apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

16.9.11

Mana lebih senang? Jaga anak perempuan atau anak lelaki?

Assalamualaikum.....

Beruntungnya mendapat anak yang soleh dan solehah. Bergembira ibu dan ayah bila anak, baik perempuan mahupun lelaki dilihat menjaga solat, santun berbahasa, menghormati orang tua. Kalau kawan-kawan memiliki anak-anak sebegini, rasa macam teringin hendak dibuat menantu. Kan?


Tapi, di mana-mana, masalah sosial seolah-olah tiada penghujungnya. Dalam akhbar, berita dan internet, kita baca, kita lihat, gambar-gambar laporan pelbagai kes tidak kira masalah rogol, ragut, samun dan bunuh.

Siapakah yang bersalah apabila anak-anak muda membuat kesilapan sebesar ini? Kepada siapakah jari dituding? Memanglah salah anak-anak itu namun kebiasaannya, ibu bapa sering mendapat tempias kerana dikatakan gagal mendidik anak sehingga mereka tergamak melakukan pelbagai jenayah. 


Ingat tak zaman kita dulu-dulu? Bapak kita cukup tegas dengan anak-anak, kan? Arwah abah aku, misalnya, mak aiii.... nak dekat pun takut terutama masa dia baru balik kerja. Nak mintak duit? Jangan harap! Semuanya mesti melalui orang tengah, siapa lagi kalau bukan arwah emak? 

Kata orang, anak lelaki mudah dijaga. Betulkah? Mungkinkah kerana anggapan itu,   sesetengah ibu bapa hanya menitik beratkan soal pengawasan anak perempuan manakala anak lelaki dibolehkan melakukan apa sahaja aktiviti pilihan mereka? Bila anak lelaki cakap, dia nak jumpa kawan, ibu bapa tidak banyak soal untuk memberi kebenaran. Bila anak lelaki keluar rumah dan balik lewat, mereka tidak akan disoal siasat seperti mana anak perempuan. Begitukah?

Namun, perbezaan didikan ibu bapa itu pastinya bersebab. Tak percaya? Cuba jawab! Yang mana lebih mengaibkan? Punya anak lelaki yang merupakan penagih dadah tegar atau seorang anak perempuan yang termengandung di luar ikatan pernikahan? Anda pasti tahu yang manakah satu jawapan yang akan dipilih....

Anak harus dididik dengan sebaiknya sejak di dalam kandungan lagi malah adab ketika suami dan isteri 'bersama' telah diajarkan di dalam kitab al Quran dan Hadis. Mengapa? Kerana tidak lain mengelakkan gangguan syaitan. 

Semakin anak-anak membesar, mereka melihat ibu bapa sebagai idola. Jika ibu bapa tunjuk contoh yang baik, anak akan mengikutinya tetapi jika hari-hari, anak-anak melihat sikap buruk ibu dan ayah seperti bertempik, mencarut, memaki,  tuduh menuduh, malah memukul, maka timbullah masalah. 

Sebenarnya, dalam soal didikan anak lelaki dan perempuan, kedua-duanya sama berat. Zaman sudah berbeza. Minda sudah terbuka. Pendedahan seksual mudah didapati. Anak lelaki seharusnya dididik dari awal untuk menghormati dan melindungi wanita. Mereka harus diberitahu bahawa wanita bukan tempat mudah dijadikan mangsa memuaskan nafsu.  

Pendekatan kemesraan yang lebih bersifat terbuka, berbincang, saling menghormati dan segan dengan ibu bapa akan memberikan kesan baik dalam membesarkan anak-anak. Jangan gunakan kuasa veto ibu bapa sebab anak akan jadi takut di depan kita tapi berani melakukan perkara yang tidak disangka bila di belakang. Sudahnya, anak menjadi penipu dengan sikap yang berbeza di dalam dan di luar rumah. 

Jangan terlalu berkeras tapi tidaklah pula terlalu berlembut. Sedang-sedang aje...hehe...

Yang penting juga, anak harus dilatih supaya pandai mengurus masa sejak dari kecil lagi. Ibu bapa harus pastikan anak ada masa untuk belajar, untuk berhibur, untuk menolong ibu bapa dan menetapkannya. Pengurusan masa yang baik membolehkan anak-anak, baik lelaki mahupun perempuan, mempunyai perancangan hidup masa depan yang lebih teratur dan tidak bercelaru. 

Sikap anak-anak mencerminkan keperibadian ibu dan ayahnya. Semoga, bila orang melihat anak-anak kita, dia berkata...
"Sejuk perut ibu yang mengandungkannya..."
Namun, yang terpenting, didikan agama selengkapnya harus ada. Tonggak hidup yang utama ialah AGAMA. 

Seorang lelaki yang aku kenal pernah menasihatkan anak-anak lelakinya....
Jangan sekali-kali kamu rosakkan anak dara orang. Jangan sekali-kali kamu melakukannya! Kerana, kamu ialah anak kepada seorang perempuan, kamu ada kakak, kamu ada adik perempuan. Sekali kamu menodai kesucian seorang anak gadis, tidak mustahil kesucian ibu, kakak dan adikmu turut dicemar.
Wallahualam. 


==========================================================

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.