2012/01/15

Tiada Sepertimu.... versi cerpen

Assalamualaikum...

Bagi anda yang tak minat baca story terputus-putus, bersambung-sambung, ni cerpen penuh Tiada Sepertimu. Harap anda suka, okey!

Bacalah satu lagi kisah dalam masyarakat kita. Aku paparkan melalui nukilan hati, Tiada Sepertimu.....

Tiada Sepertimu ialah kisah cinta di antara seorang gadis liar dan sombong, Zaireen Aklima yang dicintai sepenuh hati oleh seorang jejaka bernama Dzulfadhli yang tidak punya apa-apa kecuali sekeping hatinya untuk ditawarkan kepada Zaireen. Tapi sekali ini, aku tidak mahu menyingkap saat penolakan Zaireen. Ia akan bermula bila Zaireen sedar bahawa dia sebenarnya masih insan yang punya perasaan, perasaan yang ingin dikongsi bersama Dzulfadhlinya yang sudah menjauh....

Apa-apa pun, terlebih dulu aku nak ucapkan terima kasih kepada Princess Ice kerana tulisannya, bait2 ayatnya, mencetuskan idea Tiada Sepertimu.....

..................


Jika ALLAH tidak memberimu seseorang yang kamu impikan..
Semoga Dia menghadirkan seseseorang yang mengimpikanmu..

Bila ALLAH tidak memberimu seseorang yang kamu rindukan..
Semoga Dia menghadirkan seseorang yang merindukanmu...

Bila ALLAH tidak memberimu seseorang yang kamu dambakan..
Semoga Dia memberimu seseorang yang mendambakanmu...

Bila ALLAH tidak menyatukanmu dengan seseorang yang kamu cintai..
Semoga Dia menghadirkan seseorang yang mencintaimu..
Yang bukan HANYA kerana apa yang ada padamu..
Tetapi apa adanya dirimu...


Tiada Sepertimu.....

1

Air mata Puan Juriah jatuh berjujuran. Semakin dia perhatikan sosok tubuh yang terkedang di atas katil bercadar putih itu, semakin kuat esakannya. Pujukan encik Karim di sisi, tidak mampu meredakan tangisan pilunya. Tidak juga rangkulan dan sentuhan lembut suaminya itu.

Hati ibu mana yang tidak tersentuh bila melihat keadaan anak kesayangan, satu-satunya anak yang dia ada, kini sedang bertarung dengan maut? Wayar berselirat 'menghiasi' tubuh langsing itu. Darah merah entah sudah berapa botol bertukar ganti. Namun, selepas dua hari, keadaan Zaireen Aklima, masih juga begitu. Kaku dan tidak langsung menunjukkan tanda-tanda untuk sembuh. Untuk bangun! Untuk mencelikkan mata!

"Kenapa, bang? Kenapa ada orang tergamak buat Zaireen macam ni? Dia kan perempuan? Takkan tak ada sikitpun rasa kasihan belas masa dia orang pukul dia?" keluh puan Juriah penuh sesal.

Manalah mungkin hati tidak merintih sedih? Zaireen jadi begini akibat dipukul oleh dua orang lelaki yang diupah oleh seseorang. Kata polis, Datuk Mansur mengupah lelaki-lelaki itu sekadar untuk menggertak namun kedua-duanya sudah melebih-lebih bertindak kerana marahkan Zaireen yang berani melawan dan membalas perbuatan mereka.

"Zaireen ni pun satu jugak! Kenapalah perangai sombong dan berlagak berani tu sikitpun tak berkurang? Bukannya rugi kalau mengalah ni!" bebel encik Karim pula. Kemarahannya tidak pernah surut meskipun Zaireen anak kesayangannya. Dia kenal benar dengan sikap sombong anaknya ini. Dia amat pasti bahawa Zaireen sudah menaikkan api kemarahan lelaki-lelaki itu. Entah apa yang dikata, entah apa maki hamunnya, hanya anaknya itu sahaja yang tahu......

"Nasib baik tak kena ro...."

"Abang!" Puan Juriah sudah menjerit geram. Jeritan yang menghentikan butir bicara suaminya.

"Sampai hati abang! Zaireen Aklima tu anak kita, bang! Anak kita! Yang abang cakap yang bukan-bukan ni, apasal? Nak sangat jadi benda yang buruk-buruk pada anak? Bukan nak doakan agar Zaireen cepat sembuh, ini, cakap yang bukan-bukan pula!"

Encik Karim berdehem beberapa kali. "Awak ni, Ju.... Inilah sebabnya si Zaireen tu jadi kepala batu! Bila saya marah, awak marah saya balik. Menangkan sikap dia! Menangkan perangai dia. Apa dia buat semua betul! Hah sekarang tengoklah! Apa dah jadi? Bila saya marah dia keluar dengan jantan-jantan hidung belang tu semua, apa awak cakap...." Wajah isteri ditatap tajam, 'Alah, bang! Biarlah... untung-untung dapat juga kita menantu Datuk ke, Tan Sri ke... boleh jugak kita tumpang senang!'

"Abang, udah-udahlah tu!" Puan Juriah menegah suami daripada mengungkit kisah silam. Air mata menitis lagi. "Tak kesian ke tengok Zaireen ni? Dah nazak macam ni pun abang nak marahkan dia. Sampai hati abang!"

Encik Karim mendengus. Namun, masakan dia tidak kasihan pada satu-satu zuriatnya? Dipukul, dibelasah, tanpa peri kemanusiaan. Hanya kerana cintanya ditolak, Datuk Mansur sanggup berniat hendak mencederakan Zaireen Aklima. Memanglah orang tua itu tidak sedar diri! Kubur pun sudah memanggil lelaki berusia 64 tahun itu namun masih ada hati hendakkan Zaireen. Agaknya, Datuk Mansur tak pernah tengok wajahnya yang sudah berkedut itu di dalam cermin kut? Hati menggumam.

"Nasib baik ada Dzul, Ju. Kalau tidak...."

Tiba-tiba, jari jemari Zaireen bergerak. Mulanya perlahan sahaja kemudian tangan bagaikan sedang cuba meronta-ronta. Mata terbuka luas.

"Dzul! Dzul! Maafkan Zaireen, Dzul! Dzul!"

Puan Juriah dan encik Karim saling berpandangan. Wajah benar-benar kebingungan demi melihat anak mereka yang tadi diam, kini sudah mula bereaksi. Malah, saat ini, air mata sudah mengalir laju menuruni pipinya yang putih gebu itu....

2

Sudah hampir dua bulan sejak peristiwa yang hampir meragut nyawanya itu berlalu. Dua bulan yang sememangnya penuh dengan keajaiban. Siapakah yang menyangka dia mampu untuk berdiri apatah lagi untuk melangkah seperti sekarang? Ya, kini, dia sudah boleh bergerak dengan cergas semula. Berkat doa yang tidak pernah jemu dari ibu dan ayahnya.

Zaireen membuka tingkap bilik yang menghadap kehijauan bukit bukau di belakang rumah. Pemandangan yang cantik dan menyejukkan mata yang memandang. Dihirup udara pagi penuh kesyukuran..

"Terima kasih, ALLAH, kerana KAU hidupkan aku untuk sehari lagi..." bisiknya perlahan.

Waktu masih awal lagi. Baru pukul 5 pagi. Namun sepasang matanya sudah tidak mahu terpejam. Ingatan kepada si dia, entah mengapa, begitu kuat menjengah fikiran.

