apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

17.1.14

Masihkah Cinta 18

Qistina membaling semua benda-benda kecil yang ada di hadapannya. Segala macam bunyi kedengaran apabila benda-benda itu terhempas ke lantai. Hancur berderai dan kaca bertaburan.

“Lelaki bodoh! Lelaki gila! Tak ada otak!” jeritnya sambil mengoyakkan kertas tisu dan melemparkan sehingga semua berterbangan bagai debu-debu halus di dalam bilik tidurnya yang dingin.

“Dia ingat aku tak faham apa yang dia cuba sampaikan? Dia ingat aku tak tahu yang dia nak aku terima jantan tak guna tu semula?” 

Qistina merungut lagi. Kali ini kemarahannya jelas ditujukan kepada Luqman.

“Baik sangatlah konon? Hati sendiri sakit, relalah... Beralah demi masa depan Uwaisy, konon? Nak berkorban tak kena tempat. Ingatnya, si Safiy tu nak hargai sangat apa yang dia buat? Eee, sakitnya hati aku!

Pintu bilik terbuka dan wajah ibu yang kehairanan sedang merenungi Qistina. Wajah dengan dahi yang berkerut menagih jawapan kepada satu pertanyaan mudah. Mengapa ni?

“Anak umi tak pernah begini. Selalunya anak umi tenang bila diduga. Kenapa hari ini lain pula? Di mana kesabaran?”

Soalan yang cukup sinis itu menyebabkan Qistina malu sendiri. Malu dengan sikapnya. Malu dengan perbuatannya. Malu dengan TUHAN. Ya, dimanakah kesabarannya?

“Hanya sebab Safiy datang ke kedai, kamu jadi hilang pedoman?” soal Puan Maheran sambil tunduk mengutip kaca-kaca yang besar di atas lantai jubin berwarna gelap itu. Cukup berhati-hati wanita itu mengutip, mungkin kerana bimbangkan Uwaisy. Mana tahu kalau-kalau kaki comel itu terpijak pula?

Qistina mendudukkan diri berhampiran pintu gelangsar. Sambil memeluk lutut, dia terus sahaja memerhati perbuatan ibunya. Kini wanita itu sedang menggunakan pencuci hampagas untuk menyedut semua sampah sarap. Selepas sepuluh minit dan setelah cukup berpuas hati dan memastikan tidak ada lagi kaca yang berterabur, barulah Puan Maheran mengambil tempat untuk duduk di sisi anaknya.

“Uwaisy mana, umi?”

Puan Maheran tersenyum mendengar suara tenang Qistina. Dia mengakui bahawa tadi, dia cukup terkejut mendengar Qistina menjerit dan marah-marah. Kiranya, dalam  air yang tenang jangan disangka tidak ada buaya. Jangan difikir seorang yang tenang dan penuh kelembutan seperti Qistina, tidak tahu marah. Sekali dia menjerit? Rasa nak luruh jantung Puan Maheran tadi.

“Norsya dengan Siti Haida datang tadi. Ambil Uwaisy lepas tu nak pergi rumah Raihah pula. Tidur di sana malam ini agaknya.”

Qistina mengetap bibir. Tanpa sedar, apa yang terjadi di kedai tadi sudah menyusahkan hati semua orang. Tentu masing-masing menganggap bahawa dia perlu bersendirian. Tentu semua orang fikir dia inginkan kedamaian. Jadi, Kak Raihah pun, seperti selalu, akan membawa Uwaisy ke rumahnya, semata-mata untuk membenarkan Qistina berlapang dada dan berehat tanpa gangguan.

Aah, banyak sungguh pengorbanan untuknya!

“Wanna share?”

Pertanyaan ibunya membuat Qistina mengeluh panjang. 

‘Sharing is caring!’ 

Semua orang tahu tentang ungkapan itu. Berkongsi? Sudah banyak yang dikongsikan dengan ibunya ini. Sehingga timbul rasa bersalah kerana asyik menyusahkan hati Puan Maheran. Sehingga timbul rasa kesal kerana sebagai anak tunggal, dia tidak sepatutnya merunsingkan hati umi dan ayahnya tapi lihatlah apa yang telah dia lakukan?

