Langkau ke kandungan utama

Melur Jasmine 9

“Okey, itu saja untuk hari ni. Cerita dah tamat.”

Tiada sahutan. Tiga orang gadis merenung wajah jelita di hadapan mereka dengan riak tidak puas hati.

“Tak kan kut?” Jerit Ika. Munah dan Aya turut mengangguk.

“Apa pulak? Memang cerita aku dah habis pun! Tak kan apanya lagi?” Si jelita memandang geram kepada kawan-kawannya. Dia kemudian mengemas beg. Hujan di luar sudahpun reda jadi sudah tiba masa untuk pulang ke rumah.

“Min, cerita kau tergantunglah! Takkan berhenti sampai situ saja? Banyak lagi persoalan belum terjawab!” Ika terus membentak. Tidak mahu Jasmin menamatkan kisah yang dirasakannya belum sudah lagi.

Jasmine sengih sambil menongkat dagu di atas meja kerjanya. “Persoalan belum terjawab? Mana ada?”

Kawan-kawannya terjerit kecil. Masing-masing mencubit paha, pipi dan lengan Jasmine. Jenuh Jasmine mengelak namun semakin rancak mereka mengerjakan dirinya. Tidaklah terlalu sakit tetapi tidak mampu juga Jasmine untuk menerima asakan demi asakan. Sehingga akhirnya dia terpaksa mengalah.

“Okey! Okey! Korang ni melampau betullah! Sakit tahu tak?” Jasmine berpura-pura marah.

“Sambung cepat! Beritahu kitorang di mana hero kau tu sekarang?” laju Ika meminta.

Jasmine mendengus keras. “Dia dah kahwin,”

Bulat mata teman-temannya. “Jadi, korang kahwin jugaklah! Bila? Selepas tamat SPM ke? Gatal jugak kawan kita ni. Kan, Munah? Aya?”

“Amboi, sedapnya mulut kau tu mengata aku, Ika?”

Ika tersengih luas.

“Ada aku cakap dia kahwin dengan aku? Lagipun, kalau kami dah kahwin, takkanlah kita berempat duduk serumah dah dekat lima tahun dah. Betul, tak?”

Ketiga-tiga orang kawan Jasmine menggaru kepala. Wajah keliru bukan main namun sedikit demi sedikit, mereka mula memahami bahawa Badrul Aminudin Haziq tidak berkahwin dengan Jasmine. Tapi, kalau bukan dengan Jasmine, lelaki itu berkahwin dengan siapa? Takkanlah dia menjadi suami Melur pulak?

Seolah-olah pertanyaan itu ditujukan kepada dirinya, Jasmine terus mengangguk laju.

“Macam mana pulak Badrul dengan Melur boleh berkahwin ni?” soal Aya tidak puas hati.    

Jasmine menggelengkan kepalanya.

“Takkan dia tak cakap apa-apa pada kau?” soal Aya beria-ia.

“Tak! Dia tak cakap apa-apa pada aku.”

Itulah yang sebenarnya berlaku. Badrul memberikan harapan buatnya sebelum berlalu pergi. Katanya, dia ingin mencari Melur untuk Jasmine, untuk puan Liza. Selama seminggu, tiada apa-apa berita yang diterima oleh Jasmine daripada lelaki itu. Resahnya ALLAH saja yang tahu kerana waktu itu, SPM sudah terlalu dekat.

Akhirnya, pada hari kesembilan, Badrul sampai bersama-sama dengan Melur. Melur mendakap tubuh puan Liza erat-erat sambil meminta ampun. Kemudian Melur merapati dirinya dan menangis memohon kemaafan. Hati Jasmine diulit bahagia. Melur, adiknya yang hilang, pulang bersama kesalan. Semakin gembira kerana Melur berjanji untuk berubah dan melupakan segala-gala tentang ayah mereka. Kata Melur, dia akan merubah sikap tidak matangnya. Kata Melur, dia tidak akan melukakan hati puan Liza lagi. Kata Melur, Jasminelah kakak kesayangannya yang selama ini tidak jemu-jemu memberi nasihat dan kata-kata semangat untuk terus meningkatkan pencapaian dalam pelajaran dan hidup.

