Follow Us @soratemplates

31.5.12

Menulis Novel: Tunjukkanlah kesungguhan, sofi oi!!

Mei 31, 2012 0 Comments
Nak siapkan novel.... aduhai, payah betul bagi aku. Tengah2 syok menaip satu bab, terfikir bab satu lagi. Pas tu, sangkut. Pastu, bosan... pastu... apa lagi, simpan. Tutup lappy. haha.

Mujur baru terbaca 10 Petua Untuk Siapkan Novel By Kak Azi in Geng Kaki Tulis · Edit doc

Aduhhh, syukur alhamdulillah. Ada la pembakar semangat hehe... Apa-apapun, terima kasih Azi, ya. 

Ini katanya... so wahai rakan penulis sekelian, moh kita patuh dan amalkan untuk kebaikan bersama.

Dokumen ini akak copy dari blog Puan Azmah Nordin. Rasanya tak salah sekadar berkongsi petua...Tapi ingat, ini hanya PETUA. Selebihnya terletak pada diri kita sendiri :)

1. Tentukan masa untuk menulis dan anggaplah sebagai sesuatu yang suci; macam memenuhi tanggungjawab bila masa solat tiba. Begitulah tanggungjawab memenuhi waktu menulis. Masa yang sesuai yang dirasai masa anda paling kreatif – lewat malam? Dinihari? Subuh? Atau mengikut waktu pejabat biasa (macam yang saya lakukan?) Ataupun, anggaplah masa yang anda janji pada diri sendiri itu, macam masa yang anda janjikan untuk memenuhi `dating’ dengan kekasih; mesti dipenuhi, mesti diutamakan, kalau tidak putus cinta. Kalau anda tak cinta, tak kisahlah kalau putus sekalipun kan? Anda malah mungkin sengaja cari pasal atau alasan untuk tidak meneruskan perhubungan itu. Tapi kalau anda sangat cinta...? 

2. Jauhkan diri atau ketepikan segala bentuk gangguan; tekan punat off pada peti televisyen. Silent/senyapkan telefon bunyi telefon, hanya jawab sms setelah anda siap tugasan (penulisan) pada hari itu. Tetapkan masa menulis semasa tiada orang di sekeliling anda. Ataupun, macam saya, sumbatkan telinga dengan ear phone dan mainkan muzik daripada mp3 dengan sekuat yang boleh, supaya anda tidak terganggu dgn sebarang bunyi lain di sekitar anda. 

3. Pastikan hala tuju plot/jalan cerita anda. Biarpun plot, watak2 dan ceritanya mungkin akan berkembang pesat - hala tuju (mesej) tetap sama. 

4. Jangan tergugat melihat skrin computer anda yang kosong. Tulis saja apa yang terlintas dalam fikiran anda, tak perlu fikir tentang salah ejaan, salah tata bahasa dan lain-lain, kerana itu semua boleh diedit-perbaiki kemudiannya. Yang penting ceritanya dulu, biar mengalir macam sungai. Mulakan dari gelojak perasaan watak utamanya atau dari satu babak memalukan/menyayat hati/menyeramkan/menggetarkan yang disusuli dengan imbas balik demi imbas balik sehingga terungkai mengapa ia boleh berlaku.

5. Dari bab ke bab, pasti anda sudah ada buat draf secara mental. Tiada satu pun yang anda tulis akan kekal atau tidak boleh dipadam, selagi ia belum dihantar kepada penerbit atau sudah terbit. Apatah lagi jika manuskrip itu masih berada dalam tangan sendiri, anda boleh mengubah-perbaiki pada bila2 masa saja. Jadi, jangan ganggu pengaliran ceritanya semasa anda perturunkan ke atas skrin computer. Jika ada tidak berpuas hati dengan ejaan, jalan cerita, gaya bahasa dan sebagainya, ia boleh diubah kemudiannya. 

6. Jangan berasa anda perlu memulakan cerita dari titik permulaan atau mengikut urutan kronologi atau terlalu bergantung kepada draf asal novel anda. Masuk sepenuhnya kedalam jiwa watak-watak utama yang menghadapi konflik hidup itu, dan gambarkan sepenuhnya dari sudut pandangan watak2 tersebut. Kenali jiwa/perasaan/psikologi/kerjaya watak2 utama anda dengan mendalam, supaya anda tidak berasa tertekan hingga tersangkut dalam proses penciptaan kreatif anda nanti.

7. Berkaryalah tentang sesuatu yang anda suka, ini untuk mengelakkan daripada anda menghadapi buntu pemikiran atau Writers Block.

8. Ulang kaji dan edit berulang-kali. Ini perlu dilakukan, setelah karya anda siap ditulis. Anda boleh tambah-cantikkan bahasa, susun-indah-komplekskan ayat2 anda. Mana yang tidak berkaitan atau longgar, anda hanya perlu padam/delete daripada menyemakkan manuskrip novel anda. 

9.Jangan ragu2 meletakkan diri anda dalam kalangan penulis lain. Buat satu senarai penulis yang baru menghasilkan beberapa buku2 secara sederhana saja mutunya, dan berkatalah pada diri sendiri `jika dia boleh buat, aku juga boleh – malah jauh lebih baik dariapda dia.’ Apa yang membezakan anda dengan si penulis itu, adalah kesungguhan mereka untuk menghasilkan karya demi karya, dan jika mereka boleh, anda juga boleh, bukan? Sudah tentu akan ada ulasan dan kritikan terhadap karya anda, begitu terbit nanti. Itu biasalah. Lagipun, hanya karya yang baik saja yang akan mendapat perhatian untuk diulas atau dikritik – yang tidak baik, diabaikan, seolah-olah tidak pernah wujud. Jika ramai penulis top yang sanggup melalui pelbagai kritikan terhadap karya mereka – kenapa pula anda tidak, bukan?

10. Hanya anda yang boleh menentukan sama ada karya anda sudah siap ataupun belum. Biarpun anda mungkin akan menunjukkan manuskrip anda kepada rakan2 yang memang pakar dalam penulisan kreatif – dan sebagai kawan, tentulah dia akan memuji karya anda untuk menjaga hati – kerana itu adalah tugas mereka. Yang paling baik, adalah dengan menghakimi karya sendiri. Pemisah antara karya bermutu dengan tidak bermutu hanya satu – diri anda. Jadi, tentukanlah bila atau bagaimana anda mahu melihat karya anda lahir!

Wahhh.... sudah bersemangat semula. Terima kasih daun keladi, kak azi. Chaiyok!!!! Fightinggggg!!!

29.5.12

Kau tidak bersendiri

Mei 29, 2012 2 Comments
Bukak fb pagi ni terus dapat coretan temanku ini. Alhamdulillah, boleh buat renungan bersama... terima kasih Nor Samsiah Omar

Kalau kita rasa kita susah, banyak ujian, ada orang lain yang lebih susah daripada kita.

Sebenarnya kesusahan adalah tanda Allah kasih pada kita.

Sabda nabi s.a.w,
"Sesiapa yang Aku ingin beri kebaikan padanya nescaya aku akan timpakan musibah padanya".
Bermakna orang yang mulia di sisi Allah adalah orang yang banyak ujiannya lalu ia bersabar dengan ujian tersebut. Tidakkah apabila kita ditimpa musibah kita akan ingat pada-Nya? Ingat pada Allah tandanya Allah ingat kita dan kasih pada kita.

Wahai diri, jangan bersedih kerana Allah menyayangimu.

Peringatan diri sendiri untuk berkongsi bersama.

27.5.12

Kenapa SMS abang? Saja aje, Nak goda. Tak boleh ke?

Mei 27, 2012 4 Comments
Setiap kali aku menulis cerpen atau novel, aku pasti mencari bahan dari sumber-sumber dalam paper atau majalah. Sebab bagi aku, kisah dalam novel bukan dongengan. Kalau ada yang merasakan begitu, aku tidak kisah tapi, percayalah, di luar sana, sejuta kehidupan mencorak sejuta kisah. 

Dalam utusan malaysia semalam, aku terbaca kisah seorang isteri. Betapa hebatnya dia dalam usaha mengembalikan rasa cinta suami terhadap dirinya. mengembalikan kasih sayang seorang ayah kepada anak-anak. Aku kagumi dia. Kagumi semangat kentalnya.

Silakan, semoga kita juga mampu  mengikut cara yang diajarkan, andai suami kita pula berubah laku...

Saya berusia awal 30-an, mempunyai dua orang anak berusia 7 dan 8 tahun. Suami, Shahrul (bukan nama sebenar) seorang penjawat awam yang terlibat dengan banyak program di luar daerah. Ertinya dia selalu tidak ada di rumah. Saya selalu tinggal bersama anak dan pembantu rumah, dalam sebulan hanya tiga hari kami dapat bersama. Hujung minggu memang jarang saya dan suami bersama anak-anak tetapi saya tetap melayan mereka seperti biasa walaupun bapa mereka tidak ada.

Suami seorang yang susah untuk menelefon bertanya khabar dan menjawab panggilan. Saya juga pelik kenapa dia jadi begitu. Alasannya banyak kerja, tidak ada masa. Sudahlah tidak menelefon, menjawab telefon pun susah. Kalau pun tidak ada masa, apa salahnya telefon anak-anak tanya khabar dan berbual seketika dengan mereka, tentu anak-anak gembira.

Apabila nasihat saya tidak berjalan saya dapat satu idea. Saya menyamar untuk menduga hatinya. Lalu saya beli satu nombor pra bayar baru yang mana nombornya suami tidak tahu. Setiap hari saya mesej bertanya khabar, sudah makan ke, sihat ke dan macam-macam lagi soalan berbau cinta. Hari pertama dia agak ragu-ragu, tetapi dibalasnya juga. Dia membalas mesej saya dengan soalan, mana dapat tahu nombornya. Kata saya, kami pernah berkawan dulu tetapi putus di tengah jalan. Syoknya dia percaya pula!

