Langkau ke kandungan utama

Pemburu Cinta: Versi Cerpen


Assalamualaikum... jemput baca cerpen penuh Pemburu Cinta...
..................



1

"Sayang suka tak hadiah yang abang belikan tu?" 

Gadis yang ditanya tersipu malu namun kepalanya terangguk-angguk tanda dia seronok menerima pemberian ikhlas daripada lelaki yang kini memandang dia dengan senyuman yang menguntum pada bibir. 

"Terima kasih, abang." balas gadis itu. Manja alunan suara bertujuan menggoda tentunya. 

"Sayang nak beli apa-apa lagi ke?" 

Tanya lagi tu! Mata yang kuyu memukau wajah si jelita. Namun si gadis segera teringat pesan ibunya...
"Jangan tamak sangat. Jangan gelojoh! Biar sikit dulu, lama-lama jadi bukit! Biar undur dulu, lama-lama, pecut! Sampai bila Azhar dah tak boleh tidur malam teringatkan kamu, Jamilah, hmm, masa tu baru kamu demand tinggi-tinggi. Faham?"
Jamilah tersenyum. Tentulah dia faham benar apa maksud tersirat di sebalik kata-kata nasihat ibunya itu. Biar bersabar, biar beralah dahulu! Nanti...

"Sayang ni, jangan senyum macam tu! Nanti abang termimpi kat rumah, jenuh kena sembelih! Tahu, tak?" Manja sahaja Azhar mengenakan Jamilah. Seronok bila gadis itu mencubit lengannya. Bahagia!

"Alah, jangan nak cong la, bang! Kalau abang mimpi pun, abang bukan panggil...'Milah...Milah!' Nanti, abang sebut... sayang, sayang!... Orang kat sebelah abang tu pun, apa lagi.. perasanlah! Kan?" Jamilah mengenakan Azhar pula. Untuk usikan itu, hidungnya dipicit. Lantas, dia terjerit kecil! Ala-ala manja gitu!

"Sayang lapar tak? Jom kita pergi makan! Sayang nak makan apa? Di mana? KFC? Pizza Hut? Mc Donald? Atau.... kat Seri Melayu? Cakap aje! Abang jadi pemandu Sayang hari ini." Azhar berkata penuh semangat. 

"Sayang nak makan ais krim, boleh tak, abang?" 

"Sure! Jom, kita makan gelato. Sedap! Halal lagi! Jom!" 

Tangan gadis itu ditarik lembut. Bahagia sungguh kedua-duanya. Tidak disedari bahawa pada saat itu, ada hati yang terguris! Ada jiwa yang parah. 


"Lelaki sekarang memang banyak yang berperangai macam Azhar tu, Miza. Dah ada bini, anak berderet tiga... Umur dia sendiripun dah 40an, tapi masih nak cari pucuk muda. Yang perempuan tu pulak, macam dah tak ada lelaki anak teruna untuk dia. Haih! Geram betul aku!" Siti membebel. Bebelan yang menambahkan lara dalam hati seorang isteri bernama Miza.

Miza tidak menyahut malah tidak mampu bersuara. Hanya hatinya penuh kesalan. Kesal dengan sikap suami yang tidak pernah berubah. Sungguh, Azhar tidak mungkin akan sedar bahawa ini bukan kali pertama lelaki itu mengkhianati kasih sayang isterinya. Sejak lama, Miza sudah memendam rasa. Usia perkahwinan yang menjangkau lima belas tahun, telah lama menyedarkan dirinya tentang lelaki jenis apakah suaminya itu.

"Miza!"

"Err..."

Terganggu lamunan. Kini Miza merenung wajah sahabat baiknya dalam-dalam. Ingin tahu apakah yang mengganggu fikiran sehingga menyebabkan dahi berkerut seribu.

"Laki kau tu,"

"Kenapa dengan dia?"

"Mana dia dapat duit dok belanja perempuan tu di Pavilion ni? Dalam rumah kau tu, yang pegawai... kau. Yang gaji tinggi, kau! Rumah, kereta, semua-semua duit kau! Habis, macam mana dia boleh beli segala macam benda yang kita nampak tadi?"

Siti tentulah hairan. Memborong sakan perempuan muda itu tadi. Dengan gincu, dengan mekap, dengan minyak wangi, baju lagi...