"Kenapa dia tak pernah telefon aku lagi dah? Kenapa tak pernah dia bertanya khabar? Kenapa tak ambil tahu tentang aku lagi?" diri ditanya.

Persoalan-persoalan yang mengembalikan ingatan ke masa silam.

"Cik Zaireen, ni saya belikan nasi bungkus dengan teh ais. Saya perasan cik belum makan tengah hari lagi. Sekarang dah pukul 3. Karang kalau masuk angin perut tu, susah!"

Zaireen tatap wajah lelaki itu dengan pandangan mencerlung. Kebenciannya kepada Dzulfadhli tidak betah disembunyikan. Wajah yang tadi serius menumpu perhatian kepada kerja-kerjanya yang melambak di atas meja, kini dihadapkan kepada lelaki itu yang tidak sedikitpun pernah mampu menarik perhatiannya.

Ulas bibir mencebik. Meluat benar dia melihat lelaki yang sangat serabai di hadapannya ini. Cara berpakaian yang langsung tak sesuai membuatkan Zaireen mengerutkan dahi. Tapi, apa pula? Memang begitulah cara budak pejabat berpakaian, kan?

"Err, cik Zaireen nak saya masukkan nasi ni dalam pinggan ke?"

Suara lelaki itu mengejutkannya.

"Tak payah! Aku tak nak makan. Aku diet."

Dzulfadhli mengerutkan dahi. "Diet? Hisy, buat apa nak diet-diet, cik? Cik Zaireen bukannya gemuk sangat pun!"

"Yang kau sibuk sangat fasal aku ni, kenapa?" Zaireen menjegilkan mata.

"Sebab saya sukakan cik Zaireen."

Dzulfadhli berbisik amat perlahan namun Zaireen tetap mendengar.

"Hoi! Cakap tu biar guna otak sikit! Layak ke kau nak suka aku? Kau tu siapa dalam pejabat milik ayah aku ni, hah?" jerkahnya.

Dzulfadhli merenungi seraut wajah di hadapannya dengan tenang. Nafas disedut perlahan sebelum menjawab setulus hatinya. "Saya hanya luahkan apa yang saya rasa. Saya suka awak. Biar pun darjat antara kita berbeza, saya yakin, tak salah apa yang saya rasa. Perasaan saya, milik saya. Hak saya! Awak tak boleh halang kalau saya nak jatuh cinta pada awak sekalipun!"

Zaireen merenung wajah lelaki yang begitu berani meluahkan perasaan di hadapannya ini. Dia kemudian tersenyum mengejek, sambil bangun dan bergerak merapati lelaki yang tinggi dan tegap. Oh, memang dia perasan tentang itu. Alah, orang kampung! Dah biasa menoreh getah, dah biasa berhujan berpanas membanting tulang empat kerat, ke sana sini, naik basikal.... Memanglah bisa memiliki tubuh badan yang menarik. Tetapi, hati tak berkenan langsung! Malah sejak lelaki itu mula bekerja di pejabat ini, dia memang tidak menyenanginya. Namun kerana takut kepada Pengarah Urusan yang garang, iaitu encik Karim, ayahnya, yang sangat menyanjungi lelaki ini, dia terpaksa akur memberikan jawatan peon aka budak pejabat aka budak penghantar surat kepada Dzulfadhli!

"Aku nak, kau padamkan harapan bodoh kau tu sekarang jugak! Kau tak layak nak suka aku! Lagilah tak layak kalau kau nak cintakan aku! Faham! Dah, jangan perasan!"

"Ini hati saya, Zaireen. Suka hati sayalah nak suka awak, atau nak cintakan awak sekalipun!" balas Dzulfadhli bersahaja.

Zaireen tidak menyangka Dzulfadhli berani berkata begitu kepadanya. Meledak api kemarahannya. Tanpa berfikir panjang, terus sahaja ditamparnya muka lelaki itu. 

"Tu sebab biadap dengan aku! Bodoh! Siapa nak kau? Belajar pun setakat dapat sijil sekolah vokasional, ada hati nak pikat aku yang pegang Ijazah Kelas Pertama ni? Eeii, aku tak fahamlah kenapa ayah aku ambil kau bekerja di sini! Sejak nampak muka kau, hati aku ni asyik sakit aje! Eh, kau tahu tak yang aku benci sangat-sangat pada kau? Benci yang sekarang dah naik setingkat jadi meluat! Jangan nanti, aku tak boleh kawal rasa menyampah ni, aku maki kau depan semua orang! Sekarang baik kau berambus!"

Zaireen kembali duduk di atas kerusi. Dadanya masih turun naik menahan geram.

"Masa akan tentukan sama ada awak benci atau suka pada saya, Zaireen. Ni, saya letakkan nasi dengan air kat atas meja. Karang, jangan lupa makan, ya! Kerja, kerja jugak! Kesihatan kena jaga, okey!"

Ketika Dzulfadhli ingin membuka pintu bilik, Zaireen memanggil namanya. Lelaki itu berpaling. Ketika itulah, plastik nasi dan bungkusan teh ais mengena tubuhnya. Habis bajunya kotor dek makanan dan minuman yang sudah tertumpah.

"Astaghfirullah.... Zaireen, kalau.."

"Shut up! Dengar sini, Dzulfadhli! Lain kali, cermin diri tu sikit! Jangan cepat perasan! Kalau daddy aku suka kau, jangan ingat, anak dia pun sukakan kau jugak! Faham? Lagi satu!  Anak orang kaya macam aku ni, tak makan makanan di gerai yang kau beli tu! Lauk makanan jenama mamak, tak ada dalam senarai pembuka selera aku, okey!"

"Zaireen..."

"Hey, aku suruh kau keluar laa! Kau tunggu apa lagi tu?" jerkah Zaireen sekuat hatinya. Interkom ditekan. "Rozi, kau suruh cleaner cuci bilik aku ni! Aku tak tahan bau kari mamak ni! Busuk! Cepat sikit!"

Dzulfadhli menggelengkan kepala sebelum melangkah keluar meninggalkan Zaireen.
......................

"Zaireen?"

Sentuhan lembut di bahu mengembalikan Zaireen ke alam nyata. Wajah puan Juriah direnungi sambil keluhan dilepaskannya.

"Kenapa, mummy? Dah jumpa dengan Dzul dah?"

Si ibu menggeleng. "Lupakan dia! Tak usahlah ingatkan dia, Zaireen. Kamu dah terlambat!"

Zaireen menjegilkan matanya. "Kenapa? Apa yang dah terjadi?"

"Esok......., esok dia dah nak kahwin dah!"

Bulat mata Zaireen. Antara percaya dengan tidak.

"Dzulfadhli nak kahwin, mummy?"

3

Zaireen memandu dengan cemas sekali. Sejak pukul 5 pagi dan kini sudah hampir empat jam dia berada di dalam kereta menuju ke arah utara. Jika tidak disebabkan oleh kesesakan di Lebuhraya Puchong-Damansara tadi, pasti dia kini sudah sampai ke kawasan perumahan awam di pekan Bidong, Kedah, itu. Malangnya, kerana gelabah, entah berapa kali dia sudah terbabas. Hendak turun di tol mana pun, dia keliru. Sudahnya, dia mengambil susur keluar di Sg Petani Selatan dan terpaksa melalui bandar Sg Petani yang sibuk.

Mengerling ke arah jam, hati menjadi semakin gusar. Bagaimana kalau pihak pengantin lelaki sudah tiba di rumah pengantin perempuan? Bagaimana kalau majlis akad nikah itu sudah berlangsung? Bagaimana kalau Dzulfadhli sudah sah menjadi suami gadis yang bernama Fatini itu?