Lama juga saya menyamar hampir tiga minggu, sehingga dia jatuh cinta dengan kata-kata saya. Saya tidak berani telefon sebab bimbang dia cam suara saya. Apa yang saya pelik, dia langsung tidak segan silu untuk melahirkan rasa rindu dan cinta kepada saya apabila saya mesej dan menelefon dia. Saya merasakan seperti kami mula bercinta dulu. Sakit juga hati saya bila fikirkan perangai dia.

Pada masa yang sama saya cuba juga telefon guna nombor telefon biasa, macam biasa, dia tidak jawab dan respons. Saya mula syak yang suami ada hubungan dengan wanita lain. Tapi saya tidak mahu serkap jarang kerana mahu cari bukti dulu. Saya layan mesej sehingga dia benar-benar sudah jatuh cinta dengan saya. Akhirnya apa yang saya takut, berlaku. Dia mahu dengar suara saya dan minta saya telefon dia. Saya gelabah tetapi memberi cadangan agar kami berjumpa.

Selesai kursus suami balik ke rumah. Dia kelihatan selamba sahaja dan gembira. Dalam mesej terakhir saya berjanji akan berjumpa dia di sebuah restoran ternama di pinggir bandar. Dia setuju sebab di situ kami selalu dating masa mula-mula bercinta dulu. Saya takut juga hendak pergi, tetapi saya kuatkan semangat. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

Akhirnya hari yang dinanti pun tiba. Saya melaram sakan untuk menduga hati suami. Apa yang akan jadi saya serahkan kepada Allah. Ini semua untuk kebaikan fikir saya. Tiba di tempat pertemuan, saya mencari suami. Dia memilih sudut yang agak terpencil jauh dari tetamu lain. Saya terus berjalan ke meja yang ditempah berpandukan mesej yang diterima. Sebaik melihat saya suami terkejut. Terpinga-pinga dibuatnya dia. Wajahnya pucat melihat kehadiran saya tetapi saya buat selamba ala-ala primadona filem Melayu zaman dulu.

Saya terus mencium tangannya dan duduk. Saya lemparkan senyuman kepadanya dan bertanya apa khabar. Dia nampak marah. Matanya ligat mencari wanita yang ingin ditemui, dia sangat gelisah. Melihat situasi itu, saya ingin segera tamatkan lakonan. Saya beritahu dia yang perempuan yang ditunggu itu tidak akan datang. Saya minta maaf sebab menipu dia. Saya bagi tahu dia, kalau dia marah dan ingin bertindak terhadap saya, silakan, saya tidak kisah.

Lalu saya ceritakan dari A - Z kepadanya. Saya menangis sepanjang bercerita. Mungkin sedih dan bersalah kerana menipu dia tetapi saya berniat baik. Suami terdiam tanpa kata. Ada penyesalan di wajahnya walaupun di peringkat awal dia amat marah dengan perbuatan saya. Katanya saya telah menjatuhkan maruahnya sebagai suami tetapi saya betulkan keadaan dengan berkata tindakan saya semata-mata untuk kebaikan kami sekeluarga terutama anak-anak.

Lama juga kami bertengkar dan berbincang. Saya luahkan apa yang terbuku di hati. Lalu saya tunjukkan nombor telefon yang saya gunakan untuk menggoda dia. Saya katakan kepada dia, kenapa tidak boleh layan saya sebagai isteri seperti mana dia melayan saya semasa menyamar menjadi teman wanitanya. Saya tunjukkan kata-kata manisnya dalam mesej tersebut bagaimana dia rindu dan teringatkan saya selalu. Saya hanya perlukan itu sahaja, kata-kata dan ingatan, bukan kemewahan. Selain itu, anak-anak juga perlukan kasih sayang ibu bapa. Saya bagi tahu dia selama ini anak-anak tertanya-tanya, ke mana bapa mereka pergi setiap minggu sehinggakan tidak ada masa untuk membawa mereka berjalan-jalan.

Mungkin Allah merestui perbuatan saya, akhirnya suami sedar dan meminta maaf atas perbuatannya itu. Dia sama sekali tidak menduga saya berani hingga ke tahap tersebut dan mohon maaf kerana mengabaikan saya dan anak-anak. Tentang hubungan dengan wanita lain, dia mengaku tidak pernah berbuat demikian kecuali melayan mesej, itu pun bukan selalu. Saya juga minta maaf kerana menipu dia dan berjanji akan mengubah sikap saya. Tidak saya sangka pertemuan itu mengembalikan nostalgia saya dengan dia macam kami bercinta dulu.

Itulah manisnya apabila kita selalu mengingatkan pertemuan pertama setiap kali menghadapi masalah rumah tangga. Bagi saya apa yang saya buat adalah satu percubaan yang baik. Sekurang-kurangnya saya menggunakan akal untuk mengembalikan kesejahteraan dan kasih sayang keluarga saya. Saya bersyukur kerana Allah merestui tindakan saya dan mengembalikan kebahagiaan kami yang hampir hilang.

Saya juga bersyukur kerana selepas kejadian itu, suami berubah 100 peratus. Dia kini menjadi seorang suami dan bapa yang baik, penyayang dan bertanggungjawab serta meletakkan keluarga di tempat utama selepas kerjayanya.

Semoga kebahagiaan ini berkekalan. Kepada para isteri, pesanan saya, kita harus berani untuk menyelesaikan masalah rumah tangga dengan cara sendiri menggunakan akal. Jangan ikut nafsu dan emosi, tetapi bertindak bijak menanganinya agar hubungan kasih sayang tidak putus. Semoga apa yang saya lalui akan menjadi pedoman buat orang lain.
................

Wanita ini sebenarnya bertuah kerana suaminya bukan jenis nakal tapi workaholic. Kalau suaminya seorang buaya darat, tentu lain jadinya, kan? Bagaimanapun, tahniah kerana berani bertindak. Wanita cekal begini patut kita jadikan contoh.

Jadi, kepada anda, wanita2 di luar sana, jangan cepat mengalah andai suami berubah laku. Jangan cepat terasa dan paling penting jangan takut mencuba memenangi hati si dia semula. Kadang2, dia terleka dan kita harus menyedarkan dia pada rasa cinta dan tanggung jawab terhadap diri kita, anak2 dan rumahtangga.

Semoga memberi motivasi....

Ketika kita kekurangan...

Mei 27, 2012 0 Comments

KETIKA aku ingin hidup KAYA,
Aku lupa bahwa HIDUP adalah KEKAYAAN.

KETIKA aku takut MEMBERI,
Aku lupa bahwa semua yang aku miliki adalah PEMBERIAN.

KETIKA aku ingin jadi yang TERKUAT,
Aku lupa bahwa dalam KELEMAHAN, Allah memberi aku KEKUATAN.

KETIKA aku takut RUGI,
Aku lupa bahwa HIDUPKU adalah sebuah KEBERUNTUNGAN.

HIDUP ini sangatlah INDAH jika
MENSYUKURI apa yang sudah ada.

Adakalanya yang TERINDAH bukanlah yang TERBAIK,
Yang SEMPURNA tidak menjanjikan KEBAHAGIAAN.

Tetapi ketika kita mampu dan mahu MENERIMA semua KEKURANGAN DAN KELEBIHAN...

Itulah KEBAHAGIAAN ...................

‎"Ya Allah, Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu dan berikan aku kefahaman."


Betapa indah. Kagum kak Sofi dengan ayat-ayat ini. Yang memberi kekuatan untuk meneruskan hidup. Thanks Roslina Othman.

26.5.12

Cahaya kebahagiaan ibu dan ayah

Mei 26, 2012 0 Comments



Comel sungguh dia, kan? Bertuah ibu dan ayah iaitu Mawi dan Ekin dapat anak yang baru berusia tiga bulan tapi nampak sangat cerdik, sangat comel, sangat pandai bergaya....isk.. tetiba rasa nak berrr...anak pulak. hehe....

Kalau anda semua nak tengok gambar2 lain, google je, okey!

Hari ni, post santai je. selamat beristirehat!

25.5.12

Kau bukan untukku - akhir

Mei 25, 2012 24 Comments
Akhir 

“Abang Luqman, apa maksud abang ni? Abang jangan nak bohongkan Sha. Abang cakap, abang sayang Sha. Abang,” 

“Abang sayang Sha, betul! Tapi macam adik aje.” Luqman bertegas sambil menarik tangan aku untuk duduk di atas kerusi. 

“Adik? Tak! Sha tak percaya! Jangan bohong!” 

Aku pun rasa macam nak mengangguk sama. Tak logik betul. Kalau tengokkan gaya Luqman layan Natasha, memang tak macam abang-adik. Ni, mesti Luqman nak mengelat kot? 

“Ibu, ayah, biar saya ceritakan dari mula,” 

Ayah mendengus. Ibu pula hanya diam, sambil memegang jari jemari Natasha. 

“Sha dah selalu sangat sakitkan hati Natalia, ibu, ayah. Sejak dia balik semula ke mari, selalu sangat dia SMS kat Nat, cakap yang bukan-bukan. Tapi, ibu nak tahu tak? Natalia tak pernah cerita pada saya apa-apa pun,” 

Natasha segera mencelah, dalam tangis, dalam suara penuh sendu. “Sampai hati abang tuduh Sha. Sha tak pernah buat apa yang abang cakap tu. Hati Sha ni tak jahatlah, bang. Sha tak pernah nak kacau hidup kak Nat, tahu tak?” 

Luqman keluarkan telefon bimbitnya. “Ini buktinya, abang simpan. Abang tahu, kalau abang tuduh Sha tanpa bukti, Sha boleh saja mengelak. Sha hebat berlakon sampai semua orang percaya cakap Sha,” katanya. 

Luqman tunjukkan apa yang tercatat itu pada ayah, kemudian pada ibu dan kepadaku juga. Aku baca. 
“Hey, Nat! Kau tahu tak yang laki kau sayangkan aku saja! Kau blahlah! Muka tak malu tu patut dah pergi jauh.... Hisy, tak ada maruah ke? Orang dah tak suka tapi masih lagi nak duduk sama. Teruk betul!” 
Memang itu mesej yang aku pernah aku terima daripada Natasha. Tapi, macam mana Luqman mendapatnya pula? 

