apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

17.5.12

Sayang, jangan kau pergi!! 4


5

“Putus asa bukan sifat yang terpuji,”

Aku tatap wajah cikgu Mahani. Kujuihkan bibirku tanda aku tidak suka mendengar sindirannya itu. “Saya memang tak ada semua sifat-sifat terpuji, cikgu. Semua orang tahu,” balasku kasar.

Cikgu Mahani tergelak kecil. Apakah yang menggeletek hatinya? Lucukah jawapanku itu? aku berkata yang benar, mengapa dia hendak gelak pula?

Agaknya cikgu Mahani perasan yang aku sedang kehairanan, lalu cepat-cepat dia tanya soalan ini. “Tak ada? Oh, jadi awak ni... bodoh?”

“Cikgu! Sampai hati cikgu cakap saya bodoh,” rajukku. Siapa yang tak kecil hati bila orang yang selama ini hadir untuk memberi kata-kata perangsang, tiba-tiba sahaja mengutuk. Tahu tak, sejak aku kenal dia hampir sebulan lepas, dialah satu-satunya insan yang tidak pernah memandang serong, mahupun jijik, kepada diriku ini. Tapi, hari ini? Dia sudah terpengaruh. Dia juga sudah termakan kata-kata beracun mereka yang berada di sekeliling kami.

Ketawa cikgu Mahani semakin lepas bila melihat wajah kelatku. Sedikitpun, dia tidak peduli akan perasaanku ketika ini. Aku? Tentulah rasa kecewa sangat. Sebab itu, aku harus keluar dari sini. Tapi, baru aku hendak melangkah, cikgu Mahani pantas menarik tanganku, lantas memeluk diriku erat-erat. Tergamam aku dibuatnya namun entah mengapa, aku rasa bahagia. Ya, aku bahagia sangat! Kerana, inilah kali pertama aku didakap oleh seorang wanita. Terasa.... terasa bagaikan aku sedang dipeluk oleh emak. Ohh...

Tidak aku nafikan, aku semakin rapat dengan cikgu Mahani. Setiap kali ada masalah, aku akan datang ke mari, ke rumah sewa cikgu yang berstatus janda ini. Aku tenang bila bersamanya. Aku senang kerana dia menerima diriku seadanya. Dia yang tidak pernah memandang serong padaku. Tidak pernah marah atau mengherdikku.

“Lain kali jangan cakap begitu lagi, Mira. Merendah diri tu memang sikap terpuji tapi jangan sesekali pandang rendah pada diri sendiri,”

Aku sudah keliru. Apakah perbezaannya? Merendah diri dengan memandang rendah pada diri sendiri?

“Merendah diri itu, pilihan. Memandang rendah pada diri sendiri itu, penghinaan,” cikgu Mahani semakin memeningkan kepalaku.

Wanita itu tersenyum memandangku, tahu apa yang kurasa barangkali. “Di bumi Allah yang terbentang luas ini, kita memang disuruh supaya sentiasa merendah diri. Jangan berlagak sombong kerana kita ini hanya seorang hamba. Hamba Allah! Biarpun begitu, biarpun kita ini hamba-Nya, kita harus sedar bahawa kita ini, makhluk yang sudah dicipta dengan sempurna. Kita, makhluk Allah yang terbaik. Jadi, kalau kita pandang rendah diri kita yang sudah tercipta dengan sempurna, bukankah itu maknanya kita menghina diri kita sendiri?”

Aduhai, cikgu Mahani? Tahu aje dia bagaimana hendak menenangkan hatiku yang penuh kesakitan. Pandainya dia memujuk. Rasa hilang semua kemarahanku pada mereka yang asyik menyakiti hatiku selama ini.

Betul kata cikgu Mahani. Aku tidak harus ada rasa rendah diri. Sebab itu, aku tidak harus peduli pada umpat keji orang. Farouq atau sesiapa sahaja boleh mengutukku. Boleh menghina. Boleh mencerca. Biarkanlah!

“Mira,”

Aku tatap wajahnya yang lembut dan tenang. “Ya, cikgu,”

“Awak ni budak baik. Saya tahu awak baik orangnya. Tapi, kenapa awak macam bermusuh dengan semua orang?”

Bulat mataku kini. Aku bermusuh dengan semua orang? Salah tu! Orang yang tak sukakan aku. Orang yang jijik padaku. Yang benci! Bukan Aku!

“Saya dengar, awak ada masalah di rumah. Keluarga awak....”

“Keluarga? Saya mana ada keluarga, cikgu,” aku menyanggah.

“Awak ni! Tu, ayah awak? Adik awak? Emak,”

“Boleh tanya soalan lain tak, cikgu?” Aku enggan menjawab soalannya.

“Kenapa?”

“Saya tak suka perkataan tu!”

Mata cikgu Mahani buntang merenungku. “Kamu tak suka....emak kamu?” soalnya perlahan. Wajahku dilatari lama. Bagai ada yang terbuku di dadanya.

