Saturday, February 25, 2012

Home » , » Sampai Bila? 7n

Sampai Bila? 7n

7

“Kita tunggu apa lagi ni, Faris?” 

Peguam muda itu memandang ke arah lelaki yang bertanya. Lelaki yang kelihatan sudah kegelisahan, mungkin sudah jemu agaknya. Dia kemudian merenung muka jam. Dahi sedikit berkerut kini. 

“Dah pukul 11. Kau suruh dia datang pukul berapa?” Lelaki itu bertanya lagi. 

Faris garu kepala. Dia kemudian tersengih. “Pukul 10.” 

“See! Perempuan tu memang tak guna! Tak sedar diri! Dahlah dia guna bapak aku, sekarang saja-saja aje datang lambat! Dia ingat, dia tu Queen Elizabeth ke? Orang kena tunggu dia pula? Macam bagus? Dahlah tak sedar diuntung nak berkongsi harta bapak aku!!” 

Kemarahan tidak disembunyikan. Riak wajah yang merah dan sesekali penumbuk dikepal. 

“Betul tu, Ad. Mak pun dah musykil ni. Macam ada yang tak kena aje dengan wasiat yang nak dibaca Faris nanti.” 

Lelaki itu menatap wajah ibunya. Tajam renungan itu. 

“Maksud mak?” tanya dia. Kerisauan jelas kedengaran dalam nada suara. 

Fasihah tatap wajah anak kesayangannya. “Cuba Ad tanya diri Ad, kenapa ayah hanya suruh kamu dengan mak aje datang ke pejabat Faris hari ini? Kenapa Fatonah dengan Sakinah, adik-adik kamu tu, tak dibenarkan mendengar wasiat ni? Kenapa mesti ada pula orang lain hadir? Perempuan ni... siapa dia? Apa hubungan dia dengan ayah kamu? Semua ni tak masuk akal, Adnan Malik!” 

Adnan Malik segera duduk di sisi ibunya. Tubuh ibunya didakap erat. Dia seolah-olah mahu memberitahu bahawa apa pun yang ibunya risaukan, dia ada! Sentiasa ada dan sanggup melakukan apa sahaja agar ibunya bahagia dan tidak merasa tergugat dengan segala isi kandungan wasiat itu nanti! 

“Kalau ada yang pelik-pelik dalam wasiat tu, kita lawan, mak! Kita akan pertahan hak kita sebab itu hak kita. Kita ahli keluarga Bakhtiar Rafii. Hanya kita berhak ke atas hartanya. Tak begitu, Faris?” 

Peguam bernama Faris itu hanya tersenyum. 

Ada ketukan di pintu yang menyebabkan semua mata tertumpu ke situ. Sebaik daun pintu terkuak, sosok tubuh yang tinggi lampai, kelihatan. Seorang gadis berbaju kurung warna merah hati polos, berkasut tumit tinggi dan kelihatan amat bergaya lagi cantik, memukau pandangan semua. Masing-masing terpaku menyaksi keindahan ciptaan Tuhan. 

Hati Adnan Malik bergetar hebat. Dia kenal wanita muda ini. Wajah yang belum mampu pudar daripada ingatan. Inilah wanita yang pernah cuba diselamatkan daripada gangguan seorang lelaki di tempat letak kereta, berhampiran Restoran Pelita, Ampang, suatu waktu dahulu. Wanita ini yang pernah marahkan dirinya, pernah mengoyak kad nama yang diberikan! Tapi, apakah yang dibuat wanita ini di sini? Apakah ini perempuan...... 

“Jemput masuk Cik Alisa,” 

Nama yang dipanggil oleh Faris itu menyebabkan Adnan Malik terkedu. Nama itu? Alisa? Bukankah nama itu yang meniti di bibir ayahnya buat beberapa ketika semasa lelaki itu sedang nazak? Bukankah nama itu juga yang diungkapkan Faris beberapa hari yang lepas? Kata Faris, wasiat Bakhtiar perlu dibaca di hadapan dirinya, ibunya dan.... Alisa! Argh, siapakah wanita ini? Yang lebih penting, siapakah dia dalam hidup Bakhtiar? 

Alisa melangkah dengan yakin meskipun dalam hati kecut bukan main. Kalau tidak kerana desakan Faris, demi Allah, dia tidak akan mahu ke mari. Ni, nak masuk dalam mulut naga ni! Alisa amat yakin bahawa hari ini, naga di hadapannya, pasti akan menyemburkan api kepadanya. Api dendam penuh kebencian! Api kemarahan! Malah paling digeruni kalau-kalau nanti dia turut akan dimaki hamun dan dilontar dengan segala perkataan yang tidak enak! Risau! Risau! 

