Langkau ke kandungan utama

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana sekalipun!

Abid tahu Aliah masih marahkan dirinya. Peristiwa semasa minggu suai kenal pelajar tahun satu masih melekat dalam ingatannya. Masih terpandang-pandang tingkah gadis genit itu. Masih terdengar-dengar suaranya yang lembut. Gayanya yang sopan. Dan wajah yang amat mendamaikan.

Tapi, selaku salah seorang orang kuat Majlis Perwakilan Pelajar, dia memanglah terkenal sebagai seorang yang ego dan sombong. Dirinya tidak mudah tersenyum. Suara garaunya cukup lantang memberi arahan. Dan, dia memang tidak pernah beri muka kepada ‘freshie’

“Abang, boleh saya mintak tanda tangan abang tak?”

“Kau tak nampak aku tengah sibuk ni? Pergi mintak pada orang lain dulu.” Abid buat-buat sibuk sahaja sebenarnya. Biasalah, budak baru memanglah kena buli sikit!

“Saya dah dapat yang lain. Abang yang terakhir.”

Bulat mata Abid. ‘Biar betul! Punya ramai senior bertugas, budak ni boleh dapatkan semua tanda tangan diorang?’ gema hati yang tidak percaya.

Ditatap wajah itu buat pertama kali. Gulp! Terus tidak berkelip matanya merenung. Langsung tidak menyedari bahawa gadis itu gelisah akibat perbuatannya. Abid sudah betul-betul terpukau.

Aliah ketap bibir. Malu sungguh menjadi mangsa sepasang mata lelaki itu yang nakal. Rasa hendak ditutup dengan jari jemarinya sahaja. Atau lebih baik lagi, biar dicucuk dengan garfu! Buta terus jadi Kasim Selamat. Senang!

Abid tersedar bila Alimi menepuk belakangnya. “Kau kenapa? Dah kena sampuk?” usik sahabatnya.

Soalan itu buat Abid jadi marah pada budak baru yang masih berdiri tegak di hadapannya. Belum pernah dalam sejarah hidupnya, dia tertarik kepada mana-mana perempuan pada kali pertama pertemuan. Belum pernah dia kehilangan kata-kata. Jauh sekali hendak merasa tertarik. Tapi... ah, tak boleh jadi ni!

“Kenapa abang koyakkan kertas saya tu?” jerit Aliah lantang sebaik Abid menarik kertas di tangannya lalu terus mengoyakkannya. Rasa hendak menangis pun ada! Sedih betul bila melihat cebisan-cebisan halus itu dibiarkan bertabur dan berterbangan. Ditahankannya kerana dia tetiba jadi geram terutama bila lelaki itu tersengih sambil berpeluk tubuh kini.

“Dua hari saya pusing keliling nak dapatkan tanda tangan tu semua, awak tahu tak?”Jeritnya. Tak peduli dah pada larangan supaya akur dan patuh pada ‘senior’. Siapa suruh pakcik ni koyak kertas tu? Ingat senang dia hendak mendapatkan semua tanda tangan tu?

“Kau sepatutnya mintak tanda tangan aku dulu! Kau tak kenal siapa aku ke? Hah?”

“Sebab awak tu manusia yang paling garang! Itu fasal awak yang terakhir.”

“Apa? Kau berani cakap macam tu dengan aku?”

“Saya hanya takut pada ALLAH. Dan, saya dah tak kisah pun awak buat macam tu! Saya anggap awak dah tanda tangan.”

“Hey, kau nak pergi mana tu?”

Aliah tidak peduli. Dia teruskan melangkah.

Abid semakin panas hati. “Tunggu kau! Selagi aku tak kenakan kau, nama aku bukan Abid bin Zuhairi. Kau dengar tak?”

Freshie yang lain kecut perut mendengar laungan Abid tapi Aliah hanya tersenyum sinis meski dalam hati perasaan cemas tetap hadir. Apakah yang menantinya nanti?

2

Malam kebudayaan. Ada pertandingan berlakon, menyanyi dan menari antara kolej kediaman. Aliah terpilih untuk berlakon. Terkumat kamit mulutnya menghafal skrip ketika duduk di belakang pentas. Watak gadis yang merayu-rayu pada kekasih hati itu cuba dihayati walaupun dia sebenarnya tidak suka langsung pada karektor itu. Lemah dan sama sekali bertentangan dengan prinsip hidupnya.

“Aliah, your turn!”

Aliah mengangguk. Dia mengemaskan baju kurung yang dipakai. Wajah kak Zahira yang sedang merenungi dirinya ditatap seketika. Dia nampak riak tidak puas hati pada wajah pengarahnya itu. Kak Zahira marah sebab Aliah berdegil, tidak mahu memakai baju labuh berwarna merah yang diberi tadi. Masakan dia hendak mengenakan baju yang sebegitu? Berlakon, berlakon juga, aurat tetap kena jaga!

Tepukan bergemuruh ketika dia menaiki pentas buat dada Aliah berombak kencang. Apa lagi bila melihat ke arah lelaki yang sedang membelakanginya. Lagilah risau. Bolehkah dia berlakon dengan baik ni? Tanya hati.

Budak baru manalah yang menjadi pakwe dia malam ini? Ah lantaklah! Ini yang pertama dan terakhir. Habis malam ni, boleh tutup buku dah! Mereka semua akan bebas dari cengkaman senior.

Rasa tidak sabar sahaja untuk memulakan pelajaran. Memulakan hari-hari yang penuh dengan assignment dan tutorial serta kuliah. Hmm..

“Awak, saya minta maaf, wak! Saya janji, saya tak akan ulang lagi semua kesalahan. Saya janji, saya tak akan buat awak terluka lagi! Awak, terimalah saya semula, ya! Saya betul-betul sayangkan awak.
Sayanggg... sangat!”

Uwekss... dia sendiri rasa hendak muntah menyebut kata-kata rayuan itu. Apa lagi kalau orang yang mendengar. Tidak hairanlah ada yang sudah boo...booo.... Siapalah agaknya penulis skrip bodoh ini?

Aliah terpempan bila lelaki yang kononnya ialah si kekasih hati berpaling. Memang terkejut! Sejak bila pulak mangkuk ayun ni jadi ‘freshie?’.

Hati mula rasa tidak sedap. Terutama bila memandang senyuman yang kini sinis menguntum pada bibir itu. Arghh, memang dirinya sudah terkena. Sudah masuk dalam perangkap si Abid ni! Sakitnya hati, Tuhan saja yang tahu setelah menyedari dirinya tertipu bulat-bulat dengan pujuk rayu kak Zahira. Rasa ingin sahaja dia mematahkan tengkok kakak tahun tiga itu.

Abid kini sudahpun berdiri hampir di sisinya. Lelaki itu berbisik perlahan namun masih dapat Aliah dengar ugutannya. “Kalau kau lari turun dari pentas ni....”

