Langkau ke kandungan utama

CERPEN: DILEMA




1


"Kamu dah gila, Ani? Dah buang tabiat? Duduk tak duduk nak mintak cerai? Tak takut masuk neraka? Kamu dah lupa ke, isteri yang minta cerai daripada suaminya tanpa sebab, dah gegarkan tiang Arasy. Lupa?"


Wajah emakku yang berumur 65 tahun itu kutatap. Wajah merahnya menggambarkan kemarahan yang bukan sedikit kepada diriku ini. Dia mengherdikku tanpa mempedulikan sama sekali perasaan malu yang sedang kurasa. Rasa pijar mukaku ini bila adik-adikku yang seramai tiga orang itu kini diam dan memandang wajahku, penuh keliru. 


Siapakah yang tidak kehairanan mendengar aku hendak minta cerai daripada Amir? Selama ini, rumah tangga kami cukup bahagia. Selama ini, selama 21 tahun berkongsi kasih, tidak siapa pernah melihatku menangis atau marah atau berkelahi dengan suamiku itu. Selama perkahwinan kami, tidak pernah ada ruang pertengkaran untuk dilihat oleh sesiapa. Jadi, kenapa sekarang, selepas 21 tahun, selepas anak-anak sudah besar, selepas aku memiliki segala-gala, aku ingin meninggalkannya? Kenapa aku ingin meninggalkan lelaki yang menikahiku atas dasar saling mencinta? Mengapa?


Memang kami bahagia, tapi itu dulu. Lama dulu! Pada waktu cintaku yang buta mengaburi semua kekurangannya. Kala cintaku yang tuli tidak mahu mendengar kata dan tuduhan. Saat aku hanya merasa nikmat berumah tangga dan mengenepikan semua kesilapan besar yang dilakukannya, dengan menganggap semua itu perkara remeh temeh saja.


Kini, aku tidak mampu lagi hendak bertahan. Cukuplah 21 tahun kuberikan kepadanya. Kerana dia tidak pernah peduli pada teguranku, kerana dia tidak pernah mengendahkan rungutanku, kerana dia tidak pernah mempedulikan amarah serta rajukku.... 


Cukuplah! Aku tak tahan lagi! Betul-betul sudah tidak mampu meladeni kerenahnya!!


"Kenapa nak bercerai, kak long?" angah Aisyah bertanya.


Aku renung wajahnya. Aku geleng. Rahsia tidak mungkin kubuka. 


"Kalau tak ada sebab, buat apa nak bercerai?" alang Amri menengkingku garang. Dia tentu sahaja tidak akan menyokongku kerana dia dengan Amir bagaikan isi dengan kuku. Mereka terlalu akrab. Aku yakin, saat ini, meluap-luap kemarahannya kepada kakaknya ini. Pasti dia sedang mencari pelbagai alasan untuk meletakkan semua kesalahan di atas pundakku. 


"Apa yang tak cukup lagi, Ani? Rumah besar! Banglo lagi! Kereta mewah dua tiga buah dah Amir beli untuk korang. Duit mewah. Dan, jangan nak cakap yang kamu kurang kasih sayang sebab dari apa yang mak nampak, Amir tu dari mula kahwin sampai sekarang, cakapnya lembut. Dah tu, dia sayang sangat pada kamu. Pada anak-anak!"


"Entahnya, kak long ni? Dah dapat suami mithali macam abang long tu pun, masih nak bercerai. Saja aje tak reti bersyukur! Kalau dapat yang kaki pukul ke? Yang panas baran, asyik menengking ke? Hah, baru tahu!" gumam adik bongsuku, Amira. 


Kan dah cakap? Semua orang tidak akan menyebelahiku. Bercerai dengan Amir bererti, akulah yang bersalah. Meninggalkan Amir bererti, akulah yang tidak tahu bersyukur. Tuhan, kalau aku punya pilihan, aku pasti akan terus bersabar. Kalau aku punya pilihan, aku ingin putarkan masa ke zaman remajaku agar kali ini, aku tidak terpedaya dengan janji manisnya. Agar aku tidak terpesona pada redup renungannya. Agar aku tidak jatuh cinta kepadanya!


"Kenapa sekarang, kak long? Kenapa selepas 21 tahun? Kesalahan apa yang besar sangat yang dah abang long buat sampai tergamak kak long nak pisahkan anak-anak kak long yang bertiga tu daripada papa mereka?" 


Wajah Amri yang bertanya, kutatapi. Silih berganti dengan wajah murung emak, wajah adik-adik perempuanku yang masih kabur.


