apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

4.12.11

Nak kahwin....hehe


Assalamualaikum..... 


Cuti sekolah ni dipenuhi dengan undangan perkahwinan. Anak jiran, anak kawan malah bekas anak muridpun ramai... 

Seronok kahwin ya? Pernah tanya diri sendiri...Mengapa  aku nak kahwin? Mengapa aku kahwin? Mengapa berkahwin? Mengapa perlu menjadi suami isteri?

Mungkin ada yang jawab, dah sampai seru...huhu.. Atau untuk menunaikan tuntutan naluri semulajadi, menunaikan tuntutan biologi... mudah cakap, untuk seks la.. menghalalkan hubungan antara lelaki dan perempuan.

Memang benar, perkahwinan sebenarnya adalah untuk menyahut seruan fitrah manusia yang telah dikurniakan oleh ALLAH. Manusia mempunyai keinginan dan kehendak terutamanya di dalam persoalan seksual. Islam telah menetapkan jalan di mana perkahwinan sahajalah yang menjadi penyelesai masalah bagi memenuhi tuntutan tersebut.

Dari Abi Samrah r.a menyatakan :
Nabi melarang daripada hidup membujang. 
(Riwayat at Tirmidzi dalam kitab perkahwinan, bab meninggalkan perkahwinan).
Saad bin Abi Waqqas r.a berkata : 
"RasuluLLah telah menolak permohonan Osman bin Maz'un untuk hidup membujang. Kalaulah RasuluLlah membenarkannya, nescaya kami akan mengembiri (kasi/mandul)." 
(Riwayat Muslim dlam Kitab Nikah, bab sunat berkahwinan bagi sesiapa yang berkeinginan, nombor 1402).

1. Kita kahwin sebab kita mahu lahirkan keturunan yang soleh dan berkualiti

Sabda RasuluLLah s.a.w yang bererti : 
"Kahwinilah perempuan yang pengasih dan mampu melahirkan ramai anak kerana aku berbangga dengan umatku yang ramai pada hari kiamat. 
(Riwayat Abu Daud dalam sunannya : KItab nikah, bab larangan daripada menikahi perempuan yang tidak boleh melahirkan anak, nombor 2050; An Nasai dalam kitab nikah, bab makruh mengahwini perempuan mandul, nombor 65/6)

Perkahwinan menghalalkan hubungan intim lelaki dan perempuan, melahirkan anak halal dan terbentuklah institusi kekeluargaan (kecil) serta institusi masyarakat Islam (besar) yang dipenuhi dengan generasi yang berkualiti. Anak-anak halal berhak mendapat segala keistimewaan dalam institusi keluarga. Harta, kasih sayang, ilmu... 

Jauh bezanya dengan anak yang lahir dari perbuatan zina. Mereka adalah generasi yang terbuang yang tidak mengenali sama sekali siapakah ibu dan ayah mereka. Mereka lahir dalam keadaan jiwa yang membenci dan dendam kepada kedua orang tuanya, masyarakat sekeliling dan manusia keseluruhannya. Anak zina tidak berdosa tapi kebanyakan mereka disisihkan...diketepikan!

2. Kahwinlah, insyaALLAH, jiwa menjadi tenang

Perkahwinan yang halal akan menghasilkan ketenangan dan ketenteraman. Firman ALLah ta'ala yang bererti :
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki,) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir". 
(Ar Rum :21)

Bila anda kahwin, anda ada teman untuk anda meluahkan masalah. Isteri ialah ladang untuk naluri anda, teman suka duka, ibu yang memanjakan...hidup akan jadi lebih terurus. bukankah semua ini menjurus kepada ketenangan?

3. Kita kahwin supaya dipanjangkan silaturrahim dan membina prinsip kerjasama.

Sebelum kahwin, semua yang kita buat, hanya untuk kita, kan? solat sorang2, doa untuk diri sendiri dan mak ayah, adik beradik, malah nak kongsi cerita pun...susah. Betul tak? Dengan mak, takut kena marah..(age gap di situ). Kawan-kawan? Takut pula! Akhirnya, pendam sendiri saja.

Sebelum kahwin, tak banyak ilmu yang ditimba untuk menjadikan diri sebagai individu Muslim yang dapat menjalankan tugas sebagai khalifah yang lebih sempurna. Kita tidak kenal istilah suami dan isteri, ibu dan bapa serta anak. Tidak juga mengetahui apa itu munakahat yang menyentuh tentang bab kekeluargaan seperti talaq, khuluq, hadonah (hak penjagaan anak), aqiqah dan sebagainya. 

Lepas kahwin, semua itu perlu diketahui sebagai persediaan ilmu untuk menguruskan sebuah keluarga. Seorang suami sebagai imam solat dan pemimpin, isteri sebagai teman dan pendokong kepada suaminya di kala susah dan senang.

Isteri akan membantu suami di dalam urusan seharian, makan pakainya, tempat tinggal dan anak-anak. Suami pula akan bersama di dalam mencari rezeki yang halal, mempertahankan, melindungi dan memelihara kehormatan isteri.

Dengan jalan halal yang telah digariskan oleh Islam, daerah persaudaraan akan semakin meluas. Saling kenal mengenali antara sesama dua keluarga yang telah disatukan di atas jalan ini. Ia akan melahirkan suatu ikatan baru dan saling berkasih sayang antara satu dengan yang lain.

Carilah saluran yang halal, dengan jalan perkahwinan dapat menjamin kesejahteraan masyarakat, menyebarkan kebaikan, penjagaan akhlak serta pengekalan keturunan manusia.
"Dan kahwinilah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di antara kamu, dan orang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, ALLah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana ALLAH amat luas (rahmat dan limpah kurnia-Nya), lagi amat mengetahui". 
(An Nur : 32)
rujukan: kahwin?
================================

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.