Tuesday, February 21, 2012

Home » , » Kembali Padaku 7

Kembali Padaku 7


“Kalau pun rasa itu masih ada, awak ingat, saya seronok sangat memilikinya?” 

Soalanku berjaya membuat riak gembiranya, bertukar. Aku tatap wajahnya tepat-tepat. Sesungguhnya, dia masih lelaki yang sama, yang sentiasa dapat membuat jantungku berdegup laju. Dulu, kini dan selamanya... hisy, dah macam moto parti politik pula! Serius Ila, serius! 

“Bila saya balik ke rumah malam tu, soalan yang asyik berlegar dalam fikiran saya ialah, mengapa awak, satu-satunya hero saya, sanggup tengking dan marah saya, hina saya, sampai begitu sekali. Dari kecil, saya asyik mengekori awak. Dari kecil, apa awak buat, apa awak suruh, saya tak pernah bantah. Awak tahu yang saya anggap awak idola saya. Awak segala-gala bagi saya. Awak saja...” 

Dia mendekatiku semula. Aku tahu, dia ingin memujukku tapi aku gelengkan kepala. Aku hanya ingin dia dengar kata-kataku, bukan sebaliknya. 

“Bila Fazidah hadir di antara kita, awak mula berubah. Saya bukan lagi keutamaan awak. Saya sudah tidak istimewa di mata awak. Saat awak beritahu saya yang awak cintakan dia, awak tahu tak betapa hancurnya hati saya? Ya, awak! Saya kecewa sangat! Hilang awak adalah kesakitan saya. Kedukaan saya. Saya merana tapi saya tabahkan hati. Asalkan saya dapat tengok awak dari jauh, asalkan saya dapat pandang wajah awak, cukuplah bagi saya.” 

Aku sudah mula tersedu sedan. Malu dalam masa yang sama, sebak dan parahya perasaan. Tak pernah aku mampu luahkan pada sesiapapun. Inilah yang aku tanggung. Suatu penderitaan! 

“Pagi tu, Fazidah cakap, dia nak jumpa awak. Awak kan pergi KL hari tu? Dia beritahu saya yang awak suruh dia pergi ke rumah awak dan tunggu awak balik dalam rumah. Sebab tu, dia ajak saya sama-sama. Tapi, bila saya dah sampai dia suruh saya tunggu di dalam rumah. Saya mana tahu awak ada di dalam? Sumpah, saya tak tahu!” Aku menarik nafas. Pahit mengulangi semua kisah lama itu tapi, inilah kali terakhir. Lepas ini, kan kuhumban segala kenangan ini ke longkang. Kan kulupakan semuanya! 

“Sejak itu, saya tutup mata hati saya daripada mendengar semua kisah kampung kita ini. Kisah hidup awak, memang langsung saya taak mahu ambil tahu. Saya tak mahu peduli. Saya nekad bila saya buat keputusan untuk tinggal dengan mak su dan pak su. Memori tentang seorang Ahmad Fuad akan saya kuburkan!” 

Fuad kelihatan sebak. Nafasnya turun naik dan sepasang matanya berkaca. Aku kalihkan pandangan. Tak mahu melihatnya. Bimbang hatiku dihujani rasa kasihan nanti. Suasana sunyi sepi di antara kami. Waktu ini, aku sangat-sangat mengharapkan kaum keluargaku masuk dan turut mendengar resahku. Agar, mereka tidak lagi bermain-main dengan perasaanku ini. Tapi, nampaknya, seolah-olah, penting sangat bagi merekaa untuk membiarkan kami berdua. Seolah-olah, semua kekeruhan dapat kami jernihkan semula? 

“Saya balik, sebab saya sangat rindukan emak, ayah dan Amar. Saya balik sebab saya ingat, saya mampu dan berani berdepan dengan kebenaran. Tapi, saya tak kuat,” 

Bagaimana harus kuberitahu apa kurasa? Bagaimana harus kujelaskan apa yang kutanggung? Bagaimana lagi harus kukatakan agar dia mengerti? 

“Hati saya sedih bila orang mengimbas semua kejadian lama tu. Hati saya sedih bila orang menipu saya dengan semua yang awak buat. Hati saya sedih bila semua orang cuba kenenkan awak dengan saya sedangkan saya tahu betapa awak benci pada saya. Sebab itu, saya nak minta tolong pada awak.... “ 

Dia merenungiku. Lembut renungannya menusuk kalbuku. 

