apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

24.2.14

Masihkah cinta? 24

Suasana di sekeliling mereka tiba-tiba sahaja menjadi sepi dan beku. Diam tanpa ada suara yang kedengaran. Antara mereka juga kaku kerana masing-masing sudah kehilangan rasa. Keindahan yang dulu ada di antara mereka, entah ke mana hilangnya.

Qistina menyisip air perahan oren kegemarannya perlahan. Kalau boleh, dia tidak mahu memulakan bicara. Biar saja Safiy yang dulu meluahkan, kerana kehadirannya di sini adalah atas permintaan Safiy sendiri. Cuma, nekadnya, kalau Safiy membuka kisah lama, dia akan pergi dari situ secepat kilat. Dia sudah tidak mahu mengingati semuanya. 

"Abang nak ucap tahniah," ujar Safiy perlahan. 

"Untuk?"

"Untuk kebahagiaan Tina dengan Luqman yang bakal tiba."

Qistina macam tak percaya mendengar ucapan tahniah itu. Kerana itulah wajah Safiy ditatap tajam. Cuba mencari keikhlasan. Cuba memahami perasaan lelaki itu yang sebenar.

"Bukan mudah melepaskan Tina kepada Luqman. Bukan mudah, Tina, tapi abang mengaku kalah. Abang dah faham maksud sebuah kesilapan. Sekali kita lakukannya, penyesalan menjadi teman seumur hidup kita. Abang sedang merasainya," bisik Safiy penuh sendu.

Sebaknya rasa dalam jiwa. Menghadapi Safiy yang jauh berbeza daripada Safiy yang dulu. Sikap angkuh entah ke mana hilangnya dah. 

"Hari ini, abang nak minta ampun pada Tina. Banyak sangat dosa yang dah abang buat. Abang,"

Qistina gelengkan kepala. "Sudah-sudahlah tu. Jangan sedih sangat. Tina dah okey, kan? Peristiwa lepas tu semua jadi pengalaman berharga untuk kita. Lagipun, ujian Tuhan untuk kita, Tuhan beri yang termampu kita pikul.  Allah tak pernah membebankan hambaNya. Kalau kita rasa ujian itu satu yang amat berat, itu kerana kita belum mengenali Allah sepenuhnya. Tina tak mahu pandang ke belakang dah. Jadi, abang pun buatlah yang sama. Dunia tak kiamat kalau Tina tak di sisi abang. Betul tak?"

Safiy mengukir senyum. Buat pertama kali setelah sekian lama. "Tina jauh lebih matang sekarang," pujinya. 


"Biasalah! Kita kan makin tua?" 


"Luqman bertuah dapat Tina. Uwaisy bertuah dapat emak dan ayah yang benar-benar sayangkan dia,"


Wajah Qistina berubah bila mendengar nama Uwaisy meniti bibir Safiy. "Abang tahu tentang Uwaisy?" tanya dia.


"Luqman dah ceritakan semuanya termasuk tentang Uwaisy." Wajah luka jelas terlakar. Sepasang mata kelihatan ditakungi air jernih. 


"Abang, Tina.."


"Jangan minta maaf! Tina berhak lakukannya! Tina berhak menyembunyikan kehadiran Uwaisy sebab memang itu sumpah Tina yang abang tak pernah lupa. Abang tak marah pada Tina. Kalau abang di tempat Tina pun, abang akan buat yang sama. Mana mungkin menyatakan kebenaran bila waktu malam yang indah berakhir dengan perceraian yang tidak diketahui alasan dan sebab. Jangan sedih, Tina. Abang tidak sekali-kali akan dekati Uwaisy. Abang tahu, abang bukan suami yang baik dulu. Abang tak berhak jadi ayah dia."


Safiy bangun. Saat untuk dia pergi sudah tiba. Dia mengeluarkan sesuatu daripada kocek seluarnya. Kotak itu diberikan kepada Qistina. 


"Jam ni, Tina berikan pada abang masa first anniversary kita dulu. Abang sayang sangat dan kata orang, jika kita nak hadiahkan sesuatu kepada seseorang, kita berikan apa yang kita sayang. Kan?"