"Sah-sah, dia belanja perempuan tu dengan duit kau, kan?" Siti menekan.

Miza mengeluh. "Silap aku!"

"Kenapa?"

"Semalam dia cakap, ada orang nak potong api. Jadi, dah dekat dua bulan tertunggak.. adalah dalam RM500 aku bagi ke dia. Habislah tu!"

Siti naik berang. Sakit hatinya mendengar kata-kata Miza. Lebih sakit sebab Miza tenang sahaja. Tak ada perasaan ke apa?

"Aku nak tengok sampai bila kau boleh sabar dengan perangai si Azhar tu!" bentak Siti.

Miza menatap wajah temannya sambil tersenyum nipis. "Aku pun dah tak ada kesabaran dah. Tapi, nak bukak mulut tu, aku susah sikit. Dia jerkah kang, malu aku pada anak-anak, Siti."

"Malu kejap aje! Lagi pun, anak kau tentu faham kenapa kau dah tak boleh bersabar dengan Azhar tu. Yang kau takut sangat nak bertekak dengan dia tu, kenapa?"

"Sebab dia suami aku!"

Siti mencebik. "Dia? Ada tak dia anggap kau tu bini dia?"

..........................

2

“Abang,”

“Hmm?” Wajah cantik di hadapannya ditatap penuh mesra. Hati memuji kecantikan yang dilihat. Memang bertuah kerana dapat memikat gadis bernama Jamilah yang menjadi rebutan ramai di pejabat mereka.

Azhar tidak tahu kenapa Jamilah meminatinya. Dia hanya seorang kerani sedangkan Jamilah ialah pegawai akaun di pejabat, lulusan daripada salah sebuah universiti tempatan. Mungkin sebab dia hensem kut? Atau, kelebihan yang biasa kawan-kawannya sebut tentang dirinya iaitu kelembutan bicara dan keprihatinannya. Entahlah. Tapi, tak salah, kan? Kalau orang dah suka, kita layan ajelah, fikirnya.

Rasa bersalah? Pada Miza? Kenapa pula? Makan pakai di rumah tu, semua dah cukup. Azhar tersenyum lagi. Dalam hati terdetik juga... walaupun bukan duit aku bagi ke dia, tapi dia patut bersyukur! Kalau aku tak kahwin dengan dia, siapa yang nak kat dia tu? Bukannya lawa sangat pun!

“Abang, mak sayang tanya... bila abang nak lamar sayang? Bila nak kahwin ni?”

Soalan Jamilah menyebabkan Azhar tersedak. Tak sangkalah pula itu yang akan ditanya. Lantas wajah Jamilah ditatap tajam.

“Sayang dah sedia nak kahwin dengan abang ke? Dah ready?” tanya dia.

Tanpa malu, Jamilah mengangguk.

“Sayang, fikir masak-masak! Abang ni apa pun tak ada. Gaji abang kecik. Abang bukan orang kaya. Nak tampung yang sorang di rumah tu pun abang tak mampu, tahu! Nanti kalau kita kahwin, abang takut sayang.....”

Cepat-cepat Jamilah menutup mulut Azhar dengan tapak tangannya. Kepala digeleng-geleng. “Sayang tak kisah, abang! Duit ringgit semua tu, sayang dah ada. Sayang cuma nak abang saja.”

Lembutnya lidah merayu, kan? Mahu tidak tersentuh jiwa Azhar? Gadis cantik, muda, bergaji lebih besar daripadanya hanya mahukan perlindungan dan kasih sayang sahaja. Namun dia masih mahu menguji.

“Sayang ni sekarang cakap macam tu lah! Nanti bila dah kahwin mulalah marah-marahkan abang. Cakap abang tak bagi nafkah lah, cakap abang tak adillah. Cakap abang ni berat sebelahlah! Miskinlah! Bukan boleh percaya sangat! Esok-esok, bila dah kahwin, abang yang miskin ni mulalah dikutuk-kutuk, diugut-ugut! Maklumlah... siapalah Azhar bin Muhamad, kan? Hanya kerani cabuk sahaja...” Azhar merendah diri. Sesekali mengenakan si cantik, apalah salahnya, kan? Masa beginilah untuk dia ketahui isi hati Jamilah terhadapnya. Apakah benar ada cinta untuk dia atau hanya satu kepalsuan?

