Langkau ke kandungan utama

Melur Jasmine 14

Hari Khamis. Kalau mengikut adat orang Perak, hari ini digelar Hari Menggantung. Gantung apa? Macam-macam. Contohnya, tetamu atau sanak saudara yang datang akan membantu keluarga pengantin menyediakan pelamin dan memasang cadar serta kelambu pada katil serta memperindah bilik pasangan Raja Sehari. 

Raja Sehari? Jasmine mengeluh sendiri sambil memerhati keadaan di sekelilingnya. Hari ini, dia melihat betapa sibuk puan Liza menguruskan perkara-perkara berkaitan majlis pernikahannya yang bakal berlangsung hari Ahad nanti. Matanya mengekor ke mana sahaja mami bergerak. Mami asyik ke hulu ke hilir, menyahut panggilan kawan-kawan yang turut membantu. Jasmine menggelengkan kepala. Tidak percaya dengan apa yang sedang dialami. 

Sesungguhnya, dia menyangka bahawa tidak ada majlis besar-besaran kerana itu ialah syarat yang Ahmad Zahim Muaz berikan. Lelaki itu tidak mahu bersanding. Lelaki itu tidak mahu menjemput ramai orang kerana katanya dia rimas. Malah, Zahim berharap sangat agar mereka dinikahkan di dalam rumah dan tidak di masjid kerana katanya, dia gemuruh. Lelaki itu takut nanti dia tak boleh hendak lafaz akad. 

Dahi Jasmine sudah berkerut. Dia risau memikirkan Ahmad Zahim Muaz apatah lagi bila melihat wajah-wajah yang keriangan di sekelilingnya. Iyalah, di sini, mereka seronok membuat persediaan. Mana tahu, kalau-kalau keluarga Ahmad Zahim Muaz tidak begitu? Entah-entah sedang berkabung kerana dimarahi oleh lelaki itu? 

Huh, lelaki itu umpama bom jangka. Boleh meledak ikut suka. Boleh mengamuk sekehendak hatinya. Tambahan pula sekarang ni, mereka berdua ada krisis. Kalaulah lelaki itu sudah hilang kesabarannya menunggu Jasmine, macam mana? 

Jasmine mengeluh sambil memicit-micit dahi. Mengenangi Ahmad Zahim Muaz, hatinya kalut. Sudah berhari-hari dia cuba menghubungi melalui telefon namun langsung tidak berjawab. Sudah banyak SMS dikirim, tidak berbalas. E-mel juga begitu. Kenapa? 

“Hai, pengantin! Menung aje, kenapa ni?” mak cik Odah bertanya. Soalan yang menyebabkan ramai tertoleh-toleh kepada Jasmine. Ada yang tersenyum-senyum melihatnya. 

“Orang nak masuk alam yang baru, memanglah macam tu,” sahut mak cik Idah.


Mak cik Odah, mak cik Idah dan ramai lagi orang-orang perempuan yang datang, semuanya kawan mami yang terdiri daripada suri rumah, jiran dan juga ahli Qariah surau al-Falah. Biasalah, bila orang-orang tua berkumpul... mulalah bersembang sakan. Macam-macam isu dibangkitkan. 

“Lama kamu cuti, Min?” tanya mak cik Zai pula. 

“Dua minggu, mak cik.” Jasmine memberitahu. 

“Cik abang?” 

Pipi Jasmine merona merah bila masing-masing ingin tahu tentang itu. Manalah dia tahu berapa hari pak cik itu mengambil cuti? Mereka tak pernah berbincang tentangnya. 

“Kamu ni Zai, mestilah dua minggu jugak. Apa ke halnya kalau si dia tak cuti, kan?” usik cikgu Rahayu. 

Tawa yang berderai masih tidak memujuk kekalutan fikiran Jasmine. Rasa bimbang datang bertandang lagi. Bagaimana kalau lelaki itu nekad tidak mahu bernikah dengannya? Bagaimana kalau sudah ‘last minute’, lelaki itu tidak mahu bersamanya? 

Tak boleh hendak dibayangkan keadaan masa itu. Mesti mami malu sangat, hati berbisik. 

Tapi, Jasmine sudah tidak mahu lagi menghubungi lelaki itu. Dia malu bila semua pesanannya dipandang sepi. Dalam diam, dia akur bahawa Ahmad Zahim Muaz tidak mahu dia terus menelefon atau SMS atau menghantar emel. Diam lelaki itu bagai memberitahu tentang keengganannya untuk hidup bersama dengan Jasmine. 

