Langkau ke kandungan utama

Masihkah cinta? 26


32

"Jaga diri baik-baik bila di sana nanti. Jaga makan dan jangan tidur lewat. Kerja elok-elok. Mama harap, kamu dapat lupakan semua yang dah berlaku dalam hidup kamu selama ni. Mulakan hidup baru, Safiy. Lupakan Tina."

Safiy tunduk. Setitis air mata tetap jatuh, memberitahu betapa parah luka di dalam hati. Biarpun redha, namun jauh di sudut hati, dia terlalu sedih. Terlalu hampa! Kerana dia sudah kehilangan Qistina untuk selamanya. 


"Safiy." Lembut suara Encik Mukhtar memanggil.

Safiy mengangkat muka, membalas renungan ayahnya. 

"Maafkan papa, nak!" 

Mereka saling berdakapan. Erat. Si ayah menepuk-nepuk belakang tubuh anaknya. Cuba mententeramkan perasaan. 

"Saya tak apa-apa, papa. Dan, tolong jangan minta maaf lagi. Semua yang berlaku bukan salah papa atau mama, tapi saya. Saya sebenarnya yang bodoh yang tak tahu menghargai Qistina. Jangan susah hati tentang saya. Saya lelaki. Tahulah saya jaga diri di tempat baru nanti." 

"Kamu anak yang baik, Safiy. Malangnya, kamu tersilap langkah. Tapi, lupakan kesilapan yang lepas-lepas.  Mama doakan kamu jumpa gadis lain dan kamu gembira semula."

Safiy tersenyum mengangguk. "Masa depan saya panjang lagi, mama. Saya pun tak nak bersedih lama-lama. Satu hari nanti, saya percaya, saya akan jumpa seseorang. Kalau dia berjaya dapat cinta saya, saya akan bawa dia jumpa mama, jumpa papa dan kami akan kahwin."

"Alhamdulillah, senang hati papa dengan mama dengar cakap kamu tu." Puan Zaidah berkata sambil menyeka air mata yang terbit. Dia tidak mahu menangis. Tidak mahu bersedih dan menyusahkan hati Safiy. Anaknya sudah memilih untuk meninggalkan Malaysia dan pergi bekerja di Manila. Kenapa ke sana? Siapakah yang tahu apa yang tersembunyi dalam hati anaknya. Mungkin dengan cara itu, semua kesedihan mampu dilupakan. Berjauhan dan membawa hati sehingga luka sembuh suatu masa nanti!

Mereka berpelukan lagi sebelum Safiy mula melangkah ke balai berlepas. Safiy sengaja hendak masuk awal, cuba menenangkan fikiran. Lebih senang bersendirian. 

"Safiy!"

Langkah terhenti. Safiy menarik nafas dalam-dalam demi mendengar suara itu. Masih lembut dan merdu di telinga. Masih bisa menggetar perasaannya. Perlahan-lahan, diri berpaling untuk memandang seraut wajah yang masih dirindui. Wajah yang sudah seminggu menjadi hak milik lelaki lain. 

"Sebelum awak pergi, saya nak kenalkan awak dengan seseorang." 

Safiy menjungket kening. Dia tidak mengerti. 

"Satu masa dulu, saya pernah bersumpah yang saya tak akan pernah beritahu awak tentang dia. Tentang kehadirannya. Saya berdoa kepada Allah, siang malam, supaya dia hadir dalam hidup saya dan saya dapat menjaga dia seorang diri tanpa awak. Saya nak buktikan kepada awak bahawa tanpa awak, tanpa kenal awak, dia boleh menjadi dewasa dan terdidik dengan baik. Awak pernah tanya umi, siapa dia tapi umi tak beritahu awak. Hari ni, saya nak beri hak awak semula. Biarpun kita bukan lagi suami isteri, biarpun saya dah kahwin dengan Luqman, hak awak tak boleh saya nafikan begitu saja. Dan, dia... Dia perlu kenal awak."