Sepasang mata Jamilah berkaca. Sedih bila cintanya yang agung dipertikai. Bila hasrat dianggap hanya satu gurauan. Macamlah Azhar tidak kenal dirinya?

Sudah hampir setahun mereka bermesra. Takkan Azhar masih belum dapat mendalami hati budinya lagi?

“Kalau sayang tak cinta pada abang, sayang tak akan benarkan abang dekat pada sayang. Takkan sayang mahu serahkan jiwa raga sayang ni pada abang. Abang suami orang. Abang dah ada tiga orang anak. Abang dah tua! Tapi.... cinta sayang pada abang bukan main-main, bang. Sayang sungguh-sungguh berharap agar kita dapat kahwin. Sayang nak bina sebuah rumah tangga dengan abang, nak masak untuk abang, nak jaga abang, nak bagi abang anak...”

Azhar tersenyum. Seronok mendengar kata-kata memujuk si dia.

“Emak sayang, Puan Anita tu, macam mana pulak? Sudi ke dia dapat menantu yang boleh dia panggil adik ni?” soalnya cuba berlucu.

Jamilah mencubit lengan Azhar. Satu jelingan manja diberi. 

“Mak tu sukakan abang. Dia tak kisahlah!” balasnya.

Lama mereka hanya berbalas senyum. Azhar sebenarnya sudah ada keputusan. Bagi dirinya, selagi perkahwinan yang bakal berlangsung tidak mengeruhkan hubungan dia dengan isteri pertama, itu sudah bagus. Yang penting, dia tidak perlu keluar belanja ke hapa! Siapa yang hendakkan dia, perempuan itulah kena berusaha lebih sedikit untuk mendapatkannya. Tentang Miza? Argh, berani perempuan itu hendak menegah?

“Abang, abang fikir apa? Duit belanja? Alah, kita separuh-separuhlah!”

“Sayang, itu lah masalahnya. Nak separuh pun,,, hai, bukan sayang tak tahu. Walaupun gaji Miza banyak, Dia bukan nak bantu abang kat rumah tu. Dia cakap, abang suami, jadi abang kena tanggung makan pakai dia dengan anak-anak! Jadi, berapa banyaklah gaji abang yang tinggal, sayang?” Azhar mula masuk jarum.

“Teruklah bini abang tu! Berkira!” marah Jamilah.

“Tahu tak pe!” balas Azhar sambil meneguk air kelapa yang di hadapannya. Baginya, dia hanya bohong sunat. Nak selamatkan diri, kan? Dia tidak pernah terfikir apakah perasaan Miza kalau mendengar kata-katanya tadi. Dasar lelaki, kan?

Akhirnya, Jamilah berjanji akan membuat pinjaman bank dan menyerahkan semua wang itu untuk Azhar menguruskan perkahwinan mereka. Kata-kata yang menyebabkan Azhar senyum sampai ke telinga.

“Sayang ni baik sangatlah! Sebab tu, abang sayang sangat! Tak sabar nak kahwin dengan sayang. Abang tahu, sayanglah isteri yang akan membahagiakan abang. Sayang, dapat aje duit, kita kahwin, ya!”

Jamilah bukan main seronok lagi. Nak kahwinlah katakan! Dalam kepala, mula teringat pada flyer Bank Rakyat yang dilihatnya pagi tadi.

“Hmm, kalau aku pinjam RM100, 000, selama 20 tahun, banyak lagi baki gaji aku selepas tolak hutang tu! Okeylah! Esok, aku pergi bank. Dalam seminggu dua, dah boleh dapat duit. Dalam sebulan dah boleh kahwin. Eeii... best nyerr.....

.................................

3

“Abang nak kahwin lagi? Mampu ke abang?” Tanya Miza sambil meletakkan borang yang baru habis dibaca, di atas meja solek dalam bilik tidur mereka. Wajah Azhar ditatap tajam.

“Mampu!” balas Azhar selamba. Jari jemarinya sibuk menekan punat telefon, membalas mesej yang dihantar Jamilah kepadanya.

Miza menggelengkan kepala melihat gelagat suami yang bagaikan anak remaja, sibuk bermesej dengan si dia.

“Kalau nak saya tanda tangan borang ni, pandang muka saya bila bercakap, bang. Tak lari buah hati awak tu!” perlinya sambil menyisir rambut yang baru digunting waktu balik kerja tadi.