“Waktu tu, kita dalam perjalanan balik dari mesyuarat di Sunway, Sha. Sha nak berhenti kat R & R. Masa Sha ke kedai, abang malas nak keluar. Tak sangka, Sha lupa bawak fon. Satu mesej masuk. Mulanya abang malas nak peduli tapi nampak nombor Nat. Abang bacalah. Lepas baca, abang tengok outbox Sha. Sejak hari itulah, abang tahu semua yang selama ini jadi rahsia antara Nat dengan Sha. Abang send semua SMS tu dari fon Sha ke fon abang. Berhari-hari abang tatap, abang tengok, dalam rasa antara percaya dengan tidak. Nak tanya Natalia? Dia ni, kalau boleh semua nak pendam sendirian. Semua nak tanggung sorang-sorang,” 

Luqman merenungku lembut. Buat aku jadi lemas. Buat aku kaget dengan tingkahnya. 

“Abang mintak maaf. Mungkin selama ni, Nat sangka abang dah tak sayangkan Nat lagi, ya?” ujarnya sambil mengukir senyum nipis yang sentiasa menggoda itu. 

Natasha masih tak puas hati nampaknya. Dia menarik Luqman agar menjauhiku. 

“Abang kawan dengan Sha dulu, kan? Kita rapat sangat. Tapi, bila Sha kenalkan abang dengan dia ni, abang terus berubah hati. Sha tak boleh terima keputusan abang tu, tahu tak? Abang Luqman hak Sha! Dia ni perampas, bang! Sha tak suka dia! Tak suka!” 

Aku terkejut yang amat sangat. Tak sangka Natasha akan menjerit begitu. Hisy, hilang sudah keayuan yang dipertahankan selama ini. Aku tengok wajah ayah. Aik, kenapa sedih sangat tu? Ibu pulak... kenapa ibu pun turut menitiskan air mata? 

“Sampai hati kamu, Sha. Sampai hati kamu benci kakak kamu?” ujar ibuku penuh kesedihan. Kesian ibu. Apakah mengetahui tentang Natasha dan sikapnya buat ibu terkilan benar? 

“Ibu, Sha... Sha bukan benci kak Nat. Sha cuma marah sebab kak Nat rampas abang Luqman aje,” 

“Tapi dah memang jodoh dia orang berdua, Sha! Kamu ni kenapa? Takkan nak lawan kehendak Allah?” ayah pula meninggikan suara. 

“Ayah yang salah! Ayah patutnya tak benarkan dia orang kahwin. Tapi,” 

Aku bangun. aku tak mahu dia ungkit kisah lama itu. “Jangan ulang lagi, boleh tak? Benci akak saja tapi jangan cakap yang bukan-bukan pada ibu dengan ayah,” pintaku perlahan. 

Natasha tak peduli malah tubuh kurusku ditolaknya kasar sehingga aku terjatuh. 

“Natasha!” 

Herdikan Luqman bergema ke serata ruang rumah. Natasha terpinga-pinga dibuatnya terutama apabila Luqman menampar pipi mulusnya. 

“Abang tak sangka Nur Alia Natasha punya perangai teruk macam ni. Dengar, ya! Natalia tak pernah rampas abang dari Sha. Sebab apa? Sebab, kita tak ada apa-apa hubungan. Dulu ke, sekarang ke?” 

Aku pandang Luqman lagi. Apa sebenarnya yang ingin dia beritahu? 

“Apa yang abang buat pada Sha, sejak dua menjak ni, abang dah mintak pandangan emak bapak abang dah. Dia orang cakap, kalau Nat tak berjaya nak lawan dengan Sha, abang kena lakukan pembelaan untuk dia. Abang dengar pesan mereka tu. Abang buat-buat sukakan Sha hanya untuk pastikan Sha masuk dalam perangkap dan akhirnya mengaku salah. Tapi, nampaknya, dah ada bukti pun, Sha tetap degil,” 

Natasha menangis teresak-esak. Aku tak tahu apakah itu air mata penyesalan ataukah air mata geram. Geramkan aku? 

Tapi, aku bersimpati padanya. Dia dah KO kan aku tapi sekarang, nampaknya Luqman pula yang dah tumbangkan dia. Berkali-kali KO nya! 

Cinta.... cinta boleh membuat orang jadi gila dan melakukan sesuatu di luar jangka. Tapi, aku tak rasa yang Natasha melakukan begitu kerana cintanya pada Luqman. Sebab, aku dah jadi target dendamnya sejak kami masih kecil lagi. Jadi, perasaan apakah itu? 

Aku tak sempat memikirkan jawapannya kerana tiba-tiba sahaja aku rasa ada benda tajam ditujah ke perutku. Dan aku tertunduk bersama-sama jeritan semua orang. Saat itu, tanganku meraba-raba ke situ, ke perut yang basah..... Aku tunduk dalam nafas mencungap. Darah..... Ya, darah! 

Dan aku semakin hilang........... 



Sayup-sayup kudengar suara membaca ayat-ayat suci al-Quranul Karim. Aku cuba membuka mataku tapi ya Allah, beratnya! Kenapa? Apa yang terjadi? Di manakah aku kini? 

Tangan kiriku terasa diangkat oleh seseorang. Digenggam, diramas dan dikucup perlahan. Ada air mata yang menitis, mengena jari-jemariku. Tapi, siapakah dia? Kenapa dia menangis? 

Rimas sungguh! Rimas bila tak mampu melakukan apa-apa! 

“Sayang abang, bangunlah! Jangan tidur lagi! Abang nak Nat temankan abang. Lama kita tak sembang-sembang, Nat. Bangunlah, sayang.... bangun!” 

Itu suara Luqman, suamiku. Tapi, kenapa mendayu-dayu bunyinya. Sedih bukan main! Macam aku ni nak mati pulak. Tapi, rasanya, aku belum hendak mati lagi kot! 

Kubuka mataku perlahan-lahan. Kali ini tak macam sebelumnya. Tak berat sangat kelopak mata ini. Aku dah boleh pejam celik. Rasa silau pula melihat keadaan yang terang benderang di sekelilingku. 

“Nat? Nat sayang? Nat dah sedar?” 

Hisy, kenapa dengan lelaki ini? Apa kena dengan dia? Habis mukaku dikucupnya. Dahi, mata, hidung, pipi, malah.... Eeei, tak nak la! Malu! Janganlah! 

Dia tak dengar! Dia tak peduli dan... aku? Aku jadi asyik dalam godaannya. Rasa ingin benar aku bermesra dengannya. 

“Alhamdulillah, syukur! Selepas tiga hari, Nat sedar juga. Ya Allah, terima kasih!” 

Dia ulangi perlakuan penuh kasih sayangnya itu. Aku hanya mampu menerima dan bersyukur kerana cintanya padaku terasa penuh. Terasa hangat. Terasa mesra. Kubalas penuh kasih sayang juga. Aku titipkan rasa bahagia di setiap balasanku untuknya. Biar dia tahu yang aku mendambakan dirinya. Dahagakan cintanya. 

Mata kami saling bertentangan. Senyum kami saling berbalasan. Ketika ini, banyak yang ingin kutanya pada Luqman. Terutama tentang dia. Apakah yang terjadi setelah dia menusukku dengan kaca tajam itu? Puaskah hatinya mencederakanku? 

Bagai mengetahui gejolak perasaanku, Luqman menggenggam erat tanganku dan memberitahu, “Natasha tak apa-apa, Nat. Ayah dengan ibu dah hantar dia ke pusat rawatan kerohanian, di Gombak. Abang harap, Nat tak marah sebab kami tak bawa dia ke balai polis. Abang rasa, Natasha perlu kita pulihkan keimanannya. Membiarkan dia meringkuk dalam penjara tentu bukan kemahuan Nat, kan?” 

Aku bersyukur sangat kerana suamiku ini amat memahami kehendak dan diriku. Ya, biar jahat macam manapun Natasha, dialah adikku yang pernah mewarnai hidup kecilku dahulu. Kami pernah sama-sama gelak dan ketawa. Malah pernah menangis bersama. Aku tidak akan sanggup menyakitinya. Biarlah dia di sana. Mudah-mudahan, dia mendapat rahmat dan kesedaran di samping menjalani hidup sebagai muslim sejati. 

“Abang mintak maaf,” 

Aku kumalkan rambutnya ketika Luqman tunduk mencium jemariku lagi. “Kenapa asyik mintak maaf ni?” tanyaku sambil menguntum senyum. 

Luqman melepaskan keluhan. “Sebab abang tak berjaya mempertahankan isteri abang ni. Sebab abang tak sempat nak selamatkan Nat dari serangan dia,” 

“Abang sayangkan Nat?” 

Luqman angguk. Laju dia mengangguk. 

“Cukuplah begitu. Cinta abang dah cukup untuk Nat hadapi apa juga cabaran dalam hidup ini. Sekadar tikaman macam tu...” 

Luqman tutup mulutku. “Itu bukan sekadar tikaman, Nat. Dalam lukanya. Nyaris tak tembus ke ovari, sayang. Nyaris isteri abang ni tak,” 

Giliranku pula untuk menenangkan suamiku. Pada bibirnya kulekapkan jari telunjukku. “Semua dah selamat. Natasha pun sedang menerima hukuman. Lupakanlah!” 

Lama Luqman merenungku. Matanya bagai ingin menyatakan sesuatu. Tapi, aku tak faham. Tak mengerti isyarat yang diberi. 

Dia mendengus pula. Gelisah benar kelihatannya. Apa pulak sekarang? 

“Apa hubungan Nat dengan lelaki yang tarik tangan Nat tu? Siapa dia?” 

Ops... tiba-tiba aku kesan nada cemburu dalam alunan suaranya. Alamak, Luqman cemburukan Nazmilah! Suka! Suka! 

“Jangan cakap yang Nat cintakan dia! Nanti, abang mengamuk macam Tasha, abang ti..” 

