apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

3.12.11

Teaser: BKBC Bab 6 Edited Version

Banyak yang berubah. Banyak yang ditambah. Banyak yang diedit. Diharap entri ini melepaskan rindu anda kepada Sufiah. Enjoy reading!

............... 

“Sufi!” 

“Lepaskan! Lepaskan tangan saya, Farid! Saya cakap, lepaskan! Lepaskanlah!” 

Sufiah tidak dapat menyembunyikan rasa marah yang sedang meluap-luap. Panasnya sedang membahang dalam diri. Dadanya rasa terbakar. Hangat benar hatinya saat ini. 

“Sayang, bawa bertenang!!” Lelaki itu berusaha memujuk lagi. 

Sufiah berpusing satu bulatan mendengar kata-kata lelaki itu. 

“Bertenang? Selepas apa yang awak dah buat pada saya? Selepas apa yang berlaku tadi?” jeritnya. Pandangan matanya berbalam. Air mata akan menitis lagi. Tadi dia sudah menangis. Kini, dia menangis lagi. Hanya disebabkan oleh lelaki yang seorang ini. 

Sufiah merasa sungguh-sungguh menyesal kerana mempercayai Farid. Farid yang telah menipu dirinya. Sampainya hati! Pandai betul Farid berlakon. Konon, Farid hendak membawa Sufiah berjumpa dengan ibu bapa lelaki itu. Konon, ibu dan ayah Farid sedang menunggu mereka untuk makan tengah hari bersama-sama. Sufiah yang lurus bendul percaya bulat-bulat. Manalah menjangka bahawa ini hanya satu perangkap? 

Hati mula berasa tidak enak bila Farid mempelawa dirinya masuk ke dalam rumah. Bila ditanya tentang ibu dan ayahnya, terus sahaja Farid mengunci pintu... Argh, benci! Benci bila mengingatkan! 

Farid melepaskan keluhan. Hatinya sebak bila melihat Sufiah yang tidak berhenti-henti menangis. Dia ingin memujuk lagi, “Saya tak dapat menahan diri saya bila bersama awak, Sufi. Semuanya kerana saya cintakan awak. Kerana saya benar-benar cinta dan sayangkan awak! Saya nak buktikan cinta saya pada awak, Sufi.” 

Sufiah menapak ke belakang. Kepalanya tergeleng-geleng. Tangannya memberi isyarat supaya Farid tidak mendekati dirinya lagi. Sikap lelaki ini meloyakannya. Perangai lelaki ini menyakitkan hatinya. Dia benci! Dia tidak suka! Dia meluat! 

“Sayang? Cinta? Macam tu ke cara awak sayang saya? Cintakan saya? Itu bukan cinta, bodoh! Itu nafsu!” jerit Sufiah. Nasib baiklah tidak ada sesiapa di sekitaran rumah mewah itu. Meskipun sedang berdiri berhampiran jalan besar, tidak ada kereta yang lalu lalang. Kerana hari masih siang. 

“Sufi, maafkan saya. Saya, saya.. menyesal!” bisik Farid perlahan. 

Sufiah menggeleng-gelengkan kepala. Masih tidak dapat menerima permohonan maaf yang Farid ucapkan. Sukar! Sukar untuk dia percaya bahawa Farid sudah menyesal. Kerakusan lelaki itu masih berbekas dalam hatinya. 

“Lelaki yang baik tak akan ikut kehendak nafsu, tahu tak? Lelaki yang baik tak akan ceroboh sesuatu yang sepatutnya dimiliki hanya setelah berkahwin!” tangis Sufiah. 

Lelaki itu terus berdiri tegak sebaik mendengar kata-kata Sufiah. Kali ini, wajahnya terus berubah. Jelas, Farid sedang marah. 

“Pandainya cik Sufiah! ‘Lelaki yang baik tak akan ceroboh sesuatu yang sepatutnya dimiliki selepas berkahwin’, ya? Baik, sekarang, awak beritahu saya, Sufi! Pernah atau tidak saya ajak awak kahwin? Jawab! Jawab!” 

Sufiah sudah nekad untuk membisukan dirinya. Dia tidak mahu menjawab soalan itu. 