Azhar mengerutkan dahi bila melihat rambut yang sudah pendek separas bahu itu. 

“Kenapa potong rambut tu? Dah elok-elok panjang sampai ke pinggang, dipotong buat apa? Ingat awak tu cantik sangat ke bila berambut pendek macam tu?” marahnya.

Si isteri menjungket kening. Hairan dengan sikap suami. Soal rambut, soal yang remeh, bukan main marah lagi. Macamlah mengambil berat sangat lagaknya. Tapi, soal yang lebih penting, hai, diam...pula! Beginikah sikap lelaki? Apakah semua lelaki sama?

“Lain kali, nak buat apa-apa, cakap! Jangan buat keputusan sendiri saja!”

Miza tersenyum mendengar kata-kata suaminya. 

“Kalau, saya... amboi, kena cakap apa saya nak buat, ya? Kalau, abang? Boleh buat sesuka hati abang saja. Macam tu?” sinisnya.

Azhar mengerdipkan mata. Terkena sebiji! Tapi, mana boleh kalah, kan? Dia suami! Kena pandai berhujah!

“Abang ni lelaki,”

“Tahu!” Miza mencelah. “Tapi, lelaki ada tanggungjawab dia kepada keluarga. Sama macam isteri ada tanggungjawab isteri kepada suaminya. Tanggungjawab sebagai ibu kepada anak-anak! Jangan cakap pasal tanggung jawab, bang! Sebab, abang tahu, saya tahu, kita berdua tahu, siapa yang abaikan tanggung jawab pada siapa!”

Mata Azhar membuntang. Geram bila isteri ada sahaja leterannya. Apa hal?

“Awak ni kenapa? Saya mintak awak tanda tangan borang tu, yang awak merepek tak berhenti-henti ni, apasal? Tak nak sain ke?” Herdiknya.

Miza termangu mendengar herdikan itu.

....................

4

“Mak, Nisa dah datang ni! Cepatlah! Kesian uncle tunggu lama pulak!”

Mendengar laungan itu, Miza segera mengelap tangan pada tuala yang tersangkut. Kemudian, dia segera berlari ke hadapan rumah. Dilihat, Waja berwarna biru gelap itu sudah tiba dan pemandunya sudahpun keluar sambil bersandar di pintu kereta itu. Sebaik melihatnya, lelaki itu segera berkata sesuatu kepada gadis remaja yang sedang kecoh berbual dengan anaknya, Asiah.

“Hai, mak cik!” Nisa menegur Miza sambil tunduk menyalami tangannya. Miza mengusap kepala anak gadis itu yang bertudung.

“Anak bertuah! Apa hai, hai? Cakap assalamualaikum, lain kali! Ucapkan sejahtera sesama manusia, tahu!” Syahid menegur perlakuan anaknya. Nisa tersengih sahaja. Memang anak yang baik, fikir Miza.

“Maaf, Miza. I harap, you fahamlah keadaan Nisa ni. Maklum sajalah...”

“Hisy, tak apa! Okeylah tu, mahu juga dia tegur I, salam dengan I. Anak I ada salam dengan you tak?” tanya Miza, menepis gundah dalam hati lelaki itu.

Asiah mengerutkan dahi. “Mestilah! Kan, uncle?”

Shahid segera mengangguk. “Pandai you didik anak, Miza. Tiga-tiga orang sopan aje bila dengan orang tua. Anak sulung you si Ahmad dengan Akil, yang nombor dua tu, selalu dipuji bila di surau. Tertib, sopan, ringan tulang pulak tu! Beruntung you!”

Pujian lelaki itu membuat Miza tersengih. “Alhamdulillah. Thanks for telling me. Senang hati I kalau orang semua suka dia orang.”

“Eh, I kena pergi dah ni. Nanti lambat pulak sampai ke sekolah. Kirim salam pada Azhar. Lama I tak nampak dia.” Syahid berkata sambil meloloskan diri ke dalam kereta.

Miza mengetuk cermin kereta. “Kirim salam I pada mak you. Sesekali, you hantarlah dia ke rumah I ni! Boleh kita orang bersembang.” pintanya.

“Okey, nanti I call you bila mak I nak datang gosip, okey!”

Miza ketawa bila mendengar gurauan lelaki itu. Tangan melambai sebaik kereta dipecut laju meninggalkan rumahnya.