Berkahwin dan kemudian diceraikan. Banyak benar pergantungannya kepada umi. Duduk serumah, uminya yang memelihara Uwaisy sejak Uwaisy lahir. Uminya juga yang sering berulang alik ke kedainya untuk membantu apa yang boleh. Malah, umi tidak pernah lokek memberikan modal sekiranya dia hendak menambah atau membaiki komputer.

“Tina, cakaplah. Beritahu umi, kenapa kamu marahkan Luqman?”

“Dia tak sayangkan Tina, umi.”

Bulat mata puan Maheran. Wajah Qistina ditatap tajam. 

“Takkan kut? Tak baik kamu tuduh dia begitu. Kecil hati dia nanti, kalau dia dengar.”

Qistina mengeluh juga meskipun dia tahu bahawa mengeluh itu memang tidak baik.

“Umi yakin pada Luqman. Umi tak percaya kalau dia dah berubah hati. Dia sendiri mengaku pada umi yang dia sayang kamu. Sebab itu dia nak kahwin dengan kamu. Nak jadi ayah Uwaisy. Nak bertanggungjawab pada Uwaisy. Ni, tak fasal-fasal, kamu cakap dia tak sayang kamu pula. Apa sebenarnya, Tina? Cuba cakap betul-betul!” 

Suara Puan Maheran sudah tidak setenang tadi. Kali ini ia berbaur kemarahan. Juga penuh kesedihan.

Qistina menceritakan apa yang berlaku di dalam kereta tadi. Tidak satu yang tertinggal. Biar ibunya faham dan mengetahui sikap Luqman yang pengecut?

“Kononlah nak berkorban demi Uwaisy. Nak satukan Uwaisy dengan bapa kandungnya. Umi, dia sikit pun tak fikirkan perasaan Tina. Langsung tak peduli pada penderitaan Tina selama ni. Kebencian Tina. Kemarahan! Menyakitkan hati betul! Memang lelaki macam tu, ya? Dulu Safiy! Sekarang Luqman pula nak kecewakan anak umi ni!” luah Qistina bersama kemarahan yang kembali beraja dalam hati.

Puan Maheran sendiri bagaikan tidak percaya mendengar cerita Qistina. Adalah mustahil seorang Luqman yang bersikap tegas dan penuh keyakinan selama ini tiba-tiba menjadi sangat lemah dan sanggup menyerahkan Qistina kepada Safiy. Semudah itukah cinta?

“Dia tanya Tina, macam ni. Masihkah cinta? Pada Safiy?" 

"What? Dia tanya macam tu pada kamu?"

Qistina angguk. 

"Is he stupid or what? Safiy tu pun satu! Dah ludah ni, dah ludah! Sanggup dia nak jilat balik? Huh! Lelaki! Dua-dua pun gila!” 

Puan Maheran  menarik nafas panjang sebelum membalas. 

“Kalau Safiy, umi percaya yang dia tu sedang gila talak pada kamu biarpun selepas tiga tahun kamu dengan dia bercerai. Mungkin, itulah balasan kerana menuduh kamu dengan tuduhan zina, nusyuz dan minum dulu tu. Umi hanya minta supaya kamu bertenang menghadapi kerenah dia. Dan, supaya kamu bertegas dengan pendirian kamu, apa pun juga yang kamu fikirkan. Umi sendiripun tak mahu kamu berbalik pada dia. Biarlah orang kata umi kejam, umi memang tak rela!”

Qistina segera menggenggam tangan ibunya. Menghantar ucapan terima kasih yang banyak kepada wanita yang sentiasa merestui apa juga tindakannya. Kiranya kini, mereka mempunyai pandangan dan harapan yang sama.

“Tina kena yakinkan Luqman bahawa dialah yang terbaik untuk Tina. Tina kena yakinkan Luqman yang Tina mahukan dia sebagai suami, bukan Safiy." 

Qistina angguk. "Umi, Tina kena yakinkan Luqman yang Tina hanya mahukan dia untuk masa depan Tina. Bukan lelaki lain dan tentunya bukan Safiy, kan?" 

