apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

4.12.11

Apa lagi yang kurang?


Assalamualaikum..... 

Kalau tadi aku gembira menulis tentang Rayyan...saudara baru yang memeluk Islam dengan kerelaan sendiri kini aku hendak menyentuh pula juga tentang muallaf. Tapi kali ini dia seorang wanita cina yang hebat. 

Nama asalnya Mary Lim. Hubungan intim yang terjalin antara dirinya dengan seorang lelaki Melayu, dipanggil Mazlan, menyebabkan dia memeluk Islam dan menggunakan nama Siti Aishah. Sudah enam tahun mereka berkahwin dan sudah ada dua orang anak.

Berlainan dengan Rayyan, Siti Aishah menukar agama tanpa restu keluarga. Dia dibuang setelah dia memilih untuk hidup bersama Mazlan. 

Bahagiakah dia?

Mula2 kut! Petikan kata2 Aishah:
"Sejak bernikah, Mazlan sahajalah tempat saya mengadu dan menumpang kasih. Biarpun menjadi saudara baru, saya tidak mensia-siakan pengorbanan menukar agama. Saya belajar mengaji dan mendalami Islam menerusi PERKIM serta belajar tambahan di surau tempat tinggal kami. Layanan saya terhadap Mazlan dan rumah tangga kami telah saya sempurnakan sebaik mungkin kerana dia sahaja tempat saya bergantung hidup. Penat lelah pulang kerja tidak menghalang saya memasak dan mengemas rumah asalkan Mazlan gembira dan bahagia."
MasyaALLAH, aku mengaku, diriku pun tidak sebaik ini. Allahuakbar!

Malangnya, ada orang tidak tahu menghargai. Lelaki itu ialah suami yang satu. Keluh Aishah...
"Sayangnya, Mazlan tidak menghargai pengorbanan saya. Tanggungjawab yang diterimanya ketika menikahi saya tidak ditunaikannya. Mazlan lupa pada asal usul saya dan amanah untuk membimbing saya ke jalan yang diredai Allah. Sebaliknya dia telah menduakan kasih sayangnya terhadap saya. Dia sudah ada kekasih gelap. Hari demi hari, saya sedar Mazlan semakin dingin terhadap saya. Dia cuba mencari kesilapan dan kelemahan saya tetapi tidak ditemui. Apabila bersemuka, alasan yang diberi oleh Mazlan ialah dia teringin beristerikan orang Melayu yang sebangsa dengannya pada hal ketika kami bercinta dulu dia tidak mementingkan itu semua. Dia pernah berkata, jika saya tidak tahan, dia suruh saya pulang ke rumah orang tua saya pada hal dia tahu saya sudah dibuang keluarga setelah bernikah dengannya dulu. Dia juga selalu mengugut saya yang lelaki Islam dibenarkan kahwin sampai empat. Setiap kali saya bertanya kenapa dia berubah, itulah jawapannya."
Sebak hatiku membaca keluhan hati Siti Aishah malah aku malu dengan perlakuan suaminya yang telah menggenggam Islam sejak lahir lagi. Betapa benar, iman bukan sesuatu yang diwarisi malah berubah-ubah dalam diri. 
"Sebagai saudara baru, saya sedar apa saya lalui sekarang adalah dugaan daripada Allah, saya reda menghadapinya. Saya tidak kecil hati. Saya tidak akan marah dan akan menerima perbuatannya dengan tenang hati. Saya nekad akan taat terhadap dia sampai bila-bila dan saya berdoa agar dia akan sedar dan menerima saya semula. Masalah saya sekarang adalah anak-anak yang dua orang itu. Mereka masih kecil untuk memahami keadaan rumah tangga kami. Tapi saya seboleh-bolehnya mengelak daripada anak-anak tahu apa yang sedang berlaku dalam rumah tangga kami. Tapi sampai bila saya harus berbohong dengan mereka yang ayah mereka telah berubah. Saya lalu membuat aduan di pejabat agama tentang sikap suami. Biasalah jawapan yang saya terima supaya saya bersabar dan selalu berdoa. Memang saya selalu berdoa dan minta perlindungan daripada Allah untuk memberi saya kesabaran dan ketabahan. Saya pasti suatu hari suami akan sedar dan menerima saya kembali. Dia mempunyai tanggungjawab besar untuk membimbing saya ke jalan Allah, bukan membiarkan saya terkapai-kapai seperti ini."
Tuhan, tabahnya Siti Aishah. Kalau aku? Rasanya, tidak. Tak mungkin aku sesabar dia agaknya?
"Saya tahu Mazlan terpengaruh dengan keadaan sekeliling, termasuk kawan-kawan, tapi, alhamdulillah keluarga mentua amat faham dengan masalah saya dan berjanji akan menjaga dan membimbing saya."
Syukur, ALLAH itu adil dan bijaksana. Dia melihat dan mendengar. Keluarga sendiri memulau tapi keluarga mentua menerima. Alhamdulillah!
"Jika ditakdirkan Mazlan ingin bernikah lagi, saya tidak akan menghalang kerana agama Islam tidak menghalangnya asalkan suami mahu berlaku adil dan bertanggungjawab. Tentu ada hikmah di sebalik segala-galanya. Ia juga tidak akan mengubah hati saya kepadanya. Kasih sayang saya terhadap Mazlan semakin menebal. Saya rasa aman dan tenang dalam Islam dan hasrat saya satu, ingin menjadi isteri yang solehah hingga ke akhir hayat," 
Tuhan, baiknya dia! Sungguh-sungguh baik! Rasanya, ingin benar aku bertemu dengan Siti Aishah dan belajar memiliki sifat-sifat sepertinya ini. Luhur, ikhlas dan redha! 

Begitu mulia hati Siti Aishah biarpun diperlakukan seperti itu oleh suami. Kecekalan hatinya perlu kita contohi dan jadikan teladan. Dia saudara baru, dia diuji, dia diperlakukan dengan buruk oleh suami namun, meniti hari-hari mendatang, dia tahu ALLAH bersama-sama dengannya. 

TUHAN, permudahkanlah Siti Aishah menjalani hidup ini. Berikan kebahagiaan untuknya. Kerana dia saudara seagama kami....

kisah penuh di sini...

================================

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.