Qistina menarik Uwaisy dan tunduk berbisik sesuatu. Anak kecil itu kemudian memandang ke arah Safiy. Perlahan-lahan, langkah comelnya diatur mendekati lelaki yang sudah pun mencangkung, menanti. Dan, kini mereka sudah terlalu dekat. Tangan comel Uwaisy mengelap sepasang mata Safiy yang sudah berkaca.

"Papa..."

Tiada ungkapan untuk menggambarkan perasaan. Tiada kata dapat menghuraikan isi hati. Saat ayah dan anak berpelukan erat, masing-masing yang menyaksikan, turut bersedih. 

"Namanya Uwaisy bin Safiy Zahidi. Umurnya 4 tahun 1 bulan. Dia lahir sembilan bulan sepuluh hari selepas kita bercerai. Maafkan saya sebab menyembunyikan dia daripada awak selama ni. Maafkan saya, Safiy."

Luqman segera mendakap tubuh Qistina yang sudah bergegar bersama tangisan penyesalannya. Cuba menenteramkan diri si isteri. Cuba memberi kekuatan. "It's okay, sayang. Tenang. Istighfar banyak-banyak, ya," bisiknya lembut.

"Anak papa..." Kedengaran suara garau Safiy berbisik. Sayu melihatnya mencium seluruh wajah Uwaisy. "Anak papa." 

Ciuman demi ciuman dalam dakapan erat seorang ayah yang baru mengetahui bahawa dia punya anak. "Sayang anak papa."

"Sampainya hati kamu, Qistina. Sampainya hati kamu buat Safiy macam ni. Sampai dia tak tahu yang dia ada anak. Kejamnya kamu, Tina! Kejamnya kamu!" Suara Puan Zaidah mendayu-dayu menyesali takdir Safiy. 

"Maafkan..."

Safiy mendukung Uwaisy dan merapati Qistina dan Luqman. 

"Saya tak berhak marah awak, Tina. Awak tak bersalah langsung. Kalau saya tak tahu tentang Uwaisy sampai saya mati pun, saya tak akan pernah marahkan awak. Saya faham kenapa awak lakukannya. Jangan menangis dah. Cukuplah! Tak cantik pengantin baru menangis teresak-esak macam ni, okey!" 

"Terima kasih." Luqman menuturkan, perlahan.  

"Saya yang patut berterima kasih pada awak, Luqman. Saya tahu, awak yang pujuk Tina, kan? Tina ni keras hati. Dia takkan mudah memaafkan saya kalau tanpa pujukan dan nasihat awak pada dia."

Luqman hanya tersenyum mendengar pengertian yang Safiy luahkan. Tidak mengangguk, tidak juga menafikan.

Safiy serahkan Uwaisy untuk kembali didukung oleh Luqman. "Saya rasa segar, Man. Saya rasa hidup semula."

Luqman jelas tidak memahami. 

"Cadangnya, bila dah duduk di Manila tu, tak naklah balik ke Malaysia lagi. Tapi, sekarang saya janji akan balik selalu sebab saya nak jumpa Uwaisy. Nak tunaikan tanggungjawab saya sebagai ayah dia. Jangan silap faham, Man. Saya bukan nak ambil tempat awak. Saya nak tumpang kasih Uwaisy yang sikit saja. Boleh, kan?"

Luqman serahkan Uwaisy kepada Qistina. Dia kemudian memeluk tubuh Safiy. 

"Awak ayah Uwaisy, Safiy. Itu hak awak. Dalam dunia ni, penuh dengan kasih sayang. Boleh aje untuk dikongsi," bisiknya. Kemudian dia ketawa. Langsung mengelirukan semua. 

"Kongsi anak aje, okey! Emaknya saya punya sekarang." 

Safiy ketawa besar. Tak menyangka itu yang difikirkan Luqman. "Emm, rasa-rasa... teringin juga," usiknya pula.

Wajah Luqman sedikit berubah namun apabila melihat senyuman Safiy, dia turut membalas, "Kalau berani, cubalah!"

Akhirnya tawa mereka pecah. Orang di sekeliling mereka tak faham, tidak mengapa. Yang penting, ada hubungan erat sudah terjalin antara mereka berdua. Hubungan persahabatan yang tidak mudah putus.

