apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

11.2.12

Retak: Edisi Cerpen Penuh


1


Di dalam sebuah restoran makanan segera. Seorang gadis bernama Hawa yang duduk berseorang diri di suatu sudut, sedang menangis. Beria-ia dia menangis. Sesiapa yang melihatnya, pasti rasa kasihan biarpun tangisan itu tidaklah kedengaran oleh sesiapa kerana Hawa cuba mengawal sedu sedannya. Mata sudah sembab. Hidung sudah merah. Pada pipi, kesan air mata memang jelas terlihat. Namun, saat seseorang mengambil tempat duduk di hadapannya, Hawa cepat-cepat mengambil tisu lalu mengelap air mata yang tumpah di pipi. Dia tidak mahu orang yang baru duduk itu tahu, yang dia menangis. Malu beb! 

Seminit kemudian. "Baru putus cinta ke? Asyik menangis aje dari tadi," 

Suara garau itu menegurnya. Teguran yang menyebabkan Hawa terus menatap wajah lelaki di hadapannya, tepat-tepat. 

"Macam mana awak tahu yang saya asyik menangis dari tadi?" tanya dia penuh hairan. Tak peduli lagi pada apakah anggapan lelaki itu yang sedang melihat sepasang matanya yang sembap kini. Lantaklah! 

Adam tersenyum. "Masa saya mintak izin duduk depan awak, awak angguk sambil tunduk. Masa saya berdiri berbaris nak beli burger ni, saya tengok awak tetap tunduk sambil lap-lap mata. Habis, kalau tak menangis, awak buat apa? Cabut bulu mata ke?" 

Usikan yang langsung tidak melucukan Hawa. Mengambil gelas berisi air lemon yang sedikit pahit itu lalu menyisip perlahan. Dia melihat sahaja lelaki itu mengangkat burger, menggigit sedikit dan kelihatan amat berselera mengunyah dan menelannya. Yalah, orang tengah lapar waktu 'lunch' kan? Bukan macam Hawa. Selera dah lama mati. 

"Putus cinta ni normal, saudari. Toksah sedih sangat. Patah tumbuh, hilang berganti."

"Saya bukan putus cintalah!" Hawa menafikan dengan keras. 

Sepasang mata Adam mengecil. "Habis tu?" Masih keliru bila Hawa terus menggeleng. "Err, mungkin ada kematian dalam keluarga kut?" 

"Tak lah! Cuma,"

"Girl, boleh tak cakap betul-betul? Jangan teragak-agak! Cakap aje!"

"Kucing saya mati la!"

"What?" Jerit Adam. Dia salah dengar ke?

"Pagi tadi, kucing kesayangan saya, Comel, mati. Mati sebab sakit perut. Tu yang saya menangis tu. Sedih sebab mulai malam ni, Comel dah tak ada nak teman saya tidur malam-malam dah!" 

Adam rasa macam nak luku kepala gadis di hadapannya ini. Geram betul! Punyalah penuh hati dia dengan rasa kasihan yang melimpah ruah melihat gadis ini menangis, beria-ia menangis, rupa-rupanya si dia menangis hanya kerana seekor kucing? Cis! 

"Dah 5 tahun saya bela dia, awak. Saya sayang dia. Dia baik, manja... sangat manja dengan saya. Dua hari lepas dia muntah-muntah, terus tak lalu makan. Vet cakap, dia dah teruk dah. Pagi ni saya dah kehilangan dia. Sedih tahu tak?" Lancar sahaja lidah Hawa bercerita. Betullah kata orang. Kalau kita ada masalah, bila kita curahkan masalah itu kepada 'stranger', pasti bebanannya akan berkurang sedikit. Begitu juga dengan Hawa. Kini, selepas meluahkan, dia rasa sedikit lega. Rasa kesedihan tadi beransur pergi. Cewah...

Adam merengus. "Weh, dia kucing ajelah. Hisy, awak ni! Kucing mati pun nangis sampai sembab biji mata. Agaknya kalau kena tinggal dengan kekasih, awak ni macam mana ya? Pengsan kut?" perlinya.

Hawa menjeling. Sakit hati dan terasa dengan sindiran Adam. Lelaki ini langsung tak ada menunjukkan rasa simpati dan empati. Kejam!

"Suka hati sayalah nak menangis ke hapa? Awak ni tak ada perasaan ke? Orang tengah sedih, awak perli perli pulak. Esok-esok kalau terkena batang hidung sendiri, baru tahu!" Marah Hawa pula. 

Adam gelak. "Saya tak ada kucing. Tak bela haiwan tu." balasnya. 

Hawa mencebik. "Kalau macam tu, esok-esok mungkin awek awak tinggalkan awak," 

"Hoi, main kasar pulak? Tapi, pun tak mungkin terjadi juga."

"Iya? Kenapa?"

Adam tersenyum. "Sebab saya belum ada awek lagi, saudari. Saya ni masih single. Single and available!" 

Sakit hati mendengar ketawa si dia, Hawa terus mengutuk, "Single lagi?"

Adam mengangguk.

"Berapa umur awak? Macam dah tua aje?" giliran Hawa menyindir.

"Mulut tu jaga sikit, ya! Tengok muka saya ni. Tegang lagi kulitnya, okey. Ada ke kata saya tua pulak. Baru 30, tahu tak?" Adam marah. Geramlah, kan. Sikit punya hensem dikatakan tua, Hisy! Tak patut betul!

Hawa ketawa. "Dah 30 tapi masih single lagi? Tak laku eh?" kutuknya. Ewah, kenapa dia berani sangat hari ini? Selalu, tak pernah dia begini dengan kaum Adam. Tapi, kenapa lain macam pula? Tak lain sebab geram pada lelaki ini yang mengutuk dia macam baby menangisi kematian Comel tadi! Hmm....

Adam mendekatkan wajahnya ke muka Hawa. "Berani kutuk saya? Awak jangan! Saya pinang awak nanti!"

Hawa bangun dengan serta merta. Takut melihat keseriusan wajah si jejaka saat ini. Risau mendengar ugutan lelaki itu. Bagaimanapun senyum tetap terukir pada bibir. 