“Abang!” Aku jerit. Biar semua orang dengar. Aku marah ni! Ada ke patut dia nak jadi pembunuh? Tak kesian kat aku ni? 

Luqman ketawa. Sukalah tu buat aku marah. 

Sekeping kad dihulurkan padaku. Kutatap wajahnya dengan satu renungan pelik sebelum aku buka kad itu. Isinya kubaca. 
“Nurul Aina Natalia. Sayang sekali, aku mengenalimu di saat kau sudah menjadi hak milik orang lain. Sayang sekali, aku tidak diberi peluang untuk berebut, memiliki hatimu secara adil. Tapi, aku tahu, aku akan lelah mencuba kerana kau tidak akan pernah jatuh hati kepadaku yang kasar dan angkuh ini. Ya, aku amat pasti, kau tidak akan memberi peluang kepadaku untuk meluahkan isi hati ini. 
Tak apalah. Sudah ditakdirkan, kau bukan untukku. Doakan aku! Doakan agar aku bertemu dengan seorang gadis sebaik dirimu. Doakan, aku bertemu seorang gadis yang dapat menandingimu. Kalau ditakdirkan tiada... aku harap kau akan biarkan aku menjadi perindu. Tidak akan ku ganggu dirimu kerana aku tahu, Nat, yang kau bukan untukku. 
Yang mendoakan kebahagiaanmu, 
Ahmad Nazmi Fauzi.” 
“Jangan nangis! Tangisan tu buat abang jeles pada dia sangat-sangat, tahu tak?” 

Aku ketawa melihat rajuknya. Tak sangka, dia akan merajuk hanya kerana aku menangis begini. Sebuah tangisan penuh rasa simpati kepada Nazmi. Tak aku sangka, Nazmi menyintaiku. Pelik! Bila masa dia jatuh hati, kan? Tapi, aku memang bukan untuknya. Sebab, aku sudah ada buah hati. Amirul Luqman yang luhur kasihnya sejak lama. 

“Dia datang jenguk Nat semalam,” Luqman memberitahu. 

“Hah?” Aku terkejut. 

Luqman macam geram aje tengok aku. Agaknya aku teruja sangat kot? 

“Dia, Nazmi datang sini. Dia bagitahu apa yang berlaku antara Nat dengan dia di ofis supaya abang tak marah Nat, katanya. Dan, supaya abang tak cemburukan dia. Perasan bagus, dia tu, kan?” 

Aku geleng kepala. 

“Tak baik abang cakap macam tu!” tanpa sedar, aku membela Nazmi. 

Dahi Luqman berkerut. Sekejap aje, lepas tu dia senyum. Nakal aje senyumnya kali ini. 

“Tapi, abang dah tak risau,” 

Aku jongket kening. 

“Sebab, abang dah hantar notis berhenti 24 jam pada dia,” 

Aku buntangkan mata sambil menjerit, “Abang!” 

Luqman genggam tanganku erat. “Abang tak akan benarkan dia dekat dengan Nat. Abang takut! Nat berhenti dengan dia tapi lepas tu, Nat kerja dengan abang. Ambil tempat Sha. Jadi setiausaha abang. Senang!” 

Tak jadi nak marah. Lagi bagus nih! Bolehlah kuuliti dia 24 jam, hehehe.... 

“Tak ada bantahan?” 

Aku senyum tapi kepala ku geleng. Nak bantah buat apa? Aku dah bebas sekarang. Natasha sudah tak ada dan tak akan menggangguku lagi. Nazmi? Tak apa. Allah itu adil. Pasti satu masa, dia akan menemui penggantiku. 

Maafkan aku, Nazmi. Kau bukan untukku. Bukan untuk kucintai. Bukan untuk kumiliki. Maafkan aku! 

24.5.12

Kau bukan untukku 5

Mei 24, 2012 42 Comments


Sebaik aku usai mengerjakan solat Maghrib, bunyi enjin kereta mengaum masuk ke laman rumah, menyedarkan aku bahawa detik penentuan sudah tiba. Kuintai melalui tabir jendela ke bawah. Kudapati, ibu dan ayahku turut tiba. Nampaknya, hari ini, hari perhitungan. Natasha mengotakan janjinya padaku satu waktu dahulu. 

Masakan aku boleh lupa, saat dan detik ketika dia pulang semula ke rumah ibu bapaku. Ketibaannya disambut meriah oleh kedua-duanya dan aku sekali lagi diketepikan. Namun ketika Natasha nampak aku ingin meninggalkan mereka, dia memanggil, mendakap tubuhku erat. Pada ayah dan ibu, tentulah anak kesayangan mereka merupakan insan pemaaf, yang sanggup memeluk diri ini meskipun akulah yang telah menghalau dirinya, secara tidak langsung. Namun, hanya aku yang tahu apa bisikan Natasha, kepadaku. 
“Sha akan pastikan kak long hilang kasih sayang semua orang. Sha akan pastikan kak long sendirian. Kak long akan hidup sorang-sorang! Abang Luqman pun akan Sha rampas dari tangan kak long nanti. Percayalah!” 
Ya, aku percaya, Sha. Aku percaya! Pasti, malam ini, malam kemenanganmu, dik. Pasti, malam ini, mereka akan buang aku dari hidup mereka, kan? Itu yang kau dah atur untukku. Kan, Sha? 

Kuseka air mata ini tatkala kudengar tombol pintu bilik tidurku dipulas dari luar. Tak perlu aku melihat siapa yang datang. Tak perlu aku pandang. Pasti Luqman! 

“Dah sedia, kak long?” 

Terkejut mendengar soalan itu, aku berpaling menghadap Natasha yang selamba duduk di birai katilku. 

“Kenapa terkejut nampak Sha? Oh.. kak long ingat abang Luqman yang naik, ya? Sori la! Dia tak ingin nak berdepan dengan kak long sorang-sorang, tau!” sinisnya.

Kuhela nafasku perlahan. Mengamati diri dan keangkuhannya yang tidak pernah berkurang. 

“Apa tengok-tengok? Kak long pun tahu, kan? Sha selalu menang dan kak long selaaalu jadi mangsa. Dan, kali ni, kak long KO terus. Tahniah!” ucap Natasha penuh bangga. 

Tuhan, selama ini, keluargaku membela seekor ular yang amat bisa. Yang sanggup mematuk orang yang memeliharanya. Inilah, susu yang diberi tapi dibalas dengan tuba. Tergamaknya dia! 

Alangkah pedih kenyataan ini. Kalaulah ibu dan ayah tahu, tentu hancur hati mereka. Anak yang sangat-sangat disayangi ini... Haisy! Siapakah yang akan percaya padaku? Luqman sendiri cakap aku ni terlalu cemburu, iri hati pada Natasha. Ayah dan ibu? Sejak Natasha pulang, aku bukan sesiapa lagi pada mereka. Tidak, aku harus terima apa sahaja yang terjadi. Biarlah aku yang terluka. Aku tidak mahu mereka disakiti. Tidak! 

Natasha melangkah ke arah pintu. “Cepatlah! Orang semua dah ada kat bawah tu,” 

Aku segera mencapai beg galasku. Beg pakaian sudah siap kukemas, dan sudah pun berada dalam bonet kereta. Ketika aku ingin melangkah keluar, mataku tertancap pada bingkai gambarku di sudut meja tepi katil. Gambar yang ditangkap oleh Luqman ketika kami berbulan madu di Chiangmai, beberapa bulan yang lalu. Dia tentu tidak mahukannya lantas aku ambil dan simpan gambar itu. Kupastikan tidak ada apa-apa tentang diri ini yang tertinggal untuknya. 

Di dirimu aku menemukan
Yang mencintaiku
Yang menyayangiku
Di dirimu aku ketakutan
Kau biarkanku
Kau tinggalkanku

Hah, bukan dia yang meninggalkan aku. Tapi, aku! Aku yang pergi bila dia membiarkanku... Aku yang keseorangan, tanpa cintanya!
Bila kamu tak lagi denganku... Ku
Tak tahu apa ‘tuk jalani hidupku
Bila memang ku pergi darimu... Ku
Tak ada lagi di dunia ini
Mengertikah kau siang malamku
Dan tangis tawaku

Kau semua hidupku
Pandang aku pandanglah hatiku
Aku tak mampu melangkah tanpamu

Aku duduk di satu-satunya tempat kosong yang ada. Jauh dari semua orang, jauh... jauh dari suamiku sendiri. Tidak mengapalah. Aku pasrah. Dia kulihat tunduk merenung lantai. Tidak sudi mengangkat wajah buat kurenungi untuk kali terakhir. Jijik benar dia pada diriku agaknya? 

Ibu mengelap air mata yang mengalir di pipinya. Aku kasihan pada ibu tapi, aku keraskan hati. Aku tidak akan menyeka titis-titis air mata itu. Aku tak layak. Aku bukan anak kesayangannya. Kalau aku pergi, aku yakin, tangisan itu akan berhenti akhirnya. Kan Natasha ada? 

“Kenapa kamu buat Luqman macam tu, Nurul Aina Natalia? Tergamak kamu? Tak cium bau...” 

“Nat tak nak bela diri Nat, ibu, ayah. Nat tak berhak. Nat tahu tu! Jadi, Nat akan pergi. Nat akan pergi jauh dari semua orang. Nat ada di sini lagi, Nat tunggu abang, tunggu ayah ibu datang, dengan muka tak malu ni, sebab Nat nak mintak maaf. Nat mengaku, Nat salah,” pintasku. 

Bukan ku tak punya harga diri
Tapi dirimu begitu berarti
Kaulah nafasku 
Engkau harga diriku 
Mengerti aku    
           
Aku bangun. Tangan kuhulurkan pada ibu. Ia tidak bersambut. Kuhulurkan pada ayah. Terbiar sepi. Sebaknya dada.... 

Bagaimana kalau Luqman juga tidak mahu aku menyalami tangannya? Aku tak sanggup! Nanti aku pasti meraung. Baik aku pergi. Tak usah menoleh lagi! 

“Nat pergi dulu,” kataku lantas kuatur langkahku laju, meninggalkan mereka. 