Air mata diseka.

“Tidak! Kau tak boleh kahwin dengan perempuan tu! Kau suka aku, Dzul. Kau yang cakap macam tu dulu! Kenapa sekarang kau nak kahwin dengan dia pulak? Kau jangan jadi pembohong! Jangan mungkir janji! Cinta kau hanya pada aku dan kau tak boleh menipu! Faham tak?” Zaireen menjerit lantang di dalam kereta.

Hatinya sangat-sangat berdebar ketika ini. Resah dan rusuh! Bimbang dia akan kehilangan satu-satunya lelaki yang ikhlas dengannya. Satu-satunya lelaki yang tidak pernah jemu mendekati, menasihati serta membantu.... Malangnya, Dzulfadhlilah juga satu-satunya lelaki yang tidak pernah dilayan dengan baik!

“Dzul, jangan buat aku macam ni! Jangan tinggalkan aku, Dzul. Jangan pergi saat aku sangat-sangat perlukan kau dalam hidup aku! Tolong, Dzul! Kesiankan aku!” rintihnya dalam sepi.

Lebih kurang pukul 10.20 pagi, setelah kesesatan dan sekejap-sekejap turun daripada kereta untuk mendapatkan tunjuk arah, akhirnya Zaireen sampai ke tempat yang ditujui. Melihat banyaknya kereta yang diparkir di bahu jalan, membuat jantungnya berdegup laju. Cepat-cepat Zaireen mencari ruang untuk meletakkan Volkswagen Beetle kesayangannya yang berwarna hijau. Buru-buru, dia keluar dan berlari menuju ke rumah yang alamatnya sudah terpateri dalam otak. Dia tidak peduli pada renungan orang-orang yang memandang. Dalam kotak fikirnya, dia hanya mahu menghalang Dzulfadhli daripada meneruskan niat untuk bernikah!

Kasutnya tercampak entah ke mana ketika dia memasuki ruang tamu yang penuh dengan rombongan pengantin, baik daripada sebelah lelaki mahupun di pihak perempuan. Namun Zaireen bagaikan tidak menyaksi. Keriuhan bagai tidak kedengaran. Kerana, saat ini, sepasang mata melingas, mencari kelibat Dzulfadhli. Dan, sebaik pandangan mata tertuntas pada suatu sosok, nafas lega dilepaskan. Dari tempat dia berdiri, meskipun lelaki itu sedang membelakanginya, Zaireen amat pasti bahawa itulah tuan punya diri yang dicari. Pagi ini, lelaki itu memakai baju Melayu berwarna krim. Namun demi melihat tangan yang ingin berjabat dengan tangan milik tuan kadi, Zaireen terus sahaja menjerit....

“Dzul! Jangan! Awak tak boleh kahwin dengan dia!”

Seluruh perhatian kini tertumpu kepada dirinya. Zaireen tidak peduli sama sekali. Pandangan matanya saat ini hanya tertancap kepada lelaki itu. Suasana hingar bingar yang kedengaran tidak langsung dipedulikan.

Dzulfadhli berpaling demi mendengar suara gadis itu. Wajahnya kelihatan benar-benar terkejut. Tentulah dia tidak pernah menyangka bahawa Zaireen boleh sampai ke tanah kelahirannya ini.

“Zaireen? Awak buat apa kat sini?”

Dzulfadhli terus bangun meninggalkan tuan kadi dalam keadaan terpinga-pinga.

“Awak tak boleh kahwin dengan dia! Malah awak tak boleh kahwin dengan mana-mana perempuan lain sekali pun! Awak hak saya! Awak...”

Seorang wanita tiba-tiba bangun dan wajah bengisnya jelas kelihatan. Dia sudah menyingsing lengan baju kurungnya. Tingkahnya seperti hendak memukul Zaireen.

“Eh, hang ni sapa? Mai sini nak buat kacau kah? Pandai-pandai nak halang Dzul menikah? Melampau sungguh! Hang keluaq! Sebelum aku tampaq muka hang, baik hang keluaq!”

“Kak Yah, Zaireen ni anak bos saya. Dia,”

“Hah, perempuan yang sombong tu?” Kali ini memang jelas kebencian dalam renungan yang terlontar ke wajah Zaireen. “Hey, hang buat apa mai sini? Pi balik! Pi balik! Hang dengaq dak? Pi duduk kat rumah besaq hang! Pi kawan dengan anak orang kaya! Yang hang mai sini, hang nak buat kecoh, kan? Sudah! Dzul, pi duduk! Toksah layan budak perempuan penyombong ni!”

Mata Zaireen menyorot pandang telatah perempuan yang dipanggil oleh Dzulfadhli sebagai kak Yah itu. Kakak diakah? Nampak sangat di mata betapa wanita itu begitu berkuasa ke atas Dzulfadhli. Lelaki itu membiarkan sahaja perempuan kasar itu menarik tangannya untuk duduk semula di tempat duduk bertentangan dengan tuan kadi.

Oh tidak! Tak mungkin akan dia membiarkan lelaki itu terlepas daripada genggamannya. Tidak mungkin!

“Dzul, awak tak boleh kahwin dengan dia.” Dia kemudian menoleh ke arah Fatini yang kini sedang mengelap air mata yang menitis. “Fatini, Dzul tak boleh kahwin dengan awak. Sebab, dia, dia dah kahwin dengan saya. Kami dah menikah dan saya, sekarang, sedang mengandung anak dia. Sampai ke hati awak nak jadikan anak saya ni anak yang tak ada bapak? Sebab, saya tak sanggup bermadu. Tolonglah faham!”

Dzulfadhli memandang wajah Zaireen tajam. Sungguh dia tidak menyangka bahawa Zaireen sanggup menipu hanya semata-mata untuk menghalang perkahwinannya. Dia tidak mengerti mengapa Zaireen yang membenci dirinya sanggup mengeluarkan kata-kata penuh kepalsuan.

Kak Yah pula semakin berang. Hatinya membenci gadis yang mengaku perkara yang tidak-tidak. Dia tahu gadis itu berbohong dan dia amat yakin bahawa Dzulfadhli tidak pernah menikahi si sombong itu. Tak mungkin!

Keluarga di sebelah perempuan sudah mula bising. Mereka berbisik-bisik. Ada yang mula percaya. Ada yang mula yakin demi melihat air mata Zaireen yang bercucuran.

Tiba-tiba, bapa pengantin perempuan berdiri. Matanya tajam menikam wajah Zaireen.

“Nak, kalau betul hang dah kahwin dengan Dzul, hang tunjuk pada kami surat nikah hangpa. Ada hang bawak mai? Tunjuk! Buktikan pada kami. Kalau betui, la ni jugak, pak cik batalkan majlis ni.” ujarnya penuh ketegasan.

Zaireen kelihatan gelisah.

“Awat gelisah? Sebab anak tak ada bukti, kan? Tujuan anak ni mai sini saja-saja nak rosakkan majlis kenduri ni, kan? Dah lah tu! Pak cik mintak sangat... pi la balik! Kesiankan kami? Tetamu ramai ni! Malu!”

“Hoi, hang tunggu apa lagi tu? Keluaq la!”

Tapi, Zaireen? Otaknya tetap ligat berfikir. Tetap mencari akal untuk memiliki Dzulfadhli. Tangisnya kuat dan penuh hiba semula, mengisi ruang yang sepi ketika ini.

“Sampai hati awak, Dzul? Sampai hati tinggalkan saya? Macam mana dengan anak kita, Dzul? Macam mana kami nanti?”

