Langkau ke kandungan utama

Masihkah Cinta 23



Safiy sudah dapat melihat kelibat lelaki itu. Sudah lama dia menunggu! Gembira betul dia bila nampak lelaki itu kini yang hanya berseorangan. Hmm... inilah masanya! 

Tidak menunggu lama, langkah tegap diatur mendekati Luqman. Sebaik dalam jarak yang sesuai, bahu Luqman ditepuk. Bila Luqman berpaling, terus muka lelaki itu ditumbuk oleh Safiy. Satu tumbukan padu yang tidak mampu Luqman elak dalam keadaan diri yang tidak bersedia. 

"Itu, sebab kau nak rampas apa yang patut jadi milik aku!" jerit Safiy dalam keadaan marah yang meluap-luap. 

Luqman mengelap hujung bibir yang berdarah. Sepasang mata kini bagai helang, cuba mengawasi tingkah Safiy di hadapannya. Dia belum mahu bersuara. Belum masanya lagi!

"Bukan main kau nasihatkan aku supaya cuba rebut hati Qistina balik. Kenapa kau suruh aku berlembutlah, tacklelah, pada hal kau sendiri tak mahu tinggalkan dia? Kau sendiri nak rampas dia dari aku! Pandai kau bermuka-muka, ya?" 

Kali ini, ketika Safiy cuba menghayun satu lagi penumbuk ke muka Luqman, Luqman sudah bersedia menghadapinya. Sepantas kilat tangan Safiy digenggam, kemudian dikilas ke belakang. Kini, dia pula menguasai permainan ciptaan Safiy. 

"Aku rasa macam nak bunuh kau!" jerit Safiy kuat. Geram dan sakit hati kerana Luqman berjaya mengelak tumbukan dan tendangan yang cuba diasak ke tubuh itu.

Luqman tersenyum. "Hanya kerana seorang perempuan? Kau nak bunuh aku kerana Qistina dah tak mahu pada kau lagi?" tanya dia. 

"Kau, kau yang menyebabkan Tina berubah. Kalau kau tak ada pasti dia mahu balik pada aku!" 

"Safiy! Safiy! Di mana kau letak iman dan kepercayaan? Dah lupa pada takdir? Sampai bila kau nak menyusahkan diri begini? Sampai bila nak merintih pada kesilapan yang kau buat dulu?" 

"Kau jangan nak tunjuk baiklah, Luqman! Zara dah ceritakan semua pada aku. Dia cakap anak dia tu, anak yang menyebabkan aku kahwin dengan dia tu, anak kau! Kau ingat aku tak tahu ke?" 

Luqman melepaskan genggamannya, membiarkan Safiy buat seketika. Tubuh disandarkan ke kereta. Kepala mendongak ke langit yang sudah gelap, tanda bila-bila masa hujan akan turun membasahi bumi. 

"Aku mengaku, dulu, aku bukan lelaki yang baik, Safiy. Aku pernah buat semua benda jahat tu. Mabuk, berzina... Semoga Allah ampunkan dosa-dosa aku!" Sebak suara Luqman bila mengenangi kisah silam yang penuh kejahilan. Kisah silam yang hitam! 

"Eleh!" 

"Tapi, kau pun tahu yang itu bukan anak aku. Itu anak kau dengan dia. Kau yang dah duakan Tina. Kau curang! Ujian DNA dah buktikan itu anak kau dengan Zara, kan? Kenapa kau serang aku pula?" 
Safiy tergamam. Wajah Luqman ditatap tajam. "Macam mana kau tahu?"

"Kau kata kau sayang Tina tapi kau khianati cinta dia. Kenapa?" tanya Luqman pula.

"Rahsia tu tak akan bocor kalau mak bapak Zara tak ugut emak bapak aku pasal kau! Kau anak luar nikah dia orang!" Safiy bertempik. meluahkan rasa sakit hatinya.   

Safiy mendengus lagi. Nafasnya ketat menahan marah. 

Wajah Safiy ditenung lama. "Aku bukan anak dia orang, Safiy! Emak dengan ayah kau tak perlu tunduk pada ugutan bapak Zara tu!" Luqman memberitahu.

"Bukan?" Safiy keliru. 