Seperti tadi, bila alasan yang mereka pinta, aku jadi kelu. Aku terdiam. Kalau ikutkan kata hati, memang, memang ingin aku luahkan semuanya. Biar mereka tahu apa yang sudah Amir lakukan kepada diriku. Tapi, 


Ya, tapi, selagi dia masih suamiku, aku tidak mahu membuka pekung di dada. Biarlah kupendam segala duka ini.... sendirian. Biarlah hanya aku dan Amir yang tahu sebabnya. 


Kerana aku yang inginkan perpisahan, aku sudah bersedia menghadapi segala kebencian dari kiri, kanan, hadapan, belakang, mahupun dari atas dan bawah. Dari penjuru manapun, aku redha! 


Tapi, aku tidak rela untuk terus bersama dengannya. Perbuatannya benar-benar telah meremukkan hatiku. Setiap perkataan yang terlafaz, masih kuingat. Semua yang terkumpul sejak lama....


Aku bangkit untuk masuk ke dalam bilik. Rumah ibuku ini besar amat. Dan, bagi setiap orang anaknya, memang ada bilik istimewa masing-masing dari kecil sehinggalah kini, walaupun sudah beranak-pinak. 


Aku ingin ke situ. Aku ingin menyembunyikan diriku daripada mereka yang begitu kepingin mengetahui sebab dan alasan yang tidak mahu aku berikan. 


Tiba-tiba, aku rasa menyesal pula kerana meluahkan hasratku pada emak. Arghh, kenapalah mulutku ini harus memberitahu mereka? Bukankah lebih baik kalau semuanya kupendamkan sendiri dahulu? Ataupun, mereka hanya tahu setelah hubungan terlerai? 
................


2


Amir merenung muka jam. Dia mengeluh bila mendapati bahawa sekarang sudah pukul 12.30 tengah malam. Sudah terlalu lewat! 


"Papa, mama ke mana?" Anak sulungnya, Asyraf, bertanya. Lelaki muda berusia 20 tahun itu merupakan seorang pelajar tahun dua di UKM. Kini dia sedang duduk bertentangan dengan ayahnya, di ruang tamu. Ada perkara yang ingin diketahuinya. 


"Papa dengan mama ada masalah, ya? Kelahi?"


Amir merenung tajam seraut wajah yang mirip wajah isterinya itu. Asyraf banyak mewarisi sikap dan kelembutan Ulfah Tihani. Memandangnya membuat hati segera teringat kepada isteri yang sedang merajuk hati dengannya. 


"Perkara kecik aje, Asyraf. Tak payahlah kamu risau."


Asyraf tersenyum sinis sambil menggelengkan kepalanya. "Iya ke, papa? Pa, saya kenal mama tu. Kalau kecil dan remeh temeh saja, kemarahannya tak akan parah macam ni. Dia tak akan merajuk dengan papa sampai tak balik ke rumah."


Amir terkedu mendengar kata-kata anak sulungnya. Terkebil-kebil sepasang mata memandang wajah tampan itu. Asyraf kelihatan tenang namun mengapakah dia dapat mengesan kemarahan dalam alun suara yang terlontar?


"Papa dah guris hati mama dan kali ini apa yang papa buat dah melampau...."


"What the...."


Asyraf segera memintas, "Encik Faiz, peguam papa, telefon mama minggu lepas. Dia beritahu mama yang papa dah gadaikan rumah ni. Tu, mama masih boleh terima sebab bisnes papa sejak dua menjak ni memang dia tahu.... sedang gawat. Tapi, bila perkara sebenar terserlah, mama cukup sedih."


"Perkara apa pulak ni? Kamu ni kan, sama aje dengan mama kamu tu. Suka cakap tak habis. Suka tuduh-tuduh."


Asyraf ketawa mendengar bentakan ayahnya. "Mama tak pernah tuduh papa apa-apa pun, pa. Sebab, dia sendiri dah nampak. Bukan dia saja yang nampak malah Asyraf dengan Diana pun nampak juga."


"Nampak apa?"


"Nampak papa dengan mak cik Wardah. Perempuan yang sering ke luar negeri dengan papa, yang selama ini kami semua anggap cuma PA papa, rupa-rupanya dia madu mama, mak tiri saya, Diana dan Aman. Perempuan yang selama ni nampak ikhlas berkawan dengan mama, rupa-rupanya dah tiga tahun jadi duri dalam daging. Papa khianati mama, dia tikam mama daripada belakang. Kalau saya pun sakit hati, kalau Diana pun mengamuk tak ingat dunia, cuba papa bayangkan perasaan mama? You betrayed her!"


Amir bingkas bangun. "Jaga mulut kamu, Asyraf! Ni, kamu tengah bercakap dengan siapa ni?" herdiknya. 


