apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

9.12.11

10.12.11: Melihat gerhana bulan penuh sambil solat sunat

Assalamualaikum.....

Esok, 10.12.11, satu lagi kejadian menarik akan berlaku. Pada bulan Jun lepas, kita pernah mengalaminya tapi mungkin ramai tak sedar kerana ia berlaku pada waktu lewat tengah malam. 

Tapi, sekali ini, memang kita bertuah. Fenomena Gerhana Bulan Penuh, insyaallah, akan dapat kita saksikan sendiri, alami sendiri, kerana ia bermula seawal jam 7.31 malam esok. 

Fasa gerhana ini akan bermula pada jam 7.31 petang. Namun apabila bulan mula menghampiri kawasan bayang-bayang bumi yang lebih gelap, dikenali sebagai umbra, barulah kesan gelapnya mudah kelihatan, iaitu sekitar jam 8.30 malam. Bulan akan berada di dalam bayang-bayang bumi sepenuhnya (fasa gerhana penuh) pada jam 10.05 malam sehingga 10.57 malam. Masa ni mesti gelap gelita, kan? Kemudian ia akan keluar sepenuhnya daripada bayang-bayang umbra pada jam 12.18 tengah malam.

Apa yang berlaku, boleh anda rujuk pada gambar di atas ataupun, kalau nak tengok simulasinya, kat you tube di bawah ni!



Gerhana ialah satu kejadian atau petanda kepada kebesaran kekuasaan Allah SWT. Gerhana juga berupaya menjadi peringatan kepada manusia tentang azab dan nikmat yang dijanjikan Allah SWT pada hambanya kerana fenomena gerhana ini sangat besar ertinya sama ada dari penghayatan iman mahupun sains. 

Ia bukan fenomena baru yang hanya berlaku pada akhir zaman ini tapi telah berlaku sejak alam ini dijadikan dan juga pada zaman Nabi SAW yang dikenali sebagai sebaik-baik kurun. Dalilnya:

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Aisyah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya,
“Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua macam tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta bersembahyanglah!”
Untuk Gerhana Bulan kita lakukan solat khusuf. Solat ini hukumnya sunat muakad. Waktu melakukan solat Gerhana Bulan ialah mulai dari terjadinya gerhana itu sampai terbit kembali, atau sampai bulan nampak penuh. 

Cara Mengerjakannya:

1. Solat dua rakaat yang boleh dilakukan secara bersendirian, tetapi lebih utama dilakukan secara berjemaah.

2. Solat dua rakaat dengan 4 kali rukuk dan 4 kali sujud. 

Pada rakaat pertama sesudah rukuk dan iktidal, berdiri semula, baca Al-Fatihah,  rukuk dan iktidal lagi, kemudian terus sujud sebagaimana biasa.

Pada rakaat kedua juga dilakukan seperti pada rakaat pertama. 

Dengan demikian solat gerhana itu semuanya ada 4 kali rukuk, 4 kali membaca Al-Fatihah dan 4 kali sujud.

Bacaan Al-Fatihah dan surah dalam solat gerhana bulan boleh dinyaringkan. Dan, pada tiap-tiap rakaat, disunatkan membaca surah yang panjang.

Jika solat gerhana itu dikerjakan seperti solat biasa iaitu dua rakaat dengan dua rukuk maka sah solatnya.

1. Lafaz niat Solat Sunat Gerhana Bulan:

"Aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala!"

jomlah kita sama-sama melakukan solat sunat ini...


================================

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.