apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

25.11.11

Teringin: Versi Cerpen

1

“Cikgu Nursyahirah, ada orang nak jumpa cikgu.”

Cikgu muda itu sedikit terkejut. “Siapa? Bapak budak ke?” 

Tanya dia kepada Azizi, pembantu guru yang datang memberitahu. Belum sempat Azizi hendak menjawab, Nursyahirah sudah menggumam. “Alah, orang tengah sibuk nak mengemas, ada aje nak mengganggu. Masa hari interaksi, punyalah berkobar-kobar orang tunggu kat Balai Ilmu, berapa kerat aje yang sudi datang. Hai ya! Ikut suka hati emak bapak korang aje nak masuk sekolah ni, ek!”

Kih kih kih...

Nursyahirah baru terperasan bahawa ada dua orang anak muridnya sedang menolong dia mengemas meja di bilik guru itu. Malulah pula bila diketawakan mereka.

“Tak sangka cikgu ni kuat berleter juga. Dalam kelas, cikgu selalu cool aje.” Munir mengusik.

“Iyalah... macam tak percaya pula!” sahut kawannya, Amrin.

“Err, cikgu...”

Nursyahirah jegil mata pada anak-anak muridnya. 

“Yalah! Saya nak naiklah ni, Zizi.” ujarnya bila pandangan beralih kepada Azizi yang gelisah.    

“Cikgu, rasanya yang datang ni bukan bapak budak. Penjaga, kut. Muda orangnya!” Azizi membetulkan.

Nursyahirah pandang wajah Azizi. “Siapa pun dia, tak sepatutnya dia datang ke sekolah masa ni. Orang dah nak balik dah! Dia ada di mana sekarang?”

“Ada di luar pejabat.”

Nursyahirah cepat-cepat meletakkan buku yang sedang dikemas, masuk ke dalam kotak. Kemudian disuruhnya Amrin dan Munir, anak murid yang setia menolongnya sejak pagi tadi untuk membawa kotak itu ke makmal kimia. 

“Cakap dengan cik Aida, pembantu makmal tu, yang saya tumpangkan kotak tu sekejap. Nanti, masa nak balik, saya pergi ambil.”

“Yes, miss!”

Nursyahirah tergelak mendengar balasan mereka. Sebagai guru Bahasa Inggeris, dia rasa seronok bila anak muridnya sudah mahu bercakap dalam bahasa itu, bila dengannya.  Di kawasan pedalaman seperti pekan Bagan Datoh, bertutur dalam Bahasa Inggeris masih dianggap berlagak. Namun era ini, di zaman IT, anak-anak muda belasan tahun sudah semakin faham bahawa BI sebagai bahasa antara bangsa, amat berguna untuk dipelajari. Dan, dia bersyukur, sejak ditukarkan ke daerah asing ini tiga tahun dahulu, tidak banyak masalah ditemui dalam pengajaran dan pembelajarannya.

Sambil tersenyum kecil, cepat-cepat Nursyahirah mencapai beg tangannya dan bersedia hendak ke pejabat.

“Siapa nak jumpa kamu, Ira?” tanya cikgu Mazni.

Nursyahirah geleng kepala. “Entahlah, kak. Dah hujung tahun pun ada lagi mak bapak yang datang. Mentang-mentanglah saya pegang kelas corot...”

“Eh eh, itu kan dah bagus! Diorang prihatin apa! Sampai hari terakhirpun ada saja yang nak jumpa, nak tahu perkembangan anak. Layan ajelah!”

“Tahulah! Tapi, orang banyak lagi nak kemas tu!” Nursyahirah memberitahu.

“Alah, nanti sambunglah. Dah, pergi cepat! Dah lama orang tu tunggu!” gesa cikgu Mazni.  

Entah mengapa, ketika menaiki anak tangga, hatinya berdebar-debar tidak tentu arah. Sudah jenuh beristighfar, baca ayat Qursi, tapi masih juga gementar tak tentu fasal. Kenapa, ya? Semakin kencang degupan jantungnya bila melihat beberapa orang guru lelaki sedang berbual-bual dengan seseorang. Oh, bukan susah hendak mengenali orang asing di kalangan guru-guru lelaki yang berbaju Melayu pada hari Jumaat, kan?

Meskipun daripada belakang, dia seolah-olah mengenali lelaki itu. Susuk tubuh yang tegap yang hanya berbaju T dan memakai seluar jeans kelihatan tinggi di kalangan kawan-kawan guru Nursyahirah. Salah seorang guru yang berada dalam kelompok itu terpandangkannya. Nursyahirah berhenti melangkah, bagaikan menanti lelaki itu menoleh ke arahnya.

“Lambatnya cikgu Nursyahirah naik. Ingat tadi nak suruh orang pergi cari cikgu lagi.” Encik Halim, Penolong Kanan SMK Seri Muara, menegurnya. Nursyahirah tidak menyahut. Hanya tersenyum sedikit sambil melihat kaum lelaki itu bersalaman.

“Okey, jumpa lagi encik Ikram.”

Ikram? Zariel Ikram? Lelaki itu?

Cepat-cepat tangan memegang konkrit balkoni. Kalau tak pegang, pasti dia akan jatuh terduduk di atas simen. Perlahan-lahan, tubuh disandarkan ke dinding. Menanti lelaki itu berpaling ke arahnya. Lelaki yang menjadikan dirinya seorang pelarian. Lari jauh daripada keluarga. Lari jauh daripada masa silam. Jauh daripada kedukaan.

“Why are you here, Zariel?”

Pertanyaan yang cukup untuk membuat lelaki itu berpaling. Kini, lelaki itu sedang merenungi dirinya. Sepasang mata itu begitu asyik memerhati. Sekilas, bagai ada senyuman menghiasi bibir nipisnya. Namun, ia lenyap begitu sahaja. 

“Dah tiga tahun, Ira. Masa untuk Ira sembunyikan diri dari abang dah tamat tempoh. Abang datang nak bawak Ira balik. Tempat Ira di sisi abang, bukan terasing jauh di sini!”
...................
2


Nursyahira memandu kereta Personanya dengan tenang dan selamba. Sengaja dia memandu seperlahan yang boleh dengan tujuan supaya Zariel Ikram mahu memotong dan kemudian memecut laju meninggalkannya. Tapi, hairan! Zariel begitu setia mengekori.

“Kesian SLK dia! Kereta tu tentu jemu bergerak sangat perlahan. Kenapalah Zariel tu harus mengekori aku lagi? Potong aje, aku tak kisah pun! Menyampah betullah! Sejak bila lelaki ini jadi seorang penyabar?”