"Nak pinang saya? Eleh, kenal pun tidak? Dah lah! Malas layan awak. Saya nak balik." ujar Hawa sambil mengemaskan beg galas yang dibawa. 

Adam mengambil kesempatan itu untuk melihat tag nama yang tergantung di leher Hawa. Dia kemudian mengukir senyum.

"Pejabat kita dekat aje Cik Siti Hawa binti Razali. Damai Holdings tu berdepan dengan TZ Sdn Bhd. Nanti, pasti kita jumpa lagi. Saya janji!"

"Macam mana awak..." Terus tangan memegang tali yang tergantung di leher. Alamak....

Adam masih lagi bersama senyumannya. "Jangan menangis lagi, eh! Nanti Adam belikan awak pet baru, seekor anak kucing yang comel. Macam awak." katanya seakan-akan memujuk.

"Mentang-mentang nama saya Hawa, awak pun sibuk mengaku yang awak tu Adam pulak. Sengal!" 

Terus Adam ditinggalkan. Sakit hati sebab terasa diri dipermainkan.
..................

2


Esoknya, di pejabat Hawa. Hawa turun ke lobi bila penyambut tetamu syarikat memberitahu bahawa dia ada tetamu. Dengan dahi berkerut-kerut, dia turun dari tingkat lima ke tempat penyambut tetamu. Ingin tahu siapakah yang sibuk datang mencarinya di ofis. 

Sebaik nampak kelibat Hawa, Adam terus berdiri dan melambai gadis itu. Hawa terkejut sangat. Tidak menyangka yang lelaki semalam sanggup mencarinya sampai ke pejabat. Hisy! 

"Awak buat apa kat sini? Mana awak tahu saya kerja..."

"Soalan bodoh! Kan semalam saya cakap yang pejabat kita berdepan aje. Lupa?"

Bulat mata Hawa mendengar lelaki itu mengata dia bodoh. Amboi mak, tak sayang mulut langsung! Lalu dibalasnya, kasar. "Awak tu bukannya istimewa sangat sampai apa yang awak cakap mesti tersemat dalam kepala saya ni. Hah, awak nak apa?" 

Lelaki di hadapannya itu diperhati atas bawah. Kacak memanglah kacak. Tidak dapat dinafikan oleh Hawa tetapi.... kepala tergeleng-geleng. Lelaki ini bukan jenis spesis lelaki yang disukainya. Bukan dalam kategori lelaki pilihan! Jauh! Jauh daripada jenama kesukaan. Dan, Hawa menarik sengih. 

"Saya nak ajak awak pergi satu tempat. Jom!" 

Hawa biarkan saja lelaki itu berjalan meninggalkannya. Agaknya lelaki itu fikir dia akan ikut, sebab itu langsung tidak menoleh ke belakang. Memang perasan mamat ni!, fikir Hawa. 

Menyedari Hawa tidak membuntutinya, Adam berhenti melangkah. Berpaling ke arah gadis itu, dia bersuara, "Cepatlah! Yang tercegat di situ buat apa? Kalau fikirkan tentang saya dan nak tanya apa-apa, sambil berjalan nanti, saya highlightkanlah! Saya tahu, awak sangat-sangat ingin mengenali saya, kan?"

Kenapa dalam rasa marah, lelaki ini masih mampu membuat Hawa ketawa? Soalan itu bermain di benaknya. Pelik! Mereka baru kenal tapi di sini, dalam kereta Persona lelaki itu, dia mengikut sahaja ke mana diri hendak dibawa. Tidak ada keraguan langsung. 

"Nama saya, Adam." Adam memperkenalkan dirinya.

"Yalah tu! Adam?" Hawa menggiat. Dia sudah biasa diusik begitu. Ramai yang akan berkata diri mereka ialah Adam sebaik tahu namanya Hawa. Haih... mereka tu semua fikir dia peminat novel Aisya Sofea kut? Adam dan Hawa?

"Kenapa? Dari semalam, saya perasan yang awak tak percaya nama saya, Adam. Awak ingat saya tipu, ya? Cik Siti Hawa, betul! Nama saya, Adam. Adam bin Zulkarnain. Tak percaya lagi?" Adam mengeluarkan dompet dari poket kanan seluarnya dengan susah payah. Dompet itu dicampak kepada Hawa. "Tengok kad pengenalan saya. Tengok sekarang!"

Hawa ketawa kecil melihat gambar pada kad pengenalan itu. "Mak, berapa lama tak tukar IC ni?" soalnya. 

Adam geram lalu segera mengambil dompetnya semula. "Lain orang suruh, lain dibuat." marahnya. 

Hawa masih lagi ketawa. "Malu pulak? Gambar tu cute, apa?"

Akhirnya Adam turut ketawa. "Memanglah comel. Masa tu umur saya 18 tahun. An innocent child, you know!" balasnya.

Ketawa Hawa masih bersisa mengenangi Adam yang sentiasa perasan itu. Haih...

Mereka sampai ke destinasi. 

"Buat apa di sini?" soal Hawa bila Adam parkir keretanya di hadapan sebuah 'pet shop'.

"Ikut ajelah!" Adam sudah turun daripada kereta. Berlalu meninggalkan Hawa terkial-kial sendirian untuk membuka tali pinggang keselamatan dan mengekorinya. 

Ketika memasuki ruang kedai yang luas, hati berasa seronok melihat pelbagai jenis haiwan peliharaan yang terdapat di dalam kedai tersebut. Kedai yang dimiliki seorang wanita cantik yang sedang sibuk menerangkan cara-cara penjagaan seekor kucing kepada Adam. Serta merta rasa terharu memenuhi ruang hati Hawa kerana keprihatinan lelaki yang baru dikenalinya ini. Terutama bila tangan lelaki itu kini sedang membelai seekor anak kucing yang tersangatlah comel. 

Hawa mendekat. Tangannya turut membelai tubuh si kucing comel itu. 

"Suka?" tanya Adam memandang seraut wajah yang kelihatan amat riang kini. Suka dia melihatnya. Hati memuji kecantikan anugerah ALLAH yang sedang dinikmati oleh sepasang mata. Degup jantung rasa berombak laju. Isyarat apakah ini?