"Tahu! Saya sedang cakap dengan papa. Pa, mungkin sekarang ni papa sayang sangat pada mak cik Wardah dan kasih sayang tu jauh lebih banyak daripada yang papa untukkan pada mama. Tapi, mestikah papa gadaikan segala harta sepencarian papa dengan mama lepas tu papa gunakan duit tu, bagi pada mak cik Wardah? Mak cik Wardah tu mungkin istimewa sangat pada papa sekarang, tapi, mama was with you all the way, pa. Masa papa susah, sampai dah senang sikit, dia tak pernah lokek bantu papa. Bukan sikit yang dia korbankan. Tau-tau, papa lupa semua jasa mama. Semua yang sepatutnya papa kongsi dengan mama, sekarang papa kongsi dengan Mak Cik Wardah. Papa..."


"Kalau mama kamu tak puas hati, dia sepatutnya tanya papa. Bincang dengan papa. Ni tidak! Dia tak balik rumah. Dia dah dikira berdosa..."


"Jangan cakap macam tu, papa!"


"Papa tak halau dia, okey! Papa tak tahu pun yang dia tahu tentang Wardah, tentang rumah ni... tapi, itu bukan penting!"


Asyraf geleng kepala lagi. "Tak penting?"


"Tak!!" jerit Amir. "Papa kahwin dengan Wardah sebab nak elak maksiat bila kami selalu berdua-duaan di luar negara. Kahwin lain tak bermakna papa abaikan tanggungjawab pada keluarga papa. Ni, papa nak tanya kamu. Selama tiga tahun papa dengan Wardah kahwin, ada pernah papa tak bagi korang duit? Malah tiap tahun kita pergi ke luar negara. Tentang gadaian rumah ni, papa terpaksa. Nanti papa bayar balik semuanya! Yang mama kamu nak emo sangat tu, kenapa?"


"Sebab abang kata saya perempuan bodoh. Sebab abang kata, saya terlalu bergantung pada abang, sampai saya tak berani nak berdikari. Sebab abang kata, saya sepatutnya terus butakan mata saya macam masa saya muda-muda dulu. Sebab abang kata, kalau dulu saya telan aje semua perbuatan buruk abang, kenapa sekarang ni saya nak tunjuk alim, cuba menyekat semuanya. Dan, bila abang cakap saya tak layak menjadi isteri abang lagi, saya faham yang saya harus mintak cerai dari abang."


"Mama?"


"Ulfah Tihani?"


Suara anak beranak itu melengking kuat. 


Asyraf mendekati ibunya. "Bercerai tak dapat selesaikan masalah, mama." pujuk si anak. 


"Tahu, tapi sekurang-kurangnya perceraian meringankan seksa batin mama yang bodoh ni." rajuk si ibu. 


Amir mendekat. "Abang tak maksudkan semua yang abang cakap malam tu. Sumpah! Segala sumpah seranah, maki hamun tu, tak disengajakan! Ani patut dah kenal abang! Dah 21 tahun kita kahwin, yang..."


"Lama kan 21 tahun tu? Tapi, abang tetap tak kenal saya. Saya kahwin dengan abang sebab saya cintakan abang. Tapi, abang tak mahu hargainya. Abang cakap pada saya yang dia lebih pandai melayan abang sebagai seorang isteri. Abang cakap, abang dah tak gembira dengan saya. Abang cakap, saya dengan rasa cinta kasih sayang saya ni, boleh buang ke longkang saja. Abang..."


"Berapa kali abang nak cakap yang semua tu abang sebut masa sedang marah? Takkan itupun sayang nak ambil hati, kut?" Amir merayu. 


Pandangan sayu terpanah pada wajah suami. Hati mengeluh penuh hiba. 


"Mudahnya, kan? Masa marah, abang boleh cakap apa saja? Well, sekarang ni, saya pulak tengah marah. Dan, sebab marah, saya harap sangat abang lepaskan saya. Boleh?"


"Never!"


"Suka hati abanglah. Tapi, saya nekad!"


"Mama, mama nak pergi mana tu?" Asyraf cuba menahan ibunya daripada keluar.


"Lepaskan tangan mama, Asyraf. Mama nak pergi. Biar mama pergi! Mama..."


"Ulfah Tihani, kalau kau teruskan melangkah, jatuh talak kau nanti!" ugut Amir. 


"Alhamdulillah...." bisik hati kecil si isteri. 


Bersama kedegilan, dia berlalu. Bersama kelukaan, dia pergi. Suara yang memanggil tidak lagi dipeduli. 


"Berdosa kamu, Ani! Berdosa besar seorang isteri yang meminta suami menceraikannya!" 


Masih terngiang-ngiang kata-kata ibunya saat dia melangkah. Ya, jelas benar peringatan itu menghinggapi telinga. Benarkah? Benarkah dia berdosa?
....................................