“Kenapa diam? Hah?” Mencerun wajah Farid bila melihat Sufiah yang beku. “Tak nak jawab? Tak apa! Biar saya saja yang beritahu. Sejak kita mula kawan 3 tahun dulu, sampai sekarang, dah beratus kali saya ajak awak kahwin. Beratus kali, Sufi! Bukan sekali! Beratus ratus kali! Tapi apa jawapan awak? Apa alasan yang asyik awak beri pada saya?” Wajah Sufiah ditatap lagi. Garang! 

“Awak cakap awak sibuklah! Awak muda lagilah! Awak belum bersedialah! Awak...” 

“Apa pun jawapan saya, awak tak berhak......” tengking Sufiah. 

“Saya berhak! Kita dah bercinta lama. Awak milik saya! Hak saya!” 

Pandangan tajam saling menikam. Masing-masing tak mahu kalah. 

“Sebab tu awak guna cara kotor untuk memiliki saya? Sebab awak rasa awak berhak? Begitu?” Sufiah tidak dapat menahan sebak. Rasa hati yang kecewa tidak dapat disembunyikannya. 

“Sebab saya sayang awak, Sufi!” Kali ini suara bergema lunak, lembut dan penuh mengharap. Bagi Farid, dia cuba menyampaikan maksud hati yang tulus. Yang benar-benar mencintai. 

Sufiah menerpa lalu menampar pipi Ahmad Farid dengan sekuat-kuat hatinya. 

“Jangan berani guna perkataan sayang! Jangan berani mengaku cinta! Sebab cinta dan sayang yang awak bangga-banggakan itu hanya nafsu! Nafsu, tahu tak?” Sufiah mengulangi kemarahannya pada Farid yang tidak tahu hendak membezakan di antara cinta, sayang, kasih dan nafsu! 

Farid mengusap pipi yang berbekas akibat tamparan Sufiah. Kesakitan yang dirasai amat terasa bila buah hati tidak mahu percaya luahan kata-kata. Dia benar-benar cinta tetapi Sufiah sentiasa menidakkan perasaannya! 

“Saya cukup tak faham dengan sikap awak, Sufi. Kolot! This thing is normal...” 

Ya ALLAH! Gila sungguh! Perkara aib sebegini dianggap ringan oleh Farid? Normal? Normal apanya? Normal dalam kehidupan siapa? 

Hanya orang yang tiada pegangan agama mengatakan apa yang dilakukan lelaki itu tadi normal! Hanya mereka yang membelakangkan agama mengatakan perkara itu adalah biasa! Tapi mereka? Dia dan Farid? Mereka beragama Islam. Islam sudah bertegas menghalang manusia menghampiri zina! Islam sudah melarang begitu! Itu satu perintah! 

‘Lelaki beginikah yang aku perlukan dalam hidup? Lelaki inikah yang aku harapkan untuk menjadi suamiku? Menjadi pemimpin dalam rumah tangga kami? TUHAN, selama hampir tiga tahun KAU butakan mataku. Selama hampir tiga tahun aku tidak nampak kekurangan ini. Aku tutup mataku kerana kasih dan sayangku kepadanya. 

Terima kasih ALLAH! Terima kasih kerana takdirMU ini. Apa yang terjadi telah membuka mataku seluas-luasnya. Mencelikkan mata hatiku! Aku syukur sangat!’ 

“Kita putus!” 

Farid tergamam. “Putus?” soalnya dalam rasa tidak percaya. 

Sufiah angguk. “Ya, putus! Itu yang sebaik-baiknya!” bisik Sufiah lemah. Kembali sebak. Kembali sedih. Kerana.... 

Bukan ini pengakhiran cinta yang dia mahu. Bukan perpisahan yang diingininya setelah menganyam angan-angan sekian lama. Tapi, 

“Maafkan saya, Farid. Saya tak dapat teruskan hubungan ini.” 

Farid mendekat. “Saya tak sangka perangai awak begini, Sufi. Sekali saya buat silap, terus awak putuskan hubungan yang sama-sama kita bina selama ini. Awak asyik tuduh saya yang salah padahal punca ini semua ialah awak. Awak, Sufi! Awak yang salah selama ni, awak tahu tak? Kalau dari mula awak terima saya, kita dah kahwin dah! Dah ada anak agaknya!” 

Sufiah mendengus kasar. “Awak tak akan faham kenapa saya asyik menolak, Farid! Sampai bila-bila pun, awak tak akan faham!” 