Baru hendak melangkah masuk, sebuah kereta Honda Civic dipandu masuk dengan laju. Tergamam Miza dibuatnya. Matanya membulat bila melihat suaminya keluar dari kereta itu yang masih baru. Plastik pun belum tanggal lagi.

“Seronok nampak? Tiap-tiap pagi memang awak begini ke? Dah siap-siap nak ke pejabat, lawa-lawa, untuk sambut si Syahid tu.” Tuduh Azhar sambil menutup pintu kereta baru itu dengan kuat.

“Jangan nak cemburu tak tentu fasal, bang. Encik Syahid tu anak mak cik Sariah, abang kepada ustazah Suhana, kawan baik saya....”

“Jangan lupa, dia tu duda.Takut nanti digodanya awak, Miza.”

Miza ketawa. Geli hatinya melihat Azhar yang cemburu.

“Dah bertahun-tahun bininya mati, bang. Kalau dia tu jenis miang, dari dulu lagi dia dah kahwin. Tapi, dia lebih pentingkan si Nisa. Dahlah! Malas nak layan awak. Ni, kereta siapa pulak ni?” tanya Miza. Dahinya berkerut bila Azhar menarik sengih.

Dengan bangga, Azhar memberitahu, “Kereta abanglah! Bini muda abang belikan. Dia kesian tengok abang naik motor buruk tu!”

Miza tengok wajah suaminya, tidak percaya. Tapi bila Azhar terangguk-angguk, dia jungket bahu.

“Yalah, orang ada bini baru, kan? Mana awak campakkan motor LC yang saya belikan tu? Kalau tak nak, hantar ke sini! Boleh juga Ahmad dengan Akil pakai.” ujarnya sambil membayangkan wajah anak-anak yang ceria. Sudah lama Ahmad menabung untuk membayar duit muka sebuah motosikal. Dia biarkan sahaja. Bukan tidak mampu membeli, tapi Miza mahu anak-anaknya menyedari bahawa bukan mudah hendak dapat sesuatu yang kita kehendaki. Seseorang perlu berusaha. Bukan ramai yang sebertuah Azhar, kan? Hati berdetik.

“Saya dah jual motor tu. Kereta buruk awak mana?”

Pada ketika itu Suhaila, adik Miza sampai di hadapan rumah. Mereka sama berpaling. Wajah Azhar mencerun.

“Tu la, ada kereta bagi adik bawak. Esok kalau rosak, siapa yang susah?”

Miza menjuihkan mulutnya.

“Kereta Suhaila tu rosak. Sebab tu saya pinjamkan dia kereta buruk saya tu. Senang, dia hantar saya ke tempat kerja. Balik nanti, saya dengan Siti. Alah, usahlah ambil tahu. Awak jaga saja bini baru awak tu!” balas Miza selamba.

“Eh, awak nak ke mana? Saya kan baru balik ni?” tanya Azhar. Matanya bulat melihat Miza mengambil beg tangan dan memakai kasut.

Miza ketawa. “Nak pergi kerja, bang. Saya kena kerja, kalau tidak apa saya nak bagi makan budak-budak tu? Lainlah abang, kan?” balasnya.

“Habis, saya nak buat apa kat rumah ni sorang-sorang?”

“Buat bodoh aje!” balas Miza selamba. 
...................

“Apa dibuat jantan tu balik ke rumah?” tanya Suhaila sambil menjeling sebelum memecut laju meninggalkan Azhar termangu.

“Adik, tu masih abang ipar kamu tu! Janganlah marah dia!” pujuk Miza.

Suhaila mendengus. “Bukan semua orang boleh sabar dengan sikap mangkuk hayun tu! Kak long sorang aje! Anak-anak pun dah hilang hormat pada dia. Hari tu, masa dia orang balik ke rumah mak, dia orang cerita perangai dia. Melaram dengan baju baru, seluar baru, kasut baru! Yang anak-anak? Bini? Nak bertukar baju setahun sekali pun payah! Akil cakap, dia try mintak duit nak beli kasut bola. Tahu apa jawab laki kak long tu?”

“Mintak pada mak kamu! Dia banyak duit. Dia yang gaji besar dalam rumah ni!” Ajuk Miza sambil ketawa.

Suhaila menggelengkan kepala. “Kak long ni, kan? Makin ceria bila dia kahwin lain. Kalau perempuan lain menangis sampai sembab bijik mata, tahu!”