3


"Kakak tinggalkan rumah macam tu aje?"


"Dia marah sangat pada abang."


"Tahu pun! Kalau Su, tentu Su marah jugak. Abang nasib baik sebab kak Ani tak mengamuk, baling pinggan mangkuk ke muka abang yang hensem tu, tahu! Kalau Su laa... rasa-rasanya dah selamat abang dengan si Wardah abang tu masuk ICU dah!"


Dalam keresahan memikirkan di mana mamanya menghilang, Asyraf tergelak kecil mendengar kata-kata mak su Suraya, satu-satunya adik papa. Mak su memang terkenal garang, dan kini papa sedang diamuknya. 


"Abang ni dari muda sampailah dah tua macam ni, masih nak menyusahkan hidup kak Ani. Apa yang kak Ani tak buat untuk abang, cuba abang cakap? Banyak yang dia korbankan. Duit, masa, kerjaya.... semua tu untuk siapa? Untuk abanglah! Hah, bila dah kaya raya, mulalah abang lupa. Perempuan yang selama ini bersusah payah dengan abang, abang campak ke tepi. Abang kutuk dia, kata dia macam-macam! Abang...."


"Dia datang sini mengadu dengan kamu, ya?" tuduh Amir.


Bulat sepasang mata Suraya membalas renungan garang abangnya. Dia kemudian menggeleng. 


"Rupa-rupanya, abang masih lagi tak kenal bini abang tu. Nama aje kahwin dah 21 tahun, tapi, sikap dia pun abang tak tahu! Shame on you!"


Amir terpanar. Rasa terpukul mendengar sindiran tajam Suraya terhadapnya. 


"Aisyah telefon tanya Su semalam. Dia nak tahu kenapa kakaknya beria-ia benar nak mintak cerai dari abang. Su telefon rumah abang, ingat nak cakap dengan kak Ani. Rupa-rupanya dia dah keluar rumah. Mujur ada anak sulung abang ni. Asyraf yang dedahkan rahsia tu semua. Bukan kak Ani, bang."


Amir meraup muka. Dia bingung memikirkan isterinya. Dia resah memikirkan tindakan Ulfah Tihani. Pergi tanpa pesan. Hilang tanpa berita. Kini, dia gundah memiikirkan keselamatan wanita itu. Sudah dua hari tidak dapat dijejaki mengundang kerisauan bermukim. 


"Abang fikir apa?"


"Fikirkan kak Ani kamu lah! Risaukan dia! Dia kan bini abang?"


"Talak dah jatuh masa dia melangkah keluar hari tu, bang!"


"Tak! Abang tak sengaja! Abang tak ada niat pun nak ceraikan Ani. Tak!" nafi Amir. 


Asyraf menggelengkan kepala. Geram dengan sikap tidak bertanggung jawab papanya. 


"Memang betul cakap mama. Papa ni kalau marah, cakap ikut suka mulut papa aje! Sampai talak pun papa buat main-main! Pa, saya dengar papa lafazkan talak tu! Saya..."


"Papa tarik balik. Tak jadi! Papa tak akan ceraikan mama. Dia isteri papa. Papa sayang dia!"


Suraya merenung tajam wajah abangnya. Kalau lelaki ini sebenarnya budak kecil, mahu dilepuknya saja! Geram betul dia dengan sikap dan kata-kata Amir. 


"Betul ke ni?" 


"Su, jangan nak perli-perli abang, ya! Ulfah Tihani tu cinta pertama abang. Gadis pertama yang berjaya miliki hati ini. Dia kekasih abang. Ibu kepada anak-anak abang. Dia tak pernah jauh dalam susah, dalam senang, dalam sakit abang! Dia..."


Suraya mencelah, "Kalau dia baik sangat, kenapa abang buat dia macam ni? Kenapa tak hargai dia? Kenapa biarkan dia pergi macam tu aje?"


"Entahlah... mungkin abang dah gila agaknya!" 


Setelah agak lama, itu yang diucapkan oleh Amir. Mengundang gelengan serentak adik dan anaknya Asyraf.


"Kalau betul masih sayang, pergilah cari dia! Bawak dia balik ke rumah. Mintak maaf semua kesalahan. Kalau sekadar cakap kosong begini, siapapun boleh!" cabar Suraya kepada Amir. 


Amir bingkas bangun. Menonong dia berjalan menuju ke luar. 


"Jangan balik selagi abang tak jumpa kak Ani, tau!" jerit Suraya. 


Amir berpaling. Ditatapnya wajah adik perempuan dan anak sulung silih berganti. Dia kemudian mengangguk laju sebelum berlalu.