"Ya, sayang. Anak umi kena yakinkan Luqman tentang cinta Tina pada dia. Yakinkan Luqman yang Safiy tu cuma kenangan. Tapi dia, Luqman... ialah masa depan Tina. Jangan benarkan dia ragu-ragu pada Tina. Dan, Tina tak boleh lepaskan dia sebab pada pendapat umi, Luqman jauh lebih baik daripada Safiy.”

Qistina berasa tenang kini. Sesungguhnya, dia juga merasakan begitu. Bahawa Tuhan menemukan dia dengan Luqman supaya mereka bercinta dan saling melengkapkan kekurangan diri masing-masing.

Memang, memang Safiy juga sangat menyayanginya dahulu. Sangat mencintai dirinya tetapi lelaki itu terpaksa berkorban untuk ibu dan ayahnya. Qistina rela! Tetapi caranya itu! Cara Safiy melepaskan dirinya dengan menulis dan mengaku di hadapan kadi, sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam fikiran Qistina, Safiy sanggup menuduhnya sebegitu jahat! Kejamnya Safiy!

“Umi, waktu Safiy tinggalkan Tina tanpa alasan, Tina masih boleh menerima dirinya kalau dia berpatah balik masa tu juga. Tapi, selepas apa yang jadi di mahkamah syariah tu, Tina tak boleh, umi. Tak boleh tengok dia. Tak boleh terima dia. Sebab, luka yang dia berikan pada Tina dalam sangat, umi. Pedihnya tetap terasa sampai sekarang.”

Puan Maheran memeluk tubuh anaknya erat-erat. “Umi faham, sayang. Faham sangat!”

Qistina memandang wajah ibunya dalam-dalam. “Umi sokong keputusan yang Tina buat?”

Puan Maheran tersenyum dan mengangguk. “Tentulah! Tina anak umi, kan?”

“Cuma Luqman...”

“Jangan marahkan Luqman, sayang. Umi rasa, Luqman cuba satukan kamu semula dengan Safiy kerana dia fikir yang kamu masih cintakan Safiy.”

Qistina bungkam. Teringat kata-kata Luqman...

“Benci lawannya rindu. Sakit hati lawannya sayang. Marah kerana dalam hati masih ada rasa cinta. Tina, cuba tanya hati awak. Masihkah cinta? Pada Safiy?”

Kepala digeleng-gelengkan. Baru terperasan agaknya pada mesej yang cuba disampaikan Luqman. Aduhai lelaki! Adakah Luqman ingin korbankan perasaannya demi kebahagiaan Qistina dan pada kotak fikir lelaki itu, cintanya dan cinta Safiy masih utuh, masih bertahan?
.........

“Mana kamu tahu yang Qistina masih sayangkan bekas suaminya, Man?”

Luqman merenung wajah wanita di sisinya dengan satu renungan yang sukar untuk ditafsirkan. Matanya yang redup menyembunyikan rasa hati. Sukar untuk Mak Siti memahami apa yang disembunyikan di sebalik senyuman.

Masing-masing kini memandang ke halaman rumah anak-anak yatim Darul Na’im. Di situ, anak-anak yang tidak lagi punya ibu atau ayah atau sudah hilang kedua-duanya, sedang bermain dengan riang. Anak-anak... begitulah! Mana pernah memikirkan dunia yang lain selain keseronokan. Mana pernah tahu apa erti sebuah kehilangan. Tidak pernah mengendahkan sebab dan alasan mengapa mereka berada di sini.

Namun, semakin meningkat dewasa, semua yang tidak pernah dipedulikan tetap menghantui hidup. Hati mula mempersoal mengapa dan kenapa. Siapa? Bagaimana? Bila?

Mengapa mereka ditinggalkan di sini? Mengapa ibu dan ayah membuang mereka? Mengapa sekejam ini memutuskan hubungan? Siapakah ibu? Siapakah ayah? Bila mereka akan datang dan menjemput kami kembali? Bagaimana kalau terpaksa hidup di rumah anak-anak yatim ini selama-lama?

Luqman tidak mahu Uwaisy menjadi yatim seperti dirinya. Uwaisy masih ada ayah. Uwaisy tidak boleh dipisahkan daripada ayahnya semata-mata kerana dendam. Tidak oleh dendam Qistina, tidak juga kerana dendamnya sendiri. Uwaisy tidak boleh dijadikan mangsa!