“Sejak dia kahwin, dik, tak ada dia kacau hidup kak long. Dengan bini muda dia aje yang dia mintak itu ini, sekarang. Lega! Tu, kereta kat rumah yang kamu nampak tadi, bini dia yang belikan!” Miza memberitahu.

“Memang kaki kikis!”

“Lantaklah! Janji, dia tak kacau hidup kak long berempat beranak!”

Suhaila menoleh melihat wajah kakaknya. “Sampai bila?”

“Sampai dia ceraikan kak long!”

“Mahu ke dia lepaskan kak long?”

Wajah adik direnung. “Kak long dah ke mahkamah syariah. Dah hantar surat pada dia supaya bagi nafkah pada anak-anak. Biar dia tahu tanggung jawab dia sikit!”

“Mengamuklah dia nanti!”

“Yang penting, kak long nak sedarkan dia yang bukan mudah ada dua bini. Ada tiga anak, tu belum kira anak dia dengan perempuan tu! Selama ni, dia tak tahu susah payah kak long, kan? Nanti, bila dia baca surat tu baru dia tahu yang, dalam hidup ni tak ada benda percuma. Tak larat dia nak bayar, jalan keluarnya ada.”

“Kalau dia tak mahu ceraikan kak long?”

Miza sengih. “Bila bini muda dia baca surat tu?”

Suhaila memandang wajah kakaknya. Dalam diam, Miza sengaja ingin mengenakan Azhar. Dia ketawa, membayangkan wajah kelat Azhar bila isteri muda mengamuk ketika surat memohon nafkah dari Miza dia terima dan baca.

“Kak long yakin ke, perempuan tu akan ambil kesempatan ini suruh Azhar ceraikan kak long?” tanya Suhaila. Risau juga dia, takut Azhar tak mahu melepaskan kakak sulungnya ini.

“Kan itu yang dia cakap pada kak long masa kita orang jumpa dulu. Tak ingat?” tanya Miza pula.

Suhaila membayangkan saat pertemuan itu. Seminggu sebelum berkahwin dengan Azhar, Jamilah menelefon Miza. Ketika berjumpa di restoran Bilal, dengan angkuh gadis itu menuduh Miza tak pandai jaga laki. Dengan angkuh dia memberitahu bahawa dia akan pastikan satu hari nanti, Azhar menceraikan Miza. Jadi, tentu apabila sahaja Jamilah menerima surat dari mahkamah syariah itu nanti, Jamilah akan menggunakan peluang ini sebaiknya.

“Eloklah bercerai, kak long! Daripada menanggung biawak hidup tu!”

Miza mengiyakan sahaja. Lelaki seperti Azhar tidak akan mampu dilawan dengan tangis dan kemarahan. Menggunakan cara yang lebih halus begini, lebih baik, fikirnya. Lagipun, dia sudah berbincang dengan ketiga-tiga orang anaknya. Mereka bersetuju jika Miza dan Azhar berpisah. Bagi mereka, ada Azhar dengan tak ada, sama sahaja! Malah, lebih baik jika Azhar tak ada. Senang! Teringat perbualan mereka....

“Mana yang baiklah, mak! Kita orang tak kisah! Ayah tu,”

Miza segera menghentikan kata-kata Akil. “Jangan marah dia. Dia masih ayah korang adik beradik. Mak nak berpisah, bukan sebab mak benci dia tapi mak nak hidup baru yang lebih baik dan mak rasa, hidup kita akan lebih baik tanpa ayah korang. Tak gitu?”

............................

Seperti yang disangka, Azhar memang mengamuk bila mendapat surat itu.

“Selama ini, awak diam aje. Sekarang dah pandai tuntut itu ini? Awak ingat, saya nak bagi sangat duit saya pada awak?” Herdiknya.

Miza tenang. Anak-anakpun turut diam. Miza dah beri amaran supaya mereka tidak menyampuk.

“Kalau tak nak bagi, nampaknya kenalah kita ke pejabat kadi, bang. Tu, kira ingkar arahan mahkamah laa...”

“Eh perempuan, kau jangan harap dapat sesen pun duit laki aku, tau!” Jamilah mencelah.

Miza tenung wajah garang itu. Berani-berani sahaja menyerangnya, mengherdik di depan Azhar. Yang Azhar pula? Diam tidak berkutik.

