Masihkah Cinta? 20

“Uwaisy, makanlah sayur ni. Bayam ni elok tau untuk kesihatan. Meh, ibu suap sikit. Nganga mulut...aaa!” Qistina terus memujuk. Sesekali dia mengeluh. Sudah hampir 20 minit dia menyuap, Uwaisy masih belum sudah. Sambil makan, sambil berlari. Lepas tu duduk pula depan televisyen, tengok iklan. Tiap kali hendak disuapkan nasi ke mulut, Uwaisy tutup rapat bibirnya bila ternampak sayur. 


“Tu laa.., kan umi dah cakap. Salah cara kamu tu! Sepatutnya, duduk di meja. Biar dia makan dengan tekun. Lagipun, kalau nak tumpah, tak adalah nasi tu berselerak sangat, kan? Sayur pun dia akan makan sebab takut tak dapat tengok TV. Sekarang, siapa yang penat? Tinalah! Budak Uwaisy tu, tak kan mahu duduk diam. Macam kamu tak tahu yang anak kamu tu lasak!” leter Maheran. 

Qistina hanya tersengih menyedari kesilapan diri. Fikirnya, hari ini, biarlah diberi sedikit kebebasan kepada Uwaisy. Tak mahulah ikut ‘rules umi’ sangat. Tapi, memang! Penat dia dibuat oleh anak kesayangan. Dari pagi, memperuntukkan masa berkualiti dengan Uwaisy, rasa macam dah kena buli. Tadi, waktu berjogging, Uwaisy yang comel dibawa bersama. Sudahnya, dekat nak sampai ke rumah, Uwaisy sudah ‘surrender’. Terpaksalah didukungnya bila Uwaisy sudah tegak macam patung, tidak mahu berjalan lagi. Tambah kasihan bila air mata bergenangan. Hisy, kecil-kecil lagi sudah pandai... 

Ingatan kepada Safiy menjelma. Kadang-kadang, sifat manja Uwaisy membuat dirinya terkenang kepada lelaki itu. Dahulu, Safiy juga sering ingin dimanjai oleh Qistina. Kadang-kadang, sengaja mencari fasal dan bila Qistina marah, terus Safiy menarik muka masam dan merajuk. Bila diperhatikan, Uwaisy juga begitu. Mudah sangat merajuk dengannya. Uwaisy... 

Macam mana nak terangkan pada anak kecil itu tentang ayahnya? Tentang Safiy? Dia pernah berjanji pada diri untuk merahsiakan semua tentang Safiy daripada pengetahuan Uwaisy. Pernah bersumpah bahawa Uwaisy tidak akan pernah tahu yang ayahnya masih ada. Masih bernyawa. Malah, kalau boleh, dia tidak mahu Uwaisy tahu tentang kewujudan Safiy pun! 

Tapi, dendamnya kepada Safiy tidak harus melibatkan Uwaisy. Dia benci lelaki itu tapi antara Uwaisy dengan Safiy, mereka masih ada ikatan. Ada pertalian darah. Mereka anak beranak! 

Kerana dia tenggelam dalam kebuntuan fikiran, Qistina tidak sedar bahawa uminya, Maheran, sudah duduk di hadapannya. Perlahan-lahan, pinggan ditarik daripada jemarinya. “Pergi basuh tangan! Umi sakit mata tengok kamu suap anak kamu ni! Dah, biar umi aje yang bagi Uwaisy makan. Kamu berehat!” 

Qistina tidak membantah. Dengan langkah yang longlai, dia menuju ke dapur. Dia tidak menyedari bahawa Maheran sedang merenung pergerakannya dengan dahi yang berkerut. 

‘Entah apa yang Tina ni fikirkan lagi, aku pun tak tahu. Banyak benar masalah dia. Luqman pun satu! Bila nak buka mulut sebut tarikh nikah pun, entah. Kalau dah ada tarikh, kan senang?’ omel Maheran di dalam hati. 

Bunyi deruan enjin kenderaan di luar rumah menghentikan lamunan Maheran. Seketika kemudian, pintu kereta dihempas dengan kuat. Tak lama selepas itu, wajah Safiy terjengul di jeriji pintu utama. 

“Saya nak masuk, umi! Buka pintu ni!” Lantang suaranya memerintah. 

Maheran yang sedikit gugup, terus berasa marah. 

“Macam mana kamu boleh tahu kami duduk di sini, Safiy? Dah! Pergi balik! Jangan mengada-ada nak masuk ke dalam. Kamu dengan Qistina bukan suami isteri dan ini rumah umi. Kamu tak boleh masuk sebab umi tak izinkan!” ujar Maheran penuh ketegasan. 

Safiy menggoncang-goncang pintu gril. “Kenapa semua orang bertindak zalim sangat dengan saya? Saya cuma nak bincang dengan Tina. Saya cuma nak cakap elok-elok, bukan nak kelahi dengan dia! Kenapa susah sangat kau orang nak faham, hah?” jeritnya. 

