Langkau ke kandungan utama

Bencikan Mentua? Uisy???


Assalamualaikum..... 

Perkahwinan menemukan kisah dua hati, mencintai, menyayangi dalam satu hubungan yang halal. Perkahwinan membentuk ikatan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan. Tetapi, jika itulah sahaja yang berlegar dalam kepala anda, anda silap! 

Perkahwinan juga menemukan dua keluarga, keluarga suami dengan keluarga isteri. Sebaik saksi berkata sah, maka suami sudah mendapat ibubapa tambahan iaitu ibubapa isterinya dan vice versa....

Tapi, bagaimanakah kalau keadaan seperti di bawah ini berlaku?
SAYA tersinggung dan terasa hati dengan bapa mentua kerana dia pernah menghina serta pernah memberitahu bencikan saya. Dia juga pernah meminta saya menceraikan anaknya. 
Hubungan antara menantu dengan mentua memang kerap berantakan. Ini ialah kenyataan. Amat sukar untuk menyesuaikan diri. Amat sukar untuk menjaga hati. Amat sukar untuk mengawal kemarahan jika sikap mentua / menantu amat menjengkelkan!

Siapakah mentua? Bolehkah seseorang berkahwin dengan bekas ibu mertua atau bekas bapa mentua? Bolehkah menantu bersalaman dengan ibu bapa mentua? Apakah batas aurat di antara isteri dan ayah mentua atau di antara suami dengan ibu mentua? Baca lagi...

1. Hukum berkahwin dengan bekas mentua adalah haram. Anak menantu diharamkan berkahwin dengan bekas ibu mertua atau bapa mertua kerana status mereka adalah seperti ibu dan bapa sendiri.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’ ayat ke-23, yang bermaksud, “Diharamkan atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu; anak-anakmu yang perempuan; saudara-saudaramu yang perempuan, saudara-saudara bapakmu yang perempuan; saudara-saudara ibumu yang perempuan; anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang laki-laki; anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang perempuan; ibu-ibumu yang menyusui kamu; saudara perempuan sepersusuan; ibu-ibu isterimu (mertua); anak-anak isterimu yang dalam pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu campuri, tetapi jika kamu belum campur dengan isterimu itu (dan sudah kamu ceraikan), maka tidak berdosa kamu mengawininya; (dan diharamkan bagimu) isteri-isteri anak kandungmu (menantu); dan menghimpunkan (dalam perkahwinan) dua perempuan yang bersaudara, kecuali yang telah terjadi pada masa lampau; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” 
(Surah an-Nisaa’ 04: 23)
Berdasarkan ayat ini :

1. Anak menantu bersalaman dengan ibu bapa mertua tidak membatalkan air sembahyang. 
- Ini kerana ibu bapa mertua telah menjadi mahram muabbad (mahram selama-lamanya iaitu tidak batal wudhu' dan haram berkahwin antara anak dan ibu tiri tersebut selama-lamanya) atas sebab perkahwinan anaknya. Oleh itu, sekiranya berlaku perceraian sekalipun, bekas menantu perempuan tersebut TIDAK BOLEH bernikah dengan bapa mertuanya, bahkan ia boleh bersalaman dengan bekas bapa mertua tersebut.

2. Bapa mertua sama taraf dengan bapa sendiri. 
- Oleh itu, aurat menantu perempuan dengan bapa mertua adalah sama seperti auratnya dengan mahramnya iaitu bapanya sendiri atau adik-beradik lelaki yang lain. Auratnya terbatas daripada pusat hingga ke lutut. Ini bererti menantu perempuan boleh (harus) membuka rambutnya di hadapan bapa mertuanya.

Jika ayah mentua dan ibu mentua sudah seperti ibu bapa sendiri, maka menantu, baik lelaki mahupun perempuan haruslah berusaha menjaga hati mereka. Hmm, mesti ada yang sudah tarik muka dan berkata....
Menantu yang kena berusaha? Ibu mentua? Bapa mentua? Mana aci!
Jangan begitu! Anggap sahaja, kita yang muda ni harus beralah kepada yang lebih tua. 

Dalam kehidupan berumahtangga menjaga hubungan dengan mertua menjadi antara tanggungjawab besar kepada seseorang yang sudah bergelar suami atau isteri. 

Memang benar, bagi sesetengah orang, mertua sering kali dianggap menjadi penyebab timbulnya konflik dalam rumahtangga. Bila mentua campur tangan dalam hal rumah tangga menantu, ada menantu yang rasa kecil hati dan membenci. 
Semuanya bermula dari waktu belum berkahwin lagi. Apabila bakal menantu tidak mampu menjalin hubungan yang akrab dengan bakal mertua sebelum berkahwin, maka hubungan akan terus dingin antara mereka selepas berkahwin. Hakikat yang perlu diterima seseorang sebaik sahaja selesai diijabkabul, tanggungjawab dan peranan semakin bertambah dan bukannya berkurangan. Jika dahulu hanya sebagai kekasih, tetapi kini sebagai suami atau isteri yang sah. Pasangan sebenarnya bukan hanya berkahwin dengan lelaki atau wanita yang dicintai, bahkan juga seluruh anggota keluarganya.

Tips berikut mungkin boleh digunakan untuk mengeratkan hubungan mentua-menantu

1. Kunjungi mertua
Kalau tinggal berasing, sering-seringlah mengunjungi mertua. Jenguk-jenguklah keadaan mereka.Ambil tahu tentang diri mereka 

2. Mengalah 
Mengalah bukan bererti kalah. Mengalah dalam sesuatu perkara kerana mertua umumnya sudah berusia lanjut. Mereka lebih sering menggunakan emosi daripada logik. Sesetengah mentua beranggapan anda merampas anaknya jadi berusahalah membuktikan bahawa anda bukan perampas tetapi ingin berkongsi dengannya, sama-sama mengasihi anak kesayangannya!

