apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

9.1.12

Tiada Sepertimu.... 1

Assalamualaikum... 


Bacalah satu lagi kisah dalam masyarakat kita. Aku paparkan melalui nukilan hati, Tiada Sepertimu.....

Tiada Sepertimu ialah kisah cinta di antara seorang gadis liar dan sombong, Zaireen Aklima yang dicintai sepenuh hati oleh seorang jejaka bernama Dzulfadhli yang tidak punya apa-apa kecuali sekeping hatinya untuk ditawarkan kepada Zaireen. Tapi sekali ini, aku tidak mahu menyingkap saat penolakan Zaireen. Ia akan bermula bila Zaireen sedar bahawa dia sebenarnya masih insan yang punya perasaan, perasaan yang ingin dikongsi bersama Dzulfadhlinya yang sudah menjauh.... 

Apa-apa pun, terlebih dulu aku nak ucapkan terima kasih kepada Princess Ice kerana tulisannya, bait2 ayatnya, mencetuskan idea Tiada Sepertimu.....
..................

Jika ALLAH tidak memberimu seseorang yang kamu impikan..
Semoga Dia menghadirkan seseseorang yang mengimpikanmu..

Bila ALLAH tidak memberimu seseorang yang kamu rindukan..
Semoga Dia menghadirkan seseorang yang merindukanmu...

Bila ALLAH tidak memberimu seseorang yang kamu dambakan..
Semoga Dia memberimu seseorang yang mendambakanmu...

Bila ALLAH tidak menyatukanmu dengan seseorang yang kamu cintai..
Semoga Dia menghadirkan seseorang yang mencintaimu..

Yang bukan HANYA kerana apa yang ada padamu..
Tetapi apa adanya dirimu...

Tiada Sepertimu.....

1

Air mata Puan Juriah jatuh berjujuran. Semakin dia perhatikan sosok tubuh yang terkedang di atas katil bercadar putih itu, semakin kuat esakannya. Pujukan encik Karim di sisi, tidak mampu meredakan tangisan pilunya. Tidak juga rangkulan dan sentuhan lembut suaminya itu.

Hati ibu mana yang tidak tersentuh bila melihat keadaan anak kesayangan, satu-satunya anak yang dia ada, kini sedang bertarung dengan maut? Wayar berselirat 'menghiasi' tubuh langsing itu. Darah merah entah sudah berapa botol bertukar ganti. Namun, selepas dua hari, keadaan Zaireen Aklima, masih juga begitu. Kaku dan tidak langsung menunjukkan tanda-tanda untuk sembuh. Untuk bangun! Untuk mencelikkan mata!

"Kenapa, bang? Kenapa ada orang tergamak buat Zaireen macam ni? Dia kan perempuan? Takkan tak ada sikitpun rasa kasihan belas masa dia orang pukul dia?" keluh puan Juriah penuh sesal. 

Manalah mungkin hati tidak merintih sedih? Zaireen jadi begini akibat dipukul oleh dua orang lelaki yang diupah oleh seseorang. Kata polis, Datuk Mansur mengupah lelaki-lelaki itu sekadar untuk menggertak namun kedua-duanya sudah melebih-lebih bertindak kerana marahkan Zaireen yang berani melawan dan membalas perbuatan mereka. 

"Zaireen ni pun satu jugak! Kenapalah perangai sombong dan berlagak berani tu sikitpun tak berkurang? Bukannya rugi kalau mengalah ni!" bebel encik Karim pula. Kemarahannya tidak pernah surut meskipun Zaireen anak kesayangannya. Dia kenal benar dengan sikap sombong anaknya ini. Dia amat pasti bahawa Zaireen sudah menaikkan api kemarahan lelaki-lelaki itu. Entah apa yang dikata, entah apa maki hamunnya, hanya anaknya itu sahaja yang tahu......

"Nasib baik tak kena ro...."

"Abang!" Puan Juriah sudah menjerit geram. Jeritan yang menghentikan butir bicara suaminya. 

"Sampai hati abang! Zaireen Aklima tu anak kita, bang! Anak kita! Yang abang cakap yang bukan-bukan ni, apasal? Nak sangat jadi benda yang buruk-buruk pada anak? Bukan nak doakan agar Zaireen cepat sembuh, ini cakap yang bukan-bukan pula!" 

Encik Karim berdehem beberapa kali. "Awak ni, Ju.... Inilah sebabnya si Zaireen tu jadi kepala batu! Bila saya marah, awak marah saya balik. Menangkan sikap dia! Menangkan perangai dia. Dia semua betul! Hah tengoklah! Apa dah jadi? Bila saya marah dia keluar dengan jantan-jantan hidung belang tu semua, apa awak cakap...." Wajah isteri ditatap tajam, 'Alah, bang! Biarlah... untung-untung dapat juga kita menantu Datuk ke, Tan Sri ke... boleh jugak kita tumpang senang!'

"Abang, udah-udahlah tu!" Puan Juriah menegah suami daripada mengungkit kisah silam. Air mata menitis lagi. "Tak kesian ke tengok Zaireen ni? Dah nazak macam ni pun abang nak marahkan dia. Sampai hati abang!" 

Encik Karim mendengus. Namun, masakan dia tidak kasihan pada satu-satu zuriatnya? Dipukul, dibelasah, tanpa peri kemanusiaan. Hanya kerana cintanya ditolak, Datuk Mansur sanggup berniat hendak mencederakan Zaireen Aklima. Memanglah orang tua itu tidak sedar diri! Kubur pun sudah memanggil lelaki berusia 64 tahun itu namun masih ada hati hendakkan Zaireen. Agaknya, Datuk Mansur tak pernah tengok wajahnya yang sudah berkedut itu di dalam cermin kut? Hati menggumam. 

"Nasib baik ada Dzul, Ju. Kalau tidak...."

Tiba-tiba, jari jemari Zaireen bergerak. Mulanya perlahan sahaja kemudian tangan bagaikan sedang cuba meronta-ronta. Mata terbuka luas. 

"Dzul! Dzul! Maafkan Zaireen, Dzul! Dzul!"

Puan Juriah dan encik Karim saling berpandangan. Wajah benar-benar kebingungan demi melihat anak mereka yang tadi diam, kini sudah mula bereaksi. Malah, saat ini, air mata sudah mengalir laju menuruni pipinya yang putih gebu itu....

Terima kasih atas kunjungan anda. Sila like fan page kak sofi dan jemputlah follow blog ni, ya. :)

10 ulasan:

  1. Permulaan yang menarik. Waa, kak sofi byk idea menulis cerpen ye sekarang?

    BalasPadam
  2. Thanks kak sofi,mmg tengah tunggu cerpen/novel baru dr kak sofi

    BalasPadam
  3. Hajar, haha...mcm sindir aje tu...

    BalasPadam
  4. fard_kay, ya betul! sbb tu terus tertarik hendak manfaatkannya..

    BalasPadam
  5. Faiz, sama2 dan tima kacih krn masih setia...

    BalasPadam
  6. tak sabar tunggu sambungannya, Tahniah....

    BalasPadam
  7. macam best je :)

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.