“Tak salam abang dulu?” 

Jangan! Jangan bersuara lembut begitu. Jangan! 

Aku teruskan langkah. 

“Nat balas dendam, kan? Nat marah abang sebab tu Nat buat apa yang Nat buat tadi. Kan?” 

Luluh hatiku mendengar tuduhannya. Tapi, aku tak boleh berpaling. Aku tak boleh! Lantas aku hayunkan kaki ke hadapan lagi. 

“Nurul Aina Natalia, maafkan abang. Jangan pergi! Abang sayangkan Nat lebih dari segala yang ada di dunia ni. Hanya Nat saja!” 

Luqman, jangan buat aku begini! Jangan! 

“Abang Luqman, apa abang cakap ni? Abang bodoh ke? Dia ni dah curang pada abang. Dia dah khianati kasih sayang abang. Takkan abang tak ada harga diri langsung? Entah-entah, dia dah...” 

Natasha terdiam bila bunyi kaca jatuh terhempas, kedengaran. Aku berpaling. Ketika itu, Luqman menumbuk cermin dinding. Habis berkecai namun aku tak hiraukannya. Yang aku risaukan ialah tangan suamiku yang sudah berdarah. 

Aku jadi lupa yang aku harus pergi. Sebaliknya, aku berlari mendapatkan Luqman lantas tudung ku tanggal dan ku lapkan ke jari jemarinya yang berdarah. 

“Kenapa buat macam ni?” tanyaku sambil mencabut sisa-sisa halus kaca yang melekat di tangannya. Air mata? Usah ceritalah. Dah macam tengok cerita Kabhi Khushi Kabhi Gham dah. Meleleh macam air terjun! 

“Kalau tak buat macam ni, isteri abang akan terus buat kerja bodoh. Berkorban dan terus berkorban pada orang yang langsung tak tahu menghargai. Kan?” 

Aku mendongak. Membalas renungan redupnya. Cuba mencerakin apa yang ingin disampaikan kepadaku. Cuba memahami suamiku.

"Cinta tidak pernah meminta, ia sentiasa memberi. Cinta membawa penderitaan, tetapi tidak pernah berdendam, tak pernah membalas dendam. Di mana ada cinta di situ ada kehidupan. Manakala kebencian membawa kepada kemusnahan." 

Aku tatap wajah suamiku. Kata-kata mutiara cinta yang pernah dilafazkan Mahatma Gandhi, kini meniti di bibirnya. Kata-kata yang sering kami ungkap bersama tiap kali kami bertelingkah berdua. Dia masih lagi. Dia tidak pernah lupa. Ah, suamiku, aku tidak memahami dirimu!

Luqman menatap wajah Natasha, kini. Natasha yang sedang melayan keegoannya. Aku dengar Luqman bersuara....

"Sha, maafkan abang. Selama ni, abang berlakon aje. Dalam hati ini, abang tak ada langsung rasa cinta pada Sha,"
Aku melopong. Tergamam. Penuh hairan. Aku tak silap dengar kan? 
..................
episod akhir akan menemui anda nanti... hehe, kempen tuh! cheerio!!!

nota kaki:
Tuhan memberi kita dua kaki untuk berjalan, dua tangan untuk memegang, dua telinga untuk mendengar dan dua mata untuk melihat. Tetapi mengapa Tuhan hanya menganugerahkan sekeping hati pada kita? Kerana Tuhan telah memberikan sekeping lagi hati pada seseorang untuk kita mencarinya. Itulah namanya Cinta.

Kau bukan untukku 4

Mei 24, 2012 44 Comments
 

4

Dia suamiku. Dia lelaki yang amat kucintai. Bila berada dalam dakapannya, aku pasti bahagia. Hilang sedih, hilang duka, hilang marah, hilang semua derita yang kutanggung. Rasa ingin mempertahankan cinta ini begitu teguh kubina. Luqman tidak perlu bersuara. Hanya cintanya yang dialirkan melalui sentuhan penuh mesra ini, kudambakan.

Malang, ketika aku dibuai indah, Luqman menerima panggilan telefon daripada dia. Arghh, tentu sahaja dia yang menelefon kerana Luqman lari jauh dariku untuk bercakap di talian. Berbisik, seakan-akan memujuk.

“Jangan macam tu, Sha. Sabar!”

Tuhan, tolonglah aku. Beri aku kesabaran menangani dugaanMu ini. Kelembutan suaranya itu menghiris benar. Lebih baik hati ini ditoreh dengan belati daripada mendengar bicara penuh romantis itu. Tolonglah!!

“Ya, abang tahu. Okey, abang janji, abang datang sekarang. Wait for me! Sha... please!!” Aku tak tahan lagi lantas aku tinggalkan dia. Laju langkah kuatur ke bilik tetamu yang kosong. Kukunci pintu bagai mengunci hatiku yang remuk. Hancur luluh, hanya Dia yang tahu. Hanya Dia!

Luqman tidak memujuk diriku. Tidak sudi menjenguk aku pun! Aku dengar dia memandu pergi. Mungkin hatinya penuh risau, mungkin terlalu runsing akan Natasha sehingga aku yang terluka di hadapan mata, tidak dia sedarinya.

Kenapa air mata ini tidak mahu menitis?

Menangislah wahai hati! Bersedihlah! Luahkan duka ini.....


Aku ke pejabat tepat jam sembilan pagi. Bersama luka yang dalam, bersama kerja yang terbengkalai. Langkahku lemah bagai tak jejak ke tanah.

“Bos suruh puan masuk ke bilik dia sebaik puan sampai,” Amal, setiausaha si Nazmi, memberitahuku.

Wajah cantik Amal ku renung. “Dia dah sampai?”

Amal mengangguk. “Mana pernah dia sampai lewat dari pukul sembilan, puan. Dia tu kan workaholic? Kerja, kerja, kerja!” Amal dekat untuk berbisik, “Sebab tu, tak kahwin-kahwin sampai sekarang,”

Gosip yang berjaya membuat aku tersenyum.

“Baik puan masuk sekarang. Nanti, kalau angin dia naik macam semalam, teruk puan kena dengan dia lagi!” Amal memberi ingatan tulus ikhlas padaku.

Aku angguk lantas langkah kuatur menuju ke bilik lelaki itu. Aku ketuk dan ketika suara garau itu menyuruh aku masuk, aku akur. Kini, aku sedang menghadap dia yang sedang duduk. Dia sedang tengok aku, sebab tikaman renungannya sedang buat hatiku bergetar. Mungkinkah dia akan naik hantu lagi?

“Awak ni perempuan paling biadap!”

Kan dah cakap? Bos baru aku ni memang mulutnya jahat sangat!

“Awak pergi macam tu aje lepas awak pecahkan blackberry saya! Apa, awak ingat, saya tak akan tuntut awak bayar kerugian saya tu?” tanya dia.

Aku rimas betullah dengan lelaki ini. Bencinya!

“How much?”

Dia jongket kening.

“Cakaplah! Ingat saya tak ada duit nak bayar awak?” Aku dah mula naik radang.

Nazmi betulkan duduknya. “Saya tak nak duit. Saya nak awak belikan saya telefon tu! Macam saya, yang dah belikan awak Lumia baru ni. Nah!”

Aku terpempan. Tidak kusangka dia melakukan begitu. Rasa macam tak percaya pulak.

“Kenapa? awak ingat saya ni kejam sangat ke? Saya, kalau dah buat salah, mesti saya akan minta maaf, tahu tak?”

Kata-katanya mengundang senyum sinisku. Lelaki.... memang cukup pandai bercakap. Pandai main kata-kata. Tapi, sudahnya...

Arghh, jangan fikirkan dia. Lupakan dia. Aku perlu fokus pada kerja. Kerja ini nadi dan nyawaku. Aku perlukan kerja ini andai nanti aku kembali keseorangan dalam hidup ini.

“Waktu lunch nanti, ikut saya pergi Axis,”

Aku tatap wajahnya. “Encik Nazmi, saya rasa tak perlulah saya pergi dengan encik. Biar saya bagi duit, sudahlah. Saya isteri orang, encik. Tak manis kalau orang tengok kita keluar berdua. Saya tak suka jadi bahan gosip,” Aku berterus terang. Senang, biar dia faham.

Kenapa Nazmi tersengih begini? Kenapa ekspresi mukanya begitu? Apa yang ada dalam ruang fikirnya?

“Awak ni memang naif, kan, Natalia? Nama aje dah kahwin tapi otak awak tu masih lembab nak faham perbuatan orang, kan?”

Lagilah aku tak faham cakap dia. Senyum dia tu... aduhai, kenapa? Dia nak menggoda aku ke? Ya Allah, janganlah tambahkan masalah yang aku hadapi ini. Tak sanggup aku! Sungguh! Aku takut, Tuhan! Takut dengan dugaanMu ini. Takut aku tak mampu menangani!

“Natalia,”

Dia gelak lagi. Hisy, hantu gelak dah merasuk ke? Mengada-ngada betul! Semalam, macam singa luka mengamuk. Hari ini, dia tersengih, bukan main lagi. Dah berbaik dengan mak we dia la tu!

“Oi, awak berangan, ya? Bagusnya? Aku cakap dengan awak, awak teringat pada suami awak  pulak,”

Aku ingin lari dari situasi yang pelik ini.

“Err, saya nak keluar,” laju aku atur langkah kakiku meninggalkan Nazmi. Mujur dia tidak menahan, namun ketawa kecilnya bikin hatiku cemas. Aku tak suka! Aku tak suka!



“Jom!”

Ya Allah, aku ingatkan dia dah lupa, rupa-rupanya dia memang hendak aku belikan dia telefon itu. Cadangnya, aku nak menyorok kejap lagi tapi, tak sempat! Lelaki ini dah tercongok depan aku. Isk! Isk!

“Kalau awak masih degil, saya angkat awak, dukung awak ke kereta. Nak?”