“Cik Alisa, saya kenalkan. Ini encik Adnan Malik Bakhtiar dan yang itu, ibunya, Puan Fasihah, balu allahyarham encik Bakhtiar.” 

Tangan yang Alisa hulurkan tidak bersambut. Malah Alisa menerima jelingan maut daripada wanita itu. Namun, tentu sahaja Alisa mengerti perasaan Fasihah. Mungkin saat ini dirinya adalah musuh kerana Fasihah pasti merasakan bahawa dia sedang berdepan dengan perempuan simpanan Bakhtiar. 

Tak apalah! Tak mahu salam pun tak apa. Jangan cakar muka aku, sudah! Fikirnya. 

“Siapa perempuan ni, Faris? Kenapa penting sangat untuk dia hadir kat sini?” tanya Fasihah. Risau sebenarnya memikirkan kalau-kalau Alisa ini isteri kedua Bakhtiar. Ya, habislah kalau ini madunya! Macam mana nak bolot semua harta sedangkan dari segi syarak, wanita ini memang layak memiliki? 

Argh, semakin benci pada yang sudah mati! Lelaki itu sentiasa menyakitkan hatinya. Waktu hidup, atau kini, ketika jasad di dalam perut bumi pun, masih enggan membiarkan hidupnya bahagia! Bakhtiar memang melampau! 

“Memandangkan semua orang dah ada, baik saya bacakan wasiat Allahyarham, ya?” 

Alisa duduk tanpa dijemput. Lutut rasa menggeletar saat ini. Hati bergetar hebat. Degupan semakin tidak menentu bila lelaki yang bernama Adnan Malik itu duduk di sebelahnya, di atas sofa berkembar dua itu. 

Bodoh betul! Pergilah duduk jauh-jauh! Aku tak suka kau duduk dekat-dekat aku la! Hati berbisik sendiri. 

“Encik Adnan, puan Fasihah,” Faris menghulurkan sesuatu kepada kedua-duanya. “Itu salinan pendua surat wasiat encik Bakhtiar. Saya yakin, anda berdua kenal dengan tulisan tangan Allahyarham.” 

Kedua-duanya mengangguk. 

Fasihah kelihatan tersenyum puas. Nampaknya bahagian dia, sebagai isteri, tidak berusik. Memang Bakhtiar tetap berikan kepadanya. Mutlak! 

“Apa ni, Faris?” 

Tiba-tiba suara garau Adnan Malik terlantun kuat. Ada rasa kurang percaya dapat didengari semua. Mata Alisa mengecil melihat aksi lelaki muda itu. Wajah yang serta merta jadi cemberut serta memerah mungkin kerana menahan marah. Tapi, kenapa? 

Adnan Malik berpaling ke arah Alisa. Kertas setebal lima helai itu dicampakkan ke muka anak dara itu. 

“Ni mesti rancangan kau, kan?” tengkingnya. 

Alisa tidak mahu membalas sebelum mengetahui punca kemarahan lelaki muda itu. Hisy, benarlah kata Bakhtiar. Anak lelaki tunggalnya ini memang panas baran! Mudah naik angin tak tentu fasal! Eeeii... 

Mata Alisa bulat membaca perenggan yang telah di’highlight’kan. Baca sekali lagi, kut-kutlah, dia salah eja. Hisy, macamlah dia tak pergi sekolah pula! Tapi, tidak! Memang dia tidak salah! Memang selepas diulang-ulang baca pun, ayat-ayat itu masih di situ! 

Patutlah mata Adnan Malik dah membuntang. Patutlah wajah sudah merona kemerahan menahan marah! Tinggal lagi belum jadi Incredible Hulk sahaja! Makk, kemana hendak melarikan diri nih?? 

Fasihah yang baru membaca di perenggan yang sama turut terjerit, “Faris, apa maksud Bakhtiar ni? Kenapa? Kenapa dia tulis macam ni? Kenapa?” 

Faris tetap tenang. Mungkin inilah kelebihan seorang peguam. Tidak mudah tergugat oleh kemarahan dan desakan klien. Cool saja dirinya! 

“Memang itu kehendak encik Bakhtiar, puan,” 

“Gila!” herdik Adnan Malik. 

“Tidak! Dia waras sewaktu menulisnya. Encik Adnan tentu dapat lihat tanda tangan saksi-saksi yang ada. Kami bersama-sama dengannya waktu itu.” Jelas Faris menafikan dakwaan Adnan Malik. 