3. Eratkan silaturrahim
Kembangkan hubungan dengan mertua. Ajak mentua anda bersembang hal-hal yang dia suka dan minat. Sesekali bawalah dia berjalan-jalan dan cubalah melayan mentua seperti mana anda melayan ibu bapa anda sendiri. Pasti mentua rasa anda menghargai mereka.

4. Melakukan aktiviti bersama
Babitkan mertua dalam membuat keputusan yang besar tentang famili kecil anda. Misalnya, biarkan dia yang mengatur majlis aqiqah untuk anak sulung anda. pasti dia suka!

5. Lebihkan perhatian
Cari sifat baiknya, jangan difikirkan keburukan sifatnya. Kadang-kadang, suami anda mencela masakan anda yang tidak sehebat masakan ibunya. Jadi, pergilah belajar masak dengan ibunya. Suami senang hati, ibu mentua bangga kerana menantu sudi merendah diri, mencuba resepinya yang jadi kegemaran si anak. Percayalah, mentua akan sukakan anda nanti!
 
6. Elakkan kritikan
Jangan mengkritik ibu mertua di depan isteri. Walau bagaimana sekalipun perangai ibu mertua, dia tetap ibu kandung isteri anda. Ingatlah pertalian darah tidak akan hilang sampai bila-bila. Kata-kata negatif mengenai ibu kandungnya hanya akan membuat isteri semakin menjauh daripada anda.

7. Iktiraf kewujudannya
Sedarilah walaupun ibu mertua bukan sahabat tetapi cubalah selami bahawa kehadiran anda dalam kehidupan isteri sudah ‘memisahkan’ dia dengan anak yang dicintainya.

8. Banyakkan bersabar dan berdoa
Kalau semua perkara anda dah cuba tetapi sikap membenci anda masih tebal dalam diri mentua, sabar aje laa! Teruskan mengkaji diri sendiri kerana mungkin selama ini ada sikap anda memang membuatkan ibu mertua tidak berkenan walaupun bukan bererti anda harus mengubah keperibadian diri. Jika anda bersabar, selalu memberi perhatian dan bersikap positif terhadap ibu mertua, lama-kelamaan ibu mertua juga akan lembut hatinya. 
Ingatlah....
Jika mentua tak suka anda, anda pula menjauhkan diri, maka sampai bila-bilapun tak kan ada ruang komunikasi antara anda dengan mereka. 

9. Ambil hati
Ambil hati, jaga hati mentua. Yang mana perlakuannya selagi tidak bercanggah dengan Islam dan dalam batasan "Tidak mencampuri urusan peribadi anda suami isteri", patuhilah. Jika ada yang meresahkan, berterus terang dengan pasangan anda dan biarlah dia menegur mentua dengan baik dan bertindak bijak. 

Teguran haruslah dengan kata-kata bersesuaian. Kalau anaknya sendiri yang menegur, tentu si ibu mertua akan cepat memaafkan dan melupakannya. Jika anda yang menyatakannya pada ibu mertua, mungkin hubungan anda dengan dia akan menjadi suram dan kata-kata anda itu mungkin tidak dapat dilupakan.

10. Jangan lokek atau berkira
Belikan hadiah atau buah tangan untuk mentua, tanda ingatan anda terhadapnya. Tak perlu yang mahal, just a token!

Tidak dinafikan ada mentua yang benci benar pada menantu. Membuat menantu merajuk dan tak mahu balik ke rumah mentua. Wajarkah menantu memencilkan diri daripada keluarga sebelah isterinya? Atau, wajarkah menantu membalas kebencian mentua dengan menanam rasa benci dalam diri dia, kepada mentua?

Jika begitulah keadaannya, anda sedang memutuskan silaturrahim. Dan tentu anda tahu apa hukumnya memutuskan silaturrahim!

Sebenarnya banyak ayat al-Quran dan hadis yang melarang memutuskan hubungan silaturahim (ada yang menyebut silaturahmi). Antaranya adalah hadis Imam al-Bukhari daripada Jubair bin Muthim yang menyatakan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: 
Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim.
Jika berlaku perselisihan faham antara menantu-mentua, mereka hendaklah didamaikan. Allah berfirman yang bermaksud: 
“Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikan di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” 
(Surah al-Hujurat ayat 10). 

Baginda Rasulullah SAW bersabda lagi: 
“Tidak ada dosa yang lebih layak dipercepat hukumannya di dunia dan apa yang dipersiapkan Allah baginya di akhirat daripada tindakan kezaliman dan memutuskan hubungan silaturahim.” 
(Hadis riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi) 

Ingatlah, satu hari nanti anak anda akan berkahwin. Anda akan menjadi mentua. Berdasarkan hadis di atas, balasan di dunia akan anda terima. Maka, bila hari ini anda membenci mentua anda, mahukah anda dibenci oleh menantu anda suatu hari nanti? Fikirkanlah!

Menghubungkan silaturahim banyak faedahnya. Rasulullah bersabda yang bermaksud: 
“Sesiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan usianya, hendaklah dia memelihara hubungan silaturahim.” 
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). 

Kawan, 
Jadilah seorang yang pemaaf. Keterlanjuran kata-kata pedas mentua, sikapnya yang menyakitkan hati, ketidak adilan dan memilih-milih menantu....memang sukar diterima tetapi belajarlah melupakan, belajarlah memaafkan, belajarlah menerima. Berusahalah menjadi menantu yang baik, jika belum cukup baik dan teruskan menjadi menantu yang lebih baik....
insyaALLAH, satu hari, semuanya akan menjadi baik di antara anda dengan mentua.  

rujukan:


=======================================

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…