arahku. Dan, dia masih orang yang sama. Penuh wibawa, tenang dan sentiasa tersenyum. Sejak kali pertama, aku mengaguminya dan rasa itu tidak pernah berubah. Malah, kini, rasa kagum itu sudah bercambah kepada semua rasa lain yang memberikan kenikmatan dalam hidup berkeluarga.

“Salam. How are you today, my dear Amira?”

Aku tersenyum meleret.....
......................

Akhir... 

“Waalaikum salam warahmatullahi wabarakatuh, cikgu Mahani. Selamat hari guru, cikgu. Dan, selamat bersara,” 

Kami berpelukan. Pelukan erat antara seorang murid dengan gurunya. Pelukan penuh kasih sayang antara seorang ibu dengan anaknya. 

Ya, saat aku kembali ke mari lima bulan dahulu, aku sudah bersedia untuk menghadapi keadaan ini. Aku tahu betapa detik perpisahan ini akan muncul jua. Namun aku bahagia. Kerana, impianku untuk bertugas bersama-sama dengannya di bawah satu bumbung, sudah tercapai, biarpun dalam sesingkat waktu. 

Hari ini, hari lahirnya. Hari ini, hari terakhir dia bergelar cikgu. Ya, cikgu Mahani akan bersara kerana umurnya kini sudah genap 56 tahun. Dan, sempena sambutan hari guru, kami, kakitangan sekolah, ahli jawatankuasa PIBG serta murid-murid SMK Hutan Melintang, akan meraikan dirinya, meraikan majlis persaraannya. 

Semasa dalam tingkatan lima, aku tinggal bersama-sama dengannya. Ingat lagi? Aku tetap memanggilnya cikgu. Lidahku belum mampu memanggilnya, ‘emak’. Ayahku? Emak tiriku? Hawa? Mereka ada, tapi, tetap menjadi orang asing bagiku. Sesekali, aku terserempak dengan ayah tapi seperti selalu, kemesraan itu memang tidak ada. Hanya sekadar anggukan tanda kami saling mengenali. 

Aku menyambung pelajaran ke Kolej Matrikulasi Gopeng selama dua tahun sebelum diterima masuk menyambung ijazah di bidang perguruan, di UPSI. Cikgu apa? Oh, aku ikut jejak langkah cikgu Mahani. Aku pilih untuk mengajar subjek Matematik. 

Lama juga aku menjadi penganggur terhormat. Namun, ada hikmahnya. Sepanjang tidak bekerja, aku tinggal bersama-sama dengannya. Waktu inilah, hubungan kami anak beranak semakin rapat. Waktu inilah, aku dan dia semakin mengenali di antara satu dengan lain. Dan, kini, aku tak lagi kekok untuk memanggilnya, emak. 

Syukur, aku masih berkesempatan menebus khilafku, menundukkan keegoanku. Terima kasih, emak dan cikgu kesayanganku, yang sering menitipkan pesanan HAMKA, lewat kehidupanku. 

1. Kata-kata yang lemah dan beradab dapat melembutkan hati dan manusia yang keras. 

2. Bertambah kuat kepercayaan kepada agama, bertambah tinggi darjatnya di dalam pergaulan hidup, dan bertambah baik tingkah laku dan akal budinya. 

3. Pergaulan mempengaruhi didikan otak. Oleh itu, untuk kebersihan jiwa hendaklah bergaul dengan orang-orang beradab dan berbudi mulia yang dapat kita kutip manfaatnya. 

4. Undang-undang adab dan budi pekerti membentuk kemerdekaan bekerja. Undang-undang akal membentuk kemerdekaan berfikir. Dengan jalan menambah kecerdasan akal, bertambah murnilah kemerdekaan berfikir. 

5. Di dalam medan hidup,ada beberapa undang-undang yang harus dijaga dan diperhatikan. Ada yang berhubungan dengan kesihatan tubuh, dengan keberesan akal dan yang berhubung dengan kemuliaan adab dan budi. 

6. Kata Hukama,” Hendaklah adab sopan anak-anak itu dibentuk sejak kecil kerana ketika kecil mudah membentuk dan mengasuhnya. Belum dirosakkan oleh adat kebiasaan yang sukar ditinggalkan”. 

7. Mengikut adab kesopanan, tetamu yang tidak menghormati diri dan tidak menghormati ahli rumah yang ditemui, bukanlah orang yang patut dihormati. 