Angguk sajalah! Tangan terus sahaja membelai bulu yang gebu dan lembut berwarna kuning keemasan itu. Sambil itu mata memerhati gelagat Adam yang kini sibuk bertanya macam-macam kepada Ayu, pemilik kedai yang ramah berceloteh tentang cara dan kaedah penjagaan kucing. Bila bayaran selesai Adam buat, terus anak kucing itu didukung oleh Hawa untuk masuk ke dalam kereta. Adam membawa sangkar dan makanan kucing dan meletakkannya di bonet. 

"Saya nak awak namakan dia, Retak." 

Mata Hawa membuntang. "Retak? Awak ni wrong betullah! Tahu tak apa maksud retak? Mengikut kamus dewan, retak tu maksudnya rekah, yakni jadi halus dan akhirnya berkecai. Kenapa pula nak namakan si comel ni macam tu? Nanti..."

Adam ketawa. "Tahu! Tapi saya suka lagu Ella, Retak. Sebab tu awak kena juga bubuh nama kucing ni, Retak. Kalau tidak,"

Hawa kerutkan dahi. 

"Saya pinang awak!"

Gadis itu mendengus, langsung memasamkan wajah. "Tak habis-habis dengan ugutan macam tu. Ingat orang takut sangat?"

Adam ketawa. "Okey, kalau tak takut, hujung minggu ni saya hantar mak bapak saya pi pinang awak. Ada bran nak terima?"

"Mamat poyo tua tapi berlagak macam remaja, hisy, tak minatlah saya nak buat suami! Kan Retak, kan?" balas Hawa selamba. 

Semalaman di cermin kenangan
Jari berdarah diretak setia
Menanggung luka di sebalik senyuman
Hanya kerana aku seorang wanita

"Awak tu lelaki, encik Adam Zulkarnain!" 

"Okey, hanya kerana aku seorang jejaka..."

Hawa ketawa. "Awak ni sangat lucu. Sangat jiwang dan...." 

"Dan?" Adam ingin tahu. Benar-benar ingin tahu...

"Dan kita baru sangat kenal. Saya takut."

Adam tersenyum. Bila Hawa berterus terang begini, hati yang sedia suka, semakin tertarik. "Takut apa?" tanya dia.

"Takut jatuh cinta pada awak."

"Apa salahnya? Kan saya dah cakap yang saya ni single and available? Kalau awak jatuh cinta pada saya, saya cubalah membalasnya. Senang aje!" 

Lama Hawa terdiam. Dia ingin sahaja memberitahu bahawa dia tidak boleh jatuh cinta pada lelaki ini tetapi tidak tahu bagaimana hendak memulakannya. Berat untuk menolak kehadiran yang membahagiakan. Berat untuk menafikan bisikan hati yang bahagia bila mereka bersama. Meskipun dalam pertemuan yang singkat, meskipun baru dua kali, namun hatinya sudah terusik. Tapi, bagaimana dengan....
.................

"Mak, bila abang Amar nak balik dari US? Kan dia dah tamat belajar?"

Puan Azra merenung wajah anak kesayangannya dalam-dalam. Senyum dia mendengar soalan itu. Baginya, itu tanda bahawa Hawa sedang merindui tunangnya itu. Ya, Hawa sudah bertunang. Nama tunangnya, Amar. Lelaki itu baru sudah menamatkan pelajarannya di Amerika. Bakal peguam!

"Tu, mesti tak sabar nak kahwin dengan Amar, kan?"

Hawa mengerut dahi. Tak kan tanya begitu sudah bermaksud yang dia dah kemaruk nak kahwin kut? Hati mendidih marah. 

"Khabarnya dia dah balik tapi hari tu mak cik Amy cakap, Amar sibuk sikit. Nanti, bila urusan dia selesai, dia orang datang ke mari. Bolehlah kita bincang soal perkahwinan kamu berdua. Lagipun dah lama sangat kamu bertunang. Rasanya dah tiba masa untuk korang kahwin, kan?" 

Hawa tidak teruja langsung. Malah saat ini, hatinya membentak. Amar dah balik? Tapi, kenapa langsung tidak menghubunginya? Lelaki itu memang! Semuanya, harus dia yang memulakan. Sombong betullah! 

"Anak kucing kamu tu dah serasi dengan rumah barunya?" tanya puan Azra, mengganggu lamunan. 

"Okey dah!"

"Comel.."

"Bukan Comel. Nama dia Retak."

Dahi puan Azra berkerut sebelum tawanya meletus. "Nama apa macam tu? Retak? Hisy, tak pernah dibuat orang bubuh nama kucing macam tu!" omelnya.

Hawa senyum. Sekilas, teringat pada Adam. Terbayang senyuman manis lelaki itu. Argh... tak boleh! Tak boleh! Aku sudah berpunya! 

Tapi, mahukah hati mendengar kata?
...........

3

Petang itu, habis kerja saja, Hawa terus menelefon Adam. 

"Rindu saya, ek?" 

Usikan Adam membuat jiwa Hawa semakin parah. Rasa sebak pun tiba. Tapi, rasa terharu lebih banyak sekarang. Alahai, kenapa lewat sangat kita jumpa? tanya hatinya.

"Rindu sikit aje. Tapi, nak minta tolong awak hantar saya balik sebab hari ini saya tak bawak kereta. Kereta saya tak mahu 'start' pagi tadi. Ops, maaf. Tak tanya pun sama ada awak sudi nak hantar saya balik atau tidak." 

Adam ketawa mendengar suara Hawa yang kedengaran cemas bila lama dia mendiamkan diri. Alah, saja hendak menduga. Takkan tak mahu hantar dan ambil peluang untuk berdua-duaan dengan Hawanya, kan?

"Ada syarat!"

Oooo...

"Awak teman saya pergi ke Axis. Saya nak beli barang sikit. Lepas tu kita pergi makan. Lepas makan, baru saya hantar awak balik. Boleh?"