Malangnya, sejak hari itu juga, sikap Badrul terhadap Jasmine berubah 360o. Senyumnya semakin sukar dilihat. Gelak tawanya tidak lagi kedengaran. Lebih menghampakan Jasmine, setiap hari, Badrul akan bersama-sama dengan Melur, ke sana ke mari, bagaikan belangkas. Hubungan kedua-dua mereka semakin akrab. Malah, telinga Jasmine sering mendengar puji-pujian teman-teman sekolah betapa cocoknya pasangan Melur dengan Badrul. Betapa nampak jelas Badrul menyayangi Melur.

“Kau tak kecewa?”

Ketawa kecil Jasmine menyambut soalan Munah.

“Kecewalah jugak! Tapi aku keliru sampai hari ini. Bayangkanlah.., dia cakap dia suka aku tapi dia tak langsung pedulikan aku lepas dia jumpa Melur.”

“Kau tak pernah tanya dia kenapa dia tak endahkan kau? Tak pedulikan kau? Lupakan semua apa yang dia dah cakap pada kau?” Munah terus mendesak jawapan daripada Jasmine.

“Tak,”

“Kenapa?”

“Buat apa? Lagipun, kalau aku tanya, nampak macam aku suka dia pada hal aku tak pernah pun luah apa aku rasa pada dia. Mungkin, masa tu, aku lebih utamakan pelajaran kut? Sebab tu aku anggap perubahan sikap dia, cinta dia, semua tu tak penting.” Jasmine berterus terang.

Kawan-kawannya tergelak-gelak. “Yalah, kan? Kalau tidak, takkanlah Airina Jasmine binti Zahar boleh pegang title akauntan di syarikat ni. Betul tak, gang?” Aya menggiat.

“Dah, tak payah nak puji-puji! Duit syarikat ni bukan aku yang punya. Aku cuma tolong kira aje!” usik Jasmine mesra. Mengundang keriuhan tawa teman-teman rapatnya.

“Bila diorang kahwin, Min?” tanya Aya.

“Ya ALLAH, tak puas hati lagi korang ni? Esok-esoklah aku story lagi. Sekarang nak dekat Maghrib. Jom pergi solat lepas tu kita balik. Perut pun dah lapar, kan?” Jasmine mengelak. Dia terus mencapai beg tangan lalu bergerak menuju ke arah surau, di sebelah pantri. Tidak dipedulikan wajah teman-teman yang kini sedang mencerun memerhati dirinya. Geramlah tu!
..................................

Lama Jasmine menanti panggilannya berjawab. Resah dia menunggu ibunya mengangkat gagang. Risau pula bila memikirkan keadaan kesihatan ibunya tapi bila kenangkan yang ibunya tidak bersendirian, segala gundah melayang jauh.

“Takkan papa Rizal nak biarkan mami kalau demam, kan?” Hati ditenangkan. Senyum kembali menghiasi bibir.

Oh ya, akhirnya berjaya juga uncle Rizal menyunting ibunya. Itupun setelah ibunya berjaya dipujuk rayu oleh Jasmine. Waktu itu, ibunya hanya tinggal sendirian di rumah bersama orang gaji mereka, kak Imah. Melur? Melur mengikut Badrul ke Jepun. Sebaik Badrul menamatkan kelas persediaan, keluarga kedua-dua belah pihak bersetuju supaya Melur dan Badrul dinikahkan. Jadi, pada umur 20 tahun, mereka sah menjadi pasangan suami isteri. Sehingga hari ini, sudah sembilan tahun mereka berada di Osaka. Sudah ada seorang anak pun. Anak yang berusia lima tahun. Khabarnya, kini Melur mengandung lagi. Jumpa? Tak pernah! Kerana pasangan suami isteri itu tidak mahu pulang ke Malaysia. Kata mereka, mereka hendak mengumpul duit banyak-banyak di sana.

“Hah, baru teringat nak call mami?”

Sergahan ibunya di hujung talian mengejutkan Jasmine daripada lamunan.

“Mami marah lagi pada Min ke ni?” tanya dia lemah. Suara ibunya yang tidak langsung ada kemesraan sedikit mengganggu emosi.

“Memang pun!”

Jasmine mengeluh, keluhan yang dapat didengar dengan jelas oleh puan Liza.

“Kenapa Min mengeluh? Tahu tak yang mengeluh tu satu perbuatan yang tak baik?” puan Liza menyergah anaknya.