“Saya tak tahu, mak Mak Siti. Saya teka aje,” bisik Luqman lemah.

Mak Siti tersenyum. “Dengan meneka begitu kamu tolong buat keputusan untuk dia. Kamu nak serahkan dia kembali kepada bekas suaminya. Tapi, Man... kamu yakin ke bahawa itu juga apa yang Qistina mahu?”

Luqman menekur diri mendengar soalan daripada salah seorang wanita yang turut membesarkan dirinya di dalam rumah ‘tumpangan’ ini. Mak Siti kini sudah dianggap seperti ibunya sendiri. Suatu masa dahulu, ketika hidupnya tidak berpedoman, jangankan hendak menegur, ingin merenung wajah tua ini pun dia tidak sudi. Begitu TUHAN mengubah diri. Alhamdulillah, sedikit demi sedikit, sikap buruknya itu sudah dibuang. Dirinya tidak lagi sombong mendongak langit kerana Luqman tahu, betapa sifat mazmumah itu hanya akan memakan dirinya sendiri. 

“Mak Siti, saya hanya mahu yang terbaik untuk Tina,” gumamnya.

Mak Siti tersenyum. 

“Kalau macam tu, bincang baik-baik dengan dia. Minta pendapat dia. Tanya dia apakah dia mahu balik dan hidup dengan bekas suaminya. Biar dia yang buat keputusan. Biar dia yang beritahu kamu apa yang dia mahu.”

“Tapi, macam mana dengan Uwaisy? Uwaisy berhak kenal ayahnya, Mak Siti.” Luqman masih ragu-ragu. Bagai anak kecil yang keliru lagaknya.

“Qistina seorang yang matang, Man. Bila kamu bawa dia ke sini buat pertama kali dulu, Mak Siti nampak seorang wanita yang kuat dalam diri dia. Mak Siti percaya, kalau dia boleh dan mampu menjaga Uwaisy selama ni, tak ada sebab untuk kamu memaksa dia dekatkan Uwaisy kepada bapanya. Biar itu, Tina sendiri yang lakukan, dengan kerelaannya. Marah takkan mudah lenyap, Man. Luka takkan mudah sembuh. Tapi, satu masa, dengan kasih sayang kamu, Tina akan belajar menjadi seorang yang pemaaf dan dia akan belajar melupakan kemarahan dan kesakitannya.”

Luqman terkedu mendengar kata-kata Mak Siti. Dengan kasih sayangnya, Tina akan belajar menjadi seorang yang pemaaf?

TUHAN, bagaimanakah itu mungkin bila dirinya sendiri sedang sarat dengan rasa marah dan sakit hati? Bagaimanakah itu mungkin bila dirinya sendiri penuh dendam? Lukanya sendiri sedang membarah di dalam diri, menyerang setiap urat nadi penuh kebencian kepada insan-insan yang telah membuangnya. Mengapa mereka sanggup membela Safiy tapi tidak mahu memelihara dirinya? Dia bukan anak luar nikah! Dia anak halal pasangan Zaidah dan Mukhtar tetapi mengapa dia dihumban ke mari untuk menjadi yatim piatu? Mengapa?   

“Man?”

Sepasang mata yang berkaca membuat hati mak Siti tersentap. Dia tahu bahawa anak muda ini sedang mengenang kisah silam. Pada satu ketika, Luqman menyangka dirinya anak tidak sah taraf, yang tidak dikehendaki oleh dua insan yang terlanjur dalam tuntutan nafsu serakah. Namun hakikatnya tidak begitu. Luqman dihantar ke sini kerana ibu dan ayahnya tidak mahu memelihara dirinya. Dan, mak Siti jelas benar dengan sikap Luqman yang membenci. Mungkinkah jauh di sudut hati, Luqman tidak mahu Uwaisy mengalami nasib yang sama seperti dirinya? Membenci ayah kandung sendiri?

Luqman menarik nafasnya dalam-dalam. Kemudian dia berdiri. Mak Siti pun turut bangun.

“Saya faham apa yang Mak Siti cakap tadi. InsyaALLAH, saya tak akan memaksa Qistina lagi. Dia berhak mencari bahagia untuk dia dan Uwaisy. Siapa pun yang dia pilih, apa pun keputusan yang dia buat, saya terima.”