Hawa tersenyum. Memang dah agak dah. Adam mesti ada syarat punya. Hisy, lelaki sorang ni. Pandai curi peluang, eh? Tapi, dia tak mampu mengelak. Rasa seronok dan bahagia bila mendapat perhatian Adam Zulkarnain. Bukan macam mamat sorang lagi tu. Bertunang dah dekat empat tahun, usahkan nak ajak keluar, nak datang ke rumah pun payah. Nak telefon? Sorilah! SMS? Tanya khabar? 

Kenapa mereka bertunang, ya? Kata Amar, dia jatuh cinta pada Hawa sejak Hawa diperkenalkan oleh seorang kenalan lelaki itu, dalam satu majlis. Waktu itu, Amar sedang bercuti. Melalui kak June, Amar titip pesan yang dia mahu mereka bertunang sebelum lelaki itu balik ke Amerika semula. 

"Aduh, kenapalah aku bersetuju menerima lamaran dia masa tu? Kenapa aku tak menolak? Tengoklah! Sampai sekarang, hubungan tak macam orang lain. Eeii..."

Nak kata bertunang tanpa cinta, tak juga! Sebab, sebaik bertunang, dia cuba menzahirkan rasa cinta, dalam hatinya, untuk Amar Rafiqi Idlan. Dia dah jadi macam hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong, memulakan kisah mereka. Dia yang memulakan detik pertemuan bila Amar pulang ke Malaysia. Dia yang mengesyorkan tentang gubahan hantaran, fesyen baju dan persalinan perkahwinan malah kad jemputan pun, dia yang pilih. Amar?

"Abang setuju dengan apa saja yang Hawa pilih, yang Hawa hendak. Jangan risau, abang tak cerewet!"

Arghhh.... empat tahun rasa macam bertunang sorang-sorangggg! Kenapalah awak tu tak ada perasaan wahai abang Amar? Awaklah! Awaklah salah sekarang, tahu tak? Awak tak layan saya! Awak tak tunjuk kasih sayang awak sebagai tunang saya! Sudahnya, hati saya ni.... Uwaaaa.....
.............

Ingat tadi, waktu dan perbuatan tidak akan meleret-leret begini. Tapi, tengoklah! Bila mereka berdua-duaan sahaja, macam tak ada orang lain lagi dah. Hanya Adam dan Hawa sahaja! Begitu ralit bersama. Hawa jadi lupa pada tujuan sebenar dia ingin menemui Adamnya. Lupa pada prioriti. Lupa hendak memberitahu. Begitu, dia leka mengulit angan tentang masa depan yang tidak pasti. Mengharap pada sesuatu yang mustahil. 

Seronok sungguh menemani Adam petang ini. 

"Penat?" tanya Adam dengan nada suara yang sungguh-sungguh mengambil berat. Terharu seyyy.....

"Tak ada langsung," balasnya dan Hawa tahu, suaranya yang terlontar penuh dengan kemanjaan kerana Adam ketawa riang bila mendengarnya. 


"Kenapa jawab, tidak? Kalau Hawa cakap Hawa penat, Adam Hawa ni sanggup dukung Hawa, kendung Hawa, macam hero cerita Korea, tahu!" 

Indahnya cinta. Terutama bila mata bertentangan. Sinar meresap ke dasar hati. Melunakkan perasaan. Rasa macam.... Janganlah berakhir! Biarkan detik waktu terhenti di sini...

"Hmm, sejak kali pertama, Hawa asyik buat jiwa saya resah bila terpandang senyuman tu. Hawa buat saya tak tidur malam, rindu pada jelingan yang menggoda. Hawa buat Adam Hawa ni rasa di awang-awangan. Hawa jadikan mamat ni jiwang karat menyanyikan lagu cinta penuh bahagia."

Ah, setitis demi setitis air mata bahagia mengalir menuruni pipi. Namun,

'Adam, 
Mengapakah kita harus berjumpa? 
Di kala aku telah berdua? 
Berdosakah diriku kepadanya? 
Pabila aku mencintaimu.... 
Namun kini apalah dayaku? 
Semua kini sudah terjadi, 
Walaupun ku sayang kepadamu, 
Tak mungkin oh, tak mungkin!!! 

Hawa gagahkan diri mengajak Adam duduk di meja. Niatnya, dia harus segera memberitahu. Dia harus meleraikan kekusutan dalam ruang hatinya ini. Dia harus merungkaikan ikatan di antara hatinya dengan hati Adam, sebelum keadaan menjadi lebih parah! Dia mesti! Mesti mohon sebuah perpisahan dan juga sebuah kemaafan daripada Adam. Dia tahu, sikapnya yang tidak setia kepada Amar, kini sedang memakan diri dan membakar dengan rasa bersalah kepada tunangnya itu. 

"A, A, Adam," panggilnya lembut. Membalas sayu renungan Adam yang memukau, pada dirinya.


"Ya, Hawaku?" Masih hendak mengusik tu! Adam! Adam!

"Adam, saya bukan Hawa awaklah!" nafinya lemah. 

"Hawa, janganlah nak nafikan apa yang awak rasa. Cinta ini, kadang-kadang tak ada logikanya. Memang betul tu! Tapi, serius saya cakap, bersih semua hasrat dalam hati ini untuk saya memiliki awak walau hanya sesaat! Percayalah!" 

"Adam! Janganlah! Kita.... awak.... saya...."

Sukarnya hendak bersuara. Sukarnya hendak meluahkan.Sukarnya!!!

"Hawa? Hawa buat apa kat sini?" 

Spontan, suara itu menyebabkan diri berpaling ke belakang. Mencari pemilik suara garau yang pernah menjadi pemilik hatinya. Insan yang pernah disayangi namun sedikit demi sedikit rasa sayang itu terhakis dengan kehadiran Adam. 

Tuhan, mengapa di sini mereka dipertemukan semula? Mengapa Amar harus hadir saat Hawa ingin mengecapi saat-saat indah dengan Adam sebelum mereka berpisah? Mengapa takdir ini yang terlakar hari ini?

"Siapa dia?" 

Bisikan Adam terlalu hampir di telinga. 

"Awak tanya dia tentang saya, kan? Maknanya, selama ni dia tak pernah beritahu yang dia tu tunang orang, eh? Well, hari ini, biar saya buka rahsia." Amar hulurkan tangannya. "Nama saya, Amar. Saya tunang Hawa selama empat tahun ni. Tak lama lagi, kami akan kahwin." 

