apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

10.10.11

Kalsium, estrogen dan wanita


Assalamualaikum..... 

Bila berkahwin, pastinya pasangan suami isteri berharap untuk memiliki cahaya mata pula. Tidak lengkap sebuah perkahwinan tanpa hilai tawa anak-anak. Lantas, bila saja si isteri mengumumkan yang dia hamil terutama pada kehamilan sulung, suami tersengih lebar. Maka, suami yang prihatin mulalah memanjakan isterinya. 

Kehamilan......

Tahukah anda bahawa sewaktu hamil, bayi di dalam kandungan memerlukan kalsium yang banyak untuk proses pembesarannya? So, dari mana baby dapat kalsium tu?

Kalsium tersebut disumbangkan oleh ibu dan kuantitinya perlu dikongsi bersama. Ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa ibu hamil memerlukan kuantiti kalsium yang tinggi berbanding biasa.


Setelah proses melahirkan anak, kuantiti kalsium yang banyak masih diperlukan untuk disalurkan kepada bayi melalui susu ibu. Sekali lagi, secara tidak langsung menyebabkan seorang ibu memerlukan jumlah kalsium yang lebih berbanding keadaan biasa.

Semua orang tahu kepentingan hormon estrogen dalam tubuh seorang perempuan. Pernah dengar? Estrogen? 

Estrogen adalah hormon yang memainkan peranan penting dalam perkembangan organ dan sistem reproduksi wanita. Estrogen bertanggung jawab untuk mempercepat pertumbuhan tubuh wanita, dan kemudian berperanan mengembangkan rahim, ovari dan sistem reproduksi lain sehingga tubuh siap sedia untuk mengandung.

Estrogen juga berperanan membantu perkembangan dan pembesaran payudara dan pinggul, pertumbuhan bulu di ketiak dan kemaluan serta berbagai fungsi metabolik lainnya.
“Estrogen juga penting untuk penyerapan kalsium. Jadi, apabila ia terganggu, struktur tulang juga akan terganggu akibat kekurangan kalsium,”

Ketidakseimbangan hormon estrogen dalam tubuh wanita boleh berlaku jika jarak kehamilan dan kelahiran kerap, terjadi. Ini secara tidak langsung akan mengganggu penyerapan kalsium ke dalam tulang. Lebih memburukkan keadaan apabila darah kehabisan kandungan kalsium dan ia mula menyerapnya daripada tulang dan gigi, bahagian-bahagian yang mengandungi sebanyak 80 peratus kandungan kalsium dalam badan. Setelah banyak kalsium diserap keluar, ia akan mengganggu struktur tulang dan gigi wanita. Ia akan mengurangkan kepadatan struktur itu yang akhirnya mengundang penyakit berkaitan tulang dinamakan kerapuhan tulang.

Ingatlah, kalsium adalah elemen terpenting dalam pembentukan tulang. Jadi, ia diperlukan dalam kuantiti yang mencukupi untuk mengekalkan kekuatan tulang. Apabila kurang kalsium, ia akan menyebabkan masalah osteoporosis yang sering menyerang wanita terutamanya yang sudah menopaus. 

Penjagaan awal iaitu ketika mengandung dapat mengelak keadaan ini. Sebab itu, ibu hamil digalakkan supaya minum banyak susu dan mengambil sumber kalsium lain seperti keju, yogurt dan sayur berdaun hijau sebagai cara untuk mengoptimumkan jumlah kalsium dalam badan. Sebagai langkah untuk membantu mengekalkan kesihatan tulang dalam kalangan wanita, mereka yang berisiko dinasihatkan agar menjarakkan tempoh kehamilan.

Wanita perlu menjaga kesihatan reproduktif sepanjang tempoh mengandung sehingga melepasi waktu bersalin. Di sini, perlu ditegaskan kepentingan amalan berpantang selepas bersalin. 
“Amalan berpantang adalah penting kerana ia merangkumi tempoh seseorang wanita yang baru bersalin untuk pulih dari segi mental dan fizikal.
Seseorang ibu bukan sahaja memerlukan tempoh pantang untuk kembali pulih mental dan fizikal malah sebelum kembali mengandung semula. 
“Jarak masa yang lama sebelum kembali mengandung dapat digunakan oleh ibu untuk mengembalikan kalsium dalam badan dan menghilangkan trauma kelahiran,” 
Jangan lupa bahawa dalam Islam pun, ibu-ibu disarankan supaya menyusukan anak selama dua tahun dan saranan Islam supaya wanita menjarakkan kehamilan selama tempoh itu. Demi kesihatan diri ibu itu sendiri. 

Diharap, selepas anda membaca artikel ini, anda sudah dapat melihat betapa penting kalsium sebelum, semasa dan selepas mengandung serta lain-lain panduan agar kelahiran bukan satu masalah bagi anda.

==================================

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.