“Sebab awak tak pernah cuba fahamkan saya!” Giliran Farid meninggikan suaranya. Rasa sakit sangat mendengar nada suara Sufiah yang lantang. “Sebab awak tak pernah mahu memberitahu saya apa yang menghalang, yang menyebabkan awak tak mahu kahwin dengan saya. Sebab awak sedikitpun tak mahu percaya pada saya untuk sama-sama berkongsi masalah!” 

Sufiah terus bungkam. Kata-kata Farid buat dia rasa bersalah. 

Ya, memang benar. Dia yang asyik menolak setiap kali Farid ingin berbincang tentang soal kahwin. Dia yang asyik mengelak, asyik berkata bahawa dirinya belum bersedia untuk menjadi seorang isteri. Dia yang selalu berdolak dalih kalau Farid mula membincangkan soal rumah tangga, soal tanggung jawab suami dan isteri, soal anak malah dia tidak pernah mahu berbicara tentang perkahwinan serta hidup berkeluarga! 

Masalah yang tidak selesai di antara dirinya dengan keluarga menyebabkan dia tidak mahu soal kahwin dibangkitkan. Sebab, bila dia bersetuju dengan hasrat Farid, pasti Farid akan menyuruh ibubapanya pergi menemui papa dan mama Sufiah. Tapi, hubungan Sufiah dengan papa dan mamanya bukan seperti hubungan anak dengan ibu bapa yang normal. Mereka tidak tinggal serumah. Itu sudah cukup untuk memberitahu bahawa hubungan Sufiah dan keluarganya ada masalah. Dan kalau ibu bapa Farid ingin tahu, apa yang harus Sufiah ceritakan? Keburukan ibu dan ayahnya? Kebencian mereka? Rasa sakit hati dan terpinggir? 

Tapi, bagaimanakah harus dia bermula? Tentang papa? Tentang mama? Tentang kebencian mereka kepada dirinya? Tentang kesakitan yang dia rasa? 

Lantas, anak apakah dirinya jika dia menceritakan keburukan papa dan mama kepada orang lain? Anak apakah dirinya yang sanggup menjaja kisah keluarga sendiri? Tidak malukah? Sanggupkah memercik air di dulang dan membiarkan ia terpercik di muka sendiri semula? Sanggup? 

Dia cintakan lelaki di hadapannya ini tetapi dia belum mampu membuka pekung di dada. Dia malu. Malu untuk bercerita tentang keluarganya yang pincang. Dia malu untuk memberitahu Farid bahawa dia sudah dibuang oleh papa dan mama. Dia malu untuk menyatakan bahawa dia anak yang tidak disayangi... Dia malu! 

“Kita berpisah! Saya tak mahu teruskan hubungan kita. Saya tak boleh!” desah Sufiah. Sukar untuk melafazkan tetapi terpaksa kerana bagi dirinya, inilah yang terbaik. 

“Awak dah gila? Sufi, dah lama kita kawan. Saya tak sanggup berpisah dengan awak. Awak kekasih saya.” 

Sufiah menggeleng. “Tidak lagi! Saya tak mahu.” bisiknya. 

Farid kembali marah. Marah dengan ketegasan gadis itu yang ingin memutuskan hubungan. Marah kerana Sufiah berkeras mahukan perpisahan. “Kalau kita berpisah, awak jangan ingat nak balik pada saya lagi,” marahnya. 

Sufiah sudah tenang. Kepalanya sudah ringan. “Insya-ALLAH, saya tak akan!” luahnya. 

Farid mendengus. “Jangan harap saya nak merayu pada awak lagi!” 

Sufiah menggeleng. “Tak apa. Saya faham!” 

Sakitnya hati melihat gadis itu yang seakan-akan tidak mempunyai perasaan. 

“Sufi, kalau betul awak tak mahu saya lagi, saya akan tinggalkan awak dan esok awak akan tengok saya dengan perempuan lain! Percayalah! Saya akan buat!” jerkah Farid. 

Sufiah renung wajah Farid dalam-dalam. Wajah lelaki yang diharap dapat memberikan dirinya kebahagiaan dalam meniti hari-hari sepi tanpa kasih sayang keluarganya. Malangnya, harapan itu tidak kesampaian. Farid yang sedang berada di hadapannya ini ialah seorang lelaki asing, yang meletakkan nafsu di atas perasaan cinta dan sayangnya terhadap seorang wanita. Meskipun kini mereka saling berpandangan, saling bertatapan, namun bagai ada jurang yang selama ini tidak pernah disedari kewujudannya. Jurang perasaan yang tidak sekata. 