Macam mana lelaki ini tahu gerak hatinya?

“Masih sayang ya? Cinta? Mana buktinya? Eh, Aliah! Kau ingat aku buta ke selama ini? Kau ingat, aku tak nampak kau ke hulu ke hilir dengan orang lain? Hei, ini Abidlah! Kau tak akan boleh permainkan hati dan perasaan aku!”

Wah, begitu bersungguh lelaki itu berlakon. Agaknya, garang dan bertempik sudah menjadi darah daging dia kut, hati Aliah mengomel. Sukalah tu dapat mengenakan orang? Jelingnya bila terlihat senyuman yang menyakitkan hatinya itu sekali lagi.

Melihat Aliah yang kaku berdiri, Abid mendekat.

“Your line! Ke dah lupa? Bagus jugak kalau kau lupa. Bolehlah aku reka ayat-ayat cinta untuk kau. Kau tentu suka, kan?” bisiknya sebelum menjauhkan diri untuk berdiri di tengah ruang pentas semula.

Sindiran mamat poyo itu buat Aliah tersentak. Ayat-ayat cinta? Yang ada dalam kepala pun rasa amat menyakitkan, ini hendak mendengar pengakuan palsu pula? Hisy, tolonglah! Tak sanggup!

Lakonan mesti diteruskan, fikir Aliah. Dia tidak mahu lelaki ini memandang rendah pada dirinya. Kerana dia bukan seorang yang lemah. Dia ada prinsip. Dia punya pendirian. Lelaki ini perlu belajar menghormatinya.

“Awak, kita pernah ada masa-masa yang indah bersama. Tolonglah! Jangan lepaskan apa yang kita pernah miliki. Saya dah mengaku salah dan saya janji, saya tak akan ulang lagi semua kesilapan saya. Terimalah saya semula sebagai kekasih awak. Saya janji, saya akan setia pada awak sorang. Percayalah!”

Dalam hati, Abid rasa hendak ketawa melihat wajah Aliah. Hah, baru dia tahu siapa Abid? Berani nak garang-garang dengan senior lagi? Tunjuk heroin sangat?

“Buktikan!”

Eh... ni dah tak ada dalam skrip. Otak Aliah mencerna kata-kata Abid. Oh, nak kenakan akulah ni, ya? Cis!

“Buktikan dengan apa, wak?” wajahnya dimaniskan dengan senyuman plastik.

Abid sengih. “Jerit di sini yang kau cintakan aku. Macam dalam cerita Hindustan tu. Jerit sekarang, “Abid, I love you soooo much!”

“Abid, I love you so much!” Aliah mengajuk.

“Kuat lagi! Aku tak dengar!”

Aliah beri jelingan maut tapi kali ini suaranya lebih langsing. “Abid, I love you soooo much!”

Abid semakin seronok terutama bila dilihat kawan-kawan yang menonton sudah mula ketawa mengekeh. “Kuat lagi! Bagi semua orang dengar isi hati kau tu!”

“Abiddd..... Saya sayangggggg awakkkkkk!” jerit Aliah macam nak terkeluar anak tekak.

Abid tatap wajah itu. Hatinya puas. Terutama bila dilihat muka Aliah yang sudah merah padam menahan rasa malu.

“Tapi, aku tak sayang kau. Aku tak suka kau. Aku benci kau! Kau... tak akan pernah dapat miliki hati aku, Aliah! Kau tak akan boleh jadi kekasih aku. Bye!”

Dia turun meninggalkan Aliah termangu. Puas rasa hati setelah dapat membalas dendam. Hari tu, Aliah meninggalkannya di depan semua setelah puas menengking dirinya. Malu sungguh dia! Bayangkanlah bila lelaki kegilaan ramai diherdik, dimarahi di hadapan semua orang? Mana nak letak muka hensemnya?

Berbaloi dia meminta bantuan Zahira. Masuk juga Aliah ke dalam perangkapnya. Haha... padan muka! Macam ayam berak kapur kat atas pentas tu! Saat dia menoleh, Aliah terduduk di tengah-tengah pentas sambil menyeka air mata yang mengalir di pipi gebu. Namun sedikitpun dia tidak tersentuh. Sehingga tirai dilabuhkan, Abid tetap dengan pendiriannya. Keras menolak rasa kasihan yang tetiba hadir dalam hati.

Lamunan terhenti bila Aliah bangun dengan tergesa-gesa.

“Kau nak ke mana?”

“Saya dah kenyang.” Aliah segera berpaling namun langkah terhenti bila Abid memegang lengannya kejap.

“Lepaslah!” tangan Abid ditepis kuat.

“Duduk dulu. Aku ada benda nak cakap dengan kau.” Tegas Abid.

“Tapi, saya tak ada telinga nak dengar cakap awak. Lagipun, awak tak takut ke saham awak jatuh? Lupa dah pada ayat-ayat ego awak kat atas pentas dulu?” Aliah segera mengulanginya...

“Aku tak sayang kau. Aku tak suka kau. Aku benci kau! Kau... tak akan pernah dapat miliki hati aku, Aliah! Kau tak akan boleh jadi kekasih aku.”

Dia kemudian menatap wajah Abid dengan garang.

“Saya tak sayang awak. Saya tak suka awak. Saya benci awak. Awak tak akan pernah dapat miliki hati saya, Abid. Awak tak akan boleh jadi kekasih saya. Faham?”

Abid melepaskan keluhan. Susah payah dia mencari Aliah. Bila berjumpa, Aliah tetap bersikap keras kepala. Langsung tidak peduli padanya. Langsung tidak mahu bercakap apalagi hendak melontar senyum. Ah, memang mencabar untuk memiliki gadis ini. Memang mencabar untuk menggodanya. Kalaulah boleh dibiarkan...

Tak mungkin! Yang susah dapat inilah yang akan terus dikejar. Yang susah dapat inilah yang akan cuba ditundukkan. Yang susah dapat inilah bakal menjadi suri hatinya.

Ya, Aliah... kau tidak akan dapat lari jauh dariku. Percayalah, kau akan jadi milikku satu hari nanti kerana kaulah idaman jiwa ini!

3
“Kenapa dengan kau, bro? Apa yang hilang? Hati ke?”

Abid menjegil Alimi. Bulat bola matanya. Sedikit sebanyak menimbulkan juga rasa gerun dalam hati kawan baiknya itu. Membuat Alimi terus terdiam menuju ke katilnya, lalu baring sambil tekup muka.

Soalan Alimi tu... pedih wooo.... Menusuk hingga ke tulang hitam. Kepalanya dahlah berserabut dengan tugasan yang tak habis-habis, kerja projek tahun akhir yang amat mencabar, mana dengan pembentangan-pembentangan itu ini, dengan ahli kumpulan yang berbagai kerenah pula, boleh pulak tanya hati dia hilang ke tidak? Macam tak faham-faham!