Kak Yah sudah tidak mampu bersabar. Meluru dia ke arah Zaireen. Terus pipi Zaireen ditamparnya. Kiri, kanan, kiri, kanan, lagi dan lagi. Ditariknya rambut karat gadis itu. Puas hatinya mendengar Zaireen mengerang kesakitan.

“Kurang ajaq! Tergamak hang fitnah Dzul no!”

Sememangnya tiada belas kasihan lagi. Kini beberapa orang wanita lain turut mengerjakan si Zaireen. Mereka menampar, menarik rambut, menendang, menyepak sehinggalah satu suara bertempik garang...

“Lepaskan dia! Cukup!”

Dalam kesakitan, Zaireen tersenyum hambar bila Dzulfadhli menghampirinya. Sebaik tubuhnya dicempung oleh lelaki itu, air matanya menitis laju. Air mata gembira kerana dia tahu bahawa dia sudah menang.

Dalam keadaan separuh sedar dia mendengar sayup-sayup Dzulfadhli memohon maaf kepada seseorang. Dalam keadaan mamai, Zaireen mendengar Dzulfadhli mengaku bahawa anak yang dia kandung ialah anaknya. Betapa bahagia! Dzulfadhli sanggup menipu demi menyelamatkannya. Sekali lagi! 

Oh, sekali lagi, lelaki itu berkorban untuknya. Alangkah bahagia...



4

“Kenapa, Zaireen? Kenapa malukan mummy dengan daddy sampai macam ni sekali? Kenapa sanggup huru harakan majlis pernikahan Dzul? Kenapa pentingkan diri sangat? Berdosa, Zaireen! Berdosa apa yang kamu buat ni! Ya ALLAH, kenapa aku ada anak macam ni?”

Tempikan encik Karim memenuhi ruang tamu bagaikan petir.

“Apa salah Reen, daddy? Reen cuma mengambil semula hak Reen!" Bentak si anak.

"Apa? Hak? Hak apa?" tanya encik Karim dengan wajah yang benar-benar tidak memahami. 

"Daddy, Dzul pernah cakap yang dia cintakan Reen. Jadi, dia patut kahwin dengan Reen, kan? So, Reen pergi jemput dia, bawak dia balik ke sini supaya daddy boleh kahwinkan kami.”

Encik Karim tidak dapat menahan api kemarahannya lagi. Mendengar kata-kata selamba daripada Zaireen buat hatinya menjadi panas. Terus ditampar pipi anaknya itu.

“Dari kecil, kamu hanya tahu mementingkan diri kamu saja! Sampai hati kamu, Zaireen Aklima? Tidak ke kamu fikirkan perasaan Fatini? Tidak ke kamu fikirkan perasaan emak bapak, kaum kerabat Dzul ni? Kamu huru harakan majlis mereka, kamu kucar kacirkan semuanya. Maruah orang kamu jatuhkan! Daddy tak pernah ajar kamu jadi macam ni! Di mana hati kamu? Dah hitam sangat ke? Sampai tak ingat pada Qada dan Qadar ALLAH?”

Wajah Dzulfadhli yang beku diperhati. Meskipun tidak beriak, dia tahu lelaki yang seorang ini sedang menahan diri, sedang menahan sabar menghadapi sikap Zaireen yang melampau.

“Dzul,”

Dzulfadhli memandang ke arah lelaki di hadapannya.

“Maafkan uncle!”

Dzulfadhli hanya tersenyum nipis. “Perkara dah nak jadi, uncle. Saya yakin, keluarga saya dan keluarga Fatini redha menerima takdir ini. Insya-ALLAH, bila saya balik ke sana nanti, saya sudah bersedia menghadapi kemarahan mereka.” ujarnya lembut.

Encik Karim mendengus keras. “Dengar tu, Zaireen? Kerana perbuatan kamu, si Dzul ni mungkin akan dibuang keluarganya. Kerana kamu, dia mungkin akan dianggap anak derhaka. Puas hati kamu? Suka?”

Zaireen menjeling wajah ayahnya. Geram bila si ayah asyik marah-marah. “Alah, nanti, bila dah kahwin, Reen tahulah macam mana nak pujuk diorang,” balasnya acuh tak acuh.

Encik Karim menggelengkan kepala. 

“Daddy ingat bila kamu masuk ICU, lemah dah macam orang nak mati bila kena pukul dulu tu, kamu akan jadi manusia yang lebih baik hari ini. Tapi, rupa-rupanya, kamu tetap kamu. Tak sikitpun berubah. Tetap sombong! Tetap angkuh! Tetap pentingkan diri! Bila kamu nak berubah, Zaireen? Bila?”

“Bila Dzul ajak Reen kahwin dengan dia.”

Dzulfadhli memandang wajah di hadapannya dalam-dalam. “Awak serius nak kahwin dengan saya, Zaireen?” tanya dia.

Cepat-cepat Zaireen mengangguk.

“Walau apapun syarat yang saya letakkan nanti?”

Zaireen tetap angguk.

“Okey, bagi saya dua minggu. Lepas tu awak akan jadi isteri saya.”

Semudah itu sahaja Dzulfadhli membuat keputusan. Jawapan yang Zaireen nanti-nantikan. Jawapan yang menyebabkan Zaireen tersenyum hingga ke telinga. Manis sekali senyuman yang terukir pada bibirnya itu. Riak wajah seolah-olah sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menanti hari bahagia mereka.

5

Zaireen dan Dzulfadhli kini sudah selamat diijabkabulkan. Atas permintaan Dzulfadhli sendiri, majlis pernikahan mereka tidak diadakan secara besar-besaran. Tidak ada persandingan di dalam taman mahupun majlis resepsi di hotel mewah. Hanya kenduri doa selamat yang dihadiri oleh keluarga terdekat ke dua-dua belah pihak sahaja. Malah, tidak ada majlis menyambut tetamu diadakan oleh pihak lelaki sebagai tanda protes kerana Dzulfadhli mengahwini gadis yang telah menjadi penyebab kepada putusnya silaturrahim di antara keluarga Dzulfadhli dengan keluarga Fatini.

Senyuman Zaireen meleret manis bak madu. Wajahnya sungguh ceria. Kecantikannya semakin terserlah. Memang dia kelihatan amat bahagia sekali. Pada setiap masa, dirinya dilihat memeluk lengan Dzulfadhli sambil sering menjeling manja ke arah suaminya itu.

Dzulfadhli pula tetap tenang. Tidak banyak bercakap dan tidak juga kelihatan teruja. Riaknya amat bersahaja. Malah, ketika bapa mentuanya, encik Karim menghadiahi sebuah kereta dan sebuah rumah mewah sebagai hadiah perkahwinan, dia hanya sekadar mengucapkan terima kasih sahaja.

“Rumah dan kereta tu dah daddy pindah milik kepada nama kamu, Dzul,” encik Karim memberitahu.

Dzulfadhli diam sahaja.

“Dan, satu lagi! Zaireen, atas permintaan Dzul, daddy berhentikan kamu dari memegang jawatan CEO di syarikat kita.”

Berita itu menyebabkan Zaireen terkejut besar. Wajah ayahnya dan muka suaminya ditatap silih berganti. Riak tidak berpuas hati jelas terpampang.

“Tapi, kenapa?” soalnya.

“Sebab saya nak awak duduk di rumah selama 24 jam. Saya nak awak jadi isteri sepenuh masa untuk saya. Kenapa? Awak tak setuju ke?” suara Dzulfadhli kedengaran lembut menyapa telinga puan Juriah, encik Karim dan Zaireen. Pandangannya tajam menikam wajah si isteri yang kelihatan terkejut.