Tadi, dia berkeras hendak memandu balik ke Bandar Kinrara. Biarpun Zariel memaksa dirinya meninggalkan kereta dia di rumah sewa, Nursyahirah tidak mempedulikannya. Dia tidak mahu balik dengan lelaki itu dan dia tidak mahu dekat dengannya. Zariel Ikram.... satu nama yang dia sudah fobia! 

“Saya tak mahu kahwin dengan dia, mama.” 


Masih terdengar suara Zariel menolak bila mama menyarankan mereka berdua berkahwin. Mama... Puan Naimah, apa khabar mama sekarang? Wanita yang terlalu baik. Wanita yang terlalu menyayangi dirinya.

“Kenapa?”

“Mama? Boleh mama tanya soalan itu? Macam mama tak tahu sebabnya!” Suara Zariel melengking kuat.

“Sebab ayah dia musuh perniagaan papa? Sebab kamu fikir ayah dia tipu papa sampai papa jatuh bankrap?”

“Tahupun, mama! Sampai papa mati disebabkan ayah dia! Sekarang, duduk tak duduk, dia nak suruh saya kahwin dengan anak dia pulak? Dah gila agaknya Datuk Herman tu?”

“Zariel, setiap orang buat silap. Termasuk papa, mama... mahupun Datuk Herman. Sekarang ni, Datuk nak tebus balik kesilapannya. Dia....”

“Aaa.. dia nak tebus balik dosa dia dengan jual anak dia pada saya! Banyak cantik? Tak ingin saya, mama! Selama ni saya tahan tengok muka perempuan tu sebab mama sayang pada dia. Sebab mama tak boleh berpisah dengan dia. Tapi, kalau sampai saya terpaksa kahwin dengan Nursyahirah tu, minta maaf! Saya tak mahu!”

Nursyahirah keluar daripada dapur lalu memasuki ruang tamu setelah telinganya sudah tidak tertahan lagi mendengar cemuhan lelaki itu terhadap ayahnya. Lelaki yang selama ini dianggap bagaikan abang kandungnya sendiri begitu ampuh dan nekad menolak dirinya. Tak sudi sama sekali hendak menjadi suaminya.

“Kalau pun abang tak mahu kahwin dengan Ira, tak perlulah tengking-tengking mama abang ni. Ira pun bukannya hendak abang jadi suami Ira. Ira pun dah ada kekasih. Tapi, Ira kena kahwin dengan abang sebab ayah suruh. Ayah rasa bersalah pada papa abang. Dia nak tebus balik kesalahan dia masa dulu-dulu. Abang tak nampak ke siapa yang jadi mangsa di sini? Bukan abang, tahu tak? Ira, bang! Ira! Tapi, Ira redha kalau ini dapat buat hidup ayah yang tinggal sikit aje lagi tu, tenang.”

Mencerlung sepasang mata Zariel Ikram memandangnya. Kemarahan, kebencian semakin terasa. Terseksa rasa jiwa bila mendengar cemuhan demi cemuhan dari mulut lelaki itu.

“Hah, dah nak mati pun masih nak menyusahkan orang! Ayah kau tu memang tak guna! Memang jahat! Biar padan muka dia...”

Kata-kata terhenti bila pipinya ditampar oleh mama. Nursyahirah terkejut memandang. Zariel lagilah! Mana nak sangka ibu kesayangan sanggup memukul dirinya.

“Biadap betul kamu ni, Zariel. Mama tak peduli! Mama tetap hendak kamu kahwin dengan Ira. Kalau kamu degil sangat, kamu keluar dari rumah ni. Mama tak ada anak yang kurang ajar macam...”

“Mama??”

Nursyahirah membantu Zariel mendudukkan puan Naimah di kerusi. Dada wanita itu dusap perlahan-lahan. Dia tidak peduli pada Zariel yang sedang terlalu marah. Agaknya, Zariel teringin hendak menjadi harimau supaya dapat dia membaham Nursyahirah pada ketika ini.

Rasa ingin menitis air matanya melihat wajah pucat puan Naimah ketika ini. Sudah pasti, penyakit darah tinggi menyerang lagi. Argh, kasihan mama....

Bunyi hon yang kuat menyebabkan Nursyahirah memegang stereng kereta dengan kuat. Asyik benar dia teringatkan kisah lama semasa memandu. Mujur tidak ada apa-apa yang berlaku. Hanya seseorang sedang marahkan dirinya memandu di sebelah kanan dalam keadaan terlalu perlahan.

Zariel....

Masih tidak difahami mengapa lelaki itu perlu mencarinya. Apakah lagi yang bersisa pada perhubungan mereka? Ayah sudah meninggal seminggu selepas mereka bernikah.

Ya, mereka bernikah juga! Mama berjaya juga memaksa lelaki itu mengahwininya. Hati Nursyahirah sendiri merintih kerana terpaksa melepaskan cintanya terhadap seseorang demi memenuhi satu amanat. Namun, sebaik jasad ayah selamat disemadikan, dia telah mengemaskan semua barang-barang miliknya. 

Tanpa pamitan, dia meninggalkan rumah suami yang membenci. Tanpa pamitan, dia meninggalkan semua hartanya yang sudah dipindah milik kepada nama Zariel Ikram Muhamad Akil. Dia lari membawa diri ke Bagan Datoh kerana permohonan pertukaran yang dibuat secara senyap-senyap, telah diluluskan. 

Sangkanya dia dapat menutup segala jejak tapi, tetap lelaki ini mencarinya. Pelik sikap Zariel. Pelik bicaranya...
“Dah tiga tahun, Ira. Masa untuk Ira sembunyikan diri dari abang dah tamat tempoh. Abang datang nak bawak Ira balik. Tempat Ira di sisi abang, bukan terasing jauh di sini!”
Tempat Ira di sisi abang?

Arghh.... pening! Apa maksud Zariel? Tak mungkin lelaki itu sudah jatuh cinta pada dirinya pula? 

.............
3

Rumah mewah di Laman Seri, Shah Alam itu masih tegak berdiri seperti tiga tahun dahulu. Suasana masih sama, hening dan damai. Air terjun dan pagola di tepi rumah menyimbah ketenangan.

“Kenapa tak bawa keluar beg pakaian Ira sekali?”

Dalam keasyikan memerhati keadaan banglo, Nursyahirah terlupa pada lelaki itu yang sudahpun meletakkan kereta besarnya betul-betul di belakang kereta Persona.

“Macam mana saya nak ambil? Awak letak kereta awak tu rapat sangat, fasal apa?”

Zariel tergelak kecil sambil menggaru-garu kulit kepalanya. “Bagi abang kunci Persona!” pintanya.

Ketika Nursyahirah menghulurkan kunci, terus Zariel menggenggam tangan isterinya. 


