apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

23.11.11

Melur Jasmine 12


“Kenapa kita berhenti di sini, Zahim?” 

Tubuh dipalingkan ke kanan, menghadap lelaki yang sejak dari KLIA tadi asyik mendiamkan diri. Entah apa yang sedang bersarang dalam fikiran Ahmad Zahim Muaz, entahlah. Jasmine bingung memikirkannya. 

Soalan yang diajukan mendapat respon akhirnya setelah agak lama Zahim diam, tidak bersuara. 

“Siapa badak tu dalam hidup kau dulu, Jasmine?” tanya Zahim. 

Jasmine tersentak. Benar-benar tersentak! Hairan benar dia! Bagaimana Zahim tahu gelarannya untuk Badrul Aminudin Haziq? BADAQ? Lama tidak menggunakannya... Bila ia keluar daripada bibir Zahim, rasa hendak ketawa pula. 

“Apa senyum-senyum? Soalan aku, kau tak jawab lagi tu! Apa hubungan kau dengan badak sumbu tu?” Zahim meradang. Dia sakit hati melihat senyuman yang menguntum pada bibir Jasmine bila dia bertanya tentang Badrul. Mesti ada apa-apa punya ni! Kalau tidak, tak kanlah si adik boleh marah tadi! teka hati Zahim. 

Api cemburu meledak, membara. Belum pernah dirasakannya. Kenapa rasa itu hadir, tidak tahu pula. Dulu, girlfriend lamanya, Zakiah, buat hal depan mata lagi. Tak peduli pun! Tapi, dengan perempuan yang belum lagi mesra, belum lagi ada apa-apa ini, kenapa lain benar perasaannya? Padahal, Jasmine tadi, senyum lelaki itupun tidak dibalasnya. 

Ah, payah! Jangan jatuh cinta sudah! Perempuan adalah spesis yang menyusahkan. Sekali dia tahu dirinya dicintai, pasti jadi mengada-ada. Pasti nanti hendak mengongkong kehidupannya. Pasti akan susah hendak bergerak ke mana-mana! 

Apa pun, dia mesti tahu tentang Badrul. Kenapa lain macam sahaja gaya lelaki itu tadi? Kenapa macam tak suka melihat dirinya? Dia mesti tahu! Dia perlu tahu! 

Jasmine menggelengkan kepala. Badak sumbu rupa-rupanya? Ingatkan Zahim sebut BADAQ! Gelaran tu istimewa dari dirinya untuk Badrul. 

Jadi, maknanya, Zahim tak tahulah kisah lama itu. Tapi, siapakah yang tahu? Memang tidak ada sesiapa pun yang tahu, bukan? Hati mengomel sendiri. Hanya dia dan Badrul! Sahaja! 

“Weh, aku tanya kau ni! Kenapa tak jawab? Susah sangat soalan tu? Kenapa? Kau kena jawab dalam bentuk esei ke? Panjang sampai berjela-jela muka surat?” bentak Zahim bila Jasmine masih beku di tempat duduknya. 

“Awak, yang tak fasal-fasal nak naik hantu ni, kenapa? Apasal awak nak tahu tentang Badrul pulak? Tadi kan dah bersalam dengan dia. Dia adik ipar saya. Dia suami Melur. Dia ayah Misya Airina. Kat mana yang awak tak faham lagi, Zahim?” balas Jasmine dengan bersahaja. 

Zahim mendengus. “Okey! Fine! Sekarang, jawab soalan ni! Kenapa adik kau, Melur cakap ayat ni... 
Hai, Min! Jangan tenung my hubby lama-lama macam tu! Dia dah lama jadi hak Melur, okey! Dan awak tu nak jadi bini orang lain dah! 
Ayat tu maksudnya dia cemburu dengan cara kau tengok suami dia. Dia cemburukan kau. Dan, orang tak akan cemburu tanpa sebab. So, kau nak jelaskan pada aku atau kau nak aku tanya mak cik?” 

Jasmine mengurut dadanya. Soalan-soalan Zahim buat jiwa jadi sesak. Berkali-kali dia cuba mententeramkan diri. Jenuh dia beristighfar. Hati sedikit cemas. Kalau lelaki ini begitu mudah melihat perubahan sikapnya, tentu orang lain juga begitu. Jelas sangatkah sehingga dapat dibaca apa yang tersembunyi di sebalik riak wajah? 