Qistina yang berada di dapur tersentak. Argh, Safiy yang gila talak sudah sampai, fikirnya. Benci betullah! Tak bolehkah dia hidup aman sekarang? 

“Safiy, tak ada apa-apa yang kamu dengan Tina perlu bincangkan. Dah tiga tahun kamu dengan Tina bercerai, Safiy! Apa lagi? Pergilah balik! Kamu dah ada isteri, kan? Dengarnya, dah ada anak, pun! Yang dok terhegeh-hegeh mencari Qistina, buat apa?” bentak Maheran. 

Buntang mata Safiy merenung wajah bekas ibu mentuanya. Sakit hati mendengar kata-kata Maheran tadi. Dia terhegeh-hegeh? Arghh.... 

“Tu, budak tu! Anak siapa?” tanya Safiy sambil merenung raut Uwaisy. 

“Anak angkat umi. Kenapa?” 

Safiy mencebik. “Betul ke, umi? Entah-entah anak saya, tak? Umi sengaja nak sorokkan, kut?” 

Maheran panas telinga. “Ada hati tu nak mengaku anak orang jadi anak dia? Kalaupun Uwaisy ni anak kamu, kamu ingat, umi nak beri dia pada kamu? Pada lelaki yang menghina anak umi, Qistina? Yang buat tuduhan palsu untuk ceraikan anak umi? Baik kamu berambus, Safiy! Sebelum angin umi naik, baik kamu pergi dari sini. Pergi, sebelum umi panggil polis!” 

Safiy tidak tahan lagi. Semua orang asyik hendak memisahkan dirinya dengan Qistina. Semua orang begitu buta sehingga tidak nampak betapa dalamnya rasa kasih dia kepada isterinya itu. Asyik-asyik, mereka mengungkit kesilapannya tiga tahun dahulu. Bukan besar manapun kesalahannya! Sedangkan Nabi lagi ampunkan umatnya? 

Tubuhnya melurut jatuh di hadapan rumah. Dia menangis teresak-esak. Malu sudah dibuang ke tepi. Yang dia tahu, dia ingin hidup bersama Qistina semula. Orang nak cakap apa, cakaplah! 

“Tina, abang tahu Tina ada kat dalam. Tolong, Tina. Cakap pada dia orang yang kita saling sayang. Cakap pada dia  orang yang Tina isteri abang. Cakap yang Tina tak suka dia orang hina abang. Tina, Tina tak kesian pada abang, ke? Abang dah ceraikan Zara, Tina! Abang dah tak ada hubungan dengan dia. Dari dulu, abang tak nak kahwin dengan dia. Tina pun dah tahu, kan? Tina... baliklah pada abang. Abang janji, abang akan jaga Tina. Abang tak akan lukakan hati Tina lagi! Percayalah!” 

Di pintu pagar, seorang perempuan sedang memerhati gelagat Safiy dengan senyuman sinis. Hendak ketawa pun ada melihat Safiy sudah bagaikan pengemis menagih cinta bekas isterinya. Lelaki bodoh! Ya, Safiy ialah lelaki paling bodoh dan lemah yang pernah dia temui. Lelaki malang yang tidak punya masa depan lagi. 

Kerana asyik mencari Qistina dan selalu sangat cuti sakit, Safiy sudah dibuang kerja. Tengok sahajalah dirinya yang tidak terurus itu. Memang teruk dan memalukan! 

“Safiy, kesian I tengok you ni! Ada bini yang baik macam I, you ceraikan. Lepas tu, terhegeh-hegeh depan rumah bekas isteri lama. Orang dah tak suka, pun, tak faham-faham jugak! Hello, you ada apa nak tawarkan pada bekas bini kesayangan you tu? Harta? Dah habis you serahkan semua pada I masa kita bercerai hari itu! Dah tu, you kena buang kerja pulak. Kalau I jadi Qistina tu pun, I takkan pandang sebelah mata pada you, you tahu tak, Safiy? Lebih baik I pilih Luqman. Luqman lagi hensem, lagi kaya, malah beribu kali lebih baik daripada you, tahu tak?” 

Safiy tidak tahan mendengar kata-kata Zara. Zara yang amat dibenci. Zara yang tidak tahu malu, yang sentiasa sahaja mengekori ke mana-mana dia pergi. 

“Apa lagi yang kau nak dari aku, Zara? Semua hak aku, aku dah bagi pada kau. Dah tak ada apa yang tinggal lagi. Boleh tak kalau kau pergi jauh-jauh. Tolong jangan kacau aku lagi! Tolong biarkan aku!” rayunya. 

