apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

22.11.11

Teringin - Akhir


Ini n3 terakhir Teringin. Harap buah tangan ini menceriakan hari anda... 

Akhir 

Nursyahirah menurunkan suhu pendingin hawa di dalam kereta yang sedang bergerak bagaikan semut perlahan. Kesesakan lalu lintas menuju ke Cheras, biarpun jam sudah melewati angka sebelas pagi, masih seperti hari-hari bekerja. Begitupun, semua itu tidak terasa bila berada di samping suami yang nampak tenang memandu. Sesekali, dia dan Zariel berbalas senyum. Hati berbunga riang bila Zariel meraih jemarinya dan membawa ke bibir. 

Cuti sekolah sudah hampir habis. Tidak lama lagi, Nursyahirah akan balik semula ke Bagan Datoh. Mama menyuruhnya meminta tukar namun Zariel tidak membenarkan. 

“Biarlah dulu, mama. Ikut peraturanlah! Masa untuk minta tukar dah tamat. Nanti, tahun depan, bila boleh memohon semula, saya yang akan isi borang online pertukaran tu!” janji Zariel. 

Nursyahirah mengikut sahaja. Dia juga tidak mahu bersikap pentingkan diri. Ramai kawan-kawannya yang meminta berpindah atas alasan mengikut suami. Ada yang dapat, ada yang tidak. Apa pula kata mereka nanti kalau Nursyahirah bertukar? Tentu ada yang menuduh dia punya ‘kabel besar’! Tak mahulah! Tak suka dituduh-tuduh begitu! 

“Habis, sementara Ira nak balik ke sini, macam mana dengan kamu?” tanya puan Naimah semalam. Masih tidak berpuas hati dengan sikap acuh tak acuh anak menantu.

Zariel jungket kening. Matanya merenung tajam wajah isteri. “Macam mana?” tanya dia kepada Nursyahirah. 

Si isteri menggaru-garu kulit kepala yang tidak gatal. 

“Apa daa... soalan mudah macam tu pun ambil masa yang lama untuk jawab!” usik Zariel bila melihat Nursyahirah yang gelisah. 

“Susah soalan tu, bang! Kalau salah jawab, nanti teruk Ira kena denda dengan mama!” 

Puan Naimah mendengus. Bukan marah tetapi geram bila anak menantu main-main untuk menjawab soalannya tadi. “Kamu Ira, boleh ke tidur sorang-sorang lepas ni?” 

Gulp! Apa punya soalan ni? Mak mentua aku ni tak sensor langsung! Huh! 

Sekali lagi Zariel angkat-angkat kening. Eeii geramnya! Nursyahirah balas balik. Dah jadi Ziana Zain dah! Tindakannya menyebabkan Zariel ketawa. 

“Gelak! Nanti bila Ira tak ada, baru jadi cicak berak kapur!” marah puan Naimah lagi. 

Ketawa Nursyahirah di sisi menyebabkan perhatian ke atas jalan sedikit terganggu. Zariel berpaling melihat seraut wajah cantik yang memakai sepasang baju kurung warna biji kundang. Cantik sungguh bila dipadankan dengan tudung pashmina warna lembut. Rasa bertuah terbit dengan sendiri, memuja gadis yang dulu pernah dibenci untuk seketika. Bencinya kerana bencikan si ayah namun kini, dia tahu, hubungan mesra yang terjalin sejak kecil itu, telah mengikat hatinya kepada Nursyahirah. Isteri dan bakal menjadi ibu kepada anak-anaknya nanti. 

“Abang, semalam, kita tak jawab pun soalan mama. Boleh ke abang tinggal sorang-sorang di KL dan Ira balik ke Bagan Datoh? Sanggup abang berpisah dengan Ira?” 

Soalan itu menyebabkan Zariel tesengih. “Cuba teka!” usiknya. 

“Tak boleh! Abang mesti nak ikut Ira balik ke sana.” balas Nursyahirah. 

“Tahu tak apa!” 

Nursyahirah pamer wajah terkejut. “Hah? Betul ke? Abang nak tinggal di mana? Tak kan nak duduk di ‘homestay’ pula?” 

“Laa... apa pulak ‘homestay’? Ira kan duduk kuarters? Sorang-sorang? Abang duduk dengan Iralah kat situ!” Zariel membalas dengan dahi yang berkerut. 

“Mana boleh? Apa kata orang kampung nanti? Diorang semua ingat Ira tak kahwin lagi, bang!” Nursyahirah mula gelabah. Mula memikirkan apa pandangan masyarakat setempat bila ada lelaki tinggal bersama-sama dengannya. 