“Kita berdua dah kahwin jadi Ira tetap kena panggil abang, abang. Bukan Zariel, encik Zariel atau awak. Dan, abang nak dengar Ira sebut diri tu sebagai Ira, bukan saya. Abang nak ingatkan juga yang mama tu sakit. Jangan tunjuk sangat kemarahan dan kebencian Ira pada abang depan dia. Pada dia, bila abang berjaya bawa Ira balik ke pangkuan dia, maknanya, Ira dah terima abang dalam hidup Ira. So, please behave, okey!”

Nursyahirah kehilangan kata-kata bila lelaki itu membawa jemarinya ke bibir lantas mengucup setiap satu. Semakin resah bila dahinya pula dikucup, lebih lama dari dulu. Semasa majlis nikah itu, hendak tak hendak sahaja Zariel melakukannya. Namun hari ini? Tindakannya itu membuat hati jadi resah. Jiwa bergetar-getar. Oh TUHAN, lelaki ini sedang menggodakah?

“Awak?”

Lelaki yang dipanggilnya tiba-tiba jadi pekak. Langsung tidak berhenti melangkah. Terus masuk ke dalam kereta dan menggerakkan Persona ke hadapan. Bila dia turun, Nursyahirah memanggilnya lagi, “Awak!”

Zariel tetap tidak mngendahkan.

“Abang Zariel, saya, eh, Ira, cuma nak suruh abang bawakan beg warna hitam tu masuk. Yang lagi satu tu, tak payah!”

Zariel tidak peduli. Dibawakannya semua beg itu keluar dan diangkatnya. 

“Kalau Ira merancang nak tidur di hotel, boleh.. apa salah. Tapi, abang ikut, ya! Bulan madu kita? Lupa?”

Ke situ pula dia? Payah betul bercakap dengan orang yang tetiba macam orang gila talak ni. Tak pernah Nursyahirah terfikir Zariel boleh melawak tentang perkara berkaitan mereka berdua bila dulu dirinya dibenci sesangat.

“Demam ke? Atau dah tak betul? Baru jumpa Ira semula, abang dah jadi tak betul, ya? Dulu abang tak macam ni. Dulu abang serius saja. Kenapa hari ni buat perangai macam apek lawak pula? Abang buat Ira rasa tak selesa, tahu tak?”

Zariel berhenti melangkah. Wajah cantik itu ditatap. Dia kemudian menarik nafas sebelum melafazkan kata yang sekian lama ingin diluah. 


“Ini baru permulaan, Ira. Sepatutnya, proses menggoda, berkenalan, bermesra... semua ni abang lakukan tiga tahun dulu. Tapi, Ira dah pergi sebelum abang sempat buatnya. Ira pergi, bawa semua barang Ira, Ira tak beritahu ke mana tujuan. Ira sembunyikan diri. Abang tunggu juga kut-kut Ira nak minta cerai atau fasakh. Tiga tahun, abang tahu, Ira sedar yang abang sentiasa memberi nafkah zahir pada Ira, sebagai memberitahu yang abang ingin meneruskan tanggung jawab pada Ira. Tapi, abang rasa, cukuplah tiga tahun abang biarkan Ira sorang-sorang, bawa diri, sunyi tanpa kasih sayang. Dah tiba masa untuk kita berhenti menyeksa diri kita. Banyak yang perlu abang bongkarkan dan banyak yang perlu Ira tahu. Tapi yang pertama sekali abang nak Ira faham ialah, abang tak nak Ira jauhkan diri dari abang lagi. Sebab abang nak kita bermula semula. Jatuh cinta dan menyayangi kerana kita masih suami isteri.”

“Dan, lupakan semua kisah lama macam tu saja?” celah Nursyahirah.

“Selama ni, Ira marahkan abang, Ira bahagia ke?”

Nursyahirah malas menjawab soalan itu. Dia sudah melihat kelibat mamanya. Laju dia meninggalkan Zariel untuk merapati puan Naimah. Senyuman menguntum mekar. Kerinduan terpamer di wajah. Terus sahaja tubuh mama didakap erat tidak lama kemudian.

“Ira rindukan mama. Rindu sangat.” bisiknya.

“Mama pun! Tak pernah sesaatpun, Ira hilang dari ingatan mama,” balas puan Naimah sambil mengusapi belakang Nursyahirah. Air mata bergenang. Tanda gembira. Tanda bahagia. Anak menantunya sudah kembali.

Tiba-tiba, Nursyahirah ternampak satu pergerakan di atas anak tangga. Matanya membulat memerhati gerangan yang sedang turun perlahan-lahan dan penuh hati-hati. Seorang wanita muda, cantik, manis sedang tersenyum memandangnya. Tapi, mampukah membalas senyuman itu bila sepasang mata sedang meneliti tubuh yang membulat di bahagian perut?

Nursyahirah berpaling. Wajah Zariel ditatap garang. 

“Awak ni... Penipu! Pembohong! Nak mulakan semula, konon! Arghh..... Benci! Benci awak!”

Tangisan tidak dapat ditahan. Kesal, sakit hati, marah, geram sedang bertindih dan bergolak hebat dalam perasaan. 

Hati merintih....

Dirinya diduga lagi!
           
........................
4

Nursyahirah sudah terduduk di atas lantai. Hilang sudah rasa malu bila hati sedang penuh dengan rasa marah. Kesakitan selama bertahun-tahun bersulam dengan kesakitan masa kini buat diri jadi tidak berdaya.
Lailahailla anta subhanaka inni kuntuminazzolimin..... Tidak ada TUHAN yang berhak disembah selain ENGKAU, maha suci ENGKAU, sesungguhnya aku adalah termasuk dalam kalangan orang-orang yang zalim.
Ya ALLAH, selamatkanlah aku. Lepaskan aku daripada kedukaan ini. Lepaskan aku daripada sengsara ini. Lepaskan aku daripada kesedihan ini. Kasihanilah aku. Kasihanilah aku!

Zariel menghulurkan tangannya namun tidak diendahkan oleh Nursyahirah. Kepada wanita muda yang mengandung itu Zariel menyuruhnya membawa Puan Naimah duduk di sofa. Kini, Zariel berdiri betul-betul di hadapan isterinya. Menggelengkan kepala melihat perangai isteri yang tak keruan.

Sekali lagi, tangan kanan dihulurkan. Bila Nursyahirah masih tidak mahu peduli, dia terus tunduk, mencempung tubuh kurus isterinya dengan mudah untuk dibawa masuk ke dalam. Merontalah! Tak peduli! Wanita ini perlu dibawa masuk untuk mendengar cerita yang tersembunyi selama ini.

Sebaik sudah duduk, terus Nursyahirah menjerit, “Kenapa buat macam tu? Tak malu ke?”