Dia sedih melihat kemeriahan di sekelilingnya. Dia sedih melihat semua orang yang sedang bertungkus lumus untuk menjayakan majlis pernikahan yang belum tentu jadi. Perlahan-lahan, kaki melangkah memasuki bilik peraduannya. Bilik itu belum lagi diindahkan. Mungkin setelah semua siap di bawah, barulah kawan-kawan mami akan ke sini kut, desis hati. 

Pintu bilik terbuka. Melur masuk dan duduk di birai katil sambil memerhati kakak kembarnya yang sedang menyandarkan diri di tepi tingkap. 

“Min susah hati ke? Kenapa?” 

Jasmine segera menggeleng. 

“Jangan nak tipu! Melur tahu yang Min ada masalah. Cuba cakap dengan Melur, boleh kita selesaikan sama-sama.” 

Lama Jasmine diam. Dia tidak tahu bagaimana hendak memberitahu masalahnya. Kerana selama ini dia tidak pernah berkongsi rahsia dengan sesiapapun. Kerana selama ini semuanya dipendam sendiri! 

Melur mengerutkan dahi. Keresahan Jasmine, keresahannya juga. Dia dapat merasakan. Dia dapat mengalami rasa itu. Menyelaminya! 

“Min, Min ni suka sangat berahsia. “ 

“Mana ada?” 

Melur mendengus. “Kita kembar, Min. Kalau Min susah hati, Melur tahu. Kalau Melur sakit, Min rasa. Tak gitu?” 

Jasmine pandang wajah Melur dengan mata yang berkaca. Buat pertama kali, dia melihat Melur susah hati kerana dirinya. Buat pertama kali dia melihat adik kembarnya itu mengambil berat tentangnya. Sebak! 

Ditambah dengan masalah yang belum terlerai, terus sahaja Jasmine menangis. Teresak-esak dia menangis sambil menceritakan masalah yang sedang membebani fikirannya kepada Melur. Dari A ke Z, tidak ada yang tertinggal. Hanya setelah semuanya habis terluah, hati menjadi sedikit lega. Kiranya masalah sudah dikongsikan dan beban sudah dikurangkan. 

“Kes cemburulah ni! Alah, Min. Min anggap saja masalah Min ni dah selesai. “ 

“Erkk...” 

Melur kenyitkan mata kepada kembarnya. Dia bangun perlahan-lahan maklumlah, berat, kan? Di muka pintu, dia berpusing dan matanya beradu dengan mata Jasmine. 

“Jangan risau, Ahmad Zahim Muaz tu tak akan cemburu lagi lepas ni. Percayalah!” katanya. 

Jasmine keliru. “Melur, Melur nak buat apa?” 

Senyum Melur nampak nakal sangat! 

“Relaks! Melur bukan nak buat apa-apa pun. Cuma, Melur nak cari dia dan Melur nak ajar dia supaya menghormati kakak Melur ni! Wah, panggilan Min, dia tak nak jawab. SMS, emel semua, dia tak nak balas. Dia ego sangat, aik? Tak apa! Nanti kita ajar dia!” ujarnya. 

Tiba-tiba, Melur meluru ke arah almari. Dibukanya closet itu dan tangannya sibuk mencari pakaian Jasmine. 

“Mana satu baju Min yang Zahim tu suka sangat?” 

Jasmine garu kepala. Tidak memahami kemahuan adik kembarnya. 

“Min, mana baju Min yang si Zahim tu suka?” 

“Mana Min tahu?” Tangan Jasmine pula sibuk memilih. Akhirnya dia keluarkan baju kurung warna merah hati yang dipakai ketika makan tengah hari kali terakhir pertemuan mereka di pejabat dahulu. Dia dapat rasakan yang Zahim suka baju ini kerana sepasang mata itu kelihatan terpukau melihatnya. 

“Yang ini, kut?” Kata Jasmine. “Melur nak pakai, ya? Muat ke?” 

Melur sengih. Dia menggayakan baju itu di hadapan cermin. “Alah, ketat sikit kat bahagian perut ni aje.” 

Jasmine mengetap bibir. “Kalau rosak, Min tak kira! Melur mesti ganti baju Min tu!” omelnya. 

“Woit! My dear sister, yang Melur nak gantikan ni lagi mahal tau! Melur nak bagi Ahmad Zahim Muaz pada awak. Tak nak?” usiknya. 

