Masihkah Cinta 19



Mifzal Luqman menekan loceng dengan hati yang berdebar-debar. Bagai dipalu-palu ketika ini, menanti tuan rumah membuka pintu pagar yang tinggi. Seketika menunggu, skrin kecil yang tersembunyi dalam batu penyokong pagar, terbuka. Wajah seorang lelaki kelihatan. Dia bertanya, “Siapa?” 

Luqman menarik nafas dalam-dalam sebelum menjawab, “Nama saya Mifzal Luqman. Saya nak jumpa dengan Encik Mukhtar dan Puan Zaidah. Saya ada hal penting untuk dibincangkan dengan mereka.” 

Sebelum seraut wajah itu hilang daripada paparan skrin, Luqman dapat melihat dahi tua yang sedikit berkerut. 

Tidak lama kemudian, seorang wanita berkain batik dilihat keluar dari pintu sisi rumah agam itu. Tentulah si pembantu rumah yang ingin membuka pintu pagar untuk dirinya, telah Luqman. Tekaannya tepat kerana wanita itu tertunduk-tunduk ketika hendak membuka mangga yang mengunci pintu sisi di sebelah kiri. 

“Silakan masuk, encik. Tuan besar menunggu di dalam.” 

Luqman menunggu orang gaji itu mendahului dirinya untuk memasuki rumah. Dia dibawa ke sebuah bilik di tingkat satu. Di situ, dia mendapati pasangan suami isteri yang ingin ditemui sudah siap menunggu. 

Dia tahu dirinya kini sedang menjadi perhatian kedua-duanya. Siapalah yang tidak hairan apabila seorang lelaki muda yang tidak dikenali tiba-tiba datang bertandang ke rumah? Sudahlah begitu, mereka tidak saling mengenali. Pasti dalam fikiran kedua-duanya sedang saspen, menanti apakah yang bakal pemuda ini katakan kepada mereka. 

“Maaf kalau saya mengganggu encik dan puan.” Luqman memulakan perbualan. 

Encik Mukhtar merenung seraut wajah yang tampan di hadapannya. Dia dapat melihat ketegasan daripada gerak geri lelaki muda ini. Dia perhatikan tindak tanduk Luqman sejak dari mula melangkah meninggalkan pagar kecil lagi. Penuh keyakinan dan ia didorong seolah-olah pertemuan mereka terlalu penting. Siapakah lelaki muda ini? Apa mahunya? Kenapa mencari dirinya dan Zaidah? 

“Kamu ni siapa? Nak apa?” tanya Puan Zaidah sambil memerhati wajah Luqman dalam-dalam. Dia tidak kenal Luqman. Hairan dia kerana dari gaya Luqman dia yakin yang Luqman mengenali mereka suami isteri. Anak siapakah lelaki ini? Orangnya tegap dan nampak berketrampilan. Apakah yang dicari? 

Giliran Luqman untuk menyelesaikan masalah yang sedang memberat di dalam fikiran ke dua-dua suami dan isteri. Dia sendiri gugup sebenarnya. Kalau tidak difikirkan tentang Qistina, mungkin dia tidak akan berani ke mari. Ya, kerana Qistinalah, Luqman datang, semata-mata untuk mencari satu kebenaran. Satu kisah yang tersimpan sebagai rahsia hidupnya sejak sekian lama. 

“Nama saya Mifzal Luqman, puan.” Sepasang mata Luqman ralit memandang wajah Puan Zaidah. Dia mengharapkan, dengan menyebut nama itu, wanita ini akan ingat pada kisah yang terjadi hampir 30 tahun dahulu. Namun, kenapa tiada riak? Apakah mereka ini sudah lupa ataukah berpura-pura tidak ingat? 

“Okey, Luqman, apa yang kami boleh tolong?” 

Semakin hairan Luqman dibuatnya. Sungguh, ingatan pasangan suami isteri ini sudah tidak begitu baik, bentak hatinya. 

“Encik tak ingat saya? Puan pun sama? Dah lupa?” 

Encik Mukhtar dan Puan Zaidah berbalas renungan. Nampak benar yang kata-kata Mifzal Luqman membingungkan mereka. 

“Lupa apa? Kamu ni siapa? Cuba cakap betul-betul!” 

Luqman sudah tidak mahu berteka-teki. Biarlah berterus terang. Senang! 

“Puan dan suami puan tinggalkan saya di rumah anak-anak yatim Darul Na’im satu masa dahulu. Waktu itu, umur saya baru beberapa hari. Kata Mak Siti, tak ada sebarang pengenalan yang puan dan suami puan tinggalkan untuk saya. Surat beranak pun saya tak ada. Yang ada, cuma sekeping kertas yang encik tulis meminta supaya saya dijaga dan dibesarkan di situ. Surat yang encik sendiri tanda tangan.” 

Pasangan suami isteri itu saling memandang sebelum merenung ke arah Luqman. 

“Waktu kecil, saya tidak pernah peduli siapa saya. Tetapi, semakin saya besar, apabila kawan-kawan asyik menyindir, mengutuk, menuduh saya ni anak zina, saya jadi pendendam. Saya jadi marah. Dalam hati, saya nekad mencari orang-orang yang membuang saya dari hidup mereka. Dan, saya bermula daripada nama encik. Saya cari dan selidik. Akhirnya, saya temui satu hakikat. Saya ialah Mifzal Luqman bin Mukhtar. Surat beranak yang saya dapatkan dari JPN itu menjadi bukti. Cuma yang saya tidak dapat buktikan, nama emak saya. Dalam surat beranak itu, ia bertulis Aini binti Ali. Jadi, hari ini, saya datang. Saya harapkan penjelasan daripada encik dan puan. Saya nak tahu mengapa saya ditinggalkan di rumah anak-anak yatim itu.” 