Zariel tersengih. “Nak malu apa? Abang dukung isteri abang!” balasnya.

Nursyahirah menjeling tajam. “Habis, dia ni siapa?” jerkahnya.

“Ira....”

Nursyahirah memandang wajah ibu mentuanya dengan sepasang mata yang masih berkaca.

“Ira tak faham semua ni, mama. Anak mama tu tadi beria-ia cakap dengan Ira. Nak bina semula rumah tangga kami konon? Habis, dia dah ada rumah lain. Tangga lain! Cari Ira, bawak Ira balik ke sini hanya untuk sakitkan hati Ira. Begitu ke, mama?” soalnya sambil merenung tepat anak mata puan Naimah. Dia inginkan penjelasan. Inginkan kepastian. Tidak mahu berteka-teki lagi!

Tangannya digenggam erat oleh puan Naimah. “Ira, dah lama mama nak buka cerita dan rahsia ni tapi Ira pergi sebelum sempat mama beritahu.” ujarnya.

“Cerita apa, mama? Rahsia apa?”

Sepasang mata memandang wajah suami dan mentua bergilir-gilir. Ketika ini, Zariel kelihatan serius pula. Hai, begitu cepat mood lelaki itu berubah-ubah! Sekejap senyum, sekejap gelak, sekejap kelihatan tegas bukan main. Sukarnya memahami...

“Waktu umur mama 20 tahun, mama pernah kahwin dengan ayah kamu, Ira. Mama pernah kahwin dengan Datuk Herman.”

Terlopong mulut Nursyahirah mendengar. Ini sesuatu yang baru.

“Dua tahun menikah, mama mohon bercerai dengannya. Sebenarnya, dia bukan lelaki pilihan mama. Mama tak cintakan dia. Jadi bila kekasih mama sanggup menerima mama, ayah kamu ceraikan mama secara tebus talak. Jadi, kamu faham tak kenapa ayah kamu bencikan papa Zariel?”

Nursyahirah pandang wajah ibu mentuanya dalam-dalam. Dia cuba menyelami hati wanita itu yang sedang tenang mengenangi kisah silam. Kisah yang membawa kepada kedukaan dirinya.

“Sebab itu ayah kamu berusaha menjatuhkan perniagaan papa. Kemarahannya pada mama jadikan dirinya begitu. Meskipun dia kahwin dengan mak kamu, kemarahan dan kebenciannya pada kami tak pernah kurang sehinggalah...”

Nursyahirah gelisah. Lama benar puan Naimah berjeda. Dia sudah tidak sabar-sabar ingin tahu kisah selanjutnya!

“Sehinggalah papa Zariel menduakan mama dan berkahwin dengan Qaniah.”

“Huh? Papa kahwin dua? Kenapa Ira tak tahu pun?” Nursyahirah menyampuk. Rasa terkejut tidak dapat disembunyikan. Terutama bila mengenangi papa Zariel yang lembut bila bercakap tapi iyalah... lelaki, kan? Depan isteri, pijak semut pun tak mati! Oh, patutlah! Dah turun dah perangai tu pada si Zariel! Muda lagi dah pasang dua! Menyampah! Kerana geram, sekali lagi Zariel mendapat jelingan mautnya! Rasakan!

Zariel menggelengkan kepala. Geli hatipun ada melihat telatah Nursyahirah. Dia dapat rasakan yang pada saat ini, kemarahan Nursyahirah padanya sedang meluap, bagaikan lava gunung Merapi! Sedang tunggu masa hendak meletus lagi!

“Papa kahwin masa tu Zariel baru 5 tahun. Mama mengadu pada ayah dengan emak kamu. Herman pulangkan paku buah keras pada mama. Dipadankannya muka mama. Tapi, emak kamu, Miah, cukup baik. Dia lembut menasihatkan ayah kamu supaya tenang dan jangan berdendam. Dia lembut nasihatkan mama supaya redha dengan takdir dan terima Qaniah sebagai madu mama. Sebab itu hubungan kami jadi rapat. Semakin rapat bila ayah dengan mak kamu ambil kamu jadi anak angkat mereka. Kamu comel sangat masa kecil dulu. Semua orang sayang kamu. Kita rapat! Sebab bagi mama, kamu pun dah macam anak mama. Kamu  bebas keluar masuk rumah ini.”

Nursyahirah mula faham apa yang cuba dileraikan. Yang dia tidak mengerti ialah mengapa Zariel membenci ayahnya. Dan, membenci dirinya sekali.

“Bila papa abang jatuh sakit, masa tu abang dah besar. Papa selalu marah-marah mama sebab mama selalu minta tolong pada ayah Ira bila ada krisis dalam syarikat. Sampai satu ketika, ayah Ira membeli syarikat papa bila papa tak boleh bayar hutang pada dia. Jadi, abang yang tak tahu mengapa papa bencikan ayah Ira dan begitu juga sebaliknya, tentu saja marah pada ayah. Bagi abang, ayah Ira perampas! Ayah Ira juga pembunuh papa abang!”

Nursyahirah terhenyak di kerusi. Pengakuan Zariel buat diri rasa semakin tertekan.

“Ira, ayah kamu sebenarnya menunaikan permintaan arwah Miah yang mahu Zariel jadi menantu dia. Mama setuju sebab bagi mama, Ira memang anak mama pun. Mama sayang Ira.”

Kenapakah? Kasih sayang itu terlalu luhur namun layakkah dia?

“Mama terkilan sangat bila Ira pergi tanpa mendengar penjelasan Zariel.”

Sendu wajah puan Naimah meruntun hati Nursyahirah. Didakap tubuh tua itu dan dikucupi dahi yang sedikit berkedut. 


“Ira pergi kerana Ira malu. Siapalah Ira, mama? Ira bukan anak ayah. Selama ini, ayah sayangkan Ira. Selama ini, Ira sangka, ayah tu ayah Ira rupa-rupanya, dia cuma ayah angkat Ira saja. Ira makin tertekan bila dia berikan Ira semua harta dia. Ira malu nak terima sebab bagi Ira, tak ada sikitpun hasil titik peluh Ira menitis di syarikat tu. Abang Zariel lebih layak, jadi Ira hanya pulangkan kembali harta ni semua kepada yang berhak. Kan?”

“Jadi, Ira lari, sembunyikan diri dari kami sebab Ira malu? Bukan sebab Ira bencikan abang?” Zariel bertanya sambil merenung wajah Nursyahirah dalam-dalam. Dia mahukan jawapan yang sebenarnya hari ini.

“Kenapa Ira nak bencikan abang pulak? Abang tak nak kahwin dengan Ira sebab ayah memang musuh perniagaan papa. Anak musuh, mana boleh nikah. Betul tak?”