“Itulah, lain kali kalau nak mengurat, ayat tu kena betul. Lembut, halus, romantis... Ini kau? Jerkah dia dengan suara macam petir, tentulah amoi tu lari, maa...” Sindir Alimi perlahan.

“Alah, jauh mana dia boleh lari? Kampus UPM ni bukannya besar sangat. Esok-esok, terserempaklah jugak.”

“Ha ah..kau terserempak dia dengan boyfriend dia. Aku dengar budak tu anak orang kaya. Senior dia, budak second year. Nama Hamzi, anak somebody. Banding dengan kau... jauhlah!” Alimi membakar lagi hati Abid.

“Apanya yang jauh?”

Membuak-buak rasa ingin tahu dalam hati Abid.

“Engkau dengan mamat Hamzi tu laa,” balas Alimi sambil duduk bersila di atas katil, menghadap Abid yang sibuk membuat nota di meja studi. “Eh, Abid. Tadi, aku nampak si Aliah dengan dia di kafetaria, tau! Bibir Aliah senyum memanjang. Aliah pegang sekuntum bunga ros merah. Hamzi tu pulak, aku tengok, mak... pijak semut pun tak mati. Pandai buat lawak agaknya sebab Aliah kejap-kejap gelak. Kejap-kejap, gelak! Lepas makan, kau tahu diorang pergi mana? Terus naik kereta si Hamzi tu. Skyline, weh! Skyline! Habislah, kau! Memang tutup terus peluang nak dapat Aliah.”

“Kau bukan Tuhan nak tentukan jodoh dia,” keras Abid membalas.

Alimi mencebik. “Bro, kau apa yang ada? Motor ‘second hand’ bapak kau yang dah mencungap tu? Kau boleh ke nak beli bunga bagi pada Aliah hari-hari? Kalau satu tangkai tu nilainya RM4.50, habis duit bajet lunch kau! Tu belum lagi aku banding pakaian kau dengan Hamzi punya yang serba branded. Hisy, nasihat akulah, kan, Abid. Baik kau menyerah kalah ajelah. Malu nanti kalau heboh satu kampus kau nak bersaing dengan si Hamzi tu.”

Abid terus tutup buku. “Daripada aku dengar cakap-cakap kau yang menyakitkan hati ni, baik aku pergi tengok kebun sayur aku. Baik aku bercakap dengan kambing-kambing, dengan ayam-ayam kat kandang. Kau ni, Alimi, nama aje kawan baik, tapi, bisa mulut kau tu, lagi teruk berbanding musuh, tau!”

Alimi tak senang mendengar kemarahan yang terluah. “Abid, aku bukan nak perlekeh kau. Aku cuma nak kau cermin diri kau tu. Ya, memang kau terkenal di UPM ni. Ya, memang kau antara pelajar yang terhebat tapi itu semua bukan perempuan nampak. Diorang lebih mudah digoda dengan harta, dengan kereta. Kau tampan ke, tubuh kau sasa macam Aaron Aziz sekalipun, siapa peduli? Perempuan semua mata duitan, beb! Ada duit, sayanglah. Ada harta, cintalah! Tapi kalau habuk pun tarak... blahlah kau!”

Abid sudah tak tahan mendengar hinaan Alimi. Hatinya sakit. Rasa hendak dilempang agar mulut macam perempuan tu tertutup rapat. Aduhaii...

Dia ingat aku ni papa kedana sangat ke? Bapak aku tu ketua kampunglah, Alimi! Dah dua kali pergi haji tu! Kebun getah ada dekat 20 ekar. Kebun kelapa sawit pulak.. berapa ekar, ya? 10 ekar, kut? Tiap minggu, pulangan kelapa sawit aje lebih kurang RM6 ribu, tahu? Simpanan atas nama aku pun bukannya sikit! Kalau aku nak keluarkan duit dan beli kereta, setakat skyline second hand, aku pun boleh beli! Tapi, aku tak nak tunjuk aku miliki semua tu. Sebab, cara macam tu, kita tak akan tahu sama ada orang ikhlas berkawan atau tidak. Tak apalah... kalau si Aliah tu pun spesis memandang harta, aku boleh cari perempuan lain. Tak kisah! Aku petik jari aje.... datanglah yang lain! Abid menggumam sendiri.

“Hah, Abid. Mujur kamu datang. Cepat. Ni si Bunga ni nak beranak.”

Abid buru-buru menongkat motor buruknya dan berlari ke arah suara abang Nuar, pembantu Prof Hamid.  Tanpa suara, dia terus mendekat.

“Hah, jadi bidan terjun kita hari ini. Prof dah ke Kl, ada mesyuarat.”

“Relakslah, bang. Bukan tak biasa.” Balas Abid sambil membelai kepala kambing bernama Bunga itu.

“Yang kamu usap-usap kepala kambing tu macam usap kepala orang, kenapa?” Abang Nuar menegur.

Abid sengih. Risau hati dibuang entah ke mana. Tenang dia menjawab, “Sakit bersalin ni, bang. Moga-moga, dengan usap-usap ni, Bunga tahu yang kita prihatin pada dia. Nanti, kalau dia beranak kerap-kerap lagi, siapa yang untung? Hah, jabatan ni lah...”

Hampir dua jam menanti, Bunga akhirnya dapat anak dua ekor. Abid meminta diri untuk balik ke kolej selepas tu. Tubuhnya sudah bermandi peluh. Rasa melekit dan berbau hamis. Dia tersenyum, merasa puas dengan apa yang baru dialami namun senyum itu mati bila terpandang si pujaan hati di seberang jalan. Aliah sedang tersenyum riang di samping seorang pemuda. Mereka sedang berjalan seiringan. Amboi, mesranya?

Aliah merasakan seperti dirinya sedang dalam tatapan seseorang. Walaupun belum lagi dia nampak orangnya, kenapa hati sudah pandai membuat andaian? Tetiba berdegup kencang pula? Hanya sepasang mata itu yang mampu! Mampu buat hatinya bergetar dan berlagu pelbagai rentak. Diakah? Diakah yang sedang memandang?

“Kau pilih dia sebab dia kaya, ya?”

Tak perlu fikir-fikir dah! Tak ada orang lain yang akan menjerkahnya selain si Abid yang perasan maco tu!

“Wah, marah betul abang Abid tu? Siap cekak-cekak pinggang lagi? Soalan pun bunyi pelik semacam?” ulas Hamzi.

“Hero kampung aje, abang Zi. Memanglah macam tu, suka menjerit, terpekik, terlolong. Macam kita semua ni pekak dibuatnya.” Balas Aliah bersahaja.

“Dia cemburu tengok kita berdua agaknya?” Hamzi meneka sambil mengenyit mata.

