apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

6.10.11

Dia Idaman Jiwa 2

“Kenapa dengan kau, bro? Apa yang hilang? Hati ke?”

Abid menjegil Alimi. Bulat bola matanya. Sedikit sebanyak menimbulkan juga rasa gerun dalam hati kawan baiknya itu. Membuat Alimi terus terdiam menuju ke katilnya, lalu baring sambil tekup muka.

Soalan Alimi tu... pedih wooo.... Menusuk hingga ke tulang hitam. Kepalanya dahlah berserabut dengan tugasan yang tak habis-habis, kerja projek tahun akhir yang amat mencabar, mana dengan pembentangan-pembentangan itu ini, dengan ahli kumpulan yang berbagai kerenah pula, boleh pulak tanya hati dia hilang ke tidak? Macam tak faham-faham!

“Itulah, lain kali kalau nak mengurat, ayat tu kena betul. Lembut, halus, romantis... Ini kau? Jerkah dia dengan suara macam petir, tentulah amoi tu lari, maa...” Sindir Alimi perlahan.

“Alah, jauh mana dia boleh lari? Kampus UPM ni bukannya besar sangat. Esok-esok, terserempaklah jugak.”

“Ha ah..kau terserempak dia dengan boyfriend dia. Aku dengar budak tu anak orang kaya. Senior dia, budak second year. Nama Hamzi, anak somebody. Banding dengan kau... jauhlah!” Alimi membakar lagi hati Abid.

“Apanya yang jauh?”

Membuak-buak rasa ingin tahu dalam hati Abid.

“Engkau dengan mamat Hamzi tu laa,” balas Alimi sambil duduk bersila di atas katil, menghadap Abid yang sibuk membuat nota di meja studi. “Eh, Abid. Tadi, aku nampak si Aliah dengan dia di kafetaria, tau! Bibir Aliah senyum memanjang. Aliah pegang sekuntum bunga ros merah. Hamzi tu pulak, aku tengok, mak... pijak semut pun tak mati. Pandai buat lawak agaknya sebab Aliah kejap-kejap gelak. Kejap-kejap, gelak! Lepas makan, kau tahu diorang pergi mana? Terus naik kereta si Hamzi tu. Skyline, weh! Skyline! Habislah, kau! Memang tutup terus peluang nak dapat Aliah.”

“Kau bukan Tuhan nak tentukan jodoh dia,” keras Abid membalas.

Alimi mencebik. “Bro, kau apa yang ada? Motor ‘second hand’ bapak kau yang dah mencungap tu? Kau boleh ke nak beli bunga bagi pada Aliah hari-hari? Kalau satu tangkai tu nilainya RM4.50, habis duit bajet lunch kau! Tu belum lagi aku banding pakaian kau dengan Hamzi punya yang serba branded. Hisy, nasihat akulah, kan, Abid. Baik kau menyerah kalah ajelah. Malu nanti kalau heboh satu kampus kau nak bersaing dengan si Hamzi tu.”

Abid terus tutup buku. “Daripada aku dengar cakap-cakap kau yang menyakitkan hati ni, baik aku pergi tengok kebun sayur aku. Baik aku bercakap dengan kambing-kambing, dengan ayam-ayam kat kandang. Kau ni, Alimi, nama aje kawan baik, tapi, bisa mulut kau tu, lagi teruk berbanding musuh, tau!”

Alimi tak senang mendengar kemarahan yang terluah. “Abid, aku bukan nak perlekeh kau. Aku cuma nak kau cermin diri kau tu. Ya, memang kau terkenal di UPM ni. Ya, memang kau antara pelajar yang terhebat tapi itu semua bukan perempuan nampak. Diorang lebih mudah digoda dengan harta, dengan kereta. Kau tampan ke, tubuh kau sasa macam Aaron Aziz sekalipun, siapa peduli? Perempuan semua mata duitan, beb! Ada duit, sayanglah. Ada harta, cintalah! Tapi kalau habuk pun tarak... blahlah kau!”

Abid sudah tak tahan mendengar hinaan Alimi. Hatinya sakit. Rasa hendak dilempang agar mulut macam perempuan tu tertutup rapat. Aduhaii...