Zariel ketawa. “Isteri abang ni, kan... nama saja ada ijazah. Tapi, bab mudah macam ni pun tak boleh nak fikir. Sayang, nanti, hari Ira ada mesyuarat guru kali pertama, kita buatlah kenduri kat sekolah. Kita jamulah nasi minyak pada semua cikgu-cikgu tu sebagai memberitahu yang Ira dah kahwin. Kita bawa mama dengan Zafril dengan Ira Fazira sekali. Biar kami berkenalan dengan semua cikgu-cikgu, kawan-kawan Ira tu. Lagi pula, kebanyakan cikgu lelaki dah tahu yang abang suami Ira.” 

“What?” 

“Hari tu, masa abang cari Ira, abang kenalkan diri abang sebagai suami Ira. Kenapa? Tak percaya?” soal Zariel bersama lirikan mata yang menggoda. 

Nursyahirah menggeleng-gelengkan kepala. Tapi dalam hati, dia tahu bahawa dengan Zariel, segalanya tidak mustahil. Terus dia bersetuju dengan rancangan suaminya itu. Sambil melarik senyum, dia bersuara manja, “Hmm, macam ni baru seronok. Nanti balik sekolah aje, nasi dah terhidang kat atas meja. Sebelum pergi sekolah, Ira akan tulis apa menu makan tengah hari yang Ira nak. Mesti ada diet yang seimbang dan pemanis mulut. Abang tahu buat puding caramel tak?” 

Zariel mengetap bibir. “Cancel! Tak jadi! Ira balik sendirilah!” gumamnya. 

Nursyahirah ketawa besar melihat perangai mengada-ada Zariel. “Alolo... marah ek? Tapi, Ira tak kira. Ira tetap nak abang buatkan Ira puding caramel, tahu! Hari-hari, sampai Ira jemu.” 

“Belum apa-apa dah banyak songeh!” 

“Eh, mana abang tahu Ira belum apa-apa?” 

Zariel berpaling. Nursyahirah tersengih. “Gotcha!” 

Dan, ketawa pun terburai. 

Mereka sampai di hadapan rumah Hospis, yang terletak di Taman Seri Bahtera, Cheras sekitar jam 12 tengah hari. Pada ketika itu, majlis jamuan sudah pun dimulakan. Ramainya orang di rumah yang pada kebiasaannya sunyi dan sepi. 

Zariel memberitahu isterinya, “Dr Alif Iskandar dan isterinya salah seorang sukarelawan di sini, sayang. Ira tahu apa dia rumah Hospis Malaysia?” 

Nursyahirah gelengkan kepala. 

“Satu badan amal di mana kakitangan dan sukarelawannya sanggup mengenepikan semua rintangan dan halangan untuk memberi sedikit perhatian istimewa kepada pesakit kronik dengan mengunjungi mereka, biarpun menyedari antara mereka tidak ada pertalian darah. Ni, tengok ni!” 

Zariel tunjukkan sehelai kertas yang merupakan catatan tentang Hospis Malaysia yang dicetak semalam. 

“Hospis Malaysia ditubuhkan pada tahun 1991. Tujuannya? Untuk mencurahkan bakti dengan menumpukan kepada perkhidmatan penjagaan dan perubatan paliatif secara menyeluruh kepada pesakit merangkumi aspek fizikal, emosi, psikologi, sosial dan kerohanian pesakit dikunjungi. Menariknya, khidmat yang dicurahkan oleh kakitangan dan sukarelawan itu diberikan secara percuma untuk semua lapisan masyarakat terutama di sekitar Lembah Klang tanpa mengira bangsa, agama, jantina dan umur.” 

“Mulianya hati diorang, bang. Percuma tu!” 

“Alif Iskandar memang baik orangnya. Dia yang bantu abang masa abang jatuh dan lumpuh. Dia yang kenalkan abang dengan Norman. Ira nak tahu, isteri dia tu dulu sombong sikit. Maklumlah perempuan Pan-Asian, kan?” 

“Iya ke? Wah, wajah Pan Asian! Mesti cantik, kan?” Nursyahirah sudah semakin seronok untuk mengenali wanita yang dimaksudkan. 

“Salina memang sangat-sangat cantik!” Zariel memuji. 

“Abang!” Nursyahirah sudah berasa tidak sedap hati.

Zariel tersenyum. “Bagi orang lain lah! Bagi abang, Ira lagi cantik!” 

Nursyahirah tidak jadi hendak marah. 

