apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

23.12.11

Pemburu Cinta 3



“Abang nak kahwin lagi? Mampu ke abang?” Tanya Miza sambil meletakkan borang yang baru habis dibaca di atas meja solek dalam bilik tidur mereka. Wajah Azhar ditatap tajam. 

“Mampu!” balas Azhar selamba. Jari jemarinya sibuk menekan punat telefon, membalas mesej yang dihantar Jamilah kepadanya. 

Miza menggelengkan kepala melihat gelagat suami yang bagaikan anak remaja, sibuk bermesej dengan si dia. 

“Kalau nak saya tanda tangan borang ni, pandang muka saya bila bercakap, bang. Tak lari buah hati awak tu!” perlinya sambil menyisir rambut yang baru digunting waktu balik kerja tadi. 

Azhar mengerutkan dahi bila melihat rambut yang sudah pendek separas bahu itu. “Kenapa potong rambut tu? Dah elok-elok panjang sampai ke pinggang, dipotong buat apa? Ingat awak tu cantik sangat ke bila berambut pendek macam tu?” marahnya. 

Si isteri menjungket kening. Hairan dengan sikap suami. Soal rambut, soal yang remeh, bukan main marah lagi. Macamlah mengambil berat sangat lagaknya. Tapi, soal yang lebih penting, hai, diam...pula! Beginikah sikap lelaki? Apakah semua lelaki sama? 

“Lain kali, nak buat apa-apa, cakap! Jangan buat keputusan sendiri saja!” 

Miza tersenyum mendengar kata-kata suaminya. “Kalau, saya... amboi, kena cakap apa saya nak buat, ya? Kalau, abang? Boleh buat sesuka hati abang saja. Macam tu?” sinisnya. 

Azhar mengerdipkan mata. Terkena sebiji! Tapi, mana boleh kalah, kan? Dia suami! Kena pandai berhujah! 

“Abang ni lelaki,” 

“Tahu!” Miza mencelah. “Tapi, lelaki ada tanggungjawab dia kepada keluarga. Sama macam isteri ada tanggungjawab isteri kepada suaminya. Tanggungjawab sebagai ibu kepada anak-anak! Jangan cakap pasal tanggung jawab, bang! Sebab, abang tahu, saya tahu, kita berdua tahu, siapa yang abaikan tanggung jawab pada siapa!” 

Mata Azhar membuntang. Geram bila isteri ada sahaja leterannya. Apa hal? 

“Awak ni kenapa? Saya mintak awak tanda tangan borang tu, yang awak merepek tak berhenti-henti ni, apasal? Tak nak sain ke?” Herdiknya. 

Miza termangu mendengar herdikan itu.

6 ulasan:

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.