Di sebalik langsir di tingkat atas, seorang wanita menitiskan air mata sambil memerhati lelaki itu memasuki kereta dan berlalu pergi. Sedikit sebanyak, hati terusik bila mendengar setiap patah kata yang terluah dari bibir lelaki itu. Sedikit sebanyak, rasa bersalah mengiringi pemergian Amir yang pasti tidak akan menemui dirinya di luar sana. 


Akan berputus asakah mencari? Akan dibiarkankah menghilang? Akan melarakah jiwa dengan 'kehilangannya'?


"Kak Ani duduk diam-diam kat atas bila abang datang nanti. Tapi, Su nak kak Ani dengar tiap butir yang keluar daripada mulut abang. Su nak kak Ani tahu yang dalam hidup abang, dalam sedar atau tidak, kak Anilah keutamaannya. Su nak kak Ani dengar sendiri, keluh kesahnya bila kak Ani tak ada. Su nak kak Ani yakin pada abang, yakin bahawa hidup abang akan kucar kacir bila penyeri hidupnya selama 21 tahun ini terlalu marah dan membawa diri serta hilang daripada pandangannya. Percayalah, meskipun dia tak mahu mengaku, cintanya pada kak Ani, sayangnya, tak mungkin pudar walau pun dia dah ada Wardah!"


..................


4


Aku tatap wajahnya. Memang ku akui dia sangat cantik orangnya. Putih melepak kulitnya, hidung mancung, rambut ikal. Patutlah ada orang tu sampai curi-curi kahwin dengan dia. 


Haiii laaa, kenapa aku datang ke sini? Kenapa aku mahu jumpa dengannya sedangkan dia ni... 


Apa hendak dikata, aku sudah nekad menerima pelawaannya. Katanya, dia ingin belanja aku makan tengah hari di Hotel Concorde ini. Dia paksa aku datang, jadi di sinilah aku hari ini. Duduk berhadapan dengan Wardah Imran, isteri kedua suamiku. Maduku!


"Kami bahagia selama ni tapi kakak musnahkan kebahagiaan saya dalam sekelip mata. Tiga tahun lamanya perkahwinan saya dengan abang jadi rahsia, tapi bila ia terbongkar, saya hilang segala-gala. Hilang suami, hilang kemewahan, hilang kasih sayang! Semua kerana sikap tamak kakak! Kakak faham tak ni?"


Aku mengerutkan dahi. Wajahnya yang tiba-tiba bertukar sedih, aku tatap. Aku tidak mengerti bila melihat air mata tiba-tiba mengalir deras, menuruni pipinya. Aku semakin tidak faham bila dia menghulurkan telefon bimbitnya kepadaku. Kucapai dan mesej yang terpamer di skrin kubaca.


"Maafkan saya, Wardah. Saya mengambil masa semalaman untuk memikirkan perkara ini. Mulanya saya bingung. Tapi sejujurnya, keputusan ini saya buat demi kebahagiaan semua orang. Wardah, saya rela ceraikan awak tapi saya tak sanggup kehilangan Ulfah Tihani. Marahlah saya, bencilah saya! Tapi itu keputusan yang saya dah buat. Saya nak tebus dosa saya pada Ani. Nanti, awak datang ke ofis peguam saya, kita selesaikan di sana."


Aku menggelengkan kepala. Sakit hatiku belum surut padanya dan kini, semakinlah geram dan ingin rasanya aku....entahlah! 


Kedudukan seorang wanita di dalam Islam amatlah tinggi darjatnya namun, Amir meletakkan aku, isteri tuanya dan Wardah, isteri barunya di tapak kaki. Begitu mudah dia menendang bila dia membenci. Lafaz talak dan cerai bagaikan permainan di bibir. Aduhaii....


"Kakak yang paksa dia ceraikan saya, ya?" 


Sudah kujangka, Wardah pasti menuduh aku campur tangan dalam urusan rumah tangga mereka berdua. Dasar! Kenapa dalam hidup bermadu, isteri saling menyalahkan di antara satu sama lain? Tidakkah pernah terlintas di ruang fikir bahawa suami akan cuba mencari pelbagai alasan, mengikhtiarkan pelbagai cara, bila dirinya tersepit? Haisy!!


"Kenapa kakak sanggup musnahkan rumah tangga kami? Dahlah kakak tak pandai jaga laki, sekarang, dah jelas sangat dah yang hati kakak ni busuk. Dengki! Sanggup merentap kebahagiaan suami sendiri demi harta."


Ini sudah lebih!


"Wardah, saya ke yang pegang talak awak? Bukan, kan? Yang ceraikan awak, Wardah, ialah suami kesayangan awak tu, Encik Amir Ridzuan bin Abdul Haris. Saya tak tahu menahu dan tak mahu tahu! Masalah awak dengan dia, selesaikanlah dengan dia. Yang sesedap rasa awak menuduh saya ni, apasal? Awak ada bukti yang kukuh untuk ditunjukkan pada semua orang bahawa saya yang memaksa dia ceraikan awak? Ada?" 


