Follow Us @soratemplates

4.11.11

Mengimbau Kenangan....


Assalamualaikum....

Kisah hidupnya pernah menjadi berita hangat dahulu. Dialah Maria Bertha Hertogh. Dia anak kepada pasangan Adeline Hunter dan Andrianus Petrus Hertogh. Dia berketurunan Belanda.

Sewaktu umurnya lima tahun, dia diserahkan oleh ibunya kepada Che Aminah Mohamad dari Terengganu yang ketika itu berada di Indonesia. Ia berlaku selepas pasangan suami isteri itu menjadi tawanan tentera Jepun pada 1942 di Indonesia.


Sejak itu, Che Aminah membesarkan Maria Bertha Hertogh seperti anaknya sendiri. Dididik dengan adab Melayu dan menerima pendidikan Islam. Namanya pun ditukar kepada Natrah.
Selepas perang 1945, Hertogh dibebaskan. Kasih sayang seorang ayah menyebabkan dia berusaha mencari Natrah. Dia kemudian memperdaya Che Aminah untuk membawa Natrah ke Singapura. Hasratnya jitu untuk mengambil kembali anaknya. 

Tindakan Hertogh mendorong Che Aminah memfailkan rayuan di mahkamah dan berjaya mendapat Natrah semula. Natrah kemudian dikahwinkan dengan Mansor Adabi pada usia 13 tahun. Bagaimanapun, pada 12 Disember 1950, Mahkamah Tinggi Singapura mengarahkan Natrah dikembalikan semula kepada bapanya dan pulang ke Belanda. 

Maka tercetuslah rusuhan di Singapura yang menyebabkan 18 maut dan ratusan lagi cedera.



Itu nostalgia / kisah lampau. Yang pahit sudah dibuang. Natrah pula sudah meninggal dunia pada 2009. Namun silaturrahim tidak putus sebenarnya. 

Menurut Rokayah Yusof, 65, anak saudara angkat kepada Natrah, tidak banyak kenangan antara dirinya dan Natrah kerana pada ketika itu, dia masih kecil. Namun, ikatan kekeluargaan yang ada menyebabkan rasa kasih dan sayang itu tidak pernah putus. Dia dapat bertemu Natrah pada 1998 iaitu selepas 46 tahun mereka terpisah, satu pertemuan yang penuh makna! Kemudian, pada awal Januari lalu, dua anak Natrah, Carolein dan Silvia bersama pasangan masing-masing melawat Rokayah.

Semalam, satu lagi pertemuan bersejarah terjadi. Pertemuan dengan dua cucu Natrah, walaupun hanya empat jam, meninggalkan banyak kenangan manis. 

PERTEMUAN BERMAKNA...Sasha (tiga dari kanan) dan  Romy (empat dari kanan) diraikan kedatangan mereka oleh keluarga angkat Natrah 
di Kampung Mak Cili Paya, Kemaman, semalam.
Layanan mesra yang mereka berikan kepada kami membuatkan saya faham mengapa nenek begitu dekat dengan budaya dan adat Melayu.
- Sasha Van Gastel

Sasha Van Gastel, 18, cucu Natrah dibawa oleh Tourism Malaysia (TM) ke Terengganu untuk melihat tempat yang pernah didiami neneknya lebih 60 tahun lalu. Menerusi program dinamakan Building Bridges (BB) dilaksanakan dengan kerjasama TM di The Hague, Belanda, Sasha bersama sepupunya, Romy Elizabeth Marian Smol, 17, dijadualkan berada di negeri ini selama empat hari bermula semalam.

Kata Rokayah lagi...
“Lebih membuatkan saya tersentuh apabila memandang wajah Sasha yang mirip neneknya (Natrah),” 
Kehadiran dua gadis remaja itu seakan-akan rahmat dan hadiah bermakna sempena sambutan Aidiladha, Ahad ini.


Pertemuan bukan saja mengeratkan hubungan dua negara tetapi ikatan kekeluargaan yang tidak terputus walaupun berlainan agama dan budaya. Apa yang diharapkan, kata Rokayah, biarlah hubungan kekeluargaan ini Rokayah turut menyimpan hasrat untuk melawat keluarga Natrah di Belanda, satu hari nanti.

sumber: shasha
==========================================================

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.