Adam tatap wajah Hawa dengan sepasang matanya tajam dan penuh marah. Nafas disedut rakus bagaikan udara sudah kehabisan. Tangan Amar disambut namun pada Hawa dia membisikkan, "Hari ini, awak dah retakkan hati saya. Apa salahnya kalau awak berterus terang dari mula? Sekurang-kurangnya, kita masih boleh berkawan. Tapi sekarang, sori! Memori tentang awak is deleted!"

Adam berlalu pergi. Tinggal Amar di sisi Hawa. Lama suasana bisu sebelum Amar memandang wajah tunangnya tepat-tepat. 

"Esok, mak bapak abang akan pergi ke rumah Hawa dalam pukul 10 pagi. Kami akan pulangkan semula semua pemberian pihak Hawa dulu. Maaflah! Pertunangan kita harus putus! Hawa bukan seorang yang setia. Hawa tak layak kahwin dengan abang. Mujur abang tahu kecurangan Hawa sekarang! Kalaulah abang bongkar kecurangan Hawa lepas kita kahwin? Mahu abang bunuh dua-dua sekali!"

Dalam sekelip mata, Hawa hilang semua. Tunang ke mana, Adam ke mana. Hanya air mata penyesalan yang dibiarkan mengalir deras. Dia sudah tidak upaya untuk berdalih. Jika ini yang terbaik..... pasrah sahajalah....
.............


“Dah berkali-kali dipesan. Awak tu anak dara. Tunang orang pulak tu. Mesti pandai bawak diri. Jaga nama baik keluarga. Jaga adab. Jaga adat. Tak pernah nak dengar. Sekarang, siapa yang malu? Kita jugak! Bertunang lama-lama akhirnya putus. Apa orang keliling kata? Tak malu ke?” 

Panjang leteran puan Azra. Kalau nak diikutkan, memang sakit telinga. Tapi, Hawa hanya diam. Meski di dalam hati, dia memberontak sakan, namun untuk mempertahankan diri dan mengaku tidak bersalah, tidak akan dilakukannya. Kerana sesungguhnya, dia sedar bahawa, jika dia baik, semua ini tidak akan berlaku. Memang silap dirinya. Kemaruk sangat dengan Adam.... 

“Mak cik Amy kamu menangis sampai bengkak-bengkak mata. Puas dia pujuk Amar supaya memaafkan kamu tapi hati Amar dah luka sangat. Macam mana dia nak terima kamu balik, Hawa? Kamu curang dengan dia! Itulah! Gatal sangat nak pasang tayar spare? Kan?” marah puan Azra terus-terusan. Hatinya sakit tiap kali memandang wajah Hawa sejak pihak Amar datang, memutuskan ikatan pertunangan, seminggu yang lepas. Tidak disangka-sangka, anak sendiri yang membuat perangai tidak senonoh. Berasmaradana dengan lelaki lain! Gatal sungguh! 

“Sudah-sudahlah tu, emaknya. Dah tak ada jodoh antara Hawa dengan Amar. Cukup-cukuplah awak marahkan anak kita tu. Dia pun dah berkali-kali mintak maaf, kan?” encik Razali cuba membela anak kesayangannya. Anak sulungnya! 

“Abang la! Manjakan sangat si Hawa ni! Abang tahu tak, bang? Kesalahan dia ni besar sangat, bang. Berkali-kali dia mintak maaf pun, dia tak akan dapat tebus balik dosa dia tu! Dia tak akan dapat pujuk hati saya ni.” 

Encik Razali mendengus. Tingkah dan gelagat isteri menaikkan api kemarahannya. 

“Awak tak percaya pada takdir ke, Azra? Tak redha dengan ketentuan Tuhan? Dah bukan jodoh Amar dengan Hawa, nak buat macam mana? Sepatutnya, sebagai emak bapak, kita sokong anak kita. Sebab, kita lebih kenal Hawa daripada Amar. Ini tidak! Awak sokonglah sangat Amar tu. Anak sendiri, awak kutuk-kutuk!” 

“Bukan macam tu, bang!” sanggah puan Azra. 

“Habis?” 

“Saya malu tahu tak? Malu bila Amy cakap, Amar bertembung dengan Hawa yang sedang bermesra dengan jantan lain tu! Saya tak boleh terima dia buruk-burukkan anak kita!” tangis puan Azra. 

Encik Razali makin sakit hati. “Awak ni nak kata bodoh, tidak! Percayalah sangat cakap orang lain! Axis tu tempat awam, Azra. Orang ramai lalu lalang.” Wajah Hawa ditatap. “Apa kamu buat dengan budak tu, Hawa? Bermesra? Mesra yang macam mana? Kamu benarkan budak tu pegang tangan kamu? Cium kamu? Sentuh...” 

“Tak, ayah! Sumpah! Kami tak pernah buat macam tu.” 

Hawa menangis sedih. Sampai hati semua orang menuduh dirinya melakukan semua perkara yang tidak akan dilakukan dengan lelaki yang bukan suaminya. Apakah dirinya ini gedik sangat sampai tidak tahu halal haram? Amar pun satu! Apakah maksudnya menuduh Hawa mesra dengan Adam? 

Tidak, Hawa! Jangan marahkan Amar. Semua ini silap kamu! Betul kata emak. Hawa tidak pandai menjaga diri dan maruah. 

“Kami kenal masa lunch dekat KFC. Masa tu Hawa nangis sebab Comel mati. Dia gelakkan Hawa. Dia cakap, dia pelik tengok Hawa nangis hanya sebab kucing Hawa mati. Tapi, esoknya, dia bawak Hawa pergi beli Retak!” Hawa mula membongkar kisah di antara dirinya dengan Adam kepada kedua-dua ibu dan ayah. 

“Hah, tengoklah! Mesti ada apa-apa tu! Kalau tidak takkan dia belikan kamu anak kucing tu?” sela puan Azra. 

“Tak, mak. Dia cuma kesiankan Hawa aje.” 