Kujegil dia sehingga dia menundukkan wajah. Hah, tahu takut! Ewah, ewah! Baru tiga tahun rampas suami orang, dah besar kepala. Cakap aku tak pandai jaga laki konon! Huh! Memang kau cari penyakit ajak aku lunch sama, wahai perempuan! 


"Dengar sini, Wardah. Selama ni saya cukup hormat dengan awak. Selama ni saya anggap awak macam adik. Soal jodoh awak dengan Amir, saya tak campur. Marah? Beritahu saya, kalau awak di tempat saya, awak marah tak? Wardah, mulut tu, tolong jaga sikit, ya!! Jangan senang-senang menuduh saya tak pandai jaga Amir. Dia kahwin dengan awak tapi itu sikitpun tak memberi awak hak untuk mengutuk, menghina saya. Belajarlah menghormati hak orang, supaya nanti, hak awak juga tidak dirampas!"


"Kakak!"


Aku lihat dia bagaikan ingin merayuku.


"Tolong suruh abang ambil saya semula. Tolonglah, kak! Saya tak sanggup berpisah dengan dia."


Memang perempuan ni tak tahu malu betullah, hatiku berbisik. Tapi, kasihan pula rasanya melihat dia yang terlalu berharap. Ah, sudah! Antara aku dan Amir pun masih lintang pukang, sekarang, perempuan ini ingin kekal menjadi maduku. Huhu! 


......................


5


"Kenapa nak berpisah?"


Soalan ustazah Kamilia buat aku tersentak. Suraya juga kulihat sedikit terkejut mendengar pertanyaan tegas itu. Kami berdua sengaja tidak mahu pulang selepas kelas fardhu ain tadi kerana aku ingin bertanyakan pendapat ustazah tentang hasratku untuk meninggalkan Amir.


Aku dan Suraya saling pandang memandang. Rasanya, baru sekejap tadi aku meluahkan ketidak puasan hatiku terhadap suami, buat pertama kali, kepada ustazah ini. Ya, buat julung kalinya, aku terpaksa meluahkan apa yang kurasa, kepada orang lain kerana aku sudah tidak mampu membendung rasa yang sudah bercampur baur dalam diri ini. Antara marah dan sayang, Antara benci dan rindu, antara sakit hati dan kasihan. 


Apakah luahanku tidak difahaminya? Tidak didengari?


"Ustazah dengar semuanya cuma ustazah tak faham mengapa selepas 21 tahun kak Ani bertahan hidup bersama-samanya, setelah bersusah-payah meniti hari selama ini, kak Ani memilih untuk berpisah?" 


Soalan ustazah itu buat aku terkesima. Lama masa yang kuambil untuk menjawab, "Mungkin tahap kesabaran saya dah habis kut!"


Ustazah Kamilia ketawa. 


Berderau darahku, rasa sakit hatilah pulak bila digelakkan begitu. 


"Maaf, kak. Ustazah tak sepatutnya ketawa, kan? Tapi.... okey, gini! Umur kita ni kak, semakin lama semakin hampir ke sana. Baik kak Ani atau suami kak Ani, tak kan tahu bilakah masa ajal datang menjemput. Jadi, dalam masa yang tinggal sedikit lagi ni, kenapakah memikirkan perkara-perkara yang melukakan?"


Aku tersentak. Masih kabur untuk ku memahami kata-katanya itu. 


"Kalau selama 21 tahun, akak pejamkan mata dengan segala kerenahnya, akak bertahan dengan segala sikap buruknya, kenapa dalam sisa-sisa hidup yang sedikit, kak Ani tidak mampu bersabar? Apakah yang mengubah kesabaran menjadi rungutan? Apakah yang mengubah redha?"


Aku terdiam. Memang benar, mengapakah baru sekarang aku tidak tahan sedangkan sikap buruk Amir memang sejak dulu lagi kuketahui? Kuhadapi? 


"Sayang, kak! Sayang merobohkan istana yang dibina bertahun-tahun! Membazir rasanya segala penat lelah, segala titis peluh dan keringat, segala kasih sayang," 


Ustazah Kamilia berjeda, melatari wajahku dalam pandangannya yang lembut itu. 


"Merobohkan memang senang, tapi mahukah akak membuang semua kenangan pahit manis yang dah dirasa?"