Alahai, satu kampus tahu tentang Abid dan Aliah. Kisah masa minggu orientasi tu memang menghiburkan semua. Jumpa Abid, pasti ada yang tersengih-sengih. Nampak Aliah pula, pasti ada yang mengusik. Dan, tentu sahaja pemburuan Abid menjadi misteri. Berjayakah atau tidak? Dapatkah atau tidak? Nak tanya pada siapa? Abid tentu sahaja tidak akan menyahut. Aliah? Langsung tidak ambil pusing.

Terbakar jiwa bila tengok Hamzi kenyit mata pada Aliah. Rasa nak ditumbuk saja muka kiut tu, bentak Abid dalam hati.

“Bau kambinglah, abang Zi. Abang Zi ke yang tak mandi atau...” Aliah menyindir bila hidungnya terhidu bau hamis sebaik Abid sampai di hadapannya. Tapi, ada Abid peduli?

“Tak payah nak sindir-sindir aku, Aliah. Mentang-mentang kau orang bandar, nak perli-perli aku pulak.  Memang aku yang baru keluar dari kandang kambing. Si Bunga tu beranak, aku yang jadi bidan dia...” Abid memberitahu dengan bangga. Suka bila Aliah melopong mendengar pengakuannya. Tapi, dia masih belum puas hati kerana soalannya belum berjawab.

“Aku tak sangka yang kau ni sama macam perempuan lain. Sama macam perempuan-perempuan dalam novel, dalam drama Melayu. Gila harta! Gila duit! Tamak!”

“Awak! Mak bapak saya dah cukup kaya, okey! Harta diorang dah cukup melambak dan saya tak perlu nak tumpang harta orang lain. Jadi, jangan suka tuduh-tuduh, ya!”

Abid ketap bibir. Geram bila Aliah masih mampu melawan cakapnya.

“Kalau gitu, yang kau berkepit dengan budak hingusan ni, apasal? Kata tak gila harta, tapi dengan aku, sombong! Dengan budak ni boleh pulak kau merambu naik skyline dia ke sana, ke sini?”

Aliah mendengus kasar. Dia panjat bangku  taman, kemudian dia menggamit si Abid supaya mendekat. Sekarang, dirinya lebih tinggi daripada Abid. Senang dia nak bercakap. Selama ni asyik mendongak. Hari ini, dapatlah dia pula buat Abid mendongak dan mendengar tiap butir perkataan yang ingin dikatakannya.

Abid terpaksa menahan gelak. Amboi, nak marahpun kena berdiri atas bangku....

“Saya tak suka awak buat saya macam ni. Suka marah-marah, asyik nak menengking, herdik sana, herdik sini? Sombong! Sikap awak tak matanglah, Abid. Langsung tak matang. Awak, awak jangan perasan sangat, boleh tak? Banyak lagi mamat dekat luar sana tu yang jauh lebih kacak dari awak. Ramai lagi yang lebih kuat, lebih tegap dari awak. Ramai lagi yang lebih hebat! Saya tak kisah kalau orang tu miskin, hodoh atau lembik sekalipun. Saya boleh berkawan dengan dia. Tapi kalau mamat ego, perasan bagus macam awak ni, maaflah! Usah kata nak kahwin dengan awak, nak kawan biasa-biasa pun... you are not my taste!”

Aliah turun. Dia menarik tangan Hamzi yang terpaku. “Jom, kita balik!”

Abid rasa hiba sangat. Pedih betul bila gadis idaman jiwa meluahkan sebegitu. “You are not my taste!” Makk... kenapa kau tak tikam aje perut aku ni, Aliah? Sakit, kau tahu tak?”

Tapi...

“Aliah, macam mana kalau aku berubah? Kalau aku tak tengking, tak jerit, tak herdik kau?”

Aliah mematikan langkah. Berpaling dan berkata dengan jelas, “Berubahlah demi diri sendiri. Bukan untuk saya.”

“Kau ingat senang nak berubah?”

Aliah tersenyum. “Cubalah dulu! Abid, sikap awak adalah cermin sikap orang tua awak. Awak suka ke kalau orang fikir yang bukan-bukan tentang mereka bila orang menjadikan awak simbolnya? Suka?” tanya dia.

Abid hilang kata-kata. Kelu melihat Hamzi membukakan pintu kereta untuk Aliah. Kelu melihat senyum Aliah untuk Hamzi. Kelu kerana Aliah memilih lelaki lain yang kononnya lebih berakhlak. Benar kata Alimi. Dia sudahpun tewas. Bukan kerana Aliah memilih yang lebih kaya tetapi kerana sikapnya yang tidak disenangi gadis itu.

Dia memerhati gadis itu pergi. Hilang dan menjauh dari hati.

4

Aliah duduk di sisi Amiza, dalam kelompok pemain-pemain bola jaring yang baru sahaja menamatkan permainan. Keletihan memang tidak perlu diberitahu namun mereka masih mampu tersenyum kerana baru tadi, masing-masing menaiki tangga pentas untuk dijulang sebagai johan.

“Hari ni tak nampak pulak abang Abid, kan?”

Aliah pura-pura tidak mendengar.

“Aliah, kau tahu tak ke mana abang Abid pergi?”

Aliah pandang wajah Ziana dengan terpinga-pinga. “Kenapa tanya saya?” soalnya.

“Ops, ingat tahu tadi!” Ziana tekup mulut sambil tergelak-gelak. Yang lain-lain turut ketawa. Kecuali Zahira.

Aliah gelengkan kepalanya. Tapi, dia juga turut pelik dengan sikap dan perangai Abid sekarang. Sudah dua bulan sejak dia memberikan nasihat percuma dulu. Sejak hari itu, Abid langsung tidak menegurnya. Tidak bercakap dengannya. Tapi, ke mana saja dia pergi, lelaki itu pasti ada. Macam ‘stalker’!

Dia rimas dengan sikap Abid. Betul-betul rimas. Lelaki itu sentiasa mengetahui pergerakannya. Lelaki itu sentiasa tahu aktivitinya. Di mana ada dirinya, Abid pasti ada juga. Merenunginya dari jauh. Mengintai dalam diam. Tanpa menegurnya. Tanpa berkata apa-apa.

“Sekarang ni, kan, susah nak dengar suara Abid dah. Sepatah kita tanya, sepatah dia jawab. Dah tak ramah mesra macam dulu.” Kak Anis, teman sekuliah Abid memberitahu.

Zahira renung wajah Aliah. “Eloklah kalau macam tu, kak Anis. Tentu sahamnya makin naik, kan! Dah semakin gentleman dah! Cakap pun tak jerit, maki hamun segala. Berubah betul dia!”

“Mestilah! Nak pikat cik Aliah yang lemah lembut, kan?” Giat Ziana.

Aliah sekali lagi tergamam. “Bukanlah! Janganlah cakap macam tu. Malu saya kalau dia dengar!” tepisnya.

