apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

31.10.11

Jangan Menangis, Anakku!

Assalamualaikum.....

Siapakah yang lebih terseksa bila sebuah pekahwinan terlerai? Suami? Isteri? Atau anak-anak? Pasti anda tahu apakah jawapannya, kan? 


Cuba anda baca keluhan hati seorang anak ini.....
Saya berusia 16 tahun dan hanya dua beradik dalam keluarga. Masalah saya adalah berkaitan ibu dan ayah saya. Mereka sudah tidak sehaluan lagi dan selalu sahaja bergaduh kerana ayah mempunyai teman wanita baru. Sebagai anak sulung, saya melihat kesedihan dan tekanan yang ibu alami tetapi dalam masa sama, saya sendiri tidak berani untuk masuk campur kerana sikap ayah yang panas baran sejak terjebak dengan hubungan ketiga ini.
Kadang-kala ibu juga melepaskan tekanan kepada kami adik-beradik, mungkin ibu juga sangat tertekan dengan sikap ayah yang tidak bertanggungjawab dan bertimbang rasa.
Saya takut dan bimbang kalau mereka bercerai dan saya sendiri terpaksa membuat pilihan sama ada ingin tinggal bersama ayah atau ibu. Saya sangat sedih sebenarnya dengan apa yang berlaku dan pelajaran saya turut terganggu.
Ibu dan ayah selalu begini, kan? Kerana sakit hati sesama sendiri, perasaan anak sering diabaikan. Hanya penderitaan masing-masing sahaja yang difikirkan. Hanya diri masing-masing! Tak pernah sedetik waktu pun mencuba menyelami apakah yang ada dalam hati anak-anak!

Anak yang baik, merintih begini.... meluah di atas kertas segala keresahan hati. Bagaimana pula dengan anak-anak yang tidak dapat menghadapi perubahan sikap emak dan ayah mereka? Apakah anda fikir, mereka juga akan mencoretkan kesedihan dengan menulis? 

Tentu tidak! Anak-anak yang marah dalam diam, akan memberontak dan jika nanti ada yang mengambil kesempatan, terjebaklah ke kancah maksiat, serta gelandangan hidup! Puncanya siapa? Ayah, ibu yang hanya mementingkan diri sendiri! 

Setiap manusia tidak lepas dari membuat salah dan silap. Pasangan suami isteri harus tahu itu! Dan harus bersedia menghadapi dan menginsafi.  Jika rumah tangga berantakan, sebelum nekad bertengkar dan berkelahi lalu inginkan perpisahan, renunglah mata anak-anak! Jika ada rasa simpati, baiki kelemahan demi reda Allah SWT. Pulihkanlah hubungan kekeluargaan, buangkan ego, campakkan semua rasa benci dan marah sesama suami/isteri kerana anak-anak masih mengharapkan pimpinan dan kasih sayang dari orang tuanya. 

Untuk anak yang malang itu....

Serahkan semua kepada Allah SWT supaya hati menjadi lebih tenang dan bahagia. Berdoa kepada Allah SWT mudah-mudahan 

1. Ibu diberi kesembuhan, kekuatan dan kesabaran menerima ujian dari Ilahi dan meneruskan kehidupan. 

2. Ayah diberi keinsafan dan kesedaran akibat terleka dengan keindahan dunia.


==========================================================

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.