“Tapi, kalau Reen tak kerja, siapa yang nak....”

“Nak apa, Zaireen?” tanya encik Karim.

Zaireen kegelisahan. Melihat dahi suami yang baru menikahinya kini sedang berkerut, dia semakin kehilangan kata-kata. Bimbang Dzulfadhli terasa hati pula.

“Maksud Zaireen tu, daddy, ialah, siapa nak bagi kami berdua makan. Betul tak, Zaireen?” keras suara Dzulfadhli sekali ini.

Encik Karim ketawa. “Owhh, kalau itu..., kamu toksah risau, Reen. Daddy ada perancangan daddy sendiri.” jelasnya.

“Tapi, daddy? Jawatan CEO syarikat tu kan penting? Mana ada calon lain kat ofis tu yang layak ganti Reen?”

Dzulfadhli tersenyum sinis mendengar kata-kata isterinya.

“Ada!”

Mata Zaireen membuntang.

“Maksud daddy, daddy dah ada calonnya?” suara Zaireen melantun kuat.

“Tentulah!”

“Siapa?”

“Hai, siapa lagi? Tentulah Dzul, menantu daddy yang kamu dah pilih ni!”

Mulut Zaireen terlopong. “Biar betul!” jeritnya.

Tiga pasang mata mencerlung menatap wajah tidak puas hati Zaireen. Lama suasana sepi bila tetiba suara ketawa Dzufadhli memecah keheningan.

“Kan saya dah beritahu daddy?” tanya Dzulfadhli sambil tersenyum ke arah encik Karim. “Dia mesti cakap macam tu! Dia tentu tak setuju, daddy. Maklumlah saya ni cuma budak pejabat aje, kan? Mana layak duduk di atas kerusi yang pernah dia duduk? Lulusan sijil vokasional tak setanding dengan lulusan ijazah First Class with Honors, daddy, mummy!”

Wajah Zaireen merona merah mendengar sindiran Dzulfadhli itu. Kata-kata yang pernah diajukannya kepada lelaki itu kini terdengar panas di telinganya sendiri. Tapi, hari ini, dia tak mahulah suami merajuk, kan? Jadi, sambil memegang tangan suaminya, dia cuba meyakinkan...

“Bukan itu maksud Reen, abang. Reen.....”

Encik Karim segera mencelah. “Syarikat tu milik daddy, Dzul. Daddy boleh pilih siapa yang daddy mahu menjadi CEO syarikat. Jangan pedulikan apa Zaireen nak cakap. Setuju atau tidak, bukan hak dia pun!”

Dzulfadhli tersenyum. “Terima kasih, daddy.” ujarnya perlahan.

Zaireen terdiam. Tidak tahu apa yang hendak dikatakannya lagi. Hati sememangnya mendongkol geram. Namun, dia tidak menyalahkan Dzulfadhli. Kemarahannya lebih terarah kepada ayahnya tetapi, dia tidak mahu membangkang secara terbuka. Dia bimbang kalau nanti Dzulfadhli akan berkecil hati pula.

‘Tak apa! Esok-esok aku jumpa daddy. Hisy, kut iya pun, takkan tak ada orang lain yang lebih layak?’ hati berbisik.

Malam itu, di dalam bilik tidur mereka, Dzulfadhli tidak langsung mengendahkan Zaireen. Dia tidak menegur malah tidak mahu merenung pun. Sebaik sudah menyempurnakan solat Isyak, dia mengambil bantal dan selimut lalu berbaring di atas sofa. Matanya terus terpejam dan tidak lama kemudian, dengkuran halusnya kedengaran.

Zaireen jelas kegelisahan. Malam yang diharapkan akan memberikan keindahan, tidak terjadi. Dirinya terbiar sepi. Dirinya tidak dipedulikan.

Dan, air mata menemani tidurnya di malam pertama bergelar seorang isteri.

6

Dzulfadhli menggelengkan kepala sambil memerhati si dia yang masih mengerekot di atas katil. Segera, suis pendingin hawa ditutup. Meskipun jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi, dia sudah berniat untuk mengejutkan perempuan itu daripada terus lena dan leka.

"Zaireen! Bangun!" panggilnya.

Zaireen mengalihkan tubuhnya, membelakangi Dzulfadhli. Masih lagi belum terjaga.

Meskipun hati bergetar hebat melihat betapa seksi si isteri di dalam pakaian tidurnya, dia tetap mencuba menahan perasaan. Tidak mahu terikut-ikut dengan gejolak nafsu sedangkan diri masih belum bersedia menjalankan tanggung jawab seorang suami. Kerana bagi Dzulfadhli, masih banyak yang perlu dibuat untuk meruntuhkan ego Zaireen yang terlalu tinggi! Masih banyak yang menjadi perbezaan di antara mereka berdua.

“Zaireen! Bangunlah!”

Terpisat-pisat Zaireen jadinya. Mata digosok-gosok. Demi terpandang wajah suaminya, terus peristiwa semalam menujah ingatan. Perasaan tidak puas hati segera ditunjukkan. Dia kemudian membaringkan dirinya semula, cuba menarik selimut untuk menutupi kepala.

“Aku bilang tiga. Kalau kau tak bangun, aku jirus kau dengan air sejuk ni!” tegas Dzulfadhli yang kini sedang memegang gayung berisi air hampir dengan kepala si isteri.

“Kalau berani, cubalah!” balas Zaireen keras.

Dzulfadhli pun apa lagi? Terus sahaja disiramnya bahagian kepala yang tertutup menyebabkan Zaireen menjerit.

“Dzul! Apa awak buat ni?”

“Kan aku dah suruh kau bangun? Aku kejutkan elok-elok, kau degil, masih juga buat-buat tidur. Kau cabar aku jirus kau, aku buatlah! Dah! Jangan banyak songeh! Bangun! Pergi mandi, ambil wuduk, dan solat dengan aku. Cepat!” perintah Dzulfadhli.

Mata melirik ke arah jam. “Alah, baru pukul 4.30 pagi! Nak solat apa ni?” bantah Zaireen sambil menutup mulut yang terbuka luas gara-gara menguap.

Mata Dzulfadhli bulat merenung Zaireen menyebabkan Zaireen menjadi serba salah.

“Kau cakap, kau sanggup ikut apa juga syarat yang aku berikan? Masih ingat lagi janji kau tu? Atau, kau nak mengelat? Aku okey aje. Bukannya aku lahap sangat nak kahwin dengan kau ni. Kalau kau tak suka,”

“Abang? Sampai hati cakap macam tu?” Zaireen mula berasa hiba bila Dzulfadhli mengungkit tentang pernikahan mereka.

“Aku cuma cakap perkara yang benar. Kalau kau nak terus menjadi isteri aku, kau mesti patuh perintah aku, Zaireen. Seorang isteri yang baik tak akan pernah pertikai suruhan suaminya.” 
Wajah Zaireen ditatap seketika sebelum dia menjauh dan berdiri di hadapan cermin rias. Dari dalam cermin, dia melihat gelagat Zaireen yang kini sedang duduk tegak dengan wajah yang kelat.

“Tapi, kalau kau rasa apa yang aku mintak kau buat ni berat sangat? Okey, kita batalkan saja perjanjian,”

“No!” Zaireen melompat turun dari katil. Terus dipeluknya tubuh Dzufadhli daripada belakang. “Jangan cakap macam tu! Reen janji, Reen akan patuh pada cakap abang.”