“Kenapa cakap macam  tu, Aliah? Bercinta bukan satu kesalahan. Dicintai pun bukan satu kesilapan. Bila seseorang sukakan kita, kenapa kita mesti jual mahal? Kenapa mesti letakkan syarat bagai?” Zahira melenting marah.

Memang sudah lama dia rasa sakit hati dengan Aliah. Kerana Aliah, Abid semakin tidak mempedulikannya. Kerana Aliah, Abid tidak pernah lagi mahu bersama-sama dengannya. Biarpun Aliah tidak mahukan dirinya, Abid tetap setia. Tetap juga hatinya tidak terusik dengan Zahira. Zahira mekaplah setebal dua inci pun, bagi Abid, tak ada yang lebih cantik selain gadis sombong ini.

“Yalah, Aliah. Kau ni pelik! Lelaki macam Abid tu pun kau tak suka? Kau tolak cinta dia?”

Pipi Aliah merona merah. Dia malu menjadi topik perbualan rakan-rakan sepermainan ini. Dia malu bila dia dan Abid dikait-kaitkan.

“Alah, Abid tu bukan reti bahasa. Walaupun dia nampak Aliah rapat dengan Hamzi, dia tetap nak himpit jugak. Bukan tahu nak mengalah.” Marah Zahira lagi.

Kak Anis mencelah, “Biarkanlah dia. Mungkin bagi Abid, selagi Aliah dengan Hamzi tak kahwin, dia masih ada peluang. Sebab tu dia setia pada Aliah. Tak gitu, Aliah?”

Aliah gelengkan kepala. Tidak mahu menjawab apa-apa bimbang disalah tafsirkan. Dia terus angkat kaki meninggalkan semua bila Hamzi yang baru sampai membunyikan hon kereta. Di belakangnya, dia tahu, tentulah kawan-kawannya itu sedang mengutuk dirinya. Tapi, dia tak kisah. Dia sudah mangli....

Abid? Kenapa susah sangat lelaki itu hendak melupakan dirinya? Bukanlah dia secantik Sti Nurhaliza untuk dipuja. Bukanlah dia gadis hebat untuk dicinta. Ahh, dia harus bersemuka lagi dengan Abid. Dia harus menasihati lelaki itu lagi.

........................

“Assalamualaikum.”

Perlahan-lahan, Abid angkat muka. Dia kenal suara itu. Dia tahu Aliah sedang berdiri di hadapannya. Ops, Aliah sedang menarik kerusi untuk duduk bertentangan dengan dia sekarang. Getar hati, Allah sahaja yang tahu. Si dia yang selama dua bulan hanya dapat ditenung, diintip dari jauh, kini berada di hadapan mata. Rasa tidak percaya pula...

“Waalaikumsalam Warahmatullahi Wabarakatuh..” jawabnya dalam debar yang menggunung.

Abid tatap wajah lembut itu. Mata bertentangan seketika sebelum masing-masing mengelak. Hati Abid penuh dengan rasa hairan. Kenapa Aliah tega mendekati dirinya hari ini sedangkan selama ini gadis itu sentiasa berpura-pura tidak mempedulikan kehadirannya?

“Awak, saya nak cakap sikit.”

Abid angguk.

“Boleh tak awak jangan ikut-ikut saya lagi? Saya tak suka.”

Wajah Abid tegang. “Apa masalah kau, Aliah? Aku tak kacau kau pun!” soalnya dalam nada perlahan kerana mereka kini sedang berada di dalam perpustakaan.

Aliah melepaskan keluhan. “Janganlah ikut ke mana saja saya pergi.”

Abid terus ketawa dengan kuat. “Mana kau tahu aku ikut kau?” tanya dia.

“Habis, kalau dah semua orang cakap...’Di mana ada Aliah, di situ ada Abid,’ apa kes tu?”

Wajah Abid berseri-seri bila dia meneruskan tawa. Kalau tidak kerana memegang kepada prinsipnya, mahu terpesona Aliah kali ini. Abid memang tampan, Aliah terpaksa mengakuinya. Ciri-ciri fizikal seperti di dalam novel-novel Mills and Boon, iaitu ‘Tall, Dark And Handsome’ memang dah ada. Hari ini, bila Aliah melihat buat pertama kali dengan betul-betul seraut wajah itu, aduh mak, patutlah ramai yang ingin menjadi buah hati lelaki ini. Memang menarik cara dia tersenyum. Ketawanya tu pula?

Eh, kenapa ni? Apasal dok puji lebih-lebih? Datang ke sini ni nak memuji ke nak kasi warning? Haih...

“Awak...” Aliah rasa macam nak jerit saja sebagai melawan bisik hati yang sudah kucar-kacir.

“Ya, Aliah..”

Laa.... kenapa lembut aje dia sebut nama aku?

“Kenapa, Aliah?”

Aduh.... janganlah, Abid! Kenapa awak ni? Bisik-bisik dalam senyum... Janganlah! Jangan curi hati saya...

“Aliah?”

That’s it! Tak sanggup dah! Rasa nak gugur jantung. Lemah sendi. Begini rupanya kalau Abid menjadi seorang yang sopan santun? Habis lentur jiwa yang halus. Kalau dengar dek perempuan-perempuan lainpun, mahu gila talak semua....

“Err....”

Abid mengerutkan dahi. Dia tidak memahami mengapa wajah Aliah merona merah. Dia tidak mengerti mengapa tetiba saja Aliah jadi tergagap-gagap.

“Aliah, aku dah penuhi permintaan kau supaya aku belajar bercakap dengan sopan. Dua bulan aku cuba mengawal diri agar tak lagi marah-marah. Tak jerkah-jerkah orang. Bila kau cakap yang aku bukan lelaki pilihan kau, aku faham yang aku tak layak. Tak layak berkawan dengan kau. Tak layak jadi kekasih kau. Tapi, aku rasa, setakat jadi silent admirer, memerhati kau dari jauh, tak jadi satu dosa, kan?”

Hisy, kenapa rasa nak nangis ni? Kenapa hati tetiba rasa kasihan pulak? Tak nak lah! Tak nak jatuh cinta dengan Abid! Tak nak! Tak nak!

“Aliah, aku tahu, kau sukakan Hamzi. Kalau cinta kau pada dia berbalas, aku doakan kau bahagia dengan dia. Toksah susah hati tentang aku. Aku faham dah yang cinta bukan boleh dipaksa-paksa. Aku dah boleh terima yang kau bukan ditakdirkan untuk aku. Tapi,”

Aliah cepat-cepat berdiri. Dia ingin segera pergi dari situ. Dia tak boleh dengar lagi kata-kata sopan dari Abid.