Jasmine tersengih bagaikan kerang busuk. Dalam hati dia berharap agar apa juga rancangan yang Melur rancang, akan membuahkan hasil. 

............................ 

Di hadapan pejabat Ahmad Zahim Muaz, Badrul Aminudin Haziq memarkirkan kereta Myvi warna ungu metalik milik kakak iparnya betul-betul di sebelah kereta Ahmad Zahim Muaz yang sudah dihafal nombor platnya oleh Melur. Merenung isterinya yang sedang mengoles bibir, dia tersenyum kecil. 

“Bergeliga juga otak isteri abang ni, ya? Min punya fasal, semangat dia bukan main berkobar-kobar abang tengok. Macam nak jadi film star, pulak!” usiknya. 

Melur ketawa. “Mestilah! Apa yang kita nak buat ni, bang, akan menentukan masa depan Min, tau!” balasnya. 

Badrul mengangguk. Selepas Melur menceritakan masalah Jasmine tadi, mereka berdua memikirkan cara bagaimana hendak meleburkan ego si Zahim. Dan, dia amat bersetuju dengan rancangan isterinya. InsyaALLAH, selepas ini, tidak akan ada masalah lagi. 

Melur melihat jam. “Bang, dah nak dekat pukul 6.30 ni. Kejap lagi mamat tu turun. Jom kita keluar!!” 

Kalut Melur memboloskan diri meninggalkan Badrul di dalam kereta. 

Badrul pula tenang berdiri sambil memerhati ke arah pejabat di mana Ahmad Zahim Muaz bekerja. Dia ingin lihat lelaki itu sebelum memulakan langkah pertama dengan isterinya. Ah, itupun dia, bisik hati. Lelaki yang segak bergaya. Hari ini Zahim memakai kemeja biru laut. Tapi kenapa nampak serabut aje mukanya tu? 

“Min, dia dah keluar,” bisiknya. 

“Okey, jom bang, kita mulakan! Abang kena buat macam yang Melur suruh, tau! Biar berasap kepala dia!” 

Badrul tahu, kini dirinya sedang menjadi perhatian Zahim yang terpaku di tempat dia berdiri, di pintu besar pejabat. Tentu sahaja sepasang mata itu sedang menangkap apa sahaja pergerakannya. Ya, kini Badrul sedang merapati Melur aka Jasmine pada pandangan mata Zahim. Harap-harap, andaian Melur itu betul! 

Ahmad Zahim Muaz panas hati melihat pasangan yang menarik perhatiannya dari tadi lagi. Ya, dia sedang terlalu sakit hati kini. Badak sumbu itu sedang menundukkan mukanya rapat kepada Jasmine. Argh, geram! Geram! Geram betul Zahim pada Jasmine. Konon tak ada apa-apa! Tapi, sekarang ni, bukan main lagi perempuan tu melayan Badrul. Siap usap-usap pipi lagi! 

Jasmine! Rendah betul maruahnya? Ya ALLAH, sanggup dia buat macam tu? Oh tidak! Aku tak rela! 

“Hey!” 

Tubuh Badrul ditarik dan... dusyyy... Satu tumbukan kena sebiji di muka Badrul. Aww... 

“Kau tahu tak dia ni kakak ipar kau? Hah? kau dah kahwin dengan adik dia, kau masih nak mengorat, nak ganggu Jasmine? Eh, dia bakal isteri akulah! Kau ingat, senang-senang aku nak lepaskan Jasmine pada kau?” 

Melur dan Badrul masing-masing menahan tawa. Tak lama pun! Rasa kelakar dengan sikap Zahim menyebabkan tawa terburai juga. 

“Oh ho... ada hati nak kahwin dengan Jasmine, ya? Habis tu, kenapa awak seksa hati dan perasaan dia? Kenapa buat dia menangis? Kenapa buat dia derita sejak berhari-hari? Sampai demam? Sakit sakit?” 

Ahmad Zahim Muaz berpaling ke belakang. Melihat raut wajah yang sedang bercekak pinggang padanya serta perut yang jelas menonjol ke hadapan, dia melepaskan keluhan. Perlahan-lahan, bibir mengukir senyum. Tangan dihulur kepada Badrul. 

“Maaf! Saya....” 

“Tak apa! Sekurang-kurangnya, kami dah tahu yang awak tak mahu lepaskan Min!” balas Badrul dalam tawa yang masih bersisa. 

