Langkau ke kandungan utama

Cintaku ini.... 2

Kami berbaris menyambut ketibaannya. Aku berdiri di sebelah Shazana, nombor dua paling akhir. Ketika dia melangkah masuk di sisi ayahnya, tuan Umar, hatiku mulalah bergetar. Tanganku pula terketar-ketar. Lantas, kugenggam erat tangan kiri dan tangan kanan. Dapat kurasa betapa sejuk tapak tanganku.

I long to feel your touch..... To whisper in your ear....... Words that are old as time...... Words only you would hear..... If only you were mine

Kutarik nafas dalam-dalam. Kini, setiap langkah yang dia atur dalam perhatianku. Kulihat, dirinya masih seperti dulu. Tetap tegap, gagah dan keramahannya juga masih kekal. Dia berhenti untuk berbual seketika dengan setiap pekerja dan seperti biasa, dia pasti mengukir senyumnya yang mesra itu. Senyum yang lawa memikat jiwa.

Tak sabar untuk bersalam dengan dia. Ewah, Salhah? Gatalnya? Tak adalah! Aku tak sabar tunggu dia mendekat. Hendak mendengar suaranya lagi. Iyalah, kan... selama ini dia kuintai dari jauh sahaja. Manalah aku berani hendak melakukan lebih daripada itu? Siapalah aku?

Sejak hari bersejarah itu, aku cari maklumat tentang dirinya. Rupa-rupanya kami bekerja di bawah satu bumbung. Dia di tingkat 9 dan aku di tingkat 5, bangunan 10 tingkat milik Gelco. Dia bekerja sebagai juruteknik sementara aku hanya seorang kerani sahaja.

Satu hari dia masuk ke dalam pejabatku. Rupa-rupanya, dia hendak berjumpa dengan encik Halim, ketua jabatanku. Ketika dia melintasi mejaku, dia menangkap renunganku terhadapnya. Seperti dulu, dia mudah tersenyum. Tapi, aku rasa sebak bila dia menegur....

“Cik Salhah, kan?”

Tentu saja aku mengangguk. Malangnya, tidak ada perkataan meniti keluar dari bibirku. Ingin benar aku memberitahu dia yang aku suka dia tapi, aku bimbang nanti dia fikir aku tidak siuman pula.

“Awak kerja di sini, ya? Saya ingatkan awak kerja di tempat lain. Sejak kita jumpa hari tu, langsung tak pernah bertembung dengan awak. Menyesal pulak tak bagi awak kad nama saya. Kalau tidak tak adalah kita lost contact, kan?”

Tidak dapat kugambarkan betapa bahagianya aku. Alah, aku kan seorang perempuan? Tentulah aku rasakan yang kata-kata itu membawa maksud dia ingin berjumpa dengan aku lagi. Bayangkanlah perasaanku waktu itu? Tentulah aku rasa yang dia menghargai aku. Dia ingin kawan denganku. Seorang lelaki yang berperawakan menarik tidak hirau pada keadaan tubuhku yang montel ini. Oh, aku rasa terawang-awang. Seronok sangat!

Kenangan itu pergi bila kini dia berdiri di hadapanku. Kulontar jauh semuanya. Memori lama, untuk apalah diingat, bukan begitu?

Dia tersenyum menghulurkan tangan kanannya. “Lama tak jumpa. Apa khabar, Salhah?”

Waktu ini, kami menjadi perhatian semua orang. Aku tidak berani membalas renungannya sebab itu aku memerhati sekeliling kami. Tapi, dengan berbuat begitu, hatiku jadi semakin tidak keruan kerana melihat semua orang sedang berbisik-bisik. Yang sedihnya, sudah ada bibir yang terjuih-juih! Aku pun fahamlah. Aku bukan budak sekolah tahun satu. Tu, dah mula mengutuk akulah! Bukan aku tak biasa. Dulu... di ofis lama tu, semuanya kepochi begini. Mereka tak percaya yang Irfan kenal aku. Bukan setakat tidak percaya, malah jelas ada yang tidak merestui!

Eh, lama pula kubiarkan tangan itu dihulur. Irfan ni pun, macam tak faham yang aku tak akan menyambut tangannya itu. Aku dongak. Kemudian aku menjawab soalan yang ditanya tadi,

 “Alhamdulillah, saya sihat, encik Irfan.”

Kenapa dahinya berkerut? Kenapa senyumnya hilang? Kenapa dia marah?

“Masa setahun melarikan diri dari saya tak ubah apa-apa di antara kita, Salhah. Kita tetap kawan dan seorang kawan tak panggil kawan dia, encik, kan?”

Dia bisik hanya untuk pendengaranku saja tapi perbuatannya sekali lagi menyebabkan mereka di sekeliling kami mengerut dahi. Agaknya, mereka ingin benar tahu apakah yang diucapkannya kepadaku?