“Tolong jangan malukan saya lagi? Tolong jangan tanya perasaan saya pada awak? Tolong jangan ungkit tentang cinta saya? Tolonglah saya! Yang ada pada saya sekarang, hanya maruah saya, harga diri saya. Tolong jangan injak-injak dia untuk kali kedua. Tolongggglah!” 

“Ila...” Suaranya bergetar dan saat itu aku tahu dia menangis. Bukan air mata palsu penuh kepuraan tentunya. Namun, aku geleng. Aku tak mahu dengar lagi. 

Dia dekat ke katilku. Lama dia perhatikan aku, aku dapat rasakannya. Tapi, aku tidak mahu menoleh memandangnya. Aku tidak mahu tewas.... 

“Ila, nampaknya, berkali-kali abang minta maafpun, hati Ila keras tidak mahu memaafkan. Okey, Ila dah ceritakan versi Ila. Sekarang, beri abang sikit masa untuk ceritakan versi abang pula. Abang mohon sedikit keadilan dari Ila. Please...” 

Alah, kalau aku gelengpun, aku tahu, dia tak akan berganjak dari sisiku. Keras kepala dia tu, aku dah cukup masak dari dulu lagi. Fuad tarik kerusi dan duduk. Tu... kan aku dah cakap? Dia mahu aku dengar penjelasannya pula dan aku yakin, dia tetap akan memaksa. Redha dan tadah ajelah telinga ini! 

“Mak dengan abah abang tak pernah setuju dengan pilihan abang. Bagi dia orang, menantu pilihan mereka ialah Zalilah Husin. Rupa-rupanya, tanpa restu orang tua, keinginan kita pasti akan ada sahaja halangannya. Akan ada sahaja masalah yang menimpa. Sejak mula bertunang, Zidah memang sangat cemburu pada Ila. Makin abang nafikan, makin dia galak menuduh abang, makin dia cemburu. Sebab itu, abang jauhkan diri abang dari Ila. Sebab abang fikirkan Zidah dan perasaannya saja.” 

Pedihnya aku mendengar pengakuan ini.... 

“Tapi, berapa lama abang mampu bertahan dengan cemburu buta dia? Berapa lama abang sanggup tahan caci maki dia? Sudahnya, kami asyik kelahi. Dan, puncanya hanya satu,” 

“Ila?” soalku. 

Dia angguk. 

“Hari tu, abang tiba dari KL, dalam pukul 4 petang. Masa abang sampai di rumah, Am dengan Ana sedang gelak-gelak membaca sesuatu. Abang pun terus capai kertas tu dan baca. Darah abang meruap-ruap dengan satu perasaan yang abang tak faham bila abang baca curahan rasa dalam kertas tu. Kertas tu Ila yang tulis. Ila luahkan rasa cinta Ila yang membara entah pada siapa. Abang tak tahu kenapa bila abang bacanya, abang terus jadi tak tentu arah. Yang abang tahu, abang cemburu sangat masa tu. Cemburu pada lelaki yang Ila cintakan itu!” 

Kali ini, Fuad berjaya meraih perhatianku kepadanya. Dia renung wajahku. Lembutnya... memukaunya... Hisy! Tepis! 

“Kemarahan itu terbawa-bawa sampai ke peristiwa malamnya. Abang hilang pedoman seketika. Tak dapat nak terima dan congak apa dan mengapa. Rasa tak percaya dengan apa yang dicakapkan oleh Fazidah tu mungkin kerana abang fikir yang selama ini dia cemburukan Ila. Bila Ila pergi, semuanya dah terlambat bagi abang. Ditambah dengan hubungan keluarga kita yang mula retak, abang tahu, kita dah tak ada masa depan bersama.” 

Aku menghening diri. Cuba memahami apa yang ingin disampaikannya kepadaku. 

“Am dan Ana merapatkan hubungan mak abang dengan mak Ila semula. Masa inilah, sedikit demi sedikit, abang diberitahu apa yang Ila buat di kejauhan. Sedikit demi sedikit mak cik membuka rahsia tentang hati yang dah abang lukai...... Abang mula sedar,” 

Hisy, kenapa diam pula? Tu, tak lain nak suruh aku tengok muka hensem dialah tu! 