Wajah Zara terus mencuka. “Aku nak tengok kau berdrama, tak boleh ke?” Hilang dah I-you! “Aku nak tengok macam mana cara perempuan tu buang kau! Tak sabar nak tengok dia mengamuk, maki hamun kau dan sakitkan hati kau! Aku nak tengok kebencian dia. Tak boleh?” 

Safiy naik hantu. Terus ditamparnya pipi Zara Khalida. “Kau ingat Qistina tu macam kau, hah? Dia tak akan pernah buang aku! Dia takkan pernah mengamuk, berkasar dengan aku. Sebab dia sayang aku! Sebab dia cintakan aku!” 

Zara ketawa. Bagi dirinya sekarang, Safiy sudah jadi seperti orang gila. Safiy terlalu bodoh! Dan, dia juga bodoh! Bodoh kalau dia membiarkan Qistina menjadi milik Luqman. Jadi, dia hendak menimbulkan huru hara di sini supaya Safiy mengapa-apakan Qistina sehingga Luqman tidak mahu kepada perempuan itu lagi! 

“Kau tak akan mampu buat Qistina cintakan kau lagi sebab hati dia dah ada orang lain. Kau kenal Luqman, kan? Dia orang nak kahwin tahu tak? Kalau kau tak paksa Qistina, kau pasti melepas!” 

Safiy bingung. Qistina hendak berkahwin dengan lelaki lain? Melampau! 

Terus dia melangkah laju, lalu mengetuk pintu yang sudah ditutup oleh Maheran. 

Maheran sudah menyuruh Qistina mengunci semua pintu dan tingkap. Dia bimbang kalau-kalau Safiy hilang akal nanti. Malah, dia juga sudah menelefon polis. Luqman juga sudah diberitahu. Perkara ini sudah lama sangat mengganggu mereka. Hari ini, fikir Maheran, biarlah semuanya berakhir! 

“Tina, Zara kata Tina nak kahwin dengan Luqman! Jangan perasan, Tina. Jangan harap Tina boleh buat begitu! Abang tak akan izinkan. Tina hak abang saja! Tahu tak?” 

Qistina tidak pedulikan semuanya. Dia kini sedang menghadap TUHAN. Menyembah Yang SATU agar diberi ketenangan hati. Dia lemah dengan situasi ini. Jadi, biarlah ALLAH memberi dirinya kekuatan untuk terus tabah dan agar dia terus mampu berdiri. 

Ulasan

  1. kesian pulak kat safiy. jangan sampai tekanan perasaan sudah.

    BalasPadam
  2. Hajar, jangan paling tadah sudah.. xnk dilema pilih hero lg hehe...

    BalasPadam
  3. kehkeh. takla kak. saya tetap nak qistina dengan luqman. mereka berdua berhak hidup bahagia dengan apa yang mereka ada sekarang. hehe.

    BalasPadam
  4. kesian memang ler kesian kat safiy...tapi sapa yg buang qis macam sampah dulu...fitnah n tuduh qis macam2..qis jgn sesekali kembali ke safiy...tetap nak qis pilih luqman..luqman berhak utk hidup bahagia disamping qis...

    BalasPadam
  5. jgn jd apa2 kt hubungan tina n luqman... harap2 berkekalan hendaknya...

    BalasPadam
  6. luqman cepat2 lah kahwin ngan qis.

    BalasPadam
  7. sifat lelaki agaknya memang begitu
    mudah menuduh berbagai perkara
    mudah jua untuk melupakan dan menafikan...
    dah tiga tahun baru safiy nak sedar;
    bahawa dia masih sayangkan Qistina;

    Sofi apa cerita di sebalik penceraiaan mereka
    siapa yang memaksa, siapa yang terpaksa..
    hingga sanggup Safiy membuat fitnah!
    ikut hukum dosa memfitnah lebih besar
    dari dosa membunuh...

    Nak Qistina bahagia dengan Luqman
    biar Zara & Safiy menyedari kesilapan mereka
    yang telah terlewat...

    BalasPadam
  8. kak nora, lelaki mmg mcm tu.. br nk rasa syg konon.. hmm

    BalasPadam
  9. Anonymous, cpt kahwin, cepat habis, ya.. hehe

    BalasPadam
  10. Ija, insyaallah, ija. akan ku bongkarkan minggu hdpn

    BalasPadam
  11. kesian kat safiy, kesian kat qistina, kesian kat luqman, tp xsk Zara.. :D

    BalasPadam
  12. Anonymous, sbb tu, sblm bertindak, kena berfikir. jgn lukakan hati org lain, lebih2 lg yg tersayang.

    BalasPadam
  13. kak matikan jer lah watak safiy tu.. hehe bleh x?

    BalasPadam
  14. hajar, alamak, hajar... janganlah.. cian safiy!

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

Yang Terakhir: Versi Cerpen

Inikah Cinta? : Versi Cerpen