“Tak dapat pun, tak apa! Tapi, laki awak ni kena buat pilihanlah! Awak atau saya!” balas Miza selepas menyuruh anak-anaknya masuk ke dalam bilik.

“Apa kes dia nak pilih kau?” keras suara Jamilah bertanya.

Azhar berdehem. “Sayang!”

Makk... dia panggil bini muda dia sayang depan aku? Ek eleh! Nak termuntah!

“Abang, abang janji nak ceraikan dia, kan? Atau abang sanggup terus hidup dengan dia? Mana janji abang dengan sayang? Abang, dah bertahun-tahun abang hidup dengan dia, apa yang abang ada? Rumah, kereta, semua nama dia! Tapi, dengan sayang semua sayang beli dan bubuh nama abang. Itupun, abang masih teragak-agak nak ceraikan perempuan kaki kikis ni?”

Marah Jamilah sambil mata mencerlung memandang wajah wanita berusia 37 tahun di hadapannya. Wajah yang tenang sahaja mendengar caciannya. Pelik betul!

“Abang dah dengar cakap sayang abang tu? Buatlah pilihan, bang! Saya ni kaki kikis. Habis duit abang nanti!”

Miza bangun menuju ke dapur. Dia ingin minum. Diperhatikan seketika wajah suami yang terkumpal-kumpal. Tentu Azhar tidak menyangka begini agresif tindakannya. tapi, itulah....

Air yang tenang jangan disangka tidak ada buaya, kan?

..............................

Akhir

“Lamanya tak jumpa you, Miza. You ni betul-betul buat I terseksa, you tahu tak?”

Miza ketawa mendengar suara lelaki itu. Wajah tampannya ditatap. Tidak tahan membalas renungan tajam yang memukau, Miza memerhati keadaan di sekeliling mereka.

Waktu makan tengah hari yang sibuk, memberikan pelbagai keadaan manusia untuk dilihat. Logiknya, ramai yang sedang bercerita, bersantai dengan macam-macam celoteh agar ketegangan di pejabat pada pagi tadi, dapat dilupakan!

“Sayang, you tengoklah muka I ni! Hensem, apa!” kata Syahid sambil tersengih. Miza tunduk lagi. Rasa macam anak gadis yang baru pertama kali ber‘dating’ pula. Syahid asyik mengusik dirinya.

“Dah malu-malu pulak? Macam mana nak kahwin dengan I ni? Nanti bila kita kahwin...”

Wajah Miza merona merah mendengar usikan Syahid itu.

“Syy... you ni, Syah! Malulah sikit! Kalau orang dengar nanti, dia orang ingat apa pula!”

Syahid ketawa. Memang sekarang ini hatinya rasa sangat bahagia. Cintanya kepada Miza sudah berbalas. Dan, seminggu lagi, sebaik genap empat bulan Miza diceraikan oleh Azhar, mereka akan bernikah. Wanita sebaik Miza ingin dilindunginya.

“Azhar tahu tak yang kita nak kahwin, Miza?” tanya dia.

“Tak tahu, kut. Kalau dia tahu,”

“Tentu dia mengamuk sakan dan tuduh you curang dengan dia. Tentu dia cakap I ni kawan makan kawan, kan?”

Miza ketawa sambil geleng-gelengkan kepalanya. Pandai-pandai sahaja Syahid hendak menuduh Azhar, fikirnya. Tapi, mungkinkah benar apa yang Syahid fikirkan? Apakah Azhar akan menuduh dia jahat?

“Miza?”

“Hmm?” Miza menatap wajah Syahid sambil tersenyum. Menanti kata-kata seterusnya.

“Terima kasih sebab you sudi terima pinangan I, melalui emak I tu. Mak I dengan Suhana tahu yang I dah lama suka pada you.” Syahid ketawa bila melihat Miza menjungketkan keningnya. Dia meneruskan, “Iyalah, I kan ada mata? I nampak apa yang you terpaksa tanggung selama ni. Bila mak dengan Suhana selalu cerita tentang nasib you, lagilah, hati I ni rasa sedih sangat! I selalu berharap agar you jumpa kebahagiaan you. Tanpa dia! Supaya I boleh... well, you know? Supaya I boleh jadi suami you?”

Miza ketawa, melahirkan hasrat bahagia dalam diri kepada lelaki di hadapannya ini.