Perhatian Encik Mukhtar tertumpu kepada surat beranak yang baru diunjukkan kepadanya oleh Luqman. Puan Zaidah pula hanya merenung wajah Luqman tanpa sepatah kata. Riak wajah sahaja yang berubah. Tiada senyuman, tidak juga ceria. 

“Dah besar rupanya kamu, ya? Tak sangka, cepat betul masa berlalu.” 

Hanya itu yang mampu keluar dari bibir Puan Zaidah. Dia kelihatan gementar. 

“Puan dah ingat?” tanya Luqman dalam nada menyindir. Dia cuba bersabar. Demi mengetahui siapa dirinya, dia harus bersabar dan mendengar kata-kata pasangan suami isteri ini.

“Maafkan kami, Luqman!” 

Getar suara Encik Mukhtar menyebabkan Luqman merenungi wajah tua itu. Tajam dan penuh perasaan ingin tahu. 

“Kenapa minta maaf?” 

“Sebab tinggalkan kamu di rumah anak-anak yatim tu. Kami tahu, kami salah dan tak patut buat macam tu. Tapi...” 

“Kami tak boleh bela kamu, Luqman. Kami..” 

“Kenapa? Sebab saya ni bawa sial ke?” bentak Luqman. Kemarahan yang terpendam selama bertahun-tahun sedang membahang. 

Dahi Encik Mukhtar berkerut. 

Mak kamu orang gaji kami, meninggal sebaik sahaja kamu lahir. Kami tak tahu siapa ayah kamu. Mulanya, kami berdua memang nak bela kamu tapi keluarga kami tak benarkan. Kami tak ada pilihan selain meninggalkan kamu di rumah anak-anak yatim tu.

Luqman bangun. Lama dia termenung, memandang keluar sebelum dia berpaling dan bertanya. “Jadi, saya memang bukan anak encik?” 

Kedua-duanya menggeleng. 

"Saya yang daftarkan kelahiran kamu jadi malas nak fikir panjang, saya binkan kamu dengan nama saya."


Luqman menyandarkan diri ke tepi dinding. Rasa kaki sudah tidak mampu menahan tubuh. Bukan ini yang diharap untuk didengari tetapi akhirnya kebenaran itu, meskipun pahit, sudah tersingkap. 

“Maafkan kami, Luqman. Kami tahu kamu marah tapi kami memang terpaksa melakukannya."

“Tahu tak? Saya datang sini dengan satu harapan. Saya fikir, saya anak encik dengan puan. Saya ingat encik tak mahu bela saya sebab itu saya ditinggalkan di rumah anak yatim itu. Tapi, saya silap. Rupa-rupanya, encik bukan ayah saya. Puan bukan ibu saya."

"Maafkan kami, Luqman. Kami..."

"Encik tak salah apa-apa. Yang bersalah ialah saya. Saya yang berdendam dengan encik suami isteri." Luqman berkata penuh kesal. 

"Apa maksud kamu?"

"Saya..."

"Kamu yang buat fitnah tentang kami? Kamu yang beritahu bapa Zara tentang kami ada anak luar nikah?" jerkah Encik Mukhtar.

"Kenapa tak menafikannya? Kenapa akur pada ugutan datuk tu dan paksa Safiy kahwin dengan Zara?"

"Kami..."

"Apa? Sanggup you all musnahkan rumah tangga anak sendiri demi Zara?" tanya Luqman dengan penuh perasaan benci. Sakit hati sangat dia dengan pasangan di hadapannya ini.
"Sebab... Zara mengandung anak Safiy."

"Apa?"

"Itu kebenarannya. Safiy curang pada Qistina. Zara dah perangkap dia. Kami tak percaya tapi ujian DNA dah membuktikannya. Safiy sendiri dah mengaku yang dia dengan Zara..."

Sungguh, selama ini Luqman berasa amat kesal kerana memikirkan perpisahan Qistina dengan Safiy adalah kerana dia. Kerana perbuatannya. namun, setelah mendengar pengakuan pasangan suami isteri ini... hatinya berasa lega. 

Nafas dihela perlahan. Wajah di hadapannya dipandang lama.

"Saya minta maaf kerana menyusahkan encik berdua. Saya..."


"Tak apalah. Semua tu dah berlalu. Kami salah dan kamu memang ada sebab untuk berdendam. Tapi, percayalah, bukan sebab kamu rumahtangga Safiy runtuh. Dia yang memusnahkannya sendiri."



Luqman tahu ke mana di harus pergi selepas ini. Dia juga tahu apa yang harus dilakukannya nanti. Kebenaran sudah diketahui dan dia tidak akan teragak-agak untuk meneruskan hajat hati. 

Ulasan

  1. oowhhh no no no..tak mau safiy..lupakan saja saify n famili dia yang haprak tuh..luqman kena move on..cepat2 lamar qis..safiy tu boleh blahhhhhhhhhhh...

    BalasPadam
  2. kak nora, dari mula, nampak sangat kebencian kak nora pada safiy hehe...

    BalasPadam
  3. x suka safiy.. nak lukhman! lukhman! lukhman! lukhman! lukhman!

    BalasPadam
  4. saya juga mahukan luqman...

    BalasPadam
  5. miznza84, insyaallah, luqman heronya, kan? :)

    BalasPadam
  6. luqman, jgn baik sgt nk serahkan pas2 qiatina 2 kat safiy...
    tegas cket...
    jgn biar rasa bersalah m'hantui diri...
    nk luqman dgn qistina...muktamad...hahaha

    BalasPadam
  7. Anonymous, harap anda setia bersama luahan heh

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

Yang Terakhir: Versi Cerpen

Inikah Cinta? : Versi Cerpen