“Min mengeluh sebab Min kesal dengan sikap mami pada Min dalam tempoh sebulan ni. Sebab perkara kecik aje, mami langsung tak nak cakap dengan Min. Boikot Min. Min sedih tau, mami!” Jasmine meluahkan rasa.

Di hujung sana, puan Liza sudah mula naik angin semula.

“Perkara kecik? Soal kahwin Min cakap perkara kecik? Min tolak pinangan kawan baik mami yang nak sangat-sangat Min jadi menantu dia, Min cakap itu perkara kecik?”

Jasmine jauhkan telefon Omnia kesayangan daripada cuping telinga. Bagaimanapun, dia masih dapat menangkap tiap butir bicara ibunya.

“Mak cik Zanariah nak sangat supaya Min terima. Supaya Min sudi jadi isteri Ahmad Zahim Muaz. Supaya Min jadi pelengkap hidup anak tunggal dia tu. Tapi, Min langsung tak mahu pertimbangkan. Terus aje cakap tak nak, macam dalam iklan rokok tu. Sakit hati mami, Min tahu tak?”

Radio puan Liza sudah mula berbunyi. Ni, kalau tak letak telefon sekarang, tentu sahaja akan mengambil masa untuk berhenti, fikir Jasmine. Tapi bagaimanakah hendak mengelak sedangkan ibunya masih lagi enggan menamatkan perbualan?

Jasmine rasa menyesal pula menghubungi ibunya. Asyik sahaja marah-marah kerana dia menolak pilihan jodoh yang ibunya pilih. Sedangkan, Jasmine ada sebab untuk menolak pinangan lelaki yang bekerja sebagai jurutera itu. Dia ada alasannya yang tersendiri.

“Kamu masih sayangkan dia, Min?”

Tiba-tiba Jasmine diajukan soalan yang sedikit menggegar jantungnya. Dahi berkerut. Siapakah dia yang ibunya maksudkan? Tak mungkin Badrul Aminudin Haziq, kut?

“Siapa?” Jasmine memberanikan diri untuk bertanya.

“Siapa lagi? Si Badrul la!”

Jasmine terpaku. Tekaannya tepat. Ibunya menyangka dia punya rasa terhadap Badrul. Ibunya fikir, dia menyintai lelaki itu dan masih menyayanginya kini. Argh, penolakan pinangan Ahmad Zahim Muaz menyebabkan ibunya menduga sejauh itu.

“Mami tahu, kamu sukakan Bad. Mami tahu jugak yang Bad pernah sukakan kamu. Tapi, Min, Badrul dah sembilan tahun kahwin dengan Melur. Dia dah jadi adik ipar kamu. Takkanlah kamu masih mengharapkan dia lagi?”

Jasmine benar-benar tersentak. Jasmine benar-benar tidak menyangka bahawa ibunya sanggup menuduh dirinya sejauh itu. Walaupun mungkin ada sekelumit perasaan sayang untuk Badrul, tapi itu dulu. Waktu umurnya 17 tahun. Waktu cinta monyet menguasai hati, akal dan fikiran. Mengapakah masih dirinya dituduh mencintai lelaki itu yang baginya hanya satu kenangan silam yang sudah lama dilupakan?

“Sampai hati kamu, Min! Kalau Melur tahu, tentu hancur hati dia. Tentu dia tak dapat terima yang kakak kembarnya sukakan, malah cintakan suami dia. Patutlah Badrul tidak mahu balik ke Malaysia. Agaknya, dia pun terasa yang kamu masih suka pada dia, kut?”

Kalau tadi, hatinya terkilan mendengar, kini dia menangis kerana kecewa menerima tuduhan yang ibunya lemparkan. Tergamak ibunya meluahkan tuduhan-tuduhan sebegitu? Tidakkah ibunya yang melahirkan dia? Jadi, apakah masih tidak mengenali anak sulung yang sudah dibesarkan selama dua puluh lima tahun ini?

“Mami......”

Suara Jasmine yang bergetar menghentikan kemarahan puan Liza. Bimbang pula melontarkan kemarahan seperti tadi. Kalau Jasmine merajuk, macam mana? Desis di dalam hati. Tapi, belum sempat hendak bercakap, Jasmine meminta maaf lalu memutuskan talian. Usaha untuk bercakap dengannya terbantut kerana Jasmine sudahpun mematikan telefon bimbitnya. Tanda protes barangkali!
................................