“Habis, kalau kesian, kenapa nak jumpa lagi? Cukup-cukuplah jumpa dan belikan kucing tu!” 

“Jumpa kali ketiga tu, Hawa yang atur. Sebab Hawa nak bagitahu dia yang Hawa dah bertunang. Masa Hawa nak cakap tu lah, abang Amar nampak kami. Terus dia marah Hawa. Adam pulak, sebaik tahu yang Hawa ni tunang orang, terus dia marahkan Hawa. Terus dia tinggalkan kami. Lepas tu abang Amar cakap nak putus tunang. Langsung tak nak dengar penjelasan Hawa.” 

“Nama budak tu, Adam?” tanya encik Razali. 

Hawa mengangguk. 

“Dah, tak usah diungkit perkara yang dah berlaku. Dah tak ada jodoh kamu dengan Amar. Tak apa! Mungkin nanti, Adam akan cari Hawa dia semula. Jangan susah hati, Hawa. Jangan sedih sangat. Biarkan Amar. Nanti-nanti, dia akan jumpa pengganti kamu. InsyaAllah, kamu pun nanti akan jumpa Adam kamu. Kalau bukan Adam yang itu, Adam yang lain.” 

“Terima kasih, ayah. Bagi Hawa, ayahlah lelaki terbaik dalam hidup Hawa ni.” 

Encik Razali memicit hidung kecil anak kesayangannya. “Yalah tu! Nanti bila dah kahwin, cakap yang sama pada suami, kan?” usiknya. 

Puan Azra menggelengkan kepala. Cemburu pada ketenangan suaminya menangani masalah besar ini. Kalaulah dia mampu jadi setenang suaminya? Kan bagus? 

“Hawa ingat, Hawa nak ambil cuti, ayah. Hawa nak pergi rumah tok kat Penanti. Dah lama tak jenguk tok dengan wan. Boleh tak, ayah?” 

“Eloklah tu. Tapi, jangan cuti lama-lama sangat. Seminggu cukuplah, ya!” 

Hawa ketawa. “Entah encik Azman bagi ke tidak Hawa cuti, yah. Seminggu tu lama sangat!” 

“Alah, kamu bukannya pernah ambil cuti pun. Takkan dia nak berkira pulak?” celah puan Azra. 

Bahagianya bila mendengar suara ibunya yang sedikit ceria. Hawa tahu bahawa saat ini, kedua-dua orang tuanya hanya memikirkan tentang dia. Tentang hatinya. Tentang kesejahteraannya. Marah bagaimanapun mereka terhadap dirinya, dia masih dikasihani. Masih disayangi. Terus Hawa mendakap erat tubuh ibunya. 

“Maafkan Hawa, mak. Hawa,” 

Puan Azra membalas pelukan si anak erat-erat. “Dah, pergi kemaskan beg. Nanti kita balik sama-sama ke Penanti tu. Mak pun nak jenguk tok dengan wan juga.” 

“Eh, eh.. kalau korang berdua balik kampung sama-sama, abang macam mana?” tanya encik Razali. 

Anak dan ibu saling bertatapan sebelum tawa meletus. 

“Makan kedailah jawabnya, ayah!” 

Encik Razali geleng kepala. “No way! Ayah pun nak ikut balik Penang. Boleh makan mi udang di Sg Dua.” 

“Yeahh, best nyer! Okey!” Berlari Hawa naik ke tingkat atas. Sudah tidak sabar-sabar hendak mengemas beg nampaknya. 

Puan Azra tersenyum nipis. “Tak nampak frust langsung. Selalu kalau orang putus tunang, menangis sampai bengkak-bengkak mata. Dia relaks aje. Risau pulak saya, bang!” bisiknya. 

“Biarlah! Hawa tu belum berjodoh lagi.” 

Dari tingkat atas..., 

“Mak, nanti kita bawak Retak sama, ya?” 

“Okey!” 

Wajah suami ditatap. 

“Sayang sangat pada anak kucing tu. Abang tahu tak, nama Retak tu, budak Adam tulah yang berikan. Macam tak betul aje, kan? Hisy, risau saya! Ni, Hawa tu sayangkan kucing ke, sayangkan si pembeli kucing tu? Mana satu, bang?” soal puan Azra bersungguh-sungguh. 

“Biarlah! Kalau dah Adam itu jodoh Hawa, elok juga. Sekurang-kurangnya, dari cerita Hawa tadi, kita dah tahu yang Adam ni seorang yang prihatin dan ambil berat tentang Hawa. Amar dulu, macam itu jugak ke?” 
.......................



Sebaik enjin kereta Mercedes dimatikan, Hawa segera turun. Hati melonjak riang. Sekejap lagi, wajah-wajah kesayangan itu pasti teruja melihatnya. Wan pasti terpisat-pisat, antara percaya dengan tidak. Tok mesti senyum meleret. Ni, cucu kesayangan dah mai! 

Kepulangan sekali ini sengaja tidak diberitahu, konon ingin membuat kejutan kepada Tok dan Wannya. 

Pasangan suami isteri yang masih berdiri di tepi pintu kereta itu hanya tersenyum memerhati gelagat Hawa yang terjengket-jengket, memasuki rumah teres bernombor sepuluh, yang terletak di atas bukit itu. 

“Mak dengan ayah tu, bukan tahu nak kunci pintu.” gumam puan Azra bila mudah sahaja Hawa memboloskan diri masuk ke dalam. 

“Alah, sayang. Di sini, insya-Allah, tak sama macam KL. Aman, damai dan selamat. Lagipun, jiran tetangga semuanya prihatin. Bukan macam kita dekat KL sana.” 

Puan Azra ketawa mendengar jawapan suaminya. Serta merta jari telunjuk dimain-mainkan sambil berkata, “A’ah! Jangan nak bodek sayang balik duduk sini, ya! Tak sanggup nak berpisah dengan anak kita!” 

Encik Razali ketawa. Tahu sangat dengan sikap isteri yang tidak mahu balik kampung bila dia pencen bekerja dengan kerajaan nanti. 

“Mak!!!” 

Suami dan isteri saling berpandangan sebelum sama-sama berlari memasuki rumah sebaik sahaja mendengar suara jeritan Hawa. 