Qistina mengangguk. 


"Jadi, Tina berikannya kepada Uwaisy. Tanda sayang abang pada dia. Satu hari bila dia dewasa nanti, kalau kami terserempak, mungkin abang boleh cam anak abang tu.... Abang nak pergi dah. Selamat pengantin baru... Tina! Semoga berbahagia. Jaga diri baik-baik!"


Qistina terpaksa berpusing untuk melihat susuk tubuh Safiy yang semakin jauh darinya. Dia perhatikan lelaki itu yang berhenti dan berpelukan dengan Luqman. Lama dan akrab kelihatan kedua-duanya. Luqman yang seakan-akan menyedari Qistina sedang memerhati memandang tepat ke arahnya. Ulas bibir mengukir senyum. Puas mungkin setelah segala kekeruhan menjadi jernih. 


.................


"Sedih?"


Soalan yang membuat Qistina tersenyum. Macam ada bunyi cemburu dikesani. Hmm, tahu cemburu juga mamat ni! fikirnya.


"Saya cemburu."


Hmm, kan dah cakap?


"Pada Safiy? Kenapa?" Sengaja ingin mengetahui apa yang ada di lubuk hati paling dalam milik lelaki yang berpakaian santai di sebelahnya ini. 


"Sebab dia cinta pertama seorang Noor Qistina. Sebab dia pernah memiliki hati, jiwa dan raga awak. Sebab dia pernah menyebabkan awak hidup tak keruan satu masa dulu dan sebab dia ayah Uwaisy." Luqman mengaku tanpa selindung. 


Lama Qistina menatap wajah lembut di sisi. Baru menyedari betapa kacak lelaki ini. Dahi yang luas tanda banyak berfikir serta pandai, hidung yang mancung, mata yang lembut bila merenungi dirinya, bibir nipis yang kelihatan seksi...

Ouch!  Ke situ pula fikirannya melalut. Haisy!


"Awak pun tentu ada cinta pertama, kan?" Cepat-cepat dia bertanya, mengalihkan perhatian dari memikirkan tentang Luqman.


Luqman tatap wajah Qistina lama. 


"Kenapa tengok saya macam tu?" 


Senyuman tersungging di bibir lelaki itu. "Awaklah cinta pertama saya! Tengok awak... dan semua usaha untuk memiliki awak itu adalah anugerah cinta paling hebat dariNya. Saya bersyukur sangat! Kerana... awak satu anugerah untuk dihargai, dilindungi, dikasihi sepenuh hati... hingga akhir nanti. Saya cintakan awak, Noor Qistina Qayyum. Semoga cinta saya cukup untuk membahagiakan hidup kita sekeluarga nanti."


Ungkapan penuh ketegasan menusuk jauh ke dasar hati. Betapa bersyukur dirinya memiliki cinta lelaki ini. Lupakan kisah lama dulu! Manusia... tidak ada yang sempurna. Jika dirinya sebegini disayangi, selayaknyalah, Luqman menerima cintanya juga.


"Saya juga menyayangi awak, Luqman. Mencintai awak. Lupakan siapa yang pernah hadir di antara kita dulu. Yang penting, awak ada saya sekarang dan saya ada awak. Semoga Allah bersama kita. Meredai kita. Menyayangi kita."


Luqman rasa tenang kini. "Tak lama lagi, kan? Awak jadi hak milik kekal saya?"


Senyum...


"Hmm, senyum....membahagiakan! Dengan senyuman, terjalinlah... ikatan!" 

9 ulasan:

  1. Pengakhiran yang baik untuk qistina & luqman....

    BalasPadam
  2. heheheeeee...hepiiii sangat... safiy boleh mulakan idup baru ada byk lg pompuan baik2 kat luar sana...tak sabor tunggu majlis qis n luq...

    BalasPadam
  3. thanks Allah...safiy akhirnye boleh berfikiran rasional...

    BalasPadam
  4. cikgu sofi....suka sesangat, nanti jemput kita semua eh majlis kahwin mereka, he he he...

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.