“Jangan halang aku tengok kau, Aliah. Jangan halang aku puja kau dari jauh. Benarkan aku menjadi perindu buat seketika. Tak lama, Aliah. Tamat aku belajar, kau tak akan nampak aku dah. Bayang aku pun tak akan berani dekati diri kau lagi...”

Aliah segera pergi meninggalkan Abid dan permintaannya. Tak sanggup lagi dia mendengarnya. Tak sanggup lagi dia melihat wajah yang penuh mengharap. Kenapa, Abid? Kenapa? Kenapa awak buat macam ni? Saya tak boleh balas cinta awak. Tidak selagi cita-cita saya belum tercapai. Tidak selagi hajat saya belum termakbul. Awak faham tak?

Ah, masakan Abid faham? Dengar pun tidak, kan?

5

Hari konvokesyen

Wajah Aliah berseri-seri. Selepas berhempas pulas selama 4 tahun, akhirnya dia berjaya menggenggam segulung ijazah. Puan Hanim peluk dirinya erat-erat setiap kali mereka bergambar. Maklumlah, anak tunggal sudah bergelar seorang graduan. Tentulah bangga!

Encik Said, bapa Aliah, tidak kurang aksinya. Dengan kamera DSLR, dia megah sekali menyuruh Aliah ‘posing’. Rasa-rasanya, sudah beratus keping gambar Aliah ditangkap.

“Lepas ni Aliah kena fikirkan soal kahwin pulak.” Kata neneknya, Puan Saadah, disambut anggukan kepala ayah, emak dan datuknya.

Aliah hanya tersenyum. Soal kahwin tidak pernah ada dalam kotak fikiran terutama selepas Hamzi meninggalkan dirinya enam bulan lepas.

Rasa kecewa masih berbekas. Biarpun Hamzi tidak mampu membuat hatinya bergetar tiap kali mereka keluar bersama-sama, biarpun senyum Hamzi tidak pernah mencuit rasa, dia tetap sedih bila lelaki itu memberitahu bahawa mereka tidak boleh meneruskan hubungan.

“Aliah tak pernah cintakan abang macam abang cintakan Aliah. Jadi, abang dah buat keputusan nak lepaskan Aliah dari hubungan kita ni. Abang tak nak Aliah paksa diri Aliah menerima abang.”

“Cakap saja yang abang dah ada Rosmizah. Kan senang? Tak payah bagi alasan yang tak relevan tentang saya!” Aliah menyinga.

Hamzi menghela nafas. Wajah Aliah yang cantik ditatap dalam-dalam. Dia terpaksa mengangguk, mengakui kata-kata Aliah.

“Maafkan, abang. Tapi, abang tak malu mengaku yang hati abang ni milik Rosmizah sekarang. Dia tak berpura-pura kasihkan abang, Aliah. Dia tak macam Aliah yang selalu menolak Abid tapi dalam hati tu sebenarnya sangat suka pada dia.”

Kemarahan Aliah semakin membara. “Abang masih cemburukan dia? Abang Zi, abang tahu tak yang sejak tiga tahun dulu, Aliah tak pernah jumpa dia langsung? Abang Zi tahu tak yang Aliah tak pernah pun ada rasa untuk dia. Aliah...”

Gelengan Hamzi menghentikan kata.

“Jangan nak bohong, Aliah. Abang ni lelaki dan abang tahu bila seorang perempuan tu suka atau ada hati pada abang. Abang jugak boleh teka bila orang tu tak sepenuh hati bila dia dengan abang. Aliah, perlu ke abang tayangkan semula peristiwa dulu-dulu tu?”

Aliah mengerut dahi. “Apa maksud abang Zi ni?”

“Masa Abid ada dalam kampus ni dulu, abang Zi dapat tengok Aliah yang bermaya. Kena tengking dengan lelaki tu, Aliah mampu balas balik. Lepas tu boleh pulak beri nasihat baik punya. Mata Aliah sentiasa mencari-cari dia dan bila Aliah nampak dia aje, bibir Aliah pasti senyum. Tapi, sejak Abid tamat belajar, Aliah dah macam robot pulak. Belajar, belajar, belajar.”

“Abang sengaja nak sakitkan hati Aliah ni!”

“Abang tak faham kenapa Aliah tolak dia.”

“Jangan tanya banyak-banyak, boleh tak? Kalau nak putus sangat dengan Aliah, okey, kita putus! Bye bye!”

Aliah tersentak bila bahunya dielus lembut. Senyum terpaksa diukir pada bibir demi membalas senyuman ibunya. Kenangan lama terus hilang lenyap.

“Tu mesti teringatkan Hamzi, ya? Dahlah! Tak ada jodoh Aliah dengan dia. Cari saja lelaki lain.”

Aliah ketawa besar mendengar pujukan emaknya. Geli hati betul!

“Mak ingat senang ke?”

“Senang aje kalau kamu tu tak memilih sangat.” Balas puan Hanim.

Memilih? Itulah yang ibunya fikirkan? Baiklah, biar dia memilih sekarang. “Hmm, Aliah nak yang macam.... lelaki tu!”

Ibu jari Aliah terhala kepada seorang lelaki yang sedang memeluk erat tubuh seorang perempuan sambil tangan kirinya menghulurkan sejambak bunga Carnation kepada gadis itu. Perlakuannya cukup romantis terutama bila dia mencium dahi si jelita. Aliah dapat melihat sepasang mata gadis itu terpejam rapat menikmati kucupan yang diberi.

“Romantisnya dia....” hati berdesis. Lama dia memerhatikan mereka sambil hati membisik betapa beruntung gadis itu mempunyai buah hati yang penyayang.

“Tu mesti suami dia, kan, mak?”

“Mana kamu tahu? Entah-entah pak we dia. Bebudak sekarang..”

“Tak baik mengumpat, Nim. Abang rasa mereka tu suami isteri. Tengok tu, ramai kaum keluarga diorang ada sama. Kalau pak we mak we, tak kan emak bapak ke dua-duanya tak tegur tingkah laku tu. Betul tak?”

Puan Hanim mengangguk tanda setuju tapi Aliah sudah tidak dapat bersuara. Dia sudah mengenali sosok itu kerana tadi dia dapat melihat wajah lelaki itu buat seketika. Rasa ingin gugur jantungnya. Rasa ingin menangis pun ada juga.

Sejak Abid menamatkan pengajian, inilah kali pertama Aliah dapat melihatnya. Abid telah menunaikan janjinya untuk pergi dan tidak menonjolkan dirinya di hadapan Aliah lagi. Waktu itu, Aliah tidak percaya bahawa Abid akan mengalah. Sangkanya, Abid akan terus menggoda. Mencari idea memikat hatinya sehingga dia akhirnya mengaku bahawa sesungguhnya Abid sahajalah satu-satunya lelaki dambaan jiwa. Tapi, Aliah kecewa bila Abid pergi. Tanpa ucapan selamat tinggal untuknya. Tanpa menoleh ke belakang.

