apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

22.10.11

Cintaku ini.... 4

Villa Danieli - Italian restaurant
“Ayah, kenapa kita kena makan di sini pulak? Carilah tempat lain, tak boleh ke? Mahal tau makan kat hotel! Dah tu, bukannya sedap sangat pun!”

Haji Osman iaitu ayah aku, kini memandang wajahku dengan penuh rasa hairan. Aku tahu, dia mesti tertanya-tanya mengapa sikapku begini. Mesti dia rasa pelik.

“Tapi, ayah dah janji dengan kawan ayah tu yang kami akan makan di sini. Tentu dia dah tunggu ayah sekarang. Ayah tak tahu pulak yang kamu tak suka makan di hotel?”

“Hotel lain tak apa tapi,”

“Kenapa dengan Hotel Imperial ni?”

Err... takkan nak cerita pada ayah, kut? Ayah kenal Irfan pun tidak. Nanti, tak fasal-fasal, dia beri ceramah motivasi padaku. Eei, dalam keadaan kepalaku yang sedang berserabut sekarang, tak sudi aku nak dengar nasihat ataupun ceramah ataupun bebelan. Tak sanggup!! Jadi, aku terpaksa mengukir senyum pada ayah.

“Sori, ayah. Actually, hotel ni best.” Aku dekatkan bibir ke telinga ayah untuk berbisik, “Orang takut sebab hotel ni mahal!”

Ayah gelak. Tu, tanda dia dah terima maaf aku. Senang. Cepat-cepat kutarik tangan ayah sebab kami perlu segera ke restoran. Aku takut nanti terbertembung dengan Irfan pulak. Aku terbaca tadi bahawa majlis keraian keluarganya berlangsung di Nusantara Ballroom, Hotel Sheraton Imperial ini.

Kami masuk ke dalam restoran makanan Itali, Villa Danieli. Mata tercari-cari wanita yang minat sangat dengan ayah aku ni. Kata ayah, dia sudah menunggu. Hai, selera tinggi nampaknya bakal mak tiri aku ni. Makan di hotel, kat restoran barat pulak tu? Mahu muflis ayah aku bila mereka kahwin nanti, huhu!

“Itupun dia!” ayah berbisik.

Hampir terduduk aku. Terkejut!

“Betul ke ayah ni? Perempuan tu....”

Ayah pandang wajahku sambil tersengih. “Kenapa? Tak kan ayah tak boleh bercinta dengan orang putih, kut?” usiknya.

“Orang putih tu dahlah satu hal. Muda pulak tu! Berapa umurnya?” Aku tak puas hati.

“38 tahun.”

Lemah lutut aku. Umurnya 38 tetapi dia kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenarnya malah nampak jauh lebih muda daripadaku. Argh, rasa macam diriku disindir pula.

Ayah tarik tanganku mendekati wanita itu yang kini tersenyum lebar ke arah kami. Di hadapannya, ayah berhenti. Yang pelik, wanita itu terus salam tangan yang ayah hulurkan. Dikucupnya lembut. Rasa ingin ku tarik tangan ayah sebelum bibirnya menyentuh namun tak sempat. Hisy, ayah... dah buang tabiat agaknya!

“Gina, ni abang kenalkan anak abang, manja abang, Siti Salhah. Sal, ini mak baru Sal, Regina binti Abdullah. Ayah kahwin dengan Gina 2 minggu lepas.”

Aku pandang wajah ayah dan Gina bergilir-gilir. Rasa hiba hatiku. Sungguh! Tak sangka aku yang ayah sudah berkahwin tanpa pengetahuanku. Tapi, kenapa?  

“Ayah minta maaf sebab rahsiakan perkahwinan ayah daripada pengetahuan Sal. Ayah sebenarnya takut nak beritahu. Bimbang Sal tak setuju.”

“Kenapa ayah fikir macam tu? Sal tak pernah bangkang apa yang ayah buat selama ini, kan? Habis, tak kan Sal nak halang perkahwinan ayah pulak?”

Gina mencelah, “Semuanya salah mak cik, Salhah. Mak cik takut ayah Salhah batalkan hasrat kami kalau Salhah tak suka mak cik. Mak cik tak rela berpisah dengan dia. Jadi, mak cik bagi idea ini kepada ayah Salhah. Dengan harapan, kalau kami sudah kahwin, Salhah tak marah kami nanti.”


Aduhai, dahlah cantik, pandai pula berbahasa Melayu. Sopan pulak tu! Hmm, memang patut ayahku terpikat kepadanya. Tapi, aku sengaja hendak mengenakan mereka berdua. Biar diorang kecut sekejap.

“Dan ayah? Terus saja setuju... Sampai hati ayah!” Aku pura-pura merajuk.

Ayah peluk bahuku.

“Sorry, princess. Maafkan ayah, sayang. Ayah...”

“Sayang, bukan salah ayah awak. Salah mak cik ni!”

Aku kenyitkan mata kepada mak cik Gina. Melihatnya, dia kelihatan mengerti dan senyuman cantik menghiasi bibir. Ayah memerhati kami. Tidak lama kemudian dia rangkul tubuhku kemas.

“Nyaris ayah tak pengsan, tau! Anak ayah ni suka sangat main-main.”

Aku hulurkan tangan kepada ibu tiriku. Sebaik tangan bercantum, aku tunduk mengucupinya. Kemudian aku peluk tubuh mak cik Gina erat-erat.

“Terima kasih sebab mak cik dah bahagiakan ayah. Jangan bimbang, Sal yakin, kita akan berbaik-baik dan saling menyayangi, kan?”

Mak cik Gina angguk. Ada air jernih di tubir matanya. Aduh, melodramatiklah pulak. Tapi, malam ini, kesedihan dalam hati kutepis jauh demi insan-insan di hadapanku. Aku mahu ayah tahu yang aku sangat gembira dengan perkahwinannya. Aku bahagia bila dia bahagia.

“Lepas ni, mak cik Gina duduk mana? Tak nak pindah ke rumah kita?” tanyaku.

“Nak! Nak!”

Kami ketawa lagi. Nampaknya kami berdua ni sekepala. Seronok aku dapat mak tiri muda. Harap-harap...

“Bila boleh Sal dapat adik?”

Wajah ayah merona merah. Begitu juga dengan mak cik Gina. Gelihatiku melihat mereka. Tapi... seronok kan kalau dapat adik?

“Salhah? Awak di sini juga?”

Makkk..... suara itu! Ahh! Hilanglah bahagia dan keceriaanku! Aduh! Kenapa dia harus menjelma di celah-celah keriangan ini?

8 ulasan:

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.