Zariel menyisir rambutnya dengan jari jemari. Marahkah? Kenapa gelisah?

“Nursyahirah, awak tahu tak yang kita rugi tiga tahun hanya disebabkan awak yang tak mahu berkongsi rasa tu? Kalaulah awak dengar...”

“Zariel...” Panggilan mamanya menghentikan kemarahan Zariel Ikram.

Nursyahirah menarik nafas. Mengerling sekilas pada wajah wanita mengandung yang diam bagaikan patung, sekali lagi dia melepaskan satu keluhan kecil.

“Saya yang rugi. Awak tu tetap untung juga,” meluncur laju ayat itu keluar meniti bibirnya. Entahlah... sekejap dia berabang-Ira. Bila hatinya panas, berawak-saya. Biarlah! Memang hakikatnya, Zariel sangat bertuah. Maklum tak lama lagi nak dapat anak pula! Tentu bahagia.

“Kenapa Ira cakap Zariel untung?”

Pertanyaan puan Naimah buat Nursyahirah rasa hendak menjerit. Like son, like mother! Boleh buat dunno pula? Buta ke hapa?

“Malas Ira nak jawab. Mama, Ira rasa, Ira tak boleh duduk di sini. Ira dah tak sesuai dengan angin Shah Alam ni. Lagi lama kat sini, nanti mesti dapat penyakit darah tinggi. Tak pun, paling kurang, Ira diserang sakit mata hari-hari. Sekarang ni pun, penyakit hati Ira ni dah di tahap kritikal. So, Ira nak minta diri dulu, ma! Tak tahan dah ni... Sakit sangat!!!”

Terus dia menyalami tangan puan Naimah. Dengan perempuan hamil itu, disalami pada hujung jarinya sahaja. Kemudian Nursyahirah menonong menju ke kereta. Dia menggagau, mencari kunci di dalam tas tangannya.

“Mana pulak kunci kereta ni?”

Suara gelak yang nakal, menyapa telinga!        
...........



“Orang tengah marah, dia gelak pula! Kena sawan ke?” 

Nursyahirah sengaja meninggikan suara. Geram punya fasal, kan? Nanti, bila dah dapat kunci dan dah duduk dalam kereta, baru minta maaf, hati berbisik. 

“Comellah isteri abang bila jeles!” 

Nursyahirah rasa hendak menjerit menangani sikap Zariel yang masih mahu bergurau senda dengan dia. Sakit hatinya, tidakkah Zariel faham-faham lagi? Cemburu? Kenapa dia cemburu? Zariel tidak pernah mengaku mencintainya dan dia? Cintakah dia kepada lelaki ini? 

“Dahi tu dah berkerut pula! Kenapa? Tak tahu isi hati sendiri? Abang boleh beritahu pada Ira. Masa kecil-kecil dulu, Ira dengan abang macam belangkas. Ira suka sangat ikut abang ke mana saja abang pergi. Tiap kali mama usik, Ira mesti cakap.... 
Ira nak kahwin dengan abang Zariel. Ira sayang abang. Abang pun sayang Ira jugak. Kan, bang?
Ira hanya akan berhenti menangis bila abang mengangguk, kan?” 

Nursyahirah menggelengkan kepala. “Itu cerita lama. Zaman budak-budak!” balasnya. 

“Tapi, budak perempuan tu sangat marah kalau abang bawa gadis lain masuk dalam rumah ni. Berhari-hari dia akan merajuk dan menangis di rumah dia sehinggalah abang pujuk dia, kan?” Zariel mengingatkan. 

Wajah tampan itu ditatap. 

“Orang dah lupa semuanya.” 

Jawapan yang menyebabkan Zariel membetulkan dirinya. Kini dia sedang berdiri tegak, tinggi di sisi isteri. “Hmm...” Zariel terangguk-angguk. 

Kebisuan membuat hati tidak tenteram. Nursyahirah mendongak menatap wajah suaminya bersama soalan, “Awak nak apa lagi? Kan awak dah ada semua. Harta, wang, mama, isteri... tak cukup lagi? Kenapa cari saya? Dah tiga tahun. Jangan bagi alasan yang awak sayang, cinta... Tu semua saya tak boleh percaya sebab tiga tahun tu lama, tahu!” 

Zariel kembali menyengih. “Marahlah ni? Bahasa pun dah tak tentu arah. dah berawak-saya... kenapa? Marah sebab abang tak jemput tuan puteri balik dan menunggu sampai tiga tahun. Macam tu?” 

Melihat Nursyahirah yang diam, Zariel terus meminta maaf. Perbuatan yang menyebabkan si isteri mendongak. 

“Maafkan abang. Sebenarnya, abang baru sembuh. Abang terjatuh di tapak pembinaan. Dekat dua tahun jugak mama dengan adik abang, anak mak cik Qaniah, Zafril, bawa abang berubat ke merata-rata.“ 

“Abang lumpuh? Abang jatuh, abang lumpuh dan abang tak bagitahu Ira?” 

“Abang nak sangat jumpa Ira. Abang nak cari Ira tapi abang tak boleh ikut perasaan. Abang tak pasti sama ada Ira sudi terima abang dalam keadaan cacat. Abang lumpuh dari pinggang ke bawah, Ira. Rasa rendah diri, pesimis, takut, semua menyerang perasaan abang. Masa tu abang depress sangat. Sangat tertekan. Tapi, alhamdulillah, berkat usaha semua orang, mama, adik abang... dan kerana tawakal... berserah kepada TUHAN selepas kami berusaha, abang bagai yang Ira nampak sekarang. Sihat dan kuat!” 

Boleh lagi tu melawak! Nursyahirah menjuihkan bibirnya. Namun, dalam hati, rasa sedih pula. Suami sakit namun diri tiada di sisi. Menyepi sehingga tidak dapat dicari. Memang nyata, dia bukanlah seorang isteri yang baik. Bertuahlah wanita yang ada di dalam rumah tu. 

“Bila Ira menung macam tu, abang tahu, Ira mula memikirkan yang bukan-bukan. Betul, tak?” 

Sebuah keluhan, sebuah kesalan, terlontar. Sepasang matanya berkaca menatap wajah suami yang menanti jawapan darinya. 

“Ni, apasal menangis pula?” Zariel bertanya sambil mengelap air mata yang tumpah di pipi. 

Sedihnya! Sedihnya bila Zariel berkata begitu. Tangisan terus menjadi esakan. Di dada suami, segala kesedihan turun bersama air mata yang berjuraian. 