Ketika kaki melangkah, ramai yang memerhati mereka berdua. Zariel yang ramah nampaknya mengenali hampir semua tetamu yang ada. Nursyahirah yang malu-malu hanya melemparkan senyuman sahaja. 

“So, this is your wife, Zariel? Sangat comel! Apa khabar, Ira?” 

Nursyahirah ketawa kecil mendengar pujian itu. Memandang wajah Pan Asian di hadapannya, dia tahu inilah Salina dan ketika seorang lelaki kacak mendekati wanita itu, dia amat pasti bahawa lelaki itu ialah Dr Alif Iskandar. 

“Khabar baik. Nak panggil apa ya? Kak Salina, boleh?” tanya Nursyahirah polos. 

“Apa pulak salahnya? I memang dah tua pun!” balas Salina mesra. 

Nursyahirah menghulurkan kotak hadiah yang dibawa. Salina menyambutnya dengan gembira. 

“Kami harap, hadiah kecil tu boleh digunakan di rumah ini.” kata Zariel. 

“Penapis air, kan?” tanya Alif Iskandar. Bila Zariel mengangguk, dia tersenyum puas, “Thanks, buddy! Memang kami perlukan item-item macam ni di rumah Hospis ni. Kau pun tahu kan, keadaan pesakit di sini boleh dikatakan hampir semuanya dah di peringkat kronik. Dengan air bersih, kasih sayang, dan penjagaan, aku harap diorang dapat meniti hari-hari mendatang dengan tabah dan yakin bahawa masih ada yang sayangkan mereka. Kan, Lin?” 

Si isteri mengangguk. Matanya kemudian merenung ke arah jalanraya. Sedikit teruja, dia memberitahu suaminya. “Maria dengan Hisyam datang, Is!” 

“Amboi, bila nampak Hisyam aje...?” 

Salina menampar bahu Alif Iskandar. Manja! “Jeles lagi tu? Tapi I sayang, cinta dan kasihkan you aje, Is!” ujarnya, disambut ketawa lepas Alif Iskandar.   

“Tu, ex boyfriend Salina.” Zariel berbisik perlahan. Risau takut didengari oleh Salina dan Alif Iskandar. 

Nursyahirah memerhati pasangan yang sedang berjalan ke arah mereka. Lelaki yang tinggi dan tegap itu memang sangat kacak. Tidak hairanlah kalau ada yang jatuh cinta padanya, bisik hati. Tapi, isteri yang sedang berpapasan dengannya tidak kurang cantik. Mereka adalah pasangan yang sesuai dan sepadan, bisik hati kecil Nursyahirah. 

“Lia, ini kawan baru kita. Kenalkan cikgu Nursyahirah. Kita panggil Ira ajelah! Ira ni mengajar kat Bagan Datoh, tau!” 

Maria terus teruja. “Bagan Datoh? Dah dekat dengan Teluk Intan tu. Pernah pergi Teluk Intan, tak? Kampung kak Lia di Batak Rabit, Ira.” dia memberitahu. 

Nursyahirah pun apa lagi, teruslah bercerita tentang Menara Condong bagai. Tentang ekspo, tentang itu, tentang ini... 

“Rasa nak balik ke sanalah pulak. Teringin nak makan ikan bakar di Medan Ikan Bakar dekat Hutan Melintang. Ira mesti pernah makan di situ, kan?” 

Hisyam dan Zariel saling berbalas senyum. Diamkan dahulu. Sengaja dibiarkan dua wanita itu dengan keterujaan mereka. 

“Kak Lia pernah pergi situ? Sedap kan, kak? Nanti, bila Ira dengan Zariel balik ke Bagan Datoh, Ira nak buat makan-makan. Ira jemput akak dengan kak Lin datang. Nak tak?” 

“Nak! Nak!” 

“Mesti cepat tau! Nanti anak dalam perut kak Lin ni meleleh air liur dia sebab kempunan.” 

Kata-kata Salina menyebabkan Maria, Hisyam, Zariel, Nursyahirah terpaku. Alif Iskandar memandang wajah isterinya dengan wajah yang sangat terkejut. Tiba-tiba Hisyam ketawa. Kemudian Zariel. Ketawa melihat Alif Iskandar yang bagaikan tidak percaya. 

“Kawan aku nak jadi ayah!” Zariel menepuk belakang tubuh Alif Iskandar. Sebaik tersedar, Alif Iskandar terus mendapatkan isterinya. 

Kemesraan mereka membuat Nursyahirah rasa ingin menangis. Kali pertama dia melihat bagaimana reaksi seorang suami bila mengetahui isterinya mengandung. Waktu itu, dia dapat melihat kehangatan cinta pasangan suami isteri itu. Alangkah bertuah menjadi Salina yang disayangi Alif Iskandar. 

