apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

4.2.12

Retak 3

Assalamualaikum... 
3

Petang itu, habis kerja saja, Hawa terus menelefon Adam. 

"Rindu saya, ek?" 

Usikan Adam membuat jiwa Hawa semakin parah. Rasa sebak pun tiba. Tapi, rasa terharu lebih banyak sekarang. Alahai, kenapa lewat sangat kita jumpa? tanya hatinya.

"Rindu sikit aje. Tapi, nak minta tolong awak hantar saya balik sebab hari ini saya tak bawak kereta. Kereta saya tak mahu 'start' pagi tadi. Ops, maaf. Tak tanya pun sama ada awak sudi nak hantar saya balik atau tidak." 

Adam ketawa mendengar suara Hawa yang kedengaran cemas bila lama dia mendiamkan diri. Alah, saja hendak menduga. Takkan tak mahu hantar dan ambil peluang untuk berdua-duaan dengan Hawanya, kan?

"Ada syarat!"

Oooo...

"Awak teman saya pergi ke Axis. Saya nak beli barang sikit. Lepas tu kita pergi makan. Lepas makan, baru saya hantar awak balik. Boleh?"

Hawa tersenyum. Memang dah agak dah. Adam mesti ada syarat punya. Hisy, lelaki sorang ni. Pandai curi peluang, eh? Tapi, dia tak mampu mengelak. Rasa seronok dan bahagia bila mendapat perhatian Adam Zulkarnain. Bukan macam mamat sorang lagi tu. Bertunang dah dekat empat tahun, usahkan nak ajak keluar, nak datang ke rumah pun payah. Nak telefon? Sorilah! SMS? Tanya kabar? 

Kenapa mereka bertunang, ya? Kata Amar, dia jatuh cinta pada Hawa sejak Hawa diperkenalkan oleh seorang kenalan lelaki itu, dalam satu majlis. Waktu itu, Amar sedang bercuti. Melalui kak June, Amar titip pesan yang dia mahu mereka bertunang sebelum lelaki itu balik ke Amerika semula. 

"Aduh, kenapalah aku bersetuju menerima lamaran dia masa tu? Kenapa aku tak menolak? Tengoklah! Sampai sekarang, hubungan tak macam orang lain. Eeii..."

Nak kata bertunang tanpa cinta, tak juga! Sebab, sebaik bertunang, dia cuba menzahirkan rasa cinta, dalam hatinya, untuk Amar Rafiqi Idlan. Dia dah jadi macam hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong, memulakan kisah mereka. Dia yang memulakan detik pertemuan bila Amar pulang ke Malaysia. Dia yang mengesyorkan tentang gubahan hantaran, fesyen baju dan persalinan perkahwinan malah kad jemputan pun, dia yang pilih. Amar?


"Abang setuju dengan apa saja yang Hawa pilih, yang Hawa hendak. Jangan risau, abang tak cerewet!"


Arghhh.... empat tahun rasa macam bertunang sorang-sorangggg! Kenapalah awak tu tak ada perasaan wahai abang Amar? Awaklah! Awaklah salah sekarang, tahu tak? Awak tak layan saya! Awak tak tunjuk kasih sayang awak sebagai tunang saya! Sudahnya, hati saya ni.... Uwaaaa.....






Ingat tadi, waktu dan perbuatan tidak akan meleret-leret begini. Tapi, tengoklah! Bila mereka berdua-duaan sahaja, macam tak ada orang lain lagi dah. Hanya Adam dan Hawa sahaja! Begitu ralit bersama. Hawa jadi lupa pada tujuan sebenar dia ingin menemui Adamnya. Lupa pada prioriti. Lupa hendak memberitahu. Begitu, dia leka mengulit angan tentang masa depan yang tidak pasti. Mengharap pada sesuatu yang mustahil. 


Seronok sungguh menemani Adam petang ini. 


"Penat?" tanya Adam dengan nada suara yang sungguh-sungguh mengambil berat. Terharu seyyy.....


"Tak ada langsung," balasnya dan Hawa tahu, suaranya yang terlontar penuh dengan kemanjaan kerana Adam ketawa riang bila mendengarnya. 


"Kenapa jawab, tidak? Kalau Hawa cakap Hawa penat, Adam Hawa ni sanggup dukung Hawa, kendung Hawa, macam hero cerita Korea, tahu!" 


Indahnya cinta. Terutama bila mata bertentangan. Sinar meresap ke dasar hati. Melunakkan perasaan. Rasa macam.... Janganlah berakhir! Biarkan detik waktu terhenti di sini...


"Hmm, sejak kali pertama, Hawa asyik buat jiwa saya resah bila terpandang senyuman tu. Hawa buat saya tak tidur malam, rindu pada jelingan yang menggoda. Hawa buat Adam Hawa ni rasa di awang-awangan. Hawa jadikan mamat ni jiwang karat menyanyikan lagu cinta penuh bahagia."