“Ira tak tahu, bang. Ira tak tahu. Kalau Ira tahu, Ira tak akan tinggalkan abang. Sumpah, Ira akan bersama-sama abang, tak kiralah abang sihat ke, sakit ke, tegap ke, atau dah tak berdaya. Ira pergi sebab Ira malu. Malu dengan semua yang Ira dapat. Malu bila ira sangka abang tak mahukan Ira bila abang marah mama. Ira harap, bila Ira pergi, abang akan bahagia. Abang bahagia, kan? Abang dah sihat. Abang dah ada isteri. Abang bakal...” 

Zariel meletakkan jari telunjuk pada bibir isterinya. 

“Abang tak bahagia sebab isteri abang jauh dari abang. Dia jauh dari cinta abang. Abang tak diberi kesempatan untuk ucapkan abang cintakan dia. Dia dah merajuk tinggalkan abang.” bisiknya. 

Dahi Nursyahirah berkerut, “Bukan isteri yang itu yang Ira maksudkan.” tukasnya. 

Zariel tersengih. “Habis tu, siapa?” 

“Abang tahu siapa!” 

“Tak!” 

“Abang!!” 

Zariel membuat isyarat seperti cuba mengingatkan Nursyahirah supaya tidak menengking. “Tak baik, tau!” 

“Abanglah tak baik. Dah tahu, buat-buat bodoh pula!” Nursyahirah masih membalas. 

Zariel terus ketawa. “Abang nak Ira yang luahkan!” 

Nursyahirah hentak kaki. Geram lagi! 


“Okey, siapa perempuan yang mengandung kat dalam rumah tu? Bukan dia isteri abang ke?” 

Pada waktu itu sebuah kereta memasuki pekarangan rumah. Seorang lelaki keluar dari kereta tidak lama kemudian. Pada waktu yang sama, Nursyahirah ternampak perempuan mengandung itu keluar dan menyalami tangan lelaki muda berbaju kemeja biru dan lelaki itu terus sahaja mengucup dahinya. Kedua-duanya kemudian bergerak menghampiri Zariel dan Nursyahirah. 

“Maaf, tadi, saya nak jelaskan tapi kakak nampak macam tak mahu mendengar. Abang Zariel pulak geleng kepala. Sebab tu saya diamkan diri.” Wanita itu memberitahu sambil tersipu-sipu malu. 

Lelaki muda yang wajahnya mirip Zariel itu tersenyum ke arah Nursyahira. 

“So this is the lady? Patutlah abang begitu bersungguh-sungguh nak berubat. Ke mana yang kami tak pergi, kak Ira? Last-last, abang terjumpa kawan dia, seorang doktor di Subang Jaya Medical Center. Dr Alif berikan alamat Dr Norman, di London. Dr Norman tu pakar fisio dan saraf. Hampir 7 bulan abang dengan mama duduk menetap di sana. Bila dia balik, terkejut kami tengok. Siap ada six-pack abdomen lagi!” Ramah Zafril membuka bercerita. 

“Ada orang tu ingat abang bakal jadi ayah, tahu!” Zariel menyindir isterinya. 

Hahaha.... 

“Amboi amboi? Mama punyalah risau kat dalam, korang siap gelak ketawa di luar ni, ya?” Puan Naimah menegur dari muka pintu utama. 

"Yalah, mama. Kami nak masuk ke dalam ni!"

Zariel menarik tangan isterinya untuk masuk semula ke dalam rumah. Di belakang mereka, Zafril tersenyum merenung isterinya. 

“Abang dengan kak Ira tadi tu nak ke mana?” tanya Zafril.

“Zafril, abang kejar Ira, sebab dia nak tinggalkan abang lagi. Tapi rasanya tak jadi, kut. Sebab dia dah tahu yang isteri abang sorang aje! Bukan dua!” Zariel mengusik lagi. Hisy, sejak bila agaknya Zariel menjadi seorang yang suka bergurau? 

Malas melayan gurauan suaminya, Nursyahirah mendapatkan birasnya. “Sebab dia, kita masih belum berkenalan. Siapa nama?” 

“Ira...” 

“Ira juga?” 

Ketawa semakin riuh. Kepala terangguk-angguk semuanya. 

“Ira Fazira. Mak minat sangat dengan Erra Fazira agaknya. Tapi di pejabat pendaftaran, silap eja.. Erra jadi Ira.” 

Nursyahirah mengekeh ketawa. Bahagia bersama-sama satu-satunya keluarga yang dia ada. Ketika suami merenung wajahnya, masa seakan-akan terhenti. Kedukaan hilang bila kebenaran tersingkap. Keluh kesah tiada lagi. Hanya kebahagiaan kini!
.........................
Akhir 


Nursyahirah menurunkan suhu pendingin hawa di dalam kereta yang sedang bergerak bagaikan semut perlahan. Kesesakan lalu lintas menuju ke Cheras, biarpun jam sudah melewati angka sebelas pagi, masih seperti hari-hari bekerja. Begitupun, semua itu tidak terasa bila berada di samping suami yang nampak tenang memandu. Sesekali, dia dan Zariel berbalas senyum. Hati berbunga riang bila Zariel meraih jemarinya dan membawa ke bibir.


Cuti sekolah sudah hampir habis. Tidak lama lagi, Nursyahirah akan balik semula ke Bagan Datoh. Mama menyuruhnya meminta tukar namun Zariel tidak membenarkan. 


“Biarlah dulu, mama. Ikut peraturanlah! Masa untuk minta tukar dah tamat. Nanti, tahun depan, bila boleh memohon semula, saya yang akan isi borang online pertukaran tu!” janji Zariel. 

Nursyahirah mengikut sahaja. Dia juga tidak mahu bersikap pentingkan diri. Ramai kawan-kawannya yang meminta berpindah atas alasan mengikut suami. Ada yang dapat, ada yang tidak. Apa pula kata mereka nanti kalau Nursyahirah bertukar? Tentu ada yang menuduh dia punya ‘kabel besar’! Tak mahulah! Tak suka dituduh-tuduh begitu! 

“Habis, sementara Ira nak balik ke sini, macam mana dengan kamu?” tanya puan Naimah semalam. Masih tidak berpuas hati dengan sikap acuh tak acuh anak menantu.

Zariel jungket kening. Matanya merenung tajam wajah isteri. “Macam mana?” tanya dia kepada Nursyahirah. 

Si isteri menggaru-garu kulit kepala yang tidak gatal. 

“Apa daa... soalan mudah macam tu pun ambil masa yang lama untuk jawab!” usik Zariel bila melihat Nursyahirah yang gelisah. 

“Susah soalan tu, bang! Kalau salah jawab, nanti teruk Ira kena denda dengan mama!” 

Puan Naimah mendengus. Bukan marah tetapi geram bila anak menantu main-main untuk menjawab soalannya tadi. “Kamu Ira, boleh ke tidur sorang-sorang lepas ni?” 

