Teringin 1

1

“Cikgu Nursyahirah, ada orang nak jumpa cikgu.”

Cikgu muda itu sedikit terkejut. “Siapa? Bapak budak ke?” 

Tanya dia kepada Azizi, pembantu guru yang datang memberitahu. Belum sempat Azizi hendak menjawab, Nursyahirah sudah menggumam. “Alah, orang tengah sibuk nak mengemas, ada aje nak mengganggu. Masa hari interaksi, punyalah berkobar-kobar orang tunggu kat Balai Ilmu, berapa kerat aje yang sudi datang. Hai ya! Ikut suka hati emak bapak korang aje nak masuk sekolah ni, ek!”

Kih kih kih...

Nursyahirah baru terperasan bahawa ada dua orang anak muridnya sedang menolong dia mengemas meja di bilik guru itu. Malulah pula bila diketawakan mereka.

“Tak sangka cikgu ni kuat berleter juga. Dalam kelas, cikgu selalu cool aje.” Munir mengusik.

“Iyalah... macam tak percaya pula!” sahut kawannya, Amrin.

“Err, cikgu...”

Nursyahirah jegil mata pada anak-anak muridnya. 

“Yalah! Saya nak naiklah ni, Zizi.” ujarnya bila pandangan beralih kepada Azizi yang gelisah.    

“Cikgu, rasanya yang datang ni bukan bapak budak. Penjaga, kut. Muda orangnya!” Azizi membetulkan.

Nursyahirah pandang wajah Azizi. “Siapa pun dia, tak sepatutnya dia datang ke sekolah masa ni. Orang dah nak balik dah! Dia ada di mana sekarang?”

“Ada di luar pejabat.”

Nursyahirah cepat-cepat meletakkan buku yang sedang dikemas, masuk ke dalam kotak. Kemudian disuruhnya Amrin dan Munir, anak murid yang setia menolongnya sejak pagi tadi untuk membawa kotak itu ke makmal kimia. 

“Cakap dengan cik Aida, pembantu makmal tu, yang saya tumpangkan kotak tu sekejap. Nanti, masa nak balik, saya pergi ambil.”

“Yes, miss!”

Nursyahirah tergelak mendengar balasan mereka. Sebagai guru Bahasa Inggeris, dia rasa seronok bila anak muridnya sudah mahu bercakap dalam bahasa itu, bila dengannya.  Di kawasan pedalaman seperti pekan Bagan Datoh, bertutur dalam Bahasa Inggeris masih dianggap berlagak. Namun era ini, di zaman IT, anak-anak muda belasan tahun sudah semakin faham bahawa BI sebagai bahasa antara bangsa, amat berguna untuk dipelajari. Dan, dia bersyukur, sejak ditukarkan ke daerah asing ini tiga tahun dahulu, tidak banyak masalah ditemui dalam pengajaran dan pembelajarannya.

Sambil tersenyum kecil, cepat-cepat Nursyahirah mencapai beg tangannya dan bersedia hendak ke pejabat.

“Siapa nak jumpa kamu, Ira?” tanya cikgu Mazni.

Nursyahirah geleng kepala. “Entahlah, kak. Dah hujung tahun pun ada lagi mak bapak yang datang. Mentang-mentanglah saya pegang kelas corot...”

“Eh eh, itu kan dah bagus! Diorang prihatin apa! Sampai hari terakhirpun ada saja yang nak jumpa, nak tahu perkembangan anak. Layan ajelah!”

“Tahulah! Tapi, orang banyak lagi nak kemas tu!” Nursyahirah memberitahu.

“Alah, nanti sambunglah. Dah, pergi cepat! Dah lama orang tu tunggu!” gesa cikgu Mazni.  

Entah mengapa, ketika menaiki anak tangga, hatinya berdebar-debar tidak tentu arah. Sudah jenuh beristighfar, baca ayat Qursi, tapi masih juga gementar tak tentu fasal. Kenapa, ya? Semakin kencang degupan jantungnya bila melihat beberapa orang guru lelaki sedang berbual-bual dengan seseorang. Oh, bukan susah hendak mengenali orang asing di kalangan guru-guru lelaki yang berbaju Melayu pada hari Jumaat, kan?

Meskipun daripada belakang, dia seolah-olah mengenali lelaki itu. Susuk tubuh yang tegap yang hanya berbaju T dan memakai seluar jeans kelihatan tinggi di kalangan kawan-kawan guru Nursyahirah. Salah seorang guru yang berada dalam kelompok itu terpandangkannya. Nursyahirah berhenti melangkah, bagaikan menanti lelaki itu menoleh ke arahnya.

“Lambatnya cikgu Nursyahirah naik. Ingat tadi nak suruh orang pergi cari cikgu lagi.” Encik Halim, Penolong Kanan SMK Seri Muara, menegurnya. Nursyahirah tidak menyahut. Hanya tersenyum sedikit sambil melihat kaum lelaki itu bersalaman.

“Okey, jumpa lagi encik Ikram.”

Ikram? Zariel Ikram? Lelaki itu?

Cepat-cepat tangan memegang konkrit balkoni. Kalau tak pegang, pasti dia akan jatuh terduduk di atas simen. Perlahan-lahan, tubuh disandarkan ke dinding. Menanti lelaki itu berpaling ke arahnya. Lelaki yang menjadikan dirinya seorang pelarian. Lari jauh daripada keluarga. Lari jauh daripada masa silam. Jauh daripada kedukaan.

“Why are you here, Zariel?”

Pertanyaan yang cukup untuk membuat lelaki itu berpaling. Kini, lelaki itu sedang merenungi dirinya. Sepasang mata itu begitu asyik memerhati. Sekilas, bagai ada senyuman menghiasi bibir nipisnya. Namun, ia lenyap begitu sahaja.

“Dah tiga tahun, Ira. Masa untuk Ira sembunyikan diri dari abang dah tamat tempoh. Abang datang nak bawak Ira balik. Tempat Ira di sisi abang, bukan terasing jauh di sini!”

Ulasan

  1. nice intro..=)

    >feeqa

    BalasPadam
  2. best, good job kak sofi.
    next please..thanks

    ~aku

    BalasPadam
  3. wahh...dah excited nk tggu sambungan....
    pls update citer2 yg lain gak selalu...
    especially tiada yang lain...
    =)

    BalasPadam
  4. best kak sofi...sy sukaaaaaaaaaaaaaa =)

    BalasPadam
  5. @Ad_dEen hello writer, thanx sudi dtg blog kak sofi... update selalu? wokey hehe...

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

Yang Terakhir: Versi Cerpen

Inikah Cinta? : Versi Cerpen