apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

20.11.11

Teringin 2

2

Nursyahira memandu kereta Personanya dengan tenang dan selamba. Sengaja dia memandu seperlahan yang boleh dengan tujuan supaya Zariel Ikram mahu memotong dan kemudian memecut laju meninggalkannya. Tapi, hairan! Zariel begitu setia mengekori.

“Kesian SLK dia! Kereta tu tentu jemu bergerak sangat perlahan. Kenapalah Zariel tu harus mengekori aku lagi? Potong aje, aku tak kisah pun! Menyampah betullah! Sejak bila lelaki ini jadi seorang penyabar?”

Tadi, dia berkeras hendak memandu balik ke Bandar Kinrara. Biarpun Zariel memaksa dirinya meninggalkan kereta dia di rumah sewa, Nursyahirah tidak mempedulikannya. Dia tidak mahu balik dengan lelaki itu dan dia tidak mahu dekat dengannya. Zariel Ikram.... satu nama yang dia sudah fobia! 

“Saya tak mahu kahwin dengan dia, mama.” Masih terdengar suara Zariel menolak bila mama menyarankan mereka berdua berkahwin. Mama... Puan Naimah, apa khabar mama sekarang? Wanita yang terlalu baik. Wanita yang terlalu menyayangi dirinya.

“Kenapa?”

“Mama? Boleh mama tanya soalan itu? Macam mama tak tahu sebabnya!” Suara Zariel melengking kuat.

“Sebab ayah dia musuh perniagaan papa? Sebab ayah dia tipu papa sampai papa jatuh bankrap?”

“Tahupun, mama! Sampai papa mati disebabkan ayah dia! Sekarang, duduk tak duduk, dia nak suruh saya kahwin dengan anak dia pulak? Dah gila agaknya Datuk Herman tu?”

“Zariel, setiap orang buat silap. Termasuk papa, mama... mahupun Datuk Herman. Sekarang ni, Datuk nak tebus balik kesilapannya. Dia....”

“Aaa.. dia nak tebus balik dosa dia dengan jual anak dia pada saya! Banyak cantik? Tak ingin saya, mama! Selama ni saya tahan tengok muka perempuan tu sebab mama sayang pada dia. Sebab mama tak boleh berpisah dengan dia. Tapi, kalau sampai saya terpaksa kahwin dengan Nursyahirah tu, minta maaf! Saya tak mahu!”

Nursyahirah keluar daripada dapur lalu memasuki ruang tamu setelah telinganya sudah tidak tertahan lagi mendengar cemuhan lelaki itu terhadap ayahnya. Lelaki yang selama ini dianggap bagaikan abang kandungnya sendiri begitu ampuh dan nekad menolak dirinya. Tak sudi sama sekali hendak menjadi suaminya.

“Kalau pun abang tak mahu kahwin dengan Ira, tak perlulah tengking-tengking mama abang ni. Ira pun bukannya hendak abang jadi suami Ira. Ira pun dah ada kekasih. Tapi, Ira kena kahwin dengan abang sebab ayah suruh. Ayah rasa bersalah pada papa abang. Dia nak tebus balik kesalahan dia masa dulu-dulu. Abang tak nampak ke siapa yang jadi mangsa di sini? Bukan abang, tahu tak? Ira, bang! Ira! Tapi, Ira redha kalau ini dapat buat hidup ayah yang tinggal sikit aje lagi tu, tenang.”

Mencerlung sepasang mata Zariel Ikram memandangnya. Kemarahan, kebencian semakin terasa. Terseksa rasa jiwa bila mendengar cemuhan demi cemuhan dari mulut lelaki itu.

“Hah, dah nak mati pun masih nak menyusahkan orang! Ayah kau tu memang tak guna! Memang jahat! Biar padan muka dia...”

Kata-kata terhenti bila pipinya ditampar oleh mama. Nursyahirah terkejut memandang. Zariel lagilah! Mana nak sangka ibu kesayangan sanggup memukul dirinya.

“Biadap betul kamu ni, Zariel. Mama tak peduli! Mama tetap hendak kamu kahwin dengan Ira. Kalau kamu degil sangat, kamu keluar dari rumah ni. Mama tak ada anak yang kurang ajar macam...”

“Mama??”

Nursyahirah membantu Zariel mendudukkan puan Naimah di kerusi. Dada wanita itu dusap perlahan-lahan. Dia tidak peduli pada Zariel yang sedang terlalu marah. Agaknya, Zariel teringin hendak menjadi harimau supaya dapat dia membaham Nursyahirah pada ketika ini.

Rasa ingin menitis air matanya melihat wajah pucat puan Naimah ketika ini. Sudah pasti, penyakit darah tinggi menyerang lagi. Argh, kasihan mama....

Bunyi hon yang kuat menyebabkan Nursyahirah memegang stereng kereta dengan kuat. Asyik benar dia teringatkan kisah lama semasa memandu. Mujur tidak ada apa-apa yang berlaku. Hanya seseorang sedang marahkan dirinya memandu di sebelah kanan dalam keadaan terlalu perlahan.

Zariel....

Masih tidak difahami mengapa lelaki itu perlu mencarinya. Apakah lagi yang bersisa pada perhubungan mereka? Ayah sudah meninggal seminggu selepas mereka bernikah.

Ya, mereka bernikah juga! Mama berjaya juga memaksa lelaki itu mengahwininya. Hati Nursyahirah sendiri merintih kerana terpaksa melepaskan cintanya terhadap seseorang demi memenuhi satu amanat. Namun, sebaik jasad ayah selamat disemadikan, dia telah mengemaskan semua barang-barang miliknya. 

Tanpa pamitan, dia meninggalkan rumah suami yang membenci. Tanpa pamitan, dia meninggalkan semua hartanya yang sudah dipindah milik kepada nama Zariel Ikram Muhamad Akil. Dia lari membawa diri ke Bagan Datoh kerana permohonan pertukaran yang dibuat secara senyap-senyap, telah diluluskan. 

Sangkanya dia dapat menutup segala jejak tapi, tetap lelaki ini mencarinya. Pelik sikap Zariel. Pelik bicaranya...

“Dah tiga tahun, Ira. Masa untuk Ira sembunyikan diri dari abang dah tamat tempoh. Abang datang nak bawak Ira balik. Tempat Ira di sisi abang, bukan terasing jauh di sini!”

Tempat Ira di sisi abang?

Arghh.... pening! Apa maksud Zariel? Tak mungkin lelaki itu sudah jatuh cinta pada dirinya pula? 

8 ulasan:

  1. teringin 1 dan teringin 2... kenapa post yg sama?

    BalasPadam
  2. @Salmah Hanim thanx, mujur beritahu... hehe x perasan..

    BalasPadam
  3. tak sabar nak tunggu teringin 3...zariel agaknya baru sekarang 'teringin' kat ira kot..dulu2 tak teringin..hehehee

    BalasPadam
  4. best2...
    makin menarik..
    sambung lagi..

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.