Gulp! Apa punya soalan ni? Mak mentua aku ni tak sensor langsung! Huh! 

Sekali lagi Zariel angkat-angkat kening. Eeii geramnya! Nursyahirah balas balik. Dah jadi Ziana Zain dah! Tindakannya menyebabkan Zariel ketawa. 

“Gelak! Nanti bila Ira tak ada, baru jadi cicak berak kapur!” marah puan Naimah lagi. 

Ketawa Nursyahirah di sisi menyebabkan perhatian ke atas jalan sedikit terganggu. Zariel berpaling melihat seraut wajah cantik yang memakai sepasang baju kurung warna biji kundang. Cantik sungguh bila dipadankan dengan tudung pashmina warna lembut. Rasa bertuah terbit dengan sendiri, memuja gadis yang dulu pernah dibenci untuk seketika. Bencinya kerana bencikan si ayah namun kini, dia tahu, hubungan mesra yang terjalin sejak kecil itu, telah mengikat hatinya kepada Nursyahirah. Isteri dan bakal menjadi ibu kepada anak-anaknya nanti. 

“Abang, semalam, kita tak jawab pun soalan mama. Boleh ke abang tinggal sorang-sorang di KL dan Ira balik ke Bagan Datoh? Sanggup abang berpisah dengan Ira?” 

Soalan itu menyebabkan Zariel tesengih. “Cuba teka!” usiknya. 

“Tak boleh! Abang mesti nak ikut Ira balik ke sana.” balas Nursyahirah. 

“Tahu tak apa!” 

Nursyahirah pamer wajah terkejut. “Hah? Betul ke? Abang nak tinggal di mana? Tak kan nak duduk di ‘homestay’ pula?” 

“Laa... apa pulak ‘homestay’? Ira kan duduk kuarters? Sorang-sorang? Abang duduk dengan Iralah kat situ!” Zariel membalas dengan dahi yang berkerut. 

“Mana boleh? Apa kata orang kampung nanti? Diorang semua ingat Ira tak kahwin lagi, bang!” Nursyahirah mula gelabah. Mula memikirkan apa pandangan masyarakat setempat bila ada lelaki tinggal bersama-sama dengannya. 

Zariel ketawa. “Isteri abang ni, kan... nama saja ada ijazah. Tapi, bab mudah macam ni pun tak boleh nak fikir. Sayang, nanti, hari Ira ada mesyuarat guru kali pertama, kita buatlah kenduri kat sekolah. Kita jamulah nasi minyak pada semua cikgu-cikgu tu sebagai memberitahu yang Ira dah kahwin. Kita bawa mama dengan Zafril dengan Ira Fazira sekali. Biar kami berkenalan dengan semua cikgu-cikgu, kawan-kawan Ira tu. Lagi pula, kebanyakan cikgu lelaki dah tahu yang abang suami Ira.” 

“What?” 

“Hari tu, masa abang cari Ira, abang kenalkan diri abang sebagai suami Ira. Kenapa? Tak percaya?” soal Zariel bersama lirikan mata yang menggoda. 

Nursyahirah menggeleng-gelengkan kepala. Tapi dalam hati, dia tahu bahawa dengan Zariel, segalanya tidak mustahil. Terus dia bersetuju dengan rancangan suaminya itu. Sambil melarik senyum, dia bersuara manja, “Hmm, macam ni baru seronok. Nanti balik sekolah aje, nasi dah terhidang kat atas meja. Sebelum pergi sekolah, Ira akan tulis apa menu makan tengah hari yang Ira nak. Mesti ada diet yang seimbang dan pemanis mulut. Abang tahu buat puding caramel tak?” 

Zariel mengetap bibir. “Cancel! Tak jadi! Ira balik sendirilah!” gumamnya. 

Nursyahirah ketawa besar melihat perangai mengada-ada Zariel. “Alolo... marah ek? Tapi, Ira tak kira. Ira tetap nak abang buatkan Ira puding caramel, tahu! Hari-hari, sampai Ira jemu.” 

“Belum apa-apa dah banyak songeh!” 

“Eh, mana abang tahu Ira belum apa-apa?” 

Zariel berpaling. Nursyahirah tersengih. “Gotcha!” 

Dan, ketawa pun terburai. 

Mereka sampai di hadapan rumah Hospis, yang terletak di Taman Seri Bahtera, Cheras sekitar jam 12 tengah hari. Pada ketika itu, majlis jamuan sudah pun dimulakan. Ramainya orang di rumah yang pada kebiasaannya sunyi dan sepi. 

Zariel memberitahu isterinya, “Dr Alif Iskandar dan isterinya salah seorang sukarelawan di sini, sayang. Ira tahu apa dia rumah Hospis Malaysia?” 

Nursyahirah gelengkan kepala. 

“Satu badan amal di mana kakitangan dan sukarelawannya sanggup mengenepikan semua rintangan dan halangan untuk memberi sedikit perhatian istimewa kepada pesakit kronik dengan mengunjungi mereka, biarpun menyedari antara mereka tidak ada pertalian darah. Ni, tengok ni!” 

Zariel tunjukkan sehelai kertas yang merupakan catatan tentang Hospis Malaysia yang dicetak semalam. 

“Hospis Malaysia ditubuhkan pada tahun 1991. Tujuannya? Untuk mencurahkan bakti dengan menumpukan kepada perkhidmatan penjagaan dan perubatan paliatif secara menyeluruh kepada pesakit merangkumi aspek fizikal, emosi, psikologi, sosial dan kerohanian pesakit dikunjungi. Menariknya, khidmat yang dicurahkan oleh kakitangan dan sukarelawan itu diberikan secara percuma untuk semua lapisan masyarakat terutama di sekitar Lembah Klang tanpa mengira bangsa, agama, jantina dan umur.” 

“Mulianya hati diorang, bang. Percuma tu!” 

“Alif Iskandar memang baik orangnya. Dia yang bantu abang masa abang jatuh dan lumpuh. Dia yang kenalkan abang dengan Norman. Ira nak tahu, isteri dia tu dulu sombong sikit. Maklumlah perempuan Pan-Asian, kan?” 

“Iya ke? Wah, wajah Pan Asian! Mesti cantik, kan?” Nursyahirah sudah semakin seronok untuk mengenali wanita yang dimaksudkan. 

“Salina memang sangat-sangat cantik!” Zariel memuji. 

“Abang!” Nursyahirah sudah berasa tidak sedap hati.

Zariel tersenyum. “Bagi orang lain lah! Bagi abang, Ira lagi cantik!” 

Nursyahirah tidak jadi hendak marah. 

Ketika kaki melangkah, ramai yang memerhati mereka berdua. Zariel yang ramah nampaknya mengenali hampir semua tetamu yang ada. Nursyahirah yang malu-malu hanya melemparkan senyuman sahaja. 