Di dapur, Hawa sedang berdiri sambil menekup muka. 

“Jangan pusing selagi saya tak suruh. Pejam mata! Kalau awak tengok, kalau awak berpaling, nanti mata awak tumbuh ketuat!” Suara garau seorang lelaki, kedengaran. 

“Awak buat apa kat rumah wan saya ni? Mana dia orang? Apa yang awak dah buat pada tok dengan wan saya?” tanya Hawa di celah jari. 

“Tok dengan Wan pergi kenduri naik buaian cucu mak cik Zaharah, kat belakang rumah ni. Kejap lagi diorang balik.” 

“Macam mana awak kenal tok, wan, mak cik Zaharah semua? Awak ni siapa sebenarnya?” 

“Tok dengan Wan ni keluarga angkat saya masa USM buat projek amal bakti ke Penanti, lima tahun dulu. Waktu tu saya di tahun akhir. Selama 3 minggu saya duduk di rumah ni dengan dia orang. Dan, sejak tu, tiap-tiap tahun, saya akan datang sini, dua tiga hari. Saja nak refresh balik memory lama-lama tu.” 

Encik Razali mengerutkan dahi. Saja hendak enterframe. “Hawa, kamu cakap dengan siapa tu?” soalnya. 

Hawa buka mata dan terus berdiri tegak. Hati yang sedia berdebar, terus jadi satu getaran yang cukup hebat saat ini. Mana dengan terkejut tadi tak habis, sekarang, nak jawab soalan ayahnya pula. 

“Err...” 

“Nak jawab soalan mudah macam tu pun terkial-kial!” Lelaki itu mengutuknya. 

Hawa terpana melihat si dia yang kini selamba badak sahaja berjalan ke arah ayah dan ibunya. Nasib baik, dia sudah lengkap berpakaian. Kalau masih bertuala macam tadi? Mahu tercabut jantung! 

“Assalamualaikum pak cik, mak cik. Nama saya, Adam. Adam bin Zulkarnain. Saya,” 

“Cucu angkat emak ni, Azra, Zali!” 

Masing-masing berpaling ke arah muka pintu, di mana sedang berdiri Hajah Rabiah, nenek si Hawa. Wajah wanita tua berumur hampir 75 tahun itu kelihatan ceria. Terutama bila lehernya dipeluk rapat oleh cucu kesayangannya kini. 

“Adam ni, arkitek kat KL nun. Tapi, walau dia kerja besar, cucu angkat emak ni tak sombong langsung, korang tau tak? Bukan macam bakal menantu hang tu, Azra. Harap gaya aja lebih!” 

Hawa jongket kening. Sempat lagi neneknya mengutuk Amar? Tahulah yang nenek tak berkenankan lelaki itu dari dulu lagi tapi tak perlulah hendak menunjukkan kebencian terutama di hadapan si Adam yang asyik memerhati mereka sejak dari tadi lagi. 

“Hawa, ambil ni!” Hawa menyambut huluran plastik dari tangan Wan yang baru tiba. “Pi dapur, buat air untuk kita semua. Wan rindu sangat air kopi yang Hawa bancuh.” 

Adam memerhati langkah Hawa. Tidak berkedip sepasang mata maklum dah lebih 10 hari tak nampak kelibat gadis itu langsung. Hatinya tak dapat dibohongi. Bahawa, hari ini, dia sangat bersyukur bila Allah makbulkan doanya. Allah makbulkan permintaannya untuk melihat Hawa lagi. 

Pelik! Hati, bila suka, memang tidak dapat dikawal. Tak kiralah siapa gadis itu, milik siapakah? Rasa bahagia ini tak mampu disembunyikan. Pintunya sudah Hawa ketuk dan isinya sudah dicuri Hawa. Meninggalkan satu rasa yang belum pernah dialami sebelum ini. Tapi, sayang seribu kali sayang kerana buah hati kekasih aka tunang orang! Boleh dirindu namun tidak mampu dimiliki! Arghh.... 

“Adam!” 

Adam segera tersedar. Gelabahnya bila empat pasang mata sedang merenungi dirinya tajam. 

“Kenapa Adam tengok Hawa macam orang rindu saja?” 

Ouch! Soalan Wan, sangat tepat kena batang hidung Adam. Jenuh menelan liur ni! Gulp! 

“Err...” 

“Kamu dengan Hawa dah kenal ke sebelum ni?” 

Angguk sajalah! 

“Kamu yang hadiahkan Retak pada Hawa?” 

Angguk lagi. Tapi dah tak berani nak pandang muka orang. Tunduk menekur merenung lantai sahajalah! Tanda hormat, kan? 

“Ooo,” 

Puan Azra dan encik Razali saling berpandangan. Kemudian saling berbalas senyum. Dalam hati, masing-masing dok kutuk Hawa.... 

“Patutlah tak sedih langsung putus tunang dengan Amar. Ini rupanya si Adam tu. Hmm, boleh tahan orangnya. Taklah hensem macam Amar tapi orangnya tinggi. Badannya sedap. Sasa! Kulitnya tak cerah sangat tapi secara keseluruhannya, penampilan Adam memang amat memuaskan hati pasangan suami isteri itu. 

“Korang balik ni nak jemput kenduri, ya?” tanya si nenek. Waktu itu Hawa datang bersama dulang berisi kuih. Adam bangun, terus capai piring dan menghidangkannya di atas meja, tanpa suara. 

Bila Hawa letak mug berisi nescafe di hadapan Adam, Adam tanya, “Kenapa tak bancuh kopi untuk saya?” 

Hawa mengerutkan dahi. “Tapi, selama kita jumpa, saya tengok awak asyik pesan nescafe aje. Ingatkan awak tak minum kopi?” 

“Amboi-amboi! Ni, Hawa, Adam! Cakap betul-betul pada tok. Korang ni ada apa-apakah?” 

Laju saja kepala Adam dan Hawa itu menggeleng. 

“Hawa kan dah bertunang, tok?” 

Alahai, tak bermaya langsung suara Adam. Senyum pun macam hendak tak hendak saja. 

