apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

17.10.11

Melur Jasmine 10

“Kita kahwin!”
Jasmine yang sedang minum air milo suam terus tersedak. Tersembur habis yang di dalam mulut. Terbatuk-batuk dia. Lama juga, hampir 2, 3 minit!
Bila dia mendongak, senyuman sinis Zahim yang dia terpandang. Rasa berasap kepala. Grr.. boleh pulak lelaki itu senyum sedangkan dia rasa pedih dan perit di kerongkong? Tak ada langsung rasa kasihan yang terlihat di wajah itu terhadap dirinya.
“Dah habis fikir?” tanya Jasmine garang. Wajah Zahim sengaja ditenung dengan tajam. Harap-harap lelaki itu jadi gementar.
Zahim kembali menyandarkan tubuh ke kerusi. Dia kemudian berpeluk tubuh. Dengan selamba, dia mengangguk. “Dah!”
“Kenapa ubah fikiran ni? Hari tu beria-ia suruh saya tolak. Bukan main memaksa saya cari alasan untuk diberikan pada mak dia. Sekarang, ajak saya kahwin macamlah dah habis perempuan lain semuanya,” omel Jasmine.
Jasmine tidak menyangka bahawa kata-katanya itu begitu lucu sehingga menyebabkan Zahim ketawa besar. Dahinya berkerut-kerut. Hairan yang teramat dengan sikap lelaki itu hari ini. Betulkah ini Ahmad Zahim Muaz? Samakah dengan Ahmad Zahim Muaz yang menemui dirinya dulu, yang garang dan menempik serta mengeluarkan satu macam arahan supaya dia menolak? Pelik lelaki ini!
Zahim memerhati wajah Jasmine yang sarat dengan berbagai-bagai perasaan. Sangat ketara bahawa gadis itu masih terkeliru dengan sikapnya. Iyalah... siapa yang tak bingung? Dulu mengamuk cakap tak sukalah, bencilah, sekarang dia datang dan ajak kahwin. Nasib baik Jasmine ni seorang yang sihat walafiat. Kalaulah dia ada penyakit jantung? Hisy, takkan muda lagi dah mengidap penyakit tu? Hati mengomel sendiri.
“Kenapa tak jawab soalan saya? Penting tu?” desak Jasmine.
“Entah!”
Jasmine bulatkan mata. Boleh tak kalau aku hempuk kepala Zahim ni dengan... kerusi?
     Zahim tersenyum semula. Dia tahu, Jasmine sedang marahkan dirinya. Wajah gadis ini sedang masam mencuka sekarang. Tapi masih juga jelita pada pandangan matanya. Aik?
“Saya kesian pada emak. Asyik menangis saja. Dengan saya pun dia tak nak bercakap dah. Merajuk sangat! Rasa berdosalah pulak! Takut tak cium bau syurga bila mati. Takut!”
Mendengar ayat-ayat yang diucapkan, Jasmine rasa lemah semangatnya. Ayat-ayat Zahim tentang Puan Zanariah, adalah juga apa yang berlaku kepada ibunya sendiri. Dia juga telah menyebabkan ibunya menangis. Dia juga telah menyebabkan ibunya merajuk. Dan memang, memang dia rasa sangat berdosa. Memang dia takut! Takut bergelar anak derhaka yang tidak mungkin mencium bau syurga!
“Mami saya pun sama, awak. Asyik menangis malah sampai sekarang dia masih merajuk dengan saya. Saya rasa bersalah sangat.” Keluhnya perlahan.
“So, bolehlah kita kahwin?”
Sekali lagi Zahim mengajaknya. Jasmine merasa lemas pula. “Mana boleh?”
“Kenapa pulak? Tadi awak kata awak pun sama macam saya, kesiankan mak cik. Dah tu, kita kahwinlah. Sukalah hati mereka nanti bila kita ikut cakap mereka.” Tekan Zahim.
“Memanglah membahagiakan emak-emak kita tu bagus! Tapi, kita nanti? Macam mana?”
“Tak faham!”
Jasmine mendengus. “Awak tu! Awak kan tak suka orang perempuan?”
Zahim seakan-akan terpukau memandang muka Jasmine. Mula-mula wajahnya beriak terkejut, kemudian sebuah senyuman kelihatan tersungging di bibir. Lama-lama, dia tersengih. Akhir sekali ketawanya kuat bergema. Dia tidak langsung menghiraukan persekitaran mereka. Dia tidak peduli pada pandangan orang-orang sekeliling yang merenung ke arahnya.