“Tak gila? Faris, kalau dia tak gila, dia tak akan buat wasiat macam tu! Ada ke patut suruh aku...” 

Alisa ketawa bagaikan diri dirasuk histeria. Dalam gelak sakan itu, dia turut bersetuju dengan kata-kata Adnan Malik. Bakhtiar sudah gila semasa menulis wasiat yang tidak masuk akal itu. Memang Bakhtiar sudah sewel! Tak waras! 

Siapakah menyangka bahawa Bakhtiar melibatkan dirinya, Alisa, di dalam amanat terakhir sebelum lelaki itu pergi menyahut panggilan Yang Esa? Tentu sekali tidak dirinya! Demi Allah, tidak! Namun siapakah yang akan mempercayai? Siapakah yang akan menyebelahi dirinya ini? 

Apakah tujuan Bakhtiar melakukan begitu? 

“Encik Adnan,” 

“Dia gila! Paksa aku kahwin dengan perempuan murah ni? Dia ingat aku ni apa? Pak sanggup? Pak turut?” Adnan Malik benar-benar rasa tercabar. Sakit hati dan kebenciannya semakin meruap-ruap kepada lelaki itu. 

“Weh? Awak cakap baik-baik sikit, ya! Siapa perempuan murah?” Alisa balas. Dia tidak boleh bersabar bila dirinya dihina begitu. Kenal pun tidak, terus menuduh tanpa usul periksa. Benci! 

“Habis? Macam mana Bakhtiar ni boleh dapat idea suruh aku kahwin dengan kau? Cakap! Tolong jelaskan kenapa dia suruh aku kahwin dengan kau. Kau...kau... tu perempuan simpanan dia! Boleh pulak dia suruh aku ambil sisa dia? Kau!” 

Pangg..... 

“Penampar tu untuk mulut celopar awak! Kalau awak tak hormat saya pun, at least belajar hormatkan arwah ayah awak! Anak apa awak ni hah? Dari arwah hidup sampai sudah mati pun, awak masih,” 

Pangg.... 

Kali ini, pipi Alisa pula yang kesakitan ditampar oleh Fasihah. 

“Kurang ajar! Pandai nak nasihatkan orang padahal memang diri sendiri tu perempuan yang tak ada maruah! Tak ada harga diri! Pelacur!” 

Faris bangun berdeham. Dia cuba mententeramkan keadaan. “Maaf, ya! Boleh saya mencelah?” 

“Tak boleh!” 3 suara menghalang. 

Terasa lucu dengan jawapan itu, Faris tergelak kecil. Dia kemudian dengan selamba memandang ketiga-tiga wajah di hadapannya. 

“Saya yakin, encik Bakhtiar tahu apa yang dibuatnya. Allahyarham tidak akan buat sesuatu kalau tidak untuk kebaikan encik Adnan Malik sendiri.” 

Adnan Malik naik angin semula. “Kebaikan apa? Nak suruh aku dapat Aids, boleh la!” 

Bencinyaaa..... Sakitnya hatiii............ Alisa mahu saja membalas namun gelengan Faris menyebabkan niatnya mati. 

Entah mengapa, kini Alisa tersenyum sumbing mengenangi Bakhtiar. Licik sungguh lelaki itu. Adakah patut meletakkan syarat begitu kepada anaknya? Bodoh! Apakah Bakhtiar fikir, dengan berbuat begitu Adnan Malik akan menyayangi dirinya, sebagai selayaknya seorang ayah dikasihi dan disayangi? Gila! Bakhtiar memang gila sewaktu membuat wasiat itu. Dan, Adnan? Adnan juga gila! Segila ayahnya. Dan, tamak! Bodoh juga! 

Argh, kerana harta...semuanya kerana harta! 

“Encik Adnan tak boleh menolak. Ayah encik Adnan mahukan encik berkahwin dengan cik Alisa. Kalau tidak, harta bahagian encik akan dibahagi-bahagikan ke rumah-rumah anak yatim di seluruh negara.” Kata Faris selepas keadaan kembali terkawal. 

“Encik Faris, kalau saya yang tak mahu berkahwin dengan dia ni, dengan sendirinya wasiat itu terbatal, kan? Maksud saya, dia boleh dapat harta tu dengan cara biasa? Mengikut syariat?” celah Alisa. 

”Maaf, cik Alisa. Encik Bakhtiar memang memaksa di sini. Apa yang tertulis, tak boleh diubah-ubah dah. Itu kehendak Allahyarham.” 

