apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

11.12.11

Haruan makan anak. Topeng syaitan yang mesti disingkap!!


Assalamualaikum..... 


Kalau ada yang tidak kenal, gambar di sebelah ialah gambar ikan haruan dengan anak-anaknya. Nampak baik, ya? Tapi tunggulah jika kita biarkan si tua itu kebuluran. Pasti dia akan ngap! Ngap siapa? Anak dialah!

Hari ini, kejadian taboo ini nampaknya tetap berlaku dalam masyarakat kita. Ada bapa yang sanggup meratah tubuh anak sendiri sehingga masa depan si anak menjadi gelap. Sehingga anak menjadi trauma dan takut terhadap lelaki. 

Kisah seorang ayah yang sepatutnya berusaha untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna, tidak berlaku. Sebaliknya, syaitan jantan bertopeng manusia ini menjadikan dua orang anak perempuannya, darah dagingnya sendiri, yang tidak berdosa, tempat dia memuaskan nafsu serakah.

Kalau anda jadi anaknya, tentu sahaja, seperti mereka berdua, anda tidak akan sanggup memandang lagi wajah ayah kandung anda itu!
Kisah Huda dan Sara ini patut kita jadikan pedoman. Hati kita, sebagai isteri dan ibu perlu ada sedikit rasa cemburu terhadap hubungan suami dengan anak2 perempuan. Bukan mengajar untuk menjadi biadap, cuma berpesan agar sentiasa berwaspada. Nafsu dan hasutan syaitan - dua perkara gangguan berterusan yang kita hadapi serta tempuhi, bukan?

Peranan seorang ibu penting dalam situasi begini. Pahit untuk ditelan jika ia menimpa diri terutama jika ditakdirkan anda terserempak suami masuk ke bilik anak ketika anak-anak sedang itdur tapi, itulah kuasa TUHAN, yang Maha Kaya. Ekoran itu, si ibu tadi membawa Huda dan adiknya keluar dari rumah itu sekalipun sebelum itu emaknya teruk dibelasah oleh ayah. Mereka dibawa pergi jauh dari ayah supaya dapat melupakan segala titik hitam yang berlaku dan memulakan hidup baru sehinggalah akhirnya Huda lulus dengan cemerlang di universiti.

Kini Huda sudahpun bekerja dan sebagai wanita, naluri untuk bercinta pastinya ada. Dia jatuh cinta dengan Rashid dan Rashid ingin menyuntingnya sebagai isteri.

Dipendekkan cerita, Huda kena cari ayahnya kerana lelaki itu ialah wali dia, kan? Tahu apa yang terjadi?

Bila bertemu, lelaki muka tembok itu maki hamun Huda dan enggan jadi wali. So, Huda perlu membuat permohonan supaya mahkamah syariah dapat membenarkan dia berkahwin dengan Rashid menggunakan wali hakim.

Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad mengendalikan kes ini di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Bapa ialah wali nasab tapi dalam kes ini, sekali gus si ayah tidak layak menjadi wali nasab itu kerana beberapa kali mencabul Huda semasa berumur 10 tahun. Lagilah tidak layak kerana defendan (bapa) itu juga pernah mengugut akan membunuh semua ahli keluarga jika memberitahu perbuatan terkutuknya itu kepada orang lain. Yang penting kepada kaum wanita semua, anda harus jadi sebijak Huda. Pastikan ada sokongan bukti! Seperti laporan polis dan laporan perubatan, ketika perbicaraan di mahkamah.

Memang, bila dah terpaksa, segala kejahatan dan aib, terpaksa dibongkar. Tetapi, ia terpaksa dibuat. Jangan takut dan tawakal pada Yang Esa. Sebenarnya, memang ada peruntukan undang2 untuk anak2 gadis malang ini di bawah Seksyen 13(b) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Setelah mendengar permohonan plaintif, saksi-saksi (ibu, adik dan bakal suami) serta lafaz sumpah istizhar plaintif maka mahkamah berpuas hati dengan keterangan yang telah diberikan.

Dalam keputusannya, Wan Mahyuddin mensabitkan wali telah enggan untuk memberikan kebenaran plaintif berkahwin tanpa alasan yang munasabah. Ia termasuklah setelah notis diserahkan kepadanya untuk hadir ke mahkamah tetapi masih enggan hadir ke mahkamah tanpa sebarang alasan. Tuntutan yang dibuat oleh plaintif itu dibenarkan oleh mahkamah dengan mengambil kira akan kemaslahatan pihak plaintif yang akan mendirikan rumahtangga pada masa terdekat dengan bakal suami yang sekufu.

Sehubungan itu, mahkamah meluluskan permohonan plaintif yang memohon untuk berkahwin menggunakan wali hakim mengikut peruntukkan seksyen 18 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Semoga Huda berbahagia dan terus bahagia....

Itu secebis kisah dalam masyarakat kita. Penderitaan yang diharap dapat menjadi pengajaran bersama!


kredit: UM

================================

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.