“What are you thinking, girl?” soal Zahim sebaik kelucuan itu berakhir. Namun, pada bibirnya masih bersisa senyuman. Wajahnya masih ceria.
“Gelak macam tak ingat dunia! Awak tahu tak, gelak besar macam tu tak elok?” sela Jasmine.
“Tahu! Tapi, soalan awak tu tersangatlah lucu, wahai Jasmine.”
“Lucu? Eh, saya tak buat lawaklah! Awak yang cakap pada saya dulu yang awak tak suka perempuan!” balas Jasmine.
Zahim mendekatkan muka ke wajah Jasmine. “Kalau saya tak silap, awak pun ada cakap yang awak tak suka lelaki. Remember?”
Dahi Jasmine berkerut. Cuba mengingat semula apa yang pernah diucapkannya pada pertemuan mereka kali pertama dahulu. Betulkah dia ada menyebut yang dia tak sukakan lelaki?    
“Sebab itu, saya rasa, kita ngam. Awak tak suka lelaki dan saya tak suka perempuan. Bila kita kahwin, awak tak akan kacau saya dan saya tak akan kacau awak. Kita terus dengan stail hidup kita sekarang. Mudah, kan?”
“Tapi, itu namanya kita dah menipu mereka. Tak mahulah saya?” Jasmine menolak.
Wajah Zahim menjadi serius semula. Susah sungguh untuk dia meyakinkan Jasmine tentang mengapa perlu untuk mereka berkahwin.  
“Listen! Kita nak bahagiakan ibu bapa kita, kan?” tanya Zahim.
Jasmine angguk.
“Apa yang boleh membahagiakan diorang sekarang?”
Jasmine tegakkan diri. Duduk macam model dengan sepasang mata tatap mata Zahim. Berbalas renunganlah pulak! Masing-masing tidak menyedari bahawa renungan sudah memukau macam cupid! Panahan cinta sudah menusuk. Debaran jantung sungguh pantas, namun tidak difahami kenapa.
Zahim yang dulu tersedar. Kenapa rasa macam berkhayal saja tadi, diri ditanya.
“Tapi, awak.... Kan menipu namanya tu? Awak tak suka saya, saya tak suka awak.... Macam mana rumah tangga kita nanti? Nak berlakon? Ingat senang?” Jasmine mempersoal.
“Alah, awak ni banyak sangat fikirlah, Jasmine. Janganlah beratkan kepala dengan semua benda tu. Yang penting, kita kahwin dulu. Kita bahagiakan diorang puas-puas.”
“Sampai bila?”
Zahim pula terkesima. Betul juga! Sampai bila hendak menipu orang tua mereka?
Jasmine sekali lagi membetulkan duduknya. “Zahim, saya bukan tak setuju dengan cadangan awak. Seperti awak sayangkan emak awak, saya pun sayangkan mami saya juga. Saya pun nak bahagiakan dia. Tapi, kahwin olok-olok ni bahaya. Menipu tu berdosa. Saya takut nanti kalau terbongkar, lagi teruk mereka mengamuk. Waktu tu....”
“Jadi, awak tak setujulah dengan cadangan saya ni?”
Jasmine geleng.
Zahim menarik kerusinya rapat-rapat dengan Jasmine. Tindakannya menyebabkan Jasmine terkejut.
“Zahim, awak buat apa ni?”
Jasmine cuba menjauhkan kerusinya namun Zahim sudah meletakkan tangan di belakang bangkunya. Kalau dilihat dari belakang, tindakan itu nampak seperti seorang lelaki sedang berusaha memujuk buah hatinya sahaja.
“Kalau awak ada idea yang lebih bernas, saya setuju untuk batalkan hasrat perkahwinan kita tu.” Bisik Zahim.
Jasmine mengetap bibir.
Bagaimana dia boleh berfikir bila haruman selepas mandi lelaki itu lembut menusuk hidungnya? Bagaimana dia boleh mencari idea pada ketika lelaki itu terlalu rapat dengannya?
“Kita kahwin! Muktamad!” Kata Zahim.
“Zahim!” Jasmine menjerit.