Ah, setitis demi setitis air mata bahagia mengalir menuruni pipi. Namun,


'Adam, 
Mengapakah kita harus berjumpa? 
Di kala aku telah berdua? 
Berdosakah diriku kepadanya? 
Pabila aku mencintaimu.... 
Namun kini apalah dayaku? 
Semua kini sudah terjadi, 
Walaupun ku sayang kepadamu, 
Tak mungkin oh, tak mungkin!!!   


Hawa gagahkan diri mengajak Adam duduk di meja. Niatnya, dia harus segera memberitahu. Dia harus meleraikan kekusutan dalam ruang hatinya ini. Dia harus merungkaikan ikatan di antara hatinya dengan hati Adam, sebelum keadaan menjadi lebih parah! Dia mesti! Mesti mohon sebuah perpisahan dan juga sebuah kemaafan daripada Adam. Dia tahu, sikapnya yang tidak setia kepada Amar, kini sedang memakan diri dan membakar dengan rasa bersalah kepada tunangnya itu. 


"A, A, Adam," panggilnya lembut. Membalas sayu renungan Adam yang memukau, pada dirinya.
 
"Ya, Hawaku?" Masih hendak mengusik tu! Adam! Adam!

"Adam, saya bukan Hawa awaklah!" nafinya lemah. 


"Hawa, janganlah nak nafikan apa yang awak rasa. Cinta ini, kadang-kadang tak ada logikanya. Memang betul tu! Tapi, serius saya cakap, bersih semua hasrat dalam hati ini untuk saya memiliki awak walau hanya sesaat! Percayalah!" 


"Adam! Janganlah! Kita.... awak.... saya...."


Sukarnya hendak bersuara. Sukarnya hendak meluahkan.Sukarnya!!!


"Hawa? Hawa buat apa kat sini?" 


Spontan, suara itu menyebabkan diri berpaling ke belakang. Mencari pemilik suara garau yang pernah menjadi pemilik hatinya. Insan yang pernah disayangi namun sedikit demi sedikit rasa sayang itu terhakis dengan kehadiran Adam. 


Tuhan, mengapa di sini mereka dipertemukan semula? Mengapa Amar harus hadir saat Hawa ingin mengecapi saat-saat indah dengan Adam sebelum mereka berpisah? Mengapa takdir ini yang terlakar hari ini?


"Siapa dia?" 


Bisikan Adam terlalu hampir di telinga. 


"Awak tanya dia tentang saya, kan? Maknanya, selama ni dia tak pernah beritahu yang dia tu tunang orang, eh? Well, hari ini, biar saya buka rahsia." Amar hulurkan tangannya. "Nama saya, Amar. Saya tunang Hawa selama empat tahun ni. Tak lama lagi, kami akan kahwin." 


Adam tatap wajah Hawa dengan sepasang matanya tajam dan penuh marah. Nafas disedut rakus bagaikan udara sudah kehabisan. Tangan Amar disambut namun pada Hawa dia membisikkan, "Hari ini, awak dah retakkan hati saya. Apa salahnya kalau awak berterus terang dari mula? Sekurang-kurangnya, kita masih boleh berkawan. Tapi sekarang, sori! Memori tentang awak is deleted!"


Adam berlalu pergi. Tinggal Amar di sisi Hawa. Lama suasana bisu sebelum Amar memandang wajah tunangnya tepat-tepat. 


"Esok, mak bapak abang akan pergi ke rumah Hawa dalam pukul 10 pagi. Kami akan pulangkan semula semua pemberian pihak Hawa dulu. Maaflah! Pertunangan kita harus putus! Hawa bukan seorang yang setia. Hawa tak layak kahwin dengan abang. Mujur abang tahu kecurangan Hawa sekarang! Kalaulah abang bongkar kecurangan Hawa lepas kita kahwin? Mahu abang bunuh dua-dua sekali!"


Dalam sekelip mata, Hawa hilang semua. Tunang ke mana, Adam ke mana. Hanya air mata penyesalan yang dibiarkan mengalir deras. Dia sudah tidak upaya untuk berdalih. Jika ini yang terbaik..... pasrah sahajalah....


Terima kasih atas kunjungan anda. Sila like fan page kak sofi dan jemputlah follow blog ni, ya. :)

4 ulasan:

  1. amar ni pandai2 je salahkan hawa...die yg menyepi sgt selama 4thn ni, so jgn lah salahkan hawa 100%...adam pun satu, dengarlah dulu pnjelasan dr hawa..siannye si hawa...

    BalasPadam
    Balasan
    1. org tengah marah bukan mau dengar penjelasan apa pun, kan?

      Padam
  2. alahai, kesiannya Hawa. :(

    Entah2 Amar sengaja cari alasan nak putuskan pertunangan dengan Hawa kot? Mana tau kot dia dah ada pilihan yg lain?

    BalasPadam
    Balasan
    1. pandai je tuduh amar eh hehe...

      Padam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.