“Kau ada affair dengan dia? Dengan badak sumbu tu?” Zahim sengaja berkata begitu. 

“Cakap baik-baik sikit, ya! Kang tak fasal-fasal, saya tampar pipi awak!” 

Reaksi spontan Jasmine mengejutkan Zahim. Ada satu rasa yang kurang enak sedang berlegar dalam fikiran. 

“Garang? Marah! Kenapa kau marah? Kau marah aku tanya tentang affair korang ke? Atau kau marah aku panggil dia badak sumbu? Mana satu?” tekan Zahim. 

“Mestilah saya marah! Awak panggil dia badak sumbu! Ikut suka mulut jahat awak tu saja nak panggil dia macam tu. Ada ke? Nama dia Badrul, tahu!” Lama Jasmine menarik nafas sebelum menyambung, “Lagi satu, jangan lagi sebut yang kami ada affair. Kalau didengar dek Melur, mahu meletus perang antara saya dengan dia.” 

Zahim pandang wajah Jasmine tajam. “Jadi, betullah kau dengan Badrul pernah ada apa-apa?” 

Ya ALLAH.... kenapalah dengan Zahim ni? Yang dia nak tahu sangat tu, kenapa? Apa kena mengena dia dengan kisah lama aku tu? 

Sakitnya hati bila Zahim cuba menyelidik kisah silam itu. Kisah yang ingin dijadikan memori kini terlayar di hadapan mata. Kisah cinta, biar pun hanya cinta anak sekolah, yang tidak kesampaian, tetap amat memilukan! 

Apa perlunya Zahim tahu? Kenapa bersungguh-sungguh hendak tahu? 

“Jasmine, mak aku cakap, kau tak ada sesiapa dalam hati kau. Tapi, dari sikap kau hari ni, aku dapat rasa yang kata-kata mak tu kurang tepat. Aku dapat rasa yang antara kau dengan Badrul ada apa-apa. Jasmine, kita dah nak kahwin. Aku ni pulak, bila aku setuju kahwin dengan kau, aku mahu seluruh jiwa raga kau hanya untuk aku sorang. Sebab, aku sendiripun begitu. Aku kosongkan hati aku, tutup pintu, dan hanya akan benarkan kau sorang saja masuk serta memilikinya.” 

Longlai rasa jiwa mendengar pengakuan Zahim. Tidak disangka-sangka, Zahim begitu bersedia untuk menerima dirinya. Nampaknya Zahim begitu ingin memaknakan erti pernikahan mereka. 

Tidak seperti dia! Tidak seperti dirinya! Ya, memang itu harus Jasmine akui. Hatinya masih ada keraguan. Hatinya masih tidak begitu yakin dengan Zahim. Malah, dia tidak yakin dengan dirinya sendiri! 

“Dengar sini, Jasmine. Dengar betul-betul! Untuk pengetahuan kau, aku tak suka ambil hak orang! Aku tak suka jadi nombor dua.” 

“Zahim...” 

Zahim bagaikan tidak mendengar. Dia terus meluahkan, “Mak aku kata, kau ni baik. Kau ni istimewa. Kau ni boleh diharap. Tapi, sekarang, aku macam tak yakin dengan semua pujian tu. Aku rasa macam kau ni hipokrit sikit. Betul ke kau ni baik atau berpura-pura baik? Seorang kakak yang dicemburui adik kembarnya... Tentu ada sesuatu di situ! Dan, aku tetap nak tahu!” 

“Zahim, tak ada apa-apa antara saya....” 

Zahim tengok muka Jasmine dengan wajah masam mencuka. “Kau ada kurang lebih enam hari, Jasmine. Kalau kau tetap berkeras dengan sikap kau yang hendak menyembunyikan rahsia tu, aku pasti tak teragak-agak untuk batalkan perkahwinan kita. Ingat tu!” 

Dengan amarannya itu, Zahim terus menghidupkan enjin kereta. Dia hendak menghantar Jasmine pulang. Bersama gadis itu kini, hatinya tidak tenteram. Banyak yang difikirkannya. Banyak yang menjadi persoalan. 