“Relaks laa... Bukannya mati kalau awak kahwin dengan saya, kan? Entah-entah.. insya-ALLAH, nanti awak jatuh cinta pada saya. Masa tu, awak dah tak perlu berlakon untuk mencintai saya. Semuanya akan jadi cerita benar!”
“Melampau betul awak ni, tau! Oh, kalau saya jatuh cinta pada awak konon! Habis tu? Awak?”
“Saya? Kenapa dengan saya?”
Jasmine tarik muka. “Pandai! Kita disuruh jatuh cinta pada dia. Yang dia? Nak terus berskandal kut? Melampau betul!” gumamnya.
Zahim berpura-pura tidak mendengar. Cuma saat ini dia berharap sangat agar Jasmine mahu menerima lamarannya. Tentang dia? Tentang perasaannya? Semua itu tak penting sekarang. Dalam hidupnya, hanya emaknya yang diutamakan. Lagipula, emaknya tidak pernah meminta-minta darinya. Seingatnya, sedari kecil, sudah banyak yang dikorbankan oleh puan Zanariah untuk dirinya. Kasih sayang, masa, segala-gala! Jadi, tidak salah untuk dia memenuhi permintaan emaknya yang satu ini. Meskipun dia tidak mengenali Jasmine, meskipun hatinya sudah tawar dengan perempuan, namun demi emak, dia akan cuba melupakan kisah lama dan membina hidup baru dengan gadis pilihan ibunya ini. Siapa tahu, nanti suatu masa, akan ada sinar kebahagiaan untuk dia dan Jasmine?
Macam mana ni? Nak terima cadangan dia atau tidak? Aduh, sakit kepala aku dibuat si Zahim ni. Kenapalah aku harus terperangkap dalam situasi begini? Mami pun satu! Apa yang dia nampak pada diri lelaki yang sorang ni? Dan, mak cik Zanariah? Cantik sangatkah aku sehingga menangis melalak bila aku cakap Tak Nak?
            Arghh....
    “Diam tandanya setuju. Kan, Jasmine?”
            Mak... tak habis lagi si Zahim ni rupanya?
            “Good! I will tell my parents to proceed. And, Jasmine!”
            Jasmine dongak bila Zahim berdiri memanggilnya.
            “Don’t worry! Everything will be alright!”
Yakinnya dia! Pinjamkan sikit keyakinan tu pada aku, boleh tak, Zahim?
Malam itu puan Liza menelefon Jasmine. Suaranya girang sekali. Kegembiraan tidak dapat dinafi. Dan, hati memanjat rasa syukur kerana telah dapat membuat ibunya bahagia. Ya, begitu teruja ibunya bila bercerita tentang apa yang sudah dibincangkannya dengan puan Zanariah. Dari perkara yang terlalu kecil dan Jasmine anggap remeh sehinggalah kepada perkara-perkara penting dan besar.  
            “Semuanya dah ditetapkan, Min. InsyaALLAH, tak lama lagi, kahwinlah kamu dengan Zahim. Kata mak cik Zanariah kamu, Zahim bukan main seronok lagi. Siap beritahu yang dia nak pergi kursus sama-sama dengan kamu. Dia cakap, seronok bila dapat dengar ceramah ustaz dan dalam sedar kamu ada di situ. Bolehlah dia menghayati nasihat dan amanah yang ustaz beri. Lepas tu, Zahim cakap juga yang semua barang untuk hantaran, korang akan pergi beli sama-sama. Tengok tu, Min... Dah nampak dia suka pada Min tu. Jangan sia-siakan dia, ya, Min! Min cubalah balas kasih sayang dia. Insya-ALLAH, akan bahagia Min nanti!”  
            Jasmine hanya mampu berdiam diri. Bayangan ibunya diselang seli dengan bayangan Zahim melintas pandangan. Permintaan ibunya terlalu berat dirasakan. Dan, Zahim? Apakah yang sebenarnya? Aduhai hati... risaunya!
   

4 ulasan:

  1. best2... tak sabar nk tunggu new n3....
    kak sambung pnjang2 kak... plss...

    BalasPadam
  2. aduhai jasmine...
    trima sj la...
    badrul pn dh kawin dgn melur...huhu

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.