Wajah lelaki bernama Ahmad Zahim Muaz terlayar di hadapan mata. Satu perwatakan matang, segak, tinggi, tegap, sasa, hitam manis, menjenguk ruang ingatan. Namun, sikap tidak selari dengan kematangan wajah. Jauh sama sekali! Bagai api dengan salji.

“Kahwin paksa ni bukan trend zaman moden, cik Jasmine. Boleh tak awak cakap begitu pada mak awak?”

Suara garau itu kembali bergema.

“Awak dah cakap yang awak tak suka dipaksa kahwin pada mak awak ke?” balas Jasmine.

Waktu itu Zahim datang mencarinya di tempat kerja. Riuh satu bangunan menyangkakan lelaki itu kekasihnya. Tapi, Jasmine tidak ada masa untuk menafikan. Dia terus sahaja mengikut ajakan Zahim untuk lunch sama-sama di Restoran Selera Timur.

“Dah! Tapi mak tak mahu dengar alasan saya. Sebab tu saya nak awak pulak yang reject.

“Tapi, kalau awak yang dah ada buah hati, awaklah yang kena berkeras menolak. Kenapa saya pulak?”

Lelaki itu mengerutkan dahi. “Awak ni tak faham bahasa ke? Saya nak awak tolak pinangan emak saya.”

Ewah, main kasar pulak dia ni! Gumam Jasmine.  

“Kalau mak mahu dengar cakap saya, awak ingat saya nak mintak pertolongan awak? She is just so stubborn. Asyik cakap awak baik. Asyik cakap awak sesuai dengan saya.  Asyik puji awak! Tapi, maaflah! Saya tak boleh dipujuk rayu. Hati saya ni tak sikitpun tercuit dengan puji-pujian mak tu. Nak tahu kenapa? Sebab saya tak suka perempuan. Awak faham?”

Eeei gelinya! Auww!

Weh Zahim! Kalau kau tak suka perempuan, aku pun tak suka lelaki, tahu tak? Mami pun satu! Tengok tubuh yang tegap, maco dengan muka yang hensem, terus tangkap leleh. Nangis-nangis bila aku menolak. Tapi, takkanlah aku nak beritahu siapa si Zahim tu yang sebenarnya. Kesian pulak pada mak cik Zanariah. Mahu mati terkejut orang tua tu. Aduhai, apa aku nak buat ni, ya?

Suara hati berlagu dalam resah dan keliru. Dalam rasa kasihan yang membuak-buak kepada ibunya dan puan Zanariah, Jasmine risau memikirkan Zahim. Namun, jika penolakan tidak ditarik balik, sampai bila-bila, ibunya akan menyangka yang bukan-bukan tentang rasa hatinya terhadap Badrul. Dan, dia tidak mahu dianggap perosak rumah tangga adiknya sendiri.  

Tidak... Jasmine tidak mahu ada di tengah-tengah di antara Badrul dengan Melur. Tidak! Tidak! Tidakkk!!!!!




===============================================

Ulasan

  1. sdihnya...badrul kawin dgn melur :(
    cian jasmine

    BalasPadam
  2. wah makin berdebar... mesti ada kisah kenapa badrul tetiba lupakan min..
    kak sofi sambung lagi.. plsssss...

    BalasPadam
  3. msti sumting jadi kat melur, tuh sbb badrul kahwin ngn melur tuh....
    kesian jasmine.
    kak, smbg cpt2 yer:)

    BalasPadam
  4. Zahim ni gay ke???

    BalasPadam
  5. jasmin, usah terima mamat auwwww tu...
    merana seumur hidup;
    biarlah mami cakap apa pun; yg penting
    hati sendiri dan kebenaran akan terserlah akhirnya...

    mana tahu jumpa jejaka idaman pula yang lebih segalanya.. :D

    BalasPadam
  6. Anonymous, jgn sedih, kita bg hero yg lg maco, ya...

    BalasPadam
  7. miznza84, memang ada... sabarlah menanti, k!

    BalasPadam
  8. lin, insyaallah, akn disbg jugak nnt... hehe

    BalasPadam
  9. Anonymous, hehe...x suka zahim nampak? xpe... kita tgk apa reaksi jasmine nnt.

    BalasPadam
  10. cepat2 smbung ye kak sofi..x sabar rasanya nk tau apa jd lpas ni
    hehe

    BalasPadam
  11. @Hafzan Sarah insyaallah, ttp akan bersambung nnt

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…