apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

27.12.11

Melur Jasmine 15



Assalamualaikum...
“Semoga kamu memiliki kebahagiaan yang cukup untuk membuatkan diri kamu menarik, percubaan yang cukup untuk membuatkan kamu kuat, kesedihan yang cukup untuk memastikan kamu adalah seorang insan dan harapan yang cukup untuk membuatkan kamu bahagia... .” 
Jasmine tersenyum mendengar Melur mengungkapkan kata-kata indah itu. Wajah yang sedang ditata rias kelihatan semakin berseri-seri dengan senyuman cantiknya. 

“Kalau Min asyik senyum macam ni, hai, tak tidur malamlah si Zahim tu, nanti!” Melur mengusik disambut gelak riuh rendah orang-orang di sekeliling mereka. 

Senyuman semakin lebar. Iyalah, hari ini hari dia, kan? InsyaAllah, kalau tiada aral, dalam pukul 12 tengah hari nanti, akan sahlah dirinya menjadi isteri kepada lelaki yang bernama Ahmad Zahim Muaz itu. Dan, sebaik sahaja lafaz ijab kabul terungkap, maka hidup baru Jasmine Airina akan bermula. Diari hidup sebagai seorang isteri bakal bermula. Memikirkannya sahaja memberi debar yang bukan sedikit! 

Mampukah menjadi seorang isteri yang baik? Mampukah melayari bahtera rumah tangga dengan seseorang yang baru sahaja dikenali? Entah bagaimana ragamnya? Entah bagaimana sikapnya? Buatnya Ahmad Zahim Muaz tu suka marah-marah? Buatnya Ahmad Zahim Muaz suka membanding-bandingkan apa yang dia masak dengan masakan ibunya? 
“Lelaki paling suka banding-bandingkan masakan isteri dengan masakan emak dia, Min! Habislah kau kalau Zahim pun begitu! Nanti semua yang kau masak dia cakap tak sedap!” 
Aya pernah membisikkan itu di telinganya dahulu. Argh... takutnya!  

“Melur!!” 

Jeritan Jasmine mengejutkan semua orang. Kak Wan, si juru andam lagilah! Terus tercampak maskara yang sedang dipegang! 

“Kamu ni kenapa, Jasmine? Tengok ni! Habis maskara ni... Eeei geram betul aku!” bebelnya sambil mengutip barang-barang yang jatuh. 

Melur juga kaget. Mahu tidak? Tak fasal-fasal saja si Jasmine menjerit macam kena rasuk! Apa hal? 

“Melur, peluk Min! Min takutlah!” 

Mata Melur mengecil. Takut apa pula ni? Soalnya dalam hati namun tetap ditunaikan permintaan Jasmine. Tubuh kakak kembarnya itu didakap erat-erat. 

“Melur, Zahim tu cerewet! Nanti, dia kutuk-kutuk Min sebab tak pandai masak macam mak dia. Macam mana tu?” bisik Jasmine perlahan, hanya untuk pendengaran Melur. 

Melur meleraikan pelukan. Wajah Jasmine ditatap dalam-dalam. Ada senyum sedang menguntum perlahan. Melihatnya, Jasmine tahu bahawa dia perlu memberi amaran. Jika tidak, akan pecah gelak Melur yang macam hantu, mentertawakan dirinya nanti! 

“Kalau Melur ketawa, Min ketuk kepala Melur!” ujar Jasmine sambil mengetap bibir. 

Melur terpaksa mengawal diri. Tak mahulah kena ketuk, kan? Orang tengah ramai ni, nanti apa pula anggapan mereka terhadap pengantin, fikirnya dalam senyum yang tidak mahu lekang dari bibir. 

“Dah siap ke? Pengantin lelaki dah sampai!” Badrul menjenguk ke dalam bilik. Ketika Jasmine menoleh ke arahnya, tersentuh juga hati melihat kecantikan gadis itu. Tapi, cepat-cepat disembunyikan di sebalik riak keriangan. 

“Abang...” 

Melur sudah tidak sabar-sabar hendak berkongsi rahsia dengan Badrul. Sebaik mendengar, Badrul terus ketawa besar sambil memandang ke arah Jasmine yang wajahnya sudahpun merona merah. 

“Jahatlah korang laki bini ni!” Jerit Jasmine. 

“Uisy, apa pengantin perempuan ni? Jerit macam tu.... nanti lari rombongan Zahim balik sebab takutkan Min!!” usik Badrul dalam tawa yang masih bersisa. 

Jasmine menjeling geram. 

“”Bad!!” 

Melur segera menarik tangan Badrul untuk keluar dari bilik itu. Bimbang juga kalau Jasmine naik angin. Buat pula kalau kepalanya jadi tak betul. Bakal meranalah Zahim bila Jasmine batalkan majlis. Tak ke naya? 

“Sudah tu, Min! Meh sini kak Wan tengok mekap kamu tu.” Dicuit-cuit tudung yang lip lap berwarna peach, padanan kepada warna baju pilihan Jasmine. “Hmm, cantik dah!” 

Jasmine perhatikan kak Wan yang sedang menuang air kosong ke dalam gelas. Kemudian, mulut wanita berusia 36 tahun itu terkumat kamit seakan-akan sedang membaca sesuatu. Jasmine mula cuak. Buatnya kak Wan jampi dia, macam mana? soalnya di dalam hati. 

“Nah, minum air masak ni. Kak Wan bacakan Fatihah, ayat Qursi, Surah Insyirah dan empat Qul supaya hati kamu tenang, tak gabra!” 

Jasmine masih teragak-agak. 

“Min, kamu ni pelik betul hari ini! Kenapa? Kamu ingat kak Wan jampi apa?” jerkah kak Wan bila Jasmine masih tidak menyambut gelas yang dihulur. 

“Betul tak ada jampi-jampi serapah ni?” Jasmine inginkan kepastian. 

Kak Wan ketawa besar mendengar soalan itu. “Macam-macam yang kamu fikir, ya? Tak kuasa nak jampi, Min! Abang kak Wan lagi hensem di rumah tu!” sindirnya. 

....................... 

Terima kasih atas kunjungan anda. Sila like fan page kak sofi dan jemputlah follow blog ni, ya. :)

2 ulasan:

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.