8. Orang beradab pasti pandai menghormati keyakinan orang lain, walaupun dia sendiri tidak sesuai dengan keyakinan itu. 

Pasti ada yang tertanya-tanya, aku sudah kahwin atau belum. Kan? Okey, aku bakal mendirikan rumah tangga pada cuti persekolahan nanti. Tepatnya, pada hari Sabtu, 2.6.2012 nanti. Dengan siapa? Alah, tanya pulak? Alhamdulillah, dengan Farouq Ikhwan, yang tak mampu kutolak lamaran cintanya. Apa? Cikgu? Oh, tidak! Farouq bukan cikgu. Dia bekerja sebagai jurutera IT di Kuala Lumpur. Kisah cinta kami? Biasa-biasa aje tapi biarlah kutitipkan di sini bingkisan dari insan tersohor yang bernama HAMKA itu lagi... 

'Kalau engkau dicintai orang dan mencintai, senangkanlah hatimu. Tandanya hidupmu telah berharga, tandanya engkau telah didaftar anak bumi yang terpilih. Tuhan telah memperlihatkan belas Kasih-Nya kepadamu lantaran pergaduhan hati sesama makhluk. Dan jiwa di seberang masyrik dan maghrib telah terkungkung di bawah satu perasaan di dalam lindungan Tuhan. Di sanalah waktunya engkau mengetahui rahsia perjalanan matahari di dalam falak, ketika fajarnya dan terbenamnya, tandanya Tuhan telah membisikkan ke telingamu nyanyian alam ini. Lantaran yang demikian, dua jiwa berenang di langit khayal, di waktu orang lain terbenam, keduanya berdiam di dalam kesukaan dan ketenteraman, bersenda gurau di waktu bersungguh-sungguh. 

Dan jika engkau mencintai tetapi cintamu tak terbalas, senangkan jugalah hatimu. Kerana sesungguhnya orang yang mengusir akan jatuh kasihan dan ingin kembali kepada orang yang diusirnya itu setelah dia jatuh dari matanya: dia akan cinta , cinta yang lebih tinggi darjatnya daripada cinta lantaran hawa. Terpencil jauh membawa keuntungan insaf, kebencian meruncingkan cita-cita dan membersihkan perbuatan. Dengan sebab itu, engkau akan beroleh juga kelak tempat merupakan cinta itu, kalau tak ada pada insan, ada pada yang lebih kekal daripada insan. Bersedialah menerima dan menyuburkan cinta, walau bagaimana besarnya tanggunganmu, kerana cinta memberi dan menerima, cinta itu gelisah tetapi membawa tenteram. Cinta mesti lalu di hadapanmu, sayang engkau tak tahu bila lalunya. 

Hendaklah engkau menjadi orang yang besar, yang sanggup memikul cinta yang besar. Kalau tak begitu, engkau akan beroleh cinta yang rendah dan murah, engkau menjadi pencium bumi, engkau akan jatuh ke bawah, tak jadi naik ke dalam benteng yang kuat dan teguh, benteng yang gagah perkasa yang sukar ditempuh oleh manusia biasa. Kerana tugu cita-cita hidup itu berdiri di seberang kekuasaan dan kemelaratan yang diletakkan oleh kerinduan itu sendiri.' 

Cinta yang sejati adalah cinta di antara dua hamba Allah yang dipaterikan oleh cinta kepada Allah. Janganlah kita berkhayal kerana iblis suka meracuni jiwa yang lalai. 

Ya, aku bahagia kini. Setelah bertahun hatiku menjerit kalimah, "Sayang, jangan kau pergi!" kini, aku memiliki segala-gala. Terima kasih, Tuhan. Tanpa cinta-Mu, siapalah aku...........
.............................. 

nota kaki: ingin kenal siapa HAMKA? Layari laman ini.

Aku juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pemilik-pemilik blog berikut.


Selamat Hari Guru untuk semua.... 

Ulasan

  1. wahhh
    selamat hari guru..
    bes2..

    BalasPadam
  2. tahniah...best..!
    2.6...hr ulangan thn sya dan sya juga seorg gur...satu kebetulan yang cantik..!

    BalasPadam
  3. satu nukilan yang bagus... kalau boleh buatlah dalam versi novel..

    BalasPadam
  4. aik?lahir thun 1996, 2012 dh jd ckg n dh nk kawin??? huhu

    BalasPadam
    Balasan
    1. thanx, terlepas pandang huhu...

      Padam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…