Aduh, emo jadinya aku. Soalan-soalan itu buat aku menangis kerana sesungguhnya, aku tidak mahu melakukannya. Memang benar, aku sudah bertahun-tahun menyemai rasa kasih, rasa sayang, rasa cinta kepada dia, suamiku. Bersamanya, aku punya tiga orang cahaya mata. Anak-anak yang telah kami besarkan bersama-sama dengan penuh tanggungjawab. Dengan berusaha menunaikan amanah yang Allah beri. Anak-anak yang baik, yang tidak pernah langsung walau sekali, menyinggung hatiku, mahupun melukakan hati ayah mereka. 


Saat aku nekad, kiranya, aku telah melupakan mereka. Aku hanya memikirkan diriku. Aku hanya memikirkan hatiku. Bertegas dengan perasaanku. 


Bagaimana dengan mereka? Bagaimana dengan hati dan perasaan anak-anakku yang sangat menyayangi dan menghormati ayah mereka? 


Tuhan... betapa aku terlalu mementingkan diri! 


"Kak Ani, semua orang buat salah. Silapnya kita, kerana sayang, kita tidak menegurnya dari awal. Kita biarkan dia dengan kesilapannya. Kita fikir, kita mampu menghadapi tapi sampai satu masa, kita hilang akal. Kita hilang keyakinan padanya. Kita mula mencari dan bertanya, di mana hak kita sebagai seorang isteri. Kita mula rimas. Kita mula tidak tenang. Sepanjang masa, kita mahukan hak itu semula sedangkan, sebagai isteri, andai kita mampu menunaikan hak suami kita, kita sudah berada dalam keredhaanNYA. 


Kak Ani, tunaikanlah hak suami, teruskanlah berbakti kepadanya, kerana itu lebih baik daripada memulakan satu hidup baru yang tidak pasti. Kenanglah kebaikannya dan lupakan pada keburukan demi untuk mendapat ketenangan jiwa. 


Kak Ani, lupakanlah bahagia dan derita semalam kerana semua itu hanya tinggal kenangan. Hiduplah untuk hari ini dan carilah kebahagiaan. Dan, jangan lupa untuk bersedia menghadapi hari esok, meskipun ia belum tentu datang." 


"Tapi, dia khianati kasih sayang saya. Dia tipu saya. Dia,"


"Kak, bukankah dia sudah membuat pilihan? Dia pilih kakak, kan? Apa maknanya tu? 


Kak, di luar sana, ramai lagi wanita yang lebih teruk nasibnya diperlakukan oleh suami-suami mereka. Ada yang hari-hari dipukul, didera mental dan fizikal. Ada tu yang terpaksa bersengkang mata siang malam bekerja, demi membesarkan anak-anak bila suami tinggalkan mereka tanpa kata. Ada juga yang mendapat suami yang suka berpeleseran dan balik memberi penyakit kepada isteri sehingga isteri terlantar di rumah. 


Hidup adalah ujian, kak Ani. Tapi, ALLAH memilih dan menguji insan yang memang mampu diuji."


Suraya memaut bahuku. Aku memeluk pinggangnya. Aku bertuah memiliki seorang adik ipar yang amat menyayangi diriku, yang sanggup bersusah payah membela aku dan sentiasa mengharap agar aku berfikir banyak-banyak kali sebelum membuat keputusan maha besar ini. 


...............................


6


Kami beriringan keluar dari masjid. Ketika menuju ke kereta, aku lihat dia. Kali terakhir nampak dia, waktu dia meninggalkan rumah Suraya, 4 hari yang lalu. Namun dalam ruang waktu sebegitu, hatiku diruntun pilu melihat dirinya kini. 


Sungguh tidak terurus keadaannya. Bauk memenuhi muka. Rambut pun kusut masai sahaja. Sepasang mata bergelang hitam kerana tidak cukup tidur pastinya. Pakaiannya? Aduh, ingin ketawa pulak kurasakan. Berkedut-kedut! Dan, kasut? Ya ALLAH, dia pakai selipar Jepun? Hai, Amir Ridzuan dah sasau ke?


Demi melihatku, dia jadi tak keruan. Seolah-olah ingin menghampiri, tapi takut agaknya. Ewah, takut? 


Melampau aku ni! Tapi, dia merenungiku tidak berkelip-kelip. Agaknya baru menyedari bahawa walaupun sudah menjangkau 41 tahun umurku, masih lawa lagi ni! Hehehe.....


"Ulfah Tihani,"


Kenapa merdu namaku ketika meniti bibirnya? Kurenungi dirinya dalam-dalam. Saat ini, tidak ku tahu ke mana menghilangnya amarahku selama ini....


"Tolong jangan hukum abang lagi, Ani. Abang tahu, abang banyak buat salah pada Ani. Tapi, abang rayu Ani! Tolong, tolong jangan minta perpisahan. Abang tak sanggup!"