“Bila kita sudah tidak ada apa-apa, Farid, saya tak perlu peduli tentang apa yang awak buat. Suka hati awaklah nak bercinta atau hendak berkahwin sekalipun. Tak apa! Buatlah!” 

“Huh, macam cemburu aje?” 

Provokasi Farid menyebabkan Sufiah tersenyum dalam lemah bicara, “Cemburu? Mungkin! Kita dah lama cinta. Tak kan saya tak rasa apa-apa bila tengok awak dengan perempuan lain. Mustahillah! Cuma, sebab saya yang mahukan perpisahan ni, saya kena kuat! Saya kena redha. Awak bukan untuk saya.” 

“Awak akan menyesal, Sufiah! Awak akan menyesal berpisah dengan saya. Tapi, satu hari, kalau awak nak pada saya balik, saya tak akan terima awak semula. Itu janji saya.” 

Sufiah menghembuskan nafas lega. “Alhamdulillah. Terima kasih, Farid. Saya harap awak akan cepat bertemu cinta baru. Percayalah, saya ni bukan sesiapa untuk awak kenang dan ingat atau berdendam.” 

Farid terkesima. Segala kata-kata yang terluah tidak langsung berjaya membuat Sufiah merayu agar mereka dapat bersama semula. Sufiah tidak mahukan dirinya lagi. Hanya kerana kesilapan yang kecil itu. 

Sufiah melangkah pergi. Hatinya kosong kini. Bayangan Farid akan dilupakan. Itu janjinya. Cukup sampai di sini sahaja. 

Panggilan Farid yang bertalu-talu tidak diendahkan. Langkahnya semakin laju. Semakin jauh. Semakin jauh...... 

....................... 

“Alhamdulillah. Aku bersyukur sangat! Kau pun tahu kan, yang aku bencikan bekas buaya friend kau tu?” 

Sufiah menggelengkan kepala. Tidak menyangka begini cara Adilah menyambut berita yang dia bawa. Dia mengharap simpati namun dengan Adilah, itu tidak diperoleh. Seronok benar gadis itu bila mendengar Sufiah sudah memutuskan hubungan dengan Farid. Memanglah selama ini Adilah tidak pernah suka pada lelaki itu namun tidak pula Sufiah menyangka bahawa senyum Adilah akan jadi selebar ini. Bahagia betul kawan baiknya itu. 

Adilah memeluk tubuh Sufiah erat-erat. “Mak mesti bahagia, Sufi. Selama ini, mak tu pun bukannya suka sangat dengan Farid kau tu. Tapi, sebab kau sayang benar pada lelaki itu, mak diamkan saja. Aku percaya, bila kau beritahu mak karang, dia mesti senyum.” 

“Macam kau tadi?” Sufiah menyindir. 

Adilah ketawa lagi. Seronok betul dia hari ini. Rasa macam nak buat kenduri kesyukuran sahaja tapi takut pula Sufiah berkecil hati dengannya. Menarik nafas, dia menggenggam tangan Sufiah. 

“Sufi, aku tahu kau sayangkan Farid. Tapi, aku nak nasihatkan kau. Mungkin, ini yang terbaik. Percayalah, di luar sana tu masih banyak lelaki yang baik-baik. Jauh lebih baik daripada Farid. Biarkan Farid cari cinta baru. Kau mulakan saja hidup baru, okey!” 

Sufiah tersenyum. “Pandai kawan baik aku ni bagi nasihat. Tapi, diri dia sendiri masih tak ada pak we juga.” 

Kata-kata yang mengundang tawa mengekeh si Adilah. “Kau pun tahu yang selera aku tinggi, Sufi. Aku nak suami kacak macam Daniel Hanney, baik macam Maher Zain, penyayang macam Brad Pitt, lepas tu...” 

“Banyaklah, kau! Sampai tua pun kau tak akan jumpa, tahu tak?” marah Sufiah. 

“Kenapa pula? Tak ada yang mustahillah, Sufi!” 

Sufiah mendiamkan diri. Baru menyedari bahawa dia sudah tersilap cakap. Lupa bahawa, dalam hidup ini, tidak ada perkara yang mustahil kerana semua yang berlaku adalah dengan kehendak ALLAH. 

Kun Fa ya Kun.... 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.