“So, this is your wife, Zariel? Sangat comel! Apa khabar, Ira?” 

Nursyahirah ketawa kecil mendengar pujian itu. Memandang wajah Pan Asian di hadapannya, dia tahu inilah Salina dan ketika seorang lelaki kacak mendekati wanita itu, dia amat pasti bahawa lelaki itu ialah Dr Alif Iskandar.

“Khabar baik. Nak panggil apa ya? Kak Salina, boleh?” tanya Nursyahirah polos. 

“Apa pulak salahnya? I memang dah tua pun!” balas Salina mesra. 

Nursyahirah menghulurkan kotak hadiah yang dibawa. Salina menyambutnya dengan gembira. 

“Kami harap, hadiah kecil tu boleh digunakan di rumah ini.” kata Zariel. 

“Penapis air, kan?” tanya Alif Iskandar. Bila Zariel mengangguk, dia tersenyum puas, “Thanks, buddy! Memang kami perlukan item-item macam ni di rumah Hospis ni. Kau pun tahu kan, keadaan pesakit di sini boleh dikatakan hampir semuanya dah di peringkat kronik. Dengan air bersih, kasih sayang, dan penjagaan, aku harap diorang dapat meniti hari-hari mendatang dengan tabah dan yakin bahawa masih ada yang sayangkan mereka. Kan, Lin?” 

Si isteri mengangguk. Matanya kemudian merenung ke arah jalanraya. Sedikit teruja, dia memberitahu suaminya. “Maria dengan Hisyam datang, Is!” 

“Amboi, bila nampak Hisyam aje...?” 

Salina menampar bahu Alif Iskandar. Manja! “Jeles lagi tu? Tapi I sayang, cinta dan kasihkan you aje, Is!” ujarnya, disambut ketawa lepas Alif Iskandar.  

“Tu, ex boyfriend Salina.” Zariel berbisik perlahan. Risau takut didengari oleh Salina dan Alif Iskandar. 

Nursyahirah memerhati pasangan yang sedang berjalan ke arah mereka. Lelaki yang tinggi dan tegap itu memang sangat kacak. Tidak hairanlah kalau ada yang jatuh cinta padanya, bisik hati. Tapi, isteri yang sedang berpapasan dengannya tidak kurang cantik. Mereka adalah pasangan yang sesuai dan sepadan, bisik hati kecil Nursyahirah. 

“Lia, ini kawan baru kita. Kenalkan cikgu Nursyahirah. Kita panggil Ira ajelah! Ira ni mengajar kat Bagan Datoh, tau!” 

Maria terus teruja. “Bagan Datoh? Dah dekat dengan Teluk Intan tu. Pernah pergi Teluk Intan, tak? Kampung kak Lia di Batak Rabit, Ira.” dia memberitahu. 

Nursyahirah pun apa lagi, teruslah bercerita tentang Menara Condong bagai. Tentang ekspo, tentang itu, tentang ini... 

“Rasa nak balik ke sanalah pulak. Teringin nak makan ikan bakar di Medan Ikan Bakar dekat Hutan Melintang. Ira mesti pernah makan di situ, kan?” 

Hisyam dan Zariel saling berbalas senyum. Diamkan dahulu. Sengaja dibiarkan dua wanita itu dengan keterujaan mereka. 

“Kak Lia pernah pergi situ? Sedap kan, kak? Nanti, bila Ira dengan Zariel balik ke Bagan Datoh, Ira nak buat makan-makan. Ira jemput akak dengan kak Lin datang. Nak tak?” 

“Nak! Nak!” 

“Mesti cepat tau! Nanti anak dalam perut kak Lin ni meleleh air liur dia sebab kempunan.” 

Kata-kata Salina menyebabkan Maria, Hisyam, Zariel, Nursyahirah terpaku. Alif Iskandar memandang wajah isterinya dengan wajah yang sangat terkejut. Tiba-tiba Hisyam ketawa. Kemudian Zariel. Ketawa melihat Alif Iskandar yang bagaikan tidak percaya. 

“Kawan aku nak jadi ayah!” Zariel menepuk belakang tubuh Alif Iskandar. Sebaik tersedar, Alif Iskandar terus mendapatkan isterinya. 

Kemesraan mereka membuat Nursyahirah rasa ingin menangis. Kali pertama dia melihat bagaimana reaksi seorang suami bila mengetahui isterinya mengandung. Waktu itu, dia dapat melihat kehangatan cinta pasangan suami isteri itu. Alangkah bertuah menjadi Salina yang disayangi Alif Iskandar. 

“Bila sayang abang ni nak bagi anak nombor tiga pada abang?” suara Hisyam, meskipun berbisik kepada Maria, masih dapat didengari oleh Nursyahirah. 

Dia melihat wanita cantik itu ketawa. Dia melihat tangan mereka bergenggam kemas. Dia melihat renungan penuh kasih sayang di antara Hisyam dan Maria. Sungguh romantis, bagaikan mereka sudah terbang dalam anganan masing-masing, meninggalkan semua dengan rasa iri terhadap kebahagiaan yang mereka miliki!

TUHAN, dapatkah aku mengecapi kebahagiaan berumah tangga seperti kak Maria dan kak Salina? Bahagianya mereka! Tak perlu ragu tentang cinta suami masing-masing. Apakah Zariel juga seperti Hisyam dan Alif Iskandar? Mencintaiku sepenuh hati bukan untuk sedetik tetapi selama-lama? 

“InsyaALLAH, abang juga mencintai Ira seperti lelaki-lelaki itu mencintai isteri-isteri diorang.” Penuh yakin, Zariel memibisikkan di telinga Nursyahirah.

Ketika Nursyahirah mendongak, sepasang mata Zariel yang berkaca mengusik nalurinya. Tersentuh dengan pengakuan suami. Tersentuh dengan cinta yang hadir yang tidak mampu Zariel sembunyikan. Lagu cinta beralun lunak dalam dirinya juga. Satu saat, Nursyahirah akan meluahkannya kepada Zariel. Akan dibuktikan bahawa cinta mereka cukup kuat dan akan dipertahankan sehingga akhir usia nanti. InsyaALLAH.
......................
semoga anda suka... komen2 k! hehe..

5 ulasan:

  1. mula2 tgk simple je cerpen neh...tp bla kluar bab salina dgn maaria tuh...excited. haha. rindu kat dorang..

    BalasPadam
  2. sukaaaa.....sesangat.....sweeetttttttttttt................

    BalasPadam
  3. Xde sambungannya lg ke? Sampai situ jeke. Smbung lh lg ^-^

    BalasPadam
  4. Sampai situ je ke ceritanya. Sambung lh lg ^-^

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.