Melur mula tunjuk sikap kerasnya. “Jangan percaya sangat dengan dia, bang. Dia mungkin cemburukan abang tapi, belum tentu dia nak kahwin dengan Min.” 

Zahim garu kepala. “Actually,” 

“Apa?” 

Badrul memeluk pinggang Melur. “Sayang, bagi peluang Zahim cakap dulu!” pujuknya. 

Zahim tarik nafas. “Saya tak ada niat nak batalkan majlis kami, Melur, Badrul.” 

“Habis, kenapa tak cakap pada Min macam tu? Kenapa tak balas mesej dia?” gerutu Melur. 

Zahim tarik sengih. “Saja aje nak bagi Min gelabah!” 

“Hah, eloklah tu! Awak dah berjaya dah pun! Sekarang ni, Min dah tak lalu makan. Dia dah jatuh sakit di rumah tu! Mak awak tak bagitahu awak ke? Yang Min dah tak larat nak bangun sejak semalam.” 

Wajah Zahim berubah pucat. “Betul ke, Melur? Min sakit?” 

Melur bagi jelingan maut pada Zahim. Dia kemudian berpaling melihat Badrul. 

“Bang, jom kita balik. Melur dah cakap apa yang Melur nak cakap pada Zahim.” ujarnya. 

Badrul akur dan segera membuka pintu untuk Melur masuk dan duduk di dalam kereta. 

Zahim bingung. Risau memikirkan Jasmin. “Bad, aku ikut korang balik ke sana, boleh? Risaulah! Aku nak tengok Min!” 

“Risau ke rindu?” Badrul mengusik. 

Pipi Zahim memerah. “Dua-dua, kut?” balasnya. 

Cermin kereta Melur turunkan. Dengan tegas, dia bersuara. “Tak payah! Tak elok orang tengok bakal pengantin lelaki datang ke rumah pengantin perempuan.” 

“Tapi,” 

“Kalau jadi apa-apa pada Min nanti, kami beritahu pada awak. Masa tu baru awak boleh datang. Cuma, Melur nak jawapan yang betul-betul sekarang. Jangan tipu! Jangan rasa terpaksa! Awak nak kahwin dengan kakak Melur yang nama dia Jasmine Airina binti Zahar tu atau tidak? Dua pilihan. Ya atau tidak?” 

Zahim mengangguk laju. “Tentulah ya!” tegasnya. 

“Okey! Kita jumpa hari Ahad nanti.” 

“Melur...” panggil Zahim ketika kereta diundurkan. Badrul memberhentikannya. 

“Tolong kirim salam pada Min? Cakap pada dia yang saya...” 

Lama Zahim diam sebelum membuat pengakuan yang Melur harap-harapkan. 

“I love her. I love her sooo much!” 

Melur dan Badrul tersenyum puas. Pada Zahim, mereka mengejek. “I love her so much? Pirahh...Dah, kita orang nak balik. Kalau Min merajuk dengan awak, jangan pulak buat keras kepala, ya! Jangan tak jadi pulak nanti. Kita orang siat siat badan awak nanti!” 

Dengan amaran itu, Badrul memecut laju meninggalkan Zahim. Zahim tergelak kecil. Tersenyum, dia masuk ke dalam kereta. Sambil menunggu enjin dipanaskan, dia menghantar mesej yang sama. luahan hati yang tersembunyi sebelum ini. 

“Min, maafkan aku sebab menyepi selama ni. Tapi, apapun yang aku buat, semuanya kerana satu sebab. Nak tahu? Baca lambat-lambat dan penuh penghayatan, okey.... 

Aku, Ahmad Zahim Muaz sangat-sangat mencintaimu, Jasmine Airina Zahar. Benar-benar cintakanmu. 

Kau juga dah jatuh cinta pada aku, kan?” 

Jasmine tersenyum meleret. Akhirnya... 

Satu lagi mesej diterima! 

“Min, kenapa diam? Malu, ya? Hmm, MMS muka tu pada aku. Aku nak tengok gadis pemalu ni!” 

Telefon dimatikan. 

‘Sori ek, Zahim. Min tak boleh ingkar perintah. Min kena patuh arahan Melur yang dah susah payah tolong Min. Selamat menderita menanggung rindu pada Min, ya!’ 

Dan debunga cinta berguguran... 










Ulasan

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…