Dia ingat aku ni papa kedana sangat ke? Bapak aku tu ketua kampunglah, Alimi! Dah dua kali pergi haji tu! Kebun getah ada dekat 20 ekar. Kebun kelapa sawit pulak.. berapa ekar, ya? 10 ekar, kut? Tiap minggu, pulangan kelapa sawit aje lebih kurang RM6 ribu, tahu? Simpanan atas nama aku pun bukannya sikit! Kalau aku nak keluarkan duit dan beli kereta, setakat skyline second hand, aku pun boleh beli! Tapi, aku tak nak tunjuk aku miliki semua tu. Sebab, cara macam tu, kita tak akan tahu sama ada orang ikhlas berkawan atau tidak. Tak apalah... kalau si Aliah tu pun spesis memandang harta, aku boleh cari perempuan lain. Tak kisah! Aku petik jari aje.... datanglah yang lain! Abid menggumam sendiri.

“Hah, Abid. Mujur kamu datang. Cepat. Ni si Bunga ni nak beranak.”

Abid buru-buru menongkat motor buruknya dan berlari ke arah suara abang Nuar, pembantu Prof Hamid.  Tanpa suara, dia terus mendekat.

“Hah, jadi bidan terjun kita hari ini. Prof dah ke Kl, ada mesyuarat.”

“Relakslah, bang. Bukan tak biasa.” Balas Abid sambil membelai kepala kambing bernama Bunga itu.

“Yang kamu usap-usap kepala kambing tu macam usap kepala orang, kenapa?” Abang Nuar menegur.

Abid sengih. Risau hati dibuang entah ke mana. Tenang dia menjawab, “Sakit bersalin ni, bang. Moga-moga, dengan usap-usap ni, Bunga tahu yang kita prihatin pada dia. Nanti, kalau dia beranak kerap-kerap lagi, siapa yang untung? Hah, jabatan ni lah...”

Hampir dua jam menanti, Bunga akhirnya dapat anak dua ekor. Abid meminta diri untuk balik ke kolej selepas tu. Tubuhnya sudah bermandi peluh. Rasa melekit dan berbau hamis. Dia tersenyum, merasa puas dengan apa yang baru dialami namun senyum itu mati bila terpandang si idaman hati di seberang jalan. Aliah sedang tersenyum riang di samping seorang pemuda. Mereka sedang berjalan seiringan. Amboi, mesranya?

Aliah merasakan seperti dirinya sedang dalam tatapan seseorang. Walaupun belum lagi dia nampak orangnya, kenapa hati sudah pandai membuat andaian? Tetiba berdegup kencang pula? Hanya sepasang mata itu yang mampu! Mampu buat hatinya bergetar dan berlagu pelbagai rentak. Diakah? Diakah yang sedang memandang?

“Kau pilih dia sebab dia kaya, ya?”

Tak perlu fikir-fikir dah! Tak ada orang lain yang akan menjerkahnya selain si Abid yang perasan maco tu!

“Wah, marah betul abang Abid tu? Siap cekak-cekak pinggang lagi? Soalan pun bunyi pelik semacam?” ulas Hamzi.

“Hero kampung aje, abang Zi. Memanglah macam tu, suka menjerit, terpekik, terlolong. Macam kita semua ni pekak dibuatnya.” Balas Aliah bersahaja.

“Dia cemburu tengok kita berdua agaknya?” Hamzi meneka sambil mengenyit mata.

Alahai, satu kampus tahu tentang Abid dan Aliah. Kisah masa minggu orientasi tu memang menghiburkan semua. Jumpa Abid, pasti ada yang tersengih-sengih. Nampak Aliah pula, pasti ada yang mengusik. Dan, tentu sahaja pemburuan Abid menjadi misteri. Berjayakah atau tidak? Dapatkah atau tidak? Nak tanya pada siapa? Abid tentu sahaja tidak akan menyahut. Aliah? Langsung tidak ambil pusing.

Terbakar jiwa bila tengok Hamzi kenyit mata pada Aliah. Rasa nak ditumbuk saja muka kiut tu, bentak Abid dalam hati.

“Bau kambinglah, abang Zi. Abang Zi ke yang tak mandi atau...” Aliah menyindir bila hidungnya terhidu bau hamis sebaik Abid sampai di hadapannya. Tapi, ada Abid peduli?