“Rebutlah! Kan baru bertunang tu? Bukannya Hawa dengan Amar tu dah kahwin! Kalau dah jadi bini orang, memanglah Adam tak boleh kacau dia. Berdosa!” Wan pula memprovok Adam. 

Lama Adam menghening diri. Yang lain-lain turut diam, menanti apa yang bakal diberitahu lelaki muda itu. 

“Waktu kali pertama jumpa, cucu tok dengan wan ni dok menangis sebab kucing dia yang nama Comel tu mati. Saya gelakkan dia sebab rasa perangai dia macam budak kecil saja. Tapi kesian punya fasal, esoknya saya belikan Retak.” 

“Retak?” tanya tok.

“Nama anak kucing tu!” Adam memberitahu. 

“Peliknya nama?” gumam tok. 

Adam sengih tapi tak lama. Ada benda yang harus dicakapkan lagi. Biar jelas. “Saya sedih bila tahu Hawa tunang orang. Saya dah cuba lupakan dia.” 

“Berjaya?” tanya encik Razali pula. Provok lagi tu! 

Adam tarik nafas perlahan sambil menggeleng lemah. “Tapi, saya akan cuba. Pak cik jangan risau. Saya tak akan kacau,” 

“Kalau pak cik cakap yang kamu boleh kacau Hawa?” 

Erk??? 

Mata Hawa buntang. Apa kes? Mudahnya ayah? Kalau tengokkan sekarang, macam ayah pulak yang sedang meminang Adam. Biar betul! 

Adam mula menyimpul senyum bahagia. Dia sudah dapat menangkap maksud dan niat. Mata pandang wajah Hawa sekarang. Jari main peranan. Mula-mula tunjuk Hawa, kemudian tunjuk diri sendiri, terus dua jari telunjuknya dirapatkan. Hanya menanti jawapan Hawa sekarang. Bila Hawa angguk sambil malu-malu, terus nafas lega terlontar. 

"Saya terima pak cik. Saya sudi ganti tempat Amar. Sebab, meskipun kami baru kenal, Hawa dah jumpa Adamnya. Sayalah tu! Dan, sejak kali pertama lagi, saya yakin, desis hati saya tak pernah silap. Hawa inilah yang saya tunggu-tunggu seumur hidup saya ini.” 

Masing-masing melafaz rasa syukur ke hadrat Ilahi. Jodoh dan pertemuan, cinta dan air mata.... milik DIA. Berkasih sayang, demi DIA. 

“Alamak! Retak!” 

Berlari Hawa keluar menuju ke kereta. Macam mana boleh lupa? Tentu Retak sedang menggelupur kepanasan... tapi, sebaik bonet kereta terbuka, Retak relaks saja. Tidur nyenyak dalam sangkar yang penuh makanan. 

“Sayang betul orang tu pada Retak dia!” usik Adam di sisi. 

Hawa senyum pandang wajah jejaka pencuri hatinya, lembut dan lunak. “Tu baru kucing. Kalau bapak kucing?” 

Adam gelak besar. Bapak kucing? Ada ke? 

“Hawa, sebab saya ke awak dengan Amar putus?” 

Hawa geleng. “Saya tak tahu. Lepas awak tinggalkan saya, dia terus cakap nak putus tunang tanpa sikitpun riak kesal pada wajah dia.” jawabnya. 

“Awak? Awak sedih tak putus tunang?” 

“Saya nangis sebab saya kehilangan awak. Sebab awak cakap awak nak delete semua memori tentang saya.” Hawa memberitahu dalam rajuknya kini. Tidak disembunyikan rasa kecil hati dari wajah. 

Adam ketawa lagi. Kali ini lebih kuat dari tadi. 

“Memori tak boleh hilang sebab ada back up file. Hard disk pun dah penuh dengan Hawa, Hawa, Hawa. Susah nak buang. Apa kata orang tu? Makin dilupa, makin teringat? Makin dibenci, makin sayang? Saya, hati saya ni, macam itulah... Hawa dah bersemadi di sini." Adam meletakkan tapak tangan di dada kiri, di atas degupan jantungnya. 

“Dah tak nyanyi lagu Ella lagi?” 

“Mana? Hari-hari saya nyanyi! Kecewa, kan? Tapi ada sesuatu yang awak perlu tahu!” 

Hawa menanti... 

“Ada satu peribahasa yang berbunyi, Retak Pertujuh. Awak tahu apa maksudnya?” 

Hawa gelngkan kepalanya sebab, dia bukan bekerja dengan Dewan Bahasa, kan? Orang DBP pun bukannya hari-hari buka kamus, iya tak? 

“Retak Pertujuh tu maksudnya Hati yang sangat merindu.” Wajah terlalu hampir kini. Hembusan nafas menyapa muka. Lembut dan hangat. Sehangat cinta Adam yang membara kepada Hawanya. 

“Jangan jauh dari saya walau sekejap. Sebab hati ini sangat rindu! Akan sering merindui awak! Jadilah isteri Adam, wahai Hawaku! Bersaksi Retak, saya melamar awak sekarang. Sudi kahwin dengan Adam, Hawa?” 

Belum sempat Hawa jawab, Retak mengiau riuh, menyebabkan mereka berdua ketawa melihat keletah anak kucing yang mengikat hati mereka kini. tidak perlu menjawab soalan itu kerana pastinya, jika berjodoh, hari itu akan tiba juga nanti! 

...............

Inilah Retak, si comel yang Adam belikan untuk Hawa. Suka tak? 

Comel tak? Hmm...

terima kasih kerana sudi membaca kisah Retak...

11 ulasan:

  1. Hihi, besnyaaa. Comel comel comel.

    BalasPadam
  2. comel la retak..betina ke jantan??..

    BalasPadam
  3. saya igtkan akan ada retak 6, kot2 nak citer pasal kecurangan tunang si hawa tu...

    pape pon Adam is so sweet....

    BalasPadam
  4. kalau saya,buh nama dia, Momot..heh

    BalasPadam
  5. mmg comel je dorang neh. haha

    BalasPadam
  6. knp tiba2 jer si tunang hawa putuskan tunang??

    BalasPadam
  7. Hehehe...yg ni klu sambung pun bestttt tau sis...hehe

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.