Luqman geleng. "Aku dah tanya mereka berdua. Aku inginkan kepastian. Mak ayah kau menafikannya. Dia orang cakap, aku anak orang gaji mereka. Seorang perempuan yang bernama Aini binti Ali. Dia mati waktu melahirkan aku."

Safiy dah melopong. "Ayah kau?" tanya dia. 

Luqman angkat bahu tanda tak tahu. 

"Tuhan.... kenapa emak dengan ayah aku tu? Kalau kau bukan anak mereka, kenapa takut sangat dengan bapak Zara sampai sanggup pisahkan aku dengan Qistina? Kenapa?" Safiy longlai dalam mencari sebuah jawapan. Tidak memahami mengapa ibu dan ayahnya sanggup merayu, memohon agar dia tinggalkan Qistina dan berkahwin dengan Zara. Mereka terlalu memaksa sehingga dia tidak punya pilihan. 

"Kau harus bertanggungjawab dengan perbuatan kau pada Zara!" 

"Arghh, betina tu? Dia sengaja perangkap aku!" 

"Kau yang perangkap diri kau sendiri. Kau dah ada bini, yang kau main kayu tiga tu, kenapa?" bentak Luqman penuh geram. Kalau ikutkan hati yang marah, mungkin Safiy sudah menjadi mangsa tangannya yang gatal hendak menampar ini! 

"Waktu kau suruh aku rebut balik hati Qistina tu, kau masih tak tahu perkara sebenar? Kau percaya yang kau anak..." tanya Safiy perlahan. 

"Ya. Tapi sekarang tidak lagi! Aku cintakan Qistina dan aku tahu Qistina juga cintakan aku. Aku tak akan lepaskan dia."

"Nekadnya kau nak rebut Qistina dari aku!" sinis Safiy.

Luqman melepaskan keluhan. "Kau dah lama lepaskan dia, Safiy. Aku tak pernah rebut dia dari kau, kau pun tahu itu."

Sebak rasa dada mengakui kebenaran kata-kata Luqman. Ya, memang benar. Dia yang salah. Dia yang melepaskan Qistina. Caranya yang kasar dan meninggalkan bekas kudis yang mencengkam dalam hati wanita itu, tidak siapa dapat menafikan betapa kejam perbuatan dan sikapnya dulu. 

"Aku bukan saja menceraikan dia. Aku fitnah dia. Aku berikan maklumat palsu di pejabat kadi. Qistina cukup terluka dengan aku. Dengan perbuatan aku. Sampai dia separuh gila..." tangis Safiy dalam sesal yang tidak berpenghujung. 

Luqman hanya mampu melepaskan keluhan. Rasa kasihannya memang banyak kepada lelaki yang sedikit muda daripada dirinya ini namun dia tidak akan melepaskan permata hatinya hanya kerana rasa itu. 

"Safiy, bukan mudah untuk Qistina terima aku dalam hidup dia. Bila sekarang dia berikan aku kepercayaan sepenuh-penuhnya, aku tak sanggup nak khianati dia walaupun untuk membahagiakan kau. Maafkan aku! Aku..."

Safiy tahu yang dia sudahpun tewas. Dia tak akan pernah mampu memiliki hati Qistina semula. Segalanya di antara mereka sudahpun berakhir. Dia yang menamatkan kisah cinta itu setelah dia terpedaya dengan gaya manja Zara. Dia yang lupa pada cintanya untuk sedetik namun perbuatannya itu menghancurkan masa depannya dengan Qistina, isterinya yang setia. Sungguh, dialah yang bersalah!

Luqman genggam tangan lelaki muda di sebelahnya. Kemas. 

"Yakinlah, kebahagiaan kau ada kat depan. Kau hanya perlu meneruskan langkah kaki tanpa berpaling ke belakang lagi. Maafkan aku sebab mengambil kebahagiaan kau tapi aku tak mampu menolak bila Qistina dah balas cinta aku pada dia. Tolong doakan kami, Safiy. Dan, tolong maafkan aku!" 

Safiy memeluk Luqman kejap dan erat. Hari ini, dia menemui sebuah ketenangan. Hari ini, api kemarahannya telah dipadamkan Luqman. Ya, dia telah kehilangan Qistina namun seperti kata Luqman tadi, dia tidak perlu menoleh ke belakang lagi. Masa hadapannya terbentang luas. Kesilapan yang sudah dibuat, harus jadi peringatan untuknya. Agar tidak diulangi! Agar tidak dilupakan! Menjadi benteng dan batas sempadan antara tindakan dan ego, pada hari-hari mendatang. 