“Ila, betul cakap orang. Bila ada depan mata, kita tak hargainya. Tapi, bila kita dah kehilangannya, baru kita sedar, baru kita tahu, yang dia sangat penting dalam hidup kita. Malah sebenarnya, dialah yang telah menyerikan hidup kita selama ini.” 

Arghh, aku nak menangis semula nihh... 

“Dia... dia tinggalkan abang, dia bawa hati.... Rupa-rupanya, bukan hati dia saja yang dia bawa pergi. Tapi, dia ambil sekali hati abang ni. Dia dah simpan kemas dalam persembunyiannya. Abang relakan sebab abang baru faham erti cinta sebenar. Dia, dia yang mengajar erti cinta itu. Dia, yang beralah dan terseksa demi abang. Cintanya, ialah bila melihat abang bahagia dengan orang yang abang fikir, abang cintai. Dia, hatinya yang suci, tapi abang sedarinya hanya bila abang dah kehilangan dia.” 

Air mataku merembes keluar. 

“Bila abang pasti yang abang mahukan dia dalam hidup abang, abang jejakinya. Tapi abang tak berani hendak ke Sydney, so, tak apalah... Wellington pun okey. Lebih dekat ke Sydney, berbanding kalau dari KL, kan? Tapi, abang ni penakut. Puas pak su dengan mak su suruh abang berdepan dengan Ila, abang tak berani. Tiap hujung minggu, abang hanya mampu tengok Ila dari jauh saja. Melepaskan rindu dengan cara macam tu pun dah cukup bagi abang.” 

Aku ternganga. Rasa macam tak percaya pula. Aku inginkan kepastian... 

“Sejak bila?” 

Fuad jungketkan kening. 

“Abang di NZ?” tanyaku. 

“Sejak tiga bulan lepas. Selepas ayah meninggal.” 

Aku hanya mampu mendengus. Memang sejak tiga bulan lepas, aku selalu mengadu pada pak su dan mak su yang aku rasa takut semacam bila keluar di hujung minggu. Aku selalu rasa macam diriku sedang diperhatikan. Sering, aku balik dalam keadaan cemas. Ah, patutlah pasangan suami isteri itu relaks sahaja. Rupa-rupanya, mereka tahu siapa yang asyik ‘stalked’ aku. Haih... 

“Masa balik sini hari tu, kita naik kapal terbang yang sama. Cuma Ila tak perasankan abang,” 

Terkejut beruk aku dibuatnya. Agaknya muka aku dah jadi macam heroin cerita Planet Of The Ape, kot! Sebab saat ini, Fuad sedang gelakkan aku. Sungguh-sungguh dia gelakkan aku. Aku pun apa lagi. Kuhempuk-hempuk lagi kepalanya dengan si beruang. Kali ini, dia terus peluk beruang aku tu. 

“Kasi balik beruang orang tu!” pintaku. 

“Pulangkan hati abang dulu,” 

Aku mencebik. 

“Tak apa! Kalau macam tu, bagi hati Ila pada abang,” 

Hisy, dah semakin mengarut mamat ni. 

“I love you, Zalilah Husin,” 

Aku terpana..... 

............................

20 comments:

  1. sweet..rupanya cinta depan mata..hehe..

    ReplyDelete
  2. i lap u too abg fuad sayang bushukkk.. eheheee..gatai la pulok..

    ReplyDelete
  3. terluah jua rahsia hati fuad...bile lagi ila oii
    heheheheh

    ReplyDelete
    Replies
    1. ja lg la.. jual mahal dulu, k! hehe

      Delete
  4. pergh...
    sangat tragis cerita cinta Ila ni...
    yang lelaki tu x paham kehendak hati sendiri...
    yang perempuan plak, rela bekorban asalkan buah hati bahgia...
    elok cepat2 bg nikah depa dua ni...
    aman sikit hidup...

    ReplyDelete
  5. hahhaha...
    sweet la pula dorng ni...
    tp nak ila jual mhal skit je...
    jgn bnyk2x...

    ReplyDelete
  6. dah habis ke? macam tak puas aje. hehe

    ReplyDelete
  7. salah faham je sbnrnya...

    ila, kesian abg fuadku...maafkan je la, sian dia kena hempuk dgn beruang... hihi

    ReplyDelete
  8. ada lagi tak? menarik la cerita ni. boleh buat novel la.

    ReplyDelete

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.