“Masa mak you cakap you nak kahwin dengan I, I terkejut sangat! Bila I cakap, umur I dah tua, mak you cakap, you pun dah tua jugak. Bila I cakap, I ni bukan anak dara, mak you cakap you pun bukan anak teruna. Bila I cakap, banyak lagi perempuan lain di dunia ni, mak you cakap, you nak I saja. Mak you cakap, you hanya nak I gantikan tempat arwah isteri you. Pandai betul mak you pujuk I sampai I pun reda ajelah....” Miza memberitahu.

Sesungguhnya, jodoh itu di tangan Tuhan. Perpisahan bukan pengakhiran. Jodoh dengan Azhar memang sudah tiada. Tetapi, Allah ada perancangan lain untuk dirinya. Kini, Syahid pula menghulurkan cinta. Siapa kata saham lelaki saja makin naik bila berusia?

Yang lebih membahagiakan, anak-anak, baik anak Syahid mahupun anak-anak Miza, mereka nampaknya suka Syahid dan Miza bersatu. Pelik? Mana ada yang pelik dalam dunia ini? Tak ada yang mustahil, kan?

.................

3 tahun selepas itu...

“Sayang!”

“Hisy, kacaulah!”

Si isteri menarik selimut sehingga menutupi kepala.

“Jamilah, anak memangis tu! Bangunlah, bancuhkan susu untuk dia!” Suara Azhar keras memerintah.

Diam. Lama keadaan begitu sehinggalah si suami hilang sabar dan menjerit nama isterinya, kali ini lebih lantang lagi. “Milahhhh!!!”

Jamilah melompat turun dari katil. Azhar sangkakan, isterinya takut dan hendak ke bilik si kecil. Malangnya, kini, Jamilah sedang berdiri bercekak pinggang di hadapannya...

“Eh, jantan! Kau jangan mengada-ngada nak memerintah aku buat itu ini, ya! Dalam rumah ni, semua aku yang punya tahu tak? Kau tu cuma menumpang aje! Dahlah kerja pun malas, tahu asyik nak melaram aje! Aku penat di pejabat, balik rumah kau nak buat aku jadi kuli kau pulak? Hey, kau ingat aku ni macam bini kau yang dulu ke? Sori sikit! Ini Jamilah, tahu!”

Azhar buntang mata. Geramnya tak terkata.

“Pang!”

Kan dah kena? Penampar sulung seorang suami!

“Miza dengan kau, jauh beratus kali baiknya dia, tahu! Dia tak pernah nak tinggi suara pada aku. Kau? Kau butakan mata hati aku! Tapi tak kisahlah! Ni, aku nak ingatkan kau. Jangan lagi kau nak tengking aku, ya! Kalau tidak, aku halau kau keluar dari rumah ni. Memang rumah ni kau yang beli tapi, nama aku, kan? Jangan biadap sangat, Jamilah! Kau patut bersyukur aku nak jadi laki kau, ya! Sekarang, pergi tengok anak kau tu! Karang jadi apa-apa, susah pulak! Dah, aku nak tidur!”

...............

Secebis kisah, sebuah ceritera. Dalam hidup, ‘What goes around, comes around!’ Jangan mendongak bila anda di atas. Tengok2 sama rumput di bumi. Kalau hari ini anda rampas hak orang, esok2 insyaallah, hak anda diambil orang. Namun, jika ada isteri muda membaca cerita ini, aku minta maaf, kalau anda kecil hati denganku. Maklum saja, bila buat cerpen, mesti aku buat 2nd wife tu jahat! Perampas, segala! Aku akur, isteri kedua juga manusia biasa malah ramai 2nd wife yang baik2 yang pernah kutemui. Salah sorangnya, emak saudaraku sendiri. Asyik beralah saja kerjanya. Suami tak balik seminggu... tak apa. Isteri tua maki hamun dalam telefon....Alhamdulillah. 





Ya, kita manusia biasa.... kan?

Terima kasih atas kunjungan anda. Sila like fan page kak sofi dan jemputlah follow blog ni, ya. :)

Ulasan

  1. cikgu, nak yang terakhir versi cerpen. huhuhu... =)

    BalasPadam
  2. Ye..bukan semua isteri kedua buruk walau kbykn begitu..dnt judge it by number okey

    BalasPadam
  3. "yang pasti buruknya adalah suami..."

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…