Dzulfadhli meleraikan pelukan Zaireen pada tubuhnya.

“Aku tunggu kau di bilik solat,” ujarnya tanpa berpaling ke arah Zaireen langsung. Laju langkah kakinya diatur meninggalkan Zaireen kehampaan sekali lagi.

Usai mengerjakan solat Subuh, Zaireen yang masih mengantuk berhasrat untuk tidur semula namun hasrat itu terbantut bila Dzufadhli menahan langkah yang ingin diatur menuju ke bilik peraduan mereka.

“Tolong sediakan sarapan untuk aku. Aku nak minum kopi dan makan nasi goreng.”

Zaireen mengerutkan dahi. “Mak Tam ada kat dapur tu! Mintaklah pada dia. Reen ngantuk ni!”

Bila Dzulfadhli tidak menyahut, Zaireen mula berasa cuak. Ketika mendongak, sepasang mata sang suami sedang mencerlung ke arahnya. Dzulfadhli kemudian mencampakkan sesuatu ke muka. Bedebuk....

“Ouch!” Zaireen terjerit sakit.

“Itu perjanjian yang aku dah sediakan. Baca! Kalau nak jadi isteri aku, ikut semuanya! Kalau tidak?”

Ayat dibiarkan tergantung. Wajah Zaireen ditatap seketika sebelum dia keluar dari bilik solat yang luas. Sengaja memberi ruang kepada Zaireen untuk berfikir. Baru beberapa langkah, Dzulfadhli berpaling.

“Oh ya, Zaireen! Di ruang belakang tu, kau tanda tangan kalau kau setuju. Boleh aku tunjukkan pada daddy. Aku nak daddy jadi saksi pada perjanjian kita. Lagi satu! Jangan fikir lama-lama sangat. Perut aku ni perut orang kampung yang biasa makan awal pagi. Kalau dah masuk angin nanti...." 

Dzulfadhli sengaja menghentikan bicara sehingga tumpuan Zaireen sepenuhnya diperoleh. Wajah suram Zaireen kini dalam tatapannya.

"Aku tak nak cakap banyaklah! Tapi, aku rasa, kau faham maksud aku. Kan?”

7

Sudah seminggu mereka memasuki rumah baru. Bererti sudah seminggu mereka bergelar suami dan isteri. Itu juga bermaksud bahawa sudah seminggu dirinya bergelar seorang suri rumah sepenuh masa. Dia bukan lagi seorang CEO yang bergaya ke pejabat sebaliknya kini, dia sibuk dengan urusan di dalam rumah besar yang dimiliki suaminya.

Setiap hari, jadual kerjanya sudah ditetapkan oleh Dzulfadhli. Seawal jam 4.30 pagi, dia sudah wajib bangun untuk bertadarus dengan suaminya itu. Kemudian dia akan turun ke dapur untuk membuat sarapan. Sebaik Dzulfadhli memandu keluar, dirinya terpaksa memulakan tugas membasuh kain dan mengemas rumah. Jam 11 pagi, dia perlu menyediakan makan tengah hari kerana lelaki itu akan balik untuk menikmati hidangan.

Rutin tidak berakhir di situ. Nanti suaminya akan menyelidik keadaan kebersihan. Jika Dzulfadhli tidak berpuas hati, pasti Zaireen akan disuruh mencuci atau mengelap semula. Haih!

Zaireen mengeluh kecil. Badan yang sedang berbaring di atas sofa terasa terlalu penat. Ya, memang dia lelah dengan apa yang sedang dilalui. Setiap hari, air mata pasti menitis.

“Apa? Kamu nak suruh mak Tam tolong kamu? Itu namanya menipu, Zaireen!”

Jerkahan ibunya masih kedengaran di telinga. Itu, apa yang berlaku semasa dia dan Dzulfadhli pulang ke rumah orang tuanya kelmarin. Dia merayu meminta ibunya menghantar mak Tam setiap pagi ke rumah, untuk membantu dirinya, sebaik suaminya sudah ke tempat kerja. Malangnya, puan Juriah mengamuk sakan! 

Aduhai, apalah malangnya nasib? Ibu sendiri tidak mahu menolongnya. Dia meminta puan Juriah menghantar mak Tam untuk menolong dia mengemas rumah tetapi ibunya marahkan dia pula.

“Zaireen, mengemas rumah, menjaga makan minum suami, tu semua memang kewajipan isteri. Jangan kamu nak merungut letih ke hapa! Belajarlah buat semua tu!”

“Tapi, mummy, orang letih. orang penat! Mummy tahu tak?”

“Kalau tak ikhlas, memang macam gitulah keadaannya! Zaireen, belajarlah ikhlaskan diri bila kamu buat sesuatu. Kata cinta, kasih, sayang, segala... pada Dzul? Buktikanlah!”

Zaireen mencebik. “Eleh! Ada ke macam tu cara nak buktikan sayang Reen? Cinta Reen? Mummy, cinta, kasih, sayang tu semua kita tunjukkan dengan cara memberi ciuman, peluk, dakap.... bukan dengan jadi orang gaji! Bukan dengan jadi kuli!” bentaknya.

“Astaghfirullahil’azim! Kamu ni.... tak faham-faham! Nak pikat hati suami bukan dengan cara peluk, cium saja, Zaireen! Dengan kata-kata lembut, manis, perlahan... dengan keadaan rumah yang bersih, dengan masak makanan yang dia suka, dengan merendah diri, semua tu perlu untuk bina rumah tangga yang bahagia. Kamu tahu tak? Jangan anggap yang suami kulikan kamu bila dia hendak kamu sendiri buat semua benda dalam rumah tu. Salah anggapan kamu tu! Kalau dengar dek Dzul, apa pulak yang akan dia fikirkan nanti?” marah puan Juriah.

Zaireen mendesis geram bila mendengar kata-kata ibunya. Hatinya masih terbuku. Masih penuh kesal.

“Mummy, kami baru kahwin! Baru seminggu! Tapi, Reen rasa jauh dari Dzul, mummy! Dia,”

“Salah kamu!”

Mata Zaireen buntang. “Salah Reen?”

Giliran puan Juriah mengangguk pula. “Ya! Kamu paksa orang yang dah bencikan kamu supaya kahwin dengan kamu.”

“Benci? No! Dzul tak bencikan Reen. Dia cintakan Reen! Sekarang ni, dia cuma nak...”

“Nak apa?”

Terkial-kial Zaireen hendak mencari perkataan yang sesuai.

“Dia sedang membalas dendam, Zaireen. Dia nak buat kamu bayar balik semua perbuatan kamu pada dia dulu. Kalau kamu masih tak sedar, dan tak mahu berubah, maknanya, kamu sengaja nak buat dia makin bencikan kamu. Reen, dengar cakap mummy ni! Kalau kamu betul sayangkan Dzulfadhli, jadilah isteri yang baik untuk dia. Jangan merungut dengan segala apa yang dia sedang balas pada kamu sekarang! Jangan sedih kalau dia marah kamu. Jangan melawan kalau dia herdik kamu. Tabahkan hati dengan segala kerenah dia. Bersabar dan tawakal! Berdoa pada TUHAN agar hati suami kamu tu dapat kamu lembutkan dan membalas cinta kamu semula.”

Zaireen bangun menuju ke meja makan. Lauk yang tidak berusik dan nasi Dzulfadhli yang masih berbaki di dalam pinggan, membuat air mata menitis.

Masih terdengar-dengar kata-kata lelaki itu tadi....