Bila aku diam, anak-anakku mula memainkan peranan mereka. 


"Mama, papa needs you and so do we. Rumah kita tak lengkap jika salah seorang daripada kita tak ada, ma!" 


Anakku, Linda, satu-satunya anak perempuan kami, bersuara. Ni, mesti Asyraf punya kerja. Tentu dia yang telah pergi ke asrama dan membawa adik-adiknya pulang, demi memujukku. 


Aman, anak bongsuku yang berusia 15 tahun, bakal menduduki PMR tahun ini. Dia terus meluru memeluk tubuhku, mendakapku erat. 


"Sampai hati mama? Kalau mama dengan papa berpisah, Aman nak duduk mana? Mama suka agaknya kami gilir-gilir? Minggu ni kat rumah mama, minggu depan kat rumah papa? Mama ingat kami ni tak ada nyawa? Tak tahu penat? Mama, Aman tak mahu mama tinggalkan papa. Tolonglah, mama! Kesian Aman, ma! Aman sayang mama! Aman sayang papa!" 


Kubalas dakapannya dalam linangan air mata. 


Saat ini aku sedar yang aku tidak akan lagi membuat keputusan tanpa berfikir. Saat ini aku berjanji, apa pun yang terjadi, aku tidak akan hanya memikirkan diriku. Biarlah aku jadi lilin, terbakar dan kepanasan sendiri asalkan bahangku menghangatkan dan sinarku memberi cahaya kepada anak-anak. 


Wardah? 


Aku yakin, dia tidak menyesal lagi. Tentu banyak ganjaran yang Amir tawarkan untuk melepaskannya. Tidak mengapalah! Ambillah! Kerana kini aku meyakini bahawa di antara harta dan keluarga, aku tidak perlu berfikir panjang untuk memilih. Dan, tentu Amir juga seperti aku. Family first! Kan?


..................


inspirasi cerpen ringkas ini datang dari pembacaan ini. terima kasih ustaz, atas satu artikel yang berjaya membuat aku berfikir dan berfikir. 


hidup tidak lama. hargailah apa yang ada padamu saat ini dan jangan dikejar yang tak pasti.


dan, kepada anda yang membaca, thanx. tanpa anda siapalah penulis, kan? boleh tolong komen? :)


sofi.

Ulasan

  1. sede nye..
    besarnye pengorbanan seorng isteri n ibu..

    BalasPadam
  2. assalam...kak sofi sy nk minta izin dgn akak untuk send kt email sy cerpen bertajuk ''DILEMA....ada kene mengene skit citer ni dgn hidup sy...cuam sy br 3thn berkahwin...
    sekian...

    BalasPadam
  3. @Anonymous kak sofi bersimpati dengan anda. ambillah... anda boleh copy ke word terus. caranya, tekan serentak CTRL dgn C. oh ya, kalau inginkan doa dan berbagai perkara berkaitan hubungan suami isteri, sila ke blog encik suami. bacalah dan amalkan yang mana bersesuaian. tabahkanlah hati, ya!

    BalasPadam
  4. nak tanya nih...

    bila masa diorang nih rujuk semula...
    kan laki dia dah lafazkan talak kepada is3 pertama...

    ~w.t~

    BalasPadam
  5. Terima kasih untuk penjelasan cikgu pada pertanyaan saya yang sebelum ini...

    tapi dalam kontek citer nih, pada pendapat sayalah...
    jika cikgu x nak panjangkan citer dengan kisah turun naik mahkamah...
    boleh jer buat summary pasal kes lafaz talak dan rujuk akhirnya dah selesai kat mahkamah...
    jadi tiadalah yang boleh dipersoalkan lagi pasal nih...
    tambah2 lagi dalam citer nih ada plak suami tuh buat ayat yang dia tarik balik lafaz talak, x ada niat dan mcm2 alasan lagi...
    supaya pembaca2 tak keliru dan ambil mudah akan hal nih...

    sebabnya dari awal mula saya baca sampai akhir, mmg x nampak diceritakan kes nih dibawa ke mahkamah untuk pengesahan lafaz talak tuh...
    kes nikah - cerai - rujuk nih pihak berwajib perlu tau kan, untuk rekod dan pengesahan supaya institusi kekeluargaan islam terpelihara...

    ~w.t~

    BalasPadam
    Balasan
    1. terima kasih atas teguran, pendapat dan semua cadangan. ia amat-amat kak sofi hargai.

      Padam
  6. si ustazah 2 pndainya cakap....kna btahan....islm sndiri x kejam....buat apa nk hdup brsama kalau ah x suka??? penceriaan dibenci...tp bkan haram...sebab 2 ada beberapa faktor wnita boleh mntak cerai...

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…