“Bila sayang abang ni nak bagi anak nombor tiga pada abang?” suara Hisyam, meskipun berbisik kepada Maria, masih dapat didengari oleh Nursyahirah. 

Dia melihat wanita cantik itu ketawa. Dia melihat tangan mereka bergenggam kemas. Dia melihat renungan penuh kasih sayang di antara Hisyam dan Maria. Sungguh romantis, bagaikan mereka sudah terbang dalam anganan masing-masing, meninggalkan semua dengan rasa iri terhadap kebahagiaan yang mereka miliki!

TUHAN, dapatkah aku mengecapi kebahagiaan berumah tangga seperti kak Maria dan kak Salina? Bahagianya mereka! Tak perlu ragu tentang cinta suami masing-masing. Apakah Zariel juga seperti Hisyam dan Alif Iskandar? Mencintaiku sepenuh hati bukan untuk sedetik tetapi selama-lama? 

“InsyaALLAH, abang juga mencintai Ira seperti lelaki-lelaki itu mencintai isteri-isteri diorang.” Penuh yakin, Zariel memibisikkan di telinga Nursyahirah. 

Ketika Nursyahirah mendongak, sepasang mata Zariel yang berkaca mengusik nalurinya. Tersentuh dengan pengakuan suami. Tersentuh dengan cinta yang hadir yang tidak mampu Zariel sembunyikan. Lagu cinta beralun lunak dalam dirinya juga. Satu saat, Nursyahirah akan meluahkannya kepada Zariel. Akan dibuktikan bahawa cinta mereka cukup kuat dan akan dipertahankan sehingga akhir usia nanti. InsyaALLAH.
......................
semoga anda suka... komen2 k! hehe..

22 ulasan:

  1. Whoa~ Kemunculan khas Dr. Alif Iskandar - Salina dan Hisyam - Maria.
    Menarik. Best sangat-sangat.

    TQ kak Sofi :')
    Semua cerita akak best.
    Keep up writing.

    BalasPadam
  2. yes ...happy ending...suka sangat.

    BalasPadam
  3. wah, suke sgt2 kak!!cerpen akk memg x penah mengecewakan..yg best ade hisyam, maria, dr alif dan salina sekali!!suke 100x ni..haha..

    BalasPadam
  4. Nadzipah, thanx juga kepada Nad dan semua pembaca, peminat, kengkawan... semuaaa...

    BalasPadam
  5. Anonymous, insyaallah citer kak sofi biasanya hepi ending sbb kak sofi sendiri x suka hero dengan heroin berpisah. hehe...

    BalasPadam
  6. blinkalltheday, thank you ALLAH kerana memberikan ilham... kan?

    BalasPadam
  7. suke2. TQ cikgu Sofi:D

    BalasPadam
  8. mmg best crta ni....
    thniah kak sof...

    BalasPadam
  9. hisyam, maria, alif iskandar, salina - tmkh.
    best sgt kak sofi... bila nk panjangkan ke novel? hehe

    BalasPadam
  10. best la happy ending cerpen luahan nieh...
    nanti kak sofi buat lagi cerita yang lagi menarik..

    BalasPadam
  11. hajar, novel? ntahlaa... yg dok ada pun x terhabiskan :)

    BalasPadam
  12. wahh mantopp...
    ada salina..iskandar..hisyam..mira...
    sume watak ada dlm novel ada ye..
    terbaik...
    wahh ira pun da teringin nak punya anak mcm biras dan kawan2 suaminya itu..alhamdulillah..
    xpela kak sofi walau tiada 6 7 8 dan seterusnya...
    yg ini pun terbaik..
    minta TYL nye sambungan satu...rindu la...hehe

    BalasPadam
  13. Ad_dEen, thanx... novel awak pun best jugak... kak sofi ikut tp x komen hehe... ok TYL... nnt dulu ya... sabarrr..hehe

    BalasPadam
  14. Anonymous, emoticonnya x berfungsi so kak sofi dah buang dah.. hehe

    BalasPadam
  15. uppssss nama pasangan doktor tu sama dgn saya dgn my ex (alif iskandar). hahaha nama2 & watak2 tu semua dekat dgn dunia sy dulu.. kebetulan :D

    BalasPadam
  16. Hahaha nama pasangan doktor tu sama dengan nama saya & my ex (alif iskandar), nama2 & watak2 tu pn dekat dgn dunia saya, dulu... kebetulan... huhu

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.