Soalan yang buat aku cemas, sungguh-sungguh cemas. Pantas aku bangun dan capai beg tanganku. Terus dia kutinggalkan. Laju langkahku menuju lif. Aku bukan apa, aku bimbang jika ada mata yang nakal, memerhati kami. Aku tidak mahu dituduh isteri curang. Tak mahu! Kerana aku tahu betapa sakitnya rasa bila diriku dicurangi. Ya, rasa sakit itu masih berbekas dalam hati ini! Apatah lagi, suamiku, Luqman, langsung tidak menghubungiku hari ini. Langsung tidak!

“Awak marahkan saya, Natalia?”

Malas aku hendak menjawab. Takkan bodoh sangat kot? Muka aku ni tak tayang perasaan seronok dan gembira menemani dia, kan?

“Saya tahu awak isteri orang, Natalia. Saya tahu! Tapi, tak salah kalau saya minat awak, kan? Lagipun, saya tak ada niat nak lebih-lebih dengan awak. Saya cuma nak berkawan saja. Takkan awak tak nak jadi kawan saya kot?”

Kujuihkan bibir. Mataku garang merenung dirinya. “Cepat ya, bos berubah hati? Semalam mengamuk, hari ini nak jadi kawan saya pulak? Dah hilang marah, ya?” sindirku.

Ahmad Nazmi Fauzi ketawa mendengar pertanyaanku. Eei, menyampah! Macamlah lucu benar!

“Nak tahu kenapa saya berubah?”

“Tak nak!” tegasku. Tapi, dia nak dengar cakap aku ke?

“Sebab, saya dah tengok semula kertas cadangan projek yang awak dah buat tu. Saya lakukannya bila CEO Murni Holdings cakap, dia berkenan dengan cara awak dan mahu saya guna konsep yang awak buat tu secepat mungkin. Jadi, puan Natalia, sebab awak dah berjaya dapatkan bisnes untuk syarikat saya  tu, saya pun hadiahkan semula Lumia pada awak. Awak pun, kenalah hadiahkan saya Blackberry. Baru adil, kan?”

Barulah hatiku rasa sedikit lega. Dia baik padaku sebab aku dah dapat projek tu! Syukur, alhamdulillah.

Kami berjalan, berpapasan, melewati deretan kedai di pusat membeli belah hebat ini. Aku sangat berharap agar kami segera bertemu dengan kedai yang menjual telefon. Cepat jumpa, cepat beli, cepat balik ke ofis! Tak perlu singgah makan sebab perutku ini sudah sebu. Tak lalu!

“Warna kesukaan awak, Nat?”

“Hitam,”

“Saya nak yang hitam ni,” Nazmi selamba memberitahu pilihannya kepada jurujual itu. Gadis itu tersenyum. Tu, mesti dah salah sangka. Agaknya, jurujual itu fikir yang bukan-bukan tentang kami.

Aku tak mahu berlama-lama lagi lantas aku bangun. Ketika aku hendak keluarkan duit, Nazmi sudah mengeluarkan kad kreditnya. Aku jadi bingung. Bukankah tujuan kami keluar bersama ini adalah untuk aku membayar harga telefon bimbit yang ingin dibelinya ini?

“Simpan duit awak tu! Tak laku!”

“Habis, kenapa ajak saya ikut awak?”

Nazmi sengih. “Saja,”

Hilang sabar, aku libas beg tanganku ke muka Nazmi. Padan muka dia! Sengaja mainkan aku? Dia fikir, aku suka dengan perbuatan dia ini?

Laju aku melangkah. Laungannya tidak kupeduli. Menonong aku berjalan tanpa arah tujuan sehinggalah aku terlanggar seseorang. Dan seseorang itu ialah Luqman. Luqman! Luqman yang tidak bersendirian. Luqman yang sedang diulit pinggangnya oleh jari jemari halus milik Nur Alia Natasha!

“Nat, apa Nat buat kat sini?”

Aku tak sempat menyahut soalan Luqman kerana Nazmi yang mencungap sudah berdiri di sisiku.

“Awak nak ke mana? Kita belum habis dating lagi, tau! Jom, pergi makan!”

Nazmi sudah melangkah, dan tentunya dia berharap, aku ikut dia. Dia mungkin tidak menyedari apa yang sedang aku alami. Dia mungkin tidak melihat Luqman yang maih lagi terkejut.

“Kan Sha dah cakap, bang. Isteri abang ni bukannya bidadari syurga. Dia manusia biasa. Dia pun bukan setia pada abang. Betul tak apa yang Sha cakap? Sebab tu, abang jangan rasa bersalah pada dia, okey. Jom, kita pergi makan, bang. Jom!”

Natasha tarik tangan Luqman dan bagai lembu yang dicucuk hidungnya, Luqman melangkah pergi meninggalkan aku. Aku tahu hatinya sedang mendidih marahkan aku. Kerana aku kenal Luqman. Dia diam. Dia tenung aku. Tanpa sepatah kata. Tapi, nanti, pasti aku akan diamuknya di rumah. Pasti!

“Siapa tu? Awak tengok dia macam dialah satu-satunya lelaki dalam dunia ni. Istimewa sangat ke dia tu?”

Aku kalih diriku dan kini aku pandang wajah Nazmi garang. “Istimewa atau tidak, dia suami saya, encik Nazmi. Encik nampak tak muka dia tadi? Dia marah saya, tahu tak? Semua ni salah encik! Kalau encik tak paksa saya keluar,”

Nazmi pintas, “Kalau saya tak ajak awak keluar, datang sini, awak pun tak akan tahu yang suami awak ada kekasih lain. Awak?”

Aku geram dengan lelaki ini yang sengaja tabur garam, menambah pedih lukaku. “Habis, kita? Apa pulak andaian suami saya pada kita?” marahku. 

Nazmi terkedu mendengar soalanku. Soalan yang aku sendiri tidak tahu bagaimana hendak menjawabnya bila Luqman bertanya padaku satu masa nanti.

Malang nasibku! Haruskah aku menangis!

23.5.12

Kau bukan untukku 3

Mei 23, 2012 35 Comments

Aku melangkah longlai memasuki rumah yang kosong, sekosong hatiku ini. Setelah mengunci pintu, kubaringkan tubuhku ke atas sofa panjang. Suatu waktu dahulu, inilah tempat lepak kesukaanku. Tiap kali aku berbaring di sini, dia pasti datang. Dia akan duduk di hujung kepalaku dan mengangkat kepalaku itu agar berada atas ribaannya. Rambutku akan diusap lembut dan sesekali, bibirnya akan turun menjelajahi wajahku, mempesonakan, mengujakan, sehingga aku lemas dalam dakapan cintanya. Sehingga aku menyerah dalam kehangatan asmaranya. 

Namun, malam ini, aku sendirian. Luqman mungkin sudah melupakan semua tentang diriku. Mungkin sudah melupakan kebahagiaan yang pernah menjengah. Aku sudah tak penting lagi agaknya sehingga dia tega mengecilkan hatiku. Sehingga dia tega biarkan aku sendiri, membawa luka hatiku begini. 

Kubiarkan ruang tamu itu kegelapan. Sepasang mata terkebil-kebil, memandang ke atas. Pandangan yang kosong dan hambar. 

“Tasha, sini! Kita tangkap gambar ramai-ramai,” 

Aku hanya perhatikan mereka bergambar sakan. Suamiku riang dengan dia di sisinya. Aku? Terhindar sepi. Sendiri. Membawa hatiku yang hancur, disiat-siat. 

“Kenapa puan tidak bergambar sekali, deh?” 

Hah, mbah Ina, orang gaji keluarga Luqman pun kehairanan melihat apa yang berlaku. Wajahnya kelat dan dia berkongsi rasa denganku. 

“Kenapa puan biarkan mereka? Bangun! Jangan kecewa gini, dong! Encik Luqman itu suami puan. Nanti, kalau dia sudah lupa...” 

Aku gelengkan kepala. “Dia memang dah lupa, mbah Ina. Dia memang sudah melupakan,” 

Entah bila aku terlena di atas sofa itu, aku pun tak ingat. Kini, dalam mamai, aku terjaga. Membuka mataku perlahan-lahan, aku tahu yang aku tidak lagi di situ. Terasa, ada tangan kekar memeluk tubuhku. Terasa, ada nafas panas bergetar lembut berhampiran leherku. Terasa, getar jantung perlahan, di belakang tubuhku. 

Dia pulang? Dia bersamaku kini? Dia mengangkat tubuhku lantas sekarang, aku berada di atas katil? Dalam bilik peraduan kami? Baju? Cepat-cepat aku angkat selimut yang menutup tubuhku. Laa, dah pakai baju tidur pulak. Diakah yang menyalinkan pakaianku? 

Keadaan ini... tidak ku mahu. Tidak, setelah dia melukakan hatiku semalam dan hari-hari sebelumnya. Jadi, aku ingin bangun. Sebab itu, erat dakapannya cuba kuleraikan. Perlahan-lahan, kuangkat tangannya. Perlahan-lahan, aku duduk. Kuintai wajahnya. 

Nafas ku hela. Sedikit gugup diriku kala ini, saat aku menatap wajahnya. Inilah wajahnya yang amat kusukai. Dalam tidur yang polos, Luqman bagaikan seorang anak kecil. Ingin benar kusentuh pipi itu. Ingin benar kukucupi bibirnya tapi, sisa luka semalam membuat aku jadi dingin. Dan, aku ingin menjauhinya. 

“Hai, Nat. Selamat pagi, sayang,” 

Sapaan Luqman mengejutkanku. Terpanar aku seketika. 

Kini, dia kembali memelukku. “Nak ke mana, sayang? Kan awal lagi ni?” tanya dia. 

Spontan mata tertancap ke dinding, pada jam yang baru menunjukkan pukul lima setengah pagi. 

“Nat?” 

Aku tidak membalas. Juga, tidak langsung aku memandangnya. Malah, tangan ini cuba meleraikan semula pelukannya. Hati jadi sayu. Dada rasa tersumbat dengan kehadirannya ini. 