Perjalanan balik dirasakan sangat lambat bila di antara mereka diisi oleh kebisuan. Jasmine masih lagi dalam keadaan terkejut mendengar kata-kata dan melihat ketegasan Zahim. Tidak disangka-sangka olehnya akan sikap Zahim yang tegas sebegitu. 

...................... 

“Kenapa Zahim tak masuk, Min?” tanya encik Rizal selepas dia melihat Zahim memecut keretanya pergi. 

Jasmine cepat-cepat menjawab, “Ada hal sikit, pa. Dia kena pergi ke Puchong.” 

Encik Rizal kehairanan. “Tapi tadi, dia tak cakap pun.” 

“Masa dalam kereta tadi, orang tu telefon.” 

Maaf, pa. Min terpaksa tipukan papa. Min tak tahu macam mana nak beritahu... Ah, biarkanlah! 

“Mami dengan Melur mana, pa?” Jasmine mengubah topik. 

“Diorang di atas.” 

Suara Badrul menjawab soalannya. 

“Tapi, kami dah kemaskan bilik bawah. Senang untuk Melur, tak payah naik tangga.” kata Jasmine sambil mengerutkan dahinya. 

“Alah, Min, Kau bukan tak kenal dengan Melur. Dah dia cakap dia nak tidur dalam bilik lama dia, siapa yang berani kata tidak? Betul tak?” sela Badrul dalam tawa yang panjang. 

Jasmine dan encik Rizal turut ketawa bersama. Senang dengan sikap mesra Badrul, yang masih seperti dahulu. 

“Kau dah telefon pak cik Hakim? Mak cik Zura? Nanti diorang risau pulak! Kau sepatutnya balik ke rumah diorang dulu, Bad. Aku takut diorang kecil hati bila kau balik ke sini.” 

Encik Rizal pun turut bersetuju dengan pendapat Jasmine. “Betul tu, Bad. Bad sepatutnya dulukan emak dengan ayah Bad. Bukanlah papa nak menghalau ke apa, cuma rasa tak sedaplah pulak bila kamu balik, terus ke sini.” 

Badrul tersenyum sumbing. Kalaulah Melur berfikiran yang sama seperti Jasmine, kan bagus? Kalaulah Melur bukan seorang yang mementingkan diri? Kalaulah Melur tahu menghormati? 

Malangnya, Melur bukan Jasmine. Bunga yang sama namun keharumannya berbeza. Jauh benar perbezaannya sehingga dia tidak tahu yang manakah sebenarnya yang lebih mewangi. 

“Bad?” 

Lembut Jasmine menyeru namanya. Berdebar rasa hati Badrul. Astaghfirullahil’azim! 

“A...aku dah call diorang tadi. Aku dah minta maaf. Malam ni, diorang nak dinner di sini. Boleh tak, Min?” 

Soalan itu menyebabkan Jasmine ketawa. Dia masih lagi ketawa bila Melur dan ibunya turun. Puan Liza mengerutkan dahi. Melur? Bukan setakat berkerut dahinya, malah sudahpun menjuihkan bibir. Meluat? 

“Kenapa Min gelak sangat. Bad buat lawak ke?” tegur Melur sambil duduk di sisi suaminya. Rapat sungguh! Sengaja hendak menunjuk agaknya. 

Jasmine tersengih. Lupa pada Zahim dan ugutan lelaki itu tadi. 

Dalam hati, masih tidak percaya bahawa sikap Melur terhadap dirinya tetap seperti dahulu. Macam masa zaman kanak-kanak mereka. Sukar untuk dimengerti mengapa Melur menganggap dirinya seolah-olah seperti musuh. Mereka adik-beradik. Kembar pula! Seiras lagi! Tapi, bagi Melur, dia mesti hendak lebih. Semuanya mesti Melur mengatasi Jasmine. Semuanya mesti Melur yang diberi keutamaan. Keistimewaan hanya milik Melur, bukan Jasmine! 

“Min nak ke dapurlah, mami. Nak tolong kak Imah masak.” Ujarnya, menepis persoalan yang Melur utarakan. Biarlah Badrul yang menjawab. Badrul kan tahu macam mana nak pujuk isterinya? 