“Ya, saya tak suka.... dia,” Lama aku berjeda sebelum berbisik lemah, “Saya tahu, saya tak boleh benci dia, kan cikgu? Tapi, dia tinggalkan saya sorang-sorang, cikgu. Dengan ayah, dengan emak tiri, dengan adik, yang bencikan saya,”

Cikgu Mahani cepat-cepat meletakkan jarinya ke bibirku. “Jangan cakap macam tu,” pintanya.

Aku melepaskan keluhan. “Betul, cikgu! Ayah, mak cik, Hawa...... dia orang tak sayang saya. Dia orang cakap sendiri yang dia orang bencikan saya,” Kurenungi muka yang sudah kelihatan sedih dan sebak itu. “Cikgu tahu tak, baju sekolah saya ni, jiran-jiran yang sedekah. Kalau tidak, entah-entah, saya tak ada baju sekolah pun. Tapi, Hawa? Tiap-tiap tahun, dia pakai baju baru. Kenapa ayah boleh beli baju untuk dia tapi tak boleh beli untuk saya? Itu bukti yang dia benar-benar bencikan saya. Kan, cikgu?”

Cikgu Mahani ambil jari jemariku dan mengusapinya. Lama dia tunduk merrenung lantai.

“Emak awak tak pernah balik cari awak?”

Aku geleng. “Emak pun bencikan saya jugak. Kalau tidak, tak kan dia pergi macam tu aje!” Aku tidak menyembunyikan kemarahan.

Aku tenggelam dalam kesedihanku. Tak perasan apa-apa ketika itu. Sehinggalah cikgu Mahani berkata, “Jangan tuduh emak awak macam tu. Tak baik. Mungkin dia ada alasan kenapa dia tak cari awak lagi,”

“Alasan? Alasan apa, Hani? Alasan apa?”

Aku terkesima. Di depan pintu, ayahku berdiri tegap tetapi wajahnya terlalu garang. Tidak terukir secebis senyuman langsung. Dia kini sedang merenung wajah cikgu Mahani.

“Buat apa kau balik ke sini? Hah? Dah besar panjang budak Amira ni, baru kau nak balik jenguk dia? Dah penat aku bagi dia makan, tiba-tiba, sekarang, kau sibuk nak jaga dia? Nak rebut kasih sayang dia dari aku? Kau memang perempuan tak tahu malu!”

Kucuba cerakin setiap yang meniti keluar dari bibir ayahku. Dalam rasa percaya dan tidak, aku pasti, telingaku tidak salah dengar.

“Awak bagi dia makan? Awak bela dia cukup baik? Awak bagi dia kasih sayang? Hei Abdullah, awak nak tipu siapa? Siapa yang awak nak kelentong ni? Satu Hutan Melintang ni tahu macam mana awak asuh dia! Satu pekan dah tengok awak anak tirikan dia! Tengok ni! Baju sekolah yang dia pakai, semua, orang yang sedekah! Itu awak kata awak sayang, awak tatang anak kita?”

Aku undur ke belakang. Aku tak mahu dengar lagi. Aku dah faham dah! Aku dah tahu tapi, apa yang aku tahu, apa yang aku faham, langsung tidak memberi kebahagiaan. Langsung tidak menyenangkan hati dan fikiran. Langsung tidak kusukai!

Aku keluar dengan perasaan bingung. Aku berjalan dengan fikiran yang kosong. Mereka yang masih berkelahi, tidak kuhiraukan lagi. Tak penting untuk aku tahu apa yang mereka rebut dan bising-bisingkan. Kerana, bagi aku, mereka sama sahaja. Mereka, manusia yang kejam. Persepsi ini tidak akan berubah! Tidak mungkin berubah.

Dalam sedih, dalam marah... aku tidak sedar bahawa aku sedang membahayakan diriku. Aku berjalan tanpa arah. Aku berjalan tanpa mempedulikan apa-apa. Aku.....

“Amira! Ke tepi, Mira! Ke tepi!”

Itulah yang aku dengar sebelum semuanya hilang. Lenyap! Melayang!!!

16 ulasan:

  1. Balasan
    1. Tau camane rasa xde mak,hu hu hu nk mak...

      Padam
  2. huh, suspen kak!! accident pulak!! harap2 mira x cedera teruk....moga mira sudi dgr penjelasan si ibu.....

    BalasPadam
  3. laaaa...cikgu mahani tu mak mira ke...patut la dia tau sume psal mira...tarikh lahir n pasal anak tunggal tu...

    BalasPadam
  4. Oh.. Cikkgu tu mak dia? Haishh.. Siannya mira.. Jgn la amira benci mak dia..
    Bencinyaaaa ngn abdullah nii. Kak sofi, mtk2 la hawa gagal spm.. (Xhbh2 lg)hehe.. Supaya ayah dia tu ada akai sket. Ni mesti mak hawa jahat ni.. Xsabo nak tau sbb pe dorang. Bepisah + nape amira tggl ngn ayah dia

    BalasPadam
  5. sdihnya....
    rupanya ckgu 2 mak mira....

    BalasPadam
  6. hehe, betul la pulak tekaan saya. :)
    kesian mira, mesti makin tersepit kan?

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. macam boleh baca dah fikiran kak sofi, ya? hmm, hehe...

      Padam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.