“Dah seminggu, Zaireen! Dah seminggu kau masak tapi masih tak berubah-ubah. Nasi yang keras, lauk yang entah apa-apa rasanya. Sayur yang direbus saja... . Eh, perempuan! Aku nak tanya kau sikit. Tadi, masa kita makan, kau suka ke rasa apa yang kau masak tu?”

Zaireen melepaskan keluhan sambil menggeleng.

“Dah tu? Kalau kau tak lalu, aku macam mana? Zaireen, kalau kau nak, kau boleh usaha, tahu! Telefon mummy tanya, beli buku resepi ke... Tapi,”

Zaireen menangis sambil menyuap nasi dan lauk dari pinggan suaminya ke dalam mulut. Semuanya terasa tawar. Malah, ikan goreng itu sangat hanyir baunya. Dia sendiri rasa ingin termuntah.

“Maafkan Reen! Maafkan Reen! Betul kata mummy. Reen ni bodoh. Reen tak pandai menghargai. Reen dah ada Dzul tapi Reen masih pertahankan ego Reen ni. Dzul, bagi Reen satu lagi peluang. Jangan tinggalkan Reen. Jangan tinggalkan Reen,” bisiknya sambil cuba lagi menelan butir-butir nasi yang ada.

“Tapi, kau ni berlagak betul, Zaireen! Aku ingat dengan suruh kau buat semua ni, kau nak berubah. Tapi, apa kau kata pada mummy? Aku kulikan kau! Dahlah, Zaireen. Aku dah malas dengan kau ni! Suka hati kaulah! Kau nak ajak mak Tam buat semua kerja dalam rumah ni, ajaklah! Kau nak suruh mak Tam masak, masaklah! Mulai hari ini, kau tak payah ikut rutin yang aku dah buat. Lebih baik kita jadi orang asing sajalah!”

Dalam titis air mata, Zaireen bertekad untuk berubah. Demi Dzulfadhli, dia akan pastikan dirinya pandai masak. Dia juga akan pastikan dirinya tidak lagi menyesali takdir. Kerana seharusnya dia bersyukur, ALLAH redhakan lelaki itu menjadi suaminya.

Ya, ego akan dilontar jauh!

8

Dzulfadhli duduk berhadapan dengan ayah mentuanya. Sedikit gelisah bila sepasang mata encik Karim merenung dirinya tajam. Senyuman yang tersungging pada bibir lelaki lewat usia 50an itu menggugat jiwa lelakinya. Mana tak risau? Dia tahu, selama hampir sebulan berumah tangga, layanannya terhadap anak gadis encik Karim memang sangat-sangat mendukacitakan!

“Daddy nak jumpa saya?” tanya dia bodoh. Iyalah, kalau sudah disuruh duduk, tentu sahaja ada perkara penting sedang menanti, bukan begitu?

“Daddy tengok, kamu ni dah semakin kurus, Dzul. Tak cukup makan, ya? Kesian kamu! Dapat isteri buat satu apa pun tak reti,” gumam encik Karim sambil menyandarkan tubuhnya ke belakang kerusi.

Dzulfadhli tersenyum. “Tapi, sekarang ni nampaknya dah ada perubahan, daddy. Actually, dah banyak sangat perubahan dia. Masak pun dah pandai sikit dah!”

Encik Karim terus tergelak mendengar cerita menantunya. Sebenarnya, kalau Dzulfadhli tidak memberitahu, dia memang sudah pun mengetahuinya. Setiap hari, tentang perihal Zaireenlah yang akan ditanya kepada isterinya. Nanti, puan Juriah akan ‘update’ tentang perkembangan diri anak tunggal kesayangan mereka itu kepadanya. Dan, selalunya, dia dan isteri akan melafaz rasa syukur kerana Zaireen akhirnya mahu berubah.

“Sejak kamu marah dia tak reti masak, sejak itu dia berusaha beli buku resepilah, telefon tanya mak Tam, tanya mummy... Ada kamu rasa asam pedas ikan tenggiri yang dia masak semalam?”

Dzulfadhli terangguk-angguk. “Sedap giler, daddy! Betul ke Reen yang masak?” soalnya dalam rasa teruja.

Hahaha..... Encik Karim tidak dapat menahan tawa. “Itulah soalan daddy pada mummy kamu, kamu tahu tak?”

Ketawa mentua disambut menantunya. Wajah masing-masing penuh keriangan. Semakin kuat tawa mereka bila Dzulfadhli memberitahu, “Saya rasa macam nak tambah aje nasi, semalam tu. Tapi, terpaksalah saya kawal selera, daddy! Nanti terperasanlah pulak anak kesayangan daddy tu!”

“Kamu memang hebat, Dzul. Selama ni, daddy fikir, Zaireen tak akan berubah perangainya. Sampai satu tahap, daddy jadi takut tengok perangai sombong dan ego dia tu. Daddy ingat, dia akan kekal begitu tapi sebab kamu, sebab cinta, dia sanggup buat apa saja untuk memenangi hati kamu. Terima kasih, Dzul,” ucap encik Karim dengan sepasang matanya berkaca-kaca. Sebak dan hiba.

“Jangan cakap macam tu, daddy. Saya buat semua ni sebab saya sangat cintakan Zaireen. Tapi, bagi saya, cinta saja tak akan mampu membahagiakan rumah tangga kami kalau masing-masing tidak mampu untuk saling menghormati. Saya tahu dan sedar yang selama ni, saya terlalu kasar dengan dia. Tapi, daddy pun tahu, kan? Yang saya pernah berlembut dengan dia tapi langsung dia anggap saya macam sampah. Maklumlah pada dia, saya ni tak layak kawan dengan dia.” Dzulfadhli mengungkap kisah lama.

Encik Karim menggelengkan kepala. “Yang kamu tunjuk sijil SPMV kamu tu buat apa?”

“Alah, daddy. Apalah yang nak saya banggakan dengan ijazah dan sijil-sijil lain tu semua? Orang lain dapat masa umur dia orang muda. Habis SPM, masuk matrik lepas tu terus buat degree. Saya? Tamat vokasional, relaks. Bercampur dengan mat rempit. Hu ha sana, hu ha sini. Bila bawak kereta macam pelesit dan hampir menyebabkan kematian ayah, barulah nak sedar diri....”

“Memang benar. Lelaki akan matang bila dia hampir kehilangan tonggak dalam keluarganya dan kamu dah buktikannya. Bertuah Zaman ada anak macam kamu ni, Dzul.”

Dzulfadhli senyum. “Tapi, ayah saya bertuah dapat kawan baik seperti daddy. Dah kaya pun tapi tak pernah lupakan dia.”

“Kawan yang baik tak pernah lupakan kawan dia. Dan, kawan yang baik juga tak akan makan kawan dia. Ingat tu!”

“Tapi, kenapa rahsiakan identiti Dzul dari Reen? Kenapa tak berterus terang? Kenapa malukan Reen begini?”

Kedua-duanya serentak memandang ke arah pintu di mana Zaireen sedang menitiskan air mata. Zaireen sudah mendengar kesemuanya. Betapa malu! Betapa kecewa! Betapa hampa bila diri dipermainkan oleh ayah dan suami sendiri.....

9

“Yang kau nak marah sangat ni, kenapa?” Dzulfadhli bertanya sambil berdiri tegak di hadapan isterinya.

“Sebab kau tu penipu! Sebab kau sengaja nak sakitkan hati aku!” balas Zaireen keras. Ah, peduli apa pada hubungan, saat dan ketika ini? Peduli apa pada siapa dia menengking? Hatinya sedang terlalu sakit. Dia ditipu hidup-hidup! Dia tak boleh terima semua itu!