“Abang yang angkat Nat naik ke bilik. Nat pun satu, yang tidur di sofa tu, kenapa? Berapa kali abang cakap, tidur betul-betul. Tapi, Nat tak pernah nak dengar. Mujur ringan, tau. Kalau tidak, mahu patah pinggang abang ni,” 

Dia bersenda denganku? Setelah sekian lama kesepian melanda rumah tangga kami, dia bergurau? Kenapa? Apakah dia diserang rasa bersalah padaku? 

“Nat, sayang. Tahu tak yang Nat belum bgi abang hadiah lagi?” 

Cukuplah tu! Usah bergurau begini. Aku tak sanggup mendengarnya. Tolonglah!!! Hatiku menjerit pada Luqman. 

Aku ingin bangun. Nak solat subuh. Nak jauhkan diri daripada lelaki yang sorang ni. Yang tidak kumengerti sikapnya sama sekali. 

“Nat!” 

Aku ingin menatap wajahnya tapi aku takut. Takut melihat mata yang hilang cahaya cinta untukku. Takut melihat sinar cinta yang sudah pudar. Aku tak berani! Jadi, aku diam. Menonong aku bangun, meneruskan langkah menuju ke bilik air kami. Sebaik pintu kukunci, aku bersandar dan tubuh ini gagal untuk terus berdiri. Aku akhirnya jatuh terduduk, menangis, mengongoi bagai orang yang benar-benar sudah kehilangan. 

Aku sangka, dia sudah bangun dan pergi, seperti selalu. Bukankah sejak dua menjak ini, dia tidak menungguku? Sarapan yang kubuat, tidak pernah dijamah. Asyik nak cepat sahaja. Tapi, pagi ini, dia masih berbungkus di atas katil. 

“Lamanya Nat mandi? Jenuh abang tunggu,” 

Aku tidak menyahut juga. Tak payahlah berbual. Untuk apa? 

“Kita solat subuh dulu. Tunggu abang, kita jemaah sama-sama. Lepas solat nanti, kita borak!” 

Kami solat bersama-sama, seperti dulu. Aku hayati bacaannya, aku dengar alunan ayat-ayat suci yang meniti merdu daripada bibirnya. Sebaik dia menghulurkan tangan, aku kecup lama. Tapi, ketika dia ingin mengecup dahiku, aku segera bangun, menghindar sentuhannya. 

“Masih marahkan abang, ya?” perlahan suaranya beralun. Dan, aku tegak berdiri mendengarnya. Dia tahu rupanya. Dia sedar yang aku marah. Baguslah! 

“Jangan ikut sangat rasa hati tu. Jangan ikut sangat keras kepala Nat tu. Cemburu buta tu... buangkan jauh-jauh! Nanti, semua tu akan rosakkan hubungan kita,” 

Aku berpaling ke arahnya. Wajahnya kutatap. Cuba memahami maksud yang tersembunyi. Namun, aku gagal. Aku tak mengerti. 

“Kalau hubungan kita terus macam ni, kalau setiap kali abang nak sentuh Nat, Nat mengelak, Nat rasa, berapa lama abang dapat bertahan?” 

Salahkan aku! Salahkan aku saja! 

“Nat yang tolak abang, yang dekatkan abang pada Tasha. Nat tahu tak tu?” 

Aku tatap wajahnya lagi. Nafas kusedut dalam-dalam. “Abang, perasan tak yang abang tengah salahkan Nat dalam semua hal?” 

“Pulak! Nat, bila masa abang salahkan Nat? Abang cuma pesan supaya Nat ubah sikap! Jangan nak bersaing dengan Natasha. Itu saja, Natalia!” 

Aku lemah bila dia menengkingku. Aku lemah bila dia marah begini. “Nat tak pernah bersaing dengan dia, bang. Nat tahu siapa diri Nat ni,” ujarku. 

“Nat dengki pada Tasha! Baru abang dapat rasa yang Nat dengki pada dia. Tiap kali kita kelahi, nama dia mesti Nat timbulkan. Apa ni? Kenapa busuk hati dengan adik sendiri?” 

Aku atur langkah supaya aku berdiri betul-betul di hadapannya. Aku tahu, Luqman sedang merenung wajahku tajam. Aku tahu, dia sedang marahkan aku. Tapi, aku ada hak untuk mempertahankan pendirian, bukan? Cukuplah kutukan itu. 

“Nat tak pernah dengki, marah, sakit hati pada Nur Alia Natasha. Nak tahu kenapa? Sebab dari hari pertama dia jadi adik Nat, dia dah dapat semuanya. Kasih sayang ibu, perhatian ayah, jadi hak dia. Dialah anak kandung dia orang, Nat yang jadi orang asing. Nat redha, asalkan ibu dengan ayah gembira. Nat cemburu dia dengan abang? Ya, Nat mengaku, Nat cemburu. Sebab dia dah berjaya menawan hati abang. Sebab dia dah berjaya jauhkan abang dari Nat. Sebab dia dah berjaya buat abang marahkan Nat. Abang tak nampak semua tu? Atau pura-pura tak nampak? Nak Nat jelaskan lagi?” 

Tak ku peduli kemarahan Luqman. Dia yang mulakan, biar aku luah saja resah hatiku ini. 

“Dia aturkan majlis hari jadi abang. Abang tahu tak, bila Nat jumpa emak dan rancang majlis tu, mak cakap, bagus! Bagus! Terujanya dia! Tapi, semua tu pura-pura! Dia akur dengan Natasha. Mak abang buat Nat rasa diri ni macam orang bodoh. Semalam, Nat sorang-sorang. Abang pedulipun tidak. Tangkap gambar ramai-ramai. Ada abang ajak Nat sekali? Dia di sisi abang seolah-olah dialah isteri abang. Abang senyum. Abang bahagia dengan dia. Nat? Siapa Nat?" Aku diam sebentar. Mengutip sisa kekuatan sebelum menyambung, "Mungkin bagi abang, sikap Nat ni kebudak-budakan. Tapi, biar Nat terus terang aje. Nat kecewa, bang. Sangat-sangat kecewa,” 

Ketika aku membelakanginya, ketika aku ingin meninggalkannya, dia dakap tubuhku erat. Luqman bagai enggan melepaskan. 

Mengapakah? Permainan apakah ini? Kenapa dia buat aku begini?

22.5.12

Kau bukan untukku 2

Mei 22, 2012 21 Comments
2

Kekecewaan tidak berakhir di pejabat tadi. Ia berlarutan sampai kini. Setelah dua jam di rumah mentuaku, aku merasakan bahawa aku harus pulang. Aku tak diperlukan di sini. Tak siapa hiraukan aku. Ayah, ibu, keluarga mentuaku, sahabat handai kami, malah Luqman sendiri mengabaikan diri ini. Aku seolah-olah sudah dilupakan. Aku seolah-olah tidak ada dalam kalangan mereka. Entah siapa diri ini agaknya? Sehingga terpinggir di tebing luka?

Semuanya berubah sejak dia pulang. Ibu tidak lagi bersedih. Ayah tidak lagi memandang garang padaku. Kehadirannya bagai pelita menerangi mereka.

Cemburukah aku?

Aku hanya seorang manusia. Ke mana hendak kubuang rasa itu? Tapi, kerana sejak kecil Nur Alia Natasha sudah merampas apa yang sepatutnya menjadi hak aku, aku sudah lama pasrah. Asalkan ibu dan ayahku bahagia, cukuplah. Biarlah aku diketepikan, tak apa! Asalkan, aku jadi anak yang baik pada mereka, aku relakan.

Namun nampaknya, Nur Alia Natasha tidak pernah puas menyakitiku, merebut hak milikku. Sejak kepulangannya ke pangkuan kami, dia banyak mencuri masa Luqman dariku. Ke mana sahaja, dia ingin Luqman menemaninya. Aku sudah dapat menjangka apa yang bakal terjadi namun Luqman cakap, aku tak harus cemburu kerana Natasha hanya dianggap sebagai adik sahaja. Dia pesan, aku jangan cemburukan adikku itu. Aku akur namun sudahnya, lepas satu, satu, taktik Natasha mengikat Luqman padanya. Apabila Luqman memerlukan seorang setiausaha, dia cepat-cepat memohon pekerjaan itu. Maka, semakin eratlah perhubungan mereka. Aku? Apa yang boleh kulakukan?

“Nat ni cemburu sangat la! Abang bosan dengar Nat merengek macam ni. Tasha is your sister. Abang ni, abang ipar dia aje. Takkan Nat tak percayakan abang?”

Tiap kali kuluahkan resahku, itulah yang aku dengar daripada mulut Luqman. Aku dikatanya terlalu cemburu dan ingin mengongkong. Aku dituduh tidak mempercayai dirinya. Aku yang salah sehingga aku tidak mampu hendak menegur lagi. Aku jadi diam. Aku dingin padanya.

Hari ini, aku berikan piala kemenangan kepada Natasha. Dia berhak menjuarainya. Dia.... dia yang buat semua untuk Luqman. Sangkaku, majlis ini diatur oleh ibu mentuaku tapi rupa-rupanya, Natasha yang kelola semua. Aku? Sebagai isteri, aku rasa tercalar. Aku rasa diriku malang benar. Sebab itu, biarlah aku balik ke rumah sahaja. Kan?

Sedihnya, bila tak siapa sedar aku pergi. Waktu aku masuk ke dalam kereta, aku nampak Luqman begitu riang bila Natasha menyuap kek ke dalam mulutnya. Bahagianya dia! Tak pernah aku lihat Luqman seriang itu.

Argh, air mata ini mengalir juga. Kalah juga aku. Tewas akhirnya!

Dalam pandangan berbalam, aku tinggalkan keriuhan. Berpaling sedetik ke arah laman, mataku dan mata Luqman bertembung. Cepat-cepat kukalih. Biarlah dia. Aku yakin, dia tidak akan peduli untuk menjejakiku. Aku yakin, namaku dan cintaku sudah tidak ada lagi dalam hatinya.