Lega mendengar kata-kata Luqman membuat Mak Siti tersenyum puas. Senang hatinya. Ketika itu, satu mesej bergema, meminta dibaca. Luqman pula yang tersenyum.

~ Awak kat mana? Dah tidur ke belum? Hehe, bila awak balas mesej ni, baru saya tahu sama ada awak dah tidur atau belum, kan? Okey, boleh kita sarapan sama-sama pagi esok? Saya teringin nak makan Nasi Beringin di kedai yang awak pernah bawa saya ‘date’ dulu. Awak rasa, kedai tu buka tak pukul sembilan pagi? Saya tunggu awak, sentiasa... Jangan lewat! ~

Luqman tersenyum bahagia. Tapi, dia sengaja tidak mahu membalas SMS itu. Biarlah Qistina berteka teki sepanjang malam ini. Biarlah wanita itu menyangka yang tidak-tidak. Sesekali, hati yang mengharap perlu didera, kan? Kerana, esok, dia ingin melihat wajah Qistina yang penuh rindu menanti ketibaannya....                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                         

23 ulasan:

  1. pleaseeee qis...walau apa pun yg terjadi...jgn sesekali kembali ke safiy...pilih lah Luqman yg ikhlas n tulus menyayangi mu... safiyyyy pirahhhh...bolehhhhh blahhhhh...

    BalasPadam
  2. @kak noramarahnya pada safiy hehe.. tp kesian juga dia tu, kan?

    BalasPadam
  3. tak kesian arr kat safiy tu. Sape soh bagi reasons yg me lampau bila ceraikan qistina dulu.

    teacher sofi jgn bagi qistina balik pd safiy tau.

    BalasPadam
  4. @Anonymous hehe... tp, kl mudah sgt terima luqman pun mendatar aje la citer kan?

    BalasPadam
  5. hehehe...
    jahat betul luqman...
    tu mendera tu namanya..
    tapi kalau sekali-sekala ok kut...
    nak lagi

    BalasPadam
  6. owh...adik beradik rupanya si safiy ngan luqman nie...
    tapi kenapa mak ayah dia buang dia kat rumah anak yatim...
    apa yang luqman buat sampai safiy bercerai ngan Tina...
    haish...teacher nie buat orang saspen jek....

    sambungggg plissshhh...he he

    BalasPadam
  7. salam Sofi,
    hari ini memantau budak2 SPM? he he...

    perempuan akan jadi lembut bila fikirkan anak..
    tanpa memikirkan hati yang pernah disakiti oleh
    ex-suami; kali ini biarkan Tina dgn. pendiriannya
    zaman sedih dia telah lama malap, biarkan dia gembira
    dgn. Lukman; niat Luk tu baik cuma caranya silap sikit..
    dia tak fikirkan apa yang ada di hati Tina;
    dan biarkan Safiy belajar dgn. kesilapan yang pernah dibuatnya... barulah fair n square...

    Ija

    BalasPadam
  8. @seed169 alahai..sesekali bergurau ngn buah hati kan...

    BalasPadam
  9. @mimsambung? nntlah dulu hehe...

    BalasPadam
  10. @Anonymoustapi, susah juga hendak memilih antara bekas kesayangan dan kesayangan baru...

    BalasPadam
  11. qistina xboleh balik kat safiy. xboleh xboleh xboleh OK!!!

    BalasPadam
  12. alaaaa....tak mau lah. apa kata cikgu sofi kawenkan qistina ngan luqman he he....

    BalasPadam
  13. ialah kak sofi...kalau blh jgnlah jodoh blik qis ngan safiy..biarlah ada jodoh ngan luqman..kecianlah luqman kak sofi...plslah ye...

    BalasPadam
  14. sa'friknp bukan safiy, lak? hehe... kesian dia, ramai yg benci..

    BalasPadam
  15. ;)) sy suke safiy....ekekeke :)) :)) :))

    sy nk qis ngn safiy...
    luqman hny nk ambk ksmptn dlm kesempitan....=)) =))
    kesian kt luqman..

    BalasPadam
  16. juRa, alamak...tak sangka ada gak yg sokong safiy hehe...

    BalasPadam
  17. safiy n lokman tu adik beradik... hohoho...

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.