Ego Abid dan egonya sendiri memisahkan mereka. Dan, seperti kata Hamzi, sememangnya Aliah amat kehilangan. Namun, sesal pun sudah tidak berguna sekarang. Hari ini, tamatlah kisah hatinya. Melihat Abid, dia tahu, lelaki itu tidak akan pernah menjadi miliknya. Dulu, dia yang menolak. Konon, dia ingin menumpukan perhatian kepada pelajaran. Konon, dia tidak suka lelaki yang cakap lepas, baran dan sombong. Sudahnya, melepas! Aduihhh.. nasib badan!

Abid tercari-cari seraut wajah itu. Tadi rasa macam nampak, tetiba dah menghilang pulak, bisik hatinya. Mata masih melingas, cuba menelek-nelek si genit yang memakai baju kurung warna hijau serindit. Tiba-tiba senyum manisnya terukir. Gadis itu sedang melangkah dengan lemah menuju ke tempat parkir kereta, tidak jauh darinya.

“Aliah,” Abid menyeru nama si gadis.

Langkah kaki Aliah terhenti. Dia tidak salah dengar ni. Abid yang memanggilnya yang bermaksud Abid tahu dia ada di situ. Dia ingin menoleh tetapi bila terbayangkan semula kemesraan Abid dengan budak perempuan itu tadi, hatinya terus jadi tawar. Terpaksalah membuat tidak endah. Terpaksalah meneruskan langkah.

“Aliah! Berhenti!” suara Abid lantang membingit.

Aliah tidak peduli. Langkahnya makin laju.

“Itu bukan ke budak yang kita nampak tadi? Kenapa pulak dia suruh anak mak berhenti melangkah?” tanya puan Hanim. Nenek, ayah dan datuk memandang Aliah dengan rasa hairan dan ingin tahu yang membuak-buak.

“Jangan pedulikan dia, mak, nenek, ayah, datuk. Jom kita balik!” Aliah tidak menunggu. Langkah diatur semakin laju.

“Eh, kau! Kenapa sejak dari hari pertama aku kenal kau, kau tak pernah nak dengar apa yang aku cakap? Sekalipun tidak, Aliah! Tapi, cakap kau aku sentiasa ikut! Kau suruh aku jangan tengking kau, aku buat. Kau suruh aku jangan asyik ikut kau, aku turut. Kau suruh aku lupakan kau, aku cuba! Tapi, kau? Aku suruh kau bagi peluang untuk aku, kau geleng. Aku suruh kau faham hati aku, kau tak nak. Ni, aku suruh kau berhenti melangkah, kau masih degil jugak! Kenapa kau buat aku macam ni, Aliah? Kenapa kau nak terus degil lawan kemahuan hati kau? Hati kita? Kalau kau ingat yang aku ni tak layak sebab kau kaya, aku miskin, kau salah! Aku kaya dengan cinta untuk kau. Kalau kau...”

“Diamlah!!!” Ya ALLAH, kenapa mamat ni? Apa yang dia merapu kat tengah –tengah panas ni? Dia buta ke tak nampak orang ramai dok tengok kami?
Abid! Abid! Malu sikitlah, Abid! Malu!

“Aku tak nak diam! Selagi kau tak mengaku di depan semua orang yang kau sayang aku, aku tak akan diam, Aliah!” bentak Abid.

“Awak dah gila? Perangai macam bebudak?”

“Ha,ah! Aku ni budak kecik yang dahagakan kasih sayang.”

“Jangan mengada-ada, boleh? Awak nak jadikan saya isteri nombor berapa?”

“Nombor berapa? Nombor satu dan yang satu!” suara Abid tegas kedengaran.

“Awak jangan main-main dengan saya, Abid. Nanti saya baling awak dengan kasut tumit tinggi saya ni, kang!”

“Bagusnya? Kalau kau baling kasut tu kena kepala aku, dan kepala aku luka berdarah, aku pulak mati lepas tu.... Ni biar aku beritahu kau siap-siap yang aku sangat-sangat cintakan kau. Aku tunggu kau empat tahun lamanya, Aliah. Aku tunggu kau sampai hati kau terbukak untuk terima cinta aku. Tak pernah ada perempuan lain yang dapat ambik hati aku sebab kau dah curinya. Kau dengar tak, Aliah? Hati aku pada kau dan selamanya jadi milik kau saja!”

6

“Terharunya saya, bang...”

Aliah mengerutkan dahi bila mendengar suara ibunya. Kelihatan sinis senyumnya. Seakan-akan menyindir Aliah.

“Kenapa awak pula yang terharu, Hanim?” soal encik Said kepada isterinya.

“Abang tak nampak ke? Bakal menantu kita tu dah macam tarzan, menjerit, mengaku cintakan anak kita. Semua orang tengok kita dah ni. Bukan senang nak luah perasaan di tengah-tengah orang ramai, bang. Perlukan keberanian! Perlukan keyakinan diri yang tinggi tu!”

Aliah pandang wajah ibunya. Rasa tidak percaya mendengar pujian itu tadi. Rasa hairan bila emaknya sukakan cara Abid menyuarakan hasrat hati. Aduhai puan kaunselor ni, biar betul! Orang malu, dia suka pulak!

“Hanim, apa kata kamu pergi ajak budak tu dengan semua ahli keluarga dia pergi makan sama-sama dengan kita? Said, kamu telefon si Alina, suruh dia tutup restoran dia pada orang lain. Senang karang kita nak berbincang dengan pihak lelaki. Kamu, Aliah, dalam kereta nanti, touch-up sikit muka! Dan, nenek tak mahu dengar dah kamu cakap garang-garang dengan budak Abid tu. InsyaALLAH, dia bakal cucu nenek! Nenek ‘approved’”

“Tapi, nek,”

“Apa lagi, cucu atuk ni? Tak sangka, cerewet juga dia ni. Nampak macam ‘cool’ aje rupa-rupanya selama ni pandai dia buli orang, ya?”

“Mana ada, tuk. Aliah cuma,”

“Cuma apa? Menguji? Macam tu? Tu bukan menguji namanya. Itu dah mendera hati dan perasaan. Aliah, Aliah!”

Aliah kumpul nafas dan lepaskannya perlahan-lahan. Kini, soal di antara dirinya dengan Abid sudah jadi soal keluarga. Menyorot pandangan di hadapannya kini, hati terusik melihat kemesraan yang sudahpun terjalin di antara ibu dan ayahnya dengan keluarga lelaki itu. Perbualan semakin rancak dengan kehadiran datuk dan nenek. Riuh rendah keadaannya di tengah-tengah lapang ini.

Aliah menyandarkan diri pada bonet kereta. Sambil tangan meraba-raba mencari bedak kompak di dalam beg sandangnya, hati tertanya-tanya di mana tarzannya berada.