“Tapi,” 

“Encik Adnan dan cik Alisa memang tak ada pilihan sekarang. Anda berdua mesti berkahwin.” 

“Mustahil!” Jerita Alisa dan Adnan serentak. 

Faris tatap wajah kedua-duanya. Lama dan tajam. “Menurut wasiat ni, sama ada encik Adnan atau cik Alisa menolak, maka harta yang nak diserahkan kepada encik Adnan, bukan miliknya lagi,” 

“Karut! Gila! Saya boleh lawan di Mahkamah Tinggi Syariah!” bentak Adnan Malik. 

Fasihah yang masih menangis terus menolak-nolak tubuh Alisa. Rambut Alisa ditariknya kuat. Semakin menjadi-jadi perbuatannya kerana Alisa langsung tidak melawan. 

“Pandai kau, ya! Ni mesti engkau yang mintak, kan? Betul, kan? Ini mesti kau yang rancang!!” tengkingnya. 

“Berapa kali saya nak cakap yang saya tak tahu? Abang.. encik Bakhtiar tak pernah cakap nak suruh saya kahwin dengan dia ni! Ingat saya teringin sangat nak jadi bini dia?” balasnya. 

“Alah! Kau ingat, aku tak tahu taktik kau? Nanti, bila dah jadi bini Adnan, tentu harta tu jadi harta kau jugak. Itu kan yang kau harapkan?” jerkah Fasihah. 

Faris ketawa sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Tindakan yang menyebabkan tiga pasang mata merenung ke arahnya seperti hendak menelan. Yalah, orang tengah serius, Faris boleh gelak pula. Tak ke haru? 

“Cik Alisa tak ada kena mengena, puan Fasihah. Pertama, dia memang tak tahu menahu tentang wasiat ni. Kedua, dia memang tak ada kepentingan di dalamnya. Nasib dia bergantung kepada encik Adnan. Kalau encik Adnan terima pernikahan ini, encik Adnanlah yang menentukan masa depan dia orang berdua. Suka, duka, kaya, miskin cik Alisa nanti, semuanya bergantung kepada suaminya. Encik Bakhtiar tidak langsung memberi walau satu sen kepada cik Alisa. Malah, kalau mereka bercerai, cik Alisa tidak boleh menuntut apa-apa daripada encik Adnan pun.” 

Alisa akhirnya menarik nafas lega. Sungguh lega! Tak sangka, begitu kehendak Bakhtiar. Tak sangka, Bakhtiar membuat wasiat yang langsung membuktikan bahawa dirinya diselitkan hanya untuk menjadi isteri Adnan Malik. Tanpa kepentingan! Malah, dari satu sisi, dialah mangsa sebenarnya. Dia yang terpaksa merelakan hanya supaya lelaki bernama Adnan Malik yang sombong dan bongkak ini, mendapat harta dan bahagiannya. 

Sewaktu pandangan mata mereka bertembung, Alisa dapat melihat keraguan dalam sinar mata lelaki itu. Dia tak hairan pun! Suka hatilah hendak percaya atau tidak. Yang penting, wasiat itu jelas menunjukkan apa kemahuan Bakhtiar. Dia tak kisah. Dia tak rugi apa-apa. Terserah Adnan sama ada mahu akur atau pun tidak! 

Alisa bangun. Dia ingin pergi dari situ. Tak ada apa-apa lagi untuknya. Semua sudah didengari. Kini, hanya perlu menanti... 

12 comments:

  1. ruby muksan redsFeb 25, 2012 2:02:00 PM

    huhuhuhu best sngt.nak lg cpt sambung x sabar nk tahu kesudahan cter ni...

    ReplyDelete
  2. mcm mana lah rumah tangga depa...tp sy pasti Adnan kan berubah...jd jinak..he he

    -che`leen-

    ReplyDelete
  3. suke2...kak, sambung lagi kak...sy tggu...

    ReplyDelete
  4. akum
    kak sofi tlg wat pnjg ckit cite ni
    y verci cerpen tu pndek sgt
    cpt ckit smbg erk

    ReplyDelete
    Replies
    1. mmg cadangnya nk jadikan novel pun.. sabar ek..

      Delete
  5. nk suggest bole x
    kak sofi wat dia org bcinta cam suami isteri y laen
    pas2 watla mak si ad tu chat n ske ngan lisa spy cite pjg ckit
    y cerpen pndek sgt x puas bca

    ReplyDelete
  6. byk2 cerpen y kak sofi buat
    y plg sya ske bca n terksan sgt ngan cite ni
    god lucknya kak sofi
    cpt sambg........

    ReplyDelete

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.