"Man, aku ada dua permintaan."

Luqman angguk.

"Hati-hati dengan Zara dan..."
.......

Qistina memandang wajah Luqman yang tenang di sebelah. Langkah diatur lembut, seiring dengan langkah tegap Luqman yang sengaja diperlahankan agar mereka dapat bergerak seiring, seia, sekata. 

"Man..."

"Hai, bakal isteriku! Bila nak panggil... abang?" Luqman mengusik, menjeling sekilas wajah si dia yang kini sedang merona kemerahan. 

"Tak naklah usik-usik macam ni. Malu tau!" balas Qistina lembut. Mengundang senyum Luqman. "Kita buat apa di sini?" 

"Buat apa di VS? Makan stiklah, kan?" Luqman berpura-pura tidak faham soalan yang diajukan. 

"Awak tak pernah ajak saya keluar berdua-duaan kalau hanya untuk makan, Man!" balas Qistina. 

"Memang kita tak berdua. Tengok kat sana tu..."

Qistina berhenti melangkah. Lemah sendinya memandang sosok lelaki yang seorang itu. Sangkanya mereka tak akan jumpa lagi tapi nampaknya, pertemuan ini sudah diatur oleh bakal suaminya sendiri. Hendak marahkan Luqman? Tak akan mampu dilakukannya kerana Qistina amat pasti bahawa Luqman punya alasannya yang tersendiri. 

"Jangan buat muka macam tu."

"Muka macam mana?"

Luqman ketawa. "Macam nak marahkan saya tapi tak sanggup. Macam nak balik dah, tapi tak sanggup jugak." 

Qistina senyum. "Awak ni, kan... Tak cemburu tengok saya dengan dia? Kami pernah berkongsi segalanya, Man. Takkan hati awak tu sikitpun tak terdetik perasaan tu apabila tengok kami berdua?" ujarnya, sengaja ingin membakar perasaan Luqman. 

Lelaki itu hanya tersengih. "ALLAH maha mengetahui perasaan saya, Tina. Tapi, saya tawakkal. Berharap dalam hati dan berdoa semoga hati awak tetap milik saya. Semoga apa juga yang Safiy nak cakap nanti, tidak mengubah perancangan kita. Tapi, kalau takdirnya, perasaan awak berbolak balik selepas ni, saya reda. Demi kebahagiaan Qistina saya, saya rela mele..."

"Jangan sebut lagi! Bimbang ia jadi doa dan dimakbulkan saat ini. Saya dah pilih awak, Man. Insya-ALLAH, mohonlah hubungan kita tak ada yang menghalang lagi, termasuk dia." 

Luqman angguk. "Tina..."

Qistina mendongak. 

"Be fair dengan Safiy, ya. Dengar apa dia nak cakap. Jangan marah-marah. Saya ada di sini, menanti awak."

Qistina senyum. Anggukannya memberikan kelegaan pada Luqman. Mengerling dengan ekor mata pada Safiy yang tenang merenung mereka. 

"Pergilah. Safiy dah lama tunggu tu!" 

Ulasan

  1. wah, gentleman sungguh Luqman. :)

    Hope Qistina dpt jernihkan hubungan dia dengan Safiy. Walau marah cemana sekali pun, Safiy tetap bapa Uwaisy kan?

    BalasPadam
    Balasan
    1. betul tu, kak sofi setuju sangat...

      Padam
  2. ermmmm... rase takut lak qistina balik semula ke safiy... :(

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe... risau ek? rasa2nyer? dia nak x pd safiy semula?

      Padam
  3. harap qis hargai keikhlasan dan kebaikan hati lukman, safiy tu kisah semalam...lupakan dia mulakan hidup baru dgn lukman yang tulus menyayangi qis..

    BalasPadam
  4. wah sukalah entry yang nie....
    tenang sikit baca...
    ha ha

    BalasPadam
  5. wah suka lah entry kali nie...
    tak gaduh-gaduh...
    best...
    sambung pleaseeeee..he he

    BalasPadam
  6. hati2 ngn 2 org... 1 zara.. 1 lagi????
    aduiiii

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…