'Takkan sembang sekali dalam kelompok manusia yang ramai-ramai tu?’ soal hati.

Tiba-tiba seseorang berdiri di sisi, sama-sama menyandarkan tubuh pada bonet. Haruman Eternity memesrai hidung, nyaman dan mendamaikan. Namun, apa yang lebih mengharukan, kini sejambangan mawar merah yang mengelilingi sekuntum mawar putih sedang dihulurkan kepadanya. Laju sahaja Aliah menyambutnya, menghidu dan menyedut keharuman bunga kesukaannya itu.

“Walaupun hati aku ni teringin sangat nak kucup dahi kau, nak peluk kau macam yang aku buat pada adik aku, si Abidah tadi, tapi.... tak boleh, kan? Kau belum halal bagiku.” Abid sempat berbisik.

“Dia adik awak?”

Abid tenung sepasang mata bundar itu dalam-dalam. Lama... Dia kemudian melepaskan sebuah keluhan. Senyumnya kian pudar bila dia berpaling ke arah lain.

“Awak marah?”

Suara Aliah menyebabkan Abid menoleh semula ke sisi.

“Kau tak pernah percaya pada aku. Kepala kau tu penuh dengan yang buruk-buruk tentang aku. Nampak aku dengan perempuan lain saja, kau dah anggap yang bukan-bukan.” Marah Abid.

“Kalau awak tahu apa perasaan saya bila tengok awak peluk adik awak yang saya sangkakan isteri awak, Abid,”

Abid tidak terharu mendengar getar suara Aliah itu. Dia hanya bertanya sinis, “Apa yang kau rasa?”

“Rasa macam nak mati,”

Kali ini Abid menoleh. Tajam merenung raut wajah yang sedih.

“Maksudnya?”

Argh, Abid ni sengaja nak kenakan aku ke? Dia macam nak aku curahkan segala apa yang aku rasa. Macam mana ni? Tak kan nak ‘confess’? Malulah!

“Kenapa rasa macam nak mati, Aliah? Kalau kau nampak Hamzi dengan perempuan lain? Macam tu jugakkah yang kau rasa?” Abid tanya lagi.

“Dengan dia, taklah... dengan awak aje!”

Abid senyum. “Kenapa?” Suaranya lembut sudah...

Aliah mengetap bibir. “Takkanlah itu pun awak tak faham?” tanya dia.

Gelengan kepala Abid buat nafas Aliah jadi sempit.

“Cakaplah cepat! Terangkan pada aku sebabnya.” Pinta Abid penuh perasaan.

“Sebab..... sebab.... sebab saya ingat saya dah hilang cinta awak. Sebab saya fikir awak dah lupakan saya dan dah ada pengganti saya.”

“Tapi, tu logik, kan? Lebih tiga tahun kita putus hubungan. Takkanlah kau tunggu aku, Aliah?” Abid tanya bersama sengihan yang melebar.
“Tapi,”

Abid angkat kening. “Apa? Cakaplah, Aliah. Jangan sorok lagi apa isi hati kau tu. Dah lama aku tunggu ni.”

Dada Aliah dug-dag, dug-dag. Macam baru lepas lari 100 meter. Wajahnya pucat dek kerana cemas. Beginilah sukarnya untuk meluahkan apa yang ada dalam hati. Patutlah emak tabik spring pada kesungguhan Abid tadi. Memang, memang orang yang berani sahaja yang tidak menyembunyikan isi hati.

“Aliah?”

Gulp!

“Susahnya nak dengar pengakuan kau.”

Abid bangun, mengibaskan ponggong. Dia sudah hendak beredar. Hendak mendapatkan ibu dan ayah yang masih asyik berbual dengan ibu dan ayah Aliah.

“Jangan pergi, wak. Dengar dulu apa saya nak cakap ni.” Suara Aliah bergetar.

Abid buat tak kisah. Tapi dalam hati...’Cakaplah cepat! Tak sabar nak dengar ni!’

“Abid...”

Abid masih meneruskan langkah.

Aliah segera memintas pergerakan lelaki itu. “Bagi saya satu peluang saja,”

“Untuk?”

Aliah balas renungan Abid dan sambil tergagap-gagap dia menyambung, “Untuk dicintai awak. Untuk awak sayangi. Untuk awak kasihi.”

“Sebab?”

“Sebab, saya dah lama sukakan awak.”

“Tak dengarlah! Cakap kuat sikit lagi.”

“Sebab saya dah lama sayangkan awak”

Abid tahan senyum. “Sungguh ni? Macam tak percaya pulak.” Dia terus saja meninggalkan Aliah termangu.

Aliah macam tak percaya lihat gelagat Abid yang seperti sengaja hendak membuat dia marah. Tapi, dia tak boleh beralah sekarang. Dia mesti meluahkan!

“Abid, saya sungguh-sungguh ni! Saya tak tipu! Hati saya tak pernah menipu. Cuma, dulu saya degil, saya tak mahu mengaku. Percayalah, Abid. Awak saja untuk saya. Saya selalu minta pada ALLAH agar kita berjodoh. Saya selalu berdoa agar awak sudi terima saya sebab saya nak jadi isteri awak. Saya nak menemani awak selama umur saya sebab awaklah satu-satunya lelaki yang dah berjaya curi hati saya. Sebab saya cintakan awak saja. Demi ALLAH, saya cintakan awak, Abid.”

Berkaca-kaca sepasang mata Abid mendengar pengakuan yang ditunggu-tunggu sekian lama. Hati memanjatkan rasa syukur kepadaNYA. DIA yang berkuasa atas sesuatu. DIA yang membukakan pintu hati Aliah untuk menerima dirinya yang serba kekurangan ini.

“Terima kasih, Aliah. Tapi,”

Aliah cemas. Apa lagi?

“Aku tak nak jumpa kau selama tiga bulan akan datang.”

“Tapi, kenapa? Apa salah saya” Wajah Aliah sedih bukan main sekarang.

“Masa bertunang ni, darah kita manis. Dugaan banyak! Lebih baik kita jangan jumpa. Selamat kau nanti!”

Lama Aliah cuba mencerna kata-kata Abid. Sudahnya...

“Abid!!!”

“Ya Allah! Malunya saya, kak Nah. Maaf ya, kak. Anak tunggal saya tu macam...”

Ibu Abid ketawa besar. Begitu juga yang lain-lain.

“Tak apa, Hanim. Meriah rumah tangga diorang nanti. Sorang suka menjerit, yang sorang lagi kuat menyakat pulak. Hmm elok sangat dah tu!” ujarnya.

.....................

Begitulah kisah cinta Abid dan Aliah. Kalau sudah jodoh, tidak akan ke mana, kan? Carilah 1001 alasan untuk menolak, kalau dialah jodoh anda, pasti anda dengan dia jugak akhirnya. Tak gitu?

Ulasan

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…