Aku tak sempat menjawab kerana tuan Umar tetiba menepuk bahunya. Mereka berbisik sebelum Irfan kulihat terangguk-angguk. Dia merenungku seketika sebelum berkenalan dengan Shazana. Lepas bertanya khabar lebih kurang, dia mengundur semula untuk berdiri di hadapanku.

“Nanti kita makan tengah hari sama-sama!” ujarnya sebelum meninggalkan kami.

.....................................

“Siapa di sini yang bernama Siti Salhah Ahmad?”

Aku dengar seseorang bertanya. Bila aku mendongak, dia sudahpun melangkah ke arahku. Matanya tajam. Wajahnya garang. Tapi, dia sangat cantik orangnya. Sangat bergaya juga.

“Cari saya, ya? Jemput duduk!” aku mempelawa.

Gadis itu tarik kerusi dengan kasar. Dia duduk sambil matanya tidak lepas dari aku. “Kau tak kenal siapa aku tapi itu tak penting. Yang penting sekarang ni ialah, aku nak kau lupakan Irfan Naufal. Dia bakal kahwin dengan aku dan aku tak mahu dia ragu-ragu dengan keputusan yag dah kami buat hanya disebabkan kau, perempuan gemuk yang tak sedar diri!”


Malu aku bila mendengar kata-katanya. Apatah lagi bila semua teman pejabatku memasang telinga. Kemarahan aku tahankan. Suara cuba kuluahkan selembut yang boleh. “Cik, cik cakap apa ni? Saya baru dua kali saja jumpa encik Irfan tu. Kedua-duanya secara tidak sengaja dan ada ramai orang di sekeliling kami. Kami kawan pun bukan. Jadi, mengapa pula cik rasa yang saya ni hendak merampas bakal suami cik?”

Dahi perempuan itu berkerut-kerut. “Tapi, Irfan cakap....”

“I dah teka! You mesti datang menyerang Salhah, Nina. Memang I dah agak dah! You ingat, I ni barang, ya? Trofi yang you boleh rebut? Untuk pengetahuan you, Nina, I saja aje reka cerita tentang Salhah sebab I nak tengok.... Nak tengok apakah cik Nina Ariana sanggup tinggalkan kesibukannya untuk rebut hati I semula. Tapi, you ni kan, tetap dengan ego you! I, you tak nak lepas dan bila ada orang lain yang sukakan I, you akan mula nak kawal. Mula cakap dengan semua orang yang I ni kekasih you, akan kahwin dengan you. Lepas tu, bila you berjaya buat orang lain mengundur, you balik dengan perangai lama you. Buat I macam tak wujud. Tak begitu cik Nina Ariana?”

Mulutku terlopong. Owhh, pergaduhan kekasih rupa-rupanya. Tapi, Irfan, yang aku puja-puja tu menggunakan aku untuk menyakitkan si dia. Adakah patut? Sampai hati dia!

“Awak? Boleh kelahi di tempat lain tak? Sebab dah nyata, saya tak terlibat sama sekali dalam kes awak berdua ni.”

Irfan ketawa sebaik habis aku bercakap. Apa yang lucu? Aku tanya dia.

“Awaklah! Kesian awak jadi mangsa. Awak marah saya, ya, cik Salhah?”

Kalau aku marahpun, tentu tidak jadi juga bila melihat dia. Tak sanggup aku! Biarlah dia memperalat namaku, tak apa! Asalkan dia bahagia.

“Tak baik tau, you gunakan dia ni untuk uji hati I. Nasib baik..”

Dahi Irfan berkedut. “Nasib baik?”

Nina mengangguk lalu menjungketkan kaki untuk berbisik di telinga Irfan. Tapi, bukannya dia berbisik pun! Aku tahu, dia sengaja hendak aku dengar apa katanya...

“Nasib baik dia ni si gendut! Tak cantik dengan cermin mata tebalnya tu. Kalau tidak, you ingat I senang-senang nak biarkan?”

Irfan merenung aku dan aku balas tatapannya. Tak sanggup membalas, aku pandang ke tempat lain. Hatiku terguris. Rasa macam nak menangis di situ juga. Tapi, kutahankan. Lalu aku capai beg. Kalau mereka berdua tak mahu pergi, biar aku saja yang keluar. Habis cerita.

“Salhah, awak nak ke mana?”

Aku tak peduli. Aku terus melangkah. Dalam hati, aku sudah jitu bertekad. Aku berjanji pada diriku sendiri, untuk tidak memasang angan-angan yang tinggi. Irfan Naufal bukan untukku. Irfan Naufal hanya boleh kurindu tapi aku tidak boleh jatuh hati kepadanya. Kalaupun aku sudah terpikat, semua anganan tentangnya hanya untuk kupendamkan. Selama-lama. Dia tak boleh tahu isi hatiku! 

Ulasan

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…