“Tak payah nak sindir-sindir aku, Aliah. Mentang-mentang kau orang bandar, nak perli-perli aku pulak.  Memang aku yang baru keluar dari kandang kambing. Si Bunga tu beranak, aku yang jadi bidan dia...” Abid memberitahu dengan bangga. Suka bila Aliah melopong mendengar pengakuannya. Tapi, dia masih belum puas hati kerana soalannya belum berjawab.

“Aku tak sangka yang kau ni sama macam perempuan lain. Sama macam perempuan-perempuan dalam novel, dalam drama Melayu. Gila harta! Gila duit! Tamak!”

“Awak! Mak bapak saya dah cukup kaya, okey! Harta diorang dah cukup melambak dan saya tak perlu nak tumpang harta orang lain. Jadi, jangan suka tuduh-tuduh, ya!”

Abid ketap bibir. Geram bila Aliah masih mampu melawan cakapnya.

“Kalau gitu, yang kau berkepit dengan budak hingusan ni, apasal? Kata tak gila harta, tapi dengan aku, sombong! Dengan budak ni boleh pulak kau merambu naik skyline dia ke sana, ke sini?”

Aliah mendengus kasar. Dia panjat bangku  taman, kemudian dia menggamit si Abid supaya mendekat. Sekarang, dirinya lebih tinggi daripada Abid. Senang dia nak bercakap. Selama ni asyik mendongak. Hari ini, dapatlah dia pula buat Abid mendongak dan mendengar tiap butir perkataan yang ingin dikatakannya.

Abid terpaksa menahan gelak. Amboi, nak marahpun kena berdiri atas bangku....

“Saya tak suka awak buat saya macam ni. Suka marah-marah, asyik nak menengking, herdik sana, herdik sini? Sombong! Sikap awak tak matanglah, Abid. Langsung tak matang. Awak, awak jangan perasan sangat, boleh tak? Banyak lagi mamat dekat luar sana tu yang jauh lebih kacak dari awak. Ramai lagi yang lebih kuat, lebih tegap dari awak. Ramai lagi yang lebih hebat! Saya tak kisah kalau orang tu miskin, hodoh atau lembik sekalipun. Saya boleh berkawan dengan dia. Tapi kalau mamat ego, perasan bagus macam awak ni, maaflah! Usah kata nak kahwin dengan awak, nak kawan biasa-biasa pun... you are not my taste!”

Aliah turun. Dia menarik tangan Hamzi yang terpaku. “Jom, kita balik!”

Abid rasa hiba sangat. Pedih betul bila gadis idaman jiwa meluahkan sebegitu. “You are not my taste!” Makk... kenapa kau tak tikam aje perut aku ni, Aliah? Sakit, kau tahu tak?”

Tapi...

“Aliah, macam mana kalau aku berubah? Kalau aku tak tengking, tak jerit, tak herdik kau?”

Aliah mematikan langkah. Berpaling dan berkata dengan jelas, “Berubahlah demi diri sendiri. Bukan untuk saya.”

“Kau ingat senang nak berubah?”

Aliah tersenyum. “Cubalah dulu! Abid, sikap awak adalah cermin sikap orang tua awak. Awak suka ke kalau orang fikir yang bukan-bukan tentang mereka bila orang menjadikan awak simbolnya? Suka?” tanya dia.

Abid hilang kata-kata. Kelu melihat Hamzi membukakan pintu kereta untuk Aliah. Kelu melihat senyum Aliah untuk Hamzi. Kelu kerana Aliah memilih lelaki lain yang kononnya lebih berakhlak. Benar kata Alimi. Dia sudahpun tewas. Bukan kerana Aliah memilih yang lebih kaya tetapi kerana sikapnya yang tidak disenangi gadis itu.

Dia memerhati gadis itu pergi. Hilang dan menjauh dari hati. 




8 ulasan:

  1. perempuan mane la yg suke lelaki yg suke marah2 kan.. 2 blum kawen lg.. klw da kawen nnt siap angkat2 tgn plak.. adoi la lelaki2 baran..

    BalasPadam
  2. berubahlah abid oi....jgn duk ego sngt...nnt putih mata tu..hehe

    BalasPadam
  3. SIANNYE ABID..NI CERPEN KE NOVEL AKAK??

    BalasPadam
  4. Anonymous, mmg btol, kasar sikap, ske tengking2 tu x best..

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.