Mungkin benar, dulu akulah perampas. Aku rampas Luqman daripada Natasha. Tanpa kusedari. Cinta Luqman kubalas. Janji-janji manisnya kugenggam kemas. Tapi, kini aku mendapat balasan. Kurasai kesakitan tidak terhingga yang mungkin dulu dialami Natasha. Ya, inilah balasan! Aku pasti!

Kau bukan untukku 1

Mei 22, 2012 12 Comments
Cerpen ini sambungan kepada cerpen Nur Alia Natasha. Masih ingat cerita itu? Ramai yang cakap kisah tu tergantung... so, kak sofi buat sambungannya. Harap anda suka...

1

Aku tundukkan wajah. Tak sanggup aku membalas renungan bos baru yang besar kepala di hadapanku ini. Bukan kerana aku takut tapi kerana aku dah naik meluat tengok stail dan perangai dia yang suka benar menengking orang-orang bawahannya. Kali ini, giliran akulah pulak yang kena amuk dengan dia.

Kertas lakaranku sudah bersepahan di atas lantai. Tu, tanda dia tak berkenan dengan hasil idea yang sudah kuperah, bukan semalaman malah sudah berbulan-bulan. Nak buat macam mana? Tak kan aku nak cekik leher dia, melepaskan rasa geram yang sedang kutanggung ini? Kalau itu kulakukan, aku yakin, encik Ahmad Nazmi Fauzi tidak akan teragak-agak memberhentikan aku kerja. Dia bukan ada perasaan! Tak dikisahkannya susah payah aku menapak dalam kerjaya ini. Orang sombong macam dia....

“Saya nak awak buat semula mengikut kehendak saya tadi. Pastikan, bila siap, ia bukan rubbish macam yang dah saya koyak tu, faham?”

Amboi, sedap betul mulut dia kutuk apa yang dah kubuat itu.. rubbish? Memang, memang lelaki ini buta! Buta hati dan buta mata! Tak pandai menilai!

Aku berpaling, sebab rasanya tak ada apa lagi yang harus kudengar lagi.

“Weh! Bila saya cakap awak boleh keluar?”

Macam petir, suaranya terlontar, menghambat udara di sekeliling kami. Pasti saat ini, semua teman sepejabat di luar bilik, sedang berdiri bagai patung, menanti sambungan jerkahannya itu.

“Awak tak tahu cara nak hormat bos awak, ya? Ikut suka hati awak nak keluar pada hal awak tahu yang saya tak habis cakap dengan awak lagi, puan Nurul Aina Natalia. Saya tahu, awak marahkan saya sebab reject projek awak tu! Dan, saya tahu jugak, ini cara awak memberontak. Macam bagus sangat apa yang awak dah buat tu?” Ahmad Nazmi Fauzi terus membebel.

Banyak lagi sambungannya tapi aku buat tak endah. Masuk telinga kiri, keluar telinga kananku. Habis cerita. Lelaki angin macam dia ni, tak payah layan! Biarkan aje dia! Sebab itu dia masih belum kahwin agaknya. Umur dah hampir angka 35 tahun. Apa maknanya tu? Cerewet la! Perempuan mana teringin nak jadi bini lelaki cerewet macam dia?

Tapi, kalau dapat suami yang baik macam Amirul Luqman?

Aku menepuk dahi. Aku sudah harus pulang. Aku dah janji dengan ibu bapa mentuaku untuk membawa Luqman ke rumah mereka kerana hari ini, kami nak buat ‘surprise’ kepada suamiku itu. Ya, hari ini, hari jadi Luqman. Kami hendak meraikannya bersama-sama. Ada majlis potong kek dan sekali dengan majlis tahlil. Semuanya tajaan ibu dan bapa mentuaku yang baik.

Tak peduli pada Nazmi yang dok pot pet, pot pet, aku terus mendail nombor telefon Luqman. Malangnya, talian dimatikan. Pelik! Dahiku sudah berkerut.

Tiba-tiba, Nazmi rampas Lumiaku dan melontarnya ke atas lantai. Rasa macam tak percaya bila tengok ia sudah berkecai di situ. Rasa nak menangis pun ada juga. Tapi, semua itu tak mengatasi rasa sakit hati ini. Saat itu, mataku terpandang blackberry miliknya di atas meja. Apa lagi? An eye for an eye. Aku capai.... dan bye, bye! Opss!!!

Ahmad Nazmi Fauzi pun menyelap! Terus dicekak bajuku. Macam aku ni kepala samseng diperlakukannya. “Kalau aku tak fikirkan yang kau ni perempuan, tentu aku dah tumbuk muka kau ni. Berani kau ya,”

Dia tak sempat habiskan ayatnya. Aku dah tolak dia jatuh terduduk. 
“Siapa mulakan dulu? Siapa suruh awak campak fon saya? Apa hak awak? Awak ingat, mentang-mentang awak ketua di ofis ni, awak boleh campak apa saja hak orang ke lantai? Kenapa perangai awak langsung tak sama dengan Datuk Fauzi, ya? Ya, memang macam langit dengan bumi. You know what, encik Nazmi? Awak kena belajar cara-cara jadi bos yang baik dengan ayah awak!”

Aku keluar dari situ. Laju langkah kuatur untuk meninggalkan pejabat. Soalan-soalan teman-teman yang macam-macam, kubiar sepi. Biar Nazmi aje yang cerita! Aku? Aku hendak ke pejabat suamiku.

Mengingat dia, sejuk hatiku. Rasa hilang marahku.

Aku tahan teksi dan terus memberitahu alamat pejabat Luqman. Aku tahu dia sibuk, tapi, hari ini, suamiku itu harus melupakan sekejap kerja-kerjanya yang melambak. Tentu dia gembira kerana selepas dua tahun perkahwinan kami, dia masih kumanjakan. Masih kuutamakan.

Aku bayar tambang dan kemudian bergegas ke lobi syarikat hartanah, Global Image Sdn Bhd, di mana Amirul Luqman ialah salah seorang arkitek syarikat yang terkenal. Banggalah jugak, kan! Terutama bila melihat hasil kerja suamiku yang terdapat di taman-taman perumahan serta beberapa buah projek mega. Memang sangat hebat dan mesra alam. Aku kagum dengannya.

Aku naik ke tingkat sepuluh. Sunyi sepi sahaja tapi seketika kaki melanjutkan langkah, aku dengar riuh rendah suara orang ramai bercakap, diikuti oleh nyanyian Selamat Hari Jadi. Kaki terhenti bila aku melihat keadaan mereka. Oh, rupa-rupanya, staff Luqman meraikannya di pejabat. Baiknya mereka!

“You all, tolong pejam mata kejap! I nak bagi hadiah istimewa untuk bos kita. Please....”

Tiba-tiba aku dengar suatu suara manja. Suara yang amat aku kenal. Dan, ketika kaki melangkah lebih dekat, aku terpandang mereka. Dia dan Luqman. Luqman yang sedang tersengih macam kerang busuk bila Natasha menjongketkan kaki dan tanpa silu memeluk pinggangnya dan menghadiahi Luqman sentuhan lembut di pipi kanannya. Sentuhan yang membuat aku mendengus keras, sehingga semua berpaling ke arahku. Termasuk dia! Termasuk Luqman!

“My sister is here. Dia nampak kita, Man. Habislah you!” Bagi orang lain yang turut ketawa bersama-sama Nur Alia Natasha, itu hanya gurauannya. Tapi bagi aku, kata-katanya itu umpama pisau yang sedang menghiris hati.

Aku tahu, dia tidak bergurau. Aku tahu, dia tidak berlucu denganku. Dia sangat serius.

Nur Alia Natasha ingin merampas kembali apa yang aku sudah ambil darinya. Seperti kedatangannya lama dahulu, bila mana dia berjaya menawan hati ayah dan ibuku, aku pasti, dia pulang kali ini hanya untuk melukakanku. Untuk memastikan tawa dan senyumku sirna. Untuk memastikan, aku tewas. Dan, aku tidak mampu lagi bersaing dengannya!

Luqman menghampiriku. Wajahku ditatap dalam-dalam. Aku tak tahu apa yang ada dalam fikirannya. Dan, aku pun sudah tak ingin tahu lagi. Namun pesanan ibunya ingin kusampaikan. “Mak abang,”

“Abang tahu. Memang cadangnya nak pergi dengan Tasha lepas kerja nanti,”

Aik, macam mana dia tahu? Bukankah parti itu sepatutnya sesuatu yang menjadi rahsia kami semua? 
"Actually, Tasha yang aturkan majlis tu. Agendanya abang tak tahu cuma abang tahu yang abang kena balik ke rumah mak petang ni nanti,"

Aku cuba untuk tersenyum. “Laa, kenapa tak cakap? Penat Nat datang sini, tau,”

“Salah sendiri! Siapa suruh tak telefon abang dulu?”

Aik, Luqman marah? Apasal nak marah? Aku yang patut marah, kan?

“Siapa suruh abang off telefon? Dah pandai...”

Dia pintas. “Saja aje matikan. Tak nak orang ganggu abang....”

Mungkin dia nampak aku yang sudah tersinggung lantas dia hentikan bicara. Jadi, aku pun kena faham bahawa dia tak mahu aku ganggu, kan? Terus aku minta diri. Kuhulurkan tangan untuk bersalam, “Selamat hari jadi, bang. Nat balik dulu. Tak nak ganggu abang. Abang sibuk,”

Mujurlah, aku tak mudah mengalirkan air mata. Kalau tidak, mahu aku keriau di sini. Kubawa hatiku yang retak, pergi. Luqman tidak menahan. Ketika aku melintas di satu sudut kudengar sosek-sosek ini...

“Macam mana encik Luqman boleh kahwin dengan bini dia tu? Tak ngam langsung! Hisy, orang hensem macam tu, kalau dengan cik Natasha, barulah padan. Macam pinang dibelah dua! Kan?”

Aku telan liur. Aku telan sebuah kelukaan. Aku telan penghinaan. Tapi, aku bimbang. Aku tak cukup kuat menghadapi gelora ini. Aku bimbang akan kecundang. Bagaimana kalau kasih suamiku beralih arah?