“Ya tak ya, juga. Nanti mak cik Zura kamu dengan pak cik Hakim nak dinner di sini. Jom, kita tengok apa yang patut dibuat!” 

Puan Liza sudah bangun namun cepat-cepat Jasmine menariknya sehingga terduduk semula. 

“Mami duduk sini sembang dengan Melur. Biar Min saja tolong kak Imah.” 

Si cilik, Misya Airina tetiba muncul. Terkejut agaknya bila ditinggalkan keseorangan di dalam bilik tetamu. Sambil menggendong teddy bear, dia bergerak mendekati semua orang. 

“Mama...” 

Jasmine tersengih. Terus dia bertenggung di hadapan Misya, “Sayang nak apa?” tanya dia. macam seronok melihat wajah keliru anak saudaranya. 

“Mama?” 

Jasmine mengangguk. “Mama!” katanya sambil tersenyum memerhati Badrul dan Melur. Badrul sudah tersengih namun wajah Melur... pucat! 

“Misya, ini mama, okey! Itu mak long! Apalah budak ni. Mak sendiri pun tak kenal.” Melur menghambur kemarahan. 

“Kamu ni, Melur. Itu pun nak merajuk. Tentulah Misya konfius. Mana pernah dia tengok Min, kan?” balas puan Liza sambil menghulurkan tangan mengajak cucunya duduk dekat dengan dia. 

“Baba, tu siapa? Kenapa muka dia sama dengan muka mama?” Anak kecil itu memberanikan diri bertanya dengan ayahnya, Badrul. 

“Tu kakak mama. Mak long Min. Diorang kembar. Twins.” 

Misya terangguk-angguk. Fahamlah agaknya. 

“Misya nak tolong mak long kat dapur tak? Mak long bancuhkan susu untuk Misya. Nak?” 

Meluru anak kecil itu turun dari ribaan neneknya. Dia terus mencapai tangan Jasmine. Kini jemari halus dan comel itu dalam genggaman emak saudaranya. Mereka bersaing ke dapur. 

Sepasang mata Badrul berkaca. Hati membisik rasa syukur. Mudah benar untuk Jasmine mendekati anaknya kalau hendak dibandingkan dengan Melur yang selalu sahaja menengking anak comel itu. Ah, Melur! Apakah yang dirasakannya kini? 

“Melur nak naik ke atas mami. Nak baring kejap.” Tidak menunggu balasan, dia terus menghayun langkah yang laju menaiki anak tangga, meluru memasuki bilik tidurnya. 

“Kenapa Melur tu? Lain macam aje papa tengok?” encik Rizal bertanya. Menzahirkan rasa pelik dengan sikap anak tiri yang tidak tahu menghormati orang lain. 

“Biarlah, pa. Dia penat!” balas puan Liza. 

Badrul melepaskan keluhan. Perlahan. Kalaulah betul... penat? Hmm... 

Di dalam bilik, Melur tidak mampu bertahan lagi. Hati menjerit pedih... 

“Kenapa dia istimewa sangat sampai semua orang sayang dia? Kenapa sampai Misya pun mudah benar manja pada dia sedangkan aku ni mamanya? Kenapa dia nak rampas semua orang yang aku sayang? Aku benci dia. Benci! Benci!” 
........................
harap anda suka...

6 ulasan:

  1. perangai melur ni x abis2 dengan iri hati.. bile nak sedar pun x taula ..harap2 perkahwinan min ngan zahim dapat merapatkan balik hubungan mereka berdua..

    BalasPadam
  2. hope badrul x kacau jasmin dah..pttnye badrul kena pay attention kt melur, didik dan ubah perangai die..tu tugas suami utk didik perangai is3 klu ade yg x ok..hope sgt2 melur berubah..doakan jasmin cepat kawen dgn muaz..

    BalasPadam
  3. miznza84, itulah fasal... dengki sesuatu yg merosakkan..

    BalasPadam
  4. blinkalltheday, perangai boleh diubah. dan harap2nya janganlah berlarutan kebencian melur, kan?

    BalasPadam
  5. klu melur bnci jasmine,
    sy plk bnci melur :D

    BalasPadam
  6. Anonymous, hehe... janganlah! nnt siapa nak baca MJ ni?

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.