"Jaga Tina dan Uwaisy baik-baik, Man. Mereka amanah awak. Harta awak sekarang."

"Thanks, bro. Take care!"

...................

Malam itu....

"Sedih?"

Geleng.

"Tapi mata ni merah lagi. Bibir ni tak senyum pun pada abang..."

Qistina merapatkan tubuhnya yang kedinginan dari tadi. Renungan lembut Luqman dibalas penuh kasih. Kebimbangan cuba dilempar jauh daripada diri suami yang pastinya masih tidak pasti tentang isi hatinya sejak peristiwa di KLIA siang tadi. 

"Mata ni menangis sebab sedih bila ingatkan semula kejadian yang dulu-dulu tu. Tapi Tina yakin dan harap sangat, supaya abang ada untuk kesat air mata ni setiap kali ia menitis. Bibir Tina..."

"Seksi, merekah, merah, menanti abang mengucupnya, kan?"

Debaran indah hadir lagi. Tabir malam berlabuh ke pelabuhan penuh asyik. Cinta milik mereka. 

"Tina..."

"Hmm..."

"Kalau Uwaisy dapat adik perempuan, Tina nak muka dia macam abang ke, macam Tina?"

"Macam kita!"

"Macam kita?"

"Hmm, macam kita. Matanya kuyu macam mata abang. Hidungnya kecil mancung, macam Tina. Bibirnya nipis, macam bibir abang. Pipinya licin, macam Tina."

"Tabah macam Tina. Tenang macam Tina. Penyayang macam Tina... Abang lebih suka dia macam Tina sebab Tina jauh lebih kuat, lebih baik, lebih sempurna daripada abang, sayang." 

Dalam dakapan kasih seorang suami, apa lagi mahunya seorang isteri selain terus merasa bahagia? Terus merasa disayangi dan dicintai? Biar badai setinggi langit, suami menjadi tempat berlindung. Biar ombak besar menerjah rumahtangga membawa gelora namun suami tidak goyah dan tetap teguh di samping. Gagah mempertahankan hak dan impian isteri tanpa lelah. 

Di mana-mana, ceritera rumah tangga sentiasa ada gawat dan kemanisannya. Sentiasa ada harmoni dan pertentangan. Tapi, demi kasih, pertahankanlah! Hidup bukan untuk menangisi nasib derita, kan?   

Ulasan

  1. best sangat kak sofi. nak lagi.. nak adik pompuan uwaisy pulak.

    BalasPadam
  2. Tahniah...Banyak pengajaran kepada semua watak utama...

    BalasPadam
  3. best...sgt...tqqqqqqqqqq

    BalasPadam
  4. Sambung lagi kak sofi....
    masih x puas lagi....
    Amboi bekas mertua tina masih nak marahkan tina....
    x sedar siap yg salah selama ni....

    BalasPadam
    Balasan
    1. biasalah tu. sape ske ngaku salah sendiri, kan?

      Padam
  5. ape nasib safiy ye...hrp die pun jmp kebahagiaan die..nak taw kisah cinta safiy gak kak...

    BalasPadam
  6. cikgu sofi.....jgn matikan luqman pulak & qistina balik pd safiy.
    biar safiy dpt org lain.
    biar luqman & qistina hidup bahagia.
    nyampah dan geram betul dengan mak safiy.

    BalasPadam
    Balasan
    1. citer ni dah nak habis dah. insyaallah, hepi ending, ya...

      Padam
  7. Aslam hehhe akak tahu dah 4 hari berturut saya baca blog akak smpai jam 3 pg nasib baik tak terbabas bangun pagi anak sekolah hehehe hebat penulisan akak terus.menulis yaa

    BalasPadam
    Balasan
    1. maaf, baru membalas. apa nak kata ya? ehmm, terima kasih? terima kasih kerana sudi baca hehe.. baca lagi, jangan jemu, k!

      Padam
  8. wah!!! tahniah kak Sofi.. best best best sgt... amor Kak Sofi!...

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…