Puan Juriah menggelengkan kepala.

“Zaireen, cuba cakap baik-baik sikit! Dzulfadhli tu suami kamu. Suami yang kamu sendiri pilih. Bukan pilih pun sebenarnya, dia yang kamu paksa kahwin dengan kamu. Jangan kurang ajar sangat! Mummy ni pun dah sakit telinga, sakit hati dengan perangai kamu, ini kan pulak Dzul! Jangan kamu uji kesabaran dia sangat, Reen! Nanti menyesal tak sudah!”

Zaireen mendengus. Wajah Dzulfadhli dikerlingnya. Jelas lelaki itu sedang cemas. Jari jemarinya asyik diraupkan ke wajah dan melurut rambut. Apakah yang sedang difikirkan oleh lelaki itu? Adakah Dzulfadhli sudah bersedia untuk meminta maaf kepadanya?

“Kau nak apa dari aku, Zaireen? Kau nak aku mintak maaf? Macam mana dengan kau? Sanggup kau mintak maaf dengan aku? Huh?”

“Kau yang tipu aku! Kau..”

“That’s it!” Dzulfadhli terus menarik tangan Zaireen keluar daripada rumah mentuanya. Bila Zaireen meronta minta dilepaskan, semakin kejap tangan itu ditarik. Tubuh Zaireen kemudian ditolak memasuki kereta. Seketika kemudian, kereta dipecut keluar dari rumah agam itu.

“Ke mana Dzul nak bawa anak kita tu, bang?” puan Juriah bernada cemas.

Dengan wajah selamba, encik Karim memberitahu, “Plan C. Kalau tak jadi jugak, tak tahulah!”

“Maknanya, abang tahulah apa Dzul nak buat?” tanya puan Juriah yang masih keliru dengan tingkah suami. Begitu bersahaja sambil minum air kopi yang dihidangkan mak Tam tadi.

"Hmm,"
.......................

“Kenapa kita ke sini?” tanya Zaireen. Cemas nampaknya.

Dzulfadhli berpaling, merenung wajah Zaireen dalam-dalam. “Di sini kita bermula, di sini juga pengakhirannya, bukan?”

“Aa...apa maksud awak, Dzulfadhli? Aaa..awak nak...” Air jernih sudah memenuhi tubir mata.

“Aku tak nak! Tapi, kau yang paksa aku, Zaireen binti Karim.”

“Tapi,”

Wajah Zaireen direnungi dalam pandangan lembut berkaca, “Kalau kau betul berada di luar dan kau dengar semua apa yang aku cakap pada daddy tadi, kau tentu dengar yang aku cakap aku cintakan kau. Aku terima buruk baik kau. Aku terima kesombongan kau. Semua tentang kau sikitpun aku tak tolak tapi aku hanya ingin mengajar agar kau tahu menghormati aku, suami kau! Tapi, aku dah letih melayan ego kau, Zaireen. Aku dah letih melayan kesombongan dan keangkuhan kau! Aku penat! Betul kata bijak pandai. Susah hendak mengubah sikap seseorang. Susah sangat! Aku sangkakan aku boleh mengubah kau jadi manusia yang lebih baik malangnya aku tak berjaya. Zaireen, dengar cakap aku! Kalau kau rasa apa yang aku buat selama aku jadi suami kau ni, salah, maka salahlah aku! Dan, sebagai pesalah kau, aku nak bebaskan kau dari penderitaan."

Wajah Zaireen ditatapi lama. Ada kesedihan dalam pandangan itu. Dzulfadhli kemudian menghela nafas panjang-panjang lantas melepaskannya perlahan-lahan.

"Aku nak turun. Aku tunggu kau dalam pejabat ustaz Dolah.” bisiknya lalu keluar daripada kereta.

Zaireen rasa tenaganya hilang sehingga dia tidak mampu bernafas.

“Jangan! Jangan pergi!” hatinya memekik.

“Biarkan dia! Dia kata kau ego, tapi dia lebih angkuh! Langsung tak mahu mengalah dengan kau. Suami apa macam tu?” Hati hitamnya berbisik.

“Zaireen, kau dah cuba berubah! Kau cakap kau nak jadi isteri yang disenanginya. Kau dah belajar masak. Dah pandai dah pun sikit! Untuk siapa semua tu? Bukan untuk suami kau ke?”

“Dia benci kau! Tak guna kau terus bersama dia!”

Zaireen langsung menangis. Kepala digeleng-gelengkan, menafikan semua bisikan yang syaitan hembus di telinga kirinya.

“Tak, dia tak benci aku. Kalau aku tertidur kat ruang tamu, dia akan angkat aku dan letak aku baik-baik atas katil. Dia selimutkan aku. Dia kucup dahi aku. Dia ingat aku tak sedar tapi kadang-kadang aku dengar dia bisik, ‘Abang sayang Reen,’. Dia sayang aku! Dia cintakan aku!”

Zaireen segera keluar. Dia tahu, dia tidak mungkin dapat peluang kedua bila Dzulfadhli melepaskannya.

“Abang,” jeritnya lantang.

Dzulfadhli menghentikan langkah yang sememangnya perlahan. Senyuman tersungging menghiasi bibir.

“Ampunkan Reen. Maafkan Reen. Reen nak jadi isteri abang sampai Reen mati. Reen mohon, tolong bagi Reen peluang itu. Reen janji, Reen akan cuba ubah perangai buruk Reen. Reen...”

Dzulfadhli sudah terlalu hampir dengan isterinya. Terus dahi Zaireen dikucupi. “Thank you.”

Zaireen mendakap tubuh suaminya erat-erat. 
“No, thanks to you! Abang yang dah banyak sedarkan Reen. Kalau orang lain...”

“Orang lain? Jangan harap abang nak benarkan lelaki lain mencintai Zaireen. Bukan senang nak dapat Reen tau! Jenuh kena maki, kena baling dengan nasi mamak, kena simbah dengan teh ais...”

Zaireen segera menutup mulut Dzulfadhli.

“Seribu kemaafan pun tak akan dapat menghilangkan rasa kesal dari hati Reen, bang!” bisiknya.

Dzulfadhli tersenyum. Senyum penuh makna. Terus tangan isteri ditarik lembut. Dan, di dalam kereta, dia membisikkan...

“Reen mesti bayar balik semua tu seumur hidup Reen, tau!”

Zaireen membalas senyuman itu. Buat pertama kali Dzulfadhli dapat melihat keikhlasannya! Dan, hati pun mengakui bahawa meskipun ramai perempuan baik-baik ada di luar sana namun....

Tak ada yang seperti kamu, Zaireenku!








Terima kasih atas kunjungan anda. Sila like fan page kak sofi dan jemputlah follow blog ni, ya. :)

13 ulasan:

  1. huwaaa...x tahu knp, but i'm crying time baca part 8..time dzul dok ckap ngan daddy tu~

    >>i<<

    BalasPadam
  2. Best...
    Bukan senang nak berubah kan...
    tapi berubah utk kebaikan rumahtangga memang perlu

    BalasPadam
  3. tahniah kak sofi..selalu tertanya2, mcamana kak sofi dapat idea untuk menulis cerita2 yg berkualiti & baik..
    - Hanita -

    BalasPadam
  4. adeh..best..meleleh2 ayor mata...

    BalasPadam
  5. Semua best tau sis klu nk disambungkan...

    BalasPadam